Kemaskini terbaru: May 3, 2014

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Persenjataan Minangkabau

 

Oleh: Mohd Shafiq Mohd Ali

 

Minangkabau merupakan salah satu etnik Melayu yang tinggal di kawasan Sumatera Barat. Pengalaman etnik ini berperang sesama mereka dalam perang Padri yang disebabkan oleh pergeseran yang terjadi antara pihak Adat dan juga pihak Agama. Selain itu, orang Minang juga mempunyai pengalaman dalam berperang dengan Belanda. Betapa sukarnya Belanda untuk menewaskan orang Minang ini sehinggalah seorang kapten Belanda, Kapten Hendrix menulis sebuah catatan yang kemudian dibukukan untuk menjadi bacaan wajib kepada setiap tentera Belanda yang akan dihantar berperang ke Sumatera.

 

Orang Minang sudah pandai membuta senapang dan juga mengeksport hasil senapang mereka pada abad ke-18 beserta pelurunya. Antara kerajaan yang membeli senapang hasil tangan orang Minang ini adalah Acheh dan juga Portugis. Orang Minang ini juga selain pandai membuat senapang, mereka juga golongan yang pandai menggunakan senapang dengan sebaiknya. Seorang Belanda yang pernah berkunjung ke Sumatera Barat sewaktu Perang Padri sedang berlangsung ada menulis mengenai kehebatan orang Minang dengan menyatakan keberanian, terlatihnya tentera mereka dalam peperangan, penembak yang jitu dan juga bangsa yang pandai menggunakan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan yang kukuh serta sukar ditembusi. Kepandaian menggunakan senapang, ditambah pula dengan boleh membuat senapang sendiri, menjadikan orang Minang boleh menginovasi senapang yang dibawa dari China dan Turki. Perbezaan senapang yang diimport daripada luar dengan senapang yang diperbuat sendiri oleh orang Minang adalah adanya sumbu khas. Fungsi sumbu ini hanya diketahui oleh orang Minang sahaja kerana senapang jenis ini tidak pernah dilihat dari mana-mana bahagian pembuatan termasuklah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang mengajar orang Minang membuat senapang melalui wakil daripada kerajaan Turki. Rusli Amrin (1981) ada menyatakan senapang yang dibuat oleh orang Minangkabau ini serupa dengan senapang yang dibawa oleh Belanda, cumanya senapang ciptaan orang Minang hanya ketinggalan setahun dua sahaja.

 

Daerah yang terkenal dengan industri pembuatan senapang adalah di Sg. Yani dan juga Sg. Puar. Teknologi pembuatan peluru senapang adalah sangat unik bagi orang Minang kerana pembuatan peluru biasanya dilakukan oleh orang-orang perempuan yang tidak pergi berperang. Ini memberi sumbangan besar dalam membantu lelaki yang sibuk berperang manakala perempuannya menghasilkan peluru di rumah semasa ketiadaan lelaki. Kebiasaannya, peluru yang digunakan adalah peluru timah yang dicampur dengan pecahan porselin, besi dan beras. Bahan pecahan ini dimasukkan ke dalam peluru adalah untuk menyebarkan bahagian-bahagian kecil itu ke dalam tubuh musuh. Peluru senapang ini dibuat dengan mencampur saltpeter (kalium nitrat) yang diambil daripada najis haiwan dengan belerang yang diperolehi daripada gunung berapi mahupun sumber air panas dan arang. Saltpeter dan belerang akan dimasak di atas wajan besi pada suhu yang amat tinggi. Menurut Anthony Reid (2004), kaedah yang digunakan oleh orang Minang merupakan kaedah yang sederhana tetapi sangat merbahaya. Anthony juga merasa hairan kerana kemalangan yang berlaku semasa proses pembuatan ini amatlah kecil kerana mereka bukanlah melakukan proses tersebut dalam kilang khas yang mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Mereka hanya membuat peluru ini di rumah-rumah sendiri. Ini menunjukkan bahawa tahap ketelitian mereka semasa melakukan proses pembuatan peluru tersebut dengan keadaan berjaga-jaga supaya tiada kecelakaan berlaku.

 

Kebanyakan sejarawan tidak dapat mengenal pasti bilakah kali pertama orang Minang mengenal dan pandai membuat senapang ini. terdapat dua kemungkinan bagaimana orang Minang boleh mengenal dan membuat senapang sendiri serta menguasai kemahiran serta teknologi pembuatan senapang. Pertamanya adalah daripada kerajaan China dalam era Maharaja Ming iaitu antara 1390-1527 kerana pada akhir abad ke 14 dan awal abad ke 15, teknologi pembuatan senapang dan peluru daripada China telah tersebar di seluruh Semenanjung Melaka dan Sumatera yang menyebabkan penyebaran besar-besaran teknologi pembuatan senjata ke atas kerajaan-kerajaan daerah di Melaka dan Sumatera sebelum orang Eropah datang memperkenalkan senapang dan senjata-senjata mereka (Sun Laicen, 2003).

 

Kemungkinan kedua adalah daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pencerobohan tentera Portugis ke Lautan Hindi untuk menguasai jalur perdagangan lada pada 1489 memaksa kerajaan Acheh meminta perlindungan serta bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Turki dengan membawa ufti dan surat pengakuan Kerajaan Acheh tunduk pada Kerajaan Turki. Sebagai balasan, pada 1520, Vezir Sinan Pasha mengirimkan pedang dan juga meriam Turki sebagai bantuan awal kepada Acheh. Selepas itu, pada 1537, Sultan Suleiman mengirim armada lautnya ke Gujerat untuk menghancurkan angkatan laut Portugis dan pasukan ini tiba di Acheh bagi membantu Acheh berperang melawan Batak serta saki-baki tentera Portugis. Sepucuk surat daripada Sultan Awaluddin pada 1567 meminta bantuan ketenteraan daripada pihak Turki dan Sultan Selim II menghantar bantuan ketenteraan bagi membantu Acheh berperang dengan Portugis. Selain menghantar tentera, baginda Sultan Selim II turut mengirim bersama tukang-tukang yang berpengalaman untuk membina senjata antaranya ahli dalam pembuatan senapang dan meriam untuk kegunaan Acheh (Marsden, 1783). Kehadiran tukang yang mahir itu membolehkan penduduk tempatan mempelajari dan pandai membuat sendiri sehinggakan meriam dan senapang yang diperbuat oleh penduduk tempatan digunakan dengan meluasnya apabila peperangan yang berlaku antara orang Minang dan juga Belanda dalam perang Padri.

 

Namun, kemungkinan yang lebih dipercayai adalah daripada China dengan pembuktian peluru senapang dan meriam tersebut. Peluru tersebut diperbuat daripada saltpeter  (kalium nitrat). Terdapat dalam catatan Arab dan Parsi yang menyatakan saltpeter tersebut dengan gelaran ‘salji China’ (arab) dan ‘garam China’ (Parsi). Sumber kalium nitrat yang diperolehi juga merupakan antara teknologi China mendapatkan garam tersebut iaitu daripada najis haiwan. Mengikut sejarahnya, sumber garam ini didapati daripada suku kaum Cina yang sekarang ini berada di Laos. Mereka membakar roket pada perayaan Bang Fei dan kalium nitrat diperlukan untuk melancarkan roket ini. Kaum ini mendapatkan sumber saltpeter daripada najis haiwan sama seperti yang dilakukan oleh orang Minang untuk mendapatkan saltpeter peluru. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan sumbangan kerajaan Turki yang menghantar wakil atau tukang membuat senjatanya. Mungkin orang Minang mengambil daripada kedua-duanya dan mengubah senjata mereka mengikut citarasa tersendiri.

 

Rujukan

Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University of Singapore Press.

Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op Sumatera, Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan Internet ( 15 Okt 2012)

Marsden William. 1783. History of Sumatera, London

Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hingga Plakat Panjang, Perang Saudara yang ditunggangi Belanda, Orang Padri Sebagai Pejuang. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan

Sun Laicen, 2003, Military Technology Transfers from Ming China and the Emergence of Northen Mainland Southeast Asia (1390-1527), Journal of Southeast Asian Studies 34(3): 495-517

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *