Kemaskini terbaru: December 13, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Telah, Lani dan Kelak

Makna Bahasa Ilmu, bahasa kebangsaan dan bahasa janapada sesebuah Negara Maju abad ke-20 hingga lani.

Sesuatu bahasa mencapai taraf bahasa ilmu jika dan hanya jika bahasa itu menjadi medium penting dalam dua ranahnya yang penting: urusan keilmuan dan urusan kehidupan beragrasana. Yang dimaksudkan urusan keilmuan itu ialah gelung perancangan, penstrategian, pelaksanaan dan penilaian dalam pengajaran dan pendidikan serta gelung penciptaan atau pembinaan, pengembangan dan penilaian ilmu; manakala kehidupan beragrasana ialah kehidupan beraraf tinggi yang memerlukan penghayatan bahasa yang tinggi seperti dalam kerja pengurusan, perniagaan dan pelbagai kerja keikhtisasan. Jelaslah taraf bahasa ilmu ini ada grednya, iaitu yang urusan itu bertaraf antarabangsa, dan yang terendahnya ialah urusan itu hanya pada satu tahap yang rendah di peringkat kebangsaan sahaja. Sehubungan dengan itu dua istilah fungsi bahasa mengikut Fishman (1968) yang ada hubungan dengan bahasa ilmu ialah bahasa kebangsaan (bahasa rasmi atau bahasa nasional) dan bahasa janapada (bahasa pembangunan atau bahasa nasion). Bahasa kebangsaan hanya berfungsi untuk kepentingan politik sesuatu masa sahaja dan/atau citra luaran sesebuah negara-bangsa yang berfungsi di peringkat umum dan rendahan sahaja. Bahasa janapada ialah bahasa yang berfungsi di peringkat kehidupan yang tinggi itu, yang berpengaruh dan yang penting sekali ialah di peringkat pembangunan (ilmu, kehidupan dan kemajuan bangsa) sekurang-kurangnya di peringkat dalaman sesebuah negara-bangsa atau janapada-bangsa. Oleh itu bahasa ilmu ialah bukan hanya sekadar bahasa kebangsaan tetapi semestinya bahasa janapada. Mengikut pengertian ini, bahasa ilmu yang tinggi grednya sekarang ialah bahasa di Negara Maju (developed or advanced country). Maksud Negara Maju ini ialah mengikut pengertian Pertubuhan Bangsa Bersatu. (Negeri Maju juga diistilahkan sebagai negara yang terindustri, Negara yang Lebih Terbangun (NLTb/MDC), Negara yang Lebih Terbangun Ekonominya (NtbE/EMDC), Negara Utara Jagat, Negara Dunia Pertama, dan Negara Pasca-industri) yang termanifestasi sebagai negara yang berpendapatan per kapita tinggi dan Indeks Pembangunan Manusia (IPbM/HDI) tinggi yang ditakrif oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB/UN). Negara Maju sekarang, yang sudah lama dikenalinya, ialah Amerika Syarikat dan Kanada (Amerika Utara), Jepun (Asia), Australia dan New Zealand (Lautanesia), dan kebanyakan negara di Eropah Utara dan Eropah Barat; dan yang barunya, Hongkong, Israel, Korea Selatan, Malta, Singapura, Siprus, Slovenia, dan Taiwan. Malah lani (mengikut PBB/IMF)ada 40 buah Negara Maju (mengikut CIA World Factbook, ada 38 buah) iaitu negara-negara yang berikut: (Segala maklumat tentang Negara Maju diperoleh di Wikipedia).

Afrika Selatan (ada 11 bahasa kebangsaannya termasuk Afrikaans dan Inggeris tetapi bahasa janapadanya ialah Inggeris walaupun Afrikaans menjadi bahasa pendidikan hingga ke sekolah menengah atas),

Andorra (nama rasminya Principat d’Andorra, daripada bahasa Arab al-Darraht yang bermakna hutan, disempadani Sepanyol dan Perancis; bahasa kebangsaannya: Catalan/Valencian dan Sepanyol; bahasa janapadanya Sepanyol),

AS (bahasa kebangsaan dan janapadanya Inggeris sahaja)

Australia (sama dengan AS),

Austria (rasminya: Republik Österreich kerana penduduknya 88% Jerman; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Jerman),

Belanda (bahasa kebangsaan dan janapadanya Belanda walaupun > 80% rakyatnya boleh berbahasa Inggeris, 60% Jerman, dan 20% Perancis),

Belgium (bangsa/bahasa Belanda, Jerman dan Perancis; bahasa kebangsaan dan janapadanya tribahasa ini),

Bermuda (rasminya: Pepulau Bermuda/Bermuda Islands atau the Somers Isles; bahasa kebangsaan dan janapadanya Inggeris dan Portugis walaupun 55% asalnya bangsa Afrika Barat),

Denmark (bahasa kebangsaan dan janapadanya Denmark walaupun >80% rakyatnya tahu berbahasa Inggeris),

Finland (bahasa kebangsaannya Finland, Sweden dan Sami tetapi 60% rakyatnya bagus juga dalam bahasa Inggeris; bahasa janapadanya Finland dan Sweden),

Grik (rasminya, Ελλάδα, Elláda atau sepenuhnya, Ελληνική Δημοκρατία, Ellīnikī́ Dīmokratía, Republik Helenis; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Grik ),

Holy See (Negara Bandaraya Vatican; Latin: Sancta Sedes, Kursi Suci/Holy Chair; bahasa utama Italia, Latin dan Perancis; bahasa sampingannya Inggeris, Sepanyol, Portugis, Jerman, Poland dan Malayalam),

Hong Kong (bahasa kebangsaan dan janapadanya Tionghua terutamanya dialek Kanton, dan Inggeris),

Island (rasminya: Ísland atau Lýðveldið Ísland yg diInggeriskan kepada Iceland; bahasa kebangsaan dan janapadanya Island, bahasa keduanya Inggeris dan Denmark),

Ireland (bahasa kebangsaannya Inggeris, Ireland dan Ulster-Scots tetapi bahasa janapadanya Inggeris),

Israel (rasminya: Medinat Yisra’el; bahasa kebangsaan dan janapadanya Ibrani, Arab dan Inggeris tetapi yang utamanya Ibrani),

Italia (rasminya: Repubblica Italiana; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Italia),

Jepun (rasminya Nippon atau Nippon-Koku; bahasa kebangsaan dan janapadanya Jepun)

Jerman (rasminya Persekutuan Republik Jerman, Bundesrepublik Deutschland ; bahasa kebangsaan dan janapadanya Jerman)

Kanada (bahasa kebangsaan dan janapadanya Inggeris dan Perancis),

Korea Selatan (bahasa kebangsaan dan janapadanya Korea)

Liechtenstein (nama penuhnya, Fürstentum Liechtenstein/Principality of ….; disempadani oleh Austria dan Swiss; bahasa kebangsaan dan janapadanya Jerman),

Luxembourg (disempadani Belgium, Jerman dan Perancis; dalam Luxembourg: Groussherzogtum Lëtzebuerg, Perancis: Grand-Duché de Luxembourg, Jerman: Großherzogtum Luxemburg; tiga bahasa ini menjadi bahasa kebangsaan dan janapadanya),

Malta (rasminya Repubblika ta’ Malta/Republic of Malta; bahasa kebangsaannya, Malta dan Inggeris tetapi bahasa janapadanya Inggeris),

Monaco (di tepi pantai utara Mediteranean dan kelilingi sepenuhnya oleh Perancis; nama rasminya Principauté de Monaco bahasa kebangsaan dan janapadanya, Perancis),

Norway (bahasa kebangsaan dan janapadanya Norway dan Inggeris),

NZ (bahasa kebangsaan dan janapadanya Inggeris),

Pepulau Faroe (antara Laut Noway dengan Lautan Atlantik Utara; rasminya, dalam Faroe Føroyar, dlm Denmark, Færøerne; dua bahasa ini bahasa kebangsaan dan janapadanya),

Perancis (bahasa kebangsaan dan janapadanya, Perancis sahaja),

Portugis (rasminya Republik Portugis, República Portuguesa; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Portugis),

San Marino (bahasa kebangsaan dan janapadanya, Italia),

Sepanyol (rasminya, Espania; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Sepanyol),

Singapura (bahasa kebangsaannya: Inggeris, Tionghua/Mandarin dan Hindia/Tamil tetapi bahasa janapadanya Inggeris),

Sweden (bahasa kebangsaan dan janapadanya, Sweden),

Swiss (Inggeris menamainya Switzerland, sedang nama rasminya Konfiderasi Swiss, Confoederatio Helvetica dlm Latin; bahasa kebangsaannya Jerman, Perancis, Italia dan Romansh dan bahasa janapadanya Jerman dan Perancis),

Taiwan (2% rumpun Melayu yang tidak diiktiraf negara; bahasa kebangsaan dan janapadanya Tionghua dan bahasa keduanya Inggeris),

Turki (rasminya, Republik Turki, Türkiye Cumhuriyeti; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Turki),

UK (bahasa kebangsaan dan janapadanya Inggeris sahaja) ,

dan daripada senarai IMF boleh ditambah dua lagi:

Siprus (rasminya, Republik Siprus, atau mengikut bahasa kebangsaannya, Grik: Κύπρος /Kýpros, dan Κυπριακή Δημοκρατία / Kypriakī́ Dīmokratía, Turki: Kıbrıs atau Kıbrıs Cumhuriyeti) dan bahasa janapadanya, Turki dan Grik

Slovenia (rasminya,: Republika Slovenija; bahasa kebangsaan dan janapadanya, Slovenia)

Daripada 40 buah Negara Maju itu 27 daripadanya adalah dari Eropah. Oleh itu kajian tentang bahasa-bahasa ilmu di Eropah sepatutnya cukup menginsafkan dan menjadi iktibar serta pengajaran Negara-Negara Membangun seperti Malaysia. Berkenaan bahasa-bahasa di Eropah, dalam tinjauan terbarunya (2006) bagi negara anggota Kesatuan Eropah (KE) yang berjumlah 27 buah (sehingga Nov. 2008), didapati ada 23 bahasa rasmi, walaupun bahasa bekerja dalaman bagi Suruhanjaya KE ialah Inggeris, Perancis dan Jerman sahaja. Bahasa-bahasa itu ialah yang berikut (Wikipedia lagi)

Bahasa

Digunaka di

Diiktiraf KE Sejak

Belanda

Belanda dan Belgium

1958

*Bulgaria

Bulgaria

2007

*Czech

Czech

2004

Denmark

Denmark

1973

*Estonia

Estonia

2004

Finland

Finland

1995

Grik

Siprus dan Grik

1981

*Hungaria

Hungaria

2004

Inggeris

Ireland, Malta dan United Kingdom

1958

Ireland

Ireland

2007

Italia

Italia

1958

Jerman

Austria, Belgium, Jerman dan Luxembourg

1958

*Latvia

Latvia

2004

*Lithuania

Lithuania

2004

Malta

Malta

2004

Perancis

Belgium, Perancis dan Luxembourg

1958

*Poland

Poland

2004

Portugis

Portugis

1986

*Romania

Romania

2007

Sepanyol

Sepanyol

1986

*Slovakia

Slovakia

2004

Slovenia

Slovenia

2004

Sweden

Finland dan Sweden

1995

Yang bertanda bintang itu (berjumlah 9 buah) ialah bahasa negara-bangsa dalam KE yang belum mencapai taraf bahasa Negara Maju, iaitu hanya 18 daripada negara anggota KE sekarang adalah bertaraf Negara Maju. Daripada senarai bahasa rasmi KE itu, nampaknya ada 5 buah Negara Maju dalam KE itu yang nampaknya maju dalam bahasa asing (bukan bahasa ibunda), iaitu Belgium, Siprus, Austria, Luxembourg dan Finland Akan tetapi Belgium menggunakan Belanda, Jerman dan Perancis yang memang bahasa ibunda suku-suku kaum di negara itu; Siprus menggunakan Grik yang memang bahasa suku kaum besar di negara itu, selain daripada bahasa Turki yang berupa bahasa suku kaum kedua Siprus juga; Austria menggunakan Jerman yang memang bahasa ibunda jumhur rakyat negara; Luxembough menggunakan Jerman dan Perancis yang memang bahasa suku kaum negara itu; dan Finland menggunakan Sweden yang memang bahasa serumpunya. Jadi sebenarnya, tiada Negara Maju daripada KE itu yang tidak menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa janapadanya. Bagaimana dengan Negara-Negara Maju lain di Eropah yang bukan anggota KE? Negara Maju dari Eropah yang secara rasminya bukan dalam KE ialah delapan buah, iaitu Island, Liechtenstein, Norway, Swiss, Andorra, Monaco, San Marino, dan Holy See/ Bandaraya Vatican. Daripada senarai Negara Maju yang ada catatan bahasa kebangsaan dan janapada masing-masing itu, setiap negara ini menggunakan bahasa sendiri masing-masing sebagai bahasa kebangsaan dan bahas janapadanya; kecuali Andorra kerana bahasa natifnya baru sahaja diangkat menjadi bahasa nasional dan masih tidak menjadi bahasa perantaraan rakyatnya bagi menggantikan bahasa Sepanyol. Bagaimana dengan Negara Maju di luar Eropah? Hanya Singapura sahaja yang bahasa janapadanya bukan dalam bahasa kebangsaannya yang lebih setempat (Negara ini menggunakan bahasa Inggeris, walaupun bahasa setempatnya diiktiraf sebagai bahasa kebangsaannya, walaupun kini sudah sekitar 40% rakyat singapura yang berbahasa ibunda Inggeris atau Singlish). Afrika Selatan menggunakan bahasa Afrikaans dan Inggeris dalam pendidikannya (sekurang-kurangnya hingga ke peringkat sekolah menengah dan pra-universiti), Bermuda sudah boleh dianggap menggunakan bahasa ibundanya sebagai bahasa kebangsaan dan janapadanya kerana bahasa natifnya yang dominan dari bangsa Afrika itu sudah pun pupus; mereka ini sudah menjadi suatu bangsa baru yang bahasa ibundanya Sepanyol atau Portugis). Bermuda malah secara rasminya sebuah daripada 14 buah Wilayah Seberang Laut Briton seluruh dunia termasuklah beberapa buah di Karibean, Pulau Falkland (di lautan hampir Agentina), Gibraltar, dan beberapa pulau di Lautan Atlantik, Pasifik dan sebuah pulau di Lautan Hindia.

Walaupun bahasa ibunda yang terbesar dalam KE ialah Jerman, tetapi orang lain di KE itu yang tahu bahasa itu tidak sebesar bahasa Inggeris. Malah sekitar 60% bangsa (yang bukan berbahasa ibunda Inggeris) dalam Kesatuan Eropah tahu berbahasa Inggeris dengan kadar yang tertingginya berlaku di Sweden (89%), diikuti oleh Malta ( 88% ), Belanda (87%), Denmark (86%) Siprus (76), Finland (63%), Lux (60%), Belgium (59%), Austria (58%), Slovenia (57%), Jerman (56%), Kroatia (49%), Grik (48%), Estonia (46%), dan tiada negara anggota KE yang kurang drp 20% rakyatnya tahu Inggeris. KE menggalakkan rakyatnya menguasa dua bahasa lain selain daripada bahasa ibunda masing-masing.

Jikalau ditakrifkan semula Negara Maju ialah juga negara yang mencipta sains, maka jelaslah banyak Negara Maju sekarang (sekurang-kurangnya hampir 20 buah negara) terkeluar daripada senarai Negara Maju yang baru itu. Jika negara yang mencipta sains itu bermaksud negara yang ahli sains memenangi hadiah sains yang besar sejak abad ke-20 hingga kini, maka lagi sedikitlah bilangan negara yang bertaraf Negara Maju itu, iaitu hanya 20 buah sahaja:

AS, Australia, Austria, Belanda, Belgium, Denmark, Ireland, Israel Italia, Jepun, Jerman, Kanada, Norway, NZ, Perancis, Portugis, Sepanyol, Sweden, Swiss,UK.

Bahasa pentakrif (bahasa ibunda jumhur bangsa) Negara Maju baru ini jelas masing-masingnya telah mencapai taraf bahasa ilmu, kecuali mungkin Ireland.

Sementara itu ada beberapa bahasa yang mencapai taraf bahasa ilmu walaupun bahasa itu ialah bahasa negara yang belum mencapai Negara Maju. Contohnya ialah Rusia, Tionghua dan beberapa buah negara di Eropah seperti Poland, Hungaria dll. Ini terbukti dengan adanya ilmu sains dalam bahasa-bahasa ini yang dirujuk antara bangsa sehingga karyanya sentiasa diterjemah ke dalam bahasa-bahasa negara Maju seperti Inggeris. Bahasa daripada Benua Pakistan-Hindia seperti Tamil, Urdu, Bangla, tidak berjaya menjadi bahasa ilmu, walaupun sarjana berkerakyatan negara ini malah ada yang beroleh Hadiah Nobel. Ini disebabkan sarjana-sarjana daripada negara ini tidak berkarya dalam bahasa kebangsaan mereka masing-masing itu, malah bahasa janapada mereka dominannya Inggeris.

Berdasarkan bahasa-bahasa yang digunakan dalam pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa (OMA)yang pesertanya ditujukan kepada pelajar sekolah menengah tinggi, iaitu peringkat SPM, Matrikulasi dan STP didapati bahasa-bahasa ilmu dunia lani sekurang-kurannya sehingga ke pendidikan peringkat sekolah menengah atas dan pra-universiti ialah (berasaskan OMA 2006), ialah 48 buah bahasa termasuklah bahasa Melayu Malaysia (saki-baki sistem pendidikan pra-2002). Bahasa-bahasa tersebut ialah yang berikut (yang berbintang ialah Negara Maju):

*Afrikaan, *Island, Albania, Arab (3 versi: Arab, Arab Kuwait dan Arab Maghribi), Armenia, Azerbaijan, *Belanda, Bosnia, Bulgaria, Tionghua, Croatia, Czech, *Danmark, Estonia, *Finland, Georgia, *Grik, Hungaria, *Ibrani/Yahudi, *Inggeris, *Italia, *Jepun, *Jerman, *Korea, Latvania/Lettish, Lithuania, Makedonia, Melayu (Malaysia; Indonesia dan Brunei tidak masuk pertandingan ini dalam 2006; walaupun sebelum ini Indonesia memang menyertai dengan soalannya dalam bahasa Melayu Indonesia), Mongolia, *Norway, *Perancis, Persi/Farsi (Iran), *Pertugis/Feringgi, Poland, Romania, Rusia, *Sepanyol, Serbia (2 versi: Serbia dan Serbia BIH), Singhala (Sri Lanka), Slovakia, *Slovenia, *Sweden, Thailand/Siam, *Turki, Ukrain, Uzbekistan, dan Vietnam.

Bahasa Melayu Funan sebagai bahasa Ilmu dalam era 1M-8M

Tamadun Melayu terawal diakui oleh ahli sejarah Orientalis terutamanya wujud sejak abad ke-1M dengan munculnya dua kerajaan rumpun Melayu di Indochina, iaitu Kerajaan Funan berpusat di Kemboja (abad ke-1 hingga ke-8M) dan Kerajaan Campa berpusat pertamanya di Annam, Vietnam (Viet Nam) utara sekarang. Bermula abad ke-2M dan runtuh teruk pada 1471M walaupun saki-baki kerajaannya wujud hingga dalam zaman Vietnam di bawah Perancis yang memberi sekawasan autonomi terhad baginya tetapi hancur lebur apabila Perancis meninggalkan Vietnam pada 1953. Di sini hanya status bahasa Melayu Funan sahaja yang dibicarakan; bahasa Melayu Campa dibicarakan berasingan selepas ini.

Tamadun Funan bermula pada abad ke-1M dan berakhir pada abad ke-7M walaupun gantinya Kerajaan Chenla (diiktiraf Kemboja sekarang sebagai kerajaan Khmer terawal) hingga abad ke-9M adalah dimulai oleh pemberontak kerajaan itu yang diketuai oleh anak raja Funan yang menjadi semacam gabenur di sebuah wilayah pemerintahan Funan itu. Oleh itu saki-baki tamadun Melayu Funan masih ada yang dianggap sehingga abad ke-8M. Pusat Funan ialah di Vyadhapura, di sekitar Phumi Banam di Provinsi Prey Veng Kemboja sekarang dan pelabuhan utamanya ialah di Oc Eo (sekarang dalam Vietnam). Kesejagatan Funan terbukti dengan adanya artifak Roma, Persia dan Hindai di pusat-pusat kerajaan Funan ini. Mengikut catatan Cina, Funan ada tulisannya sendiri berasaskan aksara Sanskrit dan berilmu kerana mampu membina terusan untuk pengangkutan dan perairan, teknologi perkapalan dan ketenteraan laut yang hebat, seni bina yang kuat (daripada batu-bata) dan halus. (Internet 1, dan lebih terperincinya dalam Shaharir 2008). Namun bahasa Sanskrit digunakan dengan meluasnya kerana mendokong agama dan undang-undang Hindu. Kemuncaknya abad ke-5M dan abad ke-7M lenyap. Zaman Chenla di pengaruhi Khmer (dianggap peribumi Kemboja; nama kerajaan Khmer sebagai Kemboja/Kambujadesa hnya muncul mulai abad ke-9M) dan oleh itu sarjananya dan sarjana Melayu Funan berkarya dalam bahasa dan aksara Khmer pula (internet 2)

Tulisan dalam Bahasa Melayu Funan (yang dipercayai wujud serentak dengan bahasa Melayu Campa, dan Mon serta Khmer purba, yang dibicarakan berasingan nanti) masih belum dijumpai tetapi mengikut rekod Tionghua boleh dipercayai telah wujud sejak abad ke-1M lagi malah tahun mereka ini (tahun rumpun Melayu) bermula pada 78M yang dikenali sebagai tahun Saka. Bahasa Melayu Funan (dan Campa) pada abad ke-2 M lagi dirujuk oleh penulis Yunani sebagai bahasa Kolan yang sama dengan rujukan penulis-penulis Tiongkok pada sekitar abad yang sama sebagai bahasa Kunlun.(Ejaan lainnya ialah Kunlun/Koenloen/Kun-Lun/Koen-Loen/ Coelan). Mengikut Manansala (t.t), ada sumber China abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa/bahasa yang sekarang dipanggil dengan ejaan sekarang sebagai Melayu ini, sebagai Kunlun. Mengikut internet 3, lebih awal daripada sumber China ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang diterbitkan oleh Longman dan baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson terbitan Princeton Univ. Press 1989 ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse (di Gugusan Pepulau Melayu ini) dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan, dan perkataan Kolan itu ialah versi Yunani kepada versi China, Kunlun itu. Walaupun sumber Cina yang tercatat dalam buku Liang Liji (1996), ada merekodkan perutusan “Mo-lo-yu“, “Molo-yoou“, “Mo-lo-yeu“, atau “Mali-yu-eul” ke negeri Cina buat kali ke-5 bertarikh 644M lagi, nama bahasa bangsa ini sejak zaman Funan itu kekal sebagi Kunlun atau Kolan sekurang-kurang hingga abad ke-12M.

Karya-karya ilmu atau catatan ilmu dalam bahasa Kolan/Kunlun ini pada zaman kerajaan Funan masih belum muktamad banyaknya, terutamanya berbanding dengan catatan atau karya ilmu dalam bahasa asing dewasa itu tetapi nampaknya menjadi bahasa nasional dan nasion bersama dengan bahasa Melayu Purba/Kuno atau Kolan/Kunlun itu. Sehingga kini, karya pada prasasti yang terhasil pada zaman Kerajaan Funan sehingga Kerajaan Chenla adalah berjumlah 200 buah yang terdiri daripada 80 buah dalam bahasa Mon-Khmer purba dan selainnya dalam Sanskrit tetapi prasasti zaman kerajaan Funan berjumlah hanya 11 buah sahaja, iaitu dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer (Shaharir 2000, Alinor 2004a). Ketiadaan prasasti dalam bahasa Funan yang dijumpai setakat ini sungguh menghampa para pengkaji tamadun ini. Namun karya dalam bahasa Mon-Khmer boleh memberi gambaran ilmu pada zaman Kerajaan Funan itu kerana mengikut Diffloth (1974, 2005) dan Peiros (2004) bahasa Mon-Khmer cukup akrab dengan bahasa Aslian (daripada perkataan Arab-Melayu, asli, dan bahasa ini dikumpulkan sebanyak 19 buah bahasa daripada suku kaum rumpun Melayu di Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand) dan oleh itu dengan bahasa Funan. Keakraban raja-raja Chenla (yang dianggap kerajaan purba Khmer terawal dalam sejarah tamadun Khmer atau Kemboja) dengan kerajaan Sailendra di Jawa yang ditubuhkan oleh keterunan raja Funan itu juga menunjukkan keakraban bahasa Mon-Khmer dengan Funan. Sebuah kamus bahasa Mon-Khmer purba yang kata masukannya dianggap oleh penyusunnya, Pou (1992), berasaskan pada prasasti Kemboja purba/Khmer purba (Zaman Kerajaan Chenla dan kemudiannya Angkor) bolehlah dianggap banyak kesamaan dengan bahasa Funan. Penulis ini dapat mengenal pasti secara sepintas lalu sahaja (tanpa perbandingan teliti dengan kamus bahasa Melayu Kuno dan bahasa-bahasa rumpun Melayu lain selain daripada Melayu Malaysia dan loghat/dialek Melayu Kelantan) adanya sekitar 10% perkataan dalam kamus itu ialah juga bahasa Melayu Malaysia dan/atau loghat Melayu Kelantan. Jika digunakan kamus bahasa Melayu Kuno dan Jawa Kuno dan lain-lain kamus rumpun Melayu, kami percaya dalam kamus itu akan ada sekitar 30% bahasa Melayu Kuno atau rumpun Melayu. Ini boleh dijadikan bukti terbaru Melayunya Funan itu. Satu perkataan yang ingin ditimbulkan di sini yang ada dalam kamus itu ialah perkataan son dan soh yang bermaksud tiada apa-apa, hampa atau kosong; sedangkan perkataan Sanskrit untuk istilah ini ialah sunya (yang pernah menjadi istilah “kosong” bagi Jawa kuno, dan yang entah sejak bila menjadi “sunyi” dalam bahasa Melayu sekarang). Hipotesis penulis ini ialah perkataan kosong Melayu sekarang itu datangnya daripada perkataan Funan ini (yang dianggap sama dengan bahasa Kemboja Purba), son atau soh itu. Jika istilah ini digandingkan dengan prasasti-prasasti zaman Funan, kemboja Purba dan Campa yang menunjukkan wujudnya angka kosong terlebih awal daripada yang biasa disebut dari Hindia itu (lihat Alinor 2006a, 2007a,b, 2008), maka jelaslah orang Funan atau keturuan Funan itu mencipta istilah ilmu dalam bahasanya sendiri (bukan Sankrit). Malah catatan Tiongkok menyatakan raja Funan menghadiahkan ratusan buah buku dalam bahasa Sanskrit dan Kunlun yang diperincikan lagi di bawah ini.

Kehebatan ilmu Funan terbukti dengan adanya prasastinya berkenaan dengan hora (istilah Funan?-Campa tentang astrologi-astronomi) di samping rasi (dalam bahasa Funan?-Mon-Khmer-Purba) untuk istilah zodiak sekarang (rasi dalam Melayu moden masih ada surih makna begini), dan istilah Melayu purba (Funan juag?) yang berhubung dengan hora dan rasi ini, iaitu poda dan kutika (kini menjadi ketika), yang berupa ilmu ramalan seperti astrologi, horoskop, mantera dan azimat; atau wawatekan dan wariga (masing-masingnya istilah Jawa purba bagi taqwim/kalendar dan almanak sekarang) yang mungkin diketahui/dipakai juga oleh orang-orang Funan (mengenangkan adanya orang-orang Funan yang menuntut ilmu di Jawa (malah membina kerajaan Jawa Purba bernama Sailendera itu). Yang menariknya lagi, pasasti itulah juga ada simbol son/kosong/sunya/sifar yang bertarikh 604M (asalnya dalam tahun Melayu bernama tahun Saka (S) itu, 526S) dan kemudiannya muncul pada prasasti Campa (di Vietnam selatan sekarang) bertarikh 531S=609M; sedangkan prasasti tertua di Hindia yang tercatat angka ini hanya bertarikh 870M sahaja. Fakta ini diketahui oleh banyak pihak (lihat Shaharir 1985, 2000a, Alinor 2006a, 2007a,b) dan yang baru kami jumpai, Lansing (1983,1994). Mengikut penulis ini lagi, “konsep son/kosong Khmer nampaknya bukan diambil daripada tamadun lain, tetapi berupa hasil daripada perincian kamiran tentang seluruh struktur kosmologinya”. Pendeknya, Tamadun Melayu Funan-lah pencipta sistem angka perpuluhan yang bersimbol kosong yang pertama di dunia.

Mengikut kompilasi Alinor (2004a,b; 2005a-c), pada 546M raja Funan menitahkan dua orang sarjananya bernama Paramartha atau Gunaratna menghantar 240 buah karya ilmu untuk dihadiahkan kepada kerajaan Tiongkok atas permintaan Maharaja negara itu bagi tujuan penterjemahannya; dan sebelum itu pun sudah ada 76 buah buku dalam bahasa Sankrit dan Kunlun yang sudah diterjemah ke bahasa China oleh sarjana Melayu Funan. Raja yang sama menghantar dua orang sarjana Funan bernama Mandra atau Mandrasena dan Sanghapala/Sanghavarman atau nama Tionghuanya Kang Sang-k’ai ke Cina untuk tujuan pengajaran dan penterjemahan. Antara buku/manuskrip yang dihantar ke Tiongkok itu dikatakan termasuklah sebuah kitab Buddhaisme yang masyhur berjudul Tarkasastra karya Vasubandhu, yang dikatakan telah diterjemah (ke dalam bahasa Kunlun) oleh sarjana Funan. Beberapa orang sarjana Cenla (warisan darah kerajaan Funan itu) ada dicatat pada prasasti-prasasti Cenla bertarikh 810-840M, dan seorang daripadanya bernama Pravarasena menghasilkan (setengahnya mengatakan karya terjemahan) sebuah buku mantik Hindu-Budha yang besar berjudul Nyayasutra Gautam dalam bahasa Kunlun/Kolan. Ada pula rekod Tiongkok yang menunjukkan adanya tradisi kerajaan Funan menghantar sarjananya ke Tiongkok bermula sejak pertengahan abad ke-3M lagi. Ini menunjukkan betapa tingginya dan antarabangsanya ilmu dalam bahasa Kunlun/Kolan pada zaman kerajaan Funan itu. Malangnya, semuanya masih belum dijumpai bukan sahaja karya asalnya tetapi juga terjemahannya dalam bahasa Tiongkok, atau dua bahasa lain lagi yang dijangka pernah ada terjemahannya, iaitu bahasa Jepun dan Tibet. Satu lagi daripada bukti banyaknya karya ilmu Funan dan/atau keprihatinan kerajaannya terhadap ilmu dapat disimpulkan menerusi adanya jawatan Pustakarakshaka (Ketua Pustakawan Negara) yang memang boleh dikenali unsur-unsur perkataan Melayu kini di dalam istilah itu: pustaka. Pendeknya, walaupun bahasa Sanskrit begitu dominan dalam tamadun Funan, tetapi bukti yang agak mencukupi juga menunjukkan karya dalam bahas Kunlun itu cukup berpengaruh sehingga tercatat judulnya sebagai sebuah karya yang dipastikan ada terjemahannya dalam bahasa Tiongkok. Bahasa Kunlun telah menacapai taraf bahasa ilmu sejajar dengan bahasa ilmu lain pada masa itu, iaitu Sanskrit yang memang amat dikuasainya oleh sarjana Funan itu.

Bahasa Melayu bahasa ilmu dalam zaman Kerajaan Melayu Campa dan Kerajaan Sriwijaya (abad ke-4M hingga ke-13M)

Sebuah kerajaan Melayu yang lebih dikenali dan dapat bertahan lebih lama dan hebat lagi sejarah tamadunnya ialah yang berpusat di Vietnam sekarang (bermula pada abad ke-2M di utara Vietnam sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Amaravati/ Amarawati) tetapi kerajaan itu dikenali atas nama bangsanya sahaja, kerajaan Campa. Tanah takluknya ketika kemuncaknya (abad ke-8M) hampir seluruh Vietnam dan timur Kemboja sekarang, tetapi kemuncak senibinanya pada abad ke-5M lagi yang masih berdiri kukuh hingga lani. Kekuatan kerajaan ini berakhir setelah dikalahkan dengan desisifnya oleh bangsa Viet dari selatan Tiongkok pada 1471M, yang mendirikan kerajaannya yang diberi nama Viet Nam (diInggeriskan menjadi Vietnam). Ketika itu kerajaan Campa berpusat di Panduranga Vietnam tengah (kini diVietnamkan menjadi Phan Rang).

Berbeza dengan Funan, KeMelayuan orang/bahasa Campa tidak pernah dipertikaikan. Malah bahasa Melayu bertulis yang tertua diiktiraf tertinta di batu bersurat (prasasti) di Campa bertarikh abad ke-4M di Vo Canh atau Nha Trang, Vietnam sekarang dan disimpan di Muzium Sejarah Vietnam (yang menceritakan pembahagian harta Raja Sri Mara kepada keluarganya dan hokum orang yang menderhaka raja; antara lain sudah ada perkataan tjuh/tujuh dan sarivu/seribu). Keseluruhan prasasti Campa jelas menunjukkan multibahasanya sarjana Melayu Campa tetapi bahasa Melayu agak mengatasi bahasa-bahasa lain itu khususnya bahasa terbesar dan berpengaruh (sebuah bahasa ilmu) di rantau Asia pada masa itu, iaitu Sanskrit, kerana daripada 205 buah prasasti yang dijumpai ada 109 buah dalam bahasa Melayu (bahasa Kunlun atau Kolan), 29 buah bahasa campuran Melayu-Sanskrit dan selebihnya (67 buah) belum diketahui bahasanya (Shaharir 2008). Semua prasasti yang diketahui bahasanya itu sudah diterjemah ke dalam bahasa Perancis dan beberapanya sahaja yang juga diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Kini, atas usaha terutamanya Alinor dan Md Zain (ahli kumpulan penyelidikan etnomatematik Melayu, KuPELEMA yang diprakarsai (dimangkin-mulai) penubuhannya oleh penulis ini di INSPEM, UPM pada akhir 2005) hampir kesemua prasasti dalam bahasa Kunlun itu telah diterjemah-tafsir ke dalam bahasa Melayu lani. Kajian terperinci tentang kandungan sains bagi setiap prasasti itu masih belum dilakukan, kecuali beberapa buah sahaja yang satu daripada dikaji oleh penulis ini dan diperihalkan di bawah ini.

Kerajaan Campa bermula pada abad ke-2M di utara Vietnam sekarang dan berakhir pada tahun 1471 dengan kekalahan teruk di tangan Vietnam di pusat pemerintahannya yang terakhir bernama Vijaya (kini Binh-dinh, sebuah daerah di pesisir Vietnam tengah), dan pelarian besar-besaran orang Campa ke Kemboja pun berlaku. Ahli sejarah Campa sering menyatakan ratusan ribu orang Campa dibunuh atau terbunuh dalam peperangan dengan Vietnam itu. Kemudian dalam abad ke-20 lagi sekali orang-orang Campa menerima semacam “pencucian etnik” kerana adalah menjadi pengetahuan umum tentang adanya ratusan ribu orang Campa dibunuh atau terbunuh semasa regim komunis pimpinan Pol Pot di Kemboja dalam tempoh 1975-1979 dahulu. (Lihat umpamanya, Wikipedia, Khmer Rouge period (1975–1979)). Mengikut Antonio Graceffo (2006) orang Campa di Kemboja sekarang adalah antara 500 ribu hingga 1 juta orang. Lani sekitar 3% rakyat Kemboja adalah orang Campa yang diistilahkan oleh kerajaan Kemboja sejak 1950-an dahulu sebagai orang Khmer Islam (Internet: “khmer islam” atau “islam in cambodia”). Mengikut Adi Taha & Po Darma (1998) orang Campa di Vietnam pada masa penerbitan karya mereka itu ialah sekitar 480,000 ribu orang sahaja. Namun mengikut laman Can Dai Quang (2008), seorang Campa Vietnam yang sedang menyiapkan pengajian Ph.D di dalam bidang pendidikan bahasa di University of Hawaii at Manoa, AS, bolehlah dianggarkan bahawa pada tahun 2008 ini ada seramai 1 juta 400 ribu rumpun Campa di Vietnam yang lebih sejutanya berada di pedalaman atau pergunungan dan diistilahkan sebagai Orang Gunung Campa atau Cham Chowk yang diInggeriskan sebagai Cham Highlanders. Yang menariknya beliau memetik sebuah sumber yang mengatakan ada sekitar 100 ribu orang keturunan Campa Muslim (pelarian dahulu, yang diistilahkan di sana sebagai bangsa Chameria) yang tinggal di Grik, Eropah. Sekaligus menunjukkan orang Melayu Campa sudah lama mengetahui tamadun bangsa di Mediteranean, khususnya Yunani dan memperkukuhkan lagi bukti Yunani mengetahui rumpun Melayu ini sejak abad ke-2 M dan merujuk bahasanya sebagai Coelan atau Kolan yang dibicarakan dalam seksyen tamadun Funan di atas. Catatan di laman Can Dai Quang juga merujuk JMBRAS 1953 vol. 25 part 2 & 3 no. 159 yang ada catatan bahawa pelarian orang-orang Campa Vietnam antara abad ke-14M hingga 16M itulah yang pada 1950-an itu berjumlah 2 juta di Indonesia dan 200 ribu di Malaya dan 250,000 di Kemboja. Statistik Can Dai Quang tidak memberi statistik agama orang-orang Campa tetapi buku RISEAP (1996) yang menyatakan ada hanya 41 ribu orang Campa Muslim di Vietnam. Namun orang Campa di Vietnam sudah begitu tidak bermaya dan dianggap oleh kerajaan Vietnam sebagai suku kaum eksotiknya sahaja, walaupun gerakan kemerdekaannya di wilayah di Vietnam tengah masih berlaku sehingga kini, seperti yang perihalkan oleh Po Dharma 2005. Dunia lani mengenali orang Campa sebagai suku kaum Kemboja sahaja.

Tamadun Campa dan Funan wujud serentak sehingga abad ke-9M dan malah kerajaan Chenla pernah tunduk kepada kerajaan Campa dalam abad ke-9 itu hinggalah pembebasanya dianggap oleh ahli sejarah Khmer sebagai permulaan kerajaan Khmer sebenar yang memulakan nama Kemboja (Kambujadesa) dan seterusnya dikenali juga sebagai Kerajaan Angkor itu. Namun mengikut Maespero (2002) ahli-ahli senibuna umpamanya dapat membezakan candi/wat Funan dengan Campa umpamanya. Kewujudan bahasa Melayu Campa sejak abad ke-4M lagi dibuktikan oleh jumpaan prasasti tertua dalam bahasa Melayu yang telah disebut sebelum ini (prasasti Vo-Canh).

Seorang sarjana pengajian Campa, Maspero (2002) mengatakan sarjana Campa menggunakan bahasa Sanskrit untuk mengungkapkan ilmu dan bahasa Melayu hanya untuk hal-hal yang ringan sahaja, iaitu bahasa Melayu (Kunlun) hanya bertaraf bahasa kebangsaan sahaja dan bahasa Sanskritlah yang bertaraf bahasa janapada pada zaman kerajaan Campa itu. Namun tiadalah bukti yang dipaparkannya, sedangkan ternyata tiada sebuah pun prasasti Campa itu yang sepenuhnya dalam bahasa Sanskrit. Bahkan beliau jugalah yang menyebut adanya sebuah prasasti yang bertarikh 1003S (iaitu 1081M) mengandungi sifat-sifat pemimpin agung Campa dan ini mencetuskan kami mencari prasasti itu dan mengkajinya dengan lebih teperinci. Kami dapati prasasti itu berpendahuluan dalam bahasa Sanskrit tetapi kemudian semuanya dalam bahasa Kunlun/Kolan itu. Prasasti ini ternyata begitu tinggi ilmunya, iaitu tentang aksiom kepemimpinan atau kepengurusan yang diistilahkan oleh penulis prasasti itu sebagai cakravantin (=tok batin sejagat) yang mengatasi ilmu ini di tamadun-tamadun lain dewasa itu (Shaharir 2005a, 2008). Buku Maspero itu pun sebenarnya secara tak langsung merefutasikan hipotesis beliau sendiri kerana beliau merakamkan rekod perakaunan (bilangan benda) dan unit-unit fizik (panjang, masa, berat, luas, isi padu dan sebagainya) dan ilmu pengurusan Campa itu kami dapati semuanya dalam bahasa Melayu atau pengubahsuaian atau inovasi istilah Sanskrit. (Lihat Alinor 2005d, 2007a dan Shaharir 2007, 2008). Antara unit sukatan Campa itu yang ingin disebut di sini ialah sukatan berat dram ( = 12 thil=tahil?); yang kami belum jumpa adanya unit ini dalam sains Hindia tetapi unit ini diperkenalkan di Barat (yang kita kenali drp Inggeris, dram juga) beberapa kurun kemudian sebagai unit berat terutamanya cecair, pertamanya dalam bahasa Yunani, drakhma (bermaksud sukatan berat), kemudiannya dalam Latin: drachma dan dramma diikuti oleh Italia: dramma, Jerman/Perancis: drachme (tetapi anehnya tiada unit sebegini dalam Portugis, Belanda dan Sepanyol). Mengikut Wikipedia, Negara Armenia menggunakan dram sebagai unit wangnya sejak abad ke-12M; dan mata wang Roma dan Timur Tengah, dirham itu pun asalnya daripd perkataan Yunani dirkham itu. Mungkinkah semua ini hasil penyebaran ilmu daripada tamadun Campa, kerana kapal-kapal Melayu sudah sampai di Yunani sejak abad ke-2M lagi?

Mengikut Maspero itu juga, yang katanya bersumberkan daripada catatan Tiongkok, seorang jeneral Viet yang menyerang dan mengalahkan Campa buat kali pertamanya pada abad ke-6M mendapati ada 1350 buah buku dalam bahasa Kunlun yang sebahagainnya, kemudiannya, diterjemah ke dalam bahasa Tionghua. Mengikut Alinor (2005a-c) di antara buku-buku ini bukan sahaja berkenaan dengan agama Buddha seperti yang mungkin disangka oleh Maspero itu tetapi juga ada buku epistemologi dan mantik yang diistilahkan sebagai nyaya (daripada Sanskrit dan menjadi perkataan Melayu lani dalam bentuk negatifnya sahaja, aninyaya atau aniaya, tetapi sering pula diucapkan secara tak formal dan ringkasnya sebagai “nyaya”). Sumber Campa kemudian ada melaporkan bahawa kesemua kitab rampasan itu dibakar oleh tentera Viet itu; namun ada pula catatan lain di China yang menyatakan raja China memerintah sarjananya mengkompilasi kitab-kitab itu dan diminta supaya menerjemahkannya ke dalam Bahasa China sehingga sejumlah 74 buah buku daripadanya berjaya diterjemah, termasuklah karya besar epistemologi Hindu dalam bahasa Melayu Campa (terjemahan) berjudul Nyayamukha (karya Dignaga) dan Nyayapravesa (karya Dignaga atau Samkarasvamin). Besarnya karya ini dapat dibayangkan dengan adanya ratusan ulasan terhadapnya dalam Bahasa Cina, Bahasa Korea dan Bahasa Jepun.

Yang menariknya lagi, sepertilah pada zaman kerjaaan Funan, kerajaan Tiongkok sering mengundang sarjana Melayu Campa membantu penterjemahan buku-buku dalam bahasa Kunlun, Sanskrit atau mungkin sekali Pali ke dalam bahasa Tiongkok. Ini menunjukkan hebatnya bahasa dan sarjana Melayu Campa yang telah Berjaya menjadikan bahasanya (Kunlun) sebagai bahasa ilmu dan keilmuannya dapat menyaingi (setengahnya jelas mengatasi) yang di dalam bahasa Sanskrit atau Pali dan ilmuwan Hindia dan Tiongkok pada masa itu. Bilangan khazanah ilmu bertaraf antarabangsa pada zaman Campa ini nampaknya dapat mengalahkan khazanah buku peringkat tinggi dalam bahasa Melayu sekarang pun!

Dengan mengumpul beberapa sumber sejarah yang sedai ada, Alinor (2004a,b, 2005a-c) mencatatkan kesah catatan terkenal sarjana Tiongkok bernama I’-Cheng (bersama 4 orang pembantunya) pada sekitar awal abad ke-8 M menyatakan ribuan buah buku di Palembang dalam bahasa Kunlun dan Sanskrit sehingga sarjana Tiongkok itu sendiri berada di pusat kerajaan Sriwijaya itu selama 14 tahun (setengah sumber 7 tahun) untuk mengumpul, menyalin ataun menterjemah buku-buku tersebut untuk di bawa pulang ke Tiongkok. Antaranya ratusan kitab agung agama Buddha dalam bahasa Melayu termasuk kitab termasyhur Buddha bernama Tripatika itu sahaja pun berjumlah 500 gatha atau ganthra dalam bahasa Kun-Lun jika diterjemah kepada bahasa China pada masa itu akan berjumlah ribuan jilid. Antaranya juga termasuklah 7 buah kitab karangan sarjana Hindu yang bernama Dharmakirti (yang lain daripada seorang sarjana Melayu zaman Srivijaya yang serupa nama dan bergelar “Sarjana Akbar”) yang diterjemah kepada bahasa Melayu (Kunlun) oleh sarjana Sriwijaya bernama Atisa atau Atica yang berasal dari India, tetapi pernah belajar dengan Dharmakirti “Sarjana Akbar” Sriwijaya itu. Atisa ini pernah dibawa ke Tibet pada 1010M untuk mengajar di sana. KeMelayuan Atisa ini sama seperti Melayunya sarjana agung Melayu abad ke-17 yang bernama Nur al-Din al-Raniri itu.

Berdasar pada tinggalan prasasti Sriwijaya yang mengikut Alinor ada 5 buah dalam bahasa Kunlun dan 7 buah dalam bahasa Sanskrit, jelas sekali terbayangnya tentang dwibahasanya sarjana Melayu pada zaman itu (bahasa Sanskrit dan bahasanya sendiri, bahasa Kunlun) dalam penulisan ilmu dan sekaligus menunjukkan persaingan dua bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa janapada berlaku hebat pada zaman Tamadun Melayu Sriwijaya ini. Sedikitnya prasasti Sriwijaya ini berbanding dengan prasasti pada zaman Campa itu sekali-kali tidak membuktikan kurangnya karya (atau ilmu) pada zaman Sriwijaya ini sebagaimana yang sudah pun dibuktikan oleh I’Ching itu. Ketiadaan prasasti Sriwijaya ini mungkin benar juga rasionalnya oleh sesetengah sarjana sebagai akibat pemusnahan oleh golongan Islamis baru pada zaman dahulu dalam gerakan pengIslaman mereka (Ini dibicarakan lagi secara berasingan di bawah ini). Malah memang ada ulama masyhur Malayuwiyyah (nama Alam Melayu mengikut istilah ulama besar Melayu Fatdany (Petani), ahli bahasa dan pejuang bahasa Melayu awal abad ke-19M, Syaykh Ahmad al-Fatdany, dalam bukunya Hadiqaht al-Azhar wa al-Rayahin: ms 135 ) dengan rumpun bangsanya diistilahkannya sebagai Milayu (sedangkan rantau yang kini dikenali Jawa dinamai Arab sebagai Jawah dan orangnya Jawi) yang tidak menggalakkan seseorang Islam menyimpannya prasasti dan ilmu sebelum Islam. Contoh ulama itu ialah ‘Abd al-Qadiy al-Fatdany atau ‘Abd al-Qadiyr Bukit Bayas atau ‘Abd al-Qadiyr Duyung mengeluarkan hukum haram terhadap seseorang yang menjual-beli atau membaca hikayat atau dongeng-dongeng tempatan (seperti “Hikayat Sri Rama, Surat Jawa dan Syair Ken Tabuhan dan barang sebagainya”), kitab-kitab yang tiada memberi manfaat, kitab nujum, dan kitab orang kafir..dan katanya lagi “larilah segala malaikat sebab busuk bau yang keluar daripada mulut orang yang membaca akan segala hikayat dan syair” itu. (Hukum ini ada dalam karyanya sekitar 1820-an (dalam bahasa Melayu), “al-Taghrib wa al-Tarhdib li al-Bai‘i Wa al-Syiray (Menggemari dan Menakuti bagi Berjual dan Beli” yang diperihalkan oleh Wan Mohd Shaghir (1421H/2000).

Kesimpulannya, sudah agak cukup buktinya untuk menyatakan bahawa bahasa Melayu pada zaman kerajaan Campa (terutamanya dalam tempoh abad ke-6M hingga ke-11M) dan Kerajaan Sriwijaya (abad ke-7 hingga ke-12M) sudah mencapai taraf bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa (sekurang-kurangnya dunia Asia ini) bersekali dengan bahasa ilmu semasa, iaitu bahasa Sanskrit. Sarjana Melayu pada masa itu mahir dan berkarya dalam tiga bahasa, iaitu bahasanya sendiri (Melayu/Kunlun), Sanskrit dan Tionghua. Tiada bukti bahwa bahasa Tionghua menjadi bahasa antarabangsa setaraf dengan bahasa Sanskrit dan Melayu, tetapi demi besarnya umat Tionghua itu agaknya maka sarjana Melayu juga mahir dalam bahasa tersebut sehingga boleh menjadi penterjemah ikhtisas Sanskrit dan Melayu kepada bahasa Tionghua. Tradisi ini berlaku sejak zaman kerjaan Melayu Funan lagi itu.

Bahasa Melayu bahasa ilmu dalam zaman Tamadun Rumpun Melayu Islam: Bahasa Melayu Jawi sebagai bahasa ilmu.

Rantau yang didiami rumpun Melayu yang membentuk rantau Tamadun Islam Melayu memperoleh banyak namanya seperti Nusantara (istilah daripada kerajaan Majapahit abad ke-13M yang dihidupkan kembali oleh para pejuang kemerdekaan Hindia Timur abad ke-20), Nosa Koncana (daripada Nakola), Malayuwiyah (daripada sarjana rumpun Melayu abad ke-19), Malayonesia (daripada ahli etnografi Inggeris abad yang sama), Indunesia/Indonesia (daripada ahli etnografi Jerman abad yang sama), Malaisea/Malaysia (daripada ahli etnografi Perancis/Inggeris abad yang sama), Gugusan Pepulau Melayu (the Malay Archipelego, oleh ahli sains hayat Inggeris, Wallace 1868), Alam Melayu (the Malay World, oleh penulis Inggeris abad ke-20), Bumantara (1960-an oleh Sutan Takdir Alisjahbana, drp bumi+antara), Pascabima (akronim oleh penulis ini pada 1998, berasaskan negara-negara yang didiamai oleh rumpun Melayu yang pernah wujud dahulu dan lani), dan Alam Melayu). Nama-nama lain yang dinamai oleh ahli-ahli etnografi Eropah sebelum nama the Malay Archipelago itu muncul dengan bergayanya ialah (dalam bahasa Inggerisnya) the Indian Archipelago, the Asiatic Archipelago, the Eastern Archipelago, the Indo-Australian Archipelago dan yang paling lama bertahan ialah the East Indies/Hindia Timur (yang kemudian dibahagia tiga, the Dutch East Indies/Hindia Timur Belanda, yang menjadi Indonesia 1945 dan the British East Indies/Hindia Timur Inggeris yang menjadi Malaysia pada 1963, dan selebihnya Filipina, Papua Niugini dll. pulau yang kecil-kecil itu yang biasanya dilupai dalam istilah the East Indies itu). Nama-nama rantau rumpun Melayu sebelum Islam pun banyak sama ada yang dirujuk poleh orang-orang Yunani, Hindia, atau orang Tionghua seperti Aurium Chorsenesis, Suwarnabumi (dan beberapa variasi ejaannya; kini menjadi nama lapangan terbang antarabangsa Thailand, Suvarnabhumi), Yavadvipa/Javadvipa, Ye Diao dan lain-lain lagi (Lihat Shaharir 2008). Nama yang melekat hingga sekarang ialah Nusantara, Gugusan Pepulau Melayu dan Alam Melayu (the Malay World, yang merujuk kepada wilayah berbahasa rumpun Melayu yang ahli linguistik menamainya Austronesia atau Malayo-Polinesia yang cukup luas itu: dari Madagaskar ke Pulau Penimur hingga merangkumi pulau-pulai Polinesia hingga ke Hawai dan ke utara berhenti di Taiwan). Di dalam makalah ini hanya istilah Malayuwiyyah dan Malayonesia sahaja yang akan digunakan terutamanya di dalam seksyen ini, sesuai dengan zamannya, dan selain itu dirujuk Alam Melayu dan bangsanya secara generiknya dirujuki sebagai rumpun Melayu. Ciri utama tamadun rumpun Melayu Islam (TaRMI) ini ialah penggunaan bahasa Melayu dengan aksara Jawi sebagai alat komunikasi rasmi dan penulisan ilmu.Tempoh TaRMI kami ambil bemula abad ke-13M (apabila Pasai/Aceh beraja Islam) dan berakhir dengan jatuh bangunnya beberapa kesultanan rumpun Melayu selepasnya seperti Melaka (1402-1511 tetapi warisan kesultanannya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan Johor-Riau-Lingga (1528-1824)), Demak (1478-1561) dan sambungannya Mataram (berakhir pada 1830 tetapi kesultanan/kekratonannya hidup sehingga munculnya Indonesia 1945), Petani/Fatdany (dikalahkan Siam pada tahun 1671 tetapi kesultanannya hanya lumpuh pada 1785 di bawah telunjuk Siam dan akhirnya hilang sepenuhnya 1909 menjadi sebahagaian drp negara Siam/Thailand sepenuhnya tanpa sultan), Sulu (1390-1899), Manguidanao/Mindanao (abad ke-13 hingga abad ke-18M), dan kerajaan-kerajaan yang lebih kecil seperti Banjar (1370an-1898), Brunei (abad ke-14 hingga 1888), Ternate dan Tidore (abad ke-15M hingga ke-19M). Dalam konteks perkembangan ilmu dan bahasa Melayu, TaRMI ini dikira berlaku dalam tempoh abad ke-13M hingga menjelang abad ke-20M (1900M) sahaja. Pemilihan tahun 1900 itu berdasarkan sekitar berakhirnya kuasa kesultanan rumpun Melayu Islam di Malayuwiyah/Malayonesia yang besar-besar (1824 Johor-Riau-Lingga, 1830 di Jawa, 1874 di Tanah Melayu, 1899 di Sulu dan Mindanao, 1909 di Petani) dan lebih penting lagi tersisihnya aksara Melayu Islam yang dikenali huruf Jawi (terutama sebelum tertubuhnya Indonesia), atau Pegon oleh Bugis dan gundil oleh Jawa, dan dikenali sebagai Arab-Indonesia oleh generasi baru Indonesia (Wikipedia dan Wan Mohd Saghir 1991). Ini lebih-lebih lagi dengan tersebarnya kaedah peRumian oleh van Ophuysyen pada tahun 1901 di Hindia Timur Belanda (Indonesia sejak 1945) dan oleh Wilkinson pada tahun 1904 di Hindia Timur Inggeris (Malaysia dan Brunei sekarang). Selepas 1900 juga kami dapati tiada lagi sarja-ulama besar rumpun Melayu yang berkarya dengan biaknya.

Bahasa Melayu mendapat lonjakan kemajuan yang besar dalam zaman tamadun Islamnya. Banyak perkataan baru diambil bagi mengungkapkan benda-benda yang dahulu tiada keperluannya, banyak pula yang diambil bagi menggantikan perkataan Melayu-Sanskit yang sedia ada kerana perubaan cita rasa dan nilai, dan banyaklah pula perkataan Melayu Sankrit itu diubah atau berubah maknanya mengikut acuan Islam. Ringkasnya, pengIslaman bahasa dan ilmu rumpun Melayu pra-Islam itu berlaku dengan pesat dan hebatnya sehingga banyaklah pula ilmu pra-Islam itu yang tersalah saring atau tidak disaring langsung mengikut pengertian banyaknya yang tidak sepatutnya disingkirkan tetap juga tersingkir dalam keghairahan mendokong bahasa dan ilmu baru dari Tamadun Islam. Kesah pengIslaman kebudayaan Melayu ini (tidak termasuk sains dan teknologi) dijelaskan dengan teliti dan bergayanya oleh Prof. Syed Naguib al-Attas dalam syarahan pemasyhuran profesornya di UKM pada 1972 dahulu. (Lihat al-Attas 1972). PengIslaman kebudayaan Melayu dalam sains dan teknologi baru dikaji terutamanya oleh Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Malaysia (KuPELEMA) di INSPEM, UPM, mulai 2005 dan hasilnya sehingga lani dilaporkan dalam KuPELEMA (2008).

Apabila Islam bertapak di Alam Melayu mulai abad ke-13M, persaingan bahasa Melayu dengan Sanskrit dalam merebut takhta bahasa ilmu rumpun Melayu dengan pantasnya berubah kepada persaingan bahasa Melayu dengan bahasa Arab. Karya dalam bahasa Sanskrit dalam bentuk prasasti di Malayuwiyah ini boleh dikatakan lenyap sejak abad ke-15M lagi, malah saki-baki aksara Palava/Palawa dalam bahasa Melayu yang terakhir nampaknya muncul di prasasti batu Nisan Ahmad Majanu di Pangkalan Kempas Port Dickson bertarikh 1385S/1463M, dan tulisan Arab dengan terjemahan dalam bahasa Melayu Campa berhuruf Palavi di prasasti Pandurangga (Campa, atau Phan Rang di Vietnam sekarang) pada sekitar tarikh yang sama; walaupun Mengikut Alinor, secara SMS) prasasti dalam bahasa Sanskrit di Indonesia masih ada hingga ke abad ke-16M; dan warisan aksara Palawi yang dikenali sebagai huruf Kawi hidup dalam bahasa Jawa hingga kini. Mengikut Alinor lagi (secara SMS), prasasti Campa dalam bahasa Sanskrit yang terakhir yang ada dalam pungutannya ialah yang bertarikh 1436, tetapi dalam bentuk manuskrip, Melayu Campa (di Vietnam dan di Kemboja) masih ada yang tahu menulis dalam bahasa Sanskrit hingga abad ke-19M.

Zaman pengIslaman kebudayan Melayu ini, ternyata hebat berlaku antara bahasa Melayu dengan bahasa Arab pada tahap yang agak bitara seperti yang dapat disaksikan daripada karya-karya sarjana Alam Melayu sejak abad ke-16M hingga abad ke-19M yang kami kumpul daripada khazanah simpanan Wan Mohd Shaghir (yang contohnya yang disenaraikan di bahagian rujukan makalah ini). Dalam tempoh tersebut ada 13 orang sarjana-ulama Malayuwiyyah yang berkarya lebih daripada 10 buah karya sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Milayu atau dwibahasa ini [Lihat jadual karya sarjana agung rumpun Melayu Islam sebelum abad ke-20 yang tertera di bawah ini]. Berkenaan dengan ejaan Rumi “Melayu” daripada asalnya Jawi itu, mengikut Wan Mohd Saghir dalam transkripsinya terhadap karya Ahmad al-Fatdany 1307H/1898 itu, sejajar dengan nahu ejaan Jawi/Arab, transkripsi ke Ruminya bukanlah “Melayu” yang belum kami ketahui bermulanya versi ejaan “Melayu” itu; malah akhbar Jawi di Singapura pada tahun 1930-an dahulu yang bernama “Berita Melayu” (jika ditranskripsi ke Rumi sekarang) telah diRumikan pada zaman pemerintahan Jepun sebagai “Berita Malai”). Sentimen kepada bahasa Arab pada zaman itu begitu jelas sehingga hampir semua judul karyanya adalah dalam bahasa Arab (dengan kadang-kadang sahaja ada judul terjemahannya sekali, walaupun karya itu (kandungan karya itu) boleh dikatakan dalam bahasa Milayu/Melayu sepenuhnya dengan beberapa istilah dalam bahasa Arab yang masih dikekalkan seperti dengan gaya sarjana rumpun Melayu sekarang yang menulis dalam bahasa Melayu Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura. Namun segi bahasa matan karya ini, bilangan karya dalam bahasa Melayu memang jauh melebihi daripada bilangan dalam bahasa Arab yang menunjukkan kemenangan di pihak pejuang agama-bangsa-negara Malayuwiyyah itu, dan hal ini dengan mudahnya dijuarai oleh Syaykh ‘Abd al-Shamad al-Faliymbany (mati 1785), Syaykh Ahmad al-Fatdany (mati 1918), dan Syaykh Muhammad Arsyad al-Banjary (mati 1812).

Walaupun kejayaan mereka itu boleh dianggap agak membanggakan daripada segi bahasa (bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu), tetapi perjuangannya mendirikan negara Islam dan memerdehekakannya daripada penjajahnya, terutamanya segi jiwa dan minda (Siam bagi Fatdany/Petani, Belanda dan Inggeris bagi rantau yang dinamainya Malayuwiyah yang kini dikenali Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, Sepanyol bagi Philippine/Filipina, dan Vietnam-Kemboja bagi Campa) tidak berjaya hingga lani pun.

‘Abd al-Shamad al-Falimbany memang terkenal dengan kitabnya Hdidayaht al-Salikin dan juga seorang pejuang kemerdehekaan negara-bangsa Malayuwiyah dari penjajah dan menegakkan Islam yang dapat dikenali menerusi karya khasnya berjudul “Nasihat al-Muslimina wa Tazkiraht al-Mu’minina fi Fadhail al-Jihadi wa Karaamaht al-Mujtahidiina fi Sabilillah wa Karamatul Mujahidin fi Sabilillah”, malah beliau syahid melawan Siam/Thailand. Syaykh Muhammad Arsyad al-Banjari hampir sinonim dengan karyanya, Sabil al-Muhtaddin, dan terkenal juga sebagai pembebas Malayuwiyah ini daripada penjajah; dan akhirnya Syaykh Yusuf al-Munkatsy terkenal dengan karya-karya sufi/tariqaht dan pengamalnya yang menjadi rujukan/ikutan di pelusuk dunia, di samping seorang pemimpin pembebasan Malayuwiyah ini, khususnya yang di bawah penjajahan Belanda (Hindia Timur) sehingga beliau dibuang negeri ke Sirindip (Silan/Selon/Sri Lanka) dan Arika Selatan (meninggal di sana; dianggap pewaris Melayu Afrika Selatan sekarang).

Dengan iltizam para sarjana/ulama besar itu untuk menjadikan bahasa Milayu/Melayu (yang juga dikenali pada abad itu sebagai bahasa Jawi oleh orang-orang Arab hingga kini dan diikuti oleh orang-orang di Alam Melayu juga) sebagai bahasa ilmu itulah maka banyaklah karya dalam zaman Tamadun Melayu Islam itu berupa pemeribumian ilmu dan pengIslaman bahasa. Ini termasuklah nama negara kebanyakan ulama itu, mengikut transkripsi ASASI menjadi Fatdany (atau transkripsi lainnya, , Fatany, Fathany, Fatani, dan Fathani) ialah hasil pengIslaman Petani yang mengubah maknanya daripada orang bercucuk tanam kepada yang dinisbahkan dengan negeri/orang dari Fatdan dan kini diThailandkan menjadi Pattani, sama dengan puluhan nama lain di Thailand selatan itu seperti Songkhla drp Senggora, Phuket daripada Bukit, dan Chaiya atau Cayya daripada Cahaya), surga, naraka, derma, bakti, sembahyang, dan ratusan yang lain lagi diubah maknanya mengikut kehendak ajaran Islam (daripada ajaran Hindu-Buddha); ratusan yang perkataan sanskrit digantikan dengan perkataan Arab yang dirasainya lebih tepat atau lebih bergaya sama seperti yang berlaku kepada orang Melayu dalam abad ke-20 hingga lani yang suka menggantikan perkataannya yang sedia ada dengan perkataan Inggeris (pembaratan/pengInggerisan bahasa Melayu); dan yang lebih banyak lagi ialah kemasukan perkataan baru sama sekali bagi kerana kemasukan ilmu-ilmu daripada tamadun Tamadun Islam seperti yang berlaku pada bahasa Melayu pada abad ke-20 menerusi peMelayuan ilmu-ilmu Barat sejak 1958 di Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) dan 1948 di Indonesia.

Nama Sarjana

(Syaykh)

Jumlah karya

Bilangan karya dlm Bahasa Arab (BA)

Bilangan karya dlm bahasa Melayu (BM) atau dwibahasa BA-BM

‘Abd al-Qadyr ‘Abd al-Rahman al-Fatdany (Abdul Kadir Abdul Rahman Petani) 1228H/1813M-1315H/1898M

16

Tidak diketahui (TDK)

TDK (hanya 5 judul dlm BM)

‘Abd al-Rauf al-Fansury/al-Sinkyly

(Abdulrauf Singkel)

1615-1693M

34

1

22 (hanya 2 judul dlm BM)

11 buah belum diketahui bahasanya

‘Abd al-Shamad al-Falimbany (Abdussamad Palimbang). Syahid 1785M

18

?

11 (hanya 6 judul dlm BM)

7 buah yang belum diketahui bahasanya

Ahmad al-Fatdany (Ahmad Petani)

1272H/1856M-1908

57

27

22 (hanya 3 judul dlm BM)

8 buah yang belum diketahui bahasanya

Daud al-Fatdany (Daud Petani)

1122H/1133H/1153H/1183H= 1709M/1720M/1740M/1769M hingga 1263H/1847M, 1297H/1879M

71

2

30 (hanya 11 judul dlm BM)

42 buah yang belum diketahui bahasanya,

Arab atau Melayu atau dwibahasa itu.

Hamzah al-Fansury (Hamzah Fansuri) 1001H/1592M,1024H/1615M-1016H/1607M?

12

?

Semuanya? (5 berjudul dlm BM)

Isma’il al-Mankabawi (Ismail Minangkabau)

Mati 1281H/1864M

12

1

11 buah (sebuah sahaja berjudul dlm BM)

Muhammad Arsyad al-Banjari (Arsyad Banjar)

1122H/1710M-1227H/1812M

18

?

4 (sebuah berjudul dlm BM)

14 buah yang belum diketahui bahasanya

Muhammad al-‘Aidrus atau Tokku Tuan Besar

Mati 1295H/1878M

12

?

3 buah (semuanya berjudiul dlm BA)

8 buah yang belum diketahui bahasanya

Nur al-Din/Nurruddin al-Raniri

39

4

35 buah (hanya 5 buah yang berjudul dlm BM)

Raja Ali Haji

Lahir: 1809M

11

0

Semuanya (6 buah berjudul BM)

Syams al-Din al-Sumatra-iy/al-Sumatrany (Syamsuddin Sumatera)

Mati: 1039H/1630M

26

5

15 buah (6 buah berjudul dlm BM)

6 buah yang belum diketahui bahasanya

Yusuf al-Munkatsy (Yusuf Makasar)

1036H/1626M- 1699M

52 (tidak termasuk dalam bahasa Bugis dan yang baru dijumpai di Afrika Selatan)

51

Sebuah sahaja dlm BM

Jadual 1: Tiga belas orang sarjana-‘ulama’ besar (rumpun) Melayu abad ke-17 -ke-19M

Antara ulama besar Melayu itu, tidak syak lagi ulama Petani, Syaykh Ahmad Fatdany itulah yang paling beriltizam dan berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bahkan sebagai bahasa Islam antarabangsa. Ini dilakukan bukan sekadar berkarya dalam bahasa itu, berdakwah, membangkitkan kesedaran dan semangat berjuang membebaskan Malayuwiyah dan meningkatkan perolehan ilmu pengetahuan umatnya seperti umat-umat yang maju pada masa itu (contohnya menerusi karyanya Mir‘at al-‘Aja’yb 1324H/1907M yang dibentangkan kandungannya oleh Wan Mohd Shaghir 1421H/2000M). Lebih daripada itu, beliau merantau mewujudkan jaringan yang kukuh dengan ulama dan pemerintah bukan sahaja di rantau Malayuwiyah ini tetapi juga dengan negara-negara Islam di Timur Tengah khususnya yang paling berkuasa di dunia pada masa itu kerajaan ‘Uthmaniyah dan dengan usahawan ilmiah dan ulama di rantau itu. Beliau berjaya mewujudkan toko percetakan dan penerbitan buku-buku karya ulama dari Malayuwiyah ini terutamanya dalam bahasa Jawi/Milayu (Melayu sekarang), mulanya di Mesir dan Makkaht (Mekah) kemudiannya di beberapa tempat di Malayuwiyah ini (seperti di Singapura, Pulau Pinang, Petani, dan Riau). Pada masa itu bahasa Melayu tentunya mendapat saingan hebat bukan sahaja bahasa Arab tetapi daripada bahasa-bahasa penjajah itu; oleh itu wacana bahasa dapat dibayangkan cukup kompleks. Hujah utama ulama-ulama seperti Syaykh Ahmad al-Fatdany ini (kecuali mungkin Syaykh Yusuf al-Mankatsy itu) berkarya dalam bahasa Melayu ialah demi pendemokrasian ilmu, maruah atau jati diri bangsa, mengikuti jejak negara-negara yang maju, dan mempertahankan diri daripada penghakisan keIslaman orang-orang Jawi/Milayu (rumpun Melayu) akibat kemasukan bahasa dan kebudayaan penjajahnya. Kesah perjuangan ulama Syaykh Ahmad Fatdany yang sepatutnya lebih masyhur daripada tokoh-tokoh nasionalis yang tercitra hebat sekarang ini, selain daripada dalam karyanya yang disebut di atas kerana pemBaratan umat Melayu selama ini, dan pemujaan nasionalis Barat, sehingga menenggelami pejuang-pejuang pan-Islam atau nasionalis Islam dapat ditelaah dalam risalah Mohd Rofa (2007). Walaupun perjuangan ulama seperti Syaykh Ahmad al-Fatdany ini gagal untuk negara kelahirannya sendiri, Petani/Fatdany dan Sulu-Mindanau, hingga sekarang, tetapi segi kemerdekaan rasmi bagi sebahagian besar Malayuwiyah dan sekaligus penutupan wacana bahasa berlaku dengan perisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional di dua buah negara baru rumpun Melayu tercipta, Indonesia pada 1945 (sepenuhnya pada 1948), Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963. Namun oleh sebab kemerdekaan rasmi sesebuah negara yang gagal memerdekan minda pemimpin dan para intelegensia serta cendekiawan dan ilmuwannya memang menempah krisis pembangunan negara-bangsa seperti yang berlaku di Malaysia, maka wacana bahasa muncul kini dalam keadaan yang lebih gawat lagi, terutamanya sebagai bahasa janapada umat Melayu.

Bahasa Melayu Abad ke-20 Hingga ke Lani : Bahasa Melayu Rumi sebagai bahasa ilmu.

Bahasa Melayu sejak abad ke-20 mula mendokong aksara baru dari penjajahnya aksara Rumi atau Latin, masing-masingnya dipengaruhi oleh sistem ejaan bahasa Belanda di sebahagain besar rantau Malayunesia/Malayuwiyah di bawah Belanda yang dikenali sebagai Hindia Timur Belanda, dan sebahagian lagi (Hindia Timur Inggeris) dipengaruhi oleh sistem ejaan Inggeris. Sejarah peRumian Jawi bermula pada aba ke-16 lagi apabila beberapa perkataan Melayu yang pertama kali ditulis dalam huruf Rumi dilakukan oleh Pegafetta 1522 (pencatat pelayaran Magellan yang diikutsertanya dalam ekspedisi yang bersejarah mulai 1519 itu) yang menjadi sebuah kamus Melayu (Rumi) – Sepanyol. Namun bahasa Melayu Rumi yang pertama muncul dalam bentuk manuskrip dwibahasa Belanda-Melayu yang dulis oleh Albert Ruil (seorang pegawai pentadbir Belanda di Hindia Timur) dalam tahun 1612 tetapi tulisan bahasa Melayu dalam huruf Rumi yang agak komprehensif dilakukan pada tahun 1623 oleh Sebastian Dankaerts (seorang lagi pegawai pentadbir Belanda di Hindia Timur). Pada awal abad ke-19, pembesar Melayu sendiri mula mengambil hati Inggeris dengan menulis Rumi seperti surat Sultan Abdul Kahar Abdul Nasar (Banten) kepada King Charles II England 1680 adalah dalam tulisan Melayu Jawi dan Rumi; dan Perjanjian Tg Hussin & Tmg Abdul Rahman dengan Hindia Timur 1819 ditulis dalam bahasa Melayu Jawi dan Rumi. Dalam usaha mempopularkan Melayu Rumi, Munsyi Abdullah (penterjemah Raffles dan dianggap cendekiawan dan perintis sastrawan Melayu moden) menulis buku cerita kanak-kanak dalam Melayu Rumi dalam 1840-an, dan Akhbar Melayu Rumi pertama, “Bintang Timor”, diterbitkan pada 1894. Akhbar Utusan Malaysia sekarang asalnya bernama “Utusan Melayu” terbitan Singapore Free Press mulai 1907 tetapi muflis pada 1921 adalah dalam Melayu Rumi sebelum muncul kembali sebagai Utusan Melayu dalam Jawi mulai tahun 1939 hingga menjadi Rumi kembali pada tahun 1967-an dengan nama “Utusan Malaysia”. Beberapa buah kamus Melayu Jawi-Rumi-Inggeris/Perancis/Belanda muncul masing-masingnya dalam tahun 1812 (oleh Marseden, Inggeris), tahun 1873 (oleh Fabre, Perancis) dan 1877 (Woordenboak, Belanda). Tidak syak lagi warisan mereka inilah yang memperkuatkan azam penjajah Belanda dan Inggerir yang kemudian disokong oleh para nasionalis Melayu yang berpendidikan penjajah itu supaya menggantikan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi terutamanya setelah terbitnya kaedah peRumian van Ophusyen 1901 di Hindia Timur Belanda dan Wilkinson 1904 di Hindia Timur Inggeris. Malah para pelajar rumpun Melayu di Belanda yang berjiwa nasionalis pada awal kurun kedua puluh lagi menggunakan huruf Rumi dalam komunikasi berpersatuan mereka seperti himpunan mahasiswa yang bernama Poetra Hindia Timur (yang pada 1922 ditukar kepada nama negara impiannya, Poetra Indonesia) di bawah pimpinan Muhammad Hatta yang menjadi dwitunggal dengan Soekarno sebagai bapa kemerdekaan Hindia Timur (menjadi Indonesia). Tidak hairanlah apabila para pemimpin muda pejuang pembebasan Hindia Timur mengadakan pertemuan bersejarahnya pada 1928 melahirkan pengisytiharan wawasan perjuangannya yang diberi nama Soempah Pemoeda itu antara lain menyatakan bahawa Hindia Timur yang dibebaskan nanti akan diberi nama Indonesia dengan bahasa Melayu sebagai bahasa nasionalnya yang diberinama bahasa Indonesia dalam ejaan Rumi. Apabila Indonesia berjaya diwujudkan maka perisytiharan ini dilaksanakan dengan tegasnya bermula dengan teks perisytiharan kemerdekaan Indonesia itu ditulis dalam bahasa Melayu Rumi, dan pada tahun 1960-an tulisan Jawi menjadi gharib kepada jumhur rakyat Indonesia dan sekaligus bahasa Melayu di wilayah Malayuwiyah/Malayonesia di bawah naungan Inggeris yang sehingga 1960-an itu masih agak dominan dengan tulisan Jawi dan perbendaharaan katanya tidak berubah itu sewajarnya mudah diterima umum sebagai bahasa yang berbeza dengan bahasa Indonesia (lihat sumber sejarah ini dalam Asmah 1987,1989, dan Internet 5).

Nasionalis rumpun Melayu di wilayah Malayonesia/Malayuwiyah di bawah naungan Inggeris pula (setelah gagal mencapai kemerdekaan bersama Indonesia) mula mengatur langkah jejak nasionalis “abangnya” Indonesia, lalu pada 1952 Kongres Bahasa Melayu pertamanya diadakan di Singapura dengan membuat resolusi bahawa bahasa Melayu yang ingin dijadi bahasa nasional negaranya yang merdeka nanti ialah yang tidak lagi beraksarakan Jawi tetapi beraksarakan Rumi seperti Indonesia, walaupun sistem ejaannya tidak semestinya sama (Indonesia dengan sistem ejaan Belanda, sedangkan mereka ini lebih bercita kepada sistem ejaan Inggeris). Namun resolusi ini tidak berjaya ditintakan dalam perlembagaan negara merdeka barunya, malah teks perisytiharan kemerdekaan sebahagian daripada Malaya (minus Singapura dan bagi setengah pihak minus juga Petani, walaupun Petani sudah menjadi sebahagian daripada Siam/Thailand sejak 1904 lagi) atas nama Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada 1957 ditulis dalam huruf Jawi yang cukup bergaya dan gahnya (Khat Jawi), sesuai dengan Perlembagaan PTM yang hanya menyatakan “152(1) Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”. Pelaksanaan resolusi Kongres itu dilakukan secara beransur-ansur dalam tahun 1960-an yang dikenali sebagai “dasar pendidikan di bawah menteri pendidikan, En Khir Johari”. Setelah Malaysia ditubuhkan 1963, dasar bahasa Melayu PTM itu diperluaskan kepada Malaysia dan dalam tahun 1970-an bahasa Melayu ditukar secara pentadbiran (bukan menerusi perlembagaan) sebagai bahasa Malaysia (yang secara de facto memang Rumi) sehingga pada tahun 1987 yang dikembalikan namanya kepada bahasa Melayu sehingga 2000 apabila nama bahasa Malaysia ditakhtakan kembali hingga lani.

Sejak 1960-an istilah “bahasa Melayu” bagi Indonesia bermaksud bahasa tidak rasmi di Riau-Lingga (menjadi sebuah provinsi Indonesia kerana sejak 1824, Inggeris menyerahkannya kepada Hindia Timur), dan bahasa di PTM, Singapura, dan Borneo Utara (Sabah, Sarawak dan Brunei). Sejak akhir-akhir ini, dalam usaha menonjolkan keserumpunan bangsa dan bahasa di Alam Melayu atau Nusantara ini sudah ada kecenderungan untuk menamakan bahasa Melayu sebagai yang terdiri daripada bahasa Melayu Malaysia, Melayu Brunei, Melayu Singapura dan Melayu Indonesia selain daripada Melayu Campa dan Melayu Petani dan mungkin juga nantinya Melayu Filipina Selatan (malah boleh mengimpikan adanya bahasa Melayu Timor Leste, tetapi tentunya tidak lagi bahasa Melayu Taiwan, bahasa Melayu Madagaskar, dan bahasa Melayu Surinam). Namun bahasa Melayu Campa pun sudah boleh dianggap terfosil sejak abad ke-16M (pupusnya kerajaan Campa, dan orang Campa hanya tertakrif sebagai suatu kumpulan etnik kecil di Kemboja yang bahasanya akan pupus); bahasa Melayu Filipina Selatan pula boleh dianggap terfosil sejak abad ke-19M apabila wilayah itu terpisah daripada dunia Melayu yang lebih besar menerusi nasionalisme negara-bangsa Filipina yang merdeka daripada Sepanyol pada tahun 1898; bahasa Melayu Petani terfosil pada 1909 apabila secara rasminya petani menjadi sebahagian daripada Siam/Thailand; dan bahasa Melayu Singapura sudah boleh dianggap tidak akan melakukan sebarang prakarsa/inisiasi ke arah menjadikan bahsa Melayu sebagai bahasa ilmu sejak negara menjadi sebuah negara-bangsa yang tersendiri (keluar daripada Malaysia) sejak 1965 dan bahasa Melayu hanya menjadi satu daripada bahasa nasional yang amat terpinggir sahaja. Oleh itu bahasa Melayu daripada negara-bangsa yang baru ini tidak lagi menjadi pentakrif penting bahasa Melayu abad ke-20 hingga lani dan bolehlah diabaikan dalam perihal bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kerjasama kebahasaan antara Malaysia dan Indonesia diwujudkan dengan rasminya mulai 1972 dan diikuti oleh Brunei beberapa tahun kemudiannya maka barulah usaha ke arah penyatauan bahasa rumpun Melayu ini diusaha dengan giatnya menerusi kegiataan penyelarasan istilah selaras dengan wawasan para pemimpin dan sarjana ketiga-tiga buah negara ini memantapkan bahasa rumpun Melayu iani sebagai bahasa ilmu. Namun kegiatan ini mengalami kemerosotannya apabila berlakunya perubahan politik dan ekonomi rantau ini pada tahun 1990-an (sejagatisme/globalisme, dan keruntuhan saham ekonomi kedua-dua negara, bahkan Asia) dan lebih teruk lagi pada tahun 2002 bagi pihak Malaysia (bahasa Melayu dengan rasmi tidak lagi dijadikan bahasa janapada, tetapi hanya bahasa kebangsaan). Keruntuhan saham ekonomi Asia 1997-1998 dalam keadaan tekanan sejagatisme memberi kesan yang amat negatif kepada pembangunan negara-bangsa berasaskan bahasa sendiri bagi Negara-Negara Membangun seperti Malaysia yang pemimpinnya memang rata-rata sejak awal kemerdekaan lagi tidak serius dalam menjadikan bahasa nasional sebagai bahasa janapada. Bagi Negara-Negara Maju kesannya bertentangan sama sekali (tetapi menjadi pelengkap-padan pula dengan wawasan tersirat pemimpin Negara Membangun itu), iaitu pengukuhan pengeksportan bahasa dan kebudayaannya ke Negara-Negara Membangun. Ini isu kelak bagi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang ditangguhkan bicaranya kemudian. Sebelum itu penulis ingin memaparkan sejauh mana kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selepas tergenangnya atau terfosilnya bahasa Melayu sejak 1900 hingga penjajah meninggalkan sebahagain besar wilayah rumpun Melayu ini sekitar 50 tahun kemudiannya.

Dalam tempoh 1900-1945 para cerdik-pandai dan ‘ulama rumpun Melayu bergerak semakin rancak untuk membebaskan wilayahnya daripada penjajahnya (Siam/Thailand, Vietnam dan Barat) lebih-lebih lagi setelah menyaksikan sekelompok rumpunnya, Filipina, walaupun bukan Islam, berjaya merdeka daripada Sepanyol pada 1898. Ekorannya, dengan dasar-dasar penjajahan yang smakin mencengkam mereka maka tiadalah masa dan ruangnya lagi bagi menumpukan usahanya untuk mempertahankan kedudukan bahasanya tergelincir daripada persadanya menjadi bahasa ilmu. Dengan tercapainya pembebasan Hindia Timur dan lahirnya Indonesia, maka barulah satu era baru bahasa Melayu atas nama bahasa Indonesia muncul dengan gagahnya sehingga bahasa Melayu mencapai status bahasa ilmu pendidikan (prasyarat utama mencapai bahasa ilmu) mulai 1950 apabila universiti dalam bahasa Melayu Indonesia pertama kali muncul Universitas Indonesia (UI) diikuti oleh beberapa universitas yang lainnya. Namun bahasa Melayu masih terpasung di wilayah Malayuwiyah/Malayonesia di bawah Inggeris sehingga 1957 di Semenanjung Tanah Melayu (semenanjung Malaysia sekarang) dan sehingga 1962 di Sabah dan Sarawak dan 1984 di Brunei). Dalam tempoh penjajahan di Malayuwiyah/Malayonesia ini sekolah dalam bahasa Melayu hanya diwujudkan untuk peringkat sekolah rendah sahaja, dan sekolah aliran agama/Jawi yang sebelum ini menjadi pusat kecemerlangan ilmu menerusi bahasa Melayu Jawi dibiarkan reput sehingga pada tahun 1950-an sekolah-sekolah ini yang dikenali sebagai sekolah pondok di wilayah alam Melayu di bawah Inggeris (dan Pesantren di Indonesia) boleh dikata pupus sekurang-kurangnya dalam bentuk cemerlangnya dahulu. Sekolah dalam bahasa Melayu pasca-sekolah rendah hanya diwujudkan bagi tujuan menjadi guru di sekolah-sekolah ini. Dalam tempoh itu juga bahasa Melayu dalam huruf Rumi sama ada di rantau Malaysia sekarang atau Indonesia sekarang mula dipaksa mendapat tempatnya menerusi sekolah-sekolah kerajaan/pemerintah.

Di Malaysia sistem Rumi tajaan Wilkinson (cara Inggeris) yang diperkenalkan pada 1904 dan diubahsuai oleh Za‘aba dalam tahun 1955 itu mendapat tempatnya, manakala di Indonesia sistem Rumi van Ophuysen dalam tahun 1901 (cara Belanda) dan diubahsuai oleh Soewandi pada 1948 diamalkan di Indonesia yang baru ditubuhkan itu (perinciannya cerita ini ada dalam Arsmah 1989). Di Malaya (semenanjung Malaysia, Petani dan Singapura) umpamanya diwujudkan SITC (Sultan Idris Training College, yang selepas 1957 diterjemah kepada “Maktab Perguruan Sultan Idris” dan lani menjadi UPSI) ditubuhkan pada 1922. Para cendekiawan dan ulama rumpun Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah memulakan gerakan pembebasan tanah airnya daripada penjajahnya (Inggeris, Belanda, Thailand, Sepanyol dan Jepun), yang kemudiannya disambut oleh mereka yang mendapat pendidikan dari penjajahnya sendiri (di Malaya, SITC & UK terkenal melahirkan para pejuang nasionalis itu). Antara dasar perjuangan mereka ini selain daripada mengembali warisan Kerajaan tamadun Melayu Islam itu, iaitu status yang tinggi terhadap agama Islam dan bahasa Melayu (sebagai bahasa nasional dan nasion). Cita-cita untuk mengembalikan status Islam di Indonesia terdampar apabila perlembagaan Indonesia 1945 yang pada mulanya ada dinyatakan Islam sebagai dasar pemerintahannya digugurkan oleh Pemimpin Besar Republik itu, Soekarno, pada saat-saat akhirnya yang dianggap oleh pejuang Islam sebagai sejarah hitam Islam di Malayonesia/Malayuwiyah. Namun cita-cita terhadap bahasa ternyata agak berjaya dicapainya sehingga universiti (universitas) pertama dalam bahasa Melayu (Indonesia) ditubuhkan pada 1950 dan kemudiaannya diikuti oleh beberapa buah yang lain lagi. Universiti-universiti inilah yang impian dan model pembangunan bahasa bagi orang-orang Melayu di bawah jajahan Inggeris. Sejarah kemerdekaan di negeri-negeri di bawah penjajah Inggeris tidaklah berbeza dengan yang berlaku di tanah rumpun Melayu di bawah Belanda itu (Indonesia), iaitu daripada segi tidak berjayanya perjuangan mengembalikan status Islam, tetapi agak berjaya dalam ke arah mengembalikan status bahasanya tetapi itupun sehinggalah pada 2002. Perjuangan orang Melayu Islam daripada penjajahan Vietnam, Siam/Thailand dan Sepanyol (kini Filipina) tidak berjaya hingga lani. Berikut kami memaparkan sejauh mana pencapaian perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia sahaja, kerana sehingga 2002, para pejuang bahasa di Indonesia pun mengakui kejayaan Malaysia mengatasinya, malah jika pada 1970-an hingga 1980-an ribuan pelajar Malaysia berada di universitas di Indonesia menerima ilmu dalam bahasa Melayu Indonesia, tetapi mulai pertengahan 1980-an keadaan yang terbalik telah berlaku. Ribuan pelajar Indonesia peringkat siswazah menerima ilmu dalam bahasa Melayu di Malaysia, dan amatlah sedikit pelajar siswazah dari Malaysia yang belajar di Indonesia. Keadaan ini masih berlaku tetapi dipercayai bukan lagi dalam bahasa Melayu. Ini Isu kelak dalam bahasa Melayu.

Sekolah Menengah aliran bahasa Melayu Malaysia hanya bermula pada tahun 1958 dan secara perlahan-lahan sistem pendidikan sekolah aliran Inggeris terhapus (dirancang demikian) sehingga 1970 universiti dalam bahasa Melayu yang pertama di Malaysia, UKM, ditubuhkan diikuti oleh universiti-universiti lain kerana mulai 1983 tiada lagi pelajar Sekolah Menengah dalam aliran bukan berbahasa Melayu. Penubuhan universiti dalam bahasa Melayu Malaysia ternyata menjadi mangkin dalam pengaryaan ilmu oleh anak watan Malaysia dalam bahasa Melayu. Sebelum 1970, Malaysia hanya ada sebuah universiti, iaitu Universti Malaya (terjemahan rasmi tahun 1970-an kepada nama Inggerisnya University of Malaya 1959 yang asalnya menjadi cawangan kepada University of Malaya berpusat di Singapura yang dimulai pada 1949; setengah pihak menganggap universiti ini ditubuhkan pada 1905 lagi atas nama Straits and Federated Malay States Government Medical School, yang menjadi asas University of Malaya itu hasil percantumannya dengan Raffles College yang menawarkan bidang sastera dan sains sosial) yang berbahasa pengantarnya bahasa Inggeris sahaja. Amatlah bersahaja rasanya jika seseorang berminat mengetahui sejauh mana sarjana di universiti tersebut berkarya dalam bahasa Inggeris sekalipun) menghasilkan buku-buku ilmiahnya. Dalam tempoh 1966-1971, didapati (Shaharir 1996) para ilmuwan sains dan teknologi UM hanya menerbitkan SEBUAH buku sahaja (tentunya dalam bahasa Inggeris sahaja), iaitu dalam bidang sains hayat, dan 27 buah makalah dalam pascasidang (kumpulan kertas kerja persidangan dan sebagainya dalam bahasa Inggeris, yang dianggap mengandungi ilmu baru). Mengikut kajian kami selanjutnya (Shaharir 1996, yang sudah disitasi di atas itu) antara 1980-1985 (senggang masa 5 tahun juga), sarjana sains dan teknologi UKM berjaya menerbitkan 27 buah buku teks sains dalam bahasa Melayu dan sekitar 10 buah pascasidang sains (termasuk 3 buah dalam bahasa Melayu). Jelaslah penubuhan universiti yang memperjuangkan “bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu” nampaknya lebih berjaya menjadikan sarjananya lebih berdaya karya, terutama dalam bahasa Melayu. Sarjana di UM pada masa itu besar kemungkinannya “berjiwa hamba” dalam hal penulisan buku ilmu kerana buku ilmu dalam bahsa Inggeris sudah begitu banyak dan “bagus-bagus semuanya!”

Namun data-data itu juga menunjukkan karya bercetak dalam bahasa Melayu amatlah sedikit dan oleh itu status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam tempoh tersebut adalah rendah grednya kerana walaupun semua pendidikan sehingga di peringkat pascasarjana sekalipun (sehingga 1994 telah ada 500 buah tesis Sarjana dan 40 buah tesis D.Fal, malah hasil daripada UKM sahaja sebanyak 247 buah tesis Sarjana dan 25 buah tesis D. Fal.) adalah dalam bahasa Melayu. Penghasilan penerbitan dalam bahasa Melayu dalam tempoh itu amatlah rendah walaupun di peringkat tempatan sekalipun (dalam tahun 1983-1994 ada 5 buah jurnal terbitan UKM tetapi makalah dalam bahasa Melayunya tidak melebihi 40% sahaja, dan bilangan jurnal ini sungguhpun bertambah hingga sejak akhir-akhir tahun tahun 1990-an UKM menerbitkan berjumlah 17 buah jurnal tetapi peratusan makalah dalam bahasa Melayu semakin menyusut sehingga lani dianggarkan hanya kurang daripada 20% peratus. Jurnal-jurnal terbitan universiti atau institusi lain di Malaysia ini yang dianggarkan melebihi 40 buah judul itu, sebahagian besarnya tidak memuatkan makalah dalam bahasa Melayu langsung). Tentang penghasilan buku ilmiah seluruhnya, kajian kami dalam tempoh 1980-1994 menunjukkan hanya sekitar 1100 buah buku SAKTI dalam bahasa Melayu, termasuk terjemahan (tetapi tidak termasuk pascasidang dalam bahasa Melayu sekalipun, yang amat sedikit). Angka-angka ini kemudiannya agak meningkat kerana pendidikan SAKTI dalam bahasa Melayu rancak bergaya (mengikut Shaharir 2003, sehingga 2003, kira-kira 2 ribu buah tesis Sarjana an D. Fal dari UKM termasuk 300 buah dalam bidang TM yang terkenal dengan keInggerisannya) tetapi kadar pengeluaran karya dalam bahasa Melayu dipercayai tidak banyak peningkatannya, iaitu dengan puratanya kadar penerbitan buku hanya sekitar 76 buah buku setahun dalam tempoh 1980-1994 itu (yang dianggarkan jauh kurangnya berbanding dengan kadar penerbitan buku di Negara Maju yang besar sesaiz Malaysia penduduknya seperti Australia). Kadar penerbitan buku Malaysia itu tidak banyak berubah dalam tahun-tahun berikutnya hingga lani terutamanya sejak 2002 (dasar pendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris dilancarkan) merudum jatuh kadar pengeluarannya ke arah benar-benar muflis ilmu Melayu. Umpamanya, mengikut lamannya, penerbitan buku SAKTI peringkat universiti terbitan UKM sejak 2000 hingga 2008 hanya 24 buah, dan dalam masa yang sama DBP menerbitkan hanya 64 buah sahaja. Ini jelas tren kemuflisan itu! Amat malu hendak menyebut perbandingannya dengan penerbitan buku Inggeris dalam bidang sains matematik sahaja (SAKTI bermatematik termasuklah sains pengurusan, ekonometrik, psikometrik dan sosiometrik) dalam alaf ini berjumlah sekitar 6000 buah setahun (lihat Warkah Berita PERSAMA 2006)

Betapanya bahasa Melayu lani belum mencapai tahap bahasa ilmu yang bererti dapat dilihat pada sudut sejauh mana buku-buku dalam bahasa Melayu digunakan dalam kursus atau program di universiti di Malaysia. Mengikut kajian Shaharir (1996) hanya 30% daripada mata kursus dalam program bidang sains fizis dan sains matematik yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu; manakala bidang sains hayat hanya sebanyak 17% dan kejuruteraan hanya 6%. Kemudian, mengikut buku panduan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM 2002, bidang yang selalu dirujuk kerana peranan dalam TMK/ICT dan sejagatisme/globalisme itu, didapati hanya kurang daripada 10% daripada mata kursusnya yang ada buku teks/rujukan dalam bahasa Melayu. Namun mengikut buku panduan Fakulti Sains dan Teknologi UKM 2002-2003 didapati perkara yang sama itu lebih tinggi peratusanya: bidang sains matematik (tidak termasuk sains maklumat dan teknologi maklumat) ialah 25/43 ~ 58%, sains fizik gunaan ialah 46/95 ~ 50%, biosains dan bioteknologi ialah 18/49 ~ 37%, sains kimia dan sains makanan ialah 25/67 ~ 37%, dan sains sekitaran dan sumber alam ialah 51/143 ~ 37%. Ini agak membayangkan bahasa Melayu menuju kepada arah bahasa janapada dalam urusn keilmuwan tetapi harapan itu berkecai dengan perisytiharan bahasa pengantar sains dan matematik sekolah ialah bahasa Inggeris mulai 2003. Sejak itu dengan pantasnya para ahli akademik masing-masing mahu menunjukkan yang bidangnya menggunakan buku teks Inggeris sahaja, dan sekaligus penulisan buku dalam bahasa Melayu berhenti (diberhentikan atau sarjananya tidak berminat lagi)! Kemerosotan penerbitan buku dalam bahasa Melayu sebenarnya telah merosot pada alaf baru lagi sebagaimana yang ditunjukkan oleh penulis ini (Shaharir 2002) akibat dasar-dasar pendidikan negara yang telah berubah sejak perisytiharan kerajaaan menggalakkan universiti-universiti menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya pada 1994 dan pewujudan akta pendidikan swasta 1995 yang membenarkan bahasa pengantarnya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Keperluan buku teks sains asas klasik dalam bahasa Melayu untuk bidang sains peringkat ijazah pertama adalah dianggarkan sekitar 2 ribu buah, dan buku sains tambahan semasa sekitar 1700 buah setahun. (Lihat perinciannya dalam Shaharir 2005). Bilangan sarjana sains Malaysia kini sudah menjangkau lebih drp 4 ribu orang yang membolehkan kita mengadakan kemampuan menghasilkan seribu manuskrip buku terjemahan setahun dengan andaian ¼ sahaja daripada sarjana itu yang bersedia berbakti kepada pembangunan buku negara (suatu andaian yang konservatif). Dalam Shaharir (2005) dianggarkan peruntukan yang diperlukan untuk menghasilkan 2 ribu buah buku teks asas sains universiti yang klasik itu hanyalah sekitar RM35 juta sahaja. Tambahan peruntukan diperlukan untuk terjemahan buku sains semasa yang dianggarkan berjumlah 1700 buah setahun itu perlu dipenuhi juga. Kos tahunannya dipaparkan pada Jadual 3 yang menunjukkan kerajaan hanya perlu memperuntukkan paling banyaknya purata RM17 juta setahun sahaja. Jika projek “ke jalan puncak” pembangunan ilmu ini diandaikan penyertaan sarjana tempatan ditingkatkan kepada separuh daripada bilangan semasa kini (yang mudah berlaku jika dasar universiti/kerajaan berubah) dan diperluaskan pula pelaksanannya kepada sarjana-sarjana di BIAS (Brunei, Indonesia, dan Singapura) yang mudah dilakukan menerusi hubungan ikhtisas atas nama persatuan ilmu di negara masing-masing. Pelaksanaan wawasan ini tentunya terletak kepada kerajaan dengan segala institusi di bawahnya seperti universiti awam, DBP, dan ITNM di samping menyediakan dasar-dasar yang menggalakkan sektor swasta juga turut sama membina tamadun negara ini.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kita baru sahaja ditubuhkan, iaitu 1993 (dan tiada institut penterjemahan di Indonesia!), tetapi ironinya mulai tahun yang sama jugalah negara mula mengubah dasar bahasanya, seperti membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam SAKTI mulai 1994, mewujudkan Akta Pendidikan IPTS 1995 yang memberi laluan yang mudah untuk penubuhan kolej atau universiti swasta dalam bahasa Inggeris (lani berjumlah beratus-ratus buah kolej sedemikian dan hanya ada sebuah-dua sahaja yang menjalankan dalam bahasa Melayu). Matalamat ITNM pun diubah bukan lagi untuk menterjemah buku-buku daripada bahasa lain (terutamanya dalam bidang SAKTI) tetapi menterjemah nampaknya entah apa saja buku sastera asalkan bukan SAKTI yang menjadi rujukan penting kepada pelajar atau penyelidik di peringkat sekolah atau universiti, malah hampir semua buku yang akan terbit kelak yang dipaparkan di lamannya ialah buku terjemahan novel tempatan kepada Inggeris dan tiada sebuah pun buku SAKTI. Sehingga kini pun tiada sebuah buku besar atau teks SAKTI yang dihasilkan oleh institut tersebut: tahun 2008 hanya 2 buah buku (sebuah buku Bucailleis, iaitu yang hanya mengesahkan kebenaran sains menerusi al-Qur’aan, dan sebuah buku kejuruteraan yang besar kemungkinan bukannya teks besar bidang tersebut); tahun 2007 ada 5 buah buku (termasuk sebuah buku sejarah matematik dan sebuah buku kefalsafahan matematik yang kedua-duanya bukan buku teks atau buku besar dalam bidang berkenaan, sebuah buku popular Naisbitt, sebuah buku genom dan sebuah buku PuMS/TQM). Yang anehnya juga dalam tahun-tahun kebelakangan ini khususnya tahun 2007 dan 2008, bilangan penerbitan buku-buku terjemahan dari DBP jauh lebih banyak drp yang dihasilkan oleh ITNM, walaupun buku-terjemahan DBP lebih rendah lagi taraf kandungannya, dan DBP tidak sepatutnya menterjemah apabila ITNM wujud! Fungsi ITNM jelas begitu jauh menyelewengnya, khususnya penglibatannya dengan penterjemahan novel-novel dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris (dan mungkin bahasa lain lagi) seperti yang dirancangkan itu sungguh di luar fikiran yang waras kerana penterjemahan karya sendiri ke dalam bahasa asing (lebih-lebih lagi yang belum tentu bertaraf dunia) tentunya bukan tugas institusi negara kita. Lihat sahaja beberapa buah novel bertaraf dunia Paramoedya Anata Toer dalam bahasa Melayu Indonesia itu yang diterjemahkan kepada puluhan bahasa asing oleh orang dan institusi asing sahaja! Tugas ITNM memang menterjemah karya bagus-bagus dari bahasa asing, terutamanya karya SAKTI, kepada bahasa Melayu.

Segi penghayatan bahasa Melayu di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi hampir tidak berubah sepanjang masa (iaitu tidak menggunakan bahasa Melayu). Tidaklah juga benar bahawa peratusan yang tinggi Bumiputera/Peribumi sahaja dalam sesebuah institusi dengan sendirinya penghayatan bahasa Melayu pun tinggi. Malah, kajian penulis ini dalam tahun 1996 itu juga menunjukkan peratusan Bumiputera/Peribumi dalam komuniti akademia bidang kejuruteraan dan sains hayat yang tinggi peratusannya, tetapi jelas para jurutera Melayu dan ahli sains hayat Melayu di bidang ini sengaja tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam kegiatannya. Beberapa tahun lepas (2002) apabila penulis cuba mendapatkan tanda tangan daripada kalangan profesor di UKM bagi memorandum membantah dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah, hanya sekitar 40% sahaja profesor bidang perubatan yang bersetuju di kalangan Profesor Melayu (tetapi tiada seorang pun daripada profesor bukan Melayu yang berjumlah 12 orang), tetapi sekitar 90% profesor bidang sains dan teknologi (bukan sains kesihatan) bersetuju menurunkan tanda tangannya. Namun tinjauan yang dibuat oleh Gill drk. (2004) dalam isu ini di semua universiti di Malaysia hanya sekitar 40% ahli akademik bersetuju menentang dasar bahasa tersebut walaupun di UKM seluruhnya seramai 70% daripada menentang dasar itu. Ini bermakna secara amnya ahli akademik kita pun tidak berwawasan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Penghayatan bahasa Melayu dalam sektor awam pun semakin merosot. Komunikasi ahli-ahli SAKTI dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dalam hal penyelidikan di bawah rancangan IRPA (singkatan Inggeris) tajaannya hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, terutamanya sejak 1994 kerana sejak itu semua borang permohonan penyelidikan dalam bahasa Inggeris dan laporan penyelidikan dikehendaki dalam bahasa Inggeris atas alasan demi memudahkan penilaian dari pembaca luar negara. Pengelasan bidang-bidang penyelidikan anjuran IRPA yang dibuat oleh agensinya, MASTIC (singkatan Inggeris lagi), semuanya dalam bahasa Inggeris dan syor penulis supaya dibuat dalam dwibahasa Melayu-Inggeris tidak dilayan langsung. Dalam urusan tender kerajaan yang berhubung dengan pembelian alat atau pembinaan bangunan SAKTI hampir semuanya masih dijalankan dalam bahasa Inggeris, walaupun urusan tersebut membabitkan urusan dalam negeri sahaja

Betapa hebatnya penghayatan bahasa Inggeris dalam persatuan-persatuan ikhtisas dan semi-ilkhtisan dalam bidang SAKTI memang tidak perlu diperkatakan dengan panjang lebarnya di sini. Satu daripada manifestasinya yang jelas dapat dilihat pada warkah berita atau buletin keluaran persatuan-persatuan yang anggotanya kebanyakannya akademiawan, dan Presidennya juga Peribumi/Bumiputera, hampir pasti dalam bahasa Inggeris [pada tahun 1993 ada 27/68 persatuan SAKTI yang presidennya Melayu yang dapat dikesani, tetapi pada tahun 2002, 43/85 persatuan]. Daripada 43 buah persatuan SAKTI berpresiden Melayu ini hanya 15/43 buah (iaitu sekitar 35%) daripada persatuan tersebut yang cepat bersetuju menentang bersama dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah, dan tiada sebuah persatuan SAKTI berpresiden bukan Melayu yang menentang dasar tersebut. Ini besar berbeza keadaannya semasa persatuan-persatuan ini bertindak balas terhadap dasar keizinan penggunaan bahasa Inggeris dalam kursus sains dan teknologi di IPTA pada 1993 dan dasar kebenaran mengadakan dan menggunakan bahasa Inggeris di IPTS dengan mudahnya menerusi Akta IPTS 1995 dahulu apabila usaha menyatukan persatuan-persatuan SAKTI menentang dasar-dasar ini dilakukan oleh penulis ini (terdapat 17/27 buah persatuan, iaitu 63% menentang). Akademi Sains Malaysia (ditubuhkan 1994) yang presidennya orang Melayu dan ahlinya juga tidak kurang ramai Melayunya, yang dianggap bertanggungjawab tentang dasar pengembangan SAKTI negara, masih tidak mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi urusannya hingga kini. Tidak hairanlah, sehingga lani akademi ini enggan memberi sebarang ulasan tentang dasar pengInggerisan sains dan matematik, walaupun penulis, sebagai seorang Felo akademi ini, telah meminta beberapa kali (secara bertulis) kepada presidennya (tahun 2002) supaya mengeluarkan pandangan atau membincangkannya di kalangan Felonya. Peratusan dan kemerosotan sokongan para presiden Melayu dalam persatuan-persatuan SAKTI terhadap pemartabatan bahasa Melayu ini sebenarnya menunjukkan satu lagi manifestasi ketiadaan wawasan sarjana dan “bijak-pandai” Melayu yang berwawasan menjadikan bahasanya sendiri sebagai bahasa ilmu, suatu fenomenon yang amat berbeza dengan sikap bangsa-bangsa lain (Negara Maju yang dibicarakan pada bahagian awal makalah ini) sebagaimana yang telah dirunguti oleh Munsyi Abdullah abad ke-19 dahulu lagi.

Satu daripada persepsi di kalangan pemimpin akademia dan akademiawan sendiri ialah penulisan ilmu dalam bahasa Inggeris sahajalah yang boleh menyibar hasil penyelidikannya dan sekaligus mampu menjadikannya sebagai ilmuwan yang diiktiraf di dunia. Dalam bidang sastera persepsi ini sudah sentiasa terbukti tidak kenanya kerana hampir setiap tahun ada pemenang Hadiah Nobel kepada novelis dalam yang menulis hanya dalam bahasanya sendiri. Dalam bidang sains juga sebenarnya sering terbukti hampir demikian juga apabila dilihat senarai penerbitan dalam abstrak yang bergengsi dan Scientific Citation Index yang banyak juga karya dalam bahasa bukan Inggeris; dan hakikat bahawa para pemenang Hadiah Nobel sains ramai juga daripada mereka yang tidak berkarya dalam bahasa Inggeris sahaja. Kajian Bruner (1991) memperkenalkan indeks dampak karya seseorang/sesebuah negara sebagai purata bilangan kali karya seseorang dirujuk dalam masa 5 tahun umur penerbitannya juga menunjukkan hal yang serupa apabila beliau memaparkan hasil penyelidikannya yang berikut. Dampak penulisan ilmuwan dari Negara Membangun didapati amatlah rendah (tiada dampaknya, tiada pembacanya) walaupun 92% daripada karya dari negara ke-3 yang disitasi dalam Scientific Citation Index adalah dalam bahasa Inggeris. Suatu yang menarik juga ialah betapanya sebanyak kira-kira 80 buah jurnal sains matematik yang memuatkan makalah dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris yang disenaraikan dalam scopus juga berdampak tinggi. Lebih banyak lagi jurnal sebegini yang dinilai oleh Wu Wein di Vienna Univ juga tinggi-tinggi mutunya.

Bagaimana dengan pengalaman individu sarjana kita terhadap penerbitannya dalam bahasa Melayu selama ini? Kajian terperinci terhadap perkara ini seperti yang dilakukan oleh Bruner itu masih belum dilakukan. Namun di sini dapatlah dicatatkan beberapa contoh yang mungkin boleh membuka mata. Pertamanya, tindakan Muhamad Salleh Said (2002) yang menggunakan lebih daripada 300 buah istilah baru dalam bahasa Melayu (berbentuk L M, L=Latin dan M=Melayu seperti Arthrotus hijau) untuk menamakan spesies yang ditemuinya berupa satu daripada pengalaman yang berguna bagi menghakis rasa malu atau takut di kalangan sarjana kita menggunakan bahasa Melayu. Sarjana bidang lain patut mengikuti jejak langkah ini dengan menamakan istilah-itilah barunya dan produk-produknya dalam bahasa Melayu sahaja. Sayed Hussain al-Attas memperkenalkan istilah sosiologinya, bebal, bebalis/bebalist dan bebalisme/bebalism ke seluruh dunia dalam tahun 1970-an dahulu dalam penulisan dalam bahasa Inggerisnya yang kini sudah diterima sebagai istilah sosiologi Inggeris juga. Penulis sendiri pernah memperkenalkan beberapa istilah Melayu atau separa Melayu dalam karyanya dalam bahasa Inggeris sekali pun seperti pemeribumian (walaupun boleh sahaja dipakai indigenization tetapi makna pemeribumian penulis (Shaharir 1997) berbeza daripada konsep indigenization yang sedia ada), hal yang sama dapat dilihat dalam tulisan Wan Mohd Nor (2008) yang begitu banyak diperkenalkan istilah Melayu dalam tulisan dalam bahasa Inggerisnya. Penulis juga memperkenalkan istilah resapion, wustdo, optiwus dan optimah (Shaharir 1995, 2005b, 2007). Beberapa buah karya dalam bahasa Melayu oleh penulis (seperti Shaharir 2005a, 2000, 2002, 1990), dan makalah-makalah oleh para sarjana kita yang terbit di dalam jurnal Kesturi dalam bahasa Melayu terbitan ASASI, dirujuk merata dunia. Dipercayai banyak lagi individu yang mengalami cerita yang serupa yang perlu didedahkan kepada masyarakat umum tertutamanya kepada pemimpin-pemimpin kita yang bebal itu.

Bahasa Melayu Malaysia Kelak

Bahasa Melayu tidak akan pupus kerana adanya bahasa Melayu Indonesia. Namun jika dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sekarang memang akan terus-menerus dipertahankan, maka Malaysia tidak lagi akan menjadi wilayah Malayonesia/Malayuwiyah yang mewarnai kepustakaan dan perkembangan bahasa Melayu atau pentakrif penting piawai dan tahap bahasa Melayu lagi, tetapi Melayu di Malaysia akan menjadi senasib dengan Melayu Petani dan Campa dalam masa 30 tahun nanti. Para pejuang bahasa Melayu kini pun terpaksa berjuang hanya untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu “bahasa identiti bangsa” (seperti untuk nyayian, lakonan, nama-nama jalan tempat, bangunan dsbnya, dan pertunjukan di hari-hari besar negara atau pertunjukan kemegahan di luar negara) sahaja, belum lagi ke tahap perjuangan sebagai bahasa ilmu/bahasa pembangunan). Pejuang bahasa Melayu di Malaysia kini pun sudah tidak lagi berupaya mempertahankan tahap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hingga ke peringkat sekolah sahaja pun. Nasib bahasa Melayu malaysia lebih teruk daripada bahasa Tionghua di Malaysia kerana walaupun bahasa itu secara rasminya bukan bahasa nasional Malaysia tetapi penghayatannya sudah melebihi daripada penghayatan bahasa nasional negara bukan sahaja dalam pendidikan tetapi dalam ranah-ranah umum yang lain juga! Melayu memerlukan lebih ramai dan lebih meluas stratanya yang memperjuangkan nasib bahasanya supaya kembali seperti zaman sebelum abad ke-19 dahulu. Perjuangan yang paling mustahak lani ialah pengembalian sistem pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Melayu seperti pasca-2002, dan sekaligus mengubah dasar ITNM, DBP dan instiusi pendidikan tinggi dikembalikan pada fungsi atau tujuan asalnya pembinaannya supaya institusi penting ini dapat menumpukan sebahagaian daripada tanggungjawab sosialnya kepada menghasilkan ratusan, kalau tidak ribuan setahun pun, buku-buku dalam bahasa Melayu yang diperlukan dalam pendidikan di universiti dan pendidikan umum ummah.

Sarjana di Alam Melayu ini, khususnya Malaysia, sepatutnya menjadikan sarjana-sarjana besar rumpun bangsanya sebelum ini sejak zaman Funan, Campa dan Sriwijaya yang mahir dalam dua bahasa lain (Sanskrit dan Tionghua) selain daripada bahasanya sendiri dan seterusnya berkarya dengan seimbangnya dalam dwibahasa atau multibahasa itu. Sarjana-ulama Melayu Petani Ahmad al-Fatdany sepatutnyalah menjadi idola sarjana berkerakyatan Malaysia kerana beliau bukan sahaja sarjana multibahasa (belaiu juga mengetahui Urdu dan Parsi) tetapi berkarya dalam dwibahasa (Arab dan Melayu) dengan begitu seimbangnya sehingga beliau layak dinamai sarjana Melayu (disamping sarjana Arab-Melayu). Tegasnya sarjana sekarang tidak seharusnya bergaya dan berkarya dalam bahasa Inggeris sahaja (atau bahasa ilmu semasa pilihannya yang lain) tetapi mestilah juga berkarya dalam bahasa Melayu dengan seimbanganya. Sikap inilah yang menjanjikan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu kelak sebagaiman yang pernah berlaku beberapa kemuncak tamadun rumpun Melayu dahulu.

%%%%%%%%%

Rujukan

Adi Taha, Haji & Po Dharma. 1988. Costumes of Campa, the Malay Group in Vietnam. France: Jabatan Muzium dan Antikuiti. 5-22

Ahmad M.Z. al-Fathani. 1307H/1898. Hadiqaht al-Azhar wa al-Rayahin yang diterbitkan oleh Wan Mohd Shaghir 1418H/1998M. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

Ahmad M.Z. al-Fathani. 1324H/1907. Mir‘at al-‘Aja’yb. Di perihal dalam Wan Mohd Shaghir 1421H/2000M. Penyebar. Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, jil. 10 . Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

al-Attas S.M.N.1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu : suatu mukadimah mengenai peranan Islam dalam peradaban sejarah Melayu-Indonesia dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa, dan kesusasteraan Melayu. Penerbit UKM

Alinor M.b.A.K. 2004a. Dialog Peradaban Melayu Dianalisis menerusi Sebaran kesusasteraan. Kesturi 14 (1&2): 35-44; Ralatnya dlm Kesturi 15(1&2):.89-109

Alinor M.b.A.K. 2004b. Kesusasteraan Mantik Alam Melayu. Jurnal Antarabangsa Tamadun Melayu 1(3) :163-177

Alinor M.b.A.K. 2005a. Kesusasteraan Ilmu Mantik Tamadun Melayu Terawal. Prosiding Seminar Matematik dan Masyarakat. 26-27 Februari 2005. Kuala Terengganu : Jabatan Matematik, KUSTEM. 157-161

Alinor M.b.A.K. 2005b. Epistemologi/Mantik dalam Tamadun Melayu Terawal. Zulkefli Hamid, Rahim Aman, Karim Harun dan Maslida Yusof. Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik Melayu. Jilid II. Bangi : Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM. ms 233-245

Alinor M.b.A.K. 2005c. Epistemologi dan Mantik dalam Tamadun Melayu Terawal. Kesturi 15 (1&2):38-54

Alinor M.b.A.K. 2005d. Angka Campa dan Sistemnya. Seminar Antarabangsa Kajian Campa ke-2. 30 November 2005. Anjuran FSSK, UKM

Alinor M.b.A.K. 2006a. Bangsa Melayukah Yang Mencipta Simbol 0?. Buletin FST, Jun-Disember 2006, UKM

Alinor M.b.A.K. 2006b. Pengelasan Ilmu Melayu Sanskrit. Kesturi 16 (1&2):15-24

Alinor M.b.A.K. 2007a. Pembilangan Melayu. Senada 311. UKM, Dis. 2007:16-18

Alinor M.b.A.K. 2007b. Sejarah Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Matematik. MathsDigest

Alinor M.b.A.K. 2008. Angka Melayu Purba. Dalam Yusof M.b.Hj.O. Wacana Sejarah dan Falsafah Sains. K.Lumpur: DBP

Antonio Graceffo. 2006. The International Federation of Champa

http://mekong.net/cambodia/champa_federation.htm

Asmah O. 1987. Susur galur bahasa Melayu dalam gelombang tamadun. Majalah Dewan Bahasa 31(6):396-409

Asmah O. 1989. The Malay spelling reform. Jour. of the Simplified Spelling Soc. 9-13. Ada di http://SpellingSociety.org/journals/j11/malay.php. Kelih 2/12/2008

Can Dai Quang. 2008. http://www.ling.hawaii.edu/~uhdoc/champa/ . Kelih 20 Nov. 2008

Diffloth G. 1974. “Austro-Asiatic languages”. Encyclopaedia Britannica, 15th edition, Macropaedia 2. 480-484

Diffloth G. 2005. The contribution of linguistic palaeontology to the homeland of Austro-asiatic. In: Sagart, Laurent, Roger Blench and Alicia Sanchez-Mazas (eds.). The Peopling of East Asia: Putting Together Archaeology, Linguistics and Genetics. RoutledgeCurzon. 79-82

Fishman J.A . 1968. Nationality-Nationalism and nation-nasionism. Dlm. Furguson C.A. & Das Gupta J (Pnyut.), “Language Problems in Developing Nations”, N.York: JWiley & Sons. 39-52

Gill K.S., Hazita A., Norizan R. & Fadhil M. 2004. Change in medium of instruction policy in higher education in Malaysia: institutional reactions and responses. Paper presented at the 1st International Conference of the Faculty of Social Sciences and Humanities, 16 December

Internet 1. http://search.com.com/reference/History_of_Cambodia#Funan)

Internet 2. Early history of Cambodia

http://search.com.com/reference/History_of_Cambodia#Funan

Internet 3. The Voyage around the Erythraean Sea. http:// depts. washington. edu/uwch/silkroad/texts/periplus/periplus.html. Kelih 5 Mei 2006

Internet 4. Lihat Can Dai Quang 2008

Internet 5. minta latinisation of malay untuk dapat Aksara-The Passage of Malay Scripts. http://exhibitions.nlb.gov.sg/1A/galllery-1a.html. Kelih 3/12.2008

Lansing J.S.1983. The Three Worlds of Bali . Praeger

Lansing J.S.1994. The Balinese . N.York: Harcourt Brace

Manansala P.K. (t.t). Austronesian Navigation and Migration http://www. geocities.com/ Tokyo/Temple/9845/austro.htm. Kelih 20 April 2006

Maspero G. 2002. The Champ Kingdom. The History of an Extinct Vietnamese Culture. Bangkok: White Lotus Press. Terjemahan 2002 kpd karya asal dlm bahasa Perancis 1920

Mohd Rofa b.I. 2007. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Dlm Rohani A.T. & Wan Zh W.A. (Pnyut.). 2007. Tokoh Pemikir Matematik Malaysia. Serdang: INSPEM, UPM. 53-88

Mohammad Salleh M.S. 2002. Quo Vadis Taksonomi Serangga. Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Peiros I.2004. Austronesian: What linguists know and what they believe they know. Geneva, June 10-13.: Paper presented at the workshop on Human migrations in continental East Asia and Taiwan

Po Dharma. 2005. Catatan tentang FULRO Melawan Kelompok Minoriti di IndoChina Selatan 1955-2004. Seminar Antarabangsa Kajian Campa II. 30 Nov 2005. UKM

Pou S. 1992. Dictionnare Vieux Khmer-Francais-Anglai. An Old Khmer-French-English Dictionary. Centre de Documenttaion et de Recherche sur La Civilisation Khmere, Paris

RESEAP. 1996. Muslim Almanac. Asia Pacific. Kuala Lumpur: Berita Pub. Sdn. Bhd.

Sastri N. K. A. 1949. History of Srivijaya. Madras: University of Madras

Shaharir b.M.Z. 1985. Matematik dan Tamadun Islam: Pembinaan Sistem Angka. Bangi: Badr Kubra

Shaharir b.M.Z. 1990. Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan Teknologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Cet. pertama, 1985)

Shaharir b.M.Z. 1995. Penyatuan Proses Resapan Klasik dengan Persamaan Schroedinger bagi potensi afin. J. Fiz. Mal. 16:1-14

Shaharir b.M.Z. 1996. “Pembangunan sains dan teknologi menerusi bahasa Melayu”, Siri Syarahan Raja Ali Haji Persatuan Linguistik Malaysia 1996

Shaharir b.M.Z. 1997. Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular references to Malaysia. Dalam/in Anuar AbRazak dan Abu Bakar Majeed (Pyt./ed.), Islam Science and Technology. Pasca-sidang 1995. IKIM, Kuala Lumpur: 47-76

Shaharir b.M.Z 2000. Sistem Angka Melayu sebelum Kedatangan Islam. Bull. Malaysian Mathematical Society. 23(1):1-34. Asalnya sebuah laporan Cuti Sabatikal UKM 1998

Shaharir b.M.Z 2000. Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains. Snt. ke-2 dan diperluaskan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Snt pertamanya 1987 terbitan ASASI

Shaharir b.M.Z. 2002. Penulisan buku pengajian tinggi di bidang sains dan teknologi. Masalah dan strategi penyelesaiannya. Dlm. Halimah Haji Ahmad et al. Prosiding Seminar Cabaran Penulisan Sains dan Teknologi dalam Alaf Baru, anjuran DBP-UKM 2001. Kuala Lumpur: DBP. 107-119

Shaharir b.M.Z. 2003a. Sangkalan balas sangkalan Malaysia kepada hukum kemajuan sakti 2003. Bengkel Dasar Bahasa dalam Pendidekan Negara anjuran PLM-DBP pada 17 Januari 2003

Shaharir b.M.Z. 2005a. Teori Kepemimpinan Melayu Campa. Seminar Antarabangsa Sehari Kajian Campa 30 Nov. 2005 di UKM

Shaharir b.M.Z. 2005b. Sains Matematik dan Pengurusan. JQMA/JuSQA 1(1): 1-43

Shaharir b.M.Z. 2005c. Terjemahan dan pemindahan ilmu, jalan ke puncak. Dalam Abdullah Hassan (Pnyus), “Terjemahan dan Pengglobalan Ilmu Kertas Kerja Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-10. 2-4 Ogos 2005. K.Lumpur: PTS Professional Pub. Sdn bhd. 41-49

Shaharir b.M.Z. 2007. A development in mathematical sciences in Malayonesian mould. Proc. Internat. Conf. on Mathematical Sciences (ICMS), PERSAMA, Bangi. CP: 94-117

Shaharir b.M.Z. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Alam Melayu Penerbit Universiti Malaysia Terengganu

Wan Mohd Nor W.D. 2008. Bridging civilization: The human capital dimension and the role of higher learning institutions. 20th Internat. Conf. on Higher Ed. (ICHE). ICHE & UKM, Bangi, 23 Dis. 2008

Wan Mohd Shaghir.1421H/2000. Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, jil. 10 . K. Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

Wan Mohd Shaghir. 1991. Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara. Jilid 1 & 2. K. Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

%%%%%%%%%

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *