Kemaskini terbaru: June 30, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laporan Siri Wacana Keterlestarian Sebagai Ilmu Ekonomi dan Pengurusan

Laporan Siri Wacana Keterlestarian Sebagai Ilmu Ekonomi dan Pengurusan

Tajuk                                    : Keterlestarian Sebagai Ilmu Multidisiplin Termasuklah Ekonomi dan Matematik

Penceramah                      : Prof. Dr Shaharir Mohamad Zain

Tempat                                 : Bilik Katha, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya

Tarikh dan Masa               : 26 April 2011, jam 9.00 pagi

Sinopsis:

Siri Wacana pertama keterlestarian ini telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohd Hazim Shah Abdul Murad, daripada Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Beliau terlebih dahulu memperkenalkan latar belakang Dr Shaharir, dan sumbangannya terhadap dunia akademik dan perjuangan bahasa Melayu yang begitu besar di Malaysia. Antara yang ditekankan oleh Prof. Hazim adalah perjuangan Dr Shaharir mengkaji ilmu tradisi Melayu, menilainya dan menterjemahkannya di dalam konteks semasa bagi memperlihatkan kepentingan kajian sebegini di dalam wacana kontemporari. Oleh itu, wacana yang dibentangkan oleh Dr Shaharir ini merupakan satu penilaian semula bidang keterlestarian di Malaysia daripada perspektif Melayu Islam, yang dihuraikan daripada perspektif etimologi, atau pendekatan bahasa. Tambahan pula, usaha sebegini membantu proses pembinaan teori keterlestarian daripada perspektif ilmu.

Di dalam wacana ini, Dr Shaharir menggunakan pendekatan bahasa untuk menunjukkan kepentingan peranan bahasa di dalam membina ilmu, termasuklah ilmu sains, ekonomi, matematik dan sebagainya. Beliau menggunakan pendekatan ini kerana terpanggil dengan cabaran yang timbul di dalam dunia akademik semasa yang kian meminggirkan kepentingan bahasa ilmu sebagai penjana ilmu. Bidang keterlestarian merupakan bidang yang berbentuk multidisiplin, iaitu merangkumi pelbagai bidang disiplin kajian. Apabila Dr Shaharir melihat bidang keterlestarian daripada aspek etimologi, peranan bahasa mampu membantu menentukan jenis pendidikan atau dimensi yang boleh diterokai di dalam bidang ini. Namun begitu, di dalam wacana ini, beliau amat mengalu-alukan sebarang komentar bagi membantu memperluaskan lagi dimensi keterlestarian ini.

Dr Shaharir mendefinisikan keterlestarian atau kebolehlestarian sebagai kebolehan bertahan selama-lamanya, dan boleh tetap tidak berubah seperti asalnya. Beliau juga melihat istilah ini daripada bahasa Jawa yang bermaksud selama-lamanya, kekal, dan abadi. Di dalam bahasa Sanskrit, yang paling hampir adalah dharma iaitu menjalankan tugas dan tanggungjawab sepatutnya, dan pembawa kebaikan. Manakala, kamus etimologi Inggeris pula merujuk sustain, yang berasal daripada bahasa Latin iaitu sustinere yang bermaksud bertahan lama, sementara sustainable bermakna tertanggungkan/ bearable (pada abad ke-16), tertahankan/ defensible (abad ke-18), seterusnya pada tahun 1960an merujuk kepada boleh terus-menerus bertahan pada aras tertentu, dan kemudian wujudnya sustainable growth yang seterusnya berkembang menjadi sustainability pada tahun 1970an.

Daripada penerangan makna istilah keterlestarian, Dr Shaharir melihat bahawa “keterlestarian terjadi kerana pemakaian sumber kehidupan dengan cermat, berhemat, …terbaik”. Bagi melaksanakan penggunaan sumber kehidupan yang “terbaik” memerlukan kefahaman kepada pelbagai bidang atau multidisiplin, antaranya berkaitan dengan sikap, tingkah laku manusia, adab/etika/moral, falsafah, ekologi, dan sebagainya. Namun begitu, di dalam wacana ini, Dr Shaharir cuba menghubungkan istilah keterlestarian ini dengan disiplin ekonomi dan matematik.

Dr Shaharir menghuraikan etimologi perkataan ekonomi yang timbul pada tahun 1950an, berasal dari economy (1530an) dan economics (1830an), economy daripada perkataan Latin iaitu oeconomia, dan daripada perkataan Yunani oekonomia yang merujuk kepada pengurusan rumah-tangga, bahasa Melayu klasik yang diambil daripada bahasa Arab iaitu iqtishad atau di dalam ejaan Rumi Melayu iktisad yang bermaksud pengurusan rumah tangga, dan juga dikenali dengan arthasastera (ilmu ekonomi Melayu sebelum Islam), yang berkaitan dengan mengurus kekayaan, strategi ketenteraan dan kepimpinan. Namun begitu, terdapat perubahan maksud istilah ekonomi mengikut peredaran masa dan dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya apabila muncul “political economy pada tahun 1650an yang merujuk economy sebagai sumber dan kekayaan negara”. Di dalam konteks keterlestarian sebagai ilmu ekonomi di dalam dunia Barat yang melibatkan “pengurusan alam kediaman kita dan makhluk alam ini, yang merujuk kepada pengurusan alam sekitar, ekologi, dan sumber keperluan manusia dengan sebaik-baiknya” atau “peruntukan dan pengagihan sumber yang terhad dengan sebaik-baiknya”. Sementara itu, bersesuaian dengan “aspek etimologi di dalam matematik, atau mathema (Yunani) yang bermakna memahami, menerangkan, menjelaskan, mentelaah, mengkaji, mempelajari, menangani dan mengurus persekitaran tabii, sosial dan politik” dan “techne (Yunani) yang bemakna teknik yang melibatkan pelbagai kaedah sains, pemberfikiran, daya pengaryaan”. Daripada huraian ini, istilah “terbaik” atau “sebaik-baiknya” juga difahami sebagai “optimum” atau “terbaik”. Oleh itu, di dalam konteks kontemporari, ekonomi sering dianggap sebagai ilmu pengoptimuman. Namun begitu, terdapat juga usaha di Barat untuk menghubungkan antara pembangunan dan ekonomi melalui pendekatan economy sustainability, tetapi pendekatan ini masih tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Terdapat juga percubaan untuk menghubungkan ekonomi dan juga ekologi, bagi mencapai lestari, tetapi usaha ini juga tidak begitu berjaya kerana sehingga kini konsep keterlestarian masih belum dapat dicapai walaupun kadar pertumbuhan mencapai tahap optimum. Oleh itu, apabila melihat kepada wacana semasa berkaitan keterlestarian, Dr Shaharir mempunyai pandangan bahawa pentingnya suatu konsep yang jelas dibentuk terlebih dahulu, kemudian barulah proses seterusnya menterjemahkan dalam bentuk model-model tertentu untuk dicipta formula-formulasi tertentu.

Merujuk kepada perspektif Dr Shaharir, pengoptimuman bukanlah cara yang terbaik untuk menjelaskan keterlestarian kerana pengoptimuman tidak berdasarkan keputusan yang rasional sepenuhnya, intuisi dan kebijaksanaan. Beliau mengkritik pendekatan pengoptimuman kerana konsep ini hanya sesuai untuk kapitalis, dan bukan ummah. Walaupun menurut perspektif Barat, istilah optimum adalah terbaik bagi menggambarkan tentang “situasi yang termudahnya” yang mempunyai makna kuantitatifnya, tetapi nilai kuantitatif yang didapati hanya menunjukkan nilai “melampau/ekstrim/ekstrimum (Latin), iaitu nilai tertinggi/maksimum, terendah/minimum, atau seimbang = tertinggi dan terendah serentak=keadaan titik pelana” dan berdasarkan perkiraan yang mudah. Oleh itu, menurut Dr Shaharir, konsep pengoptimuman ini perlu digantikan dengan konsep wusto atau teori pengwustodan di dalam keterlestarian, yang mengambil kira perspektif agama. Konsep wusto ini mempunyai makna yang luas, yang boleh diterjemahkan di dalam banyak istilah, yang menunjukkan kesederhanaan, keseimbangan, adil, terbaik di dalam penggunaan sumber kehidupan bagi tujuan mencapai keterlestarian. Di dalam sesi wacana ini, Dr Shaharir menekankan bahawa perlunya konsep yang jelas daripada aspek kualitatifnya, dan kemudian barulah mudah untuk diterjemahkan kepada model-model tertentu bagi membina konsep kuantitatifnya pula. Oleh itu, wusto menggambarkan konsep yang luas, dan oleh itu, kemungkinan untuk membina model-model terbaik yang bukannya mewakili nilai-nilai yang ekstrem dan secara kuantitatifnya adalah lebih tinggi, walaupun tidak dinafikan bahawa perkiraan untuk model-model berbentuk sebegitu lebih sukar berbanding model-model keterlestarian pengoptimuman yang sedia ada. Sebelum mengakhiri penyampaian wacana sesi pertama ini, Dr Shaharir menjelaskan bahawa seterusnya, beliau akan cuba melihat kepada konsep kebahagiaan manusia, dan bagaimana konsep bahagia mampu membantu mencapai keterlestarian.

Secara keseluruhannya, wacana ini berjaya menilai, dan seterusnya mendorong kepada proses pembinaan teori ilmu keterlestarian yang mendapat respons yang positif dan konstruktif daripada para hadirin. Banyak idea-idea yang dilontarkan dan sesi wacana ini berlangsung di dalam suasana yang interaktif dan kondusif. Pendekatan bahasa terhadap konsep keterlestarian ini yang dilihat dari perspektif ilmu tradisional dan agama termasuklah tamadun Melayu dan tamadun pra-Melayu, serta mengambil kira perdebatan semasa di dalam wacana keterlestarian dilihat mempunyai implikasi dan kesan yang baik.

 

Disediakan oleh:

Maisarah Hasbullah

Fellow SLAB

Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *