Kemaskini terbaru: January 5, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Persoalan Epistemologi Dalam Disiplin Linguistik Dan Relevansinya Dengan Lingistik Melayu (samb.1)

IMPLIKASI EPISTEMOLOGI BARAT TERHADAP LINGUISTIK

Implikasi epistemologi Barat terhadap teori, konsep-konsep, kaedah dan matlamat linguistik dan bahasa memang cukup ketara. Linguitik Melayu yang pada asasnya bersumberkan linguistik Barat tidak terlepas daripada mendukung dan mengembangkannya, sama ada dalam bentuk kuliah, tulisan mahupun kajian. Secara kasar, implikasi epistemologi Barat terhadap linguistik dan bahasa dapat dilihat dalam bentuk peralihan daripada suatu kerangka pemikiran dan teori bahasa kepada suatu kerangka dan teori bahasa yang lain, sehingga terlihat suatu siri peralihan yang secara langsung mewujudkan paradigma-paradigma yang berbeda dan sekali gus bertentangan antara satu dengan yang lain. Siri peralihan kerangka pemikiran dan teori bahasa yang mengakibatkan berlakunya peralihan paradigma dalam pendidikan bahasa dapat dirumuskan sebagai yang berikut:
a. Tahap pertama – peralihan   daripada kerangka pemikiran  dan  teori   linguistik   tradisional   kepada   teori  linguistik  struktur;
b. Tahap kedua – peralihan daripada kerangka pemikiran dan  teori     linguistik  struktur kepada kerangka pemikiran dan teori linguistik rasionalis atau mentalis;
c. Tahap ketiga – peralihan daripada kerangka pemikiran dan teori linguistik rasionalis kepada kerangka pemikiran dan teori linguistik fungsional.

Ketiga-tiga tahap itu digariskan dengan berasaskan faktor kronologi, dengan tidak pula menafikan bahawa peralihan paradigma itu dapat juga berupa kontroversi yang berlaku sepanjang zaman. Dengan perkataan lain, pada tahap pertentangan pendapat  memuncak antara golongan rasionalis dengan golongan fungsionalis, kontroversi antara golongan tradisionalis dengan golongan strukturalis-behavioris dan kontroversi antara golongan strukturalis-behavioris dengan golongan mentalis-nativis berlaku terus.

Kontroversi antara golongan tradisionalis dengan golongan strukturalis berpaksi pada perbedaan asas atau premis yang digunakan. Sementara golongan tradisionalis berpegang pada orientasi humanistik, golongan strukturalis berpegang pada orientasi emprisis (Dineen, 1967:166).  Enam ciri perbedaan antara kedua-dua golongan itu sebagaimana yang dirumuskan oleh F.P Dineen ialah:
a. Tradisionalis menggunakan dasar makna untuk menakrifkan kelas-kelas dan untuk menentukan rumus-rumus tata bahasa, dan dengan demikian uraiannya dianggap bersifat subjektif.  Strukturalis menumpukan  perhatian pada analisis sturktur fonologi, morfologi, dan sintaksis yang dianggap bersifat objektif.
b. Tradisionalis menekankan aspek logika bahasa dengan berusaha menentukan sebab-musabab fitur-fitur tata bahasa yang tertentu terjadi dan bagaimana fitur-fitur itu patut berperanan.  Strukturalis pula hanya    memaparkan fakta-fakta bahasa yang dapat diperlihatkan tanpa membuat penjelasan tentang sesuatu yang mungkin ada di balik fakta-fakta itu .
c. Tradisionalis tidak mempunyai hierarki yang jelas dalam menangani kes kelas kata yang bertindan lalu menganggapnya sebagai kekecualian atau `difahami sebagai…’, atau `digunakan pada tempat…’, sedang sturkturalis menangani kes tersebut berdasarkan peringkat analisis, iaitu  peringkat morfologi atau sintaksis.
d. Tradisionalis terikat oleh sejarah dan kebudayaan asal yang memulakan tradisinya, iaitu sejarah kebudayaan Yunani yang kemudian disambung oleh Rumawi, tradisi Zaman Pertengahan, dan pemikir-pemikir abad ke – 18, yang kesemuanya melihat bahasa dalam konteks falsafah, logika, psikologi, dan metafizika. Strukturalis pula berusaha membebaskan diri mereka daripada faktor-faktor tersebut  dan melihat bahasa sebagaimana adanya.
e. Golongan tradisionalis menggunakan ayat penyata sebagai asas untuk menakrifkan kelas kata dan ayat, dan ayat -ayat lain dianggap bentuk yang lahir daripada ayat tersebut melalui proses psikologi.  Sebaliknya strukturalis mengkaji semua ujaran untuk menghuraikan ciri-ciri yang berbeda bagi bentuk-bentuk yang berlainan dan tidak menganggap adanya proses psikologi yang menerbitkan ayat-ayat lain daripada ayat-ayat  penyata.

f.  Golongan tradisionalis mendakwa bahawa golongan sturkturalis tidak memberikan penjelasan tentang bahasa, tidak menghasilkan tata bahasa, menghilangkan ciri kemanusiaan dalam pengkajian bahasa, tidak membedakan penggunaan bahasa manusia daripada komunikasi haiwan, dan terlalu menekankan perbedaan-perbedaan antara bahasa-bahasa untuk sengaja melindungkan persamaan-persamaan yang lebih banyak. Golongan sturkturalis menyerang balas golongan tradisionalis dengan mendakwa  bahawa mereka memberikan penjelasan semu tentang ujaran-ujaran terpilih untuk membenarkan rumus-rumus tertentu, menyebut bahawa ujaran yang tidak sesuai dengan rumus sebagai ungkapan, kekecualian, atau tidak gramatis, membuat andaian-andaian awal untuk menghuraikan bahasa, menghasilkan tata bahasa yang tidak pernah sempurna kerana tidak memeriksa andaian-andaian awal tadi, mencampuradukkan kriteria semantik, morfologi, dan sintaksis tanpa kaedah yang tekal, memulakan pemerhatian pada makna dan bukan pada isyarat-isyarat atau lambang-lambang makna (bentuk), dan tidak menerima hakikat kelainan sistem antara pelbagai bahasa.
Jelas bahawa sanggahan golongan strukturalis terhadap golongan tradisionalis berasas pada beberapa hal pokok, iaitu huraian bahasa yang berdasar pada falsafah (terutama logika), semantik (yang menimbulkan istilah tatabahasa nosional), dan kerangka bahasa sejagat, serta sikap preskriptif mereka. Kontroversi tradisionalis-strukturalis ini bererti juga pertentangan antara rasionalis atau mentalisme awal dengan empirisisme atau mekanisme, iaitu dua paksi yang menandai pertembungan pemikiran Barat.

Sesudah berlangsung tahap pertama kontroversi tradisionalis-strukturalis itu (walaupun tahap tersebut tidak boleh dikatakan telah berakhir), muncul pula kontroversi tahap kedua, iaitu antara golongan rasionalis-mentalis angkatan baharu dengan golongan strukturalis-empirisis. Yang dimaksudkan golongan rasionalis-mentalis angkatan baharu itu ialah golongan yang memperlihatkan adanya pengaruh linguistik tradisional pada gagasan-gagasan tertentu (seperti gagasan kesejagatan dan pendekatan falsafah) tetapi lebih menjuruskan perhatian pada hakikat bahasa sebagai proses akal, pengembangan keupayaan yang ternurani, kreativiti, dan keupayaan berbahasa yang hakiki (sebagai lawan pelaksanaan bahasa). Bagi K.C. Diller (1978), kontroversi ini merupakan kontroversi yang paling hebat dan utama dalam konteks teori pemerolehan bahasa.

Perbedaan-perbedaan asas antara kedua-dua golongan ini berasas pada perspektif yang berbeda tentang hakikat bahasa dan bagaimana bahasa diperoleh. William Moulton (1961), dalam pembicaraannya tentang pembaharuan yang dilakukan oleh ahli-ahli bahasa struktur Amerika pada tahun 1940-an dan 1950-an terhadap bidang pendidikan bahasa, merumuskan prinsip-prinsip pokok golongan strukturalis dalam bentuk lima slogan yang berikut:

a. “Bahasa ialah pertuturan, bukan tulisan.”

b. “Bahasa merupakan suatu himpunan kebiasaan.”

c. “Ajarkanlah bahasa, bukan tentang bahasa.”

d. “Bahasa ialah apa-apa yang dituturkan oleh penutur jatinya, bukan apa-apa yang sepatutnya dituturkan.”

e. “Bahasa berbeda-beda.”

Kelima-lima slogan itu menjadi premis kerja strukturalis sebagaimana yang ditegaskan oleh tokoh-tokoh utamanya seperti Jespersen (1904), Palmer (1917 dan 1921), Bloomfield (1942), O’Connor dan Twaddell (1960), Anthony (1963), Bolinger et al. (1963), Lado (1964), Rivers (1964), Brooks (1964), dan H.B. Allen 1965).

Slogan pertama yang menekankan hakikat bahasa sebagai pertuturan bertitik tolak daripada pembahagian langue dan parole oleh de Saussure yang menjadi pemuka linguistik struktur, walaupun de Saussure tidak menyarankan pembatasan kajian bahasa pada parole atau pertuturan yang merupakan bentuk konkrit bahasa. Ahli-ahli linguistik struktur yang menumpukan perhatian pada parole sebagai “tanda-tanda tampak yang konkrit” (pertuturan) ini menamai gejala bahasa tersebut sebagai neo-Saussurean axiom, dengan prinsip bahawa “teks menandai strukturnya sendiri” dan tidak ada sesuatu yang tersembunyi di balik teks itu (joos, 1961:17). Dengan perkataan lain, bahasa ditanggap sebagai sehimpunan tanda-tanda tampak konkrit dalam bentuk bunyi-bunyi yang disusun menjadi pertuturan. Inilah asas yang menyebabkan tumpuan perhatian pendidikan bahasa yang disarankan oleh golongan ini berpusat pada bahasa lisan dan fonologi sebagai komponen yang utama (Diller, 1978:13).

Daripada segi pengajaran bahasa, pertuturan menjadi asas untuk memungkinkan peniruan dalam proses membentuk kebiasaan berbahasa kerana pertuturan dapat ditangkap dengan cepat dan langsung melalui pendengaran. Pentingnya pertuturan untuk membentuk kebiasaan berbahasa ini diungkapkan oleh Hockett (1958:425) dengan kata-kata “setiap masa seseorang bertutur, ia sebenarnya meniru atau beranalogi.”

Diller (1978:11) dalam sanggahannya terhadap slogan yang menyempitkan hakikat bahasa hanya sebagai pertuturan menggunakan penemuan Lenneberg (1967) yang menunjukkan bagaimana budak lelaki bisu mampu mempelajari bahasa Inggeris. Ia mampu mengambil pesanan daripada alat perakam dan kemudian belajar membaca. Kes yang dikemukakan oleh Lenneberg ini dijadikan hujah oleh golongan rasionalis-mentalis bahawa bahasa pada asasnya ialah persoalan akal dan aktiviti akal, bukan peniruan dan pembentukan kebiasaan semata-mata.

Slogan kedua, selaras dengan penolakan strukturalis-empirisis terhadap soal ilmu dan akal dalam pembicaraan mereka tentang bahasa, mengandaikan bahasa sebagai sehimpunan kebiasaan yang diperoleh atau dikuasai oleh manusia melalui proses pelaziman. B.F. Skinner merupakan tokoh behaviorisme yang ekstrem kerana menyamakan pemerolehan tingkah laku kebahasaan dengan pemerolehan tingkah laku haiwan. Bloomfield (1914:14) pun pernah membuat kesimpulan bahawa bahasa manusia tidak terlalu berbeda daripada bahasa haiwan. Implikasinya terhadap pendidikan bahasa ialah bahawa manusia tidak perlu mempelajari sistem abstrak dalam bentuk rumus-rumus bahasa yang mempertalikan pertuturan dengan struktur dalaman (makna). Manusia diandaikan dapat berbahasa dengan mengajuk dan beranalogi. Inilah asas yang menimbulkan kaedah mim-mem (mimicry and memorization) dan latih tubi pola (pattern drill) (Diller, 1978:15).

Slogan ini bertentangan sama sekali dengan pegangan golongan rasionalis yang mempercayai bahawa setiap manusia yang normal memiliki alat pemerolehan bahasa (APB / LAD) yang ternurani dan oleh itu mempelajari bahasa dengan bantuan alat ini, bukan dengan peniruan dan hafalan. Dengan demikian, sementara golongan strukturalis-empirisis mengajukan pemerolehan bahasa yang mekanis sifatnya, golongan rasionalis menimbulkan inspirasi kelahiran kaedah kod kognitif dalam pendidikan bahasa.

Slogan ketiga menegaskan pandangan strukturalis-empirisis bahawa pengajaran bahasa hendaklah bermatlamatkan “keupayaan bercakap dalam sesuatu bahasa”, bukan “keupayaan bercakap tentang bahasa itu”. dengan perkataan lain, yang penting ialah penguasaan pertuturan, bukan penguasaan rumus di balik pertuturan itu. Twaddell (1948:77-78), misalnya, menegaskan bahawa rumus bahasa hanya rumusan atau ringkasan tentang kebiasaan bahasa dan kebiasaan (pertuturan) itulah yang merupakan hakikat bahasa. Slogan ini bertentangan dengan matlamat kajian golongan rasionalis yang bukan sekadar melihat pelaksanaan bahasa bahkan juga keupayaan bahasa yang diwakili oleh wujudnya sehimpunan rumus-rumus yang memungkinkan terbentuknya bentuk-bentuk bahasa yang tidak terbatas jumlahnya.

Slogan keempat membayangkan pendapat golongan strukturalis-empirisis bahawa soal salah betul tidak timbul kerana penutur jati dianggap tidak mungkin melakukan kesalahan. Sebagaimana kata Moulton (1961:89), penutur jati sentiasa betul dan untuk pengajaran bahasa asing ia menyarankan agar pelajar meniru bahasa penutur jati. Dengan demikian gagasan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa yang dikemukakan oleh Chomsky dianggap tidak wujud. Demikian juga pembahagian adanya bentuk bahasa yang gramatis dan yang tidak gramatis dianggap tidak relevan. Soal ini nyata sekali bertentangan dengan soal pemilihan dan penekanan terhadap ragam bahasa baku sebagai ragam bahasa yang diutamakan dalam pendidikan formal yang diistilahkan Za’ba bahasa sekolah.

Slogan yang terakhir tercetus daripada penolakan strukturalis terhadap gagasan kesejagatan bahasa. Golongan strukturalis percaya bahawa setiap bahasa berbeda daripada segi bunyi, binaan, dan maknanya daripada bahasa lain (Bloomfield, 1942). Implikasi yang paling nyata daripada slogan ini ialah bahawa pelajar asing perlu meniru dan mengingat ujaran penutur jati bahasa yang dipelajarinya sehingga terbentuk kebiasaan-kebiasaan baharu yang berlainan daripada kebiasaan-kebiasaan bahasa asalnya. Golongan rasionalis sebaliknya tidak melihat kelainan-kelainan antara bahasa-bahasa sebagai sebab untuk menerima peniruan dan hafalan sebagai asas pemerolehan bahasa asing, kerana mereka percaya akan adanya parameter yang menjadi asas sistem pelbagai bahasa, iaitu tata bahasa sejagat yang kemudian dipindahkan dalam bentuk khusus bagi sesuatu bahasa. Tambahan pula golongan rasionalis lebih melihat bahasa sebagai suatu kreativiti, bukan peniruan dan penghafalan bentuk-bentuk tertentu.

Jika golongan strukturalis-empirisis berpegang pada lima slogan, golongan rasionalis pula mengemukakan lima proposisi dasar, iaitu:

a. Bahasa yang hidup dicirikan oleh kreativiti berasaskan rumus.

b. Rumus-rumus data bahasa secara psikologinya merupakan hakikat bahasa.

c. Manusia secara istimewa dilengkapi keupayaan mempelajari bahasa.

d. Bahasa yang hidup ialah bahasa yang dapat menjadi wadah untuk menusia berfikir.

(K.C. Diller, 1978:23)

Tentang proposisi yang pertama, de Sauze (1929), kira-kira 30 tahun sebelum Chomsky, berhujah bahawa orang dewasa yang pintar jarang dapat menguasai suatu bahasa asing tanpa mempelajari prinsip-prinsip asas (secara fungsional) yang mengatur struktur bahasa tersebut dan yang memungkinkan dia membuat generalisasi untuk menghasilkan beribu-ribu bentuk lain. Katanya lagi, keupayaan mengingat ayat-ayat dalam sesuatu bahasa tidak sama dengan mengetahui bahasa itu. Kecuali untuk tujuan mengungkapkan petikan, tidak ada orang yang melahirkan ayat hanya dengan berdasarkan ayat yang pernah didengarnya daripada orang lain. Mengetahui sesuatu bahasa bererti berupaya menghasilkan “ayat-ayat baharu” dalam sesuatu bahasa. Chomsky (1966) memperkukuh pandangan de Sauze dengan mengatakan bahawa tingkah laku linguistik yang normal bebas daripada faktor rangsangan dan bersifat inovatif.

Berkaitan dengan proposisi kedua, golongan rasionalis menegaskan bahawa setiap kali berbahasa manusia menggunakan rumus-rumus tertentu sebagai suatu proses psikologi. Mereka dengan keras menentang kepercayaan strukturalis-empirisis-behavioris bahawa manusia berbahasa kerana telah memperoleh sehimpunan kebiasaan melalui pelaziman. Diller (1978:26-29) beranalogi bahawa pemain catur hanya mampu bermain kerana menguasai aturan permainan tersebut, bukan kerana memiliki kebiasaan. Dalam hali ini, golongan rasionalis menjawab keraguan lawannya yang mempersoalkan keupayaan pengguna bahasa menyatakan rumus-rumus (jika benar ia menggunakan rumus-rumus ketika berbahasa) dengan menjelaskan bahawa pengguna bahasa tahu akan rumus-rumus itu “secara fungsional”, sebagaimana pemain catur menguasai aturan permainan ketika bermain catur. Tegasnya, pengetahuan tentang rumus-rumus bahasa dimiliki oleh pengguna bahasa tanpa semestinya rumus-rumus itu dapat dinyatakannya. Rasionalis menegaskan bahawa “rumus” dan “penyataan rumus” adalah dua hal yang berbeda. Pemilikan rumus bahasa memberikan implikasi bahawa manusia berbahasa dalam kesedaran intelektual, bukan sebagai proses automatis sebagaimana yang berlaku pada haiwan.

Proposisi ketiga golongan rasionalis menyentuh kesediaan manusia untuk mempelajari bahasa berasaskan adanya fakulti yang ternurani dalam akalnya. Hal ini tidak akan dikupas lagi kerana telah dibincangkan lebih awal dalam beberapa bahagian sebelum ini. Sekadar menambah suatu rumusan lagi, proposisi ini menimbulkan implikasi bahawa bahasa ialah suatu unsur yang bersifat dalaman, iaitu sedia ada atau merupakan bahagian dalam diri manusia, bukan sesuatu yang didatangkan dari luar diri melalui proses rangsangan-gerak balas dan proses pelaziman menurut pegangan strukturalis-empirisis-behavioris. Maka itu dalam pendidikan bahasa murid tidak boleh dianggap sebagai tempayan kosong, dan cukup hanya dengan dilatih tubi untuk menguasai bahasa.

Akhirnya, proposisi keempat menegaskan pentingnya bahasa yang hidup sebagai wadah untuk manusia berfikir. Bagi golongan rasionalis, penguasaan bahasa bukan kemampuan meniru dan mengingat bentuk-bentuk yang ada dalam sesuatu bahasa, tetapi penggunaan bahasa untuk mengungkapkan dan menanggap pemikiran. Memang bukan semua proses berfikir menggunakan bahasa, sebagaimana yang dibuktikan oleh Lennerberg (1967) dalam kes seorang budak lelaki berusia enam tahun yang pekak tetapi memiliki daya taakul dan konsep bukan verbal yang sama dengan kanak-kanak normal yang sebaya dengannya. Namun sebahagian besar pemikiran abstrak manusia dilakukan dengan menggunakan bahasa (Diller, 1978:35), apatah lagi jika konsep bahasa itu tidak disempitkan pada representasi fonetik (atau grafem dalam bentuk bahasa tulisan), kerana ada jenis bahasa dalaman (innere sprachform) seperti yang ditegaskan oleh Von Humboldt.

Proposisi terakhir ini berkaitan rapat juga dengan proposisi ketiga tadi, iaitu bahawa rumus bahasa bersifat hakiki secara psikologinya. Maksudnya ialah bahawa penguasaan rumus-rumus bahasa (sebagai suatu proses psikologi) memungkinkan manusia mengubahsuaikan pemilihan sesuatu rumus menurut situasi dan keperluan tertentu, dan proses pengubahsuaian ini membayangkan peranan tata bahasa dan bahasa dalam perkembangan dan perubahan pemikiran. Peranan bahasa yang demikian itu hanya mampu terlaksana apabila bahasa dilihat sebagai suatu proses atau aktiviti akal, bukan proses yang mekanis dan automatis.

Siri kontroversi dalam tradisi linguistik Barat kemudian disusuli oleh kontroversi antara golongan rasionalis dengan golongan fungsionalis. Pemikiran tentang fungsionalisme sebagai reaksi terhadap rasionalisme-generatifisme secara nyata mula berkembang pada akhir tahun 1960-an (Brown, 1987:22) dengan berasaskan upaya untuk menyelami hakikat bahasa yang lebih mendalam. Golongan rasionalis-generatif dianggap oleh golongan fungsionalis baru mencecah aspek bentuk bahasa dan belum sampai di peringkat bahasa yang paling dalam, iaitu aspek makna dalam konteks fungsi bahasa. Linguistik generatif dikatakan tidak berhasil menangani aspek fungsi bahasa dan terbatas pada rumus-rumus yang mengawal bentuk bahasa semata-mata.

Dell Hymes yang merupakan salah seorang pemuka pendekatan ini sepanjang tahun 1960-an menyelidik cara bagaimana ujaran-ujaran dapat ditakrifkan untuk menepati konteks sosial yang khusus. Ia menganalisis komponen-komponen khusus “peristiwa-peristiwa pertuturan” (1967) untuk menunjukkan bagaimana faktor seperti peserta (participant), latar (setting), babak (scene), bentuk mesej, topik, tujuan, dan pemilihan kod saling berinteraksi dalam pelahiran pertuturan. Pendekatan analisis bahasa yang berasaskan etnografi ini kemudian menimbulkan gagasan keupayaan komunikatif (communicative competence) yang dianggap oleh golongan fungsionalis sebagai jauh lebih penting dan bermakna daripada gagasan keupayaan linguistik yang dicetuskan oleh Chomsky (Brumfit, 1994:25). Hal ini demikian, kerana di sisi meliputi keupayaan formal tentang bentuk bahasa, keupayaan komunikatif menjangkau pengetahuan tentang rumus-rumus penggunaan bahasa, yang tanpanya rumus-rumus tata bahasa dianggap tidak ada gunanya sama sekali (Hymes, 1971:15).

Seorang lagi tokoh yang sentiasa dikaitkan dengan fungsionalisme ialah M.A.K. Halliday. Di samping menolak dikotomi keupayaan berbahasa dan pelaksanaan bahasa yang digagaskan oleh Chomsky, Halliday berpendapat bahawa isu pokok dalam kajian bahasa perlu tertumpu pada situasi-situasi penggunaan bahasa (Halliday, 1970:145) yang dengan perkataan lain merujuk kepada fungsi bahasa dalam penggunaan. Pada hemat golongan fungsionalis, hakikat bahasa yang sesungguhnya tidak lain daripada fungsi komunikatifnya, dengan segala variabilitinya (Brown, 1987:24). Bahasa tidak boleh dianggap sebagai hanya suatu sistem unsur-unsur formal yang bebas daripada fungsi-fungsi khususnya. Halliday (1973) menggariskan tujuh fungsi bahasa yang berlainan dalam memenuhi keperluan hidup manusia, iaitu:

a. fungsi instrumental yang digunakan untuk memanipulasi persekitaran bagi menyebabkan peristiwa-peristiwa berlaku. Ayat seperti “Mahkamah mendapati kamu bersalah”, “Di atas garisan, sedia, mula!”, atau “Jangan sentuh dapur itu”, dikatakan berfungsi instrumental. Ayat-ayat itu merupakan lakuan komunikatif yang menyatakan sesuatu keadaan tertentu.

b. fungsi pengaturan (regulatory function) yang merupakan kawalan peristiwa, boleh jadi dalam bentuk pengesahan, penolakan, kawalan tingkah laku, atau penyataan aturan dan undang-undang. Jika ayat “Saya dapati kamu bersalah dan kamu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun” termasuk dalam fungsi instrumental, maka ayat “Oleh sebab berkelakuan baik, kamu akan dibebaskan sesudah menjalani hukuman penjara sepuluh bulan” tergolong dalam fungsi pengaturan.

c. fungsi pewakilan (representational function) yang merupakan penyataan fakta dan maklumat yang mewakili sesuatu hakikat atau realiti, seperti “Bumi bulat” dan “Perdana Menteri berucap dalam majlis itu”.

d. fungsi interaksi (interactional function) yang berperanan memastikan pengekalan masyarakat. Fungsi ini terlaksana jika pengguna bahasa menguasai pengetahuan tentang slanga, jargon, jenaka, cerita rakyat, kesantunan, dan unsur-unsur sosial lain dalam bahasa masyarakatnya atau dalam bahasa yang digunakannya.

e. fungsi persendirian (personal function) yang memungkinkan seseorang melahirkan perasaan dan reaksi.

f. fungsi heuristik yang berkaitan dengan penggunaan bahasa untuk pemerolehan ilmu, khususnya yang melibatkan jenis ayat tanya.

g. fungsi imaginatif yang memungkinkan bahasa digunakan untuk seseorang menghasilkan puisi, cereka, jenaka, ramalan, dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya, golongan fungsionalis menolak pendekatan melihat bahasa hanya sebagai sistem yang membayangkan keupayaan bahasa penutur unggul sesuatu bahasa penutur unggul sesuatu bahasa yang menjadi tumpuan perhatian golongan rasionalis, dan sebaliknya menekankan aspek makna dan fungsi bahasa dalam penggunaan menurut situasi dan konteks.

Siri kontroversi yang mewarnai pemikiran Barat tentang bahasa dan pendidikan bahasa itu secara langsung memberikan implikasi kepada munculnya strategi, kaedah, dan teknik pengajaran bahasa. Kaitan antara pendekatan melihat bahasa (teori bahasa) dengan kaedah dan teknik pengajaran bahasa dapat digambarkan dalam rajah yang berikut:

Pendekatan

Kaedah

Teknik

Tradisional

Tatabahasa – Terjemahan, Deduktif

Penerangan rumus (Penekanan kepada bahasa tulisan)

Struktural Empirisis

Kaedah langsung Dengar ajuk Kaedah askar Kaedah fonik Induktif

Latih tubi (Penekanan kepada bahasa lisan)

Genaratif Rasionalis

Kod kognitif

Kreativiti daripada rumus

Fungsionalis

Komunikatif

Main peranan, simulasi, sumbang saran, penyelesaian masalah

Rajah : Pertalian antara Pendekatan dengan Kaedah dan Teknik Pengajaran

Golongan fungsionalis sebenarnya bukan sahaja menolak pendekatan rasionalis, bahkan turut menolak pendekatan strukturalis-empirisis dan tradisionalis.  Kesemua pendekatan tersebut, bersama-sama dengan kaedah dan teknik pengajarannya dilabelkan sebagai “model pengajaran kemahiran” (the skill learning model) yang dianggap terhad, tidak memenuhi matlamat pengajaran bahasa yang sesungguhnya, dan tidak alamiah.  Sebagai alternatif, golongan tersebut mengemukakan “model pengajaran alamiah” (the natural learning model) yang memasukkan pengajaran bahasa dalam dunia komunikasi yang realisitik (Littlewood, 1985:3-5).
Sebagai suatu anjakan paradigma daripada sukatan pelajaran yang berkerangkakan kandungan sistem bahasa, sebagaimana yang digarap oleh golongan-golongan yang terdahulu, golongan fungsionalis mengemukakan sukatan pelajaran bahasa yang berkerangkakan sistem sosial.  Dengan berdasarkan tujuh fungsi bahasa yang digariskan oleh Halliday, Van Ek dan Alexandar (1975, dalam Brown, 1987:204) menyenaraikan 70 fungsi bahasa yang perlu diajarkan, antaranya termasuklah:
1.    Ucapan, perpisahan, undangan, penerimaan
2.    Penghargaan, tahniah, pujian, pujukan, menarik perhatian, bangga
3.    Mencelah
4.    Menanya, meminta
5.    Menghindari, berbohong, memindahkan bidasan, menukar subjek
6.    Mengkritik, menegur, memperkecil-kecilkan, menghina, mengancam, memberikan amaran
7.    Mengadu
8.    Mendakwa, menafikan
9.    Setuju, tidak setuju, berhujah
10.    Memujuk, mendesak, menyarankan, mengingatkan, menegaskan, menasihati
11.    Melaporkan, menilai, mengulas
12.    Mengarahkan, memerintahkan, meminta
13.    Menyoal, menyiasat
14.    Menyatakan simpati
15.    Mohon maaf, memberikan alasan

Sebagai rumusan, epistemologi Barat telah menyebabkan berlakunya kontroversi yang berpanjangan dan berterusan tentang hakikat bahasa, kaedah penelitian dan pengajaran bahasa serta matlamat kajian dan pendidikan bahasa. Empat ciri disiplin ilmu yang bersumberkan epistemologi Barat sebagaimana yang telah dikemukakan pada bahagian awal kertas kerja ini ternyata telah benar-benar mewarnai disiplin linguistik sedunia, termasuk linguisitik Melayu. Yang pertama ialah kecenderungan berkonflik hanya disebabkan kelainan teori; kedua, kecenderungan menghargai teori yang lahir terkemudian dari teori sebelumnya; ketiga, pengasingan konsep atau fahaman tertentu seperti keterikatan kepada  sumber ilmu yang tertentu sahaja; keempat, kehilangan matlamat yang hakiki dalam melaksanakan kerja-kerja ilmiah tentang bahasa.

<sambungan>

4 Komen

  1. […] Tentang sumber ilmu pula, kitab Aqaid al-Nasafi yang menjadi sumber rujukan utama Ahli al-sunnah wal-Jamaah menetapkan tiga sumber utama ilmu, iaitu pancaindera yang lima, khabar yang sadiq atau benar dan akal. Jelas bahawa menurut epistemologi Islam, asas untuk merumuskan sesuatu ilmu (termasuk dapatan dan analisis kajian) tidak disandarkan semata-mata pada pancaindera sebagaimana yang begitu ditekankan dalam epistemologi Barat. <sambungan> […]

  2. Prof.Dr Awang Sariyan…suatu huraian yang cukup terperinci dan kandungannya juga cukup segala fakta yang diperlukan, syabas!

  3. Prof.Dr Awang Sariyan…suatu huraian yang cukup terperinci dan kandungannya juga cukup segala fakta yang diperlukan, syabas!

  4. Salam, tuan. Syabas untuk fakta ini. perkongsian yang sanagat terperinci. apa yang saya faham melalui pembacaan, fakta berkaitan bahasa.(berbandingan yang dibuat.) benarkah begitu? atau saya sudah silap mentafsir/ betulkan saya sekiranya silap ya..

    Salam hormat.

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *