Kemaskini terbaru: June 30, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

WACANA 2 KULIAH PROF. SHAHARIR: SAMBUTAN MUSLIM DAN KHASNYA DI PASCABIMA* TERHADAP TE:TELAH, LANI dan KELAK oleh penerobos kuanta

WACANA 2 KULIAH PROF. SHAHARIR: SAMBUTAN MUSLIM DAN KHASNYA DI PASCABIMA* TERHADAP TE:TELAH, LANI dan KELAK oleh penerobos kuanta

Dan Prof. Shaharir menyambung semula siri kuliah beliau. Tajuk beliau untuk syarahan episod kedua ini penulis berasa agak skeptik dan ingin mengkritiknya terlebih dahulu.Sambutan Muslim terhadap Teori Einstein/TE?Ya, amat wajar dibincangkan dan diperhuraikan. Di Pascabima? Di negara ini terutamanya?Manakah mungkin boleh Prof. Shaharir mengulas mengenai pandangan rakyat Malaysia umumnya dan Muslim di Negara ini khususnya terhadap TE. Mereka tidak tahu apa itu TE pun! Einstein? Albert Einstein? Ya mereka sedar siapa beliau, ikon atau simbolik kegeligaan (meminjam istilah Prof. Shaharir).Apa nama teori beliau? Sedarkah mereka yang teori beliau terbahagi kepada dua?Apa sebenarnya teori beliau katakan? Realitinya tidak ramai rakyat Malaysia (Muslim khususnya) mengambil kisah akan semua perkara ini. Inilah realtiti sebenar masyarakat Muslim di negara ini yang alpa dan hanyut  dalam lembah hiburan terlampau mengabaikan ilmu. Socrates pernah berkata “kealpaan itu dosa”.

Lupakan keluhan penulis yang tidak bermakna itu. Lega rasanya bila penulis melihat sambutan sekelompok kecil mahasiswa (yang masih lagi tidak alpa) terhadap siri kuliah Prof. Shaharir tidak berkurangan. Kuliah kedua beliau masih lagi dikunjungi oleh mereka yang berminat untuk mengetahui kebenaran disebalik kebenaran buku-buku rujukan mengenai teori kenisbian yang bias.Malahan terdapat muka-muka baru yang tidak pernah dilihat penulis sebelum ini.Mungkin kerana hebahan yang lebih meluas dan berkesan selepas kuliah pertama beliau.

Tajuk beliau menceritakan segala-galanya.Apakah reaksi mereka terutamanya di luar mandala saintifik terhadap TE? Terlebih dahulu Prof. menyambung semula sedikit bahagian dari kuliah pertama beliau yang relevan juga untuk dibahaskan sekali di dalam kuliah kedua beliau yakni mengenai reaksi komuniti Barat (baik dalam kalangan mandala saintifik mahupun awam) terhadap TE. Meskipun penulis telah menulis sedikit sebanyak mengenainya (terutamanya teori kenisbian alternatif Whitehead) dalam laporan sebelumnya namun adalah baik untuk sorotan kita bersama mengenai bagaimana TE digunakan sebagai alat untuk mencapai meluaskan/menyebarkan ideologi-ideologi sesetengah kumpulan di Barat.Falsafah/nilai yang tersurat atau tersirat di dalam TE telah digunakan oleh golongan-golongan relativis, materialis, komunis, ateis dan pelbagai lagi yang kesemuanya sekular untuk mengangkat ideologi masing-masing.

Golongan relativis menggunakan TE untuk menunjukkan hakikat alam ialah bersandarkan pada kenisbian; yang segalanya di dalam dunia ini,tiadanya kebenaran mutlak (dan ini termasuk kebenaran yang dibawa oleh agama atau Qu’ran khususnya!) dan segala-galanya cumalah relatif antara satu sama lain dan juga mulai popular sebagai sebahagian dari hujah utama para pasca-modenis (meskipun ada yang berkata bukan semua unsur aliran pasca-moden bertentangan dengan agama?) dalam menyahbinakan bukan sahaja sains tetapi juga agama dan metafizik (lihat Shaharir 1987) meskipun menurut Prof. Shaharir mereka terlupa adanya kelajuan cahaya sebagai batasan segala kelajuan didalam alam  ini sebagai kuantiti mutlak. Meskipun aliran ini masih lagi tidak popular (di dalam dunia Islam), namun ancaman fahaman ini terhadap akidah sesiapa sahaja yang beragama ialah nyata.

Manakala golongan materialis/kebendaan melihat TE mengukuhkan lagi fahaman kebendaan dimana hakikat alam ialah ‘material’. Ini jelas terpampang dalam ulasan John A. Wheeler (ahli fizik US, kontemporar Einstein, meninggal 2008) mengenai konklusi Teori Kerelatifan Am Einstein sebagai “benda menyuruh ruang bagaimana untuk membengkok, ruang menyuruh benda bagaimana untuk bergerak” yang jelas sarat unsur materialismnya. Dalam buku Prof. Shaharir, beliau menceritakan bagaimana persamaan medan Einstein itu sendiri menjelaskan perlunya alam ini terbentuk cuma dengan kehadiran bendaism. Meskipun begitu, dalam pembinaan pelbagai model/ruangmasa/manifold alam semesta (penyelesaian atau metrik ruangmasa kepada persamaan medan Einstein, baca http://en.wikipedia.org/wiki/Einstein_field_equations) yang setiap satunya dipengaruhi oleh nilai/latar belakang mereka yang membinanya, Prof. Shaharir mencadangkan bahawa perlunya model tersebut menerima permulaan alam semesta dan menjangka pengakhirannya sebagai satu aksiom/postulat bagi saintis/fizikawan Muslim/teis agar selaras dengan ajaran agama samawi (Shaharir 2011). Namun lebih menarik lagi jika persamaan (dengan itu TE keseluruhan) itu sendiri disanggah dan digantikan dengan persamaan yang asasnya mencakupi metafizik Islam (Guessoum 2011).Iqbal pula menyimpulkan konklusi TE dalam bahasa yang lebih mudah bebas dari unsur matematik,“teori berkenaan (TE) membuat ruang bergantung kepada benda/jirim. Alam semesta, mengikut Einstein, , ialah terhingga tetapi tidak terbatas; disebaliknya tiada ruang yang kosong. dengan ketiadaan/ketidakwujudan benda/jirim, alam semesta akan mengecut kepada satu titik.”(Iqbal 1966). Jelas sekali TE mengimplikasikan kewujudan alam semesta adalah mungkin hanya dengan wujudnya benda terlebih dahulu! Maka tidak hairanlah TE juga digunakan untuk mengangkat Marxism/Komunism/sosialism malah ada juga menyatakan yang Einstein sendiri merupakan seorang komunis sepertimana dibincangkan oleh http://mailstar.net/einstein.html walaupun mungkin tidak sebeberapa sahih hujahnya(lihat juga Tan Melaka 1943).

Apa-apa pun, TE tidak disambut atau diterima oleh seluruh mereka di Barat.Wujud mereka yang menentang teori berkenaan atas pelbagai sebab. Ada yang menentang atas dasar persaingan dalam komuniti saintifik yang masih lagi setia dengan hukum Newtonian (saki-baki penolakkan dan penerimaan paradigma seperti mana dibincangkan oleh Kuhn 1962) seperti Milikan, ada yang menentang kerana Einstein seorang Yahudi yang dikatakan sebab utama Einstein tidak menerima hadiah Nobel kerana TEnya namun yang menarik untuk diperkatakan mereka yang menentang TE kerana unsur-unsur didalamnya yang mengabaikan kewujudan Tuhan dan masih lagi bersifat tentuisma dan mekanis (lihat Iqbal 1966). Sepertimana dalam tulisan penulis sebelumnya, teori kenisbian tajaan Whitehead merupakan contoh pemberontakan utama golongan saintis teis terhadap TE ujar Prof. Shaharir. Penulis ingin menambah pendapat peribadi penulis, falsafah organism Whitehead yang mendasari teori kenisbiannya yang Prof. Shaharir gambarkan sebagai usaha terkuat pengKristianan sains merupakan manifestasi atau pengamitan semula kenangan usaha pengKrisitianan sains oleh Leibniz melalui falsafahnya ‘Monadologi’ dalam menangkis fahamam kebendaism yang terserlah dalam hukum mekanis Newton (Leibniz 1714). Namun kedua-duanya tersungkur jatuh dalam perjalanan masa takrifan Einstein.Déjà vu?Meskipun begitu, mereka yang menentang TE (malah keseluruhan sains Barat yang sekular) dari Barat baik dari dunia Muslim sekalipun,pengKristianan mahupun pengIslaman sains sememangnya ada masalah mereka sendiri sepertimana yang akan dibincangkan penulis selepas ini.

Berkata mengenai segolongan saintis teis Barat yang cuba menentang TE sebab dasar nilainya yang sekular, kebendaan, mekanis dan menafikan kewujudan Tuhan sudah tentu musykilnya atau ingin tahu nya kita mengenai reaksi atau sambutan Muslim sendiri terhadap TE seawalnya diperkenalkan (pasca-moden), semasa dan pada masa akan datang atau dalam istilah Prof. Shaharir; Telah, Lani dan Kelak. Menentang atau menyokong?Persoalannya yang mungkin lebih fundamental ialah sepertimana diluahkan oleh penulis pada permulaan tulisan ini samaada ramai kah Muslim yang menyedari kewujudan teori ini? Jikalau ya, fahamkah/tahukah mereka apakah ia mengenai? Realitinya pada hikmah penulis sememangnya tidak berdasarkan pengalaman penulis.Penulis ingin berkongsi sedikit pengalaman haru dengan pembaca.Penulis mula didedahkan kepada TE seawal umur 11 tahun (fakta ringkas sahaja dan tiada matematik!) melalui pembacaan penulis sebagai minat alternatif kepada sains nukleur.Spekulasi-spekulasi liar (kembara-masa contohnya) seperti mana yang dihujahkan oleh Prof. Shaharir menarik perhatian penulis selaku kanak-kanak. Di sekolah menengah (tingkatan 2), penulis mula membanyakkan bacaan berkaitan TE (khas dan am) terutamanya mengenai kesan dilasi masa, pengecutan Lorentz, lubang hitam, dan sebagainya. Penulis pernah cuba berkongsi pembacaan penulis dengan kawan-kawan setingkatan. Mereka tidak mengetahuinya.Tidak mengapa tetapi yang sedihnya bila mereka tidak pun ingin mengetahuinya malah mengganggap TE berkenaan sebagai sia-sia untuk dipelajari.Inilah sikap Muslim di Pascabima kalau bukan di seluruh dunia.Dan sepanjang membesar sehinggalah menjejakkan kaki ke universiti, penulis sering menduga ramai orang mengenai TE.Tidak ramai mengetahui/memahaminya seadanya. Dan kejahilan tersebut bukan sahaja berlaku di luar mandala sains (masyarakat umum) sahaja bahkan pelajar jurusan fizik pun ada yang tidak mengetahuinya! Ada yang mengetahuinya (sedar akan kewujudan TE) tetapi pemahaman beliau cetek dan ramai golongan Muslim cuma memahami (lantas mengagungkannya) dari kaca mata Bucaillism sahaja tanpa pengetahuan mendalam unsur teori tersebut yang akan diperkatakan oleh penulis sebentar nanti. Lega rasanya membaca buku dan mengikuti kuliah Prof. Shaharir bahawa adanya wakil dai dunia Muslim yang tidakalpa sepertimana tanggapan sempit penulis malah mampu mengkritik TE.

Pertamanya merupakan Sir Muhammad Iqbal, kelahiran Pakistan yang merupakan lepasan Cambridge.Magnus opus beliau pada tahun 1930 (terjemahan 1966), “The Reconstruction of Religious Thought in Islam” merupakan karya yang sangat bermakna di dalam dunia Islam pasca-komunis dimana umat Islam secara umumnya masih lagi dijangkiti kemurungan serta kehilangan arah tuju serta hilang identiti setelah kejatuhan tamadun Uthmaniyah, tamadun Islam terakhir. Kejatuhan tamadun Islam terakhir tersebut juga menandakan aras terbawah yang dicapai oleh umat Islam dalam tradisi ilmu yang sebelumnya sinonim malah sejiwa dengan mereka. Sepertimana nama buku berkenaan,. Iqbal cuba membangunkan semula umat Islam dengan pembinaan semula cara berfikir umat Islam mengenai Islam khususnya dan dunia semasa amnya bagi mencari semula identiti yang hilang. Sayangnya sepertimana yang Prof. Shaharir katakan tiada wujud golongan Muslim yang signifikan yang membacanya apatah lagi mengulasnnya malahan asing kepada ilmuwan di Pascabima.Apa yang menarik perhatian penulis ialah penguasaan dan pemahaman beliau terhadap TE malah kepekaan beliau terhadap unsur-unsur ateis/sekular didalamnya malah mengkritiknya pada tahun 1930 (apa Muslim di Pascabima buat waktu itu?)! Iqbal menurut prof. Shaharir meskipun tidak menentang TE secara total namun keupayaan beliau mengkritik secara mendalam (meskipun dikatakan ‘memeningkan/mengelirukan’ oleh Guessoum 2011) konsep masa dalam TE sesuatu yang wajar diinsafi oleh kelompok Muslim semasa. Iqbal menyedari bahawa TE tidak memusnahkan konsep keobjektifan alam tetapi cuma pandangan ‘bahan’ sebagai lokasi ringkas di dalam ruang.Namun halangan terbesar yang ditemui beliau didalam TE ialah ‘ketakberkenyataanya’ masa.Mengambil masa sebagai komponen keempat dimensi ruang-masa meletakkan ‘kelak’ sebagai sesuatu yang sudah sedia ada.Ujarnya “masa sebagai ‘pergerakan kreatif yang bebas’ tiada maknanya dalam TE.Ia tidak berlalu. Peristiwa tidak terjadi; kita cuma berjumpa (penulis tambah ‘secara kebetulan’) dengan mereka (peristiwa).”(Iqbal 1966). Begitu juga pandangan beliau terhadap masa Berguson yang dilihatnya masih lagi bercanggah dengan  ajaran al-Qur’an. Beliau melihat konsep masa seperti didukungi oleh Whitehead serasi dengan umat Islam memandangkan kerohanian yang wujud dalam konsep masa mereka berbanding Einstein yang sangat mekanistik dan berketentuan. Namun penulis lebih tertarik dengan konsep masa beliau sendiri iaitu ‘Taqdir’:

Masa tulin, . . ., bukanlah serangkai seketika-seketika yang terpisah, tersongsangan; ia keseluruhannya organik(hidup) dimana ‘telah’ tidak ditinggalkan di belakang, tetapi seiring bergerak dengan, dan beroperasi di dalam, ‘lani’. . . . ‘kelak’ diberikan kepada ia (masa?) bukan seperti terhampar di hadapan, untuk dilalui; (tetapi) diberikan kepadanya dalam makna ia hadir dengan sifatnya sebagai kemungkinan yang terbuka. Ia masa yang ditanggapi sebagai organik keseluruhannya . . . sepertimana Qur’an jelaskan sebagai Taqdir . . .. Taqdir dijelaskan sebagai sejurus kepada pengbongkaran segala kemungkinannya.Ia ialah masa yang bebas dari jaringan jujukan kesebaban . . . . Dalam satu perkataan, ia nya masa yang dirasai dan bukannya difikirkan dan dihisab.

(Iqbal, 1966)

Ahli fizik (begitu juga dengan ahli matematik) Muslim kontemporari seharusnya insaf akan adanya legasi tinggalan Muslim pada masa yang lepas mengenai fundamental TE yang seharusnya dimanfaatkan oleh mereka. Seharusnya ahli fizik Muslim membangunkan teori kenisbian (malah mungkin patut ditukar namanya juga kerana konotasinya yang negatif!) dengan asas metafizik yang lebih selari dengan Islam dan konsep ‘masa atau Taqdir’ rekaan Iqbal mungkin boleh dijadikan asasnya malah menolong Iqbal mengkritik TE secara total yang tidak dilakukan oleh beliau. Begitu juga dengan konsep ‘pergerakan’ yang diutarakan oleh Mulla Sadr seharusnya dibangunkan terkehadapan oleh saintis teis Muslim yang telah pun disoroti dalam kuliah Prof. Shaharir yang pertama.Mungkin juga tugas yang lebih penting harus di letakkan di bahu ahli matematik Muslim juga dalam membangunkan perkakasan matematik yang mampu membantu ahli fizik merealisasikan konsep Taqdir Iqbal.Malah sepertimana bual Dr. Alinor kepada penulis, “pembangunanan matematik tulin sewajarnya bersifat problem-orientated” (penulis masih lagi gemar melihatnya sebagai art-orientated!), maka masalah mematematikkan konsep Taqdir berkenaan boleh dijadikan pemacu perkembangan matematik tulin (tetapi Iqbal tidak mahu Taqdirnya itu boleh dihisab?).

Selain Iqbal, salah satu lagi cendiakawan Muslim yang diberi perhatian oleh Prof. Shaharir dalam menelesuri TE ialah Tan Melaka menerusi karyanya, “Madilog=Materialisma+Dialetika+Logika” yang sangat bitara memandangkan beliau ialah anak kelahiran Pascabima dan membahaskan TE seawal tahun 1943 (apa mereka di Tanah Melayu buat?)! Meskipun begitu penulis masih lagi tidak mendapat ‘access’ kepada karya beliau (namun terdapat dalam bentuk softcopy di internet) tersebut.Kemungkinan besar sukarnya mendapat karya berkenaan disebabkan penulis merupakan seorang komunis dan Malaysia masih lagi ‘trauma dari mimpi ngeri’ tersebut. Yang sayangnya menurut Prof. Shaharir, karya Madilog yang mengisahkan mengenai TE sebanyak 23 halaman itu digunakan oleh Tan Melaka untuk mengukuhkan lagi falsafah kebendaanism menerusi kaedah yang pemikiran yang dibangunkan oleh beliau iaitu Madilog. Walaupun ada kritikan oleh Tan Melaka terhadap Einstein namun ialebih bercorak konstruktif kerana Tan Melaka cuma tidak berpuas hati dengan kaedah yang digunakan Einstein dalam membangunkan TEnya yang lebih ‘daulah’ jikalau menggunakan kaedah Madilognya. Sungguhpun dikesali mesej yang cuba disampaikan oleh Tan Melaka (namun ada yang mengatakan komunis di Pascabima sudah diasimilasi menjadi versinya sendiri yang bitara dan wajar didebatkan di khayalak ramai!), namun keupayaan beliau untuk memahami TE dan mengkritiknya pada zaman berkenaan (bayangkan mereka di zaman pasca-moden ni pun jahil TE) serta pendekatan Madilognya menjadikan beliau seorang yang bitara (unik) di rantau ini.

Selain Iqbal, Tan Melaka, serta beberapa lagi cendiakawan Muslim yang cukup kritis dengan TE, dunia Islam boleh dibahagikan kepada dua golongan besar (mengikut pandangan penulis) bila dibicarakan sambutan Muslim terhadap TE. Pertamanya yang alpa dan jahil terhadap kewujudan TE yang telah diluahkan oleh penulis sebelum ini. Satu lagi golongan mereka yang menyedari TE  dan menagung-agungkannya medakwa kononya TE begitu selari dengan Islam amya dan Qur’an khususnya. Golongan inilah yang dipanggil Bucaillism namun Guessoum (2011) lebih gemar memanggil gerakan tersebut sebagai I’jaz ‘ilmiy yang bermaksud kandungan saintifik yang ‘ajaib’.Dan ‘kaedah’ pengIslaman sains berkenaan bukan sahaja mencakupi TE bahkan hampir semua bidang sains dicerobohinya kecuali, sudah tentunya, teori Evolusi Darwin.Dalam autobiografi Ziauzudin Sardar, “Desperately Seeking Paradise” pernah sekali seseorang memberitahu beliau bahawa ideanya mengenai sainis Islam telah dirampas oleh para fundamentalis dan mistik. Para fundamentalis mencari semua keajaiban sains (moden) didalam Qur’an. Segala-galanya dari relativiti, mekanik kuantum, teori Dentuman Besar, hinggalah ke pembentukan embryo dan bidang geologi moden. Sedihnya golongan ini yang kebanyakkan dari mereka bukanlah dari bidang pengkhususan sains yang mereka katakan ‘ajaib’ itu walaupun berpendidikan tinggi.Malah mereka sebenarnya cuma mengambil fakta-fakta (malah spekulasi juga!) yang berada diatas permukaan teori-teori saintifik berkenaan. Dan seperti yang dikatakan oleh Prof. Shaharir fakta bergantung kepada teori! Apabila teori berubah maka fakta saintifik yang didukungi teori berkenaan juga berubah! Maka perlu kah kita padankan pula fakta baru tersebut dengan ayat-ayat al Qur’an yang lain? Masalahnya disini ialah ramai para Bucaillis (yang tiada latar belakang saintifik) melihat fakta-fakta tersebut bebas dari teori (theoretically neutral), bermakna, fakta-fakta ini bleh diungkapkan dalam bahasa yang bebas dari teori dan diformulasikan dalam cara yang mengambarkan realiti alam jasmani yang dicerap (Mulkay 1979). Disebabkan mereka bukannya dari lapangan akademik, maka tidak sedar bahawa walau teori dentuman besar (salah satu kesimpulan TE) itu sendiri tengah disaingi oleh teori-teori alternatif yang mungkin tidak selari dengan Qur’an pun! Dalam kalangan mereka, penulis mendapati Harun Yahya (penulis popular Turki) merupakan antara yang bertanggungjawab mempelopori keserasian TE (terutamanya teori Dentuman Besar) dengan Qur’an tetapi gejala ini telah pun merebak sehingga dalam kalangan cendiakawan di Malaysia sepertimana kritikan Prof Shaharir terhadap buku “Quran Saintifik” tulisan Danial Zainal Abidin (ulasan Shaharir 2010). Ayat-ayat Qur’an (21:30), (41:11) dan banyak lagi sering digunakan (baca ditafsirkan) untuk menjustifikasi penemuan-penemuan saintifik moden (Shaharir 2011). Walhal, seperti mana yang ditulis tadi, TE sarat dengan unsur-unsur/nilai-nilai/falsafah yang bercanggah dengan Islam.Prof. Shaharir menjelaskan disini masalah yang timbul ialah akibat tafsiran ayat-ayat berkenaan yang sememangnya terdapat berbagai versi dan terjemahan oleh Abd al-Rawuf Singkel dan Hamka tidak pula menyokong TE sebgai serasi dengan Islam.Sayangnya disini kepopularan gerakan Bucaillism tidak pula mendorong Muslim untuk mendalami ilmu sains dan teknologi memperbaiki diri mereka sendiri.Buku Shaharir (2011) boleh ditelaah untuk melihat kritikan beliau terhadap gerakan Bucaillism serta kaitan mereka dengan TE dan teori Dentuman Besar/DB. Teknik Bucaillism yang disandarkan kepada prinsip-prinsip i) kepercayaan ayat-ayat al-Qur’an boleh ditafsir dalam satu cara sahaja dan ii) fakta bebas dari teori, juga dikritik oleh Guessoum yang mencadangkan agar prinsip-prinsip berkenaan digantikan dengan yang lebih tepat untuk mengelakkan ‘pemadanan yang sesuka hati’ yakni i) pendekatan membaca dan mentafsir Qur’an secara pembacaan multi-tingkat dan ii) sains dan falsafahnya mesti difahami/dikuasai  sepenuhnya sebelum sesiapa dengan mudah menyuarakan selarinya mana-mana ayat-ayat Qur’an  dengan ‘fakta’ sains (Guessoum 2011). Yang kelakarnya kebanyakkan para Bucaillis berlumba-lumba mencemuh teori Evolusi Darwin dan tidak menyangkal teori DB meskipun wujudnya hubungan diantara dua teori tersebut. Begitu juga dengan sahutan para sainis Barat yang menyokong reka-bentuk pintar (Intelligent Design) yang tidak disahut Muslim walaupun Guessoum (2011) menentang reka-bentuk pintar yang dianggap sungguh tidak saintifik.

Sebagai penutup, Prof. Shaharir mencadangkan agar TE seaptutnya diselidiki dengan lebih kritikal dan saintifik juga dilihat dari perspektif Islam. Pembinaan alternatif TE yang lebih ‘Islamik’ cumalah mungkin sekiranya kita mampu merubah konsep-konsep asas TE seperti masa, pergerakan, ruang dan lain-lain dan dijadikan sebahagian dari metafizik Islam. Malah, seperti dibincangkan sebelum ini, terdapat pelbagai sumber oleh sarjana-sarjana Islam dahulunya yang boleh dijadikan inspirasi untuk mengacu pembinaan TE yang perlu diusahakan model matematiknya.Namun penulis tidak berasa selesa dengan panggilan Prof. Shaharir bahawa perlunya diterokai metrik dalam manifold dalam mematematikkan konsep-konsep berkenaan. Bagi penulis, cabang-cabang/alat-alat matemaik lain juga mesti dibangunkan dan dilihat kegunaannnya dalam pembinaan TE apatah lagi yang ingin bercirikan Islam. Seperti mana teori kuantum yang menggunakan banyak alat-alat matematik dari pelbagai cabang (teori operator linear, teori kumpulan, topologi, matriks, dll), TE seharusnya begitu juga untuk mengcungkil potensinya sepenuhnya.Tidak dilupakan juga usaha perlu dijalankan untuk mendapatkan pandangan terhadap konsep-konsep asasi berkenaan dari sumber dahulu kala tamadun melayu yang mungkin mengilhamkan.Selain itu, mereka yang terpanggil kepada perjuangan Prof. Shaharir (meskipun tidak ramai) seharusnya mengambil tindakan reaktif yang masih perlu seperti mengkritik konsep masa, lawan neutralnya ilmu dan lain-lain lagi.Akan tetapi, bagi penulis, langkah utama (terutamanya bagi mereka yang ‘fresh’ lagi) yang perlu diambil ialah memperbanyakkan bacaan kita mengjangkaui pelbagai bidang.Akhir kata, penulis merasakan mungkin ada banyak perkara dari kuliah Prof. Shaharir yang tidak disentuh namun penulis rasa adalah lebih baik bagi pembaca menelaah buku Prof. Shaharir bagi mengatasi kekurangan berkenaan.Penulis juga sebenarnya mempunyai banyak lagi perkara yang ingin dibahaskan malah mengkritik yang sedikit sebanyak bersangkut-paut dengan kuliah Prof. Shaharir namun tidak relevan untuk dibincangkan secara mendalam didalam laporan ini. Mungkin penulis akan bincangkan di dalam tulisan lain. Sekiranya penulis berkesempatan. Dan ada mood. Wa’salam.

 

Rujukan:

[1]  Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Kuantum, Shaharir M.Z., 2011, ASASI,

[2] Islam’s Quantum Question: Reconciling Muslim Tradition and Modern Science, Nidhal Guessoum, 2011, I.B. Tauris and CoLtd, New York.

[3]  The Reconstruction of Religious Thought in Islam, A.M. Iqbal, 1930 (terjemahan 1966 edisi 2004), Adam Publishers and Distributors, New Delhi

[3] Desperately Seeking Paradise: Journeys  of a Sceptical Muslim, Ziauddin Sardar, 2005, Granta Books, London

[4]  Science and the Sociology of Knowledge, Micheal Mulkay, 1979, George Allen & Unwin Ltd, London

[5] Quran Saintifik, Danial Zainal Abidin, 2007, PTS,

 

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *