Kemaskini terbaru: October 5, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kimia Hijau Dalam Kerangka Teknologi Islam

Beberapa konsep asas tentang ekologi dan ekosistem yang berkaitan dengan kimia hijau seperti yang diahami oleh Barat perlulah dijelaskan dahulu sebelum formulasi kimia hijau dalam kerangka teknologi Islam dikupas. Ekologi berasal daripada perkataan Greek οίκος (oikos atau penghuni rumah) dan λόγος (logos atau ilmu) yang bermaksud ilmu tentang penghuni rumah iaitu ilmu tentang interaksi di antara kehidupan dengan alam sekitar di sekeliling mereka. Suatu ekosistem terbentuk jika setiap organisme hidup berinteraksi dengan setiap bahagian alam sekitarnya yang lain. Semua organisme hidup berhubung kait dalam rantai makanan yang terdiri daripada organisme primer di bawah yang menukar tenaga suria kepada makanan yang dimakan oleh organisme sekunder dan tertier di atas sehingga membentuk biojisim yang seterusnya dipulangkan kepada ekosistem dengan kematian dan pereputan organisme itu dan membentuk kitaran karbon dan nitrogen. Kegiatan manusia sama ada bagi memenuhi keperluan asas atau bagi meningkatkan kekayaan lazimnya mengguna komponen alam sekitar yang penting atau meluahkan bahan buangan atau berbahaya yang boleh membunuh kehidupan ke dalam ekosistem. Ketiadaan organisme hidup atau komponen alam sekitar bukan hidup tertentu di dalam sesuatau ekosistem yang disebabkan oleh kegiatan manusia itu mungkin boleh menyebabkan keruntuhan ekosistem yang akhirnya akan menyebabkan kepupusan kehidupan dan manusia.

Kimia hijau ialah suatu konsep tentang penciptaan, reka bentuk atau reka bentuk semula dan penggunaan produk dan proses kimia bagi mengurangkan atau meniadakan penggunaan dan penghasilan bahan berbahaya dan buangan. Istilah kimia hijau ini dicipta oleh Paul Anastas di Environmental Protection Agency pada tahun 1991 selepas Pollution Prevention Act diluluskan oleh Senat Amerika Syarikat pada tahun 1990 (Anastas & Warner 1998). Kimia hijau berbeza dengan konsep lama kimia sekitaran kerana konsep baru ini bukan tentang kimia alam sekitar dan kimia bahan pencemar di dalam alam sekitar seperti yang dimaksudkan oleh istila lama itu tetapi tentang cara mengurangkan atau menghilangkan bahan buangan dan berbahaya di punca. Prinsip asas kimia hijau ialah penggunaan atau penghasilan bahan kimia yang selamat, pengurangan bahan buangan melalui penukaran maksima bahan mentah kepada produk, peniadaan bahan buangan dengan tidak menghasilkan bahan buangan itu dan pemrosesan yang paling cekap tenaga. Kimia hijau meningkatkan pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem dengan mengurangkan atau tidak meluahkan bahan kimia buangan atau berbahaya daripada loji kimia ke dalam alam sekitar yang boleh menjejaskan sistem ekologi.

Ekologi dan Ekosistem mengikut Islam

Kefahaman ekologi Islam adalah berasaskan kepada kefahaman tentang tawhid rububiyyah yang menekankan bahawa Allahlah pencipta, pemilik dan pemelihara alam dan semua makhluk di dalam alam itu (al-Furqan 25:2, al-Rum 30:26, Al-Hasyr 59:24, Samarrai 1990) dan kefahaman tentang kesucian makhluk dan alam itu yang sentiasa memuji Allah (al-Haqqah 69:1, Nasr 1992) dan mempunyai ummatnya tersendiri (al-An’am 6:38). Jika semua ummat makhluk yang dicipta, dimiliki dan dipelihara Allah itu sentiasa memujiNya, maka kehancuran makhluk dan alam (fasad fil ard) oleh manusia akan mengurangkan makhluk dan alam yang memuji Allah itu dan manusia zalim itu akan dihukum Allah dengan bencana alam yang dahsyat (al-Rum 30:41, Samarrai 1990). Lantaran penciptaan makhluk dan alam itu jauh lebih besar daripada penciptaan manusia (al-Ghafir 40:57), maka manusia hendaklah akur dengan kekerdilannya berbanding dengan seluruh makhluk dan alam yang hebat dan merasa takjub terhadap kehebatan makhluk dan alam yang dicipta Allah itu. Malah manusia dan makhluk yang hidup dicipta daripada bahan yang sama iaitu air (Al-Nur 24:45) dan lantaran itulah manusia dan makhluk yang hidup itu berkongsi nasib di Dunia yang sama. Makhluk dan alam yang banyak dan pelbagai itu juga menjadi petunjuk atau ayat kepada kuasa, kebijaksanaan, rahmat dan keagungan Allah (al-Rum 30:20-25). Bumi dianggap suci kerana debu bersih daripada permukaannya dianggap suci dan boleh digunakan bagi taharah (tayamum) dan permukaannya boleh digunakan bagi solat (al-Hadith). Allah mencipta makhluk dan alam dalam keadaan yang seimbang di antara satu dengan yang lain (al-Rahman 55:1-7, al-Hijr 15:19). Bagi Islam sesuatu ekosistem merupakan suatu rangkaian pelbagai umat makhluk yang hidup secara seimbang di dalam alam yang suci, yang sentiasa memuji Allah dan yang bertindak sebagai petunjuk kepada Allah bagi manusia yang beriman.

Amanah menjaga makhluk dan alam itu yang amat berat itu bagi pihak Allah sebagai khalifahNya diterima manusia setelah makhluk lain yang jauh lebih hebat daripada manusia enggan memikul amanah tersebut walaupun Allah tahu bahawa sebahagian manusia itu zalim dan mengkhianati amanah (al-Ahzab 33:72). Manusia diangkat Allah ke martabat lebih tinggi daripada malaikat dengan penerimaan tugas khalifah itu yang seharusnya dijalankan dengan adil dan saksama menggunakan aqal yang dianugerah Allah kepada manusia (al-Baqarah 2: 30-31). Allah menundukkan makhluk dan alam bagi kegunaan manusia (taskhir, al-Haj 22:65, Luqman 31:20, al-Jathih 45:13; dan tazlil Ya Sin 36:72). Oleh sebab itulah penggunaan sumber alam oleh manusia diistilahkan sebagai taskhir dan tazlil (dari kata akar sakhkhara dan zallala dalam al-Quran itu) yang bermaksud penundukan sumber alam bagi manfaat manusia (Wan Ramli Wan Daud 1989, 1990, 1992). Ahli sejarah Barat White 1967 mengecam pandangan ini yang disifatkan olehnya sebagai terlalu anthroposentrik kerana memberi manusia hak menguasai alam sepenuhnya secara mutlak. Pandangan ini mungkin betul pagi agama Kristian terutama tafsiran agama itu di Barat. Penundukan makhluk dan alam ini mengikut Islam bukanlah penundukan mutlak tanpa syarat yang mengizinkan manusia mengeksploitasi sumber alam sesuka hatinya, akan tetapi penundukan bersyarat secara adil dan saksama kerana manusia juga menerima tugas khalifah Allah bagi menjaga makhluk dan alam itu (al-Baqarah 2: 30-31). Allah yang menundukkan semua sumber alam bagi manusia kerana Allah merupakan Pemilik (Tuan Punya) seluruh alam ini. Manusia sebagai khalifah atau pengganti Allah harus mengguna sumber alam di bumi itu dalam lingkungan batasan Syariah-Nya dan lunas-lunas etika Islam yang disarankan oleh-Nya. Warna hijau merupakan warna paling baik bagi Islam kerana hijau adalah warna pakaian (al-Insan 76:21) dan pohon-pohon di syurga (al-Insan 76:14) manakala kehijauan bumi selepas hujan diturunkan Allah menunjukkan kuasa penciptaan Allah yang amat hebat (al-Haj 22:63).

Kimia Hijau di dalam Kerangka Teknologi Islam

Di Barat, teknologi difahami secara umum sebagai penyusunan ilmu untuk mencapai tujuan-tujuan yang teramalikan atau sebagai benda yang dibuat atau dilaksanakan dan cara membuat atau melaksanakan benda tersebut (Singer et al. 1954) Kedua-dua fahaman teknologi ini hanya menekankan bentuk luaran teknologi sahaja dengan tidak mengambil-kira kesan teknologi terhadap alam sekitar dan manusia. Teknologi juga difahamkan sebagai pengawal alam sekitar (Mesthene 1970) dan sebagai kuasa politik (Spengler 1932). Kedua-dua fahaman teknologi yang terakhir ini adalah faham yang melampau-lampau (ekstrim) dan hanya timbul pada abad kedua puluh ini apabila teknologi Eropah menguasai dunia. Keempat-empat fahaman Barat tentang teknologi ini bersifat anthroposentrik iaitu manusia secara mutlak menguasai makhluk dan alam. Bagi White 1967 fahaman ini muncul sejak agama Kristian berjaya menumpas agama pagan orang Eropah pra-Kristian dan setrusnya bertapak dengan kuat di Eropah Barat. Kesucian alam di dalam agama pagan itu digantikan dengan fahaman Judea-Kristian bahawa manusia diberikan kuasa mutlak oleh Tuhan ke atas segala makhluk dan alam yang tidak lagi suci. Inilah punca sejarah krisis ekologi Dunia kini. Bagi al-Attas 1978 dan Nasr 1981, penyahsucian makhluk dan alam itu berlaku di dalam proses pensekularan Barat yang berterusan sejak Barat mula memeluk agama Kristian. Penyahsucian makhluk dan alam tidak berlaku di dalam agama Islam kerana makhluk dan alam difahamkan sentiasa memuji Allah. Bagi agama pagan kesucian alam berasaskan penunggu yang menguasai makhluk dan alam itu manakala bagi Islam kesucian makhluk dan alam itu hanyalah berasaskan penciptaan mereka oleh Allah sebagai ummat yang sentiasa memuji Allah

Teknologi Islam pula ialah satu cabang ilmu praktik, ilmu untuk mencapai tujuan praktik yang bertunjangkan tawhid, berimbang dan berseimbang dengan alam (wazan dan tawazana), terkekang dalam lingkungan had syariah, terlaksana mengikut sistem etika Islam yang mengutamakan keadilan (‘adl) dan dipertanggungjawabkan kepada manusia sebagai khalifah dan hamba Allah di dunia ini (Wan Ramli 1989, 1990, 1992). Takrif teknologi ini yang menggandingkan teknologi melalui epistemologi dengan fahaman agama (tawhid), dilaksanakan dengan adil mengikut sistem etika Islam dan dipertanggungjawabkan kepada manusia sebagai pelaksana. Syariah yang dimaksudkan bukanlah hanya hukum-hukum yang sedia ada, akan tetapi selain daripada perundangan jenayah yang jelas hukumnya seperti hudud dan qisos, syariah merupakan sistem perundangan dinamik yang mampu menyelesaikan masalah perundangan kehidupan moden yang ditimbulkan oleh perkembangan teknologi. Teknologi Islam juga seimbang (mizan) dengan makhluk dan alam sekitar.

Dua belas prinsip kimia hijau yang dicadangkan oleh Anastas & Warner 1998 berasaskan konsep pengelakan pembaziran bahan, pengurangan atau penghilangan bahan buangan dan berbahaya dan kecekapan tenaga. Pembaziran merupakan perbuatan yang tidak disukai Allah (al-A’raf 7:31, al-Isra 17:26) dan pemboros adalah rakan syaitan (al-Israa 17:27). Pembuangan bahan buangan dan berbahaya ke dalam alam sekitar akan menjejaskan atau membunah sebahagian umat makhluk di dalam ekosistem dan merupakan perosakan di bumi (fasad fil ard) yang dimurkai Allah (al-Rum 30:41). Kecekapan tenaga juga berkait dengan penggunaan bahan api yang tidak membazir. Pada umumnya kimia hijau itu amat serasi dengan fahaman Islam tentang pembaziran sumber bahan dan tenaga dan perosakan ekosistem.

Prinsip pertama kimia hijau ialah elakan bahan buangan melalui reka bentuk sintesis kimia yang mengelakkan pembuangan bahan supaya tidak ada bahan buangan yang perlu dirawat atau dibersihkan. Prinsip ini juga dikenali sebagai peminimuman bahan buangan. Walaupun prinsip ini tampak jelas tetapi masih ramai lagi pengilang kimia yang enggan mengamalkan prinsip ini. Prinsip kedua kimia hijua ialah reka bentuk bahan kimia dan produk yang lebih selamat iaitu produk yang berkesan tetapi tidak toksik kepada manusia dan makhluk. Dalam banyak kes, bukan hanya produk akhir yang toksik tetapi kadang-kadang proses sintesis produk akhir itu melibatkan proses yang berbahaya dan menjana bahan yang toksik kepada manusia dan makhluk lain. Oleh itu prinsip ketiga kimia hijau menekankan reka bentuk proses kimia yang kurang berbahaya dan yang tidak menjana bahan kimia berbahaya. Dalam banyak kes, bahan mentah yang digunakan merupakan bahan fossil yang makin berkurangan walaupun terdapat bahan mentah keterbaharuan dari sumber pertanian. Bagi menyelesikan masalah ini prinsip keempat kimia hijau menyarankan penggunaan bahan mentah keterbaharuan. Kebanyakan proses kimia lama menggunakan reagen lebih bagi memastikan penukaran kimia berlaku pada kadar yang tinggi dan ini menyebabkan baki reagen itu menjadi bahan buangan atau bahan berbahaya. Prinsip kelima menyarankan penggunaan mangkin yang sedikit kerana mangkin itu boleh diulang guna beberapa kali. Sintesis bahan kimia yang kompleks menggunakan bahan kimia terbitan yang memerlukan banyak reagen yang menjadi nbahan buangan. Prinsip keenam menyarankan supaya penghasilan bahan kimia terbitan dielakkan. Prinsip ketujuh menganjurkan supaya sintesis kimia juga hendaklah menjimatkan atom supaya sedikit sahaja atom yang dibuang. Banyak pelarut amat toksik kepada manusia dan makhluk lain. Oleh sebab itu prinsip kelapan menyarankan penggunaan pelarut yang selamat pada keadaan tindak balas yang selamat. Bagi menjimatkan tenaga, prinsip kesembilan mencadangkan penjalanan tindak balas pada suhu dan tekanan ambien. Bagi mengelakkan kemudaratan terhadap umat-umat makhluk di dalam ekosistem, prinsip kesepuluh menganjurkan bahan kimia dan produk yang dihasilkan hendaklah mudah mereput di dalam alam sekitar kepada bahan lengai tanpa menjejaskan rangkaian umat-umat makhluk di dalam ekosistem. Bagi mengelakkan peluahan bahan buangan ke dalam alam sekitar, prinsip kesebelas mencadangkan pengawasan ketat proses sintesis supaya meminimumkan atau menghentikan pembentukan bahan sampingan yang akan menjadi bahan buangan. Akhir sekali, prinsip kedua belas mencadangkan bahan kimia atau produk dan bentuknya direka bentuk supaya meminimumkan kejadian kemalangan kimia termasuk letupan, kebakaran dan luahan kepada alam sekitar.

Kimia hijau pada asalnya ingin digunakan oleh EPA bagi mengawal industri kimia di Amerika Syarikat yang banyak mencemar alam sekitar dan menhancurkan ekosistem. Akan tetapi sebaliknya, setelah lebih 15 tahun ia bermula, kimia hijau telah menjadi inspirasi bagi menemui proses atau bahan kimia generasi akan datang yang mempunyai prestasi dan harga tinggi disamping melindungi dan menambah baik kesihatan manusia dan alam sekitar.

Salah satu penemuan yang kini dijangka membawa manfaat besar ialah penggunaan biopemprosesan di dalam menghasilkan bahan kimia. Bahan mentah biopemprosesan ialah bahan biologi asli yang keterbaharuan seperti gandum, jagung dan tebu. Keadaan proses juga amat sederhana iaitu pada suhu dan tekanan ambien. Contohny glukosa daripada bahan mentah keterbaharuan boleh menghasilkan melalui fermentasi dan biopenapis berbagai-bagai bahan kimia yang hampir sama dengan yang dihasilkan daripada gas asli oleh loji petrokimia. Satu lagi contoh ialah penghasilan tenaga elektrik daripada hidrogen keterbaharuan melalui sel fuel dan hidrogen keterbaharuan dihasilkan daripada air melalui fotolisis air dengan tenaga suria melalui sel fotoelektrokimia.

Rujukan

Anastas, P. & Warner, J. 1998. Green Chemistry: Theory and Practice, New York: Oxford University Press.

Mesthene, E. G. 1970. Technological change. New York: Mentor.

Nasr, S.H. 1981. Knowledge and the Sacred. Edisi pertama.

Nasr, S.H. 1992. Islam and the environmental crisis

Nota: Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud merupakan Presiden ASASI. Di samping itu, beliau juga merupakan Pengarah Institut Sel Feul, UKM. Makalah ini pertama kali dibentangkan sewaktu seminar Pengislaman Ekologi pada 10 dan 11 Mei 2008.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *