Kemaskini terbaru: August 4, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ulasan Buku : Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat, karya Raja Masittah Raja Ariffin.

Ulasan Buku
Mohd Tarmizi Hasrah
mijihasrah@gmail.com

Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat, karya Raja Masittah Raja Ariffin. 2010. Cetakan pertama. Serdang: Penerbit UPM. ISBN 978-967-344-132-7.

Pengenalan
Kehadiran orang Barat ke Alam Melayu, secara rasminya pada tahun 1511, iaitu ketika penaklukan kota Melaka oleh Portugis yang diketuai oleh Afonso de Alburqurque, hinggalah bertapaknya Belanda pada tahun 16 dan British pada tahun 1824, bukan sahaja meninggalkan kesan kepada sosio-politik, ekonomi dan budaya kepada masyarakat asal yang mendiami kawasan ini. Malah, yang turut terkesan berikutan kehadiran mereka adalah terhadap pengkajian bahasa Melayu itu sendiri, yang menjadi lingua franca seluruh Alam Melayu ketika itu.
Kesan terhadap pengkajian bahasa Melayu dapat dilihat dengan munculnya banyak tulisan mengenainya yang dilakukan oleh orang Barat tersebut. Tulisan-tulisan ini yang terdiri daripada pedoman perbualan, pemerian nahu dan penyusunan daftar kata dan kamus, secara umumnya, pada hemat penulis, boleh dibahagikan kepada dua corak kegiatan. Pertama, bersifat praktis, yang bertujuan untuk membantu orang Barat yang ingin belayar ke “negeri di bawah angin” dan untuk memudahkan kerja-kerja pengInjilan. Kedua, bersifat kesarjanaan, yang bertujuan untuk memerikan sistem bahasa Melayu dan variasinya.
Suatu fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa dorongan utama orang Barat mengkaji bahasa Melayu, sama ada berkait dengan yang kegiatan pertama atau kedua, adalah untuk mempermudah pemasakan pengaruh mereka di kawasan yang ingin dikuasai. Fakta ini memang tidak dinyatakan secara tersurat, tetapi dapat dikesan secara tersirat. Hal ini demikian kerana penguasaan terhadap bahasa dan budaya sesebuah masyarakat akan menyingkap tabir yang melitupi sistem pemikiran masyarakat tersebut. Dengan tersingkapnya tabir ini, memudahkan perencanaan kolonialisme.
Dengan dorongan utama yang akhirnya menerbitkan dua corak kegiatan pengkajian bahasa Melayu dan variasinya di Alam Melayu, kita dapat melihat sederetan nama-nama, dan tulisan-tulisannya, yang mengabdikan diri untuk melayari samudera bahasa Melayu. Dari nama-nama ini, yang paling ramainya, terdiri dari orang Eropah Kontinental (Belanda, Jerman dan Perancis) dan orang Eropah Perpulau (British, terutamanya). Keadaan ini tidaklah menghairankan kerana dua buah negara Eropah (Belanda dan British) yang terletak dalam kedua-dua bahagian inilah yang menguasai Alam Melayu (Indonesia dan Malaysia) dan tradisi pengkajian bahasanya.
Yang agak menghairankan adalah tradisi pengkajian pada period penguasaan Portugis. Walaupun Portugis merupakan negara Eropah pertama yang memasakkan taring penguasaannya di Alam Melayu, namun tidak ditemui bukti-bukti terdokumen yang mengkaji bahasa Melayu, atau diproduksi dalam bahasa Melayu (Collins 2005: 34). Setakat ini, hanya daftar kata Antonio Pigafetta sahaja yang didokumenkan pada period tersebut. Itupun dilakukan oleh orang Italia, bukannya Portugis.
Walaupun kesedaran akan peri pentingnya bahasa Melayu bagi kerja-kerja pengInjilan pada period ini memang diakui. Antaranya, oleh Francisco Javier, seorang Jesuit Baska yang tiba di Melaka dari Goa (India) pada tahun 1545. Javier, dalam hal ini, memusatkan perhatiannya untuk mempelajari bahasa Melayu sekurang-kurangnya pada tahap dia dapat menterjemahkan doa-doa Katolik dan katekismus dasar ke dalam bahasa Melayu untuk digunakan di Sulawesi dan Maluku (Collins 2005: 33).
Namun, pemusatan Javier terhenti setakat itu sahaja. Dia tidak melanjutkan pemusatannya terhadap bahasa Melayu, misalnya untuk memerikan sistem dan struktur bahasa tersebut. Jelas bahawa pemusatan Javier bertujuan pragmatis semata-mata. Dia tidak menganggap bahasa Melayu seperti bahasa Latin, yang dapat mengungkapkan doktrin agama Kristian dengan tepat (Collins 2005: 33). Baginya, asalkan penduduk tempatan memahami doktrin agama Kristian, itu sudah memadai.
Ketiadaan dokumentasi bahasa Melayu, selain daftar kata Antonio Pigafetta, pada period penguasaan Portugis di Alam Melayu berkemungkinannya disebabkan tiga perkara. Pertama, tujuan utama penguasaan mereka ke atas Alam Melayu disebabkan faktor agama dan ekonomi (gold, gospel and glory). Kedua, kehadiran mereka tidak disertai oleh ilmuwan yang berminat dengan peradaban masyarakat setempat. Ketiga, teknologi percetakan yang masih belum berkembang pesat ketika itu.
Keadaan ini berbeza dengan period penguasaan Belanda dan British yang banyak meninggalkan bukti-bukti berdokumen mengenai bahasa Melayu. Walaupun penguasaan ke atas Alam Melayu oleh kedua-dua buah negara Eropah ini turut disebabkan oleh faktor agama dan ekonomi, tetapi tidak pula berlaku pengabaian dalam penelusuran peradaban kawasan yang dikuasai. Hal ini kerana pemahaman mengenai pemikiran, bahasa dan budaya masyarakat setempat akan memudahkan kolonialisme.
Disebabkan hal ini, kita dapat melihat banyak tulisan mengenai bahasa Melayu dilakukan pada period tersebut oleh orang barat. Dan, perkara inilah yang dibicarakan oleh Raja Masittah Raja Ariffin dalam buku beliau, Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat (dirujuk sebagai Cendekiawan sahaja selepas ini), yang diterbitkan pada tahun 2010 M oleh Universiti Putra Malaysia.

Struktur dan Inti Cendekiawan
Buku ini sebenarnya merupakan koleksi rencana pengarangnya yang pernah diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa keluaran dari tahun 1989 hingga 1997. Disebabkan siri rencana ini telah lama terbit dalam jurnal tersebut, jadi untuk memudahkan capaian kepada para penyelidik dan peminat bahasa, justeru pengarang buku ini mengambil langkah mengumpulkan kesemua rencana tersebut ke dalam sebuah buku (antologi) dengan dilakukan sedikit penyesuaian-penyesuaian tertentu mengikut perkembangan semasa.
Buku Cendekiawan boleh dikategorikan sebagai sebuah historiografi bahasa Melayu yang bersifat biografis dan ensiklopedis sekaligus. Hal ini kerana pokok pembicaraannya adalah mengenai tokoh-tokoh yang pernah menyumbangkan keringatnya dalam tradisi pengkajian bahasa Melayu dan variasinya secara khusus, dan juga pengkajian Melayu secara umum. Tokoh-tokoh yang dibicarakan oleh Raja Masittah mencakupi tokoh-tokoh pada abad ke-16 hingga awal abad ke-20.
Dikatakan sebagai bersifat biografis dan ensiklopedis kerana setiap pembicaraan tokoh-tokoh di dalam buku ini berlegar-legar dalam sub-topik seperti pengenalan umum, pendidikan, pengalaman dan kerjaya, kajian dan penerbitan, dan rumusan. Jelas, bahawa dari segi sub-topik ini sahaja, kita dapat mengesan tujuan pengarang buku ini yang tidak lain, melainkan untuk memperkenalkan setiap tokoh yang dibicarakan oleh beliau kepada pembaca.
Setiap tokoh yang dibicarakan dalam buku ini tidak dibicarakan secara individu, dalam ertikata, tokohnya dibicarakan seorang demi seorang hingga ke halaman terakhir. Sebaliknya, tokoh-tokoh ini dikelompokkan dalam kelompok tertentu. Pengelompokan ini dilakukan berasaskan sumbangan seseorang tokoh tersebut. Misalnya, tokoh-tokoh yang berkaitan dengan sumbangan terhadap linguistik bandingan, dikelompokkan ke dalam Cendekiawan Bahasa Austronesia; tokoh-tokoh leksikografi ke dalam kelompok Cendekiawan Barat dan Perkamusan Melayu; dan tokoh-tokoh Cendekiawan Pengajian Melayu.
Tokoh-tokoh yang dibicarakan dalam kelompok Cendekiawan Bahasa Austronesia terdiri daripada Wilhelm von Humboldt (1767-1835), Herman Neobroner Van der Tuuk (1824-1894), Hendrik Kern (1833-1917), Ernest Hamy (1842-1908), Jan Brandes (1857-1905), Otto Charles Blagden (1864-1949), Otto Dempwolff (1871-1938), Jan Gonda (1905-1991), Eugenius Uhlenbeck (1913), dan Jacobus Noorduyn (1926-1994).
Manakala, tokoh-tokoh dalam kelompok Cendekiawan Barat dan Perkamusan Melayu memuatkan tokoh-tokoh seperti Antonio Pigafetta (1491-1534), Cornelis & Frederick de Houtman, Thomas Bowrey (1650-1713), William Marsden (1754-1836), H. C. Klinkert (1829-1913), William Shellabear (1862-1947), R. J. Wilkinson (1867-1941), Richard Winstedt (1878-1966), A. Teeuw (1921), Pierre Labrousse (1939), dan John M. Echols (1913-1982).
Dan, tokoh-tokoh dalam kelompok Cendekiawan Pengajian Melayu seperti John Crawfurd (1783-1868), J. Pijnappel, A. A. Foker, C. A. Mees, C. C. Brown, J. R. Logan (1819-1869), William Maxwell (1846-1897), Frank A. Swettenham (1850-1946), Ch. A. van Ophuysen (1856-1917), Hugh Charles Clifford (1866-1941), W. W. Skeat (1866-1953), O. T. Dussek, A. W. Hamilton (1887-1967), G. W. J. Drewes (1899-1992), P. Voorhoeve (1899-1996), R. Roolvink, M. B. Lewis (1890-1971), W. A. Linehan, dan Alessandro Bausani (1921-1988).
Seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas, setiap seorang tokoh-tokoh ini dibicarakan pengenalan ringkas mengenai dirinya, latar belakang pendidikan yang diperolehinya dan kerjaya yang dijabatnya, dan kajian dan tulisan-tulisan yang pernah diterbitkannya. Pembicaraan begini justeru boleh dikatakan telah membekalkan maklumat asas yang agak lengkap untuk para pembaca mengenali dengan lebih dekat tokoh-tokoh tersebut.
Dalam kesemua sub-topik yang dijadikan inti pembicaraan oleh pengarang buku ini untuk setiap tokoh yang difokuskan, yang rasanya penting dan perlu diberi penekanan khusus adalah sub-topik mengenai kajian dan penerbitan oleh seseorang tokoh. Sub-topik ini dikatakan penting kerana di dalamnyalah terkandung senarai kajian-kajian yang pernah dilakukan, dan sumbangan tokoh tersebut dalam tradisi pengkajian bahasa Melayu.
Ditampilkan juga dalam sub-topik ini hampir kesemua tulisan-tulisan penting yang membawakan idea-idea baru mengenai bahasa Melayu dan variasinya pada zaman tersebut oleh setiap tokoh yang dibicarakan. Walau bagaimanapun, agak mengecewakan juga kerana idea-idea baru ini tidak dibicarakan dengan lebih lanjut dan mendalam, sekadar pengenalan sahaja. Hal ini kerana yang banyak ditekankan hanyalah pemaparan mengenai kronologi tulisan; judulnya, bila diterbitkan, di mana diterbitkan, dan mengenai apa.
Walau bagaimanapun, pembicaraan Raja Masittah mengenai idea Van der Tuuk, dilanjutkan oleh Brandes, berkenaan dengan dua jenis hukum bunyi yang terjadi dalam bahasa Melayu-Polinesia agak memadai juga untuk tujuan pengenalan. Walaupun tidak mendalam, ditambah pula dengan rujukan sumber kedua, namun proses perubahan bunyi dan huraian yang dipaparkan agak jelas. Tentu pembicaraan mengenai hukum bunyi ini akan menjadi lebih menarik dan jelas jika dihubungkan dengan trend linguistik ketika itu yang dipengaruhi hebat oleh aliran Neogrammarians.
Hubungan Van der Tuuk dengan aliran Neogrammarians, yang pada ketika itu (abad ke-19) sedang menunjukkan taringnya dalam tradisi linguistik Indo-Eropah, terutama belahan Eropah Kontinental, memang tidak dapat dinafikan. Penciptaan hukum bunyi R-G-H dan R-D-L dalam bahasa Melayu-Polinesia memperlihatkan pengaruh aliran Neogrammarians yang sentiasa setia dengan premis yang dicanang oleh mereka, “ausnahmslasigkeit de lautgesetze” yang bererti “perubahan bunyi berlaku tanpa kekecualian.”
Selain Van der Tuuk, huraian yang agak jelas juga dilakukan terhadap idea-idea cendekiawan dari Perancis, Ernest Hamy. Agak menarik kerana Hamy, walaupun dikritik hebat oleh Slametmuljana, mengemukakan ideanya mengenai pembahagian bahasa-bahasa di Asia Tenggara. Menurutnya, bahasa-bahasa di kawasan ini boleh dibahagikan kepada dua kelompok, iaitu bahasa Melayu Baku dan bahasa Melayu Kontinental.

Pemilihan Tokoh
Dalam buku Cendekiawan, walaupun Raja Masittah membicarakan tokoh-tokoh yang menulis mengenai bahasa Melayu bermula pada ke-16 yang ditandai oleh Antonio Pigafetta hinggalah tokoh-tokoh pada awal abad ke-20, namun beliau tidak pula menyatakan kriteria pemilihan seseorang tokoh untuk dimuatkan dalam buku ini.
Misalnya, dalam bab Cendekiawan Bahasa Austronesia, beliau hanya mencatat bahawa “…pemilihan cendekiawan yang akan dihuraikan…meliputi mereka yang mengusahakan kajian sejak abad ke-19 dan awal abad ke-20.” Sedangkan, dalam dua bab yang lain, iaitu bab Cendekiawan Barat dan Perkamusan Melayu, dan bab Cendekiawan Pengajian Melayu, tidak pula dinyatakan secara jelas. Namun, jika dilihat dari tarikh sesebuah penerbitan karya tokoh-tokoh dalam kedua-dua bab ini, kita dapat membuat tekaan mengenainya, iaitu bermula pada abad ke-16 untuk bab Cendekiawan Barat dan Perkamusan Melayu, dan abad ke-18 untuk bab Cndekiawan Pengajian Melayu.
Berhubung dengan perkara ini, disebabkan tiadanya kriteria khusus mengenai pemilihan tokoh-tokoh, maka terdapat beberapa tokoh penting dalam tradisi pengkajian bahasa Melayu dan variasinya yang tidak dimuatkan dalam buku Cendekiawan ini. Antara yang terpenting ialah cendekiawan Belanda, Sebastian Dankearts dan Joannes Roman, dan cendekiawan kelahiran Switzeland, Renward Branstetter.
Joannes Roman misalnya. Beliau dapat dikatakan sebagai tokoh penting dalam pengkajian bahasa Melayu kerana beliaulah cendekiawan barat yang pertama sekali menulis sebuah nahu bahasa Melayu dengan agak sistematik melalui buku Grondt Ofte Kort Bericht Van de Maleysche Tale (Dasar-dasar atau huraian ringkas tentang bahasa Melayu) (Karim 2006: 128). Manakala, Branstetter juga merupakan seorang cendekiawan yang penting. Walaupun huraian beliau mengenai hubungan bahasa Melayu dengan bahasa Indo-Eropah meleset dari kenyataan, namun analisis beliau mengenai sistem akar kata bahasa Melayu sangat penting, walaupun dikritik hebat oleh Robert Blust dan Kempler Cohen, dan masih dirujuk hingga kini, antaranya oleh Asmah Hj. Omar.

Rujukan
Collins, J. T. 2005. Bahasa Melayu bahasa dunia. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.
Karim Harun. 2006. Sejarah linguistik: Tiga nahu Melayu abad ke-17. Tesis Doktor Falsafah, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

2 Komen

  1. Mohd Tarmizi Hasrah

    P/S: Ralat dalam teks:

    1) Penjajahan Belanda pada tahun 1612

  2. Mahadhir bin Mat Lazim

    Assalamualaikum miji..

    Walaupun agok lambat, kaeh ucap berbanyak tahniah ke aok, berjaya menembok fakta2 yang saloh dalanc kajian dialek pahang kita sebelum2 ni..kaeh ni sokmo membaca, malaeh menulis..

    Kaeh baru memohon masuk buat PhD di UMP, dalam bidang Articial Intelligence: Natural Language Processing, dan cadangan tajuk tesis kaeh ialah “Coding a Malay Dialect using Natural Language Processing Techniques and Software Engineering Methods”. Jadinya, banyok lah yang nok kena bincang dengan aok ni.. kaeh duduk di Beranang, selangor.. asey jerantet.. bila-bila aok pree mohon la mesej ke kol kaeh yak.. nak kaji dialek pahanc la cadancnye.. 019- enanc due satu lime mpaet satu smilaen (takut robot spam)

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *