Kemaskini terbaru: November 12, 2010

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU

PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU

Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud

Presiden

Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

Pengarah Institut Sel Fuel & Profesor Kejuruteraan Kimia

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Pembinaan sains dan teknologi Melayu mengikut acuan semdiri adalah program utama pemeribumian ilmu (sebelum abad ke-21, pengIslaman ilmu) tajaan ASASI. Sains dan teknologi Melayu-Islam bukanlah sains dan teknologi Barat yang diamalkan oleh ahli sains dan teknologi Melayu kini tetapi sains dan teknologi yang berasaskan pada kerangka pemikiran Melayu-Islam itu sendiri mengikut pengertian teori paradigma Kuhn. Sains dan teknologi Melayu-Islam itu sudah wujud sejak kedatangan Islam ke alam Melayu lagi tetapi terencat dan terpupus oleh penjajahan Inggeris. Sebuah program pemeribumian sains dan teknologi telah dijalankan oleh ASASI pada abad ke-21 ini bagi membina semula sains dan teknologi Melayu-Islam menggunakan strategi serampang tiga mata melalui kritikan sains dan teknologi Barat, penggalian etnosains dan etnoteknologi Melayu-Islam dan pra-Islam dan pencungkilan prinsip asas sains dan teknologi dari sains dan teknologi zaman klasik Islam. Hasil kejayaan awal yang dilaporkan dalam makalah ini diharapkan akan disambut oleh lebih ramai ahli sains dan teknologi Melayu-Islam untuk menyertai program yang amat penting itu.

PENGENALAN

Mengikut Kuhn, sains yang dibina oleh sesuatu umat diwarnai oleh kerangka pemikiran umat tetang alam semesta itu atau kosmologi umat itu yang masyhor digelar Kuhn paradigma umat itu (Kuhn 1996). Jika teori pembinaan sains Kuhn itu benar, maka sains yang dibina oleh umat Melayu-Islam di Pascabima (istilah bagi alam Melayu yang dicipta oleh kumpulan etnosains Melayu ASASI, Shaharir 2010) pastilah terasas pada kerangka pemikiran Melayu-Islam itu sendiri. Teknologi sesuatu umat itu juga berubah mengikut perubahan paradigma ala Kuhn juga tetapi bukan kerana perubahan paradigma itu sahaja tetapi dari keperluan praktik umat dan kini dari pacuan kepenggunaan bersifat komersial yang sangat pantas (Wan Ramli 2010).

Sains dan teknologi Melayu-Islam bukanlah sesuatu yang belum ada atau yang baru saja muncul tetapi sains itu sudah berkembang sejak zaman pra-Islam lagi hingalah ke zaman klasik Melayu-Islam sebelum zaman penjajahan Eropah itu. Kewujudan ahli nujum (ahli astronomi/fizik) dan orang seri (ahli kimia) di istana Raja Melayu dalam Hikayat Raja Pasai menunjukkan sekurang-kurangnya pada awal abad ke 13M itu lagi sudah ada ahli sains Melayu mengamal sains Melayu yang diwarisi daripada sains pribumi dan Hindu/Budha pra-Islam dan sains zaman klasik Islam dari Tanah Besar Islam di Asia Barat. Sudah tentulah ahli nujum dan orang seri diraja itu dididik di sekolah pondok dan pesantren di negeri Melayu yang tidak hanya mengajar ilmu agama tetapi juga ilmu lain seperti matematik, sebelum mendalami ilmu nujum dan kimia di situ atau di tanah Besar Islam Asia Barat. Teknologi Melayu pula pastilah sudah lama berkembang dari zaman purba lagi. Pandai keris dan besi dan tukang timbal jong yang turut bekerja di Istana membuat senjata dan jong bagi kegunaan Raja dan Pembesar-Pembesar negeri menunjukkan teknologi besi (logam) dan teknologi kapal atau jong sudah masyhur dikuasai orang Melayu sejak purba kala lagi.

Pada zaman penjajahan Inggeris, ahli nujum dan orang seri istana digantikan dengan Penasihat-Penasihat Inggeris yang secara licik memulakan proses pensekularan pendidikan rakyat dengan pembinaan sekolah-sekolah Inggeris dan pendakwah Krisitian pada abad ke-19, mulanya untuk anak-anak kakitangan penjajah dan bangsa asing dan setelah dibantah pemuka Melayu juga bagi anak Melayu (Kolej Melayu bagi anak bangsawan sahaja ketika itu dan kini untuk anak rakyat jelata). Setelah Merdeka proses pensekularan itu diterajui pula bangsa sendiri (tanpa sedar mungkin) dengan pembinaan sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan bagi setiap kaum yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan beracuan Inggeris yang disampaikan dalam bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Pemingiran madrasah, sekolah pondok dan persantren oleh orang-orang Melayu sendiri terutama para pemuka yang kagum dengan Sains Barat yang diajar di sekolah-sekolah ‘moden’ itu menggugat kesinambungan sekolah -sekolah tradisi itu sehingga satu persatu sekolah pondok dan persantren tutup kedai sehinga hanya sekumpulan kecil sahaja yang masih hidup tetapi dengan kurikulum yang terhad kepada pengajian agama semata-mata kerana sekolah-sekolah ‘moden’ telah mengambil alih pengajaran matematik dan sains Barat pada mulanya dalam bahasa Inggeris tetapi semangat kebangsaan yang tebal selepas itu memaksa proses pembudayaan Sains Barat dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke Universiti itu dilakulan dalam bahasa Melayu. Cubaan untuk kembali pada zaman penjajah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik jelas gagal. Teknologi Melayu juga menjadi malap setelah pemasaran barangan murah dari Barat dan penguasaan pengangkutan laut oleh penjajah memaksa kebanyakan bengkel logam dan jong dan perahu Melayu tutup kedai dan pengetahuan dan kemahiran pandai keris dan besi dan juru timbal turut terpupus. Beberapa jenerasi ahli Sains dan jurutera Melayu, hasil sistem pendidikan sekular itu, menelaah ilmu sains dan kejuruteran di England dan Amerika dalam bahasa Inggeris tanpa kriitikan dan balik meneruskan kesinambungan sains dan kejuruteraan Barat itu di Universiti-Universiti tempatan.

TAKRIF SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU-ISLAM

Adakan sains Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini itu sains yang ditelaah oleh ahli-ahli sains Melayu moden itu? Sains yang dimaksudkan dengan sains Melayu-Islam itu ialah sains yang dibina daripada, pandangan alam atau kosmologi orang Melayu-Islam berasaskan pegangan agama Islam (Sharir 2011). Teknologi Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini ialah teknologi nyang dibina berasaskan konsep penundukan alam taskhir dan tazlil sebagai khalifah Allah di bumi yang tidak merosak alam (fasad fil ard) dan daya cipta/kreativiti Islam yang meniru penciptaan makhluk (Wan Ramli 2010a). Sains yang dibina oleh ahli sains Melayu kini tidak layak digelar sains Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini kerana sains ‘moden’ itu berasaskan pandangan alam atau kosmologi orang Barat dan pegangan sekular atau agama Barat yang ditelaah oleh sarjana Melayu tanpa dikritik dari kaca mata pandangan alam Melayu-Islam dan dibetulklan atau ditukar sama sekali dengan sains baru yang serasi dengan pandangan alam Melayu-Islam dan pegangan agama. Begitu jugalah dengan teknologi yang telah dibina oleh ahli teknologi/jurutera Melayu tidak layak digelar teknolog Melayu-islam seperti yang dimaksudkan di sini kerana teklnologi dan kejruteraan ‘moden’ itu berasaskan pandangan alam atau kosmologi orang Barat, pegangan sekular atau agama Barat dan budaya kepergunaan Barat yang dieksploitasi oleh kaum kapitalis bagi menghasilkan berbagai produk berteknologi yang berubah dengan pesat bagi mengaut keuntungan yang berlebihan itu, yang ditelaah oleh sarjana Melayu tanpa dikritik dari kaca mata pandangan alam Melayu-Islam dan dibetulklan atau ditukar sama sekali dengan tenologi baru yang serasi dengan pandangan alam Melayu-Islam dan pegangan agama. Pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini juga sesuai dengan pengIslaman ilmu yang digagaskan pada tahun 1980-an dan 90-an dahulu itu yang tenggelam dengan penaja politiknya dan pemeribumian ilmu tajaan ASASI yang lebih produktif tanpa tajaan politik yang menggantikannya menjelang abad ke-20 hingga kini. Pemeribumian ilmu itu tidaklah banyak berbeza dengan pengislaman ilmu itu kerana orang Melayu peribumi kini sepenuhnya beragama Islam sekian lama, malah lebih luas lagi, unsur-unsur sains pra-islam yang tidak melanggar pegangan akidah dan kehendak agama islam yang mubah boleh digunakan dalam pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam itu (Shaharir 2010).

PROGRAM PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU-ISLAM

Pemeribumian sains dan teknologi anjuran ASASI abad ke-21 bagi membina sains dan teknologi Melayu-Islam tidak lagi bersifat falsafah atau sejarah semata-mata yang hanya menimbulkan sindrom syok sendiri seperti yang berlaku pada abad ke-20 dahulu itu, tetapi bersifat lebih konkrit mengkritik matan sains dan teknologi Barat itu dan membina sains dan teknologi Melayu-Islam yang kuat bnerasaskan etnosains dan etnoteknologi Melayu-Islam dan fahaman ahli sains dan teknologi Islam zaman klasik Islam dahuliu itu. Strategi serampang tiga mata dilaksanakan bagi program pemeribumian sains dan teknologi itu (Shaharir 2011):

1. Mengkritik sains dan teknologi Barat bagi menyembul kelemahan teori dan ketidakserasian dengan kosmologi Melayu-Islam dan pegangan akidah

2. Menggali etnosains Melayu-Islam dan Melayu-praIslam bagi mendapatkan fahaman asas sains dan teknologi Melayu-Islam seperti masa, ruang, gerakan dan jisim bagi membina sains dan tekjnologi Melayu-Islam baru

3. Mencungkil sumbangan ahli sains dan teknologi Muslim klasik tentang konsep asas sains dan teknologi seperti masa, ruang, gerakan dan jisim, dan prinsip reka bentuk bagi membina sains dan tekjnologi Melayu-Islam baru

KRITIKAN SAINS DAN TEKNOLOGI BARAT

Pendekatan pertama ialah mengkritik sains dan teknologi Barat yang telah ditelaah selama ini terutama bahagian teori asasnya menggunakan kaedah yang telah digunakan oleh ahli sains pada zaman Islam klasik bagi menentukan sama ada sains itu sesuai dengan akidah dan kosmologi Islam.

Contoh utama ialah perdebatan di antara para ulama mutakallimun dan ahli falsafah masyaaiyyun yang mewarisi sains dan falsafah Yunani tentang sama ada masa dan ruang atau jirim itu diskret (mutakallimun) atau selanjar (masyaaiyyun). Perdebatan yang sama berulang di antara al-Biruni (masa dan ruang diskret mengikut ahlu sunnah wal-jama’ah) dan Ibnu Sina (masa dan ruang selanjar mengikut masyaaiyyun).

Setakat ini amat sedikit kritikan ahli sains Melayu terhadap sains moden terutama teori besar utama sains moden kecuali dua kritikan terhadap teori evolusi (Osman Bakar 2003) dan teori kenisbian dan quantum (Shaharir 2010). Kritikan ahli sains Muslim lain juga terbatas kecuali kritikan Iqbal terhadap teori kenisbian Einstein terutama di segi kefahaman ruang-masa (Iqbal 1934). Kritikan teori evolusi oleh Osman 2003 jelas menunjukkan teori itu tidak disenangi oleh ramai ahli sains biologi Barat yang terbilang di segi sains, falsafah dan agama. Penolakan teori evolusi penciptaan ex-nihilo dan konsep alam semesta yang terus berevolusi tanpa henti bertentang dengan pandangan agama Islam tentang penciptaan alam ex-nihilo dan kehancuran alam pada hari kiamat. Kritikan teori kenisbian dan teori quantum oleh Shaharir 2011 menunjukkan betapa kedua-dua teori ini mempunyai banyak kelemahan yang disanggah hebat oleh ahli sains Barat sendiri sehingga berbagai versi kedua-dua teori itu dibina. Kritikan terhadap karya atau teori besar sains Barat moden bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan pengkritik perlu menguasai sains Barat itu supaya kritikan itu berwibawa. Tugas ini seharusnyalah dilakukan oleh ahli sains yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan. Perubahan besar dalam teori fizik moden berlaku pada konsep asas fizik: ruang, masa dan jirim. Konsep masa mutlak Newton diubah kepada konsep masa nisbi Einstein yang berhubung rapat dengan ruang/kontinuum ruang-masa yang bergantung kepada gerakan nisbi pencerap. Meskipun konsep kenisbian masa dan ruang mirip konsep kenisbian masa dan ruang dalam sains Islam Klasik itu, namun teori alam statik yang stabil dalam kosmologi terbitan teori Eisntein itu bercanggah dengan hari kiamat (Shaharir 2011). Teori quantum pula yang penuh dengan paradoks kepelbagaian paradoks, ketakber-kenyataan, ketakberpenyebaban, belakaisme, keinsafan dan metafizik berpecah kepada sekitar 30 mazhab. Teori banyak alam dan dualisme gelombang zarah dalam teori quantum itu yang dianggap serasi dengan Islam oleh sesetengah sarjana Muslim itu perlu kajian yang lebih dalam lagi kerana kasus pengalaman ahli sufi yang dipetik terlalu ghalib dan tidak setara dengan teori quantum banyak alam yang berlaku sepanjang masa pada semua benda dalam alam (Shaharir 2011).

Kritikan teknologi Barat dari perspektif Melayu-Islam juga amat sedikit (Wan Ramli 2010a,b). Teknologi Barat difahami secara umum sebagai penyusunan ilmu untuk mencapai tujuan praktik, sebagai artifak atau teknik dan cara membuat atau mengendali artifak itu (Singer et al. 1954, Mesthene 1970). Walaupun fahaman teknologi itu menggambarkan seolah-olah teknologi itu bebas daripada nilai atau kesan pengaruh luar akan tetapi sifat praktik teknologi itulah yang menghubungkan teknologi dengan kehendak manusia yang bergantung kepada kepercayaan dan pandangan hidup manusia itu yang jelas berbeza-beza. Teknologi yang praktik itu juga difahamkan sebagai alat bagi mengawal alam sekitar (Mesthene 1970) atau menguasai politik (Spengler 1932). Kedua-dua fahaman teknologi itu adalah fahaman melampau-lampau (ekstrim) dan hanya timbul pada abad kedua puluh dahulu apabila teknologi Eropah menguasai dunia. Fahaman\ teknologi yang lebih melampau lagi ialah teknologi sebagai penentu kegiatan harian manusia (Ellul 1964) kerana manusia terpaksa mengubah cara hidupnya mengikut kehendak teknologi yang menguasai kehidupan manusia sepenuhnya.

PENGGALIAN ETNOSAINS DAN ETNOTEKNOLOGI MELAYU

Pendekatan kedua ialah mengkaji etnosains Melayu bagi mendapatkan fahaman asas sains seperti nombor, masa, ruang dan jirim mengikut kosmologi Melayu-Islam. Sumber bahan ialah prasasti (batu bersurat) Melayu termasuk rumpun Melayu, manuskrip rumpun Melayu, sastera lisan, pantun dan peribahasa, perumpamaan dan bidalan dan artifak (Mohammad Alinor 2010)..

Prasasti atau batu bersurat adalah sumber sastera Melayu bertulis terawal pada zaman pra-Islam lagi. Kajian prasasti setakat ini telah membuktikan orang Melayu sudah mempunyai sistem nombor yang kompleks sejak abad ke-5 M. Kemungkinan sistem nombor Melayu itu sistem perpuluhan ditunjukkan pada banyak prasasti ini (abad ke-5M) dan yang lain lagi (abad ke-7) dengan nombor seribu (sarivu), dua ratus (dwa rtus) tetapi hipotesis ini perlu dibuktikan dengan kewujudan nombor lengkap dari sifar ke sembilan. Jika sistem perpuluhan nombor Melayu yang lengkap dengan angka sifar lebih awal lagi dari karya al-Khwarizmi , sejarah nombor perlu diubah sama sekali.

Dalam manuskrip tulisan jawi Melayu yang membincang kosmologi Melayu-Islam, Bustan al-salatin karya ‘ulama Melayu-Aceh, ar-Raniri (al-Raniri 1637,) penciptaan alam bermula ex-nihilo dengan penciptaan Nur Muhammad oleh Allah, diikuti dengan penciptaan roh semua makhluq bernyawa dan penciptaan seluruh alam jasmani yang terdiri daripada 7 petala langit dan 7 petala bumi dari kempas segala nyawa dalam Nur Muhammad itu dalam masa 6 hari (Shaharir 2010). Ahli fizik Melayu moden menggunakan kosmologi Melayu-Islam bagi memodelkan penciptaan alam yang berbeza daripada teori permulaan alam Barat seperti teori deguman besar dan teori alam mengembang Barat yang mengembalikan peranan Allah dalam penciptaan, masa yang terpemanai dan kehancuran alam pada hari kiamat.

Artifak teknologi asli Melayu seperti jong dan perahu dibina menggunakan teknik ikatan telinga, jahitan papan dan pasakan kayu (Wan Ramli 2010a). Ahli teknologi Melayu tradisional digel;ar tukang dengan bidang kemahiran khusus ditambah padanya seperti tukang timbal yang membina perahu dan tukang kayu sedangkan pandai pula hanya bagi tukang besi dan keris sahaja (Wan Ramli 1993). Kebolehgunaan artifak teknologi yang dibuat/dicipta oleh tukang Melayu dinilai olehnya dengan anyaman artifak seperti bubu dan bakul yang mempunyai corak yang berulang-ulang yang berganda 4 atau pengukuran kesesuaian keris dengan pemilik menggunakan kedua-dua ibu jari pemilik berselang-seli bermula dengan ibu jari kanan dan berakhir dengan ibu jari kiri yang berganda 2 (Wan Ramli 1993). Tukang timbal menimbal jong/kapal/perahu supaya jong/kapal/perahu timbul seimbang dalam air (Pisol 2003). Penertiban genap artifak teknologi Melayu dengan bahagian tubuh manusia mungkin boleh digunakan sebagai asas ilmu ergonomi Melayu dalam teori reka bentuk Melayu baru. Penertiban genap corak anyaman dan penimbalan jong/kapal/perahu oleh tukang timbal boleh digunakan sebagai kaedah mendapatkan simetri dan imbangan dalam artifak teknologi.

PENCUNGKILAN SUMBANGAN AHLI SAINS MUSLIM KLASIK TENTANG KONSEP ASAS SAINS

Pendekatan ketiga ialah mengkaji sumbangan ahli sains Muslim klasik tentang konsep asas sains yang boleh dikembangkan dalam teori baru.

Konsep asas fizik, masa dan ruang telah dikaji oleh ahli sains Muslim klasik. Bagi al-Kindi (kurun ke-9M) dan Ibn Sina (kurun ke-10 – awal kurun ke-11M), masa bersifat selanjar (kontiuum), berkait rapat dengan gerakan dan dikenakan kepada sebarang jasad melalui gerakan jasad itu (al-Kindi 873, Ibnu Sina 1027). Jelaslah masa bagi kedua-dua ahli sains Muslim itu besifat nisbi (tidak mutlak) dan bergantung kepada gerakan. Bagi Mulla Sadr (abad ke-17M) pula masa bersifat selanjar (kontinuum), bukan sahaja bersifat nisbi dengan ruang kerana gerakan, tetapi terikat dengan objek atau bahan yang mengalaminya jua kerana gerakan trans-bahan yang merupakan idea asli Mulla Sadra (Mulla Sadra 1628). Masa tidak wujud bebas daripada dan di luar objek/bahan, malah masa adalah sifat bahan/objek itu dan sebaliknya juga kewujudan objek/bahan dibatasi masa. Bagi para Mutakallimun yang diwakili oleh al-Asy’ari (abad ke-9M) masa bersifat diskret, terpisah langsung dari ruang dan dari masa sebelum dan selepas kerana kewujudan sentiasa dihancur dan dicipta semula oleh Allah. Bagi Fakhr al-Din al-Razi pula masa bersifat diskret dan berkait rapat dengan ruang (Fakhr al-Din aI-Razi 1208). Hampir semua ahli sains Muslim itu menganggap masa itu terpermanai (terhingga) yang bermula ex-nihilo ketika penciptaan alam oleh Allah dan berhenti pada hari kiamat, kecuali Ibnu Sina yang berpendapat masa (dan seterusnya alam itu) tidak terpemanai (tidak terhingga) dan sudah ada sebelum penciptaan alam oleh Allah. Hasil kajian berbagai sumber Melayu-Islam dan Melayu-pra-Islam, masa bagi orang Melayu bergantung pada gerakan dan ruang yang dikaitkan dengan peristiwa, durasi, tempo, tempoh, dan ingatan atau kenangan (Asmah, 2001, Shaharir 2010). Konsep masa selanjar (kontinuum) nisbi terhadap gerakan Al-Kindi-Ibn Sina, masa selanjar (kontinuum) nisbi terhadap gerakan dan objek/bahan Mulla Sadr, masa diskret Mutakallimun dan Fakhr al-Din Al-Razi adalah 4 konsep masa oleh ahli sains Mulim klasik yang seharusnya dikembangkan oleh ahli fizik Melayu moden bagi menghasilkan sains fizik baru.

Konsep asas kimia moden ialah struktur dan sifat bahan, dan perubahan yang dialami bahan tanpa sebarang unsur kerohanian. Bagi Jabir, seorang ahli kimia Muslim zaman Islam klasik, ilmu al-kimiya mempunyai dua dimensi: al-kimiya zahir dan al-kimiya batin (Jabir 800) atau lebih tegas lagi pemurnian, penulenan dan pembersihan bahan dan jiwa. Penghasilan emas, logam murni, tulen dan bersih dari timah hitam, logam busuk, kasar, dan kotor dengan perantaraan batu failasuf (al-iksr)merupakan mithal utama pemurnian, penulenan dan pembersihan dalam al-kimiya (Jabir 800). Mithal kedua yang turut penting ialah pemurnian, penulenan dan pembersihan jiwa atau roh. Imam al-Ghazali menulis buku kecil tentang pemurnian, penulenan dan pembersihan roh berjodol kimiya-i-sa’adat dalam bahasa Parsi yang bermaksud kimia kebahagian (Al-Ghazali 1105). Kerosakan alam oleh bahan kimia toksik dan berbahaya daripada industri kimia yang pada asalnya dibuat di makmal ahli kimia jua ialah kelemahan utama teori kimia moden tanpa unsur rohani walaupun konsep kimia alternatif, kimia hijau yang sifar sisa toksik dan berbahaya telah berkembang lama. Gabungan di antara fahaman Islam tentang ekologi yang terdiri daripada umat-umat makhluk yang sentiasa menyembah Allah, kerosakan alam oleh cemaran kimia sebagai fasad fil ard dan pengharaman pembaziran, dengan prinsip pembersihan jiwa dan bahan al-kimiya, satu cabang kimia baru boleh diwujudkan yang setanding atau lebih hebat lagi daripada kimia hijau di Barat itu (Wan Ramli 2010b).

Pada zaman Islam klasik, teknologi difahamkan sebagai satu cabang ilmu praktik (sinā‘ah) untuk mencapai tujuan praktik yang bertunjangkan tawhīd, berimbang dan berseimbang dengan alam (wazana dan tawāzana), terkekang dalam lingkungan had syariah (syar‘iyy), terlaksana mengikut sistem etika Islam yang mengutamakan keadilan (‘adl) dan dipertanggungjawabkan kepada manusia sebagai khalifah dan hamba Allah di dunia ini. (Wan Ramli 2010a). Penggunaan sumber alam oleh teknologi Islam itu ialah taskhīr dan tazlīl iaitu penundukan sumber alam bagi manfaat manusia dengan syarat manusia sebagai khalifah atau pengganti Allah mengguna sumber alam itu dalam lingkungan batasan syariʻah dan etika Islam (Wan Ramli 1990, 1993).

Sumber penting teknologi Islam pada zaman Islam klasik, buku Banū Mūsā bin Shākir (Banu Musa 860) dan buku al-Jazarī (al-Jazarī 1206a,b) mengungkapkan teori mesin yang bergerak sendiri (automaton), jam air yang menggunakan kawalan suap balik dan pam air piston dua omboh berlawanan yang pertama kali menggunakan engkol untuk menukar gerakan putaran kepada gerakan salingan (al-Hassan & Hill 1986).

Konsep kesatuan di dalam ilmu Tawhid itu boleh digunakan sebagai panduan reka bentuk artifak teknologi Islam seperti kesatuan ruang masjid ciptaan Mi’mar Sinan (Besnier-Kilicoglu 1988; Necipoglu 1993). Kesatuan juga boleh bermaksud kesepaduan atau kelengkapan iaitu artifak teknologi Islam haruslah bersifat sepadu dan lengkap. Konsep mirip kesatuan, kesetaraan tegak mikrokosmos dengan makrokosmos al-kimiya Islam (Jabbir 800) iaitu benda yang di atas sama seperti benda yang di bawah digunakan dalam kaedah reka bentuk artifak yang berhirarki dari luar ke dalam oleh petua, aturan, heuristik dan ilham (Wan Ramli 2010).

Reka bentuk makhluk juga boleh menjadi panduan kepada reka bentuk artifak teknologi Islam kerana reka bentuk makhluk paling baik, praktikal dan indah. Mi’mar Sinan meniru struktur buih-buih yang saling sokong menyokong di antara satu sama lain dalam reka bentuk kubah utama Masjid (Besnier-Kilicoglu 1988; Necipoglu 1993). Kadar Tuhan seperti kadar unggul, keratan emas, kadar harmoni musik, kadar antara anggota tubuh dan simetri tubuh makhluk juga boleh digunakan bagi reka bentuk artifak yang kuat dan indah (Wan Ramli 2010).

PENUTUP

Pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam baru yang serious memanglah suatu program yang sukar dan memerlukan persiapan ilmu yang luas, iltizam yang tinggi dan keyakinan yang penuh kepada keampuhan program pemeribumian ilmu dalam mengarya sains dan teknologi Melayu-Islam yang pastilah memakan masa yang panjang. Hasil awal program pemeribumian ilmu itu yang dilaporkan dalam makalah ini diharapkan dapatlah mengilhamkan lebih ramai lagi ahli sains dan teknologi Melayu berkechimpung dalam program ini demi membina sains dan teknologi yang benar-benar mengikut acuan sendiri.

RUJUKAN

Abu Hamid Al-Ghazali. 1105. Kimiya-e-Sa’adat (dalam bahasa Parsi).

Banu Musa bin Shakir. 860. Kitab al-Hiyal.

Besnier-Kilicoglu, S. 1988. Sinan and Palladio: the parallel development of two master builders – Mimar Sinan, Andrea Palladio. UNESCO Courier. March 1988.

Ellul, J. 1964. The Technolocical Society. New York: Alfred A. Knopf.

Fakhr al-Din aI-Razi. 1208. al-Matalib al-‘Aliyah min al-‘Ilm al-llahi.

al-Hassan, A.Y. & Hill, D.R. 1986. Islamic Technology : An Illustrated History. Paris & Cambridge: UNESCO & Cambridge University Press.

Ibnu Sina 1027. Al-Shifa’

Iqbal A.M. 1934. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. London: Adam Publishers & Distributors.

Jabir bin Hayyan 800. Kitāb sirr al-asrar

al-Jazzari, Ibn Razzaz. 1206a. Kitab fi al-ma’rifat al-hiyal al-handasiyya

al-Jazzari, Ibn Razzaz. 1206b. Al-jami’ bayn al-‘ilm wa al-‘amal al-nafi’ fi sina’at al-hiyal.

al-Kindi 873. Fi al-falsafa al-ula

Kuhn, T. 1996. The Structure of Scientific Revolutions, Snt. Ketiga, Chicago: Chicago University Press.

Mesthene, E. G. 1970. Technological Change. New York: Mentor.

Mulla Sadra. 1628 al-Hikma al-muta’aliya fi-‘l-asfar al-‘aqliyya al-arba’a

Mohammad Ali Nor Abdul Kadir 2010. Kepustkaan sains. Dalam Che Husan Azhari (Pnyt.) 2010. Sains dan Teknologi Alam Melayu. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, ms. 31-70.

Necipoglu, G. 1993. Challenging the Past: Sinan and the Competitive Discourse of Early-modern Islamic Architecture. In Muqarnas X: An Annual on Islamic Art and Architecture. Margaret B. Sevcenko (ed.). Leiden: E.J. Brill.

Nuruddin al-Raniri. 1637. Bustan al-Salatin

Osman Bakar 2003. The nature and extent of criticism of evolutionary theory, in Zarandi, M.M. (Ed.) Science and the Myth of Progress, Bloomington, Indiana, USA: World Wisdom, Inc.

Pisol Maidin 2003. Tukang timbal membina perahu: tradisi dan inovasi. SARI 21:39-56.

Shaharir Mohamad Zain 2010. Tiga dasawarsa pengalaman menyembul unsur etnosains matematik rumpun Melayu. Seminar Etnomatematik Rumpun Melayu, 11-12 November 2010, Riau, Indonesia.

Shaharir Mohamad Zain 2011. Kritikan Terhadap Teori Kenisbian Einstein dan Teori Quantum, Kuala Lumpur: Akademi Sains Islam Malaysia (sedang diterbitkan).

Singer, C., Holmyard, E. J. & Hall, A. R. (pnyt.) 1954. A History of Technology Oxford: Oxford University Press.

Spengler, O. 1932. Man and Technics. New York: Alfred Knopf.

Wan Ramli Wan Daud. 2010a. Kejuruteraan: Seni atau Sains. Siri Syarahan Perdana UKM, Bangi: Penerbit UKM.

Wan Ramli Wan Daud. 2010b. Kimia hijau dalam kerangka teknologi Islam. Kesturi 20(2) (sedang diterbitkan)

Wan Ramli Wan Daud 1993. Sejarah teknologi Melayu pada Zaman Islam SARI 11: 127-168.

Wan Ramli Wan Daud. 1990. Islamic technology : A preliminary study. MAAS J. Islamic Sci. 6(1): 79-85.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *