Kemaskini terbaru: April 29, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mengupayakan Bahasa Indonesia/Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dalam Bidang Matematik

Mengupayakan Bahasa Indonesia/Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

dalam Bidang Matematik

Oleh

Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Penyelidik Bersekutu, INSPEM, UPM dan Felo Tamu, ATMA, UKM, Malaysia

Abstrak

“Mengupayakan” itu sebenarnya bermaksud melaksanakan tiga tahap utama pembangunan Bahasa Indonesia/Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Pertamanya, mendapatkan istilah-istilah asli/pinjaman dalam Bahasa Indonesia/Melayu yang mewakili sesuatu prinsip dalam bidang Matematik, berbanding istilahnya dalam bahasa-bahasa Eropah. Keduanya, mendapatkan makna istilah ini menurut kebudayaan Indonesia/Melayu, lalu terus dibandingkan dengan maknanya menggunakan istilah berkebudayaan Eropah. Ketiganya, oleh kerana makna ini telah diMatematikkan dalam kebudayaan Eropah, makanya seseorang penyelidik perlulah berusaha keras mendapatkan makna Matematik bagi istilah dalam Bahasa Indonesia/Melayu berkenaan. Perbandingan pada tahap kedua dan ketiga akan menunjukkan mampukah bidang Matematik dibangunkan menerusi Bahasa Indonesia/Melayu.

1. Pengenalan

Walaupun setakat ini ramai yang mendakwa bahawa Bahasa Indonesia/Melayu adalah bahasa yang digunakan oleh bangsa-bangsa serumpun untuk mengkomunikasikan hal-hal berkaitan keilmuan, namun tidak banyak kalangan mereka itu yang mampu menonjolkan bukti-bukti jelas bagi menyokong dakwaan tersebut. Selalunya, kenyataan-kenyataan yang digunakan untuk menyokong dakwaan ini adalah berbentuk simpatisan, ataupun lebih baik sedikit daripada itu, menggunakan bukti-bukti hampir yang berulang-ulang kali telah dinyatakan disana-sini. Pernyataan-pernyataan sebegini selalunya membosankan kerana tiada langsung bukti-bukti baru dikeluarkan bagi memperkukuhkan dakwaan yang murni itu. Kesannya adalah, perbahasan berkenaan Indonesia/Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masihlah berada di takuk lama, sama seperti ketika perbahasan ini dimulai mungkin sekitar 50 tahun yang lepas. Bukti-bukti yang menggunakan prasasti-prasasti Melayu Kuno katakan. Walaupun telah beratus kali dinyatakan dengan nada yang sama, bahawa tiga atau empat buah prasasti Melayu Kuno bertarikh sekitar kurun yang ke-7M ditemui di Palembang ketika zaman Sriwijaya itu menunjukkan bahawa Bahasa Melayu Kuno digunakan sebagai bahasa ilmu, namun tidak pula dilangsungkan hujah bagaimana Bahasa Melayu Kuno itu dikatakan sebagai bahasa ilmu? Sebab ditempat-tempat yang serantau dan sezaman dengan Sriwijaya, contohnya Sailendra, Sanjaya, Campa, Funan, Chenla, Kemboja, Kedah, Langkasuka, Mon, Kutai dan lain-lainnya, dominasi bahasa ilmunya adalah Bahasa Sanskrit, kecuali mungkin di Funan, Chenla dan Kemboja yang juga menggunakan Bahasa Melayu Kuno (Kun-lun) dan Khmer Kuno dan di Campa yang juga menggunakan Bahasa Campa (Kun-lun). Pernyataan ini disokong oleh pemerhatian bahawa bilangan prasasti dalam Bahasa Sanskrit lebih kurang sama jumlahnya dengan bilangan prasasti dalam Bahasa Khmer Kuno dan Bahasa Campa. Malah, sebagai tambahan, tidak pula dapat dikesan dengan kuantiti yang agak besar pengaruh Bahasa Melayu kepada bahasa-bahasa serantau ini, kecuali mungkin dalam Bahasa Campa, atau sebaliknya. Satu lagi perkara yang agak jelas kelemahan dalam hujah-hujah yang dinyatakan adalah ketidakupayaan penghujah-penghujah untuk mengaitkan Bahasa Melayu (Kuno dan Klasik) dengan mana-mana bidang keilmuan sezamannya, apatah lagi keilmuan terkemudian daripadanya. Seperti ketika prasasti-prasasti tersebut dinyatakan sebagai bukti, tidak langsung ditunjukkan bahawa perkataan-perkataan Bahasa Melayu Kuno yang terpahat pada prasasti-prasasti tersebut adalah istilah-istilah ilmu yang dipakai ketika itu. Seolah-olahnya membiarkan prasasti-prasasti itu menjelaskan dirinya sendiri. Dan, hal seperti ini sudah berlangsung amat lama, juga amat berleluasa.

Penyelidikan terhadap manuskrip Melayu juga sedemikian. Seseorang penyelidik itu seolah-olahnya sudah cukup berpuas hati dengan mengatakan bahawa wujudnya berbagai bentuk struktur keilmuan di dalam sesebuah manuskrip Melayu, seperti perubatan, kimia, kejuruteraan, peperangan, kepemimpinan, ekonomi, aritmetik, geometri, mantik, kosmologi, tatabahasa, psikologi, dan sebagainya, malah lebih jauh berhujah secara sebarangan, manuskrip-manuskrip Melayu memiliki keilmuan seperti nuklear, globalisasi, teknologi-nano, genom, teori tetali (string theory) dan lain-lainnya keilmuan yang kini-kini sifatnya. Memang amat memeranjatkan membaca penulisan dan pembentangan sebegini. Namun, kalau diteliti setiap penulisan secara khusus, yang dilakukan hanyalah pendokumentasian perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tafsirannya setara dengan sifat-sifat keilmuan tersebut di Barat. Yang wujud hanyalah pungutan demi pungutan berupa pantun, peribahasa, ayat-ayat yang dipetik dari prasasti dan manuskrip, gambar-gambar artifak, dan lain-lain sebagainya. Seterusnya, kalau ditanyakan soalan, bagaimanakah bentuk ilmu yang dirakamkan di dalam prasasti dan manuskrip berkenaan, penyelidik yang berkenaan akan mengatakan, “permintaan itu memerlukan masa yang agak panjang untuk membuktikannya”, “belum ada pelajar mahu mengkajinya”, “pertanyaan tersebut diluar daripada kepakaran (pengkaji)” dan lain-lain jawapan beralasan semudah itu. Padahal, beliaulah yang layak melakukannya, sebab telah memulai melakukannya dalam penulisan yang dipertanyakan itu. Lalu, kalau ditanyakan soalan yang jauh lebih terkehadapan, bagaimanakah boleh keilmuan yang dipungut tersebut dapat diperbandingkan dengan pencapaian keilmuan semasa?. Lagilah kelam-kabut jawapannya, sebabnya adalah sipemungut ini (yang mungkin sahaja mendapat gelaran kedoktoran dengan kerja-kerja sebegini) tidaklah mahir apa-apa keilmuan semasa pelbagai tamadun manusia yang bersekitar dengan Tamadun Melayu Kuno dan Klasik. Membandingkan pencapaian keilmuan Tamadun Sriwijaya dan Jawa Kuno dengan pencapaian keilmuan India, China dan Greek-Rom sekitar kurun yang ke-5M hingga kurun ke-12M katakan. Menunjukkan secara hubungan sejarah bahawa keilmuan Sriwijaya itu mengambil daripada keilmuan India lalu mempengaruhi keilmuan China sahaja ramai yang tidak mahu dan mengelak melakukannya, atas sebab-sebab bukan akademik. Inikan membandingkannya. Seterusnya, kalau ditanyakan, bagaimana ilmu kuno dan klasik Melayu ini boleh dibandingkan dengan keilmuan semasa Barat, yang kininya bermaharajalela, takkanlah keluar sepatahpun jawapan. Sebabnya, sipemungut ini tidak akan terfikir langsung bahawa, untuk membangunkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, keilmuan kuno dan klasik Melayu tadi mestilah dibandingkan juga dengan keilmuan semasa Barat kini. Tapi, selalunya, abstrak dan pengenalan penulisannya memanglah menyebut tentang menaiktarafkan keilmuan kuno dan klasik Melayu ini, sehingga setaraf keilmuan semasa Barat, namun kerja-kerja ilmiah yang dilakukannya hanyalah berbentuk pemuziuman ilmu : pungut-pungut, susun-susun, hias-hias, tayang-tayang dan puji-puji.

Kesimpulannya, kajian keilmuan Tamadun Melayu hanyalah berbentuk Kajian Pemuziuman Keilmuan Melayu. Tidak ubah seperti penyambut-penyambut tetamu di perkarangan hotel di Hawaii yang menanti kehadiran pelancong-pelancong Eropah yang berkunjung ke Hawaii. Dan, penduduk asli Hawaii adalah Bangsa Austronesia, serumpun dengan kita semua yang sedang berseminar ini. Dalam konteks keilmuan, mahukah kita semua menjadi seperti “penyambut tetamu” hotel-hotel di Hawaii ini? Ataupun, kita semua sudah menjadi “penyambut tetamu” Hawaii ini? Tentu sekali tidak, tak tahulah saya, mungkin ada dikalangan kita yang mahu menjadi “penyambut tetamu” keilmuan semasa Barat. Jika diberi pilihan, menjadi tuan hotel yang menyambut tetamu Eropah sahaja saya tidak mahu, inikan pula menjadi penyambut tetamu! Saya mahu menjadi tuan yang membuka hotel di Eropah, yang penyambut tetamunya kalangan orang-orang Eropah dan penghuni-penghuninya semua bangsa dunia. Saya ingati kembali penghujahan saya yang sebegini. Sekitar 12 tahun yang lepas, tatkala saya menyiapkan PhD (Matematik) di University of Wales, Bangor, Wales, UK, seorang rakan saya mengatakan bahawa beliau berjanji kepada penyelia PhD beliau bahawa selepas sahaja beliau balik ke Malaysia, beliau akan meminta universiti beliau menghantar lebih banyak pelajar Master/PhD ke Universiti of Wales. Saya katakan kepadanya, lemah benar logik beliau, juga lemah jatidiri. Saya katakan kepada beliau, kalau saya, saya akan katakan kepada penyelia saya, selepas saya balik ke Malaysia, saya akan menguruskan agar siswazah-siswazah dan pensyarah-pensyarah University of Wales melanjutkan pengajian Master/PhDnya di Malaysia. Mana boleh, katanya. Memanglah tak boleh kalau berfikiran seperti beliau itu, kata saya, yang selamanya hanyalah menganggap keilmuan adalah milik Eropah/Barat. Keilmuan adalah milik semua bangsa, termasuk Bangsa Indonesia/Malaysia. Sekarang, bagaimana boleh dilakukan perkara ini? Bagaimana boleh dikembangkan keilmuan kuno dan klasik Melayu sehinggakan setaraf keilmuan semasa Barat? Inilah yang menjadi matlamat makalah ini ditulis dan dibahaskan di hadapan saudara/i disini. Sebahagian daripada pengenalan ini telah saya bahas di pertemuan Seminar Kebahasaan MABBIM ke-50 di sini pada 22 & 23 Mac 2011 yang lepas.

2. Strategi Mengupayakan Bahasa Indonesia/Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Jika saudara/i teliti Abstrak di atas, maka saudara/i mungkin sahaja akan merumuskan bahawa pokok perbahasan saya di dalam makalah ini adalah berkenaan Pematematikkan Istilah-Istilah Indonesia/Melayu. Apakah ini merupakan jalan keluar kepada persoalan mengangkat Bahasa Indonesia/Melayu sebagai bahasa ilmu? Atau satu-satunya jalan keluar? Adakah ini jalan keluar yang dipilih oleh sarjana-sarjana Tamadun Greek, Rom, Islam, Eropah Abad Pertengahan dan Eropah Moden ? Apakah Plato, Boethius, al-Kindi, Aquinas dan Descartes secara umumnya menuruti jalan ini? Tidak adakah jalan yang lain? Jika saudara/i mengkaji perkembangan ketamadunan dari sudut keilmuan, salah satunya cara bagaimana sesebuah tamadun manusia itu boleh keluar daripada penjajahan ilmu tamadun luar yang mempengaruhi keilmuan mereka adalah menerusi cara mempertentangkan makna konsep-konsep keilmuan yang dibawa masuk dengan makna konsep-konsep keilmuan tempatan, untuk satu-satu aspek keilmuan yang sama/selari/secaman. Namun, kaedah ini berlangsung selepas menuruti proses penerjemahan ilmu yang agak intensif. Lalu, selepas dipertentangkan makna kedua-dua konsep asing dan tempatan tersebut, sudah pastilah ditemui bahawa kedua-duanya berbeza, sebab kedua-duanya berkembang daripada dua kebudayaan yang berbeza. Maka, kemudiannya timbul persoalan, bagaimanakah pula boleh dikembangkan makna konsep tempatan tersebut, berbanding dengan makna konsep asing, sebab kedua-duanya mewakili satu perkara/benda yang lebih kurang sama? Kenapakah sesuatu yang lebih kurang sama diwakili oleh dua penjelasan yang berbeza? Bumi inilah katakan. Kenapa Arab memanggilnya “dunia”, Inggeris memanggilnya “world” dan Indonesia/Melayu memanggilnya “bumi”? Apakah makna ketiga-tiganya sama, lebih kurang sama atau berbeza? Termasuk di dalam isu ini adalah persoalan yang tidak pernah terungkai oleh mana-mana ahli falsafah bahasa, termasuk Wittgenstein, iaitu persoalan bagaimanakah sesuatu perkataan yang mewakili sesuatu benda/perkara itu terbentuk? Bagaimakah perkataan Inggeris “water” terbentuk dan berbeza dengan pembentukan perkataan Indonesia/Melayu “air”, sedangkan kedua-duanya mewakili cecair yang sama? Oleh kerana saya menghujahkan bahawa kaedah Pematematikkan Istilah-Istilah Indonesia/Melayu ini hanyalah salah satu cara daripada banyak cara mencari jalan keluar kepada kemelut mengangkat Bahasa Indonesia/Melayu sebagai bahasa ilmu, maka saya akan membincangkan juga kaedah yang tidak akan saya lanjutkan perbincangannya di dalam makalah ini. Saya memanggil kaedah ini sebagai Peniruan Alam Tabii.

3. Strategi Menemukan Alat-Pengetahuan

Selepas saya menyudahi perenggan di atas, saya mengambil masa untuk merujuk beberapa buat buku yang agak utama berkenaan falsafah teknologi. Saya langsung kepada buku Francis Lim (2008) yang sahabat saya belikan di Jakarta ini. Dari buku ini, saya menggelintar beberapa buah buku yang pernah sebelum ini saya telaah, antaranya Spengler (1920) dan Heidegger (1955/1975). Rupa-rupanya falsafah teknologi telah mulai dibicarakan di BEropah semenjak penulisan yang pertama tentangnya oleh Ernst Kapp pada 1877 bertajuk Techniphilosophie. Buku Kapp, Spengler dan Heidegger ini patut diterjemahkan ke Bahasa Indonesia/Melayu. Menurut mereka, dalam falsafah teknologi diwarnai oleh dua pandangan yang saling bertentangan. Pandangan pertama mengatakan bahawa teknologi adalah hasil akhir bagi suatu sains. Manakala pandangan kedua mengatakan bahawa sains adalah pengabstrakan teknologi. Kenapa saling bertentangan? Kerana pandangan pertama itu menghujahkan bahawa sains menghasilkan teknologi, manakala pandangan kedua menghujahkan bahawa teknologi menghasilkan sains. Peniruan Alam Tabii adalah menurut pandangan yang kedua. Sekarang, bagaimana saya boleh tunjukkan bahawa suatu bentuk “sains/ilmu/(penge)tahu(an)” pernah wujud di Alam Melayu? Maksudnya, suatu bentuk “pengetahuan” yang dihasilkan setelah melalui proses pengabstrakkan daripada suatu bentuk teknologi. Bagaimana ini boleh ditunjukkan? Apakah maksud “teknologi”? Teknologi adalah segala bentuk penghasilan benda/barang yang diusahakan oleh manusia untuk memudahkan kehidupannya di dunia ini. Malah, ahli-ahli falsafah seumpama Husserl, Heidegger, Sartre dan Derrida menganggap bahasa adalah teknologi yang dihasilkan oleh manusia untuk memudahkannya berkomunikasi dengan manusia yang lain, sekurang-kurangnya menerusi penciptaan huruf, perkataan dan ayat/pernyataan. Huruf yang diwakili oleh simbol/tanda (dalam Bahasa Sanskrit, perkataan “samkhya” bermaksud tanda, dan perkataan “samkhya” ini berevolusi dalam Bahasa Indonesia/Melayu menjadi perkataan “angka”) adalah proses pertama pengabstrakan dalam usaha merumuskan bunyi-bunyi yang keluarkan oleh manusia dalam berbahasa. Perkataan bukanlah persimbolan yang pertama sebab perkataan memiliki lebih daripada satu penyebutan, seperti “ru+mah”, apatah lagi “ba+gai+ma+na”. Jadi, mestilah wujud persimbolan yang lebih asas daripada persimbolan perkataan. Secara perbandingan, sekarang saya tanyakan, apakah persimbolan pertama yang dilakukan oleh ahli/tukang/mahir/pandai di Alam Melayu semenjak awal sejarah dahulu? Saya cumalah terfikir tentang semua teknologi/artifak/alat yang ditinggalkan oleh nenek-moyang kita. Sebabnya, rujukan terhadap teks bertulis dan lisan hanyalah menjadi rujukan sekunder kerana pengetahuan dihasilkan daripada teknologi. Maksudnya buku Kapp itu jauh lebih penting dibaca daripada buku Aristotle. Patutlah ada pepatah yang mengatakan bahawa sebenarnya manusia ini semakin dia memikirkan masa depannya, semakin dia mencari sejarah silamnya. Sejarah silamlah yang memandu kehidupan kita dimasa hadapan (ini sudah bersetuju pula dengan Historikisme/Sejarahisme dalam bidang sains pengurusan. Dalam bidang sains pengurusan, ada tiga pandangan utama iaitu Sejarahisme, Tabiiisme dan “nabiisme”/Alamatisme). Apakah yang terakam dalam kebudayaan kita semenjak awal, yang mengandungi persimbolan pertama daripada benda-benda atau perkara-perkara yang berlaku di Alam Tabii? Benda-benda di Alam Tabii inilah yang ditiru oleh cerdik-pandai kita semenjak dulu, lalu mencipta teknologi awal. Mungkin sekali pisau dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap sembilu, jarum dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap duri, perahu dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap pokok kayu yang hanyut disungai, sikat dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap jari-jari tangan yang menyisir rambut, dan sebagainya jika mahu mengeluarkan hipotesis liar. Namun, saya tidak akan membincangkan perkara berikut ini secara sebarangan. Rujukan yang digunakan adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (1995). Jika digelintar kandungan buku ini, di dalamnya memuatkan pelbagai corak anyaman mengkuang yang diberikan nama-nama seperti mata bilis, anak ikan, beras patah, bunga api, bunga berembang, bunga atur, bunga cempaka, bunga cengkih, bunga melur, bunga mempelas, bunga tanjung, bunga teratai, buntut siput, jari kedidi, kepala gajah, kepala lalat, mata ketitie, mata punai, sisik kelah, siku keluang, tampuk jantung, tampuk manggis, tampuk pinang, tapak harimau, tapak anjing dan lain-lain. Terpulanglah kepada penyelidik botani dan zoologi kini untuk menyemak adakah bentuk sebenar tumbuhan-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang ditiru tersebut adalah sama seperti yang sebenarnya. Kepada saya, peniruan rupa-rupa tumbuhan dan haiwan yang dibuat oleh penganyam-penganyam tersebut bermaksud bahawa mereka melakukan persimbolan pertama dalam proses menghasilkan teknologi peralatan rumah, iaitu tikar. Apa yang mungkin belum dilakukan oleh pemikir-pemikir kita adalah menghasilkan pengetahuan/sains daripada teknologi tikar ini, seumpama menghasilkan mesin penganyam (kejuruteraan mesin) ataupun menganalisis kesimetrian (aljabar) corak-corak berkenaan. Dalam penyelidikan aljabar, pemodelannya mestilah dimulai dengan mengenalpasti unit asas di dalam sesuatu anyaman. Unit asas ini mungkin berbentuk katakana xxooxo (x mewakili petak berwarna dan o mewakili petak putih). Kemudiannya, buat analisis bagaimanakah unit asas ini “bergerak” bertebaran diseluruh tikar. “Bergerak” itu bermaksud pembalikan, pusingan dan penjelmaan. Tidak mengapalah kalau tidak boleh memahami ayat matematik ini. Saya sengaja membawakan contoh tikar kerana tidak banyak bangsa didunia yang menghasilkan tikar, berlainan kisahnya dengan teknologi tenunan, yang banyak bangsa didunia memilikinya. Selain kita, hanyalah beberapa bangsa di Afrika yang menganyam daun seumpama kelapa, palas dan palma untuk menghasilkan tikar. Persoalan yang bermain difikiran saya adalah, bolehkah kita mendapatkan suatu bentuk pengetahuan berdasarkan pemerhatian kita terhadap teknologi awal/pertengahan/maju yang dihasilkan oleh cerdik-pandai kita suatu masa lama dahulu? Saya tidak akan melanjutkan perbincangan ini kerana keluar daripada judul makalah yang saya mahu bahaskan, iaitu berkaitan kepada bahasa. Kita kembali kepada isu yang dimulai perbahasannya dalam (2).

4. Contoh Penguapayaan Bahasa Indonesia/Melayu Sebagai Bahasa Matematik

Subbidang matematik yang saya pilih adalah masalah ruang/space yang mendominasikan perbincangan dalam bidang kalkulus Newton yang menggunakan konsep ruang geometri Euclid dan kalkulus Poincare-Einstein yang menggunakan konsep ruang geometri tak-Euclid nukilan Bolyai-Lobachevskii. Kita akan perhatikan bagaimanakah sepatutnya ahli-ahli matematik Rumpun Melayu ini berhujah dalam hal mengendalikan hal-hal berkaitan pengetahuan matematik yang mereka gelumangi hampir setiap hari. Proses yang agak kritis ini, jika diikuti, mampu membuahkan jangkaan hasil ilmu baru yang agak baik kepada masyarakat ilmuan khususnya. Saya akan memisahkan perbincangan ini kepada dua bahagian.

4.1. Konsep Space : Bahasa dan Matematik, di Barat

Semenjak Euclid sekitar kurun ke-4SM merumuskan geometrinya, yang dikatakannya sebagai model paling asas (aksiom) untuk memahami struktur alam semesta, Aristotetle. Ptolemy sehinggalah kepada Kopernigk, Bruno, Galileo Galilei dan Newton memanfaatkan aksiom-aksiom geometri Euclid bagi menghasilkan ilmu kalkulus yang termaju. Ahli-ahli matematik Muslim juga memanfaatkannya, malah kerja-kerja ilmiah Viete (guru Newton yang mahir berbahasa Arab) dan Newton banyak bergantung kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh ahli-ahli matematik Muslim. Saya belum mengesan adanya ahli matematik Melayu sebelum 1700M yang memanfaatkan geometri Euclid, walaupun kita disini juga membina bangunan yang mematuhi geometri Euclid. Malah, geometri yang sukar-sukar seperti kelengkungan dimanfaatkan oleh Bangsa Minangkabau dalam pembinaan bumbung rumah-rumah adat mereka. Belum ada timbul secara teliti analisis berkenaan konsep space dalam pergerakan benda/jasad sebelum Newton. Ini adalah kerana ahli-ahli matematik hanyalah menumpukan perhatian kepada menjelaskan pergerakan benda/jasad, yang bergantung kepada faktor time, bukannya kepada landasan dimana benda/jasad itu bergerak. Malah, Descartes (1580/1954) juga hanyalah menambahbaik geometri Euclid dengan memberikan koordinat/kedudukan benda-benda yang berada di dalamnya, tetapi, apabila melakukan kalkulus pergerakan, bentuk space dimana berlakunya pergerakan itu diabaikan. Pergerakan masihlah hanya bergantung kepada time. Descartes juga memperkenalkan geometri dimensi-3 (x, y, z). Itulah sebabnya Newton, walaupun menyedari pembaharuan yang dilakukan oleh Descartes, namun menganggap space adalah terpisah dengan time. Kerja-kerja Descartes ini kemudiannya dimajukan lagi oleh Riemann (1854) dengan memperkenalkan konsep manifold/lelipat, namun masihlah menganggap space terpisah dengan time. Kerja-kerja ini juga kemudiannya disambung oleh Husserl (1881-1883) dan Poincare (1892 & 1895).

Pemisahan space dan time ini dianalisis secara berfalsafah oleh Kant (1781/1929). Menerusi beliaulah space dan time ini mendapat nafas baru dalam perkembangannya. Hegel (1801/1941) adalah ahli falsafah pertama di Eropah cuba mempersoalkan bahawa rupabentuk landasan (space) tempat dimana sesuatu jasad itu bergerak mempengaruhi pergerakan jasad itu, yang sebelumnya hanyalah time dipertimbangkan. Pandangan Hegel ini lebih awal daripada pembinaan geometri Bolyai-Lobachevskii yang mempengaruhi Poincare-Einstein untuk menukilkan konsep space-time (x, y, z, t). Pada Poincare dan Einstein, pergerakan sesuatu jasad mestilah dipengaruhi oleh rupabentuk landasan (space) tempatnya bergerak dan time. Tidak apapun seorang pemikir yang saya sebutkan di atas berBangsa Inggeris, kecuali Newton, namun beliau menggunakan Bahasa Latin sebagai bahasa perantara penulisan beliau. Namun begitu, konsep space yang kita ambil datangnya daripada Bahasa Inggeris. Maksudnya menurut Webster (1980) adalah “(1) distance extending in all directions; (2) the continuous expense extending in all directions or in three dimensions, within which all things exist, variously thought of as boundless or indeterminately finite”. Kita bincangkan hal yang terpenting seterusnya.

4.2. Bahasa dan Matematik Ruang

MABBIM (1993) menerjemahkan space sebagai ruang, lalu mentakrifkannya sebagai (1) kawasan yang membolehkan benda-benda yang kita nampak itu wujud yang juga dikenali sebagai ruang jasmani, ruang fizik, ruang biasa, ruang 3-matra; (2) set yang unsur-unsurnya berupa vektor atau set terbuka”. Sekilas pandang, pandangan matematik dan fizik, takrif MABBIM ini adalah menuruti makna space sehinggalah kepada Riemann. Ini adalah disebabkan kecenderungan pengetahuan kalkulus peringkat universiti di Malaysia dan Indonesia sekitar 1990-an sememangnya mengajarkan kalkulus Newton sehinggalah Riemann. “Set terbuka” itu bolehlah ditakrifkan sebagai terkandung dalam manifold Riemann. Tapi, apakah sebenarnya yang difahami oleh masyarakat biasa tentang makna ruang ini? KBBI (2008) mentakrifkan ruang sebagai “sela-sela antara dua (deret) tiang atau antara empat tiang (dibawah kolong rumah)”.

Secara matematik, “sela-sela antara dua (deret) tiang” boleh ditakrifkan sebagai luas=jarak antara dua tiang x tinggi tiang dan “sela-sela antara empat tiang (dibawah kolong rumah)” boleh ditakrifkan sebagai isipadu=jarang dua tiang memanjang x jarak dua tiang melebar x tinggi tiang. Makna ini menuruti geometri Euclid. Kita cari lagi makna-makna yang biasa disekitar makna ruang. Rantau ditakrifkan sebagai “pantai sepanjang teluk (sungai); pesisir”. Sesukarnya, makna ini boleh diterjemahkan sebagai mematuhi hasil tambah Riemann dalam konsep Kamiran Riemann, dalam usaha mencari luas di bawah fungsi/graf pesisir pantai sungai yang berlengkok-lengkok. Lapang pula ditakrifkan sebagai “lebar; luas; longgar”. Makna ini terakam dalam makna ruang, kecuali longgar yang tidak bermakna matematik. (Me)lingkung ditakrifkan sebagai “memberi batas (pagar) sekeliling”. Jika pagarnya berbentuk segiempat, hanyalah masalah luas yang timbul. Tapi jika pagarnya berbentuk melengkung tak sekata, sekali lagi konsep kamiran Riemann boleh merumuskannya. Medan pula adalah “tanah lapang; tempat yang luas (untuk berpacu kuda dsb); alun-alun”. “Luas” disini tidaklah sama seperti makna luas dalam matematik. “Tanah lapang” pula bolehlah dicari luas matematiknya. “Alun-alun” mungkin boleh domodelkan menggunakan manifold/lelipat Riemann.

Perhatikan bahawa, walaupun makna ruang, rantau, lapang, (me)lingkung dan medan boleh dimatematikkan, namun setakat ini belumlah boleh semudahnya kita menggapai makna space di Barat, yang dalam bahasa seharian maknanya juga seperti makna ruang.

5. Kesimpulan

Saya berpendapat bahawa proses menilai kembali istilah-istilah yang kita terjemahkan daripada istilah-istilah Eropah yang mewakili konsep-konsep Sains dan Teknologi Barat tersebut perlulah dimulai sekarang. Dengan cara ini, kita mmapu memberikan saingan makna kepada istilah-istilah Barat tersebut, lalu menelurkan makna baru, yang berkemungkinan boleh menghasilkan konsep-konsep yang baru, namun tertanam dalam kebudayaan kita.

Rujukan

Descartes. 1580/1954. The Geometry. New York.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 1995. Corak dan Motif. Kuala Lumpur : DBP

Francis Lim. 2008. Filsafat Teknologi : Don Ihde Tentang Dunia, Manusia dan Alat. Yogyakarta : Penerbit Kanisius.

Hegel, G.W.F. 1801/1941. De Orbitis Planetarum. Jena.

Heidegger, M. 1955/1977. The Question Concerning Technology and Other Essays. New York : Harper & Row.

Husserl, E. 1881-1883. The Theory of Calculus of Variations. Tesis PhD.

Kamus Besar Bahasa Indonesia. 2008. Jakarta : Departemen Pendidikan Nasional

Kant, I. 1781/1929. Critique of Pure Reason. London.

MABBIM. 1993. Kamus Matematik : Analisis. Kuala Lumpur : DBP.

Poincare, H. 1892. On Analysuis Situs. Comptes rendus de l’Academie des Sciences 115 : 633-636.

—————. 1895. Analysis Situs. Journal de I’Ecole Polytechnique 1 : 1-121.

Riemann, B. 1854. On The Hypotheses Which Lie at the Bases of Geometry.

Spengler, O. 1920. Man and Technick.

Webster. 1980. New World Dictionary. New York : Simon and Schuster.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *