Kemaskini terbaru: December 22, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Keberadaan Sains Tabii dan Teknologi di Alam Melayu

Abstrak
Makalah ini semata-mata dikarang untuk menyerlahkan beberapa bukti yang mampu menjelaskan kedudukan Sains Tabii dan Teknologi yang wujud semenjak wujudnya Bangsa Melayu. Isu ini menjadi tema perbincangan yang agak besar kerana selama ini tiada siapa yang menjangkakan bahawa Bangsa Melayu ini juga memiliki kepustakaan Sains Tabii dan Teknologi yang boleh dipertaruhkan bagi mempertahankan keutuhan bangsa ini di zaman globalisasi. Sumber-sumber yang kami gunakan di sini merangkumi hanyalah sumber bertulis iaitu prasasti (batu bersurat) dan manuskrip. Kami belumlah lagi berkeupayaan untuk mengunakan sumber-sumber lisan dan monument/teknologi.

1. Pengenalan
Penulisan semula secara tepat berkenaan apa-apa sahaja berkaitan Rumpun Bangsa Melayu ini tidak akan dapat dicapai jika maklumat-maklumat yang dipertimbangkan hanyalah bersekitar kepada kajian-kajian manuskrip sahaja. Ini adalah kerana manuskrip Rumpun Bangsa Melayu yang tertua pernah ditemui adalah buku Ramayana karangan Yogiswara bertarikh pada tahun 852S/930M sedangkan Rumpun Bangsa Melayu diketahui wujud semenjak kurun ke-2M lagi. Dan isu tersebut pasti tidak akan dapat diselesaikan jikalah hanya mempertimbangkan manuskrip-manuskrip Rumpun Bangsa Melayu selepas kedatangan Islam, sebab itu telah lebih jauh lewat. Malah manuskrip tertuapun setakat ini iaitu Bahr al-Lahut dijangkakan bertarikh pada kurun ke-13M. Apatah lagi kalau hanyalah berteraskan manuskrip-manuskrip yang dihasilkan semasa penjajahan Eropah seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa. Jauh lagilah kalau hanya berpandukan manuskrip-manuskrip dan buku-buku yang ditulis selepas kemerdekaan. Ahli-ahli sejarah Perancis pernah membuktikan bahawa sejarah Funan-Chenla-Kemboja dapat ditulis dengan hampir tepat tanpa menggunakan apa-apa manuskrip. Bukan bersebabkan tiada manuskrip, samada tiada langsung (mustahil) atau telah musnah, tetapi bersebabkan tarikh penulisan manuskrip-manuskrip tersebut lewat iaitu sekitar kurun ke-18M. Walaupun mungkin ada kalangan manuskrip tersebut yang kandungannya berbentuk salinan atas salinan atas salinan atas …, sehinggakan berkemungkinannya maklumat-maklumat di dalamnya ditulis jauh lebih awal, namun masih tiada kajian teliti terhadap isu pentarikhan manuskrip-manuskrip Funan-Chenla-Kemboja ini. Manuskrip-manuskrip awal peradaban ini telah musnah, dimusnahkan dalam peperangan ataupun musnah secara semulajadi disebabkan faktor cuaca. Tetapi, mempertimbangkan wujudnya manuskrip-manuskrip peradaban ini dalam kebudayaan-kebudayaan lain di sekitarnya dalam bentuk terjemahan dan ulasan, terutamanya dalam kebudayaan Thai, Mon, Myanmar, Champa, Sriwijaya, Sailendra, Majapahit, Tibet, Mongolia, Nepal, Cina, Korea, Jepun dan lain-lainnya, amat jarang didengar. Contohnya, tiada siapapun (?) kalangan sarjana Kemboja yang memperdulikan kewujudan seorang sarjana Funan kelahiran Ujjini, India, yang membawa sejumlah 240 buah manuskrip agama Buddha yang dikutipnya dari perpustakaan-perpustakaan Funan ke Cina pada tahun 545M, lalu menerjemahkan sekitar 76 buah daripadanya. Beliau ini bernama Paramartha (499-569M), yang merupakan penerjemah ketiga yang bertugas di Cina setelah Mandrasena, yang tiba di Cina pada tahun 503M, dan Sanghapala yang bertugas sebagai penerjemah pada tahun 506-522M. Kami sedang mencari maklumat berkenaan 76 buah kitab ini menerusi sumber-sumber Cina, Tibet, Korea dan Jepun. Setakat ini kami menemui 40 judul daripada keseluruhan 76 judul yang diterjemahkan oleh beliau. Begitu juga halnya, tiada siapa kalangan sarjana Campa dan juga Vietnam (?) yang peduli terhadap rampasan sejumlah 1350 buah manuskrip oleh seorang panglima Cina pada tahun 605M. Tentera Campa mengalami kekalahan dalam peperangan menentang Cina ini, dan rajanya terpaksa untuk keluar belayar melarikan diri.

Tanpa wujudnya manuskrip, atau tanpa mempertimbangkannya sebagai sumber penyelidikan, penyelidik-penyelidik terpaksa bergantung kepada sumber-sumber penyelidikan yang lebih kuno, iaitu prasasti (batu bersurat), sastera lisan dan teknologi. Prasasti secara umumnya bermaksud tulisan-tulisan pada medium-medium selain kertas, terutamanya batu, logam bernilai seperti tembaga, perak dan emas, pelepah dan kulit binatang/pokok. Namun, dalam kebanyakan keadaan, prasasti-prasasti tersebut hanyalah mengandungi hal-hal berkaitan istana dan pengurusan Negara atau kepolitikan. Jarang sekali prasasti merekodkan hal-hal berkaitan kerakyatan, apatah lagi keintelektualan. Sastera lisan pula bermaksud bentuk-bentuk hubungan manusia yang tidak direkodkan secara bertulis, dan hanyalah disampaikan dari satu generasi kepada generasi selepasnya menerusi hafalan. Seringkalilah pula kandungan perkara-perkara yang dihafal itu terseleweng sedikit, malah terseleweng jauh, apatah lagi mempertimbangkan factor masa. Contoh-contoh sastera lisan ini adalah nyanyian, sajak, mantera, doa dan lain-lain. Manakala teknologi bermaksud prasarana-prasarana yang dibangunkan oleh tukang-tukang tertentu bagi memudahkan kehidupan harian sesebuah masyarakat seumpamanya rumah, istana, kraftangan, persenjataan, alatan pertanian, perkapalan dan lain-lainnya. Setakat ini kami telahpun memulai kajian yang agak teliti terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu. Matlamat kajian ini adalah untuk mendokumentasikan seluruh prasasti Rumpun Bangsa Melayu, samada yang berbahasa Rumpun Melayu seperti Campa, Melayu Kuno dan Jawa, ataupun yang berbahasa lain seumpama Sanskrit, Tamil dan Pali. Daripada dokumentasi itu nantinya, kami akan melanjutkan kajian berbentuk pentafsiran pelbagai bentuk sains tabii dan teknologi yang dirakamkan di dalamnya. Contohnya, kita akan mengetahui dengan agak baik bagaimanakah Rumpun Bangsa Melayu mengendalikan hal-hal berkaitan pengukuran masa, daripada yang singkat seperti “jam” (asalnya perkataan Tamil) kepada yang panjang seperti “tahun” (perkataan ini dipakai juga dalam peradaban Maya bagi mewakili tahun). Begitu juga, kita boleh mengetahui bagaimana Rumpun Bangsa Melayu menyukat komoditi ekonomi seperti padi, buah-buahan, binatang ternak, emas-perak dan lain-lainnya. Juga, boleh diketahui dengan agak baik bagaimanakah Rumpun Bangsa Melayu melakukan pengiraan/penghitungan. Juga, boleh dikumpulkan maklumat berkenaan binaan-binaan yang dibangunkan oleh tukang-tukang seperti rumah, kuil, balai, istana, kapal dan lain-lainnya menerusi perkataan-perkataan yang mewakilinya. Juga, kita boleh mengetahui dengan teliti bagaimanakah sesuatu benda itu diwakili oleh sesuatu perkataan Melayu kuno, dan bagaimanakah evolusi perkataan itu sehingga kini? Dan pelbagai persoalan lain. Kami belumlah mampu mengusulkan apa-apa bentuk kajian teliti terhadap bahan-bahan sastera lisan dan teknologi Rumpun Rumpun Melayu ini. Setakat inipun kajian-kajian yang telah dilakukan oleh ramai sarjana tempatan mahupun antarabangsa hanyalah berbentuk dokumentasi dan gambaran sahaja tanpa mengkaji secara mendalam dalam pelbagai sudut pandang keilmuan tentangnya. Seumpamanya, mengambarkan wujudnya penyampaian maklumat dari mulut ke mulut dalam Rumpun Bangsa Melayu, tetapi tidak mendalam mengkajinya dari sudut pandang Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Ataupun, menggambarkan bagaimana hebatnya peperangan Campa menentang Viet, atau Kemboja menentang Thai, atau Sailendra menentang Jawa, atau Sriwijaya menentang Kemboja, atau Aceh menentang Belanda, tetapi tidak mendalam mengkajinya menurut sudut pandang Sains dan Strategi Pengurusan. Pokok-pangkalnya, sehingga sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu tidak melakukan analisis-analisis teliti terhadap maklumat-maklumat sastera lisan dan teknologi ini, sehingga itulah tidak mungkinnya diketahui dengan agak baik bagaimanakah sarjana-sarjana dan tukang-tukang Rumpun Bangsa Melayu silam menukilkan pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi menyelesaikan kemelut permasalahan semasa. Memahami bagaimana sarjana-sarjana silam menyelesaikan permasalahan semasa mereka sepatutnya memberikan kita pedoman berupa prinsip-prinsip bagaimana perlunya pula kita bertindak terhadap permasalahan-permasalahan kini. Tiadanya kajian-kajian yang memberikan tafsiran keilmuan sebeginilah yang memudahkan atau memaksakan kenyataan dibuat bahawa Rumpun Bangsa Melayu tiada langsung menyumbang apa-apa dalam hal-hal keilmuan sepanjang kewujudannya setakat 2000 tahun ini. Sehinggakan dengan sinis kita mengatakan bahawa bergantung sahajalah kepada sains dan teknologi yang dicampakkan oleh Rumpun Bangsa Eropah/Barat kepada seluruh dunia. Seolah-olahnya tidak ada langsung pilihan yang lain, walaupun diketahui dengan jelas kesan buruk daripada pengambilan Sains dan Teknologi secara langsung tanpa tapisan ini. Inilah yang akan mempercepatkan tenggelamnya kita nanti dalam proses globalisasi itu, sebab kita tiada apa-apa kekuatan untuk menyaring atau menolaknya. Kekuatan yang ada tidak kita manfaatkan, malah kerapkali kita pinggirkan dan kecualikan.

Hujah yang diberikan di atas sebenarnya hanyalah menegaskan bahawa kajian-kajian yang teliti perlu dilakukan terhadap sumber-sumber keilmuan Rumpun Bangsa Melayu, iaitu Sumber Bertulis seperti prasasti dan manuskrip, Sumber Lisan dan Sumber Teknologi. Dalam makalah ini kami akan membincangkan sumber bertulis sahaja. Pada bahagian seterusnya ini, kami akan merumuskan semula dan mengukuhkan hujah terhadap suatu perkara yang kami anggap amat penting daripada fakta-fakta di atas, iaitu berkenaan rencana penyelidikan mencungkil sains tabii dan teknologi Rumpun Bangsa Melayu.

2. Rencana Penyelidikan Sains Tabii dan Teknologi
Dua perkara yang telah kami sebut dalam bahagian Pengenalan di atas adalah dokumentasi sumber-sumber keilmuan dan pentafsiran sains tabii dan teknologi daripada sumber-sumber keilmuan berkenaan. “Dokumentasi sumber keilmuan” bermaksud mengumpulkan seluruh sumber keilmuan Rumpun Bangsa Melayu, iaitu samada yang bertulis. lisan mahupun teknologi, dalam suatu ensaiklopedia khusus. Namun, sumber teknologi mungkin memerlukan sebuah muzium teknologi. Manakala, “pentafsiran sains tabii dan teknologi terhadap sumber-sumber keilmuan” merujuk kepada aktiviti penyelidikan peringkat tinggi terhadap data-data khusus tentang sains tabii dan teknologi yang dirakamkan di dalam sumber-sumber berkenaan. Sumber teknologi memerlukan kita memberikan tafsiran secara tersirat. Ada tiga lagi aktiviti penyelidikan yang perlu ditambahkan kepada dua aktiviti ini, iaitu memahami dengan mendalam perkembangan sains tabii dan teknologi semasa, membandingkan kemajuan yang dicapai oleh sains tabii dan teknologi semasa dengan yang wujud dalam sumber kita, dan akhirnya membangun apa-apa maklumat berpotensi tentang sains tabii dan teknologi Rumpun Bangsa Melayu yang didapati belum dikembangkan dalam sains tabii dan teknologi semasa. Kami tuliskan semula secara bersistem al-Khwarizminya :
i. Mengumpulkan sumber-sumber keilmuan, iaitu samada bertulis, lisan mahupun teknologi.
ii. Mengenal data-data berkaitan sains tabii dan teknologi daripada sumber-sumber berkenaan. Menyusunnya dalam bentuk yang rasional.
iii. Memahami kemajuan terkini sains tabii dan teknologi (kebanyakannya daripada Barat)
iv. Membandingkan data-data sains tabii dan teknologi kita dengan kemajuan sains tabii dan teknologi terkini. Ini untuk mengenalpasti beberapa konsep sains tabii dan teknologi kita yang dirasakan berpotensi dan tiada dalam perkembangan semasa.
v. Membangunkan konsep-konsep “baru” (sebenarnya sudah lama wujud) tersebut berdasarkan rujukan terhadap kaitannya dengan konsep-konsep yang sedia ada dalam perkembangan sains tabii dan teknologi semasa.

Kami telahpun sebenarnya melaksanakan al-Khawarizmi ini beberapa kali ketika menumpukan kajian terhadap prasasti dan manuskrip Rumpun Bangsa Melayu. Keputusannya akan kami bahaskan di bawah. Namun, kami akui, fasal (v) itu belumlah pernah diusahakan. Pakar-pakar penyelidik yang menyokong kajian sebegini kebanyakannya masihlah bercakap-cakap sahaja berkenaannya, belumlah ada kajian yang agak teliti. Bahagian seterusnya ini akan membincangkan sumber bertulis prasasti, dan pada kali ini kami hanyalah mahu menyampaikan data-data berkenaan kepakaran sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu sebelum kedatangan Islam. Bidang ini secara luasnya dipanggil Pengelasan Ilmu.

3. Pengelasan Sains Tabii dan Teknologi Bersumberkan Prasasti
Bahagian ini dibangunkan berdasarkan kajian-kajian yang kami lakukan terhadap prasasti-prasasti yang dihasilkan oleh pelbagai Rumpun Bangsa Melayu. Umum mengetahui bahawa bukti-bukti bertulis berbentuk prasasti ini wujud semenjak kurun yang ke-2M hingga kepada kurun ke-16M, hilang apabila kertas mengambil alih peranan sebagai perantara merekodkan maklumat. Kandungan prasasti-prasasti ini pula bukanlah hanya dalam bahasa tempatan seperti Campa, Kawi dan Melayu Kuno, tetapi menggunakan juga bahasa-bahasa ilmu yang lain diwaktu itu seperti Sanskrit, Tamil dan Pali. Malangnya, sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu belumlah pernah memikirkan perlunya keseluruhan prasasti ini samada diterjemahkan atau diubahsuai ke Bahasa Melayu yang difahami kini, atau ke Bahasa Melayu sekitar selepas kurun ke-16M yang juga masih difahami kini. Itu semua untuk tujuan penyelidikan. Bukanlah kerana sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu tidak bijaksana, tetapi mungkin kerana tidak difikirkan keperluannya sehinggalah kini. Malahan, setahu kami, sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu hanyalah mula mengkaji prasasti ini daripada penyelidik-penyelidik Eropah selepas kemerdekaan Indonesia dan Malaysia sahaja. Tetapi, bersebabkan faktor-faktor keperluan yang pelbagai, seperti desakan untuk mengetahui cara mentadbir, cara berfikir, kepercayaan, dan lain-lainnya yang berkaitan Rumpun Bangsa Melayu yang diperlukan oleh pihak penjajah, sarjana-sarjana Eropah yang bertugas bagi pihak penjajah-penjajah Eropah di Alam Melayu ini begitu intensif menekuni kajian terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini. Melaluinya, mereka mengetahui pelbagai hal tentang Bangsa Melayu, yang sarjana-sarjana Bangsa Melayu sendiripun kadang-kadang tidak sedar tentangnya. Mendapatkan prasasti-prasasti yang dimaksudkan sudah merupakan satu kesukaran, kerana selalunya hanyalah didapat menerusi carigali arkeologi, namun mengkajinya untuk tujuan mentelaah isi kandungannya merupakan satu lagi bentuk kesukaran yang tidak terbayangkan. Seseorang pengkaji itu perlu memahami tulisan kuno disamping menguasai bahasa tulisan kuno tersebut. Apapun, sarjana-sarjana Eropah berjaya melepasi halangan kesukaran ini dan mendokumentasikan dengan teliti maklumat-maklumat perlu tentang sesuatu prasasti. Dan yang paling menarik, mereka menerjemahkan keseluruhan prasasti tersebut kebahasa mereka, iaitu bahasa Belanda, bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Tidak pula diketahui dengan jelas adakah Bangsa Portugis dan Bangsa Sepanyol juga melakukan penerjemahan terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini. Contohnya, keseluruhan prasasti Funan-Chenla-Kemboja dan prasasti Campa diterjemahkan kebahasa Perancis, keseluruhan prasasti Jawa dan Bali diterjemahkan kebahasa Belanda, dan keseluruhan prasasti Sriwijaya diterjemahkan kebahasa Inggeris. Kami sedang menerjemahkan kembali keseluruhan prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini kebahasa Melayu yang difahami kini, dengan segala kepayahan bersebabkan tidak mengetahui langsung tulisan-bahasa asal prasasti-prasasti berkenaan. Juga tidak mengetahui bahasa Belanda. Kami dibantu oleh Dr. Mohd Zain Musa, seorang sarjana Campa yang mahir berbahasa Campa, Melayu, Khmer, Inggeris dan Perancis. Sebenarnya, langkah terbaik adalah menerjemahkan ke Bahasa Melayu langsung daripada bahasa Sanskrit/Tamil/Pali atau mengubahsuaikan ke Bahasa Melayu daripada bahasa Campa/Kawi/Melayu Kuno itu. Tetapi, langkah itu masihlah jauh daripada kemampuan mana-mana sarjana atau kumpulan sarjana Rumpun Bangsa Melayu, kerana tiada atau hampir tiada kalangan sarjana Rumpun Bangsa Melayu yang mampu mentelaah prasasti tersebut dalam tulisan dan bahasa asalnya, lalu diterjemah/diubahsuai ke Bahasa Melayu. Walaupun begitu halnya, usaha-usaha perlu dimulakan bagi melatih sarjana-sarjana muda Rumpun Bangsa Melayu agar mahir menguasai beberapa bahasa kuno tersebut.

Sebelum makalah ini ditulis, sekumpulan penyelidik yang dikepalai oleh Dr. Shaharir bin Mohd Zain yang bernaung di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM, telahpun mengadakan bengkel penerjemahan prasasti Rumpun Bangsa Melayu pada 9-10/8/2008 di INSPEM. Bahan-bahan asas kepada kerja-kerja terjemahan tersebut adalah salinan-salinan karbon, transkripsi-transkripsi dan terjemahan-terjemahan Inggeris/Perancis/ Belanda bagi prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu yang dimaksudkan. Kerja-kerja asas yang akan dilakukan adalah menerjemahkan ke Bahasa Melayu kini daripada bahasa-bahasa Eropah yang dinyatakan tadi, dan kemudiannya menyemak terjemahan tersebut dengan bahasa asal prasasti-prasasti tersebut. Proses yang kedua itu diharapkan dapat memberikan sedikit ketelitian terhadap penerjemahan yang dilakukan, sekurang-kurangnya menyemak perkataan-perkataan yang masih digunakan hingga kini. Ini sahaja yang dapat dilakukan setakat ini, bersebabkan kekangan kepakaran yang disebutkan tadi. Perolehan kami setakat ini terhadap himpunan prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini adalah seperti dalam senarai yang berikut:

i. Prasasti Campa
Sejumlah 210 buah, tidak termasuk yang ditemui oleh sarjana-sarjana Viet kemudiannya. Daripadanya 127 daripadanya dalam bahasa Campa, 42 dalam bahasa Sanskrit dan 27 dalam dwibahasa. Sumbernya Jacques (1995) dan Majumdar (1927/1985).

ii. Prasasti Sriwijaya/Melayu/Minangkabau
Sejumlah 79 buah, daripadanya 7 buah berbahasa Melayu Kuno dan selebihnya berbahasa Sanskrit. Sumbernya Casparis (1956, 1975 & 1995), Coedes dan Damais (1992), Hardjowardojo (1966) dan Bambang Budi Utomo (2007).

iii. Prasasti Kutai
Sejumlah 4 buah berbahasa Sanskrit. Sumbernya Hashim Musa (2003).

iv. Prasasti Kedah
Sejumlah 11 buah berbahasa Sanskrit. Sumbernya Jacq-Hergoualc’h (1992) dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (2006).

v. Prasasti Ligor
Sejumlah 7 buah prasasti berbahasa Sanskrit. Sumbernya Coedes dan Damais (1992).

vi. Prasasti Jawa
Sejumlah 40 buah semuanya setakat ini. Sumbernya Casparis (1956 & 1975) dan Prapanca (1365/1960).

vii. Prasasti Bali
Sejumlah 40 buah semuanya setakat ini, yang telah diterjemahkan ke bahasa Belanda. Sumbernya Roelof Goris (1954).

Selain daripada hasil transkripsi dan terjemahan Bahasa Melayu bagi prasasti-prasasti tersebut, contohnya transkripsi 40 prasasti berbahasa Campa yang diterbitkan oleh penulis pertama dalam www.asasi.my, yang terjemahan Bahasa Melayunya sedang diusahakan bersama Dr. Mohd Zain Musa. Kami sebenarnya telah juga berkesempatan mengkaji secara teliti beberapa prasasti yang isi kandungannya cenderung kepada membincangkan isu pengelasan ilmu. Prasasti yang dimaksudkan adalah seluruh prasasti Campa tadi, yang semuanya bertarikh sekitar kurun ke-2M hingga kurun ke-14M, dan sebuah prasasti kosmologi Sriwijaya/Sailendra bertarikh sekitar 650-800M yang berbahasa Sanskrit. Kami gabungkan maklumatnya untuk menyerlahkan pengelasan Sains Tabii dan Teknologi (PSTT) Rumpun Bangsa Melayu seperti berikut :

PSTTP1 : Epistemologi dan Logik/Mantik, iaitu (i) Sumber pengetahuan iaitu addhyatmany ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara dalaman) dan vahye ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara luaran), (ii) Alat menerima pengetahuan iaitu caksuhcotghranajihvakayamanamsy (mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan fikiran); (iii) Fungsi alat pengetahuan iaitu caksurvijnanam (kesedaran-mata), crotravijnanam (kesedaran-telinga), ghranavijnanam (kesedaran-hidung), jihvavijnanam (kesedaran-lidah), kayavijnanam (kesedaran-kulit), manovijnanam (kesedaran-fikiran)/ manasssamskarah (daya fikiran); (iv) Jenis pengetahuan iaitu vedanaskandhah (tahap perasaan), samskaraskandhah (tahap daya/tenaga), samjnaskandhah (tahap idea) dan vijnanaskandhah (tahap kesedaran); (v) Ontologi/Benda iaitu bhavatrsna (berkehendak kewujudan), vibhavatrsna (berkehendak ketiadaan), atmavadopadanam (mengikut doktrin kewujudan Atman), rupabhavah (kewujudan rupa/bentuk tulen) dan arupyabhavah (wujud ketiadaan rupa/bentuk).

PSTTP2. Kosmologi/Astronomi/Astrologi/Horasastra, iaitu tentang empat benua jambhudvipah, utttarakurukodvipah, purvvavidehadvipah dan avaragodhanidvipah. Lapan neraka iaitu sanjiva, kalasutra, samghata, raurava, maharaurava, tapana, sampratapaka dan avicic. Lapan langit iaitu caturmaharajika, trayastrimca, yama, tusita, nirmanarati, parinirmitavacavarttinac, ceti pretalokah dan tiryyagjatic. Lima unsur asas dan terbitannya iaitu catvari mahabhutani catravi ca mahabhutany upadaya ca rupam (air, api, tanah, angin dan akasa, dan bentuk-bentuk yang terhasil daripadanya berjumlah lima organ dan lima kategori);

PSTTP3. Embriologi, iaitu samjnajatih (menjadi), avakrantih (turun kedalam rahim ibu), abhinirvrttih (tumbesaran), skandhapratilabho (menguasai kumpulan dharma), dhatupratilabhah (menguasai 18 wilayah), ayatanapratilabhah (menguasai asas tanggapan), skandhabhinirvrttih (perkembangan kumpulan dharma), jivitendriyapradurbhavah (munculnya pancaindera);

PSTTP4. Sains Kesihatan, iaitu (i) Kayasamskarah (daya badan). (ii) Tua yang bermaksud yat (botak), khalatatvam (kelabu), valitatvam (kedut), valipracurata (lisut), jirnata (tunduk), bhugnata (bongkok), kubjata (bengkok), gopanasivankata (bertongkat), dandaviskambhanata puratah pragbharakayata (berat badan kehadapan), tilakadikagatrata (tanda hitam pada tubuh), mandatvam (lambat), andhatvam (rabun), hanih (letih), parihanih (habis tenaga), indriyanam paripakah paribhedah samskaranam (pancaindera melemah), puranibhavah (nyanyuk) dan jarjaribhavah (musnah). (iii) Mati yang bermaksud satvanikayacyutih (keluar daripada erti manusia), cyavanatabhedah (mereput), antahanih (hilang tenaga dalaman), ayuso hanih (hilang kehidupan), jivitendriyanirodhah samskaranam (fungsi pancaindera berhenti), niksepo (hilang upaya) dan maranakalaksaya (nazak);

PSTTP5. Botani, iaitu vijad ankuram (biji menghasilkan tunas), ankurat patram (tunas menghasilkan daun), patrat kandam (daun menghasilkan batang), kandan nalam (batang menghasilkan cabang), nalad garbhah (cabang menghasilkan ranting), garbhat puspah (ranting menghasilkan bunga) dan puspat palam (bunga menghasilkan buah).

Itulah serba sedikitnya istilah-istilah sains tabii dalam Bahasa Melayu Kuno yang berbaur dengan Bahasa Sanskrit. Beberapa perkataan Bahasa Melayu yang dapat dikesan adalah “jnana=jana”, “mano=mana”, “rupa”, “jambhu=jambu”, “uttara=utara”, “purvva=purba” dan beberapa yang lain. Perlu diingatkan bahawa maklumat diatas amatlah kuno sifatnya, iaitu ketika Bahasa Melayu berada pada tahap lahir dan mula perkembangan. Kami pinggirkan pengelasan ilmu selainnya yang sedikit atau tiada kena mengena dengan Sains Tabii dan Teknologi. Memanglah amat sedikit kelihatannya masukan-masukan bernilai teknologi dalam senarai di atas. Tapi memang sedemikianlah halnya, sebab kajian berkenaan teknologi selalunya memerlukan kita terjun kelapangan, yang belum kami lakukan lagi, dan bukannya semata-mata mengkaji teks. Kajian teks hanyalah memungkinkan kita mengutip bukti-bukti seperti bangunan, peralatan, senjata, kapal dan lain-lainnya, yang belum kami lakukan di sini.

Kandungan perbincangan yang mahu kami sampaikan berikut ini mengundang penjelasan yang agak kabur. Kabur kerana kami tidak mampu untuk memberikan sempadan pemisah diantara manakah manuskrip yang dihasilkan sebelum kedatangan Islam dan yang manakah selepas kedatangan Islam. Malah, kami hanyalah bergantung kepada judul manuskrip-manuskrip berkenaan, dan hanyalah kadang-kadangnya berkesempatan mentelaah manuskrip yang ditemui. Ini adalah kerana manuskrip-manuskrip Melayu dalam bidang Sains Tabii dan Teknologi ini baru sahaja mendapat minat kalangan penyelidik. Jadinya, kami mengambil keputusan untuk membincangkannya secara dua bahagian terpisah, iaitu pertamanya kami tujukan kepada tamadun-tamadun Melayu kuno, dan keduanya kami tujukan kepada tamadun-tamadun Melayu-Islam.

4. Pengelasan Manuskrip Sains Tabii dan Teknologi
Sumber kedua ini merupakan satu lagi sumber bertulis yang dipunyai oleh Rumpun Bangsa Melayu, yang kewujudannya serata dunia, baik di Alam Melayu mahupun di peringkat antarabangsa. Malah, pernah dinyatakan bahawa manuskrip yang paling banyak jumlahnya di dunia ini adalah manuskrip Melayu, atau boleh ditepatkan lagi maksudnya, iaitu manuskrip Melayu-Islam. Namun, apabila berbincang tentang manuskrip Melayu, kita bukanlah hanya perlu bergantung kepada manuskrip-manuskrip yang wujud di zaman umat Melayu telah memeluk Islam, kerana seperti yang kami tulis pada peringkat awal itu, kebergantungan kepada manuskrip ini sahaja tidak akan mampu menjawab secara tepat apa-apa sahaja berkaitan Bangsa Melayu. Sebabnya adalah, kewujudan manuskrip Melayu-Islam paling awalnya adalah sekitar kurun yang ke-13M, sekitar 1000 tahun selepas dikesan wujudnya Rumpun Bangsa Melayu. Takkanlah secara ilmiah kita boleh sahaja mengatakan tiada apa-apa berlaku sekitar 1000 tahun itu. Kalau mahu juga dikatakan demikian, kita perlulah menjelajahi keseluruhan buktinya dahulu. Dan, tidaklah boleh dikatakan pula bahawa perkara ini telah dibuktikan, sebab penjelajahan bukti-bukti terbaru menunjukkan sebaliknya berlaku, walaupun masih pada peringkat awal. Kami memaksudkan usaha kami menjelajah bukti-bukti manuskrip yang wujud dalam empat tamadun Rumpun Bangsa Melayu terawal. Iaitu, sejumlah 240 buah manuskrip Funan berbahasa Sanskrit/Funan/Kunlun yang dibawa ke China pada tahun 546M oleh Paramartha, yang 76 buah daripadanya diterjemahkan sendiri oleh beliau, dan kami mengesan 40 judul daripadanya. Lagi, sejumlah 1350 manuskrip Campa yang dirampas oleh Panglima Perang China ketika angkatannya melanggar dan mengalahkan Campa pada tahun 605M, kami masih gagal mengesannya. Lagi, sejumlah beberapa ribu manuskrip diterjemahkan oleh I-Ching dalam 14 tahun di awal kurun yang ke-8M, kami baru mengesan sekitar 10 judul kalangannya. Namun, yang tidak dapat disangkal lagi adalah manuskrip-manuskrip Kawi/Jawa Kuno yang masih wujud sekarang ini. Jadi matlamat kami pada peringkat pertama ini ini adalah menyenaraikan pengelasan Sains Tabii dan Teknologi yang merupakan kandungan manuskrip-manuskrip ini.

4.1. Pengelasan Manuskrip Funan, Sriwijaya, Campa dan Jawa Kuno
Di sini kami cantumkan maklumat tentang pelbagai kepakaran sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu zaman kuno. Maklumat-maklumat ini kami ambil daripada tulisan-tulisan yang menyentuh perhubungan Rumpun Bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa manusia yang berada disekitarnya, terutamanya China dan India.

PSTTMK1. Epistemologi/Logik/Metafizik/Purana/Tutur, seperti Ru-Shi-Lun (Tarkasastra), O-Pi-Ta-Mo-Ku-Shen-Lun (Abhidharma-kosha sastra), Fan-Chih-Lun (Pariprccha sastra) dan To-Fu-Lun (Nigraha-sthana sastra) oleh Vasubandhu; Kuan Tsung Hsing Lun Sung (Samanyalaksana), Yin Ming Chin Li Men Lun (Nyayamukha), Wu-Hsiang-Ssu-Ch’en-Lun (Alambanapariksa) dan Ch’u Shih Shih She Lun/ Ch’u Yin Chia She Lun (Upadayaprajnatiprakarana) oleh Dignaga; Sheng-Da-Cheng-Lun (Mahayana Samgraha) oleh Asanga. Juga manuskrip Kawi, Jnanasiddhanta, Sang Hyang Kamahayanikan Mantranaya, Sang Hyang Kamhayanikan, Tutur Adhyatmika, Kumaratattva, Tattvajnana, Mahajnana, Tutur Kamoksan, Vrhaspatutattva, Tattva Sang Hyang Mahajnana, Ganapati-Tattwa, Bhuvana Samksepa, Bhuvanakosa, Caturdasa Siva dan Kalpabuddha.

PSTTMK2. Azimat/Simbolisme/Pasasangkalan, seperti *CAM 51(2)(4), CAM 53(2), CAM 59(12), CAM 88(3), CAM 129(2), CAM 147(14), CAM 3, CAM 86, CAM 140(5), CAM 186, CAM 205(2), CAM 226(7), CM 39(8), CM 5(5), CM 13(7), CM 30(6), **DHARMA 2(5).

PSTTMK3. Kosmogoni/Astronomi/Horoskrop/Kalendar/Wariga/Wawatakan, seperti CAM 46(8), CAM 55(5), CAM 63(3), CAM 80(1)(6)(12), CAM 104(8), CAM 144(4), CAM 200(2), CAM 217(15), CAM 56(6), CAM 97(1)(3), CAM 124(1), CAM 128(1)(3), CAM 130(1), CAM 132(1), CAM 138(4), CAM 146(3), CAM 189(3), CAM 191(2)(16), CAM 226(9), CAM 241(6), CAM 15, CAM 28(2), CAM 31(3), CAM 57(3), CAM 80(2)(3), CAM 90(2), CAM 97(2), CAM 98(1), CAM105(1), CAM 116(2), CAM 143(1)(2), CAM 145(3)(5), CAM 151(2)(8)(12), CAM 17(3), CAM 28(7), CAM 29(11), CAM 37, CAM 49(3), CAM 55(3), CAM 72(6), CAM 138(3), CAM 202(3), CAM 217(11), ***CAM MICRO 67(2), CAM MICRO 53(3), CAM MICRO 38(1), CAM MICRO 40(1), CAM MICRO 42(5), CAM MICRO 43, CAM MICRO 61(1), CAM MICRO 63(4), ****CM 5(4), CM 26(8), CM 27(7)(10)(12)(14)(16)(17)(24)(25), CM 37(38), CM 38(2), CM 26(1), CM 28, CM 30(8(13), CM 34(6), CM 41(3), CM 20(4), CM 31(9), CM 39(13)(16), *****MEP 1190/1(3), MEP 1189/7(1), MEP 1189/8(4), MEP 1190/1(2), MEP 1190/4(6), MEP 1190/7(6), MEP 1190/2(2), MEP 1190/6(2), DHARMA 2(8), DHARMA 2(7), ******LAFONT 2(1).

PSTTMK4. Embriologi, seperti CAM 33(2), CAM 50(3), CAM 51(8), CAM 52(4), CAM 101(4), CAM 102(1), CAM 103(4), CAM 111, CAM 205(1), CAM 217(5), CAM 226(8), CAM 240(2)(7), CAM 243(1), CM 27(1), CM 35(9).

PSTTMK5. Geografi, seperti CAM 30(9)(10)(11), CAM 52(1), CAM 166(4)(16)(29)(31), CAM 167(1)(3)(7), CAM 168(2)(6), CAM 170, CAM 171(1)(3), CAM 172(2), CAM 174(2), CAM 175(3), CAM 224, CM 25(8), CM 39(26), CM 40(1), MEP 1189/9(10).

PSTTMK6. Farmakologi/Usada, seperti CAM 2, CAM 44, CAM 59(10), CAM 87(6), CAM 106(19), CAM 140(2), CAM 147(11)(20)(21), CAM 165, CAM MICRO 21(10), CM 1.

PSTTMK7. Teknologi, seperti CAM 16(8)(14), CAM 28(8)(9), CAM 29(7), CAM 30(14), CAM 46(3)(5), CAM 46(5), CAM 63(9), CAM 72(3), CAM 74(2), CAM 79(2), CAM 79(4)(7), CAM 80(7), CAM 96(17)(19)(22), CAM 106(8)(9)(10)(13)(15)(16), CAM 106(12), CAM 149(13), CAM 151(4), CAM 166(6), CAM 217(9), CAM MICRO 62(3), MEP 1189/7(4), MEP 1190/1(6).

*L’Ecole Francaise D’Extreme Orient,
**Koleksi Po Dharma,
***L’Ecole Francaise D’Extreme Orient (Microfilem),
****La Societe Asiatique,
*****Missions Etrangeres de Paris,
******Koleksi P-B. Lafont

Bidang-bidang Sains Tabii dan Teknologi yang dinyatakan tadi adalah jauh lebih mantap berbanding dengan pengelasan yang dirumuskan daripada maklumat-maklumat prasasti. Walaupun demikian, kajian teliti terhadap kandungan Sains Tabii dan Teknologi dalam manuskrip-manuskrip ini belumlah dilakukan, malah tidaklah pernah mana-mana institusi penyelidikan menaja apa-apa aktiviti penyelidikan terhadapnya. Tambahan, sebelum itu, mencari manuskrip-manuskrip tersebutpun sebenarnya merupakan aktiviti ilmiah yang belum dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bidang-bidang yang dinyatakan diatas sebenarnya tidak jauh lari daripada apa yang dibincangkan dalam pengelasan yang akan diberikan seterusnya ini, iaitu Pengelasan Sains Tabii dan Teknologi yang dirumuskan daripada manuskrip-manuskrip Melayu-Islam.

4.2. Pengelasan Manuskrip Melayu-Islam
Kajian teliti terhadap judul-judul manuskrip Sains Tabii dan Teknologi ni sebenarnya dilakukan oleh Dr Shaharir bin Mohd Zain (2003). Kami cumalah menyalinnya daripada makalah beliau. Kini, kumpulan yang diketuai oleh beliau di INSPEM, UPM, sedang melakukan penyelidikan teliti bagi merungkai segala permasalahan Sains Tabii dan Teknologi yang ada dalam manuskrip-manuskrip tersebut. Sumber manuskrip yang kami gunakan setakat ini adalah Perpustakan Negara Malaysia.Untuk pengetahuan umum, telaah kami terhadap manuskrip-manuskrip tersebut memanglah menunjukkan bahawa beberapa banyak hal berkaitan Sains Tabii dan Teknologi Moden juga secara intipatinya wujud di dalam manuskrip-manuskrip Melayu ini. Contohnya masalah-masalah berkaitan logik/mantik, kosmologi, kosmogeni, konsep masa, kimia dan sebagainya. Pengelasan yang dimaksudkan adalah :

PSTTMI1. Asal kejadian alam, manusia dan makhluk-makhluk lain.
PSTTMI2. Astronomi, ilmu bintang, ilmu falak, kosmologi dan kosmogeni.
PSTTMI3. Faraid, hukum waris dan ilmu hisab/hitung.
PSTTMI4. Perubatan, tib dan mujarabat/mujarrobat.
PSTTMI5. Ramalan, taabir/ta’bir/takbir, astrologi, azimat, firasat, hikmat, ilmu bintang, ilmu nujum, ketika/kuteka, petua, primbon, raksi/rasi, rejang dan tilik.
PSTTMI6. Sains hayat, hakikat roh, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
PSTTMI7. Sains fizis.
PSTTMI8. Tasawuf, falsafah dan mantik.
PSTTMI9. Teknologi, kejuruteraan, pelayaran, persenjataan, rumah dan bangunan.

Kami tidak mengembangkan maklumatnya disini bersebabkan rujukan boleh dibuat terhadap makalah Dr. Shaharir tersebut. Bagi mengembangkan kajian ini, kumpulan pentelaah yang lebih besar diperlukan. Kalaupun mahu dikembangkan bidang Sains Tabii dan Teknologi Melayu, bidang-bidang yang dinyatakan disinilah yang sepatutnya dikembangkan, dengan tambahan dari maklumat-maklumat berkaitan yang lain. Itulah proses pembangunan ilmu yang dialami oleh semua tamadun manusia silam. Sekarang ini, kami akan menunjukkan dua contoh penyelidikan yang dilakukan bagi merungkai maklumat-maklumat bernilai Sains Tabii dan Teknologi daripada sumber-sumber bertulis yang dinyatakan tadi. Seperti yang kami maklumkan sebelumnya, kami belum mampu membahaskan sumber lisan dan sumber teknologi Melayu.

5. Contoh Pertama STT Melayu : Epistemologi dan Mantik/Logik
Kalau kita mempertimbangkan fenomenologi/hasrat Husserl sebagai cara berfikir terbaru yang dihasilkan oleh sarjana-sarjana Barat, ataupun lebih baru lagi, versinya yang dinamakan sebagai eksistensial/wujudiah Heidegger dan dekonstruktif/kon(struk)+ destruktif Derrida itu, makanya perlulah direnungi bersama bahawa dasar kepada segala fahaman falsafah berkenaan adalah juga persoalan pokok teori pengetahuan (epistemologi). Husserl mahu menggantikan silogisme Aristotle yang gagal menjelaskan hal-hal yang difikirkan oleh seseorang manusia tentang dirinya. Heidegger mengatakan bahawa fenomenologi Husserl juga sebenarnya gagal menjelaskan keadaan itu, lalu beliau mencadangkan agar halatuju fenomenologi itu mestilah ditumpukan kepada memahami kewujudan manusia itu sendiri, kemudian barulah kepada cara manusia itu berfikir. Ramai yang beranggapan bahawa kaedah Heidegger sebenarnya gagal juga. Tiada kaedah yang boleh dibina dan digunakan bagi menjelaskan bagaimana seseorang memahami kewujudan dirinya. Kegagalan Heidegger inilah yang mencetuskan gerakan kefalsafahan dekonstruktif Derrida, yang antara lain mengusulkan bahawa sebelum seluruhnya musnah dan gagal, sebab diri sendiri tak mampu memikirkan kewujudannya sendiri, elok dikutip cebis-cebis pengetahuan yang tinggal tentang diri sendiri tersebut, dan kemudiannya dibina semula bagi mendapatkan kefahaman yang “menyeluruh”. Itulah sebabnya formula dekonstruktif=kon(struk)+destruktif=bina+(cebisan-)musnah, seperti yang saya nyatakan di atas menjelaskan epistemologi Derrida dengan lebih baik. Tak ramai yang memahami epistemologinya sebegini. Kebanyakan hanyalah berkenaan penggunaan konsep dekonstruktif Derrida sahaja. Masalah utama yang cuba diusahakan untuk dileraikan oleh Derrida adalah masalah kebenaran yang terkandung dalam wacana/percakapan lisan dan tulisan/karya. Derrida mengatakan bahawa kebenaran mestilah lebih jitu di dalam wacana lisan berbanding tulisan. Ini kerana seseorang itu boleh memikirkan sekali dua lagi tentang sesuatu perkara sebelum menulisnya, jadi kebenaran asal itu berkemungkinan untuk diubah. Itulah sebabnya karya autobiografi merupakan suatu subjek kajian yang utama, sebab hasil tulisan ini menyatakan kebenaran tentang diri seseorang yang menulisnya. Benarkah setiap kebenaran itu akan dituliskan oleh seseorang didalam autobiografinya, pahit atau manis? Derrida mengatakan bahawa, pastilah seseorang akan mengubah kebenarannya bagi memenuhi matlamatnya menulis autobiografi tersebut. Tapi, bagaimana kalau perubahan yang dimaksudkan itu bermatlamatkan untuk mendapatkan kebenaran yang lebih jitu? Sebab yang Derrida fahami hanyalah tentang kepalsuan yang didiamkan atau ditukarkan menjadi kebenaran. Jadinya, yang Derrida maksudkan sebagai “kebenaran” itu adalah kebenaran berlakunya peristiwa itu untuk pertama kali, atau digelar logik keadaan (situation logic).

Kami sengaja membawakan isu epistemologi pascamoden tersebut untuk memperingati diri sahaja tentang bagaimana nanti untuk berfikir bagi mengolah maklumat tentang epistemologi Melayu itu. Adakah unsur-unsur epistemologi Melayu mengandung mauduk perbincangan sedemikian? Atau bolehkah diolah menjadi sedemikian? Atau lebih baik, mengutarakan masalah-masalah epistemologi yang baru dan jalan-jalan penyelesaian yang positif?

5.1. Membangun Epistemologi Melayu
Kami kutip dahulu maklumat-maklumat yang dimaksudkan, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu PSTTP1 : Epistemologi dan Logik/Mantik, iaitu :
i. Sumber pengetahuan iaitu addhyatmany ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara dalaman) dan vahye ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara luaran),
ii. Alat menerima pengetahuan iaitu caksuhcotghranajihvakayamanamsy (mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan fikiran),
iii. Fungsi alat pengetahuan iaitu caksurvijnanam (kesedaran-mata), crotravijnanam (kesedaran-telinga), ghranavijnanam (kesedaran-hidung), jihvavijnanam (kesedaran-lidah), kayavijnanam (kesedaran-kulit), manovijnanam (kesedaran-fikiran)/ manasssamskarah (daya fikiran),
iv. Jenis pengetahuan iaitu vedanaskandhah (tahap perasaan), samskaraskandhah (tahap daya/tenaga), samjnaskandhah (tahap idea) dan vijnanaskandhah (tahap kesedaran),
v. Ontologi iaitu bhavatrsna (berkehendak kewujudan), vibhavatrsna (berkehendak ketiadaan), atmavadopadanam (mengikut doktrin kewujudan Atman), rupabhavah (kewujudan rupa/bentuk tulen) dan arupyabhavah (wujud ketiadaan rupa/bentuk).

Perbincangan semasa yang dirujuk dalam (i), (iv) & (v) selalunya perbincangan tentang “objek/benda” dan pengetahuan yang dihasilkan oleh benda tersebut. Diantara tema epistemologi yang sering berkaitan kepada hal ini adalah, adakah benda itu mempersembahkan dirinya dalam bentuk pengetahuan? Ataukah pengetahuan itu sebenarnya merupakan kefahaman kita berkenaan benda itu? Apa-apapun “benda” dan “persembahannya/pengetahuan tentangnya” tidaklah sama. Manakalah (ii) & (iii) menyatakan tentang alat-alat yang wujud pada manusia bagi mendapatkan pengetahuan menerusi caranya yang khusus dipanggil “kesedaran”.

Apabila kita teliti pula maklumat-maklumat epistemologi yang terdapat dalam manuskrip Melayu tertua berjudul Aqaid al-Nasafi bertarikh 1590M, seperti yang diedit dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Al-Attas, himpunan perbincangan-perbincangan berikut di dapati :
i. Benda-benda yang diluar fikiran manusia di dalam alam ini dikelaskan kepada a’yan dan a’rad. A’yan itu yang baginya berdiri dengan adanya. Iaitu ada kalanya murakkab seperti jisim, atau tiada murakkab seperti jawhar, iaitu suku yang [tiada] bersuku. A’rad itu yang tiada berdiri baginya dengan adanya, dan diadakan ia pada segala jisim dan segala jawhar, seperti segala warna, pada segala keadaan, dan pada segala citarasa makanan, dan segala bau.
ii. Sumber-sumber pengetahuan itu adalah pancaindera, khabar sadiq/benar, akal/budi dan ilham. (a) Pancaindera adalah pendengar, penglihat, pencium, perasa lidah dan perasa tubuh. Dengan kelima-limanya, diketahui atas yang ditentukan ia baginya dengan dia. (b) Khabar sadiq terbahagi kepada khabar mutawatir dan khabar Rasul Allah. Khabar mutawatir adalah khabar yang thabit pada segala lidah qawm yang ditiadakan dapat pada budi muwafaqat mereka itu atas dusta, iaitu tahu dengan dibicara diketahui adanya. Ini menghasilkan ilmu daruri, seperti tahu akan segala raja-raja silam dan negara-negara yang jauh. Khabar Rasul Allah menghasilkan ilmu istidlali (menuntut dalil) dan ilmu yang teguh dengan dia menyerupai ilmu yang teguh dengan ilmu daruri pada nyatanya dan teguhnya. (c) Akal/budi itu terbahagi kepada badihah, iaitu yang tidak boleh difikirkan dalilnya seperti seluruh lebih banyak daripada sebahagian, dan istidlal, iaitu yang menuntut dalil seperti ada api tatkala melihat asap. (d) Ilham itu diperoleh atas pertolongan Allah.

Perkara (i) disini juga merujuk kepada “benda” yang berada di luar fikiran manusia. Tetapi benda dalam fikiran manusia tidak dibincangkan. Kemudiannya, perkara (ii) pula merujuk kepada sumber-sumber pengetahuan kepada manusia, yang tersirat mengandungi hal-hal berkaitan alat-alat mendapat pengetahuan dan jenis-jenis pengetahuan. Sebenarnya maklumat-maklumat ini boleh dilengkapkan lagi kalau kita mampu merujuk kepada kitab-kitab mantik yang digunakan dalam pendidikan pondok di Alam Melayu berikut :
i. Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari(1426-1520M). Syarh ‘ala Matn Isaghuji (ulasan terhadap Kitab al-Isaghuji karangan al-Abhari).
ii. Hassan al-Attar. 1236H/1820M. Hasyiah ‘ala syarh Zakaria al-Ansari ‘ala matn Isaghuji fi’l-mantiq.
iii. Al-A’allamah ‘Abdul Rahman al-Akhdari. 941H/1530M. Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq / Al-Sullam fil-Mantiq / Assuhamul Munauraq / Al-Sullam fil-Munauraq. (ringkasan terhadap kitab al-Isaghuji karangan Al-Abhari) Terj. Jawa pada 1950 dan Terj. Indonesia pada 1974 oleh Khadrotil Walid K.H. Bisri Mustofa.
iv. Syaikhul Azhar Ahmad bin Abdul Mun‘im al-Damanhuri (1101-1192H). Idah al-Mubham min ma’ani al-sullam (ulasan terhadap Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
v. Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri. 1226H/1810M. Hasyiah al-Bajuri ‘ala Matn al-Sulam (ulasan terhadap Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
vi. Syaikhul Islam Ahmad al-Mallawi. al-Syarh al-Shaghir ala al-Sullam (ulasan terhadap kitab Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
vii. Muhammad bin Ali al-Shabban. Hasyiah (ulasan terhadap al-Syarh al-Shaghir ala al-Sullam karangan Syaikhul Islam Ahmad al-Mallawi).
viii. Al-Allahmah Ahmad al-Saja’i. 1184H/1768M. al-Jawahir al-Muntazhimat.
ix. Hassan al-Attar. 1234H/1818M. al-Hasyiah (al-Kubra) ‘ala syarh Maqulat al-Saja’i.
x. Hassan al-Attar. 1242H/1826M. al-Hasyiah (al-Sughra) ‘ala syarh Maqulat al-Saja’i.
xi. Muhammad Hasanain Makhluf. 1236H/1820M. al-Hashiyah al-Thaniyah.
xii. Hassan al-Attar. 1234H/1818M. al-Hashiyah al-Kubra ‘ala syarh Maqulat al-Sayyid al-Balidi.
xiii. Hassan al-Attar. 1240H/1824M. al-Hashiyah al-Attar ‘ala syarh al-Tahzib.
xiv. Hassan al-Attar. 1246H/1830M. al-Hashiyah ‘ala Jam al-Jawami.

Juga karya-karya asli sarjana-sarjana Melayu dalam bidang mantik seperti tersenarai di bawah :
i. Faqih Wan Musa al-Fatani. 1002H/1593M. Ilmu Mantiq.
ii. Nur al-Din al-Raniri. 1640-an salinan 1860-an. Ms 781(2),
iii. Al-Sayyid Hasan al-Khurasani (1875-1944), Ilmu Mantiq.
iv. Wan Ali bin Wan Ya’qub. 1959. Tausi’ah al-Fikri Bicara al-Maqulat al-‘Asyara.
v. Abdul Wahab Haji Abdullah al-Azhari. 1975. Al-Mabadi fi ‘Ilm al-Mantiq. Kota Baru : PAP.
vi. Haji Ismail bin Haji Yusuf. tt. Qawa’id al-Mantiq. Kota Baru : Al-Ahliah.
vii. Mohammad Nor al-Ibrahami. tt. ‘Ilm al-Mantiq. Kota Baru : Al-Ahliah.

5.2. Membangun Silogisme Melayu
Selepas Aristotle merumuskan teori silogismenya, dunia Barat menunggu sekitar 2000 tahun untuk seseorang merumuskan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Itulah sumbangan Leibniz sekitar penghujung kurun yang ke-17M dan dikembangkan secara terpisah oleh Boole sekitar awal kurun yang ke-19M. Matlamat kedua-dua pemikir ini adalah untuk menggunakan struktur-struktur matematik yang wujud ketika itu di dalam memahami bagaimana silogisme distrukturkan dan dikembangkan. Oleh kerana diketika itu matematik masihlah belum semaju yang dicapai kini, maka struktur asas matematik yang digunakan sebagai model memahami sistem silogisme adalah teori set. Itulah yang memberikan lonjakan idea yang baru kepada Leibniz dan Boole. Malah, pentelaah-pentelaah buku Boole mengatakan bahawa satu-satunya pencapaian manusia yang mengatasi apa yang telah dihasilkan oleh Aristole dua ribu tahun yang lepas dalam bidang teori pengetahuan adalah sistem mantik yang dinukilkan oleh Leibniz-Boole ini, yang kemudiannya dinamai mantik simbolik atau mantik matematik. Namun, nama sebenar yang patut diberikan adalah mantik set, sebab struktur matematik yang digunakan adalah teori set. Inilah yang digunakan oleh Frege untuk membangunkan landasan matematik tulen dizamannya, yang dinamainya mantikisme, atau boleh sahaja difahami sebagai matematik yang dilandaskan di atas teori set sebagai bahannya dan mantik sebagai kaedah/bahasa pembangunannya. Pemikir seterusnya yang bertanggungjawab mengembangkan idea Frege ini adalah Whitehead-Russell melalui karya mereka pada tahun 1910-13 berjudul Principia Mathematica. Whitehead mengundurkan diri selepas itu. Hanyalah dua pandangan sahaja yang berbeza dengan Frege-Russell diwaktu itu, iaitu Hilbert yang membawakan idea formalisme/kerangkaisme, dan Brouwer yang membawakan idea intuisisme/ilhamisme. Tapi intuisi di sini tidaklah bermaksud intuisi yang difahami dalam metafizik. Namun, mantik yang diusulkan oleh Hilbert adalah juga mantik yang digunakan oleh Frege-Russell. Beza diantara kedua-dua pemikir ini hanyalah kepada kepenggunaan mantik itu sendiri, Frege-Russell menganggapkan segala-galanya adalah mantik, manakala Hilbert menganggap mantik hanyalah alat untuk membina kerangka matematik.

Tetapi, Brouwer jauh berbeza dengan dua pandangan mantikisme dan kerangkaisme ini. Brouwer menganggap bahawa mantik mestilah meniadakan hukum tanpa penengah (excluded middle law). Hukum ini merupakan landasan kepada pembuktian secara percanggahan, iaitu pembuktian yang dimulai dengan menafikan kes yang diberi, kemudiannya melakukan operasi-operasi matematik perlu sehinggakan menimbulkan percanggahan, lalu seterusnya menerima benar kes yang diberi tadi. Pembuktian sebegini kerap ditemui dalam Al-Quran. Contohnya, bukti menunjukkan wujud hanya satu Tuhan dimulai dengan mengandaikan wujud dua tuhan, kemudian disusuli kenyataan kalau wujud dua tuhan pastilah alam ini akan musnah, tetapi alam tidak musnah, iaitu percanggahan didapati, maka wujud hanya satu Tuhan. Bersebabkan hukum tanpa penengah banyak kedapatan di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran, maka Hilbert yang membawa kaedah pembuktian secara percanggahan ini kedalam matematik tulen digelarkan sebagai ahli matematik-teologi, yang seboleh-bolehnya mahu dielakkan oleh ahli matematik sekular. Brouwer menolak hukum tanpa penengah kerana berpandangan hal-hal didalam matematik tulen bukanlah hanya boleh diturunkan kepada dua kes ya-tidak sahaja. Menafikan sesuatu itu nombor tidaklah bermaksud sesuatu itu bukan nombor, mungkin juga sesuatu itu bukanlah bukan nombor. Contoh lebih mudah adalah menafikan hitam tidaklah bermaksud putih, mungkin sekali merah, biru atau warna-warna yang lain. Penentangan Brouwer terhadap Hilbert dan Frege-Russell hanyalah boleh diharmonikan setelah penemuan bidang baru seawal-awalnya pada tahun 1964. Secara tidak sengaja, Lawvere, ketika berusaha mencari landasan mantik menerusi kaedah penggeometrian matematik fizik, menemui struktur mantik yang beroperasi keatas teori set kategori. Meletakkan struktur mantik tersebut kedalam suatu kategori, dan bukan hanya set kategori, menjadikan struktur yang dihasilkan lebih teritlak sifatnya, yang dipanggil topos atau mantik kategori. Kemudiannya, Lawvere mendakwa bahawa beliau telah menemui landasan baru matematik tulen bagi menggantikan landasan lama mantik-set Frege-Russell itu, yang dimudahkan penulisan istilahnya kepada (mantik kategori-set kategori), atau ditulis tanpa kekeliruan (mantik-set) kategori. Yang menariknya, mantik intuisi Brouwer yang menolak hukum tanpa penengah boleh dimodelkan semula melalui mantik kategori atau topos ini, yang juga menolak hukum tanpa penengah. Dalam ertikata yang lain, landasan baru ini mengharmonikan pandangan mantik Frege-Russell dengan pandangan mantik intuisi Brouwer. Seperti sebelumnya, iaitu sewaktu Frege-Russell mendakwa menemui landasan matematik tulen, penyokong-penyokong Lawvere meneruskan usaha menundukkan matematik tulen dibawah (mantik kategori-set kategori), sehinggakan ternukil perkataan toposophy dan toposhoper. Salah satu contoh perluasannya yang agak ekstrim adalah sebuah makalah yang ditulis oleh Benabou bagi mengusulkan perlunya cara berhujah mantik Aristole di dalam undang-undang ditukarkan kepada mantik kategori atau topos ini. Juga, Isham dari Imperial College, London, mengusahakan agar topos digunakan untuk memodelkan mekanik kuantum, bersebabkan kedua-duanya tidak mematuhi hukum tanpa penengah. Mungkin sekali nantinya topos ini boleh digunakan untuk membangunkan sistem komputer terbaru yang diimpi-impikan itu, malah telah disebut sekali dua dalam filem transformer, iaitu komputer kuantum yang berkelajuan berbilion kali lebih berbanding komputer yang digunakan sekarang ini.

Dimanakah kedudukannya maklumat-maklumat yang akan saya sampaikan di bawah ini? Bolehkah kita mematematikkan, menggunakan apa sahaja kaedah matematik seumpama set dan kategori, terhadap silogisme Melayu dibawah? Kami mentelaah sebuah buku yang dikatakan pernah ditelaah di Kemboja pada kurun ke-9M, iaitu Nyayasutra karangan Gautama (bukan Gautama Buddha) dan ulasannya oleh Vatsyayana berjudul Nyayadarsana Bhasya. Setelah kami menyemak kedua-dua buku tersebut, tentunya daripada versi moden, kami mendapati bahawa buku Nyayasutra yang dikarang oleh Gautama dan diulas oleh Vatsyayana memulai bicara dengan mengusulkan enambelas perkara. Enambelas perkara ini adalah penjelasan awal kepada bidang anviksiki (mantik). Setiap satunya daripadanya enambelas perkara tadi diulas dengan teliti oleh Vatsyayana. Di sini, kami gabungkan kedua-dua maklumat tersebut, iaitu :
i. Pramana, iaitu alat-alat untuk mendapatkan pengetahuan. “Parmana” (Jawa) bermaksud menyaksikan kekuasaan. “Permana/pramanem” (Jawa) bermaksud keupayaan melihat dengan jelas. “Permana” (Sunda) bermaksud jelas, terbukti dan terselesai.
ii. Prameya, iaitu benda-benda yang menghasilkan pengetahuan. Contohnya artha yang merangkumi gandha (bau), rasa (rasa), rupa (warna), sparsa (sentuh) dan sabda (suara).
iii. Samsaya/Vimarsa, iaitu sangsi/ragu yang disebabkan memiliki sedikit tentang sesuatu. “Sansaya” (Jawa) dan “sansan/sayan” (Bali) bermaksud takut, sedih dan ragu.
iv. Prayojana, iaitu dorongan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu kerja bagi mendapatkan (seperti kebahagiaan) atau menghindari (seperti kesakitan) sesuatu. Empat dorongan itu adalah dharma, artha, kama dan moksa. “Prayojanakan” (Jawa) bermaksud tanggapan terhadap sesuatu.
v. Drstanta, iaitu kefahaman terhadap benda yang ditanggapi oleh cendekiawan tidak berbeza dengan kefahaman orang kebanyakan. “Dresta” (Jawa) bermaksud adat resam.
vi. Siddhanta, iaitu kefahaman terhadap wujud/ada benda. “sridanta” (Jawa” bermaksud makna.
vii. Avayava, iaitu lima usulan yang menjadikan sesuatu tesis itu sah. Lima usulan tersebut adalah pratijna (premis/hipotesis/andaian), hetu (taakulan), udaharana (pernyataan contoh), upayana (guna) dan nigamana (kesimpulan)
viii. Tarka, iaitu perkakas (anugrahaka) bagi alat-alat untuk mendapatkan pengetahuan yang akan memandu kepada mendapatkan pengetahuan yang benar. “Teka” (Melayu) bermaksud jawapan.
ix. Nirnaya, iaitu kaedah mendapatkan kefahaman berkenaan benda menerusi paksa (tesis) dan pratipaksa (anti-tesis) yang dimulai dengan samsaya/vimarsa (sangsi/ragu).
x. Vada, iaitu bentuk perdebatan yang bukan bermatlamatkan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mendapatkan kebenaran. “Wada” (Jawa) dan “bada” (Batak) bermaksud bergaduh.
xi. Jalpa, iaitu bentuk perdebatan yang bermatlamatkan untuk mencari kemenangan. Satu pihak akan berusaha untuk memetahkan hujah pihak yang lagi satu, dan sebaliknya. “Alpa” (Melayu) bermaksud lupa.
xii. Vitanda, iaitu bentuk perdebatan yang hanya bertujuan mematahkan hujah pihak yang lain, tetapi tidak membentuk tesis sendiri.
xiii. Hetvabhasa, iaitu benda-benda fikiran/bayang/pseudo.
xiv. Chala, iaitu hujah bertujuan untuk mengalahkan hujah lawan. “Cela”dan “chalaka/celaka” (Melayu) bermaksud kutukan.
xv. Jati, iaitu memahami kesamaan atau ketaksamaan hujah lawan. “Jati” (Melayu) bermaksud benar.
xvi. Nigrahasthana, iaitu titik kekalahan perdebatan.

Jika diperhatikan, (i), (ii), (vi) dan (xiii) bersifat epistemologi, menambah maklumat sebelum ini. Perkara (iv) itu tentang etika. Tetapi perkara (iii), (v), (vi)-xii) dan (xiv)-(xvi) patut dikelaskan sebagai silogisme, atau kaedah penghujahan. Dan yang lebih menarik, beberapa perkataan yang dipakai di atas diambil kemudiannya sebagai perkataan Rumpun Bangsa Melayu, seperti yang dinyatakan di atas, dengan sedikit perubahan semantik. Kajian lanjut mampu menunjukkan bagaimana konsep-konsep luar itu diterima dalam Tamadun Melayu.

Apabila bercerita pula bagaimana boleh dikembangkan silogisme Melayu-Islam, beberapa hal dasar tentangnya perlulah diketahui dengan terlebih dahulu. Contohnya, bagaimana pernyataan dibina dalam Bahasa Melayu? Kajian Dr. Shaharir terhadap Hikayat Raja Pasai (HRP) menunjukkan bahawa ayat penghujahan ataupun ayat implikasi di dalam HRP memiliki dua bentuk yang setara saling setara, iaitu :
i. jika/jikalau/kalau/andaikan/sekiranya/anggaplah/apabila/selagi/sebab-itulah/ oleh-sebab/sebab-kerna/dari-kerna-itulah/tatkala P, maka (seringkali juga tiada “maka”) Q.
ii. Q, jika/jikalau/kalau/andaikan/sekiranya/anggaplah/apabila/selagi/sebab-itulah/oleh-sebab/sebab-kerna/dari-kerna-itulah/tatkala P.
Kedua-dua pernyataan tersebut selalunya disimbolkan sebagai PQ. Cerapan-cerapan awal yang dilakukan oleh pelajar-pelajar kami terhadap enam kesusasteraan Melayu tersebut mendapati bahawa dua bentuk yang saling setara di atas adalah juga dua bentuk yang kedapatan sama di dalam keenam-enam kesusasteraan Melayu yang dikaji. Cumanya, beberapa perkataan setara lain seperti “^=dan”, “v=atau” dan “-=tak/tidak” perlu ditambahkan disisi P dan Q itu. Dapatan seterusnya yang akan dinyatakan disini adalah struktur penghujahan yang dimaksudkan tadi. Kami akan memilih dua ayat beserta struktur silogismenya, bergantung kepada kebitaraan setiapnya, daripada setiap kesusasteraan tersebut.

Daripada Undang-Undang Melaka, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Adapun jikalau membunuh madunya, maka ia lari ke dalam kampung orang, maka diikutnya oleh empunya madu itu, maka berkelahi ia dengan yang empunya kampung itu, maka jikalau ia melawan, maka terbunuh yang mengikut itu, mati saja tiada dengan hukum lagi “ (halaman 70, perenggan 2). Strukturnya PQRS(T((UV)v(-U))).
ii. “Bermula jikalau ada sesuatu benda orang yang tinggal, maka didapat oleh seseorang, maka tiada disyaksikannya pada orang tuha, maka disisihnya, esa pulang dua, dan jikalau ada disyaksikannya, sepuluh dua akan dia”. (halaman 166, perenggan 1). Strukturnya (PQ((-RST)v(RU)).

Daripada Hikayat Upu Daeng Menambun, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Setelah sampai tiga hari berjaga-jaga, maka pada ketika waktu yang baik, pagi-pagi hari maka beraraklah pengantin, serta sampai masuk kedalam kota lalu duduklah di paseban agung”. Strukturnya PQRS.
ii. “Setelah mendengar khabar demikian, lalu disuruh panggillah sekalian tua-tua Dayak Mempawah, dan tua-tua Dayak Melingsam dan tua-tua Dayak Sampak, dikumpulkan sekaliannya, berbicara serta mesyuarat “bagaimana, melawankah kita, undurkah?””. Strukturnya P(Q^R^S)T.

Daripada Hikayat Malim Deman, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Jikalau ada anakanda sesak sukar apa-apa halnya dan jikalau ada anakanda hendak berangkat balik kedunia, maka bakarlah oleh anakanda kemenyan ini, beryang-yang citalah ayahanda, nescaya datanglah burung ini menghadirkan dirinya dipintu kayangan” (halaman 53, perenggan 2). Strukturnya (P^Q)(R^S)T.
ii. “Jikalau kakanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan jikakakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, dan jika kakanda menempuh lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuh lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuh lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu, dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bias, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bias itu” (halaman 53, perenggan 1). Strukturnya (ABC)^(DEF)^(GHI)^(JKL)^(MNO)^(PQR)^ (STU).

Daripada Hikayat Awang Sulung Merah Muda, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Jikalau sah ayahku bernama Tuanku Si Helang Laut, nenekku bernama Tuanku Si Helang Mawai yang bermakam di Gunung Ledang, moyangku bernama Tuanku Simbang Geroda, putih rambut putih mata, makamnya di atas Gunung Lepu, panji-panji makam menyapu pintu Kaabah menentukan pahala dan dosa, halal dan haram, pintalah bantu akan melawan anak raja mambang ini”. Strukturnya (PQR)S.
ii. “Demi didengar oleh anak raja mambang, maka bangunlah ia merah padam warna mukanya, lalu menghunus pedang yang selebar daun birah, seraya ia bertampil melompat ke halaman istana, serta mencencang bertalu-talu akan Awang Sulung Merah Muda”. Strukturnya PQRST.

Daripada Hikayat Merong Mahawangsa, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Setelah siap dengan gajah kuda lalu berjalanlah sambil bermain-main serta berburu segala binatang pada segenap kaki bukit gunung tempat berhenti itu, serta mencari tanah tempat yang baik hendak buat negeri itu, tiada jua bertemu bagai maksud, lalu berjalan pula ke hadapan, lalu bertemulah dengan suatu tasik dan wilahar dengan beberapa banyak ikan dalam wilahar itu” (halaman 33, baris 29). Strukturnya P(Q^R^S)^(T^-T)(U^V).
ii. “Setelah datang segala surat dan bingkisan itu ke hadapan baginda, maka terlalulah sukacitanya melihatkan segala perbuatan saudaranya itu akan permainan anakanda baginda serta titahnya kepada menteri yang membawa surat dan pohon bunga emas dan bunga perak bertanya khabar saudaranya dan hal negeri Kedah itu ramaikah” (halaman 39, baris 18). Strukturnya (P^Q)(R^S^T).

Manakala daripada Hikayat Raja Muda, dua ayat yang dipilih adalah :
i. “Jikalau kakanda tiada menyampaikan umanat adinda ini, kakanda adinda sumpah dan jikalau anakanda itu salah seorang tiada mahu mengikut nasihat adinda, demikianlah juga adinda sumpah dia kedua itu”. Strukturnya (PQ)^(RS).
ii. “Telah sedialah sekaliannya, maka bagindapun berangkatlah pada malam itu dan Perdana Menteri Agung dititahkan menunggu negeri dan pada ketika itu bulanpun sedang terang cuaca hampir siang”. Strukturnya PQ^R.

Keseluruh maklumat ini perlulah disusun dengan baik sehinggakan kita mampu melahirkan persoalan-persoalan epistemologi dan mantik yang menerjah persoalan-persoalan semasa, dan sebagai tambahan boleh pula mencadangkan jalan penyelesaiannya.

6. Contoh Kedua Sains Tabii Melayu : Pembilangan Melayu
Perbincangan di bawah ini juga merupakan satu lagi contoh sains tabii dan teknoogi Melayu yang kami kutip daripada sumber-sumber bertulis yang kami maksudkan. Namun, sumber yang kami gunakan melepasi sempadan Alam Melayu, kerana menggunakan juga sumber-sumber Barat tentang Alam Melayu. Tujuan kami mengumpulkan maklumat berkaitan pembilangan/penghitungan/pengiraan Melayu ini adalah untuk menunjukkan bahawa Bangsa Melayu sudah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam urusan berkaitan aritmetik (ilmu angka). Walaupun ini merupakan bidang yang jauh lebih asas, namun kami belumlah mahu memberikan rumusan terhadap pencapaian bidang semasa bidang ini, iaitu persoalan-persoalan semasa berkaitan angka. Contohnya, apakah angka itu merupakan bilangan benda? Jika bukan bilangan benda, apakah angka sebenarnya? Bagaimanakah pula kedudukan angka infiniti? Atau angka infinitesimal (tak terhingga kecil)? Dan lain-lain hal, yang selalu boleh ditelaah daripada mana-mana buku Falsafah Aritmetik. Berikut kami sampaikan maklumat yang kami kutip itu.

i. Prasasti Vo-Canh (Campa), sekitar kurun ke-3S/4M : tujuh (7) dan saribu (1000).

ii. Prasasti Kedukan Bukit (Sriwijaya), bertarikh 605S/683M : duaratus (200), sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20, 000).

iii. Prasasti Telaga Batu (Sriwijaya), jangkaan bertarikh 605S/683M : sapuluh dua (12) dan dua laksa (20,000).

iv. Prasasti Bukit Seguntang (Sriwijaya), sekitar penghujung kurun ke-7M : dua (2).

v. Prasasti Nhan-Bieu (Campa), bertarikh 833S/911M : dalapan (8), sapluh (10), tluv pluh (30), tluv pluh tijuh (37), nam pluh (60), tijuh pluh tluv (73), sa rtuh ban pluh dva (162) dan tluv rtuh sa pluh (310).

vi. Daftar Kata Bilangan Melayu Susunan Oe Tadafusa (Jepun), sekitar penghujung kurun yang ke-11M hingga tahun 1111M (tahun kematian Oe) : sasaa (1), toa (2), rima (5), namu (6) dan sa-i-bira (9).

vii. Prasasti Mi-son (Campa), bertarikh 1036S/1114M : sa (1), kluv (3), tijuh (7), dalapan (8), salapan (9), sanraun (12), dva pluh dva (22), kluv pluh (30), pak pluh (40), pak pluh nam (46), pak pluh salapan (49), nam pluh dva (62), dalapan pluh dalapan (88), salapan pluh dalapan (98), sarutuh (100), sarutuh salapan pluh (190), kluv rutuh dva pluh (320), salapan rutuh dalapan (980) dan sa rivuv sa rutuh salapan (1109).

viii. Prasasti Mi-son (Campa), bertarikh 1079S/1157M : lima pluh (50), sa rutuh (100), sa rutuh lima pluh (150), kluv rutuh (300), kluv rutuh tijuh pluh (370) dan lima rutuh lima pluh (550).

ix. Prasasti Pagaruyung (Minangkabau), jangkaan bertarikh 1316-1347M : ampat (4).

x. Batu Bersurat Terengganu, bertarikh 702H/1303M : asa (1), dua/tua (2), lima (5), tujuh (7), sepuluh tengah tiga (12 ½), tengah tiga (25), seratus (100) dan tujuh ratus dua (702).

xi. Prasasti Minyak Tujuh (Aceh ), bertarikh 781H/1380M : tujuh ratus asta puluh sawarsa (781), lihat Hashim (2003). “Asta” dan “sawarsa” adalah kata bilangan Sanskrit.

xii. Kamus Man La Jiu Guo Yi Yu (Cina), jangkaan bertarikh 1403-1511M : sa du (1), du wa (2), di jia (3), en ba (4), li ma (5), eu nan (6), du zhu (7), du la pan (8), xin bi lan (9), xi bu lu (10), sha la du si (100), xi li bu (1000) dan xi la sha (10, 000).

xiii. Kamus Antonio Pigafetta bertarikh 1519-1522M : vzza (1), dua (2), tolo (3), vpat (4), lima (5), onom (6), pitto (7), gualu (8), ciam (9) dan polo (10). Juga pada bahagian lain merekodkan satus (1), dua (2), tiga (3), ampat (4), lima (5), anam (6), tugu (7), duolappan (8), sambilan (9), sapolo (10), duapolo (20), tigapolo (30), ampatpolo (40), limapolo (50), nampolo (60), tuguppolo (70), dualappanpolo (80), sambilampolo (90), saratus (100), duaratus (200), tigaratus (300), anamparatus (400), limaratus (500), anamratus (600), tuguratus (700), dualapanratus (800), sambilanratus (900), salibu (1000), dualibu (2000), tigalibu (3000), ampatlibu (4000), limalibu (5000), anamlibu (6000), tugulibu (7000), dualapanlibu (8000), sambilanlibu (9000), salacza (10,000), dualacza (20,000), tigalacza (30,000), ampatlacza (40,000), limalacza (50,000), anamlacza (60,000), tugulacza (70,000), dualapanlacza (80,000), sambilanlacza (90,000), sacati (100,000), duacati (200,000), tigacati (300,000), ampatcati (400,000), limacati (500,000), anamcati (600,000), tugucati (700,000), dualapancati (800,000), sambilancati (900,000) dan sainta (1,000,000).

xiv. Dua Pucuk Surat Sultan Abu Hayat (Ternate) kepada King John III (Portugal), bertarikh 1521 & 1522M : se (1), dua (2), empat (4), tucuh (7), dua puluh (20), empat puluh (40) dan tujuh puluh (70).

xv. Manuskrip Melayu-Islam Tertua, ‘Aqa’id al-Nasafi, bertarikh 998H/1590M : suku (1/4), setengah (1/2), suatu (1), dua (2), tiga (3), lima (5), sepuluh (10), tiga puluh (30), empat puluh (40) dan seratus (100)

xvi. Kamus Jacob van Neck, bertarikh 1601M.: satu (1), dua (2), tyga (3), enpat (4), lyma (5), nam (6), touhou (7), delappan (8), sambalan (9), sapolo (10), sabalas (11), duo balas (12), tyga balas (13), enpat balas (14), lyma balas (15), nane balas (16), touhou balas (17), delappan balas (18), sambalan balas (19), dua polo (20), dua pola satu (21), dua pola dua (22), dua pola tyga (23), dua pola enpat (24) dan dua pola lyma (25).

xvii. Kamus Campa-Melayu, bertarikh sekitar kurun ke-17M : sa (1), dua (2), tiga/diga/tiluo (3), lipat/pat (4), saribu (1000), ribu ribu/rabu rabu (1,000,000) dan saribu laksa (10,000,000). Manakala perkataan-perkataan pembilangan Campa pula, sepadan atau tidak, adalah sa(1), dua (2), klau (3), pak (4), sarabu (1000), taman (10,000), ralo ralo (1,000,000) dan sarabau taman (10,000,000).

xviii. Akayet Inra Patra (Campa), bertarikh sekitar kurun ke-17M. : sa (1), dua (2), klau (3), pak (4), nam (6), tajuh (7), sa pluh (10), pak pluh (40), sa rituh (100), klau rituh (300), tajuh rituh (700), sa ribuw (1000), nam ribuw (6,000), laksa (10,000), taman=ribuw rituh (100,000), ribuw taman (10,000,000), taman laksa (100,000,000), ribuw taman laksa (100,000,000,000), kot chai (100,000,000,000), ribuw taman kot rituh (100,000,000,000,000) dan ribuw taman kot chai (1,000,000,000,000,000,000).

xix. Akayet Dowa Mano (Campa), bertarikh sekitar kurun ke-17M : dua (2), klau (3), pak (4), ndam (6), tajuh/tijuh (7), sa pluh (10), sa rituh (100), sa ribuw (1000), klau ribuw (3000), ribuw ribuw (1,000,000) dan ribuw taman (10,000,000).

Sebenarnya, beberapa perkara boleh dirumuskan daripada data-data yang diberikan di atas. Diantaranya, perkataan saribu (1000) itu menunjukkan bahawa Bangsa Cam memiliki sistem metrik (membilang berdasarkan sistem persepuluhan) tertua di dunia, mendahului Tamadun India sekitar 200 tahun, mendahului Tamadun Islam sekitar 400 tahun dan mendahului Tamadun Barat sekitar 1500 tahun (Perancis adalah Negara yang pertama mengusulkannya kepada Eropah sekitar kurun yang ke-19M). Implikasinya, Bangsa Campa sudah memiliki simbol “0”. Namun, penyelidikan yang kami lakukan gagal mengesahkan fakta ini. Kami cumalah berupaya menunjukkan bahawa Bangsa Funan sudah memiliki simbol “0” sekitar 20 tahun sebelum buktinya di India, 300 tahun mendahului al-Khwarizmi yang mengambilnya daripada India, dan 700 tahun mendahului Barat yang menyalinnya daripada al-Khwarizmi. Keseluruhan data tersebut menunjukkan bahawa Bangsa Melayu memiliki nama bagi setiap peringkat persepuluhan, iaitu puluh, ratus, ribu, laksa/taman, keti/kot dan juta/chai. Dan, kata pembilangan yang paling besar adalah ribuw taman kot chai (1,000,000,000, 000,000,000), iaitu satu billion billion, yang didapati daripada Akayet Inra Patra atau Hikayat Indera Putra. Akhirnya, ingin juga disebut bahawa kemajuan yang lebih awal dicapai oleh Rumpun Bangsa Melayu dalam pengiraan ini berkemungkinannya bersebabkan perlunya ilmu ini menyokong pencapaian aktiviti perdagangan yang dikuasai oleh Tamadun Funan (kurun ke-2M) sehingga Tamadun Johor-Riau (kurun ke-18M). Bukti-bukti penguasaan bidang-bidang perdagangan, perkapalan, pelayaran, pembuatan peta dan lain-lain berkaitannya akan kami usahakan kajiannya pada masa hadapan.

7. Rumusan
Apa yang ingin kami katakan adalah, usaha-usaha mantap bagi melatih pakar-pakar dan kumpulan-kumpulan penyelidikan perlulah dilakukan oleh institusi-institusi tertentu menyokong kajian-kajian membongkar khazanah Sains Tabii dan Teknologi Bangsa Melayu yang terpendam lama itu.

Rujukan
Bambang Budi Utomo. 2007. Prasasti-Prasasti Sumatra. Jakarta : Pusat Penelitian dan Pengembangan Arkeologi Nasional.

Casparis, J.G. de. 1956. Selected Inscriptions From The 7th To The 9th Century A.D. Bandung : Penerbitan Masa Baru.

Casparis, J.G. de. 1975. Indonesian Palaeography : A History of Writing in Indonesian From The Beginning to c. A.D 1500. Leiden : E.J. Brill.

Casparis, J.G. de. 1995. Peranan Adityawarman, putera Melayu di Asia Tenggara. Ismail Hussein dll (ed). Tamadun Melayu. Jilid 3. Kuala Lumpur : DBP.

Coedes, G. dan Damais, L-C. (sunt.) 1992. Sriwijaya : History, Religion & Language of an Early Malay Polity. Kuala Lumpur : MBRAS.

Hardjowardojo, R.P. 1966. Adityawarman : Sebuah Studi Tentang Tokoh Nasional Abad XIV. Djakarta : Penerbit Bhratara.

Hashim Musa. 2003. Epigrafi Melayu : Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : DBP.

Jacq-Hergoualc’h. 1992. La Civilization de Ports-Entrepots du Sud Kedah (Malaysia). Paris : L’Harmattan.

Jacques, C. (sunt.) 1995. Etudes Epigraphiques Sur Le Pays Cham, de louis Finot, Edouard Huber, George Coedes et Paul Mus. Paris : EFEO

Majumdar, R.C. 1927/1985. Campa : History & Culture of an Indian Colonial Kingdom in the Far East, 2nd -16th Century A.D. Delhi : Gian Publishing House.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim. 2006. Warisan Lembah Bujang. Bangi : Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Prapanca. 1365/1960. Nagarakertagama. Edisi Pigeaud, T.G. Jilid III. The Hague : Martinus Nijhoff.

Roelof Goris. 1954. Inscripties Voor Anak Wungcu. Jilid II. Bandung : N.V. Masa Baru.

Shaharir bin Mohd Zain. 2003. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum Dikuasai oleh Eropah. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 1(2) : 157-204.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *