Kemaskini terbaru: October 5, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bengkel Pengislaman Ekologi dan Kajian Alam Sekitar: Sejarah, Falsafah & Pelaksanaan

Atas semangat untuk melihat gagasan Pengislaman Ilmu merentasi bidang-bidang yang dilihat asing, Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) pada 10 dan 11 Mei 2008 telah menganjurkan Bengkel Pengislaman Ekologi dan Kajian Alam Sekitar: Sejarah, Falsafah & Pelaksanaan, yang bertempat di Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS).

Bengkel selama dua hari tersebut dihadhiri oleh 23 peserta tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Hj.Wan Mohamad bin Syeikh Abdul Aziz, di samping turut melibatkan pembentangan empat kertas kerja. Ini termasuklah kertas kerja dari Presiden ASASI sendiri, Prof Ir. Dr. Hj, Wan Ramli Wan Daud, dari Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTM, Prof. Dr. Zaini Ujang, AJK ASASI, Prof. Dr. Shahidan Radhiman, dan satu lagi juga dari AJK ASASI, Dr. Adi Setia.

Matlamat Bengkel ini mengariskan beberapa perkara. Ini termasuklah untuk mengislamkan ekologi, mengislamkan kajian dan penyelidikan alam sekitar serta berusaha menangani isu-isu alam sekitar menurut aqidah, shari‘ah, pandangan alam dan budaya hidup Melayu-Islam. Selain daripada itu, matlamat bengkel ini juga untuk menilai secara kritis pelbagai aliran kealamsekitaran yang dipelopori orang Barat agar dapat disesuaikan dengan pandangan alam Islam.

Bengkel yang pada asalnya cuba untuk memberi tumpuan penyertaan terhadap badan-badan yang merumuskan dasar dan pemain utama dalam pelaksanaan alam sekitar di Malaysia tersebut, dilihat kurang mendapat sambutan dari badan-badan tersebut. Sebahagian besar dari jumlah peserta adalah datangnya daripada ahli ASASI sendiri, serta mereka yang tidak terlibat dalam bidang alam sekitar.

Walau bagaimanapun, semua kertas kerja yang dibentangkan telah hampir menepati kepada hasrat bengkel ini. Presiden ASASI, sebagai pembentang pertama telah membentangkan kertasnya yang berjudul, Kimia Hijau dalam Kerangka Teknologi. Dalam kertas tersebut, beliau telah mengungkapkan soal penekanan Islam terhadap hubungan dengan makhluk dan alam sekitar.

Dan ini menurutnya, yang juga merupakan professor dalam kejuruteraan kimia, adalah sangat seimbang dengan konsep untuk pengelakan pembaziran bahan, pengurangan atau penghilangan bahan buangan yang berbahaya serta meningkatkan kecekapan tenaga sepertimana yang ditekankan oleh Anastas & Warner (1998) dalam tafsiran kimia hijau di Barat.

Manakala, setelah tayangan DVD Belum-Temenggor, bengkel diteruskan lagi dengan pembentangan dari Prof Dr. Zaini Ujang, dengan judul kertasnya, Dasar Alam Sekitar Malaysia: Suatu Tinjauan dan Cadangan.

Beliau dalam pembentangan ini cuba menyentuh soal pelaksanaan dasar-dasar yang telah dirumuskan, yang menurutnya selalunya pihak kerajaan yang menjadi sektor terakhir dalam sebarang proses penglibatan. Ini yang menurutnya berbeza dengan sektor aktvis, yang dilihat sentiasa ke hadapan dan mendahului dalam sebarang pandangan tentang alam sekitar dan pemuliharaannya.

Bengkel ini kemudiannya diteruskan pula dengan pembentangan dari Prof. Dr. Shahidan Radhiman dengan judul kertas, Tasawwuf dan Alam Sekitar. Sebagai seorang ilmuan muslim yang berlatar-belakangkan bidang fizik, beliau melihat alam ini mempunyai zikir yang tersendiri, dan masing-masing bertindak-balas pada manusia sama ada secara positif atau negatif.

Beliau juga menugngkapkan, dalam bidang Fizik Tenaga Tinggi umpamanya terdapat getaran membran (zarah plethora: baryon dan meson), dan ini baginya menunjukkan bahawa ada jalinan dengan pandangan bahawa alam ini yang sentiasa berzikir.

Malah, pengalaman Islam amnya, telah menunjukkan penyelidikan yang mendalam dalam soal ekologi dan alam sekitar ini. Ini termasuklah menerusi penyelidikan dari Annemarie Schimmel , William Chittick, Claude-Addas , Michael Sells, Nicholas Heer , Martin Lings (iaitu Abu Bakar Sirajuddin), Michael Chockiewidz , Stephen Hirstenstein, dan lain-lain lagi.

Manakala dalam pengalaman tradisi Melayu pula, Hamzah Fansuri, dan kemudiannya Abdul Rauf Singkel, Yusof Taj al-Khalwati da Daud al-Fathani juga turut banyak membincangkan soal yang sama.

Setelah makan tengah hari dan solat zuhur, bengkel kemudiannya diteruskan dengan pembentangan dari Dr. Adi Setia, yang mengemukakan judul, Ekologi Islam Sebagai Cabang Amali Kosmologi Islam. Dalam pembentangan tersebut, beliau merumuskan bahawa bahawa segala keteraturan yang kita saksikan pada alam semesta ini ialah keteraturan yang sekali gus fizikal dan moral.

Jadi, bagi pensyarah UIA lulusan ISTAC ini, permasalahan kealamsekitaran dewasa ini berlaku ekoran tiadanya kesepaduan antara aspek kepenggunaan dan aspek kesyukuran. Jadi pada akarnya masalah ini bukan masalah sumber (resource problem) tapi masalah sikap (attitude problem).

Setelah itu, bengkel dilanjutkan pula dengan sebuah forum yang memuatkan perbahasan tentang, Penggembelengan Tenaga Umat Islam demi Menangani Permasalahan Alam Sekitar: Peluang dan Cabaran dalam Konteks Malaysia dan Nusantara.

Forum yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung ASASI, Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir tersebut, telah menampilkan tiga pembicara. Ini termasuklah Prof Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud sendiri dari ASASI, Sdr. Adnin Armas dari INSISTS yang diundnag khas oleh ASASI dari Indonesia, dan Ustaz Ghafar bin Surip dari ILIM.

Bengkel hari pertama ini berakhir setelah forum tersebut. Sementara pada hari kedua, bengkel disambung dengan perbincangan dalam kumpulan dan membahaskan beberapa aspek secara mikro. Dua topik perbincangan telah dipecahkan, iaitu Pengislaman Ekologi dari Sudut Amaliah dan Alam Sekitar dan Tasawwuf, yang masing-masing dipengerusikan oleh Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud dan Prof. Dr. Shahidan Radiman.

Setelah wacana ini, bengkel ini berakhir dengan majlis penutupan secara sederhana dari Presiden ASASI sendiri. Bagi beliau, meskipun program ini tidak begitu mendapat sambutan, dan tidak menepati golongan sasaran, tetapi adalah diharapkan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan lagi.

Ini penting bagi memastikan, gagasan pengislaman ilmu itu bukan hanya merentasi bidang ekologi dan alam sekitar semata-mata, tetapi juga dapat menembusi bidang-bidang lain yang jarang disentuh oleh dunia muslim. Jadi, beban ini seharusnya turut dipikul oleh kalangan cendikiawan muslim sendiri.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *