Kemaskini terbaru: November 27, 2014

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sistem Matawang Pelengkap (Complementary Currency System)

 

Oleh : Mohd Aiman bin Badrul Khair
(Pusat Pengajian Ekonomi, UKM Bangi)

 

Matawang pelengkap ialah apa sahaja yang dipersetujui oleh sesebuah komuniti untuk digunapakai sebagai sistem pertukaran/ pembayaran selain daripada matawang konvensional/ nasional. Ia juga dikenali dengan nama-nama lain seperti matawang komuniti, matawang tempatan, matawang sekunder, dan matawang sosial. Matawang pelengkap secara umumnya bukan dicipta sebagai pengganti atau pesaing kepada matawang konvensional. Seperti namanya, ia berfungsi sebagai pelengkap (complementary) kepada matawang konvensional (Lietaer, Kennedy, Rogers 2012).

Matawang pelengkap dibangunkan oleh pelbagai komuniti di serata dunia untuk memenuhi pelbagai tujuan ekonomi dan sosial seperti pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, kebajikan warga emas, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, dan sebagainya. Ia juga merupakan satu tindak balas masyarakat di serata dunia terhadap kepincangan dan kelemahan yang terdapat pada sistem matawang konvensional.

 

Permasalahan Sistem Matawang Konvensional

Dalam teks-teks ekonomi konvensional, kita diberitahu bahawa sumber-sumber ekonomi ini adalah terhad (scarce). Sebenarnya, apa yang terhad bukanlah sumber-sumber ekonomi tetapi wang itu sendiri. Wang umpama sistem pengangkutan yang dapat menggerakkan sumber-sumber ekonomi. Akibat wang yang terhad, sumber-sumber ekonomi yang banyak tidak dapat diagihkan dengan secukupnya untuk memenuhi keperluan dan tuntutan kehidupan manusia.

Mengapa wang menjadi terhad sedangkan bertrillion-trillion dollar/ ringgit telah dicipta ke dalam ekonomi? Pertama, kerana wang konvensional dimonopoli oleh bank-bank komersial. Sebahagian besar akses terhadap wang diperoleh melalui pinjaman daripada bank-bank komersial. Beginilah wang dicipta, iaitu apabila kita meminjam wang daripada bank. Monopoli bank-bank komersial terhadap penciptaan wang memberi insentif kepada mereka untuk menyalahgunakan wang demi keuntungan. Sebahagian besar wang hari ini bukan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti yang menghasilkan nilai yang sebenar ke dalam ekonomi, sebaliknya dihalakan ke arah aktiviti-aktiviti spekulasi terhadap harga aset seperti hartanah, saham, matawang asing, dan sebagainya. Monopoli dan penyalahgunaan wang seperti ini yang menyebabkan wang menjadi terhad.

Kedua, peranan riba/ faedah. Apabila bank mencipta wang melalui proses pinjaman, hanya jumlah pokok/ prinsipal sahaja yang dicipta. Bank tidak mencipta wang untuk pembayaran faedah. Ini bermakna jika seseorang ingin membayar faedah atas pinjaman yang dibuat, dia perlu mengambil wang pokok/ prinsipal daripada orang lain. Dalam erti kata lain, riba/ faedah menjadikan wang konvensional terhad dan tidak mencukupi untuk semua orang (Lietaer 2013).

Akibat riba dan wang yang terhad, sistem matawang konvensional juga memaksa kita bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan wang yang tidak pernah dicipta. Selain itu, riba juga memaksa ekonomi untuk bertumbuh secara berterusan (exponential growth) kerana hutang-hutang baru perlu sentiasa dicipta untuk membolehkan hutang-hutang lama dilangsaikan. Riba juga memastikan kekayaan berpusat di tangan golongan minoriti yang kaya-raya. Riba menyebabkan kekayaan mengalir daripada golongan yang tidak memiliki wang (justeru perlu meminjam) kepada golongan yang sudah memiliki wang yang banyak (justeru mampu memberi pinjaman) (ibid).

 

Keperluan Terhadap Sistem Matawang Pelengkap/ Matawang Sekunder

Sistem matawang pelengkap dapat memainkan peranan-peranan seperti berikut:

  • Mempelbagaikan fungsi dan peranan wang
    Sistem matawang konvensional mengurangkan/ menurunkan hubungan antara masyarakat  kepada interaksi komersial semata-mata. Matawang pelengkap boleh digunakan untuk menjalankan fungsi-fungsi bukan komersial seperti pemuliharaan alam sekitar, kebajikan warga tua, pendidikan, dan pelbagai lagi fungsi sosial yang lain.
  • Mewujudkan sistem ekonomi bebas riba
    Matawang pelengkap boleh menjadi platform kepada transaksi dan pembiayaan bebas riba/ faedah. 
  • Menanam nilai-nilai yang baru
    Wang tidak bebas nilai (value-free) seperti yang menjadi pegangan ekonomi konvensional. Ia mempengaruhi hubungan yang wujud antara pengguna-pengguna wang tersebut. Riba dan wang yang terhad dalam sistem matawang konvensional menanam nilai-nilai negatif yang menggalakkan hubungan dan persaingan yang tidak sihat. Matawang pelengkap boleh menanam nilai-nilai yang baru seperti memupuk semangat kerjasama dan saling memberi. 
  • Melindungi ekonomi tempatan dan memperkasa komuniti
    Sistem matawang konvensional/ nasional terdedah kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan dan kemeruapan/ ketidakstabilan (volatility). Matawang komuniti/ pelengkap hanya beredar dalam komuniti tertentu dan digunakan untuk tujuan tertentu, justeru memastikan wang tersebut tidak mengalir keluar daripada komuniti tersebut.
  • Membantu pembangunan ekonomi yang lestari (sustainable) dan berdaya tahan (resilient).
    Sistem matawang tunggal dan berpusat menjadikan ia sangat cekap (efficient). Namun sistem tunggal yang terlalu cekap tidak mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Sistem matawang pelengkap/ komuniti dapat mewujudkan kepelbagaian sistem matawang yang saling menyokong antara satu sama lain. Ini boleh membantu sesebuah ekonomi untuk lebih bertahan khususnya ketika berlaku krisis.

 

Rumusan: Potensi dan Aspek-Aspek Kajian Berkaitan Sistem Matawang Pelengkap

Matawang pelengkap/ komuniti telah pun lama wujud. Antaranya seperti matawang Swiss WIR di Switzerland yang dibangunkan ketika era kemelesetan ekonomi pada tahun 1930an. Swiss WIR adalah salah satu matawang pelengkap yang cukup berjaya dan telah wujud hampir lebih 80 tahun. Walaubagaimanapun, masih tidak banyak kajian yang dibuat untuk mengukur potensi dan impak matawang pelengkap walaupun semakin banyak masyarakat dunia yang telah membangunkan sistem ini (terdapat lebih 5000 sistem matawang komuniti/ pelengkap di serata dunia). Aspek-aspek kajian yang boleh dibuat berkaitan bidang ini antaranya:

  • Bagaimana matawang pelengkap mempengaruhi inflasi dan pertumbuhan ekonomi.
  • Bagaimana matawang pelengkap dapat mewujudkan ekonomi yang berdaya tahan dan lestari.
  • Kesan matawang komuniti terhadap sosio-ekonomi.
  • Bagaimana membangunkan institusi/ organisasi yang berkualiti dalam pengurusan sistem matawang pelengkap.
  • Bagaimana matawang pelengkap boleh menjadi sumber kewangan/ pembiayaan bebas faedah/ riba.
  • Isu-isu berkaitan perundangan.
  • dan lain-lain lagi.

Krisis kewangan yang kerap berulang dari semasa ke semasa telah meningkatkan lagi minat dan kesedaran masyarakat di serata dunia untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem matawang konvensional. Sistem matawang pelengkap mempunyai potensi yang luas ke arah pembangunan sistem matawang yang lebih mengutamakan nilai-nilai sosial berbanding nilai-nilai komersial serta mampu menampung kelemahan yang terdapat pada sistem konvensional.

 

Rujukan

Lietaer, B., Kennedy, M., dan Rogers, J. (2012) People Money, Triarchy Press.

Lietaer, B (2013) Rethinking Money, San Fransisco:Berrett-Koehler Publishers.

 

[*] Makalah ini telah dibentangkan di dalam pertemuan bulanan pertama, Kumpulan Kajian Ekonomi dan Kewangan ASASI, 19 Mac 2014. Penulis merupakan calon peringkat sarjana dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

 
 
.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *