Kemaskini terbaru: December 31, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Metropolitan : Apa Peranan Pulau Pinang?

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Metropolitan : Apa Peranan Pulau Pinang?

Oleh Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Forum SERI, Dewan MPSPN, 30/12/2011

1.Pengenalan

Metropolitan diambil daripada perkataan Inggeris Metropolitan, yang sebelumnya diambil daripada perkataan Greek/Yunani Metro+Polites, yang bermaksud Dunia+ Warga, ringkasnya warga dunia. Ini boleh membawa beberapa maksud. Namun, maksud sebenarnya adalah semua wakil-wakil pelbagai warga negara di dunia berada disuatu kawasan tumpuan, melakukan pelbagai aktiviti mengikut kepentingan masing-masing, seperti perniagaan, belajar, bersidang dll. Contoh mudahnya, iaitu tatkala dizaman Greek/Yunani, sezaman istilah tersebut dicipta, ini boleh berlaku dibandar/kota atau pelabuhan. Kini, contohnya mungkin sahaja lebih banyak, seperti universiti, bandar/kota, syarikat antarabangsa, lapangan terbang, stesen keretapi, stadium, panggung wayang, supermarket, dll. Melaka, dizaman kecemerlangannya didakwa oleh Tom Pires (yang menulis tentang Melaka pada 1512-15 dalam bukunya Suma Oriental) sebagai Metropolitan, sebabnya sekitar 80 warga Negara dunia berada pada satu-satu masa di Melaka. Apakah kota dan pelabuhan dalam kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Melaka seperti Funan, Campa, Sriwijaya, Lembah Bujang dan Majapahit bertaraf Metropolitan? Juga, Metropolitankah kota dan pelabuhan kerajaan-kerajaan Melayu selepas Melaka, seperti Acheh, Patani, Johor-Riau, Brunei dll? Elok dicari bukti-buktinya.

 

Apabila istilah “Bahasa Metropolitan” disebut, itu membawa dua maksud. Pertamanya,  berbagai bahasa pertuturan wakil-wakil warga negara dunia tadi digunakan, tetapi mestilah menerusi perantara beberapa penerjemah, kalau tidak mereka akan saling tidak memahami. Keduanya, satu atau beberapa bahasa utama digunakan, yang setiap wakil itu boleh bertutur dalam bahasa utama berkenaan atau salah satu daripada bahasa-bahasa utama berkenaan, tanpa penerjemah. Bahasa utama atau beberapa bahasa utama, atau bahasa masing-masing dengan penerjemah, akan digunakan tatkala melakukan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan seperti perniagaan, persidangan, pengajaran-pembelajaran, penulisan, penyimpanan maklumat, dll. Bolehlah kami berusaha membuktikan bahawa “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Metropolitan” dalam semua aktiviti yang disebutkan tadi. Namun, itu mustahil sebab khazanah bertulis bagi membuktikannya amatlah terhad. Walaupun diketahui bahawa 80 bahasa dipertuturkan di Melaka pada kurun ke15M, namun apakah cara membuktikannya, selain maklumat yang disebut oleh Tom Pires itu? Makanya, kami hanyalah mahu membuktikan bahawa “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu”, semenjak kurun ke-2M hingga kurun ke-19M. (jangka masa yang kami anggap benar-benar menampilkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu). Kini, tatkala semua perkara dianggap berteraskan ilmu, makanya hujah beraksiom sebegini amatlah penting diperturunkan, iaitu Bahasa Ilmu adalah teras Bahasa Metropolitan. Sebabnya mudah, semua perkara yang dilakukan oleh pelbagai manusia di Metropolites boleh dengan mudah ditafsirkan sebagai sebahagian daripada ilmu, tidak kiralah apa sahaja, perniagaan, pendidikan, pengurusan, pentadbiran, kesihatan dll.

 

Kami mahu membawakan sedikit ubahsuai penghujahan. Iaitu, untuk beberapa bukti awal ini, kami melonggarkan istilah “Bahasa Melayu” tersebut kepada “Bahasa Rumpun Melayu seperti Campa, Melayu Kuno dan Jawa Kuno”. Ini adalah kerana dizaman awal ini, berkemungkinan sekali Bahasa Melayu Kuno tersebut belumlah berperanan sebagai Bahasa Ilmu, sepertimana Bahasa Melayu Klasik kemudiannya. Bagaimana Bahasa Melayu Klasik menjadi Bahasa Ilmu/Metropolitan masihlah belum sesiapa dengan tuntas menjawabnya. Bila dan dimana pusatnya penyebarannya juga masih belum diketahui. Walaupun begitu, ramailah yang boleh meneka persoalan bila, bagaimana dan dimana ini.

 

2. Bahasa-Bahasa Rumpun Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

2.1. Bahasa Campa adalah Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Prasasti 300-1400M

Bahasa Campa memanglah sebenarnya bahasa dominan yang digunakan untuk memahat maklumat pada batu semenjak kurun ke-2M lagi. Daripada sejumlah 129 prasasti Kerajaan Campa yang masih dapat ditelaah oleh Schweyer pada 1999, 61 buah daripadanya adalah dalam Bahasa Campa, 26 buah dalam Bahasa Campa-Sanskrit dan 42 dalam Bahasa Sanskrit. Kami sedang berusaha keras mengumpulkan salinan karbon, transkripsi Campa-Rumi dan terjemahan Perancis/Inggeris bagi 61+26 prasasti yang mengandungi maklumat berBahasa Campa tersebut, sebelum menerjemahkannya (dari Perancis/Inggeris) kedalam Bahasa Melayu kini. Tetapi, semua ini belumlah membuktikan bahasa Bahasa Campa adalah Bahasa Ilmu. Apa yang patut dilakukan adalah, beberapa penyelidik yang serius sepatutnya mentelaah seluruh 61+26 prasasti tersebut, lalu mengeluarkan/mengumpulkan secara teliti beberapa aspek keilmuan yang terkandung di dalamnya. Dr. Shaharir telah melakukannya untuk aspek Kepemimpinan dan Kepengurusan Campa, yang dicungkil daripada sebuah prasasti bertarikh 1010S/1088M. Kami setakat ini mengumpulkan maklumat berkaitan Angka Campa daripada beberapa prasasti. Lebih banyak ilmu patut digali daripada khazanah bertulis Campa ini, seperti ekonomi, pendidikan, kosmologi, biologi, nyaya/logik/mantik, kimia, persenjataan, perkapalan, dll.

 

2.2. Bahasa Campa adalah Bahasa Ilmu Menerusi Bukti 1350 Manuskrip Campa pada 605M dan 1789 Manuskrip Campa Seawal Kurun ke 17M

Sewaktu tentera Viet/Cina menyerang Campa pada 605M, mereka telah merampas beberapa kebesaran kerajaan dan sejumlah 1350 buah manuskrip dalam Bahasa Campa bertulisan Palawa. Cubaan kami mengesan maklumat berkenaan manuskrip ini di Cina, sepertimana kami mengesan maklumat berkenaan manuskrip-manuskrip Funan (Mandrasena, Samhapala dan Paramartha) dan Sriwijaya (I-Tsing), menemui jalan buntu. Kini, kami mahu mengusahakan hipotesis bahawa 1350 manuskrip ini dibawa ke Hanoi, kerana berdasarkan pembacaan kami terhadap sumber Cina sekitar 100-500M, Hanoi adalah kota bertaraf metropolitan dan amat hampir dengan Campa. Samhapala, yang pernah bertugas di Funan dan Campa, sebelum ke China, kemudiannya memilih untuk menetap di Hanoi. Tatkala tahun 605M tersebut, pengelasan ilmu di Campa berkemungkinannya seperti yang dicungkil daripada puluhan prasasti Campa berikut :

CamAwal1 : Tatabahasa Panini dan ulasannya Kashikavrtti,

CamAwal2 : Horasastra, iaitu Astrologi dan Astronomi,

CamAwal3 : Enam sistem falsafah iaitu Samkhya, Yoga, Mimamsa, Vedanta, Nyaya dan Vaisesika,

CamAwal4 : Doktrin-doktrin Buddha,

CamAwal5 : Dharmasastra, terutamanya Manavadharmasastra, juga disebut sebagai Manu Smrti atau Bharggavija Dharmasastra, dan Narada Smrti. (Rujuk prasasti Myson Indravarman II bertarikh 1010S/1088M dan prasasti Myson Jaya Indravarman IV bertarikh 1092S/1170M),

CamAwal6 : Kesusasteraan mazhab Vaisnaya dan Saiva, terutamanya buku Uttarakalpa dan Caktanandatarangini (Rujuk prasasti Hoa-Que Bhadravarman III bertarikh 831S/909M dan prasasti Lai-trung Indravarman III/Jaya Indravarman I bertarikh 843S/921M),

CamAwal7 : Empat Veda,

CamAwal8 : Epik, iaitu Ramayana dan Mahabharata. (Rujuk dua prasasti Myson Prakasadharma bertarikh 579S/657M, prasasti Myson Vikrantavarman, prasasti Yang Tikuh Indravarman I bertarikh 721S/799M, prasasti Phu-Luong Rudravarman III bertarikh 83xS dan prasasti Myson Jaya Harivarman I bertarikh 1079S/1157M),

CamAwal9 : Purana, terutamanya Artha-puranasastra atau Puranartha yang merupakan ulasan asli sarjana Campa. (Rujuk dua prasasti Myson Jaya Harivarman I, satu daripadanya bertarikh 1079S/1157M),

CamAwal10 : Kesusasteraan Sanskrit, termasuklah Kavya dan puisi-puisi romantik. (Rujuk prasasti Myson Vikravarman dan prasasti Po-Nagar Jaya Paramesvaravarman I bertarikh 972S/1050M).

Tanpa semakan teliti, kami juga mahu menghipotesiskan bahawa beberapa puluh/ratus daripada sejumlah 1789 buah manuskrip Campa yang masih wujud kini dalam simpanan L’Ecole Francaise D’Extreme Orient, La Societe Asiatique, L’Ecole Francaise D’Extreme Orient (Mikrofilem), Koleksi Po Dharma, Missions Etrangeres de Paris dan Koleksi P-B. Lafont yang bertarikh seawall-awalnya nya kurun ke-17M adalah merupakan salinan demi salinan demi salinan … daripada manuskrip-manuskrip awal tahun 605M tersebut. Keseluruhan manuskrip ini telah dikatalogkan lalu pengelasan ilmunya telah dilakukan. Kami persembahkan sebagai :

CamKmdn1 : Bahasa, Kamus, Bahasa Berbunga, Peribahasa, Syair, Sajak, Pantun dan Teka-Teki.

CamKmdn2 : Astronomi, Azimat, Kalendar, Kosmogeni, Geografi, Alamat, Perbintangan, Melukis Peta, Magik/Sihir, Tangkal dan Doa/Jampi/Mantera.

CamKmdn3 : Dewa, Jin, Simbol, Ketuhanan, Ritual, Agama, Kitab dan Sembahyang.

CamKmdn4 : Akhlak, Moral, Undang-Undang dan Adat.

CamKmdn5 : Rekod Kerajaan, Salasilah, Pertabalan, Peperangan, Tokoh, Panji/Bendera, Tugu, Surat-Surat Kerajaan Pandurangga, Sejarah, Arkib, Diari, Jurnal Perjalanan dan Autobiografi.

CamKmdn6 : Kesusasteraan, Epik, Hikayat, Dongeng, Cerita Rakyat, Perayaan, Nyanyian Rakyat, Upacara dan Perkahwinan.

CamKmdn7 : Embriologi, Kelahiran, Perubatan, Pembenci, Pengasih, Pelembut Hati, Seks, Kebersihan Diri, Seri Penampilan, Ilmu Hitam, Farmasi dan Tafsiran Mimpi.

CamKmdn8 : Teknik, Berburu, Bekerja, Berubat, Pengkebumian, Pertanian, Empangan, Penternakan dan Perumahan.

Lebihan daripada manuskrip-manuskrip yang dijangkakan jauh lebih awal ini, yang kami katakan sebagai “salinan demi salinan demi salinan …” adalah juga sebenarnya sumbangan keilmuan Campa kepada dunia. Jika ini benar, maksudnya sarjana-sarjana Campa menggunakan Bahasa Campa sebagai Bahasa Ilmu, tanpa mungkin menggunakan Bahasa Melayu Klasik. Empat naskhah Kamus Campa-Melayu bertarikh kurun ke-17M, yang diterbitkan semula oleh Po Dharma, mengukuhkan fakta ini. Maksudnya, kamus ini mereka gunakan untuk tujuan alihbahasa. Namun, kitab-kitab yang kami temui dalam kepustakaan ilmu Masyarakat Campa di Kemboja kini adalah dalam Bahasa Melayu Klasik, terutamanya kitab-kitab berkaitan Ilmu-Ilmu Islam, yang disalin daripada kitab-kitab Ilmu-Ilmu Islam yang asalnya dikarang oleh ulama-ulama Melayu.

2.3. Bahasa Melayu Kuno adalah Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Prasasti Sriwijaya-Pagarruyung 600-1400M

Walaupun hanyalah sejumlah 7 prasasti Sriwijaya dalam Bahasa Melayu Kuno dan sejumlah 5 prasasti Pagarruyung, namun bukti-bukti awal ini memanglah menunjukkan bahawa Bahasa Melayu Kuno digunakan sebagai Bahasa Ilmu, terutamanya dalam bidang undang-undang, sebab beberapa buah prasasti tersebut langsung berbicara tentang hukum-hukum yang dikenakan kepada rakyat yang melanggar undang-undang negara. Sehingga sekarang, kami memanglah berusaha mencungkil maklumat berkaitan pelbagai ilmu yang terpahat pada setiapnya. Contohnya adalah, bagaimana boleh ditunjukkan bahawa Adat Perpatih, sebagai sistem politik terawal di Asia yang mendokong demokrasi, dapat dirumuskan sebagai dilandaskan dalam Kerajaan Minangkabau, Pagarruyung, sekitar pertengahan kurun ke-14M.

 

2.4. Bahasa Melayu Kuno adalah Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Manuskrip Kitab Undang-Undang Tanjung Tanah 1345M

Penemuan sebuah manuskrip undang-undang dalam Bahasa Melayu Kuno bertulisan variasi Palawa dan Rencung oleh Voorhoeve pada 1941 memanglah menunjukkan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu Kuno adalah Bahasa Ilmu pada kurun ke-14M, sekurang-kurangnya dalam Kerajaan Dharmasraya. Manuskrip ini diterbitkan oleh Kozok pada 2006, lengkap dengan gambar setiap mukasuratnya, transliterasinya ke Rumi dan alih-bahasanya ke Bahasa Indonesia. Kozok juga melaporkan kewujudan sekitar 134 manuskrip lagi dalam Bahasa Melayu Kuno bertulisan Rencung sezamannya.

 

2.5. Bahasa Jawa Kuno sebagai Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Prasasti Kawi 400-1400M

Ini kali pertama sebenarnya kami menurunkan tinta memperkenalkan prasasti Kawi dalam Bahasa Jawa Kuno kepada khalayak pembaca. Maklumat yang sempat kami kumpul menunjukkan bahawa tidak kurang daripada 250 prasasti didaftarkan sebagai dimiliki oleh Kerajaan-Kerajaan Jawa kuno, seumpama Kediri, Singasari, Majapahit dll. Menariknya, hampir keseluruhan daripada prasasti ini adalah dalam Bahasa Jawa Kuno. Kajian-kajian berkaitan ilmu yang terkandung dalam prasasti-prasasti ini telahpun dilakukan dengan agak sederhana oleh pemikir-pemikir Belanda, tidak pula disambung dengan lebih baik oleh sarjana-sarjana Indonesia. Sarjana-sarjana Belanda merumuskan bahawa ilmu-ilmu berikut dibincangkan pada zaman awal ini, iaitu :

Jawa1 : Wiracarita, tentang cerita-cerita kepahlawanan,

Jawa2 : Tutur, tentang agama,

Jawa3 : Castra, tentang hukum dan undang-undang,

Jawa4 : Casana, tentang panduan2 kepada pemimpin, agamawan, petapa dan Raja,

Jawa5 : Purana, tentang falsafah, teologi, kosmologi dll,

Jawa6 : Pentadbiran, tentang perjalanan kerajaan,

Jawa7 : Usada, tentang perubatan,

Jawa8 : Wariga, tentang almanak/tarikh,

Jawa9 : Wawatekan, tentang daftar tahun,

Jawa10 : Pasasangkalan, tentang perkataan yang bernilai angka,

Jawa11 : Krtabhasa, tentang perkamusan,

Jawa12 : Cantakaparwa, tentang kamus berpuisi.

 

2.6. Bahasa Jawa Kuno sebagai Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Manuskrip Kawi 900-1500M

Pengelasan ilmu tadi bukanlah hanya digali daripada pahatan prasasti-prasasti, namun boleh ditunjukkan memiliki bukti berdasarkan manuskrip-manuskrip Kawi yang masih wujud kini. Kami pernah memberikan senarai ringkasnya dahulu, lalu kami ulangi senarainya di sini menurut masukkan pengarang-tahun masihi-tajuk :

?, 930, Ramayana.

?, 990-1007(?), Adiparwa.

?, 990-1007(?), Wirataparvan.

?, 990-1007(?), Bhismaparwa.

?, 990-1007(?), Uttarakanda.

Kanva, 1035, Arjunavihava.

Triguna, 1098, Krishnayana.

Sedah dan Panuluh, 1157, Bharatayuddha.

Panuluh, 1158(?), Harivamsa.

Panuluh, ?, Ghatotkacasraya.

Dharmaja, ?, Smaradahana.

?, ?, Bhomakavya.

?, ?, Brahmandapurana.

?, 1268(?), Kunjarakarna.

?, 1268(?), Parthayajna.

Prapanca, 1365, Nagaraktgama.

Tantular, 1350-1389(?), Purushadasanta/Sutasoma.

Tantular, 1389, Arjunavijaya.

Tanakung, 1450(?), Siwaratrikalpu.

Tanakung, 1450(?), Wrettasancaya.

?, Mulai 1490, Pararaton.

?, ?, Conda Kirana.

Sambhasuryavarana, ?, Sang Hyang Kamahayanikan.

?, 1500(?), Dewaruci.

?, ?, Korawasrama.

?, ?, Tantu Panggelaran.

 

Keseluruhan bukti 2.1-2.6 ini sebenarnya adalah bukti nyata bagi menunjukkan bahasa Bahasa-Bahasa Rumpun Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu, atau mampu ditafsirkan sebagai bahasa ilmu menerusi kajian Sejarah Ilmu, pada zamannya. Terpulanglah kepada kita semua untuk memperkukuhkan kenyataan ini, atau sebaliknya mahu mengenepikannya. Namun, bukanlah sedikit kesukarannya jika kita mahu meneruskan penyelidikan ini. Yang pastinya, kita mestilah mahir dalam mana-mana Bahasa Rumpun Melayu tertentu jika mahu mengkaji maklumat dalam khazanah ilmu Rumpun Melayu itu. Jika pilihan kita positif, nanti, mampulah kita sedikit mengekalkan atau mengembangkan konsep-konsep asal (berpotensi) yang dinukilkan oleh sarjana-sarjana Rumpun Melayu silam, lalu ditapis menurut neraca Pengislaman Ilmu, dan kemudiannya digunakan untuk diperbandingkan dengan kemajuan ilmu semasa yang dibangunkan oleh Tamadun Barat. Mampukah kita mempertahankan kebudayaan Melayu menerusi kaedah ini? Pada kami, kita mampu lakukannya sebab ilmu adalah teras kepada pembangunan tamadun.

 

3. Bahasa Melayu Klasik sebagai Bahasa Ilmu

3.1. Bahasa Melayu Klasik sebagai Bahasa Sains dan Teknologi Menerusi Bukti Manuskrip Melayu 1300-1800M

Bukanlah sesuatu yang amat baharu mahu diperkatakan apabila kami berbicara berkenaan manuskrip Melayu-Islam. Kepada pengkaji manuskrip Melayu-Islam, mereka maklum bahawa jumlahnya sahaja mencapai 10,000 naskhah, bertebaran seluruh dunia, dimiliki oleh perpustakaan-perpustakaan utama dunia. Itu belum dikira manuskrip-manuskrip yang dimiliki oleh individu-individu dan pondok-pondok tertentu yang belum diketahui oleh penyelidik. Namun, adalah sesuatu yang agak sedikit kelainan kalau kami perkatakan bahawa manuskrip-manuskrip Melayu-Islam ini juga boleh dikelaskan kepada bidang Sains dan Teknologi, berdasarkan tajuk dan kandungannya. Itulah yang diusahakan oleh Dr. Shaharir, dan kami ulangi disini :

Melayu1 : Asal Kejadian Alam, Manusia dan Makhluk Lain.

Melayu2 : Astronomi-Astrologi seperti Ilmu Bintang, Ilmu Falak, Kosmologi dan Kosmogeni.

Melayu3 : Fara’id dan Hukum Waris.

Melayu4 : Ilmu Hisab dan Ilmu Hitung.

Melayu5 : Perubatan seperti tib dan Mujarabat/Mujarrobat.

Melayu6 : Ramalan dan Taabir seperti Astrologi, Azimat, Firasat, Hikmat, Hikam, Akal, Nujum, Ketika/Kuteka, Petua, Primbon, Raksi/Rasi, Rejang, Tilik, Ta’bir dll.

Melayu7 : Sains Hayat seperti Pertanian, Roh, Manusia, Tumbuhan dan Haiwan.

Melayu8 : Sains Fizis seperti Batu Permata, Umur Dunia, Air Gerhana, Gunung Berapi dll.

Melayu9 : Tasawwuf seperti Falsafah, Mantik dan Epistemologi.

Melayu10 : Perniagaan.

 

Kami belumlah berkesempatan memberikan senarai manuskrip judul apakah yang Dr Shaharir letakan dalam kelas tertentu diatas. Namun, setakat ini, Dr. Shaharir sudah mentelalah sekitar 20 manuskrip yang beliau gali kandungannya lalu dibahagi-bahagikan kepada beberapa bidang perbincangan seperti Mantik, Ketakterhinggaan, Unsur Fizik, Kosmologi-Kosmogeni, Falak/Astronomi, Ontologi/Kewujudan- Kebarangkalian-Kemungkinan, Hierarki Kemahuan Dalaman Manusia, Hati/Intuisi/Heuristik dan Unit-Unit Sukatan. Konsep-konsep berpotensi yang dinukilkan oleh puluhan sarjana Melayu-Islam ini kemudiannya akan diperhalusi bentuknya, sebelum diperlagakan dengan konsep-konsep berkaitan yang dibangunkan oleh sarjana-sarjana Barat kini.

 

3.2. Bahasa Melayu Klasik Sebagai Bahasa Ilmu Menerusi Bukti Kamus Melayu-Eropah 1500-1900M

Kalau Bahasa Melayu bukanlah bahasa ilmu, tentulah sarjana-sarjana Barat tidak bersungguh-sungguh mempelajari Bahasa Melayu, yang kami mahu buktikan disini menerusi senarai Kamus Melayu-Eropah yang diterbitkan di Eropah, juga masukkan Kamus Melayu-Jepun dan Melayu-Cina yang bertanda *. Kami tentunya boleh menyenaraikan ratusan buku yang ditulis di Eropah semenjak Marco Polo (1292), yang terkandung di dalamnya pelbagai kefahaman berkenaan Rumpun Bangsa Melayu, tentang ekonomi, politik, pengurusan, agama, sosial, sains, teknologi, dongeng, cerita rakyat dll, namun nanti larilah pula sedikit kaitannya dengan tema yang kami mahu bincangkan disini. Inilah senarai kamus tersebut, dan banyak lagi.

i*. Oe Tadafusa, sekitar penghujung kurun yang ke-11M hingga tahun 1111M (tahun kematian Oe), Daftar Kata Bilangan Melayu Susunan (tak tahu tajuk Jepun).

ii*. ?, jangkaan bertarikh 1365-1511M. Kamus Man La Jiu Guo Yi Yu (khabarnya diubahsuai daripada Kamus Campa-China bertarikh 1365M).

iii. Antonio Pigafetta. 1521. The first Italian-Malay vocabulary.

iv. Cornelis Gerritz, 1588. Some Moluccas Words.

v. Jacob van Neck, 1601, Counting in Molucas Tongue.

vi. Frederick de Houtman. 1603. Spraeck ende woordboek, inde Malaeysche ende Madagaskarche met vele Arabische ende Turcsche Woorden.

vii. Thomas Bowrey. 1701. A Dictionary English and Malayo, Malayo English.

viii. J. Howison. 1800. A grammar of the Malay tongue as spoken in the peninsula of Malacca, the islands of Sumatera, Java, Borneo, Pulo Pinang etc. in two parts; English and Malay, and Malay and English, to which is prefixed a grammar of that language.

ix.William Marsden. 1812. A dictionary of Malayan Language in two parts: Malayan and English & Malayan

x. Boze, P. 1825. Dictionaire Francais et Malais ccontenant des dialogues familiers.

xi. John Crawfurd. 1852. A Grammar and Dictionary of Malay Language, with preliminary dissertation.

xii. J. Pijnappel. 1863. Maleisch-Nederduitsch woodeboek.

xiii. Bandings, A. H. 1872. Nieuw Hollandsch-Maleisch, Maleisch-Hollandsch

xiv. J. Pijnappel. 1875, Maleisch-Hollandsch Woordenboek, Malay-Dutch Dictionary.

xv. Favre. 1875. Dictionaire Malaise Francais.

xvi. Woordendoek, 1880, Woordenboek voor de zeevaart in het Hollandsch-Maleisch-Fransch-Engelsch.

xvii. Frank Swettenham. 1881. Vocabulary of the English and Malay Language.

xviii. Hugh Clifford and Frank Swettenham. 1894. A Dictionary of Malay Language.

xix. William Shellabear. 1899. A Dictionary of Standard Malay.

Menerusi Kamus-Kamus Eropah-Melayu inilah, Bangsa-Bangsa Portugis, Sepanyol, Perancis, Belanda, German dan Inggeris mempelajari Bahasa Melayu, lalu bertindak mengkaji serba-serbinya ilmu yang dipunyai oleh Rumpun-Rumpun Bangsa Melayu, dan merakamkannya di dalam ratusan buku yang mereka terbitkan di Eropah, contohnya buku berkenaan Perdagangan Melayu dalam buku Tom Pires, Suma Oriental (1512) dan Perubatan Melayu dalam buku Jacobus Bontius, Tropische Geneeskunde (1630).

4. Tatacara Memperkasa Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Kini

Walaupun nampak baik pengumpulan datanya seperti yang kami lakukan pada Subbahagian 2.1-2.6 dan Bahagian 3, namun sebenarnya amatlah jauh lagi perjalanan bagi membangunkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Yang kita perbincangkan sebelum ini hanyalah mampu dikelaskan sebagai pemuziuman ilmu, iaitu menyimpan khazanah ilmu dengan baik terhindar daripada musnah disebabkan faktor cuaca dan manusia. Isunya, bolehkah ilmu yang tersimpan dengan baik itu bertindak sendiri menjadikan dirinya terpakai oleh masyarakat? Tentu tidak masuk akal. Manusialah yang menjadikannya berguna lalu bertindak memperbetulkan keadaan yang tidak betul, meluruskan yang bengkok. Untuk itu, kami masihlah memerlukan puluhan penyelidik yang dikira pakar dalam bidang masing-masing, terutama bidang yang bersangkutan dengan Sains dan Teknologi (umum difahami sebagai bidang-bidang yang banyak unsur Matematiknya, termasuk bidang Sains Sosial) untuk mereka bersama-sama melakukan pemuziuman ilmu dan pencungkilan/pentafsiran/ perbandingan/pembangunan juzuk-juzuk ilmu Rumpun-Rumpun Bangsa Melayu. Tahap kedua itulah yang kami maksudkan sebagai “amatlah jauh lagi perjalanan bagi membangunkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu”. Namun, kami telah memulainya dan akan terus berusaha melakukannya, tak kira apa rintangannya. Diharap ada yang sudi terjun berkecimpung melakukannya. Jangan hanya terpegun dengan Filem Merong Mahawangsa!

 

5. Apa Peranan Pulau Pinang? Cadangan

Apabila memikirkan berkenaan subtema “Apa Peranan Pulau Pinang?”, kami terhenti sejenak berfikir beberapa jam. Apa yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Pulau Pinang? Takkanlah anjurkan Diskusi Tertutup, Forum, Seminar, Persidangan dan Kongres sahaja? Takkanlah berretorik sahaja? Apakah cadangan paling konkrit? Kami tidaklah mahu mengatakan bahawa cadangan kami konkrit, namun mahu menghujahkan berdasarkan pengalaman penyelidikan kami selama hamper 10 tahun. Oleh kerana kajian yang kami lakukan adalah bersangkutan kepada kepelbagaian ilmu yang disalin/dibaiki/diubahsuai/dirumus-semula/dihasilkan oleh pelbagai tamadun manusia, iaitu Tamadun India, China, Arab, Greek-Rom-Eropah-Barat dan (Rumpun) Melayu, makanya kami mencadangkan agar Kerajaan Pulau Pinang menubuhkan sebuah Balai/Institut Penyelidikan yang khusus mengkaji bagaimana ilmu-ilmu tertentu dihasilkan oleh mana-mana tamadun manusia tadi, atau lain lagi, lalu dikembangkan dizamannya. Kemudian, penyelidik-penyelidiknya bolehlah melakukan perbandingan ilmu-ilmu tersebut dengan ilmu-ilmu Eropah-Barat sekarang, untuk mendapatkan manfaat yang lebih baik kepada masyarakat-masyararat diMalaysia bagi mengharung zaman globalisasi/glokalisasi yang penuh getir ini.

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *