Kemaskini terbaru: August 26, 2015

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

The Voyage to New Guinea and the Moluccas from Balambangan: Beberapa Catatan Ringkas dari Jilid Pertama

 

Oleh: Zahrin Affandi bin Mohd
ATMA, UKM

 

1. PENGENALAN

The Voyage to New Guinea and the Moluccas from Balambangan (selepas ini dikenali sebagai Voyage) merupakan catatan yang direkodkan oleh Thomas Forrest, seorang nakhoda kapal yang melakukan pelayaran dari Balambangan ke Papua New Guinea yang melalui Kepulauan Maluku dan Kepulauan Raja Ampat bersama sebilangan anak kapal di antara tahun 1774 hingga 1776. Teks Voyage ini mengandungi 30 bab keseluruhannya dan dibahagikan kepada dua jilid. Teks yang digunakan untuk penulisan makalah ini adalah dari cetakan yang diterbitkan di Dublin pada tahun 1779. Namun demikian versi ini tidak banyak memuatkan gambar yang dapat membantu pemahaman pembaca terhadap rupabentuk artifak-artifak rumpun Melayu. Oleh yang demikian, bagi mengisi kekurangan tersebut, rujukan juga telah dibuat ke atas versi cetakan yang diterbitkan di London, juga pada tahun yang sama bagi mendapatkan gambar-gambar yang bersesuaian.

 

Pada tahun 1769, Dalrymple telah menulis sepucuk surat kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dengan mencadangkan penanaman rempah-ratus seperti buah pala, cengkih dan kayu manis di Balambangan. Terdorong dengan cadangan itu, pihak SHTI telah mengeluarkan arahan kepada Herbert (penguasa di Balambangan) yang kemudiannya melantik Forrest untuk menjelajah kawasan-kawasan di sebelah timur Kepulauan Maluku bagi mendapatkan rempah-ratus bagi tujuan tersebut. Herbert sebelum dari itu telah beberapa kali berbincang dengan Tuan Haji Ismail iaitu duta kepada Sultan Mindanao berkenaan hasrat SHTI tersebut. Menurut Tuan Haji Ismail yang merupakan anak jati pulau Maluku, beberapa kawasan di luar pengaruh Belanda ada ditanam dengan rempah-ratus seperti yang dicadangkan oleh Dalrymple itu. Beliau yang telah lama berkhidmat di bawah kerajaan Belanda dan amat arif tentang pulau Maluku dan sekitarnya juga pernah belayar melangkaui Selat Pitt (Selat Begawin kini) sehingga ke Tanah Papua. Kesanggupan Tuan Haji Ismail untuk menjadi jurupandu kepada Forrest dalam ekpedisi ini disambut baik oleh Herbert dan kesempatan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Forrest dalam pelayarannya kelak.

 

Ekspedisi pelayaran dimulakan pada pagi Rabu, 9 November 1774 di pelabuhan Balambangan yang kemudiannya melalui beberapa buah pulau di Kepulauan Sulu, belayar terus ke selatan melalui bahagian barat Kepulauan Maluku sebelum ke arah timur melepasi Kepulauan Raja Ampat menuju ke Teluk Cenderawasih (Geelvink Bay) di Tanah Papua. Setelah beberapa lama di Tanah Papua, mereka berlayar pulang melepasi Kepulauan Raja Ampat semula, kemudian ke utara melalui bahagian timur Kepulauan Maluku menuju Pulau Mindanao sebelum melalui semula Kepulauan Sulu seterusnya ke Sabah, Kepulauan Riau membawa ke Melaka, Kedah, Acheh dan berakhir di Benteng Marlborough di Bangkahulu pada akhir bulan Jun tahun 1776. Di sepanjang pelayaran tersebut, Forrest telah menyaksikan pelbagai ragam kehidupan penduduk tempatan selain dari bentuk muka bumi pulau-pulau yang disinggahinya dan dia telah mencatatkannya dengan begitu baik sekali dalam Voyage. Atas sumbangannya inilah maka kita pada hari ini dapat mengetahui serba-sedikit tentang kepandaian yang dimiliki oleh bangsa rumpun Melayu di belahan timur negara  Indonesia, 200 tahun yang lalu dan bersebabkan itulah maka makalah yang ringkas ini ditulis. Namun segala maklumat berhubung kepandaian bangsa rumpun Melayu yang akan ditulis dalam makalah ini hanyalah meliputi separuh dari catatan penuh Forrest yang diambil dari jilid yang pertama sahaja. Semoga usaha ini memberi manfaat kepada semua dan sekaligus dapat memperkayakan lagi perbendaharaan ilmu bangsa rumpun Melayu.

 

2. KEMAHIRAN PERTUKANGAN PENDUDUK TEMPATAN   

Kemahiran pertukangan penduduk tempatan boleh dilihat menerusi maklumat-maklumat berkenaan 1) jenis-jenis kapal yang digunakan; 2) rumah-rumah yang didiami; 3) bangunan-bangunan lain yang didirikan; dan 4) peralatan-peralatan yang dihasilkan. Maklumat berkenaan kapal agak banyak dicatatkan dalam Voyage manakala yang selebihnya itu hanya disebutkan secara umum sahaja melainkan tentang rumah orang Papua di Pelabuhan Dory.

 

2.1 JENIS-JENIS KAPAL

Sebuah kapal Sulu yang diberi nama Tartar-Galley (selepas ini dirujuk sebagai TGY) telah digunakan oleh Forrest dalam ekspedisi pelayaran ini. Menurut Forrest, kapal ini amat-amat sesuai dari segi pembinaannya dan fungsinya kepada anak-anak kapal. TGY menurut Forrest adalah seperti berikut:

“TGY adalah kapal atau perahu Sulu, dengan muatan beban sepuluh tan. Lunasnya (keel) sepanjang 25 kaki dan mempunyai seakan galeri yang dibina di kedua-dua sisi dari hujung ke hujung lebih kurang 30 inci dari bibir perahu. Di situ duduknya para pendayung, kadang-kadang 20 orang. Panjangnya dari haluan ke buritan adalah 40 kaki. Kedalaman dalam air lebih kurang tiga kaki setengah. Tiangnya diperbuat daripada tiga batang buluh yang gemuk berbentuk tripod atau segitiga.Pada tiang itu dipasang layar empat penjuru yang besar dikenali sebagai layar tanjung (pointed sail) kerana di penjuru atasnya berbentuk tajam / runcing. TGY dikemudi dengan dua kemudi, seakan dayung yang lebar tetapi kebiasaannya satu saja digunakan. TGY ditutup hampir sepenuhnya dengan daun nipah untuk perlindungan dari panas dan hujan. Satu bahagian kecil di buritan telah ditutup dengan papan membentuk ruangan kecil disebut oleh orang Melayu sebagai Koran.”

Kapal atau perahu lain yang bertembung dengan kapal TGY adalah dari jenis Mangaio ketika mereka tiba di Pulau Cagayan Sulu. Kapal ini digambarkan oleh Forrest tidak lebih dari 4 tan beban muatan, kelihatan amat bagus, ada galeri di hadapan dan belakang untuk para pendayung duduk sepertimana TGY, juga ada tiang tripod dan layar tanjung, dan dipasang dengan empat meriam tembaga yang boleh dipusing-pusing arahnya (swivel gun) bernama rantaker (rentaka) yang membawa peluru seberat empat auns (113.4 gram). Mangaio yang ditemui itu adalah milik kepada raja pulau tersebut. Dari pemerhatian Forrest, di Pulau Cagayan Sulu, jumlah Mangaio adalah amat banyak dan Mangaio yang bersaiz lebih kecil dimiliki oleh Orang Tedong, yang merupakan bajak laut di kawasan tersebut. Beberapa hari kemudian, di Pulau Pangatarran, mereka berselisih pula dengan perahu Maluku yang sarat dengan buah pala. Sewaktu berlabuh di pelabuhan, Forrest mengambil peluang untuk melihat perahu Maluku secara dekat dan perahu Maluku digambarkan lebih kurang 30 tan beban muatan, tinggi binaannya dan dipasang dengan tiang tripod dan layar tanjung.

 

Sejenis kapal tempatan lain yang digunakan kemudian oleh Forrest adalah Corocoro, menjadikannya dua buah kapal belayar dalam ekspedisi ini. Keperluan untuk mengggunakan Corocoro telah disuarakan oleh Tuan Haji Ismail kerana bimbangkan risiko jika belayar ke Tanah Papua dengan hanya menggunakan sebuah kapal sahaja. Maka sebuah Corocoro telah dibeli di suatu tempat di antara Pulau Gilolo dan Pulau Celebes dan kemudiannya kapal tersebut dilengkapi dengan barang-barang untuk pelayaran. Corocoro dicatatkan sebagai “sebuah kapal yang biasanya dipasang dengan lunjuran, dengan linggi haluan dan linggi buritan dibina melengkung tinggi, seperti bulan separa penuh. Corocoro digunakan oleh penduduk di kepulauan Maluku terutamanya. Belanda mempunyai armada Corocoro di Amboyna, yang ditugaskan sebagai pengiring, dari sekecil-kecil saiz sehingga kepada beban muatan lebih dari sepuluh tan. Pada kepingan yang melintang dan menyokong lunjuran, sering diletakkan papan di bahagian depan dan belakang, di mana orang boleh duduk dan mendayung, bersebelahan dengan orang yang duduk pada bibir kapal. Dalam keadaan air tenang, Corocoro dapat didayung dengan sangat pantas, kerana banyak tangan boleh digunakan dalam baris yang berbeza. Corocoro dikemudikan dengan dua dayung lebar dan bukannya dengan rudder. Apabila Corocoro berada tinggi di atas air, dayung yang diikat pada bibir kapal (oar) digunakan sementara pada lunjuran, mereka tetap menggunakan dayung biasa (paddle)”

 

Selain dari itu, terdapat beberapa jenis lagi kapal/ perahu yang disebut/ dirakam dalam Voyage iaitu:

  1. Paduakan yang merupakan kapal Bugis dilengkapi dengan tiang tripod – digunakan untuk berdagang ke Pulau Gilolo.
  2. Panchallang yang mempunyai satu tiang dan layar tanjung – digunakan oleh Belanda untuk mengawal perairan selat antara Pulau Morty dan Pulau Gilolo.
  3. Perahu kecil Sultan Batchian – berbumbung.
  4. Perahu Patani – tiada keterangan mengenainya.
  5. Malay Jellore – tiada disebut mengenainya. Hanya terdapat lakaran dalam Voyage.
  6. Perahu orang Papua – tiada disebut mengenainya. Hanya terdapat lakaran dalam Voyage.
  7. Perahu orang Moa & Jamna – tidak disebut mengenainya. Hanya terdapat lakaran dalam Voyage.

 

2.2 RUMAH-RUMAH TRADISIONAL

 Maklumat berkenaan rumah penduduk tempatan tidak banyak disebut dalam jilid pertama dari teks Voyage ini. Di Ternate misalnya, rumah-rumah tradisional mereka dikatakan tidak berbeza dengan orang Melayu di negeri-negeri yang lain. Rumah-rumah mereka didirikan atas tiang setinggi kira-kira lima ke enam kaki. Kayu yang digunakan untuk membuat tangga adalah dari kayu pokok bunga cengkih sebesar kaki orang lelaki yang telah ditakuk terlebih dahulu. Dua atau tiga lig (1 lig = 3 batu nautika) dari Ternate, terletaknya Tidore, sebuah pulau yang sangat ramai penduduknya. Di Patani, salah sebuah bandar utama di Tidore, ada rumah-rumah yang dibina di atas tanah tinggi yang hanya boleh diakses dengan menggunakan tangga pada batu-batuan menegak.  Demikianlah menurut Tuan Haji Ismail yang disampaikannya kepada Forrest.

 

Maklumat rumah tradisional yang lebih terperinci adalah berkenaan rumah orang Papua di pelabuhan Dory yang disebut oleh Forrest sebagai tenemen, merupakan rumah yang dibina di atas batang-batang tiang, beberapa ela di bawah tikas air surut agar tenemen tersebut sentiasa berada atas paras air. Satu pentas panjang, ditopang oleh beberapa batang tiang dibina pada ketinggian tikas air pasang bagi menyambungkan tenemen dengan daratan. Terdapat satu ruang yang besar di tengah-tengah rumah bersambung dengan dua pintu, satu menghala ke pentas yang menghadap daratan dan satu lagi menghala ke pentas yang menghadap lautan. Bilik-bilik dibina di kedua-dua sisi ruang yang besar itu dan menempatkan ramai keluarga. Pentas yang menghadap ke laut dibina di atas beberapa batang tiang juga. Pada pentas ini, kolek-kolek ditambat dan bersiap sedia untuk dilancarkan ke laut jika diserang dari darat oleh orang Harafora. Begitu juga jika diserang dari laut, mereka akan lari ke dalam hutan melalui pentas yang satu lagi. Tenemen didiami oleh orang yang telah berkahwin, anak-anak kecil dan perempuan yang belum berkahwin. Bagi teruna, mereka ditempatkan di sebuah pondok beberapa ela dari pentas yang menghadap ke laut.

 

2.3 BINAAN BANGUNAN LAIN

Tidak banyak jenis bangunan yang disebut oleh Forrest dalam Voyage ini yang melibatkan penduduk tempatan melainkan masjid. Di Ternate, Forrest menyebutkan ada dibangunkan tiga masjid yang diselia oleh dua khalifah, empat imam serta beberapa orang lain yang menjawat jawatan khatib, modam dan misimi. Di Tidore pula masjidnya dianggarkan tidak kurang dari dua puluh lima buah dan yang paling besar adalah di istana Sultan yang diselia oleh seorang khalifah dan empat imam. Begitu juga di Goram yang mempunyai tiga belas buah masjid.

 

2.4 PERALATAN-PERALATAN HARIAN

Peralatan yang dihasilkan ada disebut salah satu daripadanya adalah sauh yang diperbuat daripada kayu oleh seorang penduduk Tanah Papua untuk kegunaan TGY. Ini bagi menggantikan sauh yang telah rosak. Selain dari itu, hanya disebutkan jenis-jenis senjata yang digunakan oleh penduduk tempatan seperti busur, anak panah, tombak, pedang, pisau belati (dagger) dan perisai. Penduduk Dory dikatakan pemanah yang sangat handal. Anak panah mereka ada yang mencecah enam kaki dan busurnya diperbuat daripada buluh sementara talinya diperbuat daripada rotan.

 

Sejenis peralatan membakar digunakan oleh orang Papua untuk membuat roti papua. Roti papua atau roti sagu merupakan makanan ruji penduduk di beberapa buah pulau. Menurut catatan Forrest dari sumber orang Batchian, makanan ini telah diperkenalkan oleh orang Tanah Papua kepada penduduk tempatan dan oleh sebab itu ianya dikenali sebagai roti papua. Forrest telah merekodkan dengan panjang lebar mengenai proses pembuatan roti papua bermula dari proses penyediaan tepung sagu sehinggalah proses pembakaran. Berikut merupakan keterangan Forrest dalam Voyage:

“Pokok sagu seperti juga pokok kelapa, tidak mempunyai kulit kayu yang terkelupas, dan boleh ditakrifkan sebagai kayu keras bertiub panjang setebal dua inci, mengandungi pulpa atau empulur bercampur dengan serat yang membujur. Pokok ini ditebang, dikerat pendek-pendek kira-kira lima ke enam kaki. Bahagian yang keras dipotong bagi mendapatkan empulur. Pekerja kemudiannya memotong serat dan empulur secara melintang (menggunakan beliung yang diperbuat dari kayu keras dipanggil anibong). Empulur kemudiannya dicampur dengan air dan diketuk dengan sebatang kayu yang menyebabkan serat terpisah dari empulur, terapung di atas manakala tepung menjadi mendapan. Selepas dicuci dengan air beberapa kali, empulur dimasukkan ke dalam bakul berbentuk silinder yang diperbuat dari daun pokok. Jika ingin disimpan lama, bakul-bakul itu direndam dalam air segar bagi memastikan ianya sentiasa lembab.”

“Pembakar untuk tepung ini diperbuat dari tembikar. Kebiasaannya sembilan inci persegi dan empat inci dalam. Ianya dibahagikan kepada dua bahagian sama besar. Setiap satu bahagian itu dipecahkan kepada lapan atau sembilan, lebarnya seinci, bermakna keseluruhannya ada lapan atau sembilan lajur dalam dua baris. Jika lajurnya terlalu lebar, roti sagu tidak akan masak dengan betul. Apabila mendapat saiz yang sesuai, roti sagu akan masak sempurna. 

(Cara bakar adalah seperti berikut): Pembakar ini mempunyai pemegang bulat di bahagian bawahnya di mana pembuat roti boleh menterbalikkan petak menghadap api. Apabila sudah cukup panas, ianya diterbalikkan semula dengan petak mengadap ke atas. Ketika pembakar sedang dipanaskan, pembuat roti hendaklah menyediakan tepungnya dengan memecahkan ketulan-ketulan menjadi kecil, lembapkannya dengan air jika terlalu kering dan tapiskannya sekali atau dua kali, dan dalam masa yang sama buang bahagian yang berwarna hitam atau berbau masam. Apabila sudah selesai, penuhkan petak dengan tepung, letakkan daun yang bersih di atasnya. Dengan menggunakan jari, ditekannya tepung dalam-dalam dan kemudiannya tutup keseluruhannya dengan daun. Letakkan batu atau kayu di atasnya untuk mengekalkan haba. Dalam masa sepuluh atau dua belas minit, roti tadi akan masak sempurna bergantung kepada ketebalannya. Roti yang telah masak tadi, saya diberitahu, akan disimpan selama beberapa tahun. Saya sendiri telah simpan roti ini selama dua belas bulan dan tiada kesan kutu dalam tempoh tersebut. Tiada salahnya untuk  campurkan sedikit garam pada tepung.”

 

4. ILMU-ILMU & KEMAHIRAN LAIN PENDUDUK TEMPATAN

Di kalangan bangsawan Cagayan Sulu, menunggang kuda merupakan antara kemahiran yang mereka miliki dan tidak terkecuali wanita-wanita mereka. Diceritakan oleh Forrest bagaimana pada suatu petang ketika berada di Cagayan Sulu, dia berpeluang untuk melihat puteri saudara Sultan Cagayan Sulu iaitu Puteri Diamelen dan juga anak Jeneral bernama Fatima menunggang kuda diiringi oleh beberapa orang datu. Disebutkan teknik mereka menunggang kuda mereka seperti berikut:

“Mereka menunggang kuda pergi dan balik di atas jalan yang lebar dan panjang yang berpasir. Mereka memaksa kuda mereka berlari dengan kencang, memberhentikannya dengan segera apabila ianya cuba untuk mencongklang”. 

Kemahiran menganyam dan membuat tembikar dimiliki oleh kaum wanita di Dory sepertimana yang disaksikan oleh Forrest. Ruang tengah tenemen menjadi ruang perusahaan mini kepada kaum wanita Dory. Disebutkan bahawa mereka duduk menganyam tikar cocoya dan pada waktu yang lain pula mereka membuat tembikar. Batu kerikil digunakan untuk melicinkan tembikar dengan mengetuknya pada tembikar tersebut. Mereka kemudiannya membakar tembikar-tembikar tersebut dengan rumput kering atau ranting-ranting halus.

 

Forrest juga telah berpeluang menyaksikan satu teknik mengeluarkan darah dari tubuh badan manusia ketika berada di Pulau Tamagui. Tujuan dilakukan pengeluaran darah tersebut tidak pula dinyatakan. Penduduk di situ dilihat menempelkan bahagian yang kasar dari sejenis daun yang saiznya sebesar tapak tangan lelaki di bahagian di mana darah hendak dikeluarkan. Kemudian, mereka menjilat-jilat bahagian atas daun berkenaan yang menyebabkan darah keluar dan membasahi bahagian bawah daun tersebut.

 

5. KESIMPULAN

Pada jilid pertama dari Voyage ini, kita boleh menyimpulkan bahawa tidak sedikit pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh penduduk tempatan. Forrest telah menyaksikannya sendiri atau mendapat ceritanya daripada Tuan Haji Ismail dan beberapa orang yang lain. Memandangkan makalah ini hanya menyinggung satu jilid sahaja dari teks Voyage ini maka maklumat-maklumat yang disajikan masih jauh dari lengkap apatah lagi sempurna. Tugas selanjutnya adalah untuk mengeluarkan pula maklumat-maklumat dari jilid kedua yang banyak membicarakan mengenai Pulau Mindanao. Setelah selesai tugas ke atas kedua-dua jilid tersebut, barulah penyusunan yang lebih sempurna dapat dilakukan, insya Allah.

 

6. RUJUKAN

  1.  Forrest, T. 1779. A Voyage to New Guinea and the Moluucas from Balambangan. Dublin. Price, Whitestone, Sleater, dll
  2. ________ 1779. A Voyage to New Guinea and the Moluucas from Balambangan. London. G. Scott.

 

LAMPIRAN 1

tartar galley1

tartar galley2

Gambar 1 & 2: Lakaran kapal Sulu bernama Tartar Galley yang digunakan dalam ekspedisi pelayaran ini.
(Sumber: Forrest)

 

corocoro

Gambar 3: Lakaran kapal Corocoro Maluku yang digunakan dalam ekspedisi pelayaran ini
(Sumber: Forrest)

paduakan

Gambar 4: Lakaran kapal Bugis, Paduakan yang dilihat oleh Forrest
(Sumber: Forrest)

malay jalore

Gambar 5: Lakaran perahu Malay Jallore.
(Sumber: Forrest)

 

perahu papua

Gambar 6: Lakaran perahu orang Tanah Papua.
(Sumber: Forrest)

 

perahu moa

Gambar 7: Lakaran perahu orang Moa & Jamna.
(Sumber: Forrest)

 

tenement Dory

Gambar 8: Lakaran rumah tenement penduduk di Dory, Tanah Papua.
(Sumber: Forrest)

 

roti papua

Gambar 9: Lakaran pembakar yang digunakan untuk membuat roti papua.
(Sumber: Forrest)

 

LAMPIRAN 2

Beberapa perbendaharaan kata orang Papua yang dicatatkan oleh Forrest dalam Voyage:

BAHASA INGGERIS   BAHASA PAPUA
God Wat
Devil Sytan
Pearls Mustiqua
Iron Ukanmom
Axe Amkan
Chopping Knife (Parang) Sumber
Sago Bariam
Baked Sago Kium
Gold Bulowan
Silver Plat
Copper Ganetra
Brass Kasnar
A Knife Ensy
A Musquet (Musket) Piddy
A Cannon Piddybeba
Large Cockle (Kima) Koyam
Dampier’s Pigeon Manipi
Bird of Paradise Mandefor
The Unicorn Fish Een Ra
A Ship Kappal
A Canoe Wy
A Bow Myay
An Arrow Ekay
An Oar Koboris
A Paddle Pura
A Sail Sawir
A Mast Padarin
An Ancor Yor
Limes Inkry
Rice Bira
Sugar Canes Cumman
Cloves Chinky
Nutmeg Samkow
East Wamsowy
West Umbaraick
South Wamrum
North Amurum
One Oser
Two Serou
Three Kior
Four Tiak
Five Rim
Six Onim
Seven Tik
Eight War
Nine Siou
Ten Samffor
Eleven Samfoor Oser
One Hundred Samfoor Otin
One Thousand Samfoor Ootin Samfoor

 

 

 

.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *