Kemaskini terbaru: April 8, 2014

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Teori Pengetahuan, Percakapan dan Kelakuan Sebagai Teras Pendidikan Karakter

 

Oleh : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

 

1. Pengenalan

Apabila seseorang penyelidik mahu merungkai sesuatu sejarah, tetapi bukan hanyalah mahu tamat pada merungkai sejarah itu sahaja, tetapi mahu pergi jauh membangunkan maklumat-maklumat yang digelintarnya daripada rungkaian tadi, lalu beliau mestilah melakukan tugas sedikit berat membandingkan maklumat-maklumat sejarah tadi dengan maklumat-maklumat semasa. Itupun, kalaulah dia mahu melihat betapa relevannya maklumat-maklumat sejarah tadi dalam kehidupan semasa kini. Kalau tidak, sejarah akan tamat pada sejarah sahaja, tidak lebih. Itulah yang kami mahu lakukan disini, iaitu menggali teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan yang terbenam dalam lipatan sejarah Minangkabau, lalu membandingkannya dengan pencapaian teori-teori sepertinya  di Eropah. Kenapakah Eropah? Kerana teori-teori yang dinukilkan di sanalah semenjak kurun ke 16M yang kini mendominasikan perbahasan-perbahasannya di kalangan warga universiti dan intelektual. Selainnya dianggap telah dirangkumkan di dalamnya. Kami berpendapat, jika proses ini dilaksanakan, teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan Minangkabau yang akan digelintar tersebut akan teranjak ke hadapan dari segi teori dan kepenggunaannya. Kami telah menggali sedikit sebanyak apa yang kami namakan sebagai teori pengetahuan Minangkabau tersebut, lihat Mohammad Alinor (2014). Sekarang, kami mahu melanjutkan perbahasan dengan mengatakan bahawa teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan inilah yang sepatutnya menjadi teras kepada pendidikan karakter golongan muda Minangkabau. Kenapa? Kerana teras ini adalah teras yang digali dari kebudayaan sendiri, malahan akan ditunjukkan bahawa teras ini adalah terbandingkan dengan teori-teori Eropah semasa. Tidaklah nanti dirasakan keterasingan apabila berbicara tentangnya atau mendengarkan orang berbicara tentangnya. Bagaimanakah pula boleh dikatakan bahawa teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan boleh menjadi teras kepada pendidikan karakter? Tidak mudah juga untuk menjawab soalan ini. Namun, kami mahu menjawabnya begini. Pendidikan karakter adalah jenis pendidikan yang bermanfaat untuk membentuk sekurang-kurangnya tiga perkara penting kepada seseorang anak muda, iaitu pengetahuan, percakapannya dan kelakuannya. Untuk mendapatkan tahap percakapan (atau silogisme dan retorik) yang baik dan berkualiti, seseorang perlu memiliki kaedah berfikir yang baik dan berkualiti juga. Dengan kata lain, memiliki kaedah berfikir itu bermaksud beliau mestilah mampu menguasai teori-teori pengetahuan (atau epistemologi). Teori-teori pengetahuan inilah yang akan memandu lidahnya tatkala beliau mahu mengeluarkan penghujahan, samada tatkala mengeluarkan persoalan, menjawab persoalan, merasionalkan persoalan, memecahkan persoalan, menyelesaikan sub-sub soalan, menggabungkan penyelesaian, dll. Sehingga dikatakan bahawa yang difikirkan itu adalah seperti yang diujarkan. Ini adalah salah satu bidang utama kajian dekonstruktif (kaedah utama dalam gerakan pasca-moden), iaitu mengkaji apakah yang dicakapkan (terbitannya dituliskan) oleh seseorang adalah sepertimana yang difikirkannya? Menulis autobiografi termasuk dalam bidang ini. Begitu juga, teori pengetahuanlah yang memandu seseorang melakukan apa-apa yang mahu dilakukannya dengan anggota-anggota badannya. Dengan kata yang lain, apa yang difikirkannya adalah juga apa yang mahu dilakukannya. Ini tentunya masuk dalam perbahasan teori kelakuan (etika dan psikologi), iaitu apakah perbuatan seseorang itu selaras dengan apa yang difikirkan hendak dilakukannya? Ringkasnya, teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan adalah teras kepada pendidikan karakter. Malah, meletakkan teori pengetahuan sebagai sebahagian daripada pendidikan karakter akan memperkukuhkan percakapan dan kelakuan. Hal ini sebenarnya telah disentuh oleh Errington (1984), namun dalam bentuk perbahasan ynag lain, terutamanya pada Bahagian III : Adaik and Epistemology. Sekarang, kami persembahkan apakah yang kami maksudkan sebagai teori pengetahuan Minangkabau.

 

2. Unsur-Unsur Teori Pengetahuan Minangkabau

Sebelum kami membahas apakah teori pengetahuan Minangkabau, ada baiknya kami bawakan dahulu perbincangan berkenaan teori-teori pengetahuan yang telah mengalami proses kemajuan di Eropah. Tidak banyak sebenarnya buku-buku bidang teori pengetahuan di Eropah yang menghimpun dengan agak teliti sejarah teori pengetahuan Eropah. Namun, kami tidaklah pula mampu menyemak semuanya, ratusan jumlahnya. Apa yang kami mahu perturunkan di sini adalah takrif-takrif pengetahuan yang dinyatakan oleh Bolzano (1837/1972). Dalam usaha beliau untuk mengkritik kelemahan yang terdapat dalam pelbagai teori pengetahuan sebelumnya dan seterusnya mendapatkan sintesis teori pengetahuan yang baru, beliau telah mengelaskan teori-teori tersebut :

(i) Pengetahuan adalah hukum-hukum yang menjelaskan kefahaman dan penghujahan, atau adalah hanya pemikiran (Kant (1755/1886), Sigwart, Kiesewetter, Krug, Tieftrunk, Calcer dan Esser).

(ii) Pengetahuan adalah untuk mempertajamkan dan menyempurnakan fakulti kognitif/fikir melalui kaedah-kaedah tertentu (Clauberg dan Reusch)

(iii) Pengetahuan adalah untuk memeringkat dan memandu intelek atau fikiran manusia kearah  mengenal benda (Keckermann, Wolff, Gaudin, Crusius, Darjes, Miotti dan Ulrich)

(iv) Pengetahuan adalah kebolehan menyempurnakan perbincangan untuk mencapai kebenaran (Melanchthon, Watt, Fonseca Peter Ramus, dan Hollmann).

(v) Pengetahuan adalah prinsip pertama/mutlak untuk kefahaman manusia (Salomo Maimon)

(vi) Pengetahuan adalah kajian tentang sejarah, operasi dan kesan intelektual, atau pembentukan, persembahan, kombinasi dan deduksi idea, atau kajian tentang alat mendapat pengetahuan (Destutt de Tracy, Ernst Platner dan Beneke)

(vii) Pengetahuan adalah proses mengabstrak perwakilan benda-benda yang berbeza. Pengetahuan adalah kaedah bagi mendapatkan kefahaman (Jacob). Pengetahuan adalah pembentukan pemikiran, yang bentuk pemikiran adalah kaedah bagaimana idea dibangunkan dalam pemikiran (Hoffbauer). Bentuk pemikiran adalah media mempersembahkan pemikiran, yang hanya boleh diperolehi melalui kesepaduan kesedaran (Metz). Pengetahuan adalah pemikiran formal, iaitu hubung kait idea-idea tanpa merujuk langsung kepada benda-benda yang dirujuk (Krug).

(viii) Pengetahuan adalah pengelasan konsep (Herbert).

(ix) Pengetahuan merupakan antitesis kepada kesedaran. Pengetahuan adalah berkenaan penyamaan pemikiran dengan benda yang difikirkan, dan penyamaan benda yang difikirkan dengan pemikiran (Hegel (1812/1975)).

(x) Pengetahuan adalah prinsip Identiti dan Percanggahan (Twesten).

(xi) Pengetahuan adalah doktrin dan intuisi (Fichte (1794/1970), Bolzano (1837/1972) dan Schelling).

Semua teori ini sebenarnya dibangunkan di atas analisis terhadap tiga atau empat unsur utama, iaitu benda-benda yang berada di sekeliling, alat-alat badan yang mencerap sifat-sifat benda-benda tadi, proses menerima pengetahuan menerusi perwakilan benda-benda dan pengetahuan/konsep. Lalu, perkara-perkara inilah yang dimanfaatkan untuk sarjana-sarjana Eropah yang dinyatakan d iatas untuk masing-masing merumuskan teori-teori pengetahuannya. Kami akan memanfaatkan perkara-perkara yang sama, tetapi mengutip maklumatnya daripada pustaka lisan Minangkabau.

2.1. Alat Menerima Pengetahuan

Kami sebenarnya menyedari bahawa Bangsa Minangkabau tersebut memiliki teori pengetahuannya sendiri, walaupun dipinjam daripada Kebudayaan Buddha India, sewaktu kami membahas Batu Bersurat Bukit Gombak dalam Bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno bertarikh 1278S/1356M, nukilan Adityawarman, lihat Mohammad Alinor (2012 & 2013). Di dalamnya didakwa Adityawarman memiliki “pancasadabhijna” pada baris yang ke-5. Istiawan (tt) merakamkan maksudnya sebagai “lima-enam jenis ilmu pengetahuan”. Mudahnya, “panca” bermaksud “lima”, “sada” bermaksud “enam” dan “bhijna” bermaksud “ilmu/pengetahuan/ilmu pengetahuan”. Gelintaran kami terhadap perkataan ini di dalam kepustakaan Buddha India  menemukan kami kepada jawapannya, iaitu “caksurvijnanam” (kesedaran mata), “crotravijnanam” (kesedaran telinga), “ghranavijnanam” (kesedaran hidung), “jihvavijnanam” (kesedaran lidah), “kayavijnanam” (kesedaran kulit) dan  “manovijnanam” (kesedaran fikiran). Umumnya, mata, telinga, hidung, kulit dan lidah adalah alat-alat pada badan manusia yang berfungsi (kesedaran) terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling manusia tersebut lalu mengambil maklumat daripada perkara-perkara tersebut tertakluk kepada fungsinya masing-masing. Fikiran juga kadang-kadang dianggap sebagai pancaindera ke-6, walaupun fungsinya bukanlah hanya mengambil maklumat yang berikan oleh lima pancaindera tadi, tetapi dirinya juga mengambil maklumat terhadap perkara-perkara yang berlangsung di alam idea, seperti pemikiran bawah sedar, mimpi, ilham, dll, dan juga berfungsi menganalisis maklumat-maklumat tersebut dan menyimpannya secara bersistem. Walaupun jaraknya mungkin 300 tahun, iaitu semenjak tarikh batu bersurat tersebut berbanding maklumat-maklumat yang dinyatakan secara lisan di bawah (dengan anggapan pustaka lisan ini dinukilkan di zaman setelah Islam masuk ke  Minangkabau), namun kesamaan beberapa perkara daripada kedua-duanya amatlah jelas.

Apabila diteliti buku Dt. Madjo Indo (1999), pengarang mendapati semua hal yang disebutkan sebagai alat-alat menerima pengetahuan dan fungsinya juga dinyatakan dengan baik di sini. Bait-bait yang pengarang ini petik dari XI : Raso Pareso dan persembahan secara tersusun adalah seperti berikut:

            Nan dimakan raso

            Nan dilihek rupo

            Nan didanga bunyi

            …….

Ini adalah penjelasan berkenaan tiga alat menerima pengetahuan, iaitu lidah, mata dan telinga. Kemudian “Nan dimakan raso” pula dijelaskan sebagai

            Nak tahu dipadeh lado

            Nak tahu diasin garam

            Manauik sahabih gauang

            Mamakan sahabih raso

            ……..

 

Manakala, “Nan dilihek rupo” dijelaskan sebagai,

            Jauah bajalan banyak dilihek

            …….

 

“Nan didanga bunyi” tidak dijelaskan. Walaupun tidak disebutkan di awalnya tadi, namun alat sentuhan iaitu kulit dijelaskan sebagai,

            Ganggam-ganggam baro

            Taraso angek dilapehkan

            Sio-sio menjaring angin

            Taraso lai dapek tidak.

 

Yang langsung tak dijelaskan adalah cium/hidu/bau iaitu menerusi hidung. Hal ini diulang dan diperbaiki dalam XXI : Aka (Akal) yang menjelaskan dengan tersusun apakah sebenarnya alat menerima pengetahuan dan fungsinya.

            Caro manantukannyo ado ampek caronyo

            Pertamo karano dilihek jo mato

            Kaduo karano didanga jo talingo

            Katigo karano disium jo hiduang

            Kaampek karano dirasokan jo lidah

            Atau dirasokan jo dek badan.

 

Semua ini sebenarnya terkait dengan beberapa istilah seperti “kaedah-kaedah tertentu (ii), kearah mengenal benda (iii), alat mendapat pengetahuan (vi), mengabstrak perwakilan benda-benda (vii), benda-benda yang dirujuk (vii) & benda yang difikirkan (ix)” yang dibahaskan dalam teori pengetahuan Eropah.

 

2.2. Jenis-Jenis Akal

Buku Dt. Madjo Indo (1999), XXI : Aka (Akal) juga membincangkan jenis-jenis akal, iaitu

            Ado limo macam aka

            Pertamo aka sumbarang aka

            Kaduo aka manjala

            Katigo aka takumpa

            Kaampek aka tawaka

            Kalimo aka sanaba aka

 

Penjelasannya agak lengkap seperti yang diberikan berikut :

            Nan dikatokan aka sumbarang

            Pio kiri pio kanan manjala hilie mudiak baiak

            jauah atau dakek, baa kamandapak sajo.

 

            Nan dikatokan aka menjala

            Manjala hilie mudiak kiri kanan, sasiuik namuah

            kaapi, salewai namuah kaaie, barang tagendeang namuah maambiak,

            nan sajombo nak manuai, pilin jariang nak barisi,

            pilin kacang nak mamanjek, aka nak mandapak sajo, indak dapek kapai,

            kapulang disinggahi juo.

 

            Nan dikatokan aka takumpa

            Takalok tatalu mati, manyuruak talampau hilang,

            angan lanteh paham tatumbuak, awak sanang sangketo tibo,

            aka ado usaho ilang, manaruah

            sagan jo ragu.

 

            Nan dikatokan aka tawaka

            Apo nan datang dinanti sajo

            basarah diri kapado nan Maha Kuaso

            apo nan tibo ditarimo sajo, manyarah kepado nasib.

 

            Nan dikatokan aka sabana aka,

            Sagalo sesuatu diusahokan sampai dapek,

            Kalaulah diusahokan indak barhasil, barulah basarah diri pado nan Maha Kuaso,

            Indak manarimo takadie sajo, tapi bausaho sadapek mungkin,

            Manyadari juo usaho jo kakuatan nan ado di dalam diri.

 

Bolehkah dikatakan “akal manjala” adalah fikiran yang menuruti al-Khwarizmi/algoritma/tatacara tertentu? Sebagaimana al-Khwarizmi dibina sebelum menulis aturcara komputer. Dan “aka takumpa” adalah fikiran yang tidak bergerak, mati logiknya dan buntu? Juga, semua yang dikutip di atas boleh diperbandingkan dengan istilah-istilah “kefahaman (i), (v) & (vii), mempertajamkan dan menyempurnakan fakulti kognitif/fikiran (ii), memeringkat dan memandu intelek dan fikiran (iii), sejarah, operasi dan kesan intelektual (vi), pembentukan, persembahan, kombinasi dan deduksi idea (vi), pembentukan pemikiran & bentuk pemikiran (vii), pemikiran (ix) & doktrin dan intuisi (xi)” yang dibahaskan dalam teori pengetahuan Eropah.

 

2.3. Jenis-Jenis Pengetahuan

Dt. MadjoIndo (1999), XXI : Aka (Akal) juga membahas jenis-jenis pengetahuan, iaitu

            Timbuenyo dari ampek macam

            Pertamo datang dari pikiran sendiri

            Kaduo datang dari urang lain

            Katigo datang dari ilham

            Kaampek dari usaho, karano dipalajari.

 

Yang pertama itu sebenarnya adalah kaedah berfikir manusia, kedua itu adalah yang dipanggil khabar benar, yang ketiga itu kini dipanggil intuisi dan yang keempat itu pendidikan. Namun, semua ini sedikit berlainan daripada apa yang dibahaskan dalam XXII : Ulemu (Ilmu), yang juga mengutip perbincangan jenis-jenis pengetahuan

            Ampek macam ulemu pangatahuan

            Partamo ulemu pangatahuan tantang diri

            Kaduo ulemu pangatahuan tahu tantang urang lain

            Katigo ulemu pangatahuan tahu pado alam

            Kaampek ulemu pangatahuan tahu pado nan Maha Kuaso

 

Setiapnya dibicarakan perinciannya sebagai berikut,

            Nan dikatokan ulemu pangatahuan tantang diri

            Manggunokan raso jo pareso, manimbang sakik jo sanang,

            kalau dipiciak sakik di awak, di urang baitu pulo,

            apo nan tajadi dirasokan kapado diri sandiri

 

            Nan dikatokan ulemu pangatahuan tahu tentang urang lain

            Dilihek pado panyababnyo bagai ulemu mamancing ikan,

            lain lubuak lain ikannyo, lain ikan lain umpannyo,

            babagai ragam alam, hitam putiah, tinggi randah,

            indak disamo ratokan sajo

 

            Nan dikatokan ulemu pangatahuan tahu pado alam

            Jikok mamarentah dalam kampuang, jikok tarjadi silang sangketo,

            tibo di nan saindu, atau di nan sapayuang, manyalasaikannyo indak buliah

            barek sabalah (bapihak-pihak), luruih jo adie dipagunokan bana

 

            Nan dikatokan pangatahuan tahu pado nan Maha Kuaso

            Tahi diasa jo sapaiknyo dikaji sipaik nan mustahie sarato jo nan wajib,

            basariaik bahakikaik, bahakikaik bamakripaiak.

 

“Pangatahuan tantang diri” itu kekadang disebut oleh Heidegger sebagai eksistensial manusia. Freud menggelarkan sebagai Ego. Manakala “pangatahuan tahu tantang urang lain” itu adalah psikologi kelakukan. Juga, pangatahuan tahu tantang alam” tidak pula bermaksud sains persekitaran, seperti yang kita fahami alam itu, tetapi bermaksud pengurusan.

 

3. Teori Percakapan Minangkabau

Beberapa hal seperti yang ditakrifkan pada teori pengetahuan Eropah tersebut menyentuh bahagian perbincangan di sini. Hal seumpama “kebolehan menyempurnakan perbincangan untuk mencapai kebenaran (iv)” dan “prinsip Identiti dan Percanggahan (x)” adalah sebenarnya berkaitan kepada percakapan/pengujaran/penghujahan. Menyempurnakan perbincangan merujuk kepada sekurang-kurangnya dua manusia rasional yang memulai berhujah tentang sesuatu perkara, yang salah seorang daripadanya atau kedua-duanya sekali samar pengetahuannya tentang perkara itu, sehinggalah kedua-duanya bersetuju bahawa mereka sampai kepada kefahaman tentang perkara tadi. Prinsip Identiti dan Percanggahan merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang setara dan saling bertentangan maknanya dalam sesuatu penghujahan. Contohnya, “hujan sedang turun” setara maksudnya dengan “awan gelap sedang menurunkan hujan ke bumi”. Manakala “air itu manis” bercanggah dengan “air itu rasanya masin”. Maklumat-maklumat yang lebih khusus sebenarnya bolehlah ditelaah daripada Lewis (1960), Whately (1846) dan Blair (1793). Dt. Madjo Indo (1999), XIX : Kato merakamkan hal-hal berikut :

            Ilmu kato ampek macamnyo

            Pertama kato sama

            Kaduo kato sadiak

            Katigo bungkuak bana

            Kaampek kato kurenah

 

“Kato sama” dijelaskan sebagai :

            Nan dikatokan kato sama

            Kato baiak nan diparbaiki

            Binaso kato jikok dibinasokan

            Sah kato jikok disahkan

            Haruih kato jikok diharuihkan

            Kato nan ditarimo indak salamonyo

            tatap diharuihkan

            Kato sarak atau kato adaik

            ado duo tampeknyo

            Ditampek salah atau ditampek bana.

 

“Kato baiak nan diparbaiki” mungkin bermaksud mendapatkan pernyataan-pernyataan logik yang lebih dasar berbanding sebelumnya. “binaso kato jikok dibinasokan” mungkin bermaksud manfikan sesuatu pernyataan. “Ditampek salah atau ditampek bana” pastinya bermaksud secara logik kebenaran “tidak/0” atau “ya/1”. Seterusnya, “Kato sadiak” dijelaskan sebagai :

            Nan dikatokan kato sadiak tamasuk kato bana juo

            Dikuasai manuruik sarak atau manauruik adaik

            Kadang mencapai kemuliaan

            Ado kalonyo sampai pado mukasuiknyo sajo.

 

Ini adalah khabar benar yang dibincangkan dalam 2.3. Seterusnya, “Kato bungkuak bana” dijelaskan sebagai :

            Nan dikatokan kato bungkuak bana ado duo tampeknyo

            Ado nan sadaik bantuaknyo bana atuak suatu usaho

            Tapi digunokannyo untuak kaparaluan pribadi.

 

“Kato kurenah” dijelaskan pula sebagai :

            Nan dikatokan kato kurenah

            Banyak curito pangalaman nan diliheknyo

            atau didapeknyo dari nan tuo-tuo dahulunyo

            jikok ado usaho nan bapaedah untuak dirinyo,

            ingin maambiaknyo untuak mancapai sagalo mukasuiknya

            Indak marugikan urang lain, nan paralu dirinyo sanang.

 

4. Teori Kelakuan Minangkabau

Rujukan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk dibandingkan dengan pungutan-pungutan di bawah adalah Kant (1785/1976 & 1788/1976), sebabnya di Eropah selepas beliau subjek etika menjadi suatu yang mendominasi. Pungutan Dt. Madjo Indo (1999), LXI : Kalakuan adalah seperti yang dinyatakan di bawah :

            Laku nan elok sapuluah macamnayo

            Pandai maratokan pergaulan indak dirandah ditinggikan

            Pandai-pandai manengang raso dalam babue samo gadang

            Pandai maagak maagiahkan dibaliak-baliak mangko dibalah

            Pandai baliku di nan tarang pandai balinduang di nan paneh

            Pandai maambiak patangahan laku elok baso katuju

            Manapek-i sagalo janji tunduak patuh di nan bana

            Elok parangai duduak tagak tabaoan taratik minum makan

            Anggoto nan tujuah samo dijago balaku arif bijaksano

            Mangarati jo tunduak ka undang-undang sarato ka adaik jo limbago

            Banyak ilmu pangatahuan sabanyak bintang dilangik sapanuah aie dilautan.

 

Lawannya :

            Laku nan buruak sapuluah macamnyo

            Elok baso indak katuju

            Baiak budi indak manantu

            Gadang sanduak indak mambao

            Gadang suok indak manganyang

            Kareh hantak indak luluih

            Elok tungkuih indak barisi

            Banyak agak indak mamutuih

            Gadang garogok indak bamalu

            Kareh latuih indak barasok

            Kuaik dantam indak babunyi.

 

5. Lanjutan

Tidaklah semudahnya mahu dikatakan bahawa seseorang penyelidik mampu melakukan perbandingan antara pendidikan karakter Minangkabau dengan pendidikan karakter Eropah, terutamanya menerusi teori pengetahuan, percakapan dan kelakuan. Walaupun itu boleh dilakukan dengan bersusah-payah, namun, yang lebih utama daripada itu adalah keupayaan penyelidik tersebut untuk mendapatkan pemetaan tiga teori ini di bumi Minangkabau, berserta bukti-buktinya yang meyakinkan. Umum mesti mengetahui dari manakah sumbernya ketiga-tiga teori tersebut sehinggakan kualiti perbahasannya amatlah tinggi nilainya, terbandingkan dengan Eropah, juga pastilah dengan Islam (unsur-unsur Islam ada padanya) dan India (Hindu-Buddha). Ini mesti diselesaikan dalam jangka masa terdekat, agar hal-hal yang lain boleh turut diselesaikan.

 

Rujukan

  1. Blair, H. 1793. Lecture on Rhetoric and Belles Lettres. Dublin : ?.
  2. Bolzano, B. 1837/1972. Theory of Science : Attemp at a Detail and in the main Novel Exposition of Logic. Berkeley and Los Angeles : Univ of California Press.
  3. Errington, F.K. 1984. Manners and Meaning in West Sumatra : The Sosial Context of Consciousness. New Haven : Yale university Press.
  1. 4.      Fichte, J.G. 1795/1970. Science of Knowledge. Cambridge : CUP.
  2. Kant, I. 1755/1886. Logic. London : Longmans, Green and Company.
  3. ———. 1785/1976. Foundations of the Metaphysiscs of Moral. New York : Garland Publishing Inc.
  4. ———. 1788/1976. Critique of Practical Reason. New York : Garland Publishing Inc.
  5. Lewis, C.S. 1960. Studies in Words. Cambridge : CUP.
  1. Hegel, G.W.F. 1812/1975. The Science of Logic. Oxford : The Clarendon Press.
  2. Istiawan. tt. Selintas Prasasti dari Melayu Kuno. Manuskrip.
  1. Dt. Madjo Indo, A.B. 1999. Kato Pusako : Pepatah, Patitih, Mamang, Pantun Ajaran dan Falsafat Minangkabau. Jakarta : Majelis Pembina Adat Alam Minangkabau Jakarta dan PT Rora Karya.
  2. Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2012. Adityawarman Sebagai Ahli Falsafah. Seminar Ratusan Tahun Pengalaman Minangkabau Negeri Sembilan. Padang : KAGUM & UNAND : 63-70.
  3. ——————————————-. 2013. Adityawarman Sebagai Ahli Bahasa? Dewan Bahasa, Mac 2013 : 48-51.
  4. ——————————————-. 2014. Teori Pengetahuan Bangsa Minangkabau. Diserahkan kepada Majalah GADANG.
  5. Whately, R. 1846. Elements of Rhetorics : Comprising an Analysis of The Laws of The Evidence and of Persuasion, With Rules for Argumentative Composition and Elucation. 7th Edition. London : B. Fellows.

.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *