Kemaskini terbaru: February 9, 2015

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artifak Perkapalan Malayonesia Sebelum Abad Ke-19 Berdasarkan Catatan Bertulis dan Sumber Arkeologi

 

Oleh :
Mohd Rohaizat Abdul Wahab
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
mrohaizat@gmail.com

 

Abstrak

Aktiviti perkapalan orang Melayu dipercayai bermula sejak daripada zaman pra-sejarah lagi iaitu ketika zaman Neolitik akhir di mana masyarakat dahulu telah berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan jalan air. Penempatan manusia zaman proto-sejarah yang kebanyakannya di pesisir pantai dan muara sungai mengilhamkan masyarakatnya menghasilkan kenderaan di air. Penemuan beberapa artifak berkaitan dengan perkapalan Melayu juga menunjukkan masyarakat Melayu dahulu telah menguasai ilmu pembuatan kapal. Pembuatan kapal merupakan satu kerja yang rumit dan kompleks kerana ia melibatkan beberapa teknik harus dikuasai oleh tukang perahu atau kapal. Beberapa teknik telah dicipta dan digunakan oleh tukang Melayu bagi menghasilkan kapal yang kukuh dan teguh. Kerja pembuatan kapal ini juga memerlukan perancangan yang rapi dan berstruktur bagi menjaga kualiti pembuatan dan memberi kepercayaan membeli dan penggunanya. Pembuatan kapal juga memerlukan satu pasukan kerja yang terlatih dan dipimpin oleh seorang tukang timbal yang mahir. Beberapa artifak mengenai perkapalan Melayu telah dijumpai di kawasan Malayonesia dan mempunyai teknik yang hampir sama. Jumpaan beberapa artifak perkapalan ini membuktikan masyarakat Melayu menguasai teknologi dan kemahiran dalam pembuatan kapal. Kertas kerja ini menghimpunkan artifak yang berkaitan dengan perkapalan Malayonesia yang telah dijumpai sebelum ini dan cuba menghurai teknik yang digunakan dalam pembuatan kapal.

 

Kata kunci: artifak, perkapalan, teknologi Melayu

 

0. Pengenalan

Masyarakat Malayonesia sangat dikenali sebagai masyarakat pesisir berdasarkan banyak catatan dan bukti penemuan artifak yang berkaitan dengan aktiviti perkapalan di Malayonesia. Keadaan persekitaran di Alam Melayu yang mempunyai gugusan kepulauan sebanyak 23,000 buah pulau juga memperlihatkan kehebatan masyarakat Malayonesia mengadaptasikan persekitarannya kepada aktiviti seharian. Perkembangan pengetahuan masyarakat Malayonesia mengenai kelautan bermula sejak daripada zaman Neolitik akhir (Nik Hassan 2002), di mana masyarakat pra-sejarah telah berjaya mencipta kapal. Penciptaan alat pengangkutan ini juga mempercepatkan perkembangan dan penyebaran pendudukan di Malayonesia. Bermula dari abad awal masihi lagi, masyarakat Malayonesia telah berlayar melepasi Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan pulang semula ke tempat asal dengan selamat. Masyarakat Malayonesia juga telah menjalinkan perhubungan dengan pedagang dari Arab dan China pada awal permulaan abad masihi.

Menurut Hall (1984) masyarakat Malayonesia telah menguasai ilmu pembuatan kapal dan pelayaran sebelum kedatangan pengaruh Hindu di Asia Tenggara lagi. Orang Melayu telah membina kapal berasaskan papan-papan yang dicantumkan dan mempunyai dinding. Pembabad China, I-Ching juga mengakui kehebatan pelayar Melayu ketika beliau pernah menggunakan kapal Malayonesia ketika beliau berangkat ke India. Dalam catatan tersebut, beliau juga terpegun melihat orang Melayu sangat mahir mengendalikan layar semasa pelayarannya dan dapat mengawal ketika ribut kuat. Dalam catatan pelayaran Ibnu Battuta juga ada melaporkan mengenai perkapalan Melayu, di mana ketika beliau berada di India, beliau melihat banyak kapal-kapal besar yang berasal dari Malayonesia dan kapal ini mengangkut banyak barangan yang diperdagangkan di India. Bukti pada catatan ini menggambarkan bahawa masyarakat di Malayonesia ini telah lama menguasai ilmu pelayaran dan pembuatan kapal-kapal besar dan teguh.

Kertas ini cuba untuk menghimpunkan beberapa artifak berkaitan dengan perkapalan Malayonesia yang pernah dijumpai oleh penyelidik dari dalam dan luar negara. Daripada jumpaan beberapa artifak ini, beberapa maklumat seperti pentarikhan, jenis kayu dan penggunaan teknologi dapat diperoleh. Maklumat yang diperoleh ini boleh membantu dalam pengumpulan data-data berkaitan perkapalan Malayonesia dan dalam kajian seterusnya ia diharap dapat membantu dalam proses pengenalpastian jenis perkapalan berdasarkan artifak yang dijumpai.

 

1. Kapal Melayu dalam Catatan Luar

Kehebatan teknologi pembuatan kapal Melayu telah diakui oleh beberapa orang luar sejak dari awal Masihi lagi. Persinggahan I-Ching di kepulauan Melayu pada awal abad ke-3 Masihi juga menunjukkan keyakinan dan kepercayaan orang luar kepada ilmu perkapalan orang Melayu. Persinggahan pedagang-pedagang dari India, Parsi dan China juga menunjukkan keyakinan orang luar terhadap keupayaan dan dalam ilmu pelayaran. Pedagang bukan sahaja berlabuh untuk tujuan berdagang sahaja, tetapi mereka juga berlabuh dengan tujuan untuk membaiki kapal, mendapatkan sumber air bersih dan sebagainya lagi. Bagi menarik perhatian ramai pedagang luar singgah di pelabuhan Melayu, orang Melayu juga menyediakan tempat limbungan kapal yang menyediakan kemudahan membaiki kapal.

Dalam teks klasik China pada abad ke-5 dan abad ke-7 ada menyebut mengenai teknologi dan kehebatan kapal Melayu. Catatan pertama ada menyebut orang dari pulau Kunlun (Alam Melayu) mempunyai boa (kapal) yang besar yang panjangnya 50 meter dan berada 4-5 meter di atas permukaan air. Kapal ini boleh membawa muatan 250-1000 tan. Kapal ini mempunyai 4 buah layar yang membolehkan kapal ini belayar laju.

Teks kedua sekitar abad ke-7, ada catatan daripada Buddha Canon yang menulis tentang Bo yang membawa maksud kapal. Catatan ini menggambarkan kapal tersebut ketinggian 6-7 kaki daripada paras air. Kapal ini laju dan boleh mengangkut lebih daripada 1000 orang, selain daripada barang. Ia juga disebut sebagai Kun Lun bo. Kebanyakan daripada awak-awak dan pekerja adalah orang-orang Kunlun (Melayu). Dalam catatan tersebut, mereka juga menghuraikan mengenai teknologi dan peralatan yang digunakan dalam pembuatan kapal. Antara yang dicatatkan ialah;

  1. Orang Melayu menggunakan ijuk sebagai tali untuk mengikat pada bahagian-bahagian kapal.
  2. Pembuatan kapal Melayu tidak menggunakan paku dan pengapit, tetapi kapal dibina dengan memasangkan beberapa tebal rusuk kayu,
  3. Lantai kayunya nipis dan mereka bimbang ia akan patah.
  4. Panjang kapal melebih daripada 60 meter.
  5. Layarnya dinaikkan supaya ditiupkan angin dan kapal tidak boleh digerakkan dengan kekuatan manusia sahaja.

Mengikut Manguin (1980), satu lagi catatan mengenai kapal Melayu adalah daripada catatan orang Portugis. Semasa kehadiran pelayar Portugis ke Malayonesia, mereka juga terpegun apabila melihat kapal yang digunakan di alam Melayu bersaiz besar dan lebih besar daripada kapal mereka. Pelayar Portugis juga telah mencatatkan mengenai kapal tersebut. Dalam catatan tersebut, mereka didapati;

  1. Kapal Melayu boleh memuatkan barangannya dengan banyak dan menyamai kapal daripada Eropah pada masa itu. Kapal Melayu mampu membawa muatan di antara 400 hingga 500 tan metrik dan yang terbesar melebihi 1000 tan.
  2. Kapal Melayu juga mampu membawa 1000 orang.
  3. Kapal Melayu dibina tanpa menggunakan besi, papan-papan dan bingkai diikat teguh dengan menggunakan kayu.
  4. Kapal ini dibuat daripada beberapa papan yang disambung membentuk badan kapal.
  5. Kapal ini mempunyai beberapa tiang biasanya daripada 2 hingga 4 termasuk tiang layar secara selari dari depan hingga ke belakang kapal.

Sumber dari Yunani juga ada menyebut mengenai kehadiran kapal yang besar memuat banyak barangan kargo menuju ke India. Kapal ini berasal dari Alam Melayu. Banyak juga catatan yang menyatakan mengenai pelabuhan dan tempat persinggahan yang telah wujud di Alam Melayu yang juga menceritakan mengenai perkapalan di Alam Melayu.

 

2. Penemuan Artifak Berkaitan Kapal Melayu

Penggunaan perkapalan dalam masyarakat Melayu sangat berkait rapat dengan aktiviti utama masyarakat di pesisir, ia dijadikan sebagai alat komunikasi dan juga alat aktiviti perdagangan. Penciptaan perkapalan di Malayonesia bermula daripada kapal yang bersaiz kecil dan ringkas. Atas dasar permintaan dan kemajuan dalam aktiviti perdagangan, penciptaan kapal atau perkapalan yang bersaiz besar menjadi pilihan masyarakat Melayu dahulu. Penciptaan perkapalan yang bersaiz besar telah menunjukkan segarnya aktiviti perdagangan dan pertukangan di Malayonesia. Ia hasil daripada pemikiran dan kearifan tempatan dalam penghasilan kapal yang teguh dan mampu lautan dan ombak. Jumpaan beberapa artifak berkaitan kapal Melayu di Malayonesia menunjukkan masyarakat Melayu telah menguasai ilmu pelayaran dan teknologi berkaitan perkapalan Melayu. Sebanyak 11 artifak telah dijumpai di sekitar kawasan Malayonesia ini dan perincian adalah seperti berikut;

i. Perahu Kulit Kayu di Ulu Rompin

Perahu Kulit Kayu telah dijumpai oleh W.L. Abbott pada tahun 1902 ketika beliau membuat lawatan ke Ulu Rompin, Pahang. Perahu ini berukuran 4-5 meter dan diperbuat daripada kulit kayu Meranti (Shorea spp.). Dalam penelitian Abbott, terdapat rotan yang berukuran 45 sentimeter diikat pada badan perahu yang dijadikan sebagai rusuk perahu. Pada hulu dan belakang perahu pula, kulit kayu dilipat dan diikat dengan rotan bagi menyokong kekuatan kulit kayu. Perahu ini digunakan oleh masyarakat di sepanjang Sungai Rompin sebagai alat pengangkutan bagi mengangkut hasil tanaman dan sumber hutan untuk di bawa ke kawasan perdagangan.

ii. Perahu Pontian, Pahang

Ahli antropologi Inggeris, I.H.N. Evans telah menjumpai serpihan kayu di kampung berdekatan dengan Kuala Pontian sekitar tahun 1927. Perahu ini dianggarkan digunakan pada tahun 60-293 Masihi berdasarkan analisis pentarikhan C-14. Beberapa keping papan yang dijumpai ini mempunyai kesan tebukan pada papan di sebelah dalam pada jarak yang sama. Mengikut Hill (1952), kayu yang digunakan ini adalah kayu jenis Merawan (Hopea sp). Perahu ini dianggarkan berukuran 10 meter panjang dan mempunyai kesan tembuku dan lubang ikatan yang masih lagi jelas kelihatan.

iii. Perahu di Pulau Kelumpang, Perak

Sekitar tahun 1955, Sieveking telah menjumpai tiga buah perahu bersama tembikar tanah dan manik kaca di Pulau Kelumpang, Perak. Perahu ini  dipercayai digunakan sebagai alat untuk upacara pengebumian masyarakat Melayu yang masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme. Perahu ini dipercayai wujud sekitar 200SM-1000 Masihi berdasarkan kepada jumpaan kayu Cengal yang dijadikan alat pengebumian masyarakat dahulu. (Zuliskandar, Nik Hassan Shuhaimi 2012)

iv. Perahu di Sungai Lang, Selangor

Pada tahun 1964, penyelidik dari Muzium Negara dan Universiti Malaya telah menjumpai serpihan kayu cengal bersama 2 buah gendang gangsa di Kampung Sungai Lang, Selangor. Serpihan kayu tersebut dianalisis dan mendapat pentarikhan perahu tersebut sekitar 580SM-190M (Zuliskandar, Nik Hassan Shuhaimi, 2010).

v. Perahu Butuan di Mindanao

Penemuan rangka perahu ini di Ambangan, Mindanao pada  tahun 1976. Dilaporkan terdapat 9 buah perahu telah dijumpai semasa kerja pembangunan dijalankan di Bandar Butuan, Filipina. Hanya 3 perahu yang dianalisis dan memberikan pentarikhan C-14 seperti berikut 320 M, 1250 M, dan 1215 M. Perahu ini dianggarkan berukuran 15-20 meter panjang (Lacsina, 1982).

vi. Perahu Sambirejo

Perahu ini dijumpai di Sumatera Selatan pada tahun 1988. Sebanyak 11 keping papan dijumpai di kawasan pedalaman Palembang yang dipercayai serpihan kayu daripada 2 buah perahu lama. Saiz ukuran perahu dianggarkan 20-23 meter dan lebarnya 6 meter. Berdasarkan analisis C-14, perahu tersebut digunakan sekitar tahun 610 hingga 775 Masihi (Manguin, 1993).

vii. Perahu di Kolam Pinisi

Pada tahun 1989, jumpaan lebih dari enam puluh keping papan dan lunas perahu ditemui di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia. Papan ini mempunyai tembuku di bahagian dalam perahu yang berfungsi sebagai tempat mengikat. Pada papan tersebut juga terdapat kesan lubang yang digunakan untuk memasang pasak. Perahu ini dianggarkan digunakan sekitar tahun 434M hingga 631M selepas analisis C-14 (Manguin, 1993).

viii. Perahu Paya Pasir

Perahu dijumpai di Paya Pasir di Sumatera Utara, Indonesia. Penemuan 11 keping papan ini dipercayai sebahagian daripada badan perahu. Pada perahu juga terdapat jumpaan dayung yang berukuran 5.9 meter panjang dan  56 cm lebar. Jumpaan 11 keping ini adalah dari 2 buah perahu yang berbeza. Berdasarkan analisis C-14 perahu ini digunakan sekitar abad ke 12 -14 Masihi. Saiz perahu ini berukuran 20-23 meter panjang dan 6 meter lebar. (Manguin, 1993).

ix. Perahu Sagor di Baling, Kedah

Perahu ini dijumpai oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya pada tahun 1996. Sebanyak 3 buah perahu dijumpai di 3 tempat berbeza iaitu di Kampung Sungai Bemban, di Kampung Sungai Ketil dan Kampung Padang Pulai. Perahu ini berukuran 8.5 meter dan dikatakan digunakan sekitar abad ke-19. Perahu ini masih lagi dalam keadaan balik dan terdapat kesan pecah di dasar perahu. Perahu ini dipercayai mempunyai atap sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan. Ia juga dipercayai digunakan untuk pengebumian orang yang tertinggi dalam masyarakat dahulu.  (Mohd Supian, 2008).

x. Artifak Perahu di Pulau Gujangan

Ahli arkeologi daripada Filipina telah menemui serpihan kayu di perairan Pulau Gujangan, wilayah Sulu, selatan Filipina pada tahun 1998. Serpihan kayu ini dianggarkan pentarikhan nya sekitar abad ke-15 hingga 16 Masihi berdasarkan jumpaan seramik yang dijumpai bersama perahu tersebut (Lacsina, 1982). Jumpaan serpihan kayu ini dikenal pasti sebagai serpihan perahu kerana bentuknya yang menyerupai dinding sebuah perahu lama.

rohaizat-kapal-rajah1

Rajah 1 : Jumpaan kayu daripada perahu di Pulau Gujangan (sumber Lacsina)

xi. Artifak Perahu di Punjulharjo

Perahu ini dijumpai di utara bagian Timur Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada tahun 2008. Saiz ukuran perahu ini ialah 15 meter panjang dan 4.6 meter lebar. Ujian pentarikhan radiokarbon yang dilakukan pada sampel kayu menunjukkan perahu ini digunakan sekitar tahun 660-780 Masihi. Pada perahu ini jelas kelihatan teknik yang digunakan iaitu teknik ikatan dan pasak. Perahu ini boleh dianggap sebagai jumpaan yang lengkap (Priyanto, 2010).

 

3. Perbincangan

Analisis daripada jumpaan artifak ini, didapati masyarakat Melayu menghasilkan pelbagai jenis perahu daripada bersaiz kecil hingga kepada kapal yang bersaiz besar. Penggunaan teknik ikatan dan pasak ini amat ketara digunakan di mana 8 daripada 11 artifak kapal yang dijumpai menggunakan teknik yang sama seperti pada Jadual 1. Teknik ini boleh dianggap praktikal dan teguh di mana ia telah digunakan dalam pembuatan kapal Melayu bersaiz besar dan dijumpai di pelbagai tempat di Malayonesia. Penghasilannya juga menggunakan tali ijuk yang diperbuat daripada Pokok Kabung/Enau (Arenga Pinnata) yang tumbuh di sekitar Malayonesia.

rohaizat-kapal-jadual1

Jadual 1: Senarai Jumpaan Artifak Perahu Mengikut Lokasi

Dalam menghasilkan kapal ini, tiada penggunaan besi digunakan, tetapi tukang kapal mencipta beberapa teknik yang mampu membuat kapal tersebut teguh ketika berada di dalam air. Tali jenis ijuk digunakan semasa mencantum antara papan-papan bagi membentuk dinding kapal. Papan tersebut juga telah dibentuk cuping atau dikenali sebagai tembuku (Manguin, 1993). Papan tersebut disusun kemas dan dipasang pasak. Setiap cuping pada papan diikat kemas pada ‘kung’ iaitu rusuk kapal yang diperbuat daripada kayu atau rotan. Teknik penggunaan pasak juga digunakan secara meluas di mana setiap sambungan kayu dan papan menggunakan pasak. Pelbagai saiz pasak digunakan bagi menyambung antara bahagian-bahagian kayu dan papan pada kapal  bergantung pada saiz kayu yang akan disambung. Pasak ini diperbuat daripada kayu keras seperti Kayu Penaga (Mesua ferrea) juga membolehkan kapal boleh bertahan lama dan lebih anjal.

 

4. Kesimpulan

Penghasilan pelbagai jenis kapal di Malayonesia bersaiz besar yang menggunakan teknik dan teknologi ini dimiliki oleh orang Melayu dan berbeza daripada pembuatan kapal oleh bangsa lain. Penghasilan perkapalan Melayu yang kukuh ini mampu melawan arus ombak besar dan ganas sehingga menyumbang kepada penerokaan orang Melayu hingga ke tempat yang lebih jauh. Kehebatan orang Melayu dalam ilmu pelayaran bukan sahaja daripada penguasaan dalam teknologi pembuatan kapal, tetapi ia juga disokong oleh pengetahuan orang Melayu dalam kemahiran pengendalian kapal, pengetahuan mengenai astronomi dan arah angin serta kemampuan pengecaman objek dan keadaaan persekitaran. Bukti ini diakui dengan penerokaan orang Melayu dahulu yang telah berlayar dari Malayonesia hingga ke Madagaskar dan kepulauan Hawaii dan mampu untuk pulang semula ke tempat asal. Kepesatan ekonomi dan penguasaan orang Melayu dalam bidang perkapalan ini menyumbang kepada kegemilangan zaman Kerajaan Melaka.

 

Rujukan

  1. Abbott W.L., (1907), Bark Canoes among the Jakuns and Dyaks, J.Straits Br Roy Asiat. Soc. 49: 109-110.
  2. Hall, D.G.E. 1984. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Lacsina, L. S. P. (1982). Traditional island Southeast Asian watercraft in Philippine archaeological sites, The MUA Collection, capai pada 3 April 2014, http://www.themua.org/collections/item/show/1231.
  4. Manguin, P.Y. (1993). Trading Ships of the South China Sea. Shipbuilding Techniques and Their Role in the History of the Development of Asian Trade Networks. Journal of the Economic and Social History of the Orient, 36(3).
  5. Mohd Supian bin Sabtu (2008). Perahu Sagur di Daerah Baling, Kedah: Data Berteraskan kepada Jumpaan Tidak Sengaja dan Gaji Cari Arkeologi. Jurnal Arkeologi Malaysia, 21, 66-82.
  6. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. 2002. Sejarah Kelantan Sebelum Long Yunus – Satu  Gambaran Umum. Dlm. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman (penyt). Kelantan Zaman Awal: Kajian Arkeologi dan Sejarah. hlm 1-14. Kelantan: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
  7. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. 2006. Perahu, masyarakat maritim dan pelabuhan Johor: dahulu dan sekarang. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor.
  8. Priyanto, W. A. (2010). Conservation Research and Treatment Programs : Case Study of Ancient Boat Site in Rembang Regency, The MUA Collection, capai pada 4 April 2014, http://www.themua.org/collections/item/show/1263.
  9. Zuliskandar, Nik Hassan Shuhaimi, N. A. R. (2010). Petempatan Masyarakat Zaman Logam di Selangor Berdasarkan Data Arkeologi. Sari – International Journal of the Malay World and Civilisation, 28(1), 41–55.
  10. Zuliskandar Ramli, N. H. S. N. A. R. (2012). Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi. Sari – International Journal of the Malay World and Civilisation, 30(1), 171–196.

 

Lampiran

rohaizat-kapal-lampiran1

Gambar 1: Jumpaan Perahu Punjulharjo
(Sumber http://kotakpengetahuan.blogspot.com/2012/02/situs-kapal-kuno-punjulharjo-jogjakarta.html bertarikh 4 April 2014)

 

rohaizat-kapal-lampiran2

Gambar 2: Sebahagian daripada jumpaan papan Perahu Pontian (Sumber: Penulis)

 

 rohaizat-kapal-lampiran3

Gambar 3: Jumpaan Badan Perahu Butuan (Sumber: Lacsina)

 

rohaizat-kapal-lampiran4

Gambar 4: Jumpaan bahagian kayu Perahu Paya Pasir
(Sumber: Manguin 1993)

 

rohaizat-kapal-lampiran5
Gambar 5: Jumpaan papan Perahu Sambirejo
(Sumber: Manguin 1993)

1 Komen

  1. Wan Ramli Wan Daud

    Saya ucapkan syabas kepada Sdr Rohaizat kerana menghasilkan kajian artifak perahu Melayu yang sangat teliti. Saya ingin menyumbang kepada perbincangan tentang perahu atau kapal Melayunesia.
    Pertama sekali, istilah tukang kapal atau tukang perahu itu istilah generik. Mengikut Dr Fisol Maidin dari UiTM, istilah yang digunakan di Terengganu ialah tukang timbal kerana perahu atau kapal itu ditimbal ketika dibina supaya setelah peluncuran ke dalam air, perahu atau kapal hendaklah seimbang sehingga boleh berdiri tegak di atas air dan tidak terbalik. Mungkin tukang timbal lebih tepat.
    Kedua, satu lagi ciri seni bina perahu atau kapal Melayunesia yang mungkin boleh dilihat dalam artifak-artifak ini ialah kayu lunas di dasar perahu dan dua tiang di depan dan belakang perahu yang digelar linggi. Lunas dan linggi didirikan dulu. Papan yang dilentur dengan layuran api diikat dengan akar ijuk atau pasak atau kedua-duanya sekali dan dipasang pada lunas dan linggi untuk membentuk kulit perahu atau kapal. Kemudian rangka perahu atau kapal yang digelar kun di pasang dan ditimbal supaya perahu atau kapal seimbang ketika diluncurkan ke dalam air.

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *