Kemaskini terbaru: November 20, 2014

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Perbandingan Aliran Teori Permintaan Wang oleh Keynes, Friedman dan Hayek

 

Oleh: Muhammad Harunurashid bin Thelatha
(Pusat Pengajian Ekonomi, UKM Bangi)

 

Pengenalan

Beberapa aliran pemikiran ekonomi oleh sarjana – sarjana Barat pada dasawarsa ke–20 mempunyai pandangan berbeza tentang teori permintaan wang. Perdebatan masih wujud untuk menentukan aliran apakah yang terbaik. Kertas ringkas ini akan cuba membincangkan aliran pemikiran teori permintaan wang oleh Keynes, Friedman dan Hayek.

 

1. Aliran Keynes

Menurut Keynes, tiga tujuan manusia memegang wang adalah urus niaga, awasan dan spekulasi. Beliau mentakrifkan wang adalah terdiri daripada deposit permintaan dan hutang tanpa faedah daripada kerajaan. Permintaan wang sebagai aset adalah terhad kepada bon di mana kadar bunga adalah kos melepas untuk memegang wang. Perubahan monetari akan mempengaruhi kegiatan ekonomi secara tidak langsung melalui harga bon dan kadar bunga. Bank pusat menambah penawaran wang dengan membeli bon yang meningkatkan harga bon dan mengurangkan pulangan bon tersebut. Ini menyebabkan masyarakat meletakkan wang di tempat lain seperti pelaburan pada modal pengeluaran yang akan menambah output dan pendapatan. Keynes tidak membezakan pendapatan dalam teori beliau, tidak seperti Friedman. Keynes juga percaya pada teori dan amalan kapitalis, tetapi peranan kerajaan dalam beberapa keadaan penting untuk memastikan kestabilan ekonomi. Teori ekonomi Keynes diperkenalkan kepada masyarakat semasa Kemelesetan Besar. Pada masa tersebut, ahli ekonomi berusaha mencari jawapan terhadap kegagalan model kapitalis. Keynes berjaya membuktikan bahawa kapitalis tidak bermasalah, tetapi kerajaan diperlukan untuk membaiki ekonomi yang sakit. Keynes sebenarnya tidak menggalakkan bajet defisit berterusan, kerana cukai tinggi akan dikenakan semasa ekonomi sejahtera untuk menyelesaikan hutang kerajaan terdahulu. Semasa krisis kewangan global 2008, kerajaan di beberapa negara telah melaksanakan dasar Keynesian. Malaysia sendiri melaksanakan dua pakej rangsangan fiskal sebanyak RM7 billion pada November 2008 dan RM60 billion pada Mac 2009.

 

2. Aliran Chicago/Friedman

Dikenali sebagai aliran monetari/Chicago kerana mula dipopularkan oleh ahli ekonomi di University of Chicago diketuai oleh Dr. Milton Friedman. Aliran monetari memberi fokus kepada kesan penawaran wang yang dikawal oleh bank pusat. Kestabilan harga diperlukan dalam menjana pertumbuhan ekonomi. Seperti dijangka, Friedman menyalahkan perbelanjaan kerajaan sebagai punca inflasi. Tidak seperti Keynes, Friedman hanya menerangkan tujuan wang dipegang untuk berbagai tujuan yang menentukan jumlah aset seperti wang, aset fizikal, kekayaan manusia, dan keutamaan umum. Beliau mentakrifkan wang lebih luas berbanding Keynes. Wang dianggap sebagai aset yang berfungsi sebagai kuasa beli. Permintaan wang sebagai aset kekayaan adalah fungsi kepada banyak pemboleh ubah seperti pulangan wang, bon, sekuriti, dan aset fizikal. Gangguan pada keadaan keseimbangan pasaran wang akan mempengaruhi harga dan pengeluaran output kerana masyarakat akan menjual beli aset wang yang dipegang. Friedman membezakan antara pendapatan tetap dan pendapatan nominal. Beliau turut memperkenalkan hipotesis jangkaan terselaras. Berasaskan kerangka baru ini, teori kuantiti dilihat sebagai teori permintaan untuk wang. Pertumbuhan wang boleh mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya tingkat output akan melebihi output kadar semula jadi dalam jangka pendek. Tetapi dalam jangka panjang kadar pengangguran dan tingkat output kembali kepada kadar semula jadi. Maka pertambahan wang akan diterjemahkan sepenuhnya kepada kenaikan tingkat harga. Bagi aliran monetari, penawaran wang lebih penting berbanding agregat permintaan. Kemelesetan Besar bermula pada 1929 adalah disebabkan penguncupan penawaran wang yang terlalu mendadak pada waktu itu selepas kejatuhan pasaran saham. Pengerusi Rizab Persekutuan AS iaitu Paul Vocker dan Alan Greenspan adalah dari aliran monetari, walaupun majoriti ahli ekonomi mengkritik Greenspan yang menyebabkan penawaran wang terlalu mudah hingga berlaku buih dan pecah dalam sektor hartanah pada September 2008.

 

3. Aliran Austria/Hayek

Aliran ini mula diasaskan di Vienna. Tokoh yang popular adalah Friedrich Hayek. Andaian utama aliran Austria adalah pilihan manusia terhadap permintaan wang adalah subjektif dan terlalu rumit untuk dimodelkan, dan mustahil bagi pihak berkuasa untuk memaksa keputusan ekonomi yang diinginkan. Dasar kerajaan yang meletakkan kadar bunga sangat rendah pada masa yang panjang, mencipta terlalu banyak kredit buatan akan menyebabkan buih ekonomi terjadi. Bila pengembangan kredit tidak dapat dikawal, buih itu pecah, harga aset jatuh, dan negara akan mengalami kemelesetan. Jika kerajaan campur tangan, kemelesetan itu hanya akan menjadi lebih buruk. Dalam aliran Austria, kemelesetan adalah sesuatu yang normal, perniagaan perlu dibenarkan untuk gagal, dan ekonomi akan kembali sihat lebih cepat. Joseph Schumpeter, ahli ekonomi dari aliran Austria berkata pada 1934, “Pemulihan hanya terjadi jika ia berlaku melalui dirinya sendiri”. Aliran ini mungkin kelihatan seperti anti-kerajaan maka ia kurang diketengahkan berbanding aliran Keynes dan Friedman.

 

Rumusan

Setiap aliran sama ada Keynes, Friedman atau Hayek mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Namun perbezaan paling ketara adalah dari sudut pemulihan terhadap krisis ekonomi. Teori permintaan wang berasaskan kepada sistem monetari yang dipacu hutang oleh bank perdagangan akan menyebabkan fenomena buih dan pecah pada setiap 10 tahun. Justeru Keynes cenderung akan peranan kerajaan untuk menstabilkan ekonomi. Friedman menekankan peranan bank pusat, dan Hayek berpendapat bahawa kerajaan dan bank pusat tidak perlu memainkan peranan untuk memulihkan ekonomi daripada krisis.

 

Rujukan

Cole, K., Cameron, J. & Edwards, C. 2001. Aliran Pemikiran Ekonomi : Kenapa Ahli Ekonomi Tidak Sependapat? Terj. Jomo, K. S. & Noorkhairil Huda, M. A. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Friedman, M. 1956. The quantity theory of money – a restatement. Dlm. Studies in the Quantity Theory of Money. Disunting M. Friedman. Chicago : U. of Chicago Press.
Keynes, J. M. 1936. General Theory on Employment, Interest and Money. London : Macmillan.
Lewis, H. 2013. Where Keynes Went Wrong : And why World Governments keep Creating Inflation, Bubbles and Busts. Edinburg : Axios Press.

 

[*] Makalah ini telah dibentangkan di dalam pertemuan bulanan pertama, Kumpulan Kajian Ekonomi dan Kewangan ASASI, 19 Mac 2014. Penulis merupakan calon peringkat sarjana dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

 
 
.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *