Kemaskini terbaru: October 26, 2010

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hubungan Intelektual Terawal Dunia Melayu-Cina

Hubungan Intelektual Terawal Dunia Melayu-Cina

Oleh

Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Matematik,

Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang,

Selangor, D.E.

Abstrak

Walaupun hubungan dunia Melayu-Cina sebenarnya telah menjangkau hampir 2000 tahun, kalau berdasarkan rekod-rekod bertulis kurun ke-2M di Cina tentang Funan dan Campa, namun kajian bagi merungkai maksud sebenar hubungan ini masihlah belum memuaskan kehendak golongan intelektual. Malah, amatlah tidak langsung memuaskan hati jika sorotan kajian disasarkan kepada kemajuan hal-hal berkaitan keintelektualan seperti perpustakaan, kepustakaan pengetahuan, institusi pendidikan, institusi penyelidikan, biografi dan bibliografi intelektual, sistem pengajian rendah dan tinggi, dan lain-lain hal yang berkaitan. Keadaan yang berterusan sebegini sebenarnya tidak langsung akan memberikan apa-apa manfaat kepada kedua-dua belah pihak, malah akan menenggelamkan kekuatan keintelektualan masing-masing, lebih-lebih lagi di zaman globalisasi dan liberalisasi dunia sekarang yang dikuasai dengan kuat oleh keintelektualan Barat. Telaah demi telaah yang kami lakukan terhadap susastera yang membahas hubungan intelektual Melayu-Cina ini selalunya hanyalah menyentuh tema intelektual ini secara cebis-cebisan, tidak mendalam, sehinggakan tidak boleh dilakukan kajian pengembangan daripadanya. Maklumat-maklumat yang disebut selalunya terhenti kepada mengatakan adanya itu-ini dalam hubungan intelektual ini. Contohnya, adanya maklumat yang mengatakan bahawa seorang cendekia Campa bernama Fo-che/Vijaya dihantar sebagai penerjemah ke Cina pada kurun ke-8M. Itu sahaja. Tidak ditanyakan dan dijawab apakah buku-buku yang diterjemahkan oleh Fo-Che ini? Fo-Che ini bertugas di institusi intelektual mana di Campa dan dihantar ke institusi intelektual mana di Cina? Apakah buku-buku yang dikarang oleh Fo-Che di Campa dan di Cina? Dan lain-lain soalan yang berkaitan. Keadaan ini mungkin terutamanya disebabkan oleh tiadanya penyelidik yang berminat membahas hubungan intelektual Melayu-Cina ini, berbanding kedapatannya beberapa penyelidik yang membahas hubungan intelektual India-Cina. Kami akan berusaha di sini untuk mengendurkan permasalahan ini dan seterusnya meletakkan landasan kepada kajian hubungan intelektual Melayu-Cina, iaitu sekitar hubungan yang berlangsung sekitar kurun ke-2M hingga ke-8M. Diakhirnya, kami akan berusaha sedapat mungkin mencoret maklumat berkenaan perbahasan-perbahasan intelektual yang mungkin wujud dalam perhubungan ini.

1. Pendahuluan

Seperti yang kami maklumkan di atas, memanglah sesuatu yang tidak terbayangkan sukarnya jika seseorang pengkaji itu mahu mengkaji bagaimanakah kedudukannya hubungan intelektual terawal dunia Melayu-Cina. Sudahlah rekod-rekod di Cina untuk zaman awal ini banyak yang telah musnah, namun yang masih kekal sehingga kinipun hanyalah berbentuk cebisan demi cebisan. Hanyalah beberapa rekod biografi-bibliografi intelektual yang boleh banyak membantu. Rekod biografi-bibliografi intelektual (dalam judul Inggeris) tersebut adalah :

i. Huijiao, 530/531M, Kao-seng Chuan/Biographies of Eminent Monks;

ii. Daoxuan, 645/667M, Hsu Kao-seng Chuan/Further Biographies of Eminent Monks;

iii. ?, 952M, Anthology of the Patriarchal Hall;

iv. Zanning, 982-988M, Song Biographies of Eminent Monks;

v. Daoyuan, 1004-1007M, Record of the Transmission of the Lamp compiled during the Jingde Period;

vi. ?, 1022-1032M, Comprehensive Record of the Lamp (Tiansheng);

vii. ?, 1101M, Further Records of the Lamp (Jianzhong Jingguo);

viii. ?, 1174-1189M, Synthetic Summary of the Lamps (Chunxi);

ix. ?, 1201-1204M, Universal Record of the Lamp (Jiantai);

x. ?, 1617M, Ming Biographies of Eminent Monks.

Malangnya, kami langsung tidak pernah merujuk mana-mana rekod ini. Kami hanyalah mendapatkan judul-judulnya daripada makalah Shinohara (1988). Kami akan banyak memanfaatkan maklumat-maklumat yang disampaikan menerusi rujukan sekunder tentang rekod biografi-bibliografi intelektual ini. Kemudiannya, kesukaran ditambahkan lagi oleh ketiadaan langsung rekod bertulis sepertinya untuk zaman awal ini di dunia Melayu. Yang kedapatan sedikit-sedikit adalah prasasti (batu bersurat) dalam beberapa kerajaan Melayu tua, seperti Funan-Chenla, Campa, Sriwijaya dan Jawa Kuno. Prasasti-prasasti ini pula selalunya hanyalah tentang hal-hal keistanaan, tiada langsung setanding dengan rekod biografi-bibliografi intelektual, jauh sekali. Untuk kami teruskan juga kajian terhadap isu ini, seperti yang kami nyatakan di atas, kami terpaksa bergantung kepada rujukan-rujukan sekunder terhadap rekod-rekod biografi-bibliografi intelektual yang disediakan khusus untuk merekodkan kegiatan semua intelektual yang masuk-keluar dari Cina dan India. Daripadanyalah, sedaya mungkin, kami mengembangkan perbincangan berkenaan hubungan intelektual awal dunia Melayu-Cina, sebab dunia Melayu pada zaman awal juga digelar India Kecil. Tentulah beberapa maklumat yang tertera di dalam rekod-rekod biografi-bibliografi intelektual tersebut merangkumi juga beberapa intelektual yang masuk-keluar dari Cina dan Melayu. Itulah harapan kami. Kami sampaikan jadual keluar-masuk intelektual dari Cina dan India seperti yang telah dipermudahkan oleh Xinru Liu (1988) daripada perbincangan asal yang dilakukan oleh Zurcher (1972) :

Asal\Tahun

25-220M

220-316M

317-420M

420-589M

India

4

4

17

22

An-hsi (Parsi)

2

3

Yueh-chih

2

3

2

Selatan/Melayu

2

3

6

6

Lain-Lain

2

2

4

Jumlah

10

15

27

32

Penuntut Cina ke India

3

51

89

Jadual di atas menunjukkan bahawa sehingga tahun 590M, seramai 143 intelektual China telah datang ke India untuk menuntut agama Buddha. Tiga/empat intelektual China pertama yang datang ke India adalah Chu Shi-hing, Fa-ling, Chi-I dan Ho-yun, seperti yang dilaporkan oleh I-Tsing dan diulangi oleh Samuel Beal. Chavannes pula melaporkan bahawa I-lang, Chih-ngan, I-hsuan dan Taolin singgah dahulu di Lang-chia-shu (Langkasuka) sebelum meneruskan perjalanan ke India. Intelektual yang akan kami bincangkan di sini, iaitu Shih Fa-Hian yang tersadai di Jawa pada November 413M hingga April 414M tergolong dalam kumpulan 51 intelektual seterusnya dalam jadual itu. Siapakah 50 intelektual yang lainnya? Kebanyakan jalan yang mereka pilih untuk datang ke India dan pulang semula ke China adalah menerusi jalan darat Asia Tengah. Jika ini jalan yang mereka pilih, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa mereka memiliki hubungan intelektual dengan dunia Melayu, sebab mereka tidakpun datang ke dunia Melayu. Namun, kedapatan juga diantara mereka yang memilih jalan pulang menerusi jalan laut melintasi Asia Tenggara, seperti pilihan Shih Fa-hian Mereka ini akan berhubungan intelektual dengan dunia Melayu, jikapun ada aktiviti intelektual dilaksanakan. Tidak pula kedengaran adanya yang memilih jalan darat Indocina untuk pulang ke China. Walaupun mereka mengetahui boleh mudik dari Funan-Chenla menerusi sungai Mekong (Lanchangjiang) sampai ke China. Juga tidak kedengaran adanya yang memilih jalan pulang menerusi jalan darat Asia Tengah selepas datang menerusi jalan laut Asia Tenggara. Mungkin disebabkan mereka juga maklum bahawa betapa bahayanya jalan Asia Tengah. Jalan datang-pulang yang kedua popular adalah menerusi jalan laut Asia Tenggara. Mereka yang menggunakan jalan ini akan berhubungan langsung dengan dunia Melayu, dan berkemungkinan melakukan hubungan intelektual dengan intelektual-intelektual dunia Melayu.

Jadual diatas juga menunjukkan bahawa seramai 84 intelektual luar telah masuk ke China untuk mengembangkan agama Buddha. Dua orang daripada empat intelektual pertama yang datang dari India ke China tersebut mungkin bernama Chih-lou-Chia-ch’ien dan Yen Fa-t’iao. Dua intelektual pertama yang datang dari An-hsi (Parthia/Parsi) tersebut adalah An Shih-Kao dan An Hsuan. Manakala dua intelektual pertama yang datang dari Yueh-chih tersebut adalah Dharmaraksha dan Lokashshema. Ini diikuti oleh ramai lagi intelektual selepas mereka. Ini juga bermaksud kalangan intelektual ini membawa bersama mereka puluhan malahan ratusan karya-karya yang menjelaskan agama Buddha dari pelbagai aspek ke China. Perhatikan, sehingga tahun 590M, seramai 17 intelektual Melayu juga turut serta dalam misi pengintelektualan China ini. Jika diperhalusi maklumat tentang semua kerajaan yang ada di selatan China sehingga tahun 590M, tentulah termaklum kepada kita bahawa intelektual-intelektual tersebut tentunya datang dari Funan, Chenla, Campa, Mon, Sriwijaya dan Jawa Kuno. Kerajaan Mon tidak dikelaskan sebagai Melayu, tetapi digolongkan sama dengan suku-suku kaum seperti Siam, Viet, Lao dan Myanmar, yang datang kemudian ke Indochina, digelar Austroasia. Apa yang kami mahu tumpukan adalah, bagaimanakah boleh didapatkan maklumat berkenaan 17 intelektual Melayu yang masuk ke China untuk mengembangkan agama Buddha? Adakah mereka benar-benar berbangsa Melayu, atau hanyalah merupakan intelektual India yang bertugas di dalam Kerajaan Melayu? Apakah judul karya-karya yang mereka bawa? Adakah mereka berkarya? Apakah institusi mereka bertugas di dunia Melayu dan China?

Dua hal inilah yang menjadi perhatian kami dalam perbincangan ini, iaitu intelektual China yang melalui dunia Melayu dan melakukan kegiatan intelektual, dan intelektual Melayu yang ke China dan melakukan kegiatan intelektual.

2. Shih Fa-Hien dan Golongan Intelektual Jawa

Sekitar tahun 249-254M, di Loyang, Dharmakala, intelektual India Tengah, menerjemahkan Mahasamghika-vinaya-hrdaya ke bahasa Cina. Kemudiannya, Dharmakirti, intelektual Parthia, menerjemahkan Dharmagupta-karman. Bhiksupratimoksa juga diterjemahkan pada masa yang sama. Kesusasteraan inilah yang mendorong Shih Fa-Hien untuk memulakan pengembaraan ke India pada tahun 399M. Beberapa tahun selepas itu, iaitu pada tahun 404M, Punyatara, intelektual Kasmira, bersama Kumarajiva, intelektual Kucha, menerjemahkan Sarvastivada-vinaya, namun tidak tamat sebab Punyatara meninggal dunia selepas kerja terjemahan siap sepertiga. Tugasnya disambung oleh Dharmaruci, intelektual Kucha, bekerjasama dengan Kumarajiva. Pada tahun 410M, Buddhayasas menerjemahkan Dharmagupta-vinaya. Tatkala Shih Fa-Hien kembali ke Cina pada 414M, beberapa daripada buku-buku ini turut dibawanya bersama. Namun beliau dikenali kerana menerjemahkan Mahasamghika-vinaya bersama Buddhabhadra, intelektual Kapilavastu, pada tahun 418M. Buddhabhadra juga menerjemahkan Avatamsaka-sutra pada tahun 418M. Kemudiannya, Buddhajiva, intelektual Kasmira, menerjemahkan Mahisasaka-vinaya pada tahun 424M, empat tahun selepas kematian Shih Fa-Hien. Begitulah serba sedikit latarbelakang keintelektualan dizaman Shih Fa-Hien, tetapi, apakah kaitannya maklumat di atas dengan golongan intelektual Jawa? Inilah yang kami akan cuba hipotesiskan di bawah.

Di dalam catatan perjalanannya, sekitar Ogos 413M, Shih Fa-Hien (1884/1983 & 2002), sewaktu ingin kembali dari India ke Cina, beliau menumpang sebuah kapal perdagangan. Selepas 3 hari belayar, beliau dan 200 penumpang kapal tersebut dilanda ribut. Mereka dilanda ribut selama 13 hari dan tersadai di sebuah pulau. Tidak diketahui apakah nama pulau ini. Mereka kemudian mengambil bekalan baru dan terus belayar tanpa arah tujuan yang tertentu menuju timur. Selepas 74 hari belayar, mereka tersadai di Yavadvipa/Jawa, iaitu sekitar November 413M. Shih Fa-Hien menetap selama 5 bulan di Jawa dan belayar semula dengan kapal perdagangan yang lain ke Cina pada April 414M. Beliau sampai di Cina 12 hari kemudian. Sewaktu di Jawa, beliau hanyalah melaporkan bahawa tiada langsung orang yang beragama Buddha di sana. Semua penduduk Jawa beragama Hindu. Masyarakat pulau Jawa hanyalah memeluk agama Buddha sekitar 560M, itupun hanyalah masyarakat Jawa yang menghuni kerajaan Sailendra, yang dikatakan warisan daripada kerajaan Funan yang dikalahkan oleh kerajaan Chenla. Tinggalan utama masyarakat Buddha Jawa adalah Borobodor yang dibina oleh masyarakat Buddha tetapi disiapkan oleh masyarakat Hindu sekitar kurun ke-8M. Lebih seratus tahun sebelum itu, agaknya memanglah benar seperti kata Shih Fa-Hien bahawa tiada langsung masyarakat Jawa yang beragama Buddha. Tetapi, keadaan ini tidak mungkin langsung bagi seorang intelektual seperti Shih Fa-Hien yang menyepi dalam catatannya. Beliau seolah-olah tidak melakukan apa-apa aktiviti intelektual sepanjang 5 bulan di Jawa? Ini amat mustahil memandangkan kontroversi saling berbantah berkaitan kefalsafahan di antara intelektual Hindu dengan intelektual Buddha amat kerap berlaku di India, dimulai oleh Nagarjuna bagi pihak Buddha sekitar kurun ke-2M. yang membantah fahaman falsafah yang dibawa oleh sekurang-kurangnya 6 golongan falsafah Hindu, iaitu Jain, Samkhya, Yoga, Vedanta, Mimamsa dan Nyaya-Vaisesika. Kalaupun sebahagian sahaja golongan Hindu ini berada di Jawa, pastilah Shih Fa-Hien akan terlibat dalam perdebatan falsafah dengan mereka. Kenapa Shih Fa-Hien membisu selama 5 bulan? Kami ingin mengemukakan alasan utama kenapa Shih Fa-Hien mendiamkan diri selama 5 bulan di Jawa. Sebelum mengembara ke India pada 399M, Shih Fa-Hien tidak maklum tentang gerakan falsafah Nagarjuna kerana buku-buku Nagarjuna hanyalah diperkenalkan oleh Kumarajiva ke Cina mulai 401M. Inilah juga sebab kenapa Shih Fa-Hien tidak langsung mendapatkan buku-buku Nagarjuna di India. Kalaupun beliau ketemu dengan buku-buku Nagarjuna, ataupun ketemu dengan pengikut-pengikut Nagarjuna, Shih Fa-Hien mungkin gagal pula menguasai perdebatan berkaedahkan falsafah dan logik, sesuatu yang baru kepada penganut-penganut Buddha di India, apalah lagi kepada pengikut-pengikut Buddha di Cina. Tanpa mentelaah buku-buku Nagarjuna, memanglah Shih Fa-Hien tidak merasakan perlunya beliau melibatkan diri dalam perdebatan dengan golongan falsafah Hindu di Jawa, kalaupun ada gerakan falsafah Hindu di Jawa. Pengikut-pengikut Nagarjuna membentuk fahaman falsafah yang digelar Madhyamika, disamping tiga yang lain, iaitu Vaibhasika, Sautrantika dan Yogacara. Hipotesis kami ini amat sukar diselesaikan bersebabkan rekod-rekod bertulis di Jawa bertarikh lewat daripada apa yang berlaku pada kurun ke-5 ini. Kalau adapun, belum tentu tepat menyentuh aktiviti intelektual antara Shih Fa-hian dengan intelektual-intelektual Jawa.

3. Mandrasena, Penghubung Intelektual Funan dan Cina

Mandrasena bukanlah intelektual asal Funan, sebab beliau adalah berkelahiran India dan bertugas sebagai penerjemah di Funan. Tugas beliau tentulah menguruskan sebuah atau beberapa buah perpustakaan diraja Funan, disamping menerjemahkan buku-buku India yang berbahasa Sanskrit/Pali ke bahasa tempatan (kun-lun-yu), dengan bantuan intelektual-intelektual tempatan. Kalangan penyelidik Funan belumlah mendapat apa-apa maklumat berkenaan bahasa kun-lun-yu atau bahasa Funan ini, sebab tiada langsung ditemui prasasti Funan yang berbahasa selain Sanskrit. Namun, seringkali pula Raja China mengutus duta ke Funan meminta Raja Funan menghantar penerjemah ke China, Madrasena adalah salah seorang daripadanya yang tiba di China pada tahun 503M dengan membawa beberapa puluh buah karya. Mengikut kajian kami terhadap Taisho Shinshu Daizokyo (TSD), iaitu himpunan karya-karya Buddha yang masuk ke China dan Jepun, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009), kami mendapati bahawa karya-karya berikut diusahakan terjemahannya oleh Mandrasena :

  1. ?, 453M, Ratnameghasūtra / Pao yün ching (terjemah pada 503M) (TSD 658);
  2. ?, ?, Dharmadhātuprakti-asambhedanirdeśa(sūtra) / Fa chieh t’i hsing wu fen pieh hui(ching) (503M) (TSD 310.8);
  3. ?, 470M, Saptaśatikaprajñāpāramitāsūtra / Wen shu shuo pan jo hui (ching), (503M) (TSD 310.46 & TSD 232).

Apa yang pasti adalah, karya-karya ini berada di Funan dalam versi asal Sanskrit dan terjemahan kun-lun-yu, dan berada di Cina dalam terjemahan China oleh Mandrasena pada 503M. Kami gagal mendapat maklumat lanjut berkenaan dua karya yang pertama itu. Namun, untuk karya yang ke-3 tersebut, maklumat menunjukkan Mandrasena menerjemahkannya sebanyak dua kali (TSD 310.46 & TSD 232), atau mungkin sahaja seorang lain yang rapat dengannya menerjemahkan yang sebuah lagi itu. Ada 3 lagi terjemahan dilakukan ke dalam bahasa China, iaitu TSD 220.7, TSD 230 dan TSD 233. Apapun, karya yang membicarakan doktrin kesatuan wujud (prajnaparamita) ini merupakan antara beberapa puluh karya lain yang berusaha menjelaskan doktrin tersebut. Doktrin ini mungkin mula diperkenalkan menerusi terjemahan karya-karya Nagarjuna oleh Kumarajiva mulai tahun 401M. Selepas daripada tarikh itu, tentunya intelektual-intelektual China berusaha untuk mendapatkan beberapa karya lain yang menjelaskan apa yang disebut dalam karya-karya Nagarjuna tersebut, termasuklah tentang prajnaparamita. Seperti yang dijelaskan oleh Obermiller (1933), doktrin prajnaparamita tersebut terbahagi kepada 5 tahap, iaitu :

i. Jalan Mengumpulkan Kebaikan/Faedah (Sambhara-marga), yang terdiri daripada 4 cara mengenal penampakan wujud, 4 cara mengenal punca penampakan wujud, 4 cara mengenal boleh hapusnya penampakan wujud, dan 4 prinsip jalan;

ii. Jalan Latihan (Prayoga-marga);

iii. Jalan Intuisi (Darsana-marga);

iv. Jalan Penumpuan Perhatian (Bhavana-marga);

v. Jalan Puncak (Asaiksa-marga).

Kami mesti boleh kemudiannya menunjukkan bahawa doktrin ini diajarkan, kalaupun tidak berkembang dengan baik, di Funan dan China. Di China, doktrin ini agak berkembang baik kerana dari semasa ke semasa karya-karya yang menjelaskannya diusahakan dicari lalu diterjemahkan.

4. Samghapala, Penghubung Intelektual Funan dan China

Samghapala juga adalah intelektual berkelahiran India yang bertugas sebagai penerjemah di Funan. Nampak seolah-olah beliau adalah pembantu kepada Mandrasena di Funan, kerana Raja Funan kemudiannya mengarahkan beliau untuk membantu Mandrasena di Cina. Beliau tiba di China pada tahun 506M. Beliau juga membawa karya-karya yang berada di Funan ke China, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009). Diantara yang beliau terjemahkan di China adalah :

i. ?, 460M, Aśokarājasūtra / A-yu-wang ching (terjemah pada 512M) (TSD 2043);

ii. ?, ?, Karmāvaraapratipraśrabdhi(sūtra) / P’u-sa tsang ching (517M) (TSD 1419);

iii. ?, 470M, Saptaśatikāprajñāpāramitāsūtra / Wen shu shih li so shuo mo ho pan jo po lo mi ching (TSD 233);

iv. ?, 457M, Sarvabuddhaviayāvatārajñānalokālakārasūtra / Tu i ch’ieh chu fo ching chieh chih yen ching (TSD 358);

v. ?, ?, Aṣṭabuddhaka(sūtra) / Pa chi hsiang ching (TSD 430);

vi. ?, ?, Mahāmāyūri(vidyārājñī)-(sūtra) / K’ung ch’iao wang chou ching (TSD 984);

vii. ?, ?, Anantamukhasādhakadhāraī(sūtra) / She li fu t’o lo ni ching (506M) (TSD 1016);

viii. ?, 470M, Mañjuśrīparipcchā(sūtra) / Wen shu shih li wen ching (518M) (TSD 468);

ix. ?, 460M, Daśadharma(ka)(sūtra) / To ch’eng shih fa ching (TSD 314);

x. Upatisya, ?, ? / Chieh t’o tao lun (515M) (TSD 1648);

xi. ?, ?, ? / Da cheng bao yun jing (TSD 659);

xii. ?, ?, ? / Erh shih pa yeh ch’a ta chun wang ming hao (DZ 736).

Nota : Z merujuk kepada Dainippon Zokuzaokyoo.

Senarai di atas menunjukkan bahawa karya berjudul Saptaśatikāprajñāpāramitāsūtra, yang mengandungi doktrin prajnaparamita itu sekali lagi diminta kepada Samghapala untuk menerjemahkannya. Karya Asokarajasutra yang dikarang pada 460M, iaitu sekitar 700 tahun daripada zaman Asoka, dan diterjemahkan ke China oleh Samghapala pada tahun 512M, boleh sahaja menunjukkan bahawa cara kepemimpinan dan kepengurusan Raja Asoka dikaji di Funan dan di China. Kajian ini ditumpukan oleh Shaharir (2008) bagi mendapatkan teori-teori kepemimpinan dan kepengurusan Melayu, yang setakat ini menunjukkan bahawa teori kepemimpinan Melayu tertua adalah yang dinukilkan pada sebuah batu bersurat bertarikh 1010S/1088M dalam bahasa Campa. Teorinya digelar cakravantin, dan model teori ini yang pertama adalah Raja Asoka. Yang sepatutnya dijawab, adakah cakravantin juga dihayati di Funan, yang dimaklumi terkenal dengan model kepemimpinan bergelar rajadewa, dan di China?

5. Paramartha, Penghubung Intelektual Funan dan China

Seperti juga Mandrasena dan Samghapala, Paramartha juga adalah berkelahiran Ujjini, India, dan datang bertugas sebagai penerjemah di Funan mulai sekitar tahun 545M. Beliau dibantu oleh intelektual-intelektual tempatan, salah seorang daripadanya bernama Subodhi. Dua nama intelektual tempatan yang lain adalah Brahmadatta dan Brahmasimha, namun dua mereka ini bertugas sebagai doktor perubatan diraja. Paramartha kemudiannya diminta oleh Raja Rudravarman, atas permintaan Raja Cina, untuk menyambung kerja-kerja terjemahan yang dilakukan oleh Mandrasena dan Samghapala. Lalu beliau membawa karya-karya yang berada di Funan ke China. Beliau membawa sejumlah 240 karya ke China pada tahun 546M, lalu menerjemahkan sejumlah 76 buah daripadanya. Kami, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009), menemui sejumlah 34 judul daripada 76 judul tersebut. Maklumatnya adalah seperti berikut :

i. ?, ?, Arthavighuṣṭasūtra / Kuang i fa men ching (563M) (TSD 97);

ii. ?, ?, Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtra / Chin kang po jo po lo mi ching (569M) (TSD 237);

iii. ?, 510M, Anuttarasrayasutra / Fo Shuo Wu Shang I Ching (557M) (TSD 669);

iv. ?, ?, Sandhīnirmocanasūtra / Chieh Chieh Ching (557M) (TSD 677);

v. Buddhatrata, ?, Vinaya-dvavimsatiprasannartha-sastra / Lu Erh Shih Erh Ming Liao Lun (568M) (TSD 1461);

vi. Vasubandhu, ?, Abhidharmakośaśāstra / A P’i Ta Mo Chu She Shih Lun (568M) (TSD 1559);

vii. Asanga, ?, Yogacarabhumi / Chueh Ting Tsang Lun (?) (TSD 1584);

viii. Vasubandhu, ?, Triśikā(kārikā) / Chuan Shih Lun (?) (TSD 1587);

ix. Vasubandhu, ?, Vimsatikavijnaptimatratasiddhisastra (Viśatikāvtti) / Ta Cheng Wei Shih Lun (?) (TSD 1589);

x. Asanga, ?, Mahāyānasamparigraha (Mahāyānasagraha) / She Ta Cheng Lun (563M) (TSD 1593);

xi. Vasubandhu, ?, Mahāyānasagrāhabhāya / She Ta Sheng Lun Shih (563M) ( TSD 1595);

xii. Vasubandhu, ?, Madhyāntavibhagabhāya / Chung Pien Fen Pieh Lun (?), (TSD 1599);

xiii. Nagarjuna, ?, Aṣṭadaśaśūnyatāśāstra / Shih Pa Kung Lun (?) (TSD 1616);

xiv. ?, ?, Tryalaksanasastra / San Wu Hsing Lun (?) (T.1617);

xv. Dignaga, ?, Ālambanaparīkā / Wu Hsiang Ssu Chen Lun (TSD 1619);

xvi. Aryadeva, ?, Hastavālaprakaraa / Chieh Chuan Lun (?) (TSD 1620);

xvii. Vasubandhu, ?, Tarkaśāstra / Ju Shih Lun Fan Chih Nan Pin (550M) (TSD 1633);

xviii. Gunamati, ?, Lakkaānusāraśāstra / Sui Hsing Lun (?) (TSD 1641);

xix. ?, ?, Lokaprajnaptyabhidharmasustra / Fo Shuo Li Shih A P’i T’an Lun (558@559M ) (TSD 1644);

xx. Vasuvarman, ?, Catusatyaśāstra / Ssu Tin Lun (?) (TSD 1647);

xxi. Nagarjuna, ?, Arya Ratnavali (Rājaparikathāratnamālī) / Pao Hsing Wang Chen Lun (?) (TSD 1656);

xxii. Asvaghosa, ?, Mahāyānaśraddhotpādaśāstra / Ta Cheng Chi Hsin Lun (553M) (TSD 1666);

xxiii. Vasumitra, ?, Samayabhedoparacanacakra / Shih Pa Pu Lun (?) (TSD 2032);

xxiv. Vasumitra, ?, Samayabhedoparacanacakra / Pu Chih I Lun (?) (TSD 2033);

xxv. Ishvara Krisna, ?, Sākhyakārikā / Jing Qi Shi Lun (Chin Chi Shih Lun) (?) ( TSD 2137);

xxvi. ?, ?, Buddhabidharmasustra / Fo A P’i T’an Ching (ch’u chia hsiang p’in ti i) (?) (TSD 1482);

xxvii. Vasubandhu, ?, ? / Nieh Pan Ching Pen Yu Chin Wu Chi Lun (TSD 1528);

xxviii. Vasubandhu, ?, ? / I Chiao Ching Lun (?) (TSD 1529);

xxix. Vasubandhu, ?, ? / Fo Hsing Lun (?) (TSD 1610);

xxx. ?, ?, ? / Hsien Shih Lun (?) (TSD 1618);

xxxi. Asvaghosa, ?, ? / Ta Tsung Ti Hsun Wen Pen Lun (TSD 1669);

xxxii. ?, ?, ? / P’o Sou P’an Tou Fa Shih Chuan (?) (TSD 2049);

xxxiii. ?, ?, Suvarnaprabhasasutra / Chin-kuang-ming tsui-sheng-wang-ching (?) (?);

xxxiv. Asanga, ?, Bodhisattavabhumi / ?, (?) (?).

Sekali lagi kita bertemu dengan judul karya yang mengandungi doktrin prajnaparamita, iaitu Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtra yang diterjemahkan oleh Paramartha sebagai Chin kang po jo po lo mi ching pada tahun 569M. Memang ini menunjukkan doktrin prajnaparamita berkembang luas di Funan dan China sekitar kurun ke-6M. Kami sebenarnya memperoleh beberapa karya dalam senarai di atas dalam bentuk terjemahan Inggeris, Perancis dan Jerman, untuk kami telaah. Shaharir sedang mentelaah karya Nagarjuna berjudul Arya Ratnavali (Rājaparikathāratnamālī) bagi menunjukkan wujudnya teori kepemimpinan dan kepengurusan Buddha yang diserap masuk ke Funan, dan mungkin juga China. Suatu hal lagi yang kerap kami menumpukan perhatian adalah karya-karya berbentuk perbahasan kefalsafahan. Ini boleh digali daripada karya-karya ahli falsafah seperti Asvaghosa, Nagarjuna, Aryadeva, Asanga, Vasubandhu dan Ishvara Krisna dan Dignaga. Amat memeranjatkan sebenarnya karya-karya Dignaga berada di Funan, dan akan ditunjukkan di bawah sebagai juga berada di Sriwijaya, kerana fakta ini mencabar kefahaman sebelum ini bahawa tiadanya minat yang agak mendalam terhadap epistemologi dan logik dikalangan intelektual-intelektual awal di Funan dan Sriwijaya. Kami katakan “mendalam” kerana karya-karya Dignaga dan Dharmakirti (seorang lagi intelektual epistemologi dan logik) adalah karya-karya yang begitu teliti membahas pelbagai isu berkaitan falsafah pengetahuan. Perbahasan mereka setaraf perbahasan yang dilakukan oleh Plato dan Aristotle, al-Farabi dan Ibn Sina, Thomas Aquinas dan Roger Bacon, dan Immanuel Kant dan Hegel. Contohnya, kami akan membincang sedikit berkenaan epistemologi dan logik yang dibawakan oleh Dignaga. Karya yang terpenting dihasilkan oleh Dignaga bertajuk Pramanasamuccaya, namun karya ini tidak dapat dikesan wujud di Funan, Campa dan Sriwijaya. Karya ini sebenarnya adalah himpunan karya-karya beliau yang lainnya dalam bidang epistemologi dan logik, sejumlah 14 buah, yang Alambanapariksa dikesan wujud di Funan, manakala Upadayaprajnaptiprakarana, Samanyalaksanapariksa dan Nyayamukha dikesan wujud di Sriwijaya (akan dibincang kemudian). Apa yang dibincangkan oleh Dignaga? Dalam kesemua karya epistemologi dan logiknya, Dignaga sebenarnya membahas isu-isu yang timbul dalam usaha memahami bagaimana seseorang manusia mendapat pengetahuan. Apakah sebenarnya pengetahuan itu? Adakah benda luar fikiran itu sebenarnya terpisah atau tercantum/berhubung dengan juzuk pengetahuan yang dihasilkannya, yang diminati oleh fikiran manusia? Menariknya, Dignaga membuat sorotan terhadap semua pandangan epistemologi dan logik di India sebelumnya, iaitu teori-teori pengetahuan yang dihasilkan oleh golongan-golongan Nyaya, Vaisesika, Samkhya dan Mimamsaka. Sorotan ini seolah-olahnya berbentuk sejarah perkembangan epistemologi dan logik di India. Rujuk Hattori (1968) untuk mendapatkan perbincangan ini.

6. Sejumlah 1350 Buku Campa yang Dirampas oleh Liu Fang pada 605M

Sukar sebenarnya untuk kita menerima fakta bahawa adanya apa-apa “perhubungan” dalam apa-apa peperangan. Nmaun, itulah yang akan kami laporkan di sini, iaitu adanya “perhubungan intelektual” dalam peperangan yang melibatkan China dan Campa. Tatkala segerombolan tentera Cina yang diketuai oleh Liu Fang menyerang Campa pada tahun 605M, yang mengakibatkan kekalahan dipihak Campa dan Raja Shambhuvarman (mati pada tahun 629M) melarikan diri keseberang laut, Liu Fang kemudiannya merampas salasilah bertinta emas yang menukilkan maklumat 18 Raja yang memerintah Campa sebelum Raja Shambhuvarman dan sejumlah 1350 buku ajaran agama Buddha yang ditulis dalam bahasa Campa / Kun-Lun berabjad Sanskrit yang diikat dalam 546 berkas. Yang menjadi isunya di sini adalah, ada laporan yang mengatakan bahawa buku-buku ini dimusnahkan oleh Liu Fang, dan ada juga laporan yang mengatakan buku-buku ini dibawa pulang ke China dan diminta Hsuan Tsang melakukan terjemahan terhadapnya. Namun, setelah beberapa tahun kami mengesan kewujudan buku-buku ini, kami tidak berolah apa-apa maklumat, walaupun mengaitkannya dengan Hsuan Tsang. Begitu juga dengan maklumat yang baru sahaja kami jumpai, seperti yang dilaporkan dalam abstrak, kami belum mendapat apa-apa maklumat tambahan berkenaan Fo-Che, selain mengetahui bahawa beliau adalah seorang pemuzik Campa yang terbaik. Beliau diminta datang ke China dan Jepun untuk membuat persembahan dan mengajar tentang muzuk Campa di beberapa sekolah muzik disana.

7. I-Ching, Penghubung Intelektual Sriwijaya dan China

Kami mengetahui agak lama juga berkenaan maklumat yang mengatakan I-Ching menghabiskan masanya selama 14 tahun melakukan penerjemahan di Sriwijaya. Sebelum melakukannya, beliau sempat berguru kepada 4 intelektual Buddha di Sriwijaya dan India. Salah seorang daripada gurunya, yang berada di Sriwijaya, bernama Sakyakirti yang mengarang buku bertajuk Hastadanda Sastra, sebuah buku undang-undang. Buku ini diterjemahkan oleh I-Ching sebagai Shou chang lun (TSD 1657) pada tahun 711M. Bersebabkan I-Ching menjangkakan bahawa beliau tidak mampu melakukan penerjemahan seorang diri, beliau kembali ke China untuk menjemput 4 intelektual yang lain membantu beliau melakukan tugas-tugas penerjemahan. Sungguh banyak sekali karya yang patut beliau terjemahkan, malahan mencapai ribuan judul. Maklumat ini sebenarnya dibiarkan sahaja statik tidak berkembang, sekurang-kurangnya untuk domain penyelidikan di alam Melayu, sehinggalah kami melaporkannya, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009). Berikut adalah sejumlah judul buku yang diterjemahkan oleh I-Ching sepanjang 14 tahun tersebut :

i. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)Bhikuīprātimokasūtra / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu pi ch’uni chieh ching (710M) (TSD 1455);

ii. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)Bhikuīvinayavibhaga / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu pi ch’u ni p’i na yeh (710M) (TSD 1443);

iii. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)ekaśatakarman / Kan pen shuo i ch’ieh yu pu po i chieh mo (703M) (TSD 1453);

iv. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)nidānamātkā / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu ni t’o na mu te chia (702@703M) (TSD 1452);

v. ?, ?, (Mūlasarvāstīvāda)Pratimokasūtra / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu chieh ching (710M) (TSD 1454);

vi. Vaisakhya, ?, (Mūlasarvāstivāda)vinayakārikā / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i nai yeh sung (710M) (TSD 1459);

vii. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)vinayakudrakavastu / Gen pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh tsa shih (?) (TSd 1451);

viii. (Mulasarvastivada)vinayanidanamatrkakarika / Ken pen shuo I ch’ieh yup u p’I nai yeh ni t’o na mu te chia she sung (?) (TSD 1456);

ix. ?, ?, (Mūlasarvāstivāda)Vinayavibhaga / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh (702@703M) (TSD 1442);

x. Visesa, ?, (Mūlasarvāstivāda)Vinayayasangraha / Ken pen sa p’o to pu lü she (710M) (TSD 1458);

xi. ?, ?, (Sarvadurgatipariśodhana)-uṣṇīavijayadhāraī(sūtra) / Fo ting tsun sheng t’o to ni ching (710M) (TSD 971);

xii. Dharmapala, ?, Ālabanaparīkā / Kuan so yüan lun shih (710M) (TSD 1625);

xiii. ?, ?, Anandagarbhāvakrāntinirdeśa(sūtra) / Fo shuo ju t’ai ts’ang hui (710M) (TSD 310.14);

xiv. ?, ?, Anityatāsūtra / Wu ch’ang ching (701M) (TSD 801);

xv. ?, ?, Arśapraśamanasūtra / Liao chih ping ching (710M) (TSD 1325);

xvi. ?, ?, Bhadrakārātrī(sūtra) / Shan yeh ching (701M) (TSD 1362);

xvii. ?, ?, Bhavasakrāntisūtra / Ta ch’eng liu chuan chu yu ching (701M) (TSD 577);

xviii. ?, ?, Dharmacakrapravartanasūtra / San chuan fa lun ching (710M) (TSD 110);

xix. ?, ?, Dīrghanakhaparivrājakaparipcchā(sūtra) / Ch’ang chao fan chih ch’ing wen ching (701M) (TSD 584);

xx. ?, ?, Dvādaśabuddhaka(sūtra) / Ch’ang tsan ju lai kung te shen chou ching (711M) (TSD 1349);

xxi. Dignaga @ Aryadeva, ?, Hastavālaprakaraa / Chang chung lun (702@703M) (TSD 1621);

xxii. ?, ?, Mahāmāyūri(vidyārājñī)-(sūtra) / Ta k’ung ch’iao chou wang ching (705M) (TSD 985);

xxiii. ?, ?, Maitreyavyākaraa(sūtra) / Mi le hsia sheng ch’eng fo ching (701M) (TSD 455);

xxiv. ?, ?, Niyatāniyata(gati)mudrāvatārasūtra / Ju ting pu ting yin ching (700M) (TSD 646);

xxv. Dignaga, ?, Nyāyamukha / Yin ming cheng li men lun (711M) (TSD 1629);

xxvi. ?, ?, Padmacintāmaidhāraī(sūtra) / Kuan tzu tsai p’u sa ju i hsin t’o lo ni chou ching (710M) (TSD 1081);

xxvii. ?, ?, Rājāvavādaka(sūtra) / Fo wei sheng kuang t’ien tzu shuo wang fa ching (705M) (TSD 593);

xxviii. ?, ?, Sāgaranāgarājaparipcchā(sūtra) / Fo wei hai lung wang shuo fa yin ching (711M) (TSD 599);

xxix. ?, ?, Saptatathāgatapūrvapraidhānaviśeavistara(sūtra) / Yao shih liu li kuang ch’i fo pen yüan kung te ching (707M) (TSD 451);

xxx. ?, ?, Sarvadharmaguavyūharāja(sūtra) / I ch’ieh kung to chuang yen wang ching (705M) (TSD 374);

xxxi. ?, ?, Sarvatathāgatādhiṣṭhānasattvāvalokanabuddhaketrasandarśanavyūharāja (dhāraī)sūtra (701M) (TSD 1375);

xxxii. Maitreya, ?, Śatapañcaśatikastotra / I po wu shih tsan fo sung (711M) (TSD 1680);

xxxiii. Nagarjuna, ?, Suhllekha / Lung shu p’u sa ch’üan chieh wang sung (?) (TSD 1674);

xxxiv. ?, ?, Suvaraprabhāsa(uttamarāja)sūtra / Chin kuang ming tsui sheng wang ching (703M) (TSD 665);

xxxv. ?, ?, Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtra / Neng tuan chin kang pan jo po lo mi ching (703M) (TSD 239);

xxxvi. Asanga @ Vasubandhu, ?, Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtraśāstra / Neng tuan chin kang po jo po lo mi to ching lun shih (711M) (TSD 1513);

xxxvii. Asanga @ Vasubandhu, ?, Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtraśāstrakārikā / Neng tuan chin kang pan jo po lo mi to ching lun sung (711M) (TSD 1514);

xxxviii.?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh yao shih (?) (TSD 1448);

xxxix. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh p’o seng shih (?) (TSD 1450);

xl. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh ch’u chia shih (?) (TSD 1444);

xli. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh an chü shih (?) (TSD 1445);

xlii. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh sui i shih (?) (TSD 1446);

xliii. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh pi k’o shih (?) (TSD 1447);

xliv. ?, ?, Vinayavastu / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu p’i na yeh ch’ieh chih na i shih (?) (TSD 1449);

xlv. ?, ?, ? / Yü fo kung te ching (710M) (TSD 698);

xlvi. ?, ?, ? / Man shu shih li chou tsang chung chiao liang shu chu kung te ching (710M) (TSD 787);

xlvii. ?, ?, ? / Man shu shih li p’u sa chou tsang chung i tzu chou wang ching (703M) (TSD 1182);

xlviii. ?, ?, ? / Pa ch’u tsui chang chou wang ching (710M) (TSD 1396);

xlix. ?, ?, ? / Hsiang wang p’u sa t’o lo ni chou ching (705M) (TSD 1157);

l. ?, ?, ? / Miao se wang yin yüan ching (701M) (TSD 163);

li. Dharmapala, ?, ? / Ch’eng wei shih pao sheng lun (710M) (TSD 1591);

lii. Asanga @Vasubandhu, ?, ? / Liu men chiao shou hsi ting lun (703M) (TSD 1607);

liii. Sakyakirti, ?, Hastadanda Sastra / Shou chang lun (711M) (TSD 1657);

liv. Dignaga, ?, Samanyalaksanapariksa / Kuan tsung hsiang lun sung (711M) (TSD 1623);

lv. Dignaga, ?, Upadayaprajnaptiprakarana / Ch’ü yin chia she lun (703M) (TSD 1622);

lvi. Vasubandhu, ?, ? / Chih kuan men lun sung (711M) (TSD 1655);

lvii. ?, ?, ? / Wu yün chieh k’ung ching (710M) (TSD 102);

lviii. ?, ?, ? / Pa wu hsia yu hsia ching (701M) (TSD 756);

lix. ?, ?, ? / Lüeh chiao chieh ching (708M) (TSD 799);

lx. ?, ?, ? / P’i yü ching (710M) (TSD 217);

lxi. ?, ?, ? / Ken pen shuo i ch’ieh yu pu lio p’i nai yeh ts’a shih she sung (710M) (TSD 1457);

lxii. ?, ?, ? / Ta t’ang hsi yü ch’iu fa kao seng chuan (?) (TSD 2066);

lxiii. ?, ?, ? / Nan hai chi kuei nei fa chuan (?) (TSD 2125);

lxiv. ?, ?, ? / Shou yüng san shui yao hsing fa (?) (TSD 1902);

lxv. ?, ?, ? / Shuo tsui yao hsing fa (?) (TSD 1903);

lxvi. ?, ?, ? / Hu ming fang sheng kuei i fa (/) (TSD 1901);

lxvii. ?, ?, Mahāvairocana(abhisabodhivikurvitādhiṣṭānavaipulya)-(sūtra) / Ta p’i lu che na ch’eng fo shen pien chia ch’ih ching (725M) (TSD 848).

Oleh kerana setakat ini kami hanyalah menumpukan perhatian kepada karya-karya epistemologi dan logik, malah kami masihlah mencari karya-karya ini, makanya tidaklah banyak perkara yang mahu kami tambahkan bagi membincang senarai di atas. Kami ulangi bahawa 3 lagi karya Dignaga yang utama tentang epistemologi dan logik berada dalam senarai I-Ching di atas.

8. Perbincangan

Khusus untuk mengembangkan idea-idea dasar yang tersurat dan tersirat di dalam makalah ini, kami mengesyorkan agar kajian-kajian lanjut diusahakan bagi mendapatkan semua karya-karya yang kami senaraikan di atas, malah banyak lagi karya yang tidak disenaraikan. Secara tidak langsung, ini akan menunjukkan bahawa tamadun-tamadun manusia yang awal di Asia Tenggara, seperti Funan, Campa, Sriwijaya dan Jawa sebenarnya memiliki kepustakaan pengetahuan tentang segala perkara yang memungkinkan mereka mengendalikan kehidupan mereka seharian. Juga, secara langsung, kepustakaan ini dikongsi bersama dengan tamadun-tamadun timur jauh, seperti China, Korea dan Jepun. Kami sebenarnya boleh sahaja menyentuh Korea dan Jepun secara langsung, tetapi ini akan mengubah halatuju judul makalah ini. Korea dan Jepun sebenarnya pada masa yang lebih kurang sama memanfaati kepustakaan pengetahuan yang masuk ke China. Namun, apa yang jauh lebih penting difikirkan bersama adalah, apakah kepustakaan pengetahuan yang berlegar di Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Tengah ini mampu digunakan untuk menerbitkan konsep-konsep penting dalam bidang Sains dan Teknologi, atau apa sahaja nama tempatan lain yang lebih sesuai menggantikan kedua-dua istilah Latin (Scientia) dan Greek (Techne) tersebut, bagi memperbaiki atau mencabar konsep-konsep utama dalam perkembangan Sains dan Teknologi Barat Moden/Pascamoden. Konsep-konsep seperti ruang, masa, nombor, pernyataan, benar/palsu, dan lain-lainnya. Itulah sebabnya kenapa kami menumpu langsung kepada bidang epistemologi dan logik.

Akhirnya, kami mengucapkan terima-kasih kepada INSPEM yang menjadi pusat berkumpulnya penyelidik-penyelidik yang cenderung kepada penyelidikan berteraskan etnosains dan etnoteknologi.

Rujukan

Fa-Hien. 1884/1983. Fo-kwo-ki (Travels of Fa-Hien), dalam Beal, S. Si-yu-ki (Buddhist Records of the Western World. New Delhi : Oriental Reprint. ms xxiii-lxxxiii.

Fa-Hien. 2002. The Journey of the Eminent Monk Faxian, terj. oleh Li Rongxi, dalam Lives of Great Monks and Nuns. BDK English Tripitaka. Berkeley : Bukkyo Dendo Kyokai dan Numata Center Buddhist Translation and Research. ms 155-214.

Hattori, M. 1968. Dignaga, On Perception : Being the Pratyaksapariccheda of Dignaga’s Pramasamuccaya from the Sanskrit and Tibetan versions. Cambridge : Harvard University Press.

Obermiller, E. 1933. The Doctrine of Prajna-paramita as exposed in the Abhisamayalamkara of Maitreya. Acta Orientalia 11 : 1-131 & 334-354.

Shaharir Mohd Zain. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Kuala Terengganu : Penerbit UMT.

Shinohara, K. 1998. Evolution of Chan Biographies of Eminent Monks. BEFEO 85 : 305-324.

Xinru Liu. 1988. Ancient India and Ancient China : Trade and Religious Exchanges AD 1-600. New Delhi : Oxford India Press.

Zahrin Afendi Mohd dan Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2009. Laporan Penyelidikan tentang Manuskrip Melayu Pra-Islam. JAWHAR 6(2) : 84-102.

Zurcher, E. 1972. The Buddhist Conquest of China : The Spread and Adaptation of Buddhism in Early Medieval China. Vol. I & II. Leiden : E.J. Brill.

1 Komen

  1. For more information about the shows visit their website at.
    Zac has learned leadership in non conventional ways and I
    suspect that he will achieve his Life’s Work in an out-of-the-ordinary way.

    It is a burr under my saddle, a spur in my side, I am learning to harness it and take it for a ride, like a bucking
    bronco, riding out of the tight pen into an expansive field.

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *