Kemaskini terbaru: March 12, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pencapaian SAKTI Melayu Malaysia 1958-2002

Fakta yang tidak diketahui?

Dalam masa empat dasawarsa sahaja, Malaysia mampu melahirkan sarjana bertaraf dunia dalam pelbagai bidang SAKTI. Sekaligus perkembangan dan kemajuan yang berlaku pada bahasa Melayu adalah pada tahap fenomenal. Hanya mereka yang terbenam ria dalam budaya berbahasa lain sahaja yang tidak sedar atau tidak mahu mengakui hakikat ini. Malangnya itulah yang nampaknya sedang berlaku di kalangan para pemimpin Melayu yang berkuasa sekarang yang mewarisi pemupukan dan pemagaran bahasa Melayu tetapi nampaknya sedang memakannya pula sehingga SITC , simbol pencapaian pendidikan Melayu pertama pada abad ke-20, telah menjadi mangsanya, dan dijangka tidak lama lagi UKM, simbol mercu pendidikan Melayu, turut musnah dengan tangisan tidak berlagu lagi.

Pencapaian prasiswwazah

UKM ditubuhkan pada 1970 bagi memajukan ilmu dalam bahasa Melayu dalam kebanyakan bidang ilmu dan sekaligus menjadi penyatu bangsa dan penyinambungan asas penubuhan SITC 1922 dan Kolej Islam Kelang 1955, dua institusi tertinggi yang menjadi kebanggaan Melayu sebelum merdeka! (Lihat sejarah UKM oleh Mohd Ali 1981). UTM pula menjadi pelopor pendidikan kejuruteraan dan teknologi dalam bahasa Melayu sejak 1978. Universiti-universit awam yang lain turut berada dalam aliran ini sejak 1983. Walaupun bidang perubatan, belum lagi dijalankan dalam bahasa Melayu sepenuhnya hingga kini, termasuklah di UKM, malah bidang ini hanya dijalankan dalam bahasa Melayu sehingga tahun ketiganya sahaja (tahun praklinik) dan dua tahun kemudiannya (peringkat klinik) hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, namun semua universiti awam sudah menjadi universiti Melayu (bahasa pengantarnya dominan Melayu, dan begitulah juga dengan komposisi pelajar dan pekerjanya) sekurang-kurangnya sejak 1987 (tahun keramat semua universiti awam melahirkan prasiswazah aliran Melayu dalam semua bidang kecuali perubatan). Satu-satunya universiti swasta pada masa itu ialah UIAM yang menggunakan bahasa Inggeris dan Arab sebagai bahasa pengantarnya.

Sejak kemeriahan bahasa Melayu 1987 itu, dianggarkan sekurang-kurangnya secara puratanya 4 ribu prasiwazah SAKTI aliran Melayu dihasilkan oleh universiti-universiti awam kita setiap tahun. Jika dilihat dalam bidang teknologi maklumat (TM) pula, suatu bidang yang sering difitnahkan sebagai tidak layak diajar apatah lagi dimajukan atau dibangunkan dalam bahasa Melayu kerana kepantasan perkembangan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dan kononnya pelajar aliran Melayu tidak mampu mengikutinya, maka data di UKM sahaja pun menyangkal keras prasangka buruk dan jahat ini. Pertamanya, bidang ini telah diajar dalam bahasa Melayu di UKM sejak tahun 1975 lagi di bawah program sains komputer, dan ijazah dalam bidang ini pertama kali dikeluarkan oleh UKM mulai 1979, walaupun Fakulti Teknologi Maklumat UKM hanya ditubuhkan pada tahun 1994 sahaja. Fakulti TM, sains maklumat, sains komputer atau gabungannya di IPTA lain telah beberapa tahun ditubuhkan lebih awal daripada 1990 lagi yang semua programnya dijalankan di dalam bahasa Melayu juga. Umpamanya Fakulti Sains Komputer dan Sains Maklumat (FSKSM) di UTM ditubuhkan pada 1984 lagi. Tetapi sebelum tertubuhnya fakulti ini pun, sejak 1985 lagi UTM sudah pun melahirkan puluhan prasiswazah TM dalam aliran Melayu setiap tahun (Sila rujuk sesawang UTM). Sejak 1994 tidak kurang daripada 2 ribu orang prasiswazah SAKTI setahun, termasuk kira-kira 200 orang prasiswazah TM setahun, dapat dikeluarkan oleh setiap lima buah universiti awam besar (UKM, UM, UPM, USM dan UTM) dan semuanya dalam bahasa Melayu, tertutamanya selepas 1982). Contohnya, dalam konvokesyen UKM 2001, seramai tidak kurang drp 2500 orang pelajar SAKTI dianugerahi ijazah pertamanya masing-masing termasuklah bidang TM seramai tidak kurang drp 400 orang (Buku cenderamata konvokesyen UKM 2001. Perincian data prasiswazah UKM sehingga 1994, lihqat risalah Intisari UKM 1995). Kejayaan Malaysia dalam pembangunannya sejak 1974 (semenjak prasiswazah aliran Melayu wujud) dan dengan pesatnya dalam tahun 1980-an dan 1990-an itu tentunya sebahagian besarnya berupa sumbangan para lulusan aliran Melayu juga, sekurang-kurangnya mereka yang memperoleh pendidikan sains dan matematik sehingga ke peringkat SPM. Kenapalah pemimpin kita lupa bahawa dalam tempoh itu juga, menerusi pendidikan alairan Melayu inilah puluhan ribu setahun pelajar Malaysia mampu bersaing di universiti antarabangsa (di negara-negara berbahasa Inggeris, negara-negara di Eropah, Jepun, negara-negara Arab dan lain-lain lagi) dengan membawa pulang ijazah masing-masing (termasuklah Melayu sekitar 5 ribu setahun itu).

Pencapaian Siswazah

Sementara itu, siswazah Sarjana aliran Melayu (kursus dan/atau tesisnya dalam bahasa Melayu) dalam bidang sains dihasilkan pertama kalinya pada tahun 1980 (geologi) dan Doktor Falsafahnya (D. Fal.) pada tahun 1985 (sains hayat) yang kedua-duanya di UKM. Sarjana dalam TM (teknologi maklumat, bidang yang paling kerap dikatakan tidak sesuai/mampu dalam bahasa Melayu) dihasilkan mulai 1985 di UKM atas nama sains komputer; manakala peringkat D.Fal. dalam bidang TM dihasilkan mulai 1998. Sejak 1980 hingga 2002 UKM sahaja telah menghasilkan kira-kira 2 ribu buah tesis Sarjana dan D. Fal., dan dalam bidang TM sahaja sejak 1995 hingga kini UKM telah menghasilkan hampir 300 buah tesis. Jika universiti awam lain dianggap juga menghasilkan siswazah Sarjana dan D.Fal. dengan tesisnya dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 1990 (7 tahun selepas semua program ijazah pertamanya dalam bahasa Melayu) maka ribuan tesis lagi terhasil dari universiti-universiti awam lain itu. Sejak 1990-an juga setiap tahun beberapa orang sarjana SAKTI Malaysia yang berpendidikan aliran Melayu sekurang-kurangnya sehingga SPM berjaya menggodol hadiah rekacipta bertaraf dunia yang diadakan di Eropah. Yang lainnya, ada yang beroleh hadiah tesis Ph.D yang terbaik dan sebagainya di universiti-universiti terkemuka di seberang laut. Semua ini menyangkal dakwaan jahat yang kononnya lulusan aliran Melayu tidak berdaya saing atau tidak bertaraf dunia.

Pencapaian Dunia Akademia

Sekurang-kurangnya sejak 1994 lagi peratusan akademiawan bidang SAKTI universiti-universiti di Malaysia yang berijazah pertamanya dalam aliran bahasa Melayu dari UKM sahaja pun cukup ramai, iaitu melebihi 30% (UKM 44% bidang S & T dan 29% bidang kesihatan, UPM 24% , UTM kira-kira 46%). Kini dianggarkan lebih daripada 50% kaki tangan akademik universiti-universiti kita terdiri daripada mereka yang sekurang-kurangnya berijazah pertamanya dalam aliran Melayu. Ramai daripada mereka ini sudah membuktikan kehebatan pendidikan dalam aliran bahasa Melayu di antarabangsa pun menerusi forum-forum akademianya (penerbitan, persidangan dan sebagainya yang bertaraf dunia) dan peggondolannya hadiah di pertandingan rekacipta antarabangsa dan sebagainya.

Pencapaian Pengimbangan Kaum dalam Dunia Keikhtisasan SAKTI
Kejayaan pendidikan aliran Melayu juga dapat dilihat daripada segi kejayaan kita mengimbangi komposisi kaum dalam pelbagai sektor selain daripada sektor akademik. Dalam tahun 1999, arkitek Melayu 29% (tahun 1970 hanya 4%), doktor gigi Melayu 35% (tahun 1970 hanya 3%), doktor haiwan 43% (tahun 1970 hanya 4%), doktor perubatan lain 37% (tahun 1970 hanya 4%), juru ukur 45% (tahun 1970 tiada datanya tetapi dipercayai tidak banyak jauhnya dearipa 4% itu) dan jurutera 27% (tahun 1970 hanya 7%). Pemimpin-pemimpin persatuan berasaskan SAKTI kini kira-kira 50% orang Melayu (tahun 1970 dahulu datanya tiada, tetapi tentunya tidak lebih daripada angka 4%-7% itu). Dalam dunia akademik dan penyelidikan SAKTI, peratusan Melayu dikira sudah tidak seimbang lagi, iaitu melebihi 80% kecuali kesihatan sekitar 50%, geologi sekitar 60% dan farmasi 70%. (Lihat juga Rajah 1, manakala perincian data ini ada dipaparkan dalam Shaharir 2002).

Pencapaian dalam Pengantarbangsaan SAKTI Melayu

Selain daripada kejayaan dalam pencapaian pertandingan rasmi atau tidaknya di arena antarabangsa di kalangan para lulusan atau sarjana Malaysia beraliran Melayu yang tersebut di atas, pengantarabangsaan bahasa SAKTI dan bahasa Melayu juga berlaku menerusi puluhan ribu tesis Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bahasa Melayu yang disebut di atas itu. Ini berlaku apabila para sarjana luar negara terpaksa merujuk tesis-tesis ini apabila mereka ingin mengetahui dengan lebih terperinci lagi akan ilmu ciptaan siswazah Malaysia itu apabila mereka mengetahui kewujudannya menerusi penerbitan atau forum-forum ilmiah (seminar dan sebagainya). Satu lagi kejayaan besar pendidikan SAKTI aliran Melayu ialah kejayaan kita mewujudkan para sarjana yang berfikir secara nasional walaupun bekerja di antarabangsa sehingga mereka ini mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi istilah bidangnya masing-masing. Dalam bidang zoologi umpamanya kini sudah lebih daripada 300 istilah haiwan dalam bentuk L M dengan L dalam bahasa Latin dan M dalam bahasa Melayu daripada warna seperti hijau, jalur, tompok, dan sebagainya (contohnya, Arthrotus hijau); atau kata sifat seperti ajaib, cantik, lawa, indah dan sebagainya; atau daripada nama tempat di Malaysia seperti pahangi (drp Pahang); atau nama orang Melayu seperti ismaili (drp Ismail) seperti yang dipaparkan oleh Muhammad Salleh (2002). Penulis ini sendiri memperkenalkan istilah resapion (drp resap + ion) dalam karyanya yang telah diantarabangsakan. Ini mustahil berlaku jika SAKTI kita tidak dalam aliran Melayu sebagaimana yang terbukti pada sarjana kita di Universiti Malaya sebelum 1983. Sekaligus terbuktilah juga kekosongan dakwaan “maju bangsa majulah bahasa” itu.

Masalah Pendidikan SAKTI dalam Aliran Melayu

Di samping kejayaan demi kejayaan yang tercapai menerusi pendidikan SAKTI dalam bahasa Melayu itu, sepertilah juga dengan aliran bahasa lain di dunia ini (termasuk aliran Inggeris di UK dan Amerika Syarikat pun!), pendidikan dalam bahasa Melayu telah tidaklah menghapuskan semua masalah pendidikan orang Melayu yang dihadapinya selama ini. Malangnya, bagi pencita dan pengagum bahasa Inggeris (dan mungkin sekali kebudayaannya) masalah-masalah ini kononnya disebabkan oleh bahasa Melayu secara intrinsiknya. Mereka percaya pula masalah-masalah yang masih wujud itu kononnya semuanya dapat diselesaikan menerusi penghayatan bahasa Inggeris dalam pendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris bahkan dalam seluruh kehidupan ini seperti yang nampaknya diimpikan oleh pemimpin besar Melayu Selangor.

Pihak-pihak yang memang gembira atau terpaksa bersetuju dengan dasar baru kerajaan mengenengahkan pelbagai helah untuk menegakkan akan wajarnya dasar itu dan ini dibicarakan satu persatunya di bawah ini.

Pantasnya sains dan matematik berubah

Helah kewajaran dasar bahasa baru di sekolah yang sering disuarakan ialah betapa sains dan matematik kini pantas berubah dan tidak mungkin dikejar dalam bahasa Melayu. Mereka ini lupa bahawa seseorang perlu menguasai asas-asas sains dan matematik itu dahulu sebelum terlintas atau termampunya seseorang itu mahu mengejar ilmu berkenaan itu. Jikalau diajar dalam bahasa sendiri pun kebanyakannya tidak dapat menguasai asas-asa itu, masakan berlaku sebaliknya jika diajar dalam bahasa bukan bahasa ibundanya? Mereka juga lupa atau jahil betapa sains dan matematik sekolah adalah ilmu asas ynag berumur ratusan tahun dan tidak berubah sedikit pun, apatah lagi kononnya berubah-ubah menerusi bahasa Inggeris sahaja, sehingga tidak dapat dikejar dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris itu. Ini satu pembohongan semata-mata! Malah sains dan matematik di peringkat universiti (peringkat ijazah pertama) pun hampir tidak berubah juga. Yang berubahnya, selain daripada ilmu di peringkat pasca-siswazah, ialah teknologi terutamanya teknologi komputer sahaja, dan itu pun bikan menerusi bahasa Inggeris sahaja, tetapi banyaklah siswazah aliran Melayu (dan tidak semua aliran Inggeris pun) selama ini memang mampu mengikuti perkembangan itu. Mungkin yang boleh diterima tak mampunya Malaysia (di bawah sistem pendidikan Melayu selama ini dan Inggeris sebelum itu!) ialah membuat inovasi sendiri atau mencipta yang baru sendiri. Tetapi penginovasian dan penciptaan tiada memihak kepada bahasa Inggeris sahaja! Malah sehingga kini orang Inggeris sendiri umpamanya bukanlah penginovasi atau/dan pencipta yang biak/produktif atau terhandal!

Bahasa Inggeris kunci ajaib-sakti penguasaan sains dan matematik

Satu lagi helah pewajaran dasar bahasa di sekolah ialah kononnya belajar dalam bahasa Inggeris boleh mempercepatkan dan meningkatkan pencapaian orang Melayu khususnya menguasai sains dan matematik. Mereka ini mengeluh (seolah-olah merekalah sahaja yang prihatin!) kerana dengan pendidikan dalam bahasa Melayu selama lebih 40 tahun pun pencapaian Melayu yang cemerlang masih ketinggalan berbanding dengan kaum Cina. (Memang! Mengikut perkiraan penulis nisbahnya kira-kira 1: 9 di peringkat SPM dan 1:19 di peringkat universiti tempatan). Mereka ini berhujah dengan yakin dan sombongnya (mungkin kerana kuasa di sebelahnya!) bahawa kononnya dengan dasar pengInggerisan pendidikan sains dan matematik sekolah, pada mulanya orang-orang Melayu mungkin akan menurun lagi pencapaiannya kerana masalah bahasa Inggeris itu, tetapi kemudiannya, atas kesedarannya, tekanan dan sebagainya, orang Melayu (di luar bandar sekali pun) akan menguasai bahasa Inggeris dan seterus dapat menguasai sains dan matematik dengan lebih baiknya. Tidak lama selepas itu kononnya kita akan menjadi pencipta SAKTI! Hujah taajub inilah juga yang menyebab mereka ini mencanangkan slogan “maju bangsa majulah bahasa” kerana kononnya bahasa Melayu sekarang tak maju-maju dan tiada siapa yang mahu belajarnya kerana orang Melayu mundur, sedangkan apabila Melayu maju kelak (menerusi bahasa Inggeris itu) maka baharulah bahasa Melayu pun akan turut menjadi maju dan ingin dipelajari oleh orang-orang lain seperti bahasa-bahasa negara maju sekarang. Ini memang hujah sewel, membodohkan rakyat dan berharapan kosong sahaja. Tiada bukti dalam dunia ini, dan tidak masuk akal sesiapa pun yang waras dan ikhlas, yang kaedah sebegini memang berjaya seperti yang di-Mat-Jeninkan itu.

Kejayaan lebih daripada 5 ribu setahun pelajar Melayu dalam aliran Melayu memperoleh ijazah dalam aliran pelbagai bahasa di seberang laut, terutamanya dalam bahasa yang kerajaan begitu perihatin dan sangsi kebolehan anak Melayu, iaitu bahasa Inggeris, menyangkal tohmahan yang kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu semakin melemahkan Melayu, tidak berdaya saing dan sebagainya itu. Pencapaian anak-anak Melayu berbanding dengan bukan Melayu di semua peringkat sebenarnya jauh meningkat berbanding dengan zaman pendidikan bukan dalam aliran Melayu dahulu, walaupun jurangnya masih luas. Sudah ramai anak Melayu yang malah dapat berada di universiti-universiti terkemuka di dunia, di Amerika Syarikat dan di United Kingdom, dan bersama-sama dengan yang di universiti lain ramai pula yang beroleh kelas pertama pun. Jika pencapaian ini dicampurkan dengan yang di dalam negara, maka jurang pencapaian Melayu dengan suku kaum lain di Malaysia tidaklah seburuk yang digambarkan itu, malah mungkin sekali sama dengan jurang di peringkat SPM itu sahaja (yang perlu diakui masih luas jurangnya). Tetapi hipotesis yang nampaknya begitu dipercayai oleh UMNO bahawa jurang ini dapat disempitkan apabila bahasa pengantar ilmu sains dan matematik dijadikan dalam bahasa Inggeris adalah suatu yang di luar khayalan dan kefahaman orang-orang yang tidak terserkap/terpesona dengan bahasa Inggeris. Malah hampir semua kajian berhubung dengan hal ini yang dilakukan di luar negara memang menunjukkan sebaliknya! Tidak ada sebab seseorang tidak mahu mempercayai kajian ini. Lebih-lebih lagi apabila seseorang menyedari sebahagian besar negara maju sekarang (apatah lagi dahulu) bukannya negara yang sistem pendidikannya dalam aliran Inggeris!

Di dalam ketaasubannya kepada kebudayaan Inggeris, mereka ini sengaja enggan menerima hakikat tiada apa yang istimewanya bahasa Inggeris dalam penentuan tahap kejayaan atau pencapaian pendidikan atau penciptaan dan pembangunan SAKTI. Mereka ini seolah-olah lupa bahawa setiap negara maju di dunia ini yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kehidupannya atau bahasa pengantar pendidikan SAKTI negaranya. Dalam pembangunan dan penciptaan SAKTI amatlah jelas perkara ini kerana para ahli SAKTI besar dunia tidak didominasi oleh mereka yang berbahasa ibundanya Inggeris, atau mereka yang melalui sistem pendidikan aliran Inggeris sahaja, walaupun benar bahasa Inggeris semakin meluas penggunaannya sebagi bahasa komunikasi antarabangsa. Ini dibuktikan lagi oleh hasil ujian berkala empat tahun terhadap pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh dunia (kira-kira 40 buah negara yang mengambil bahagian) oleh pengkaji di Amerika Syarikat di bawah tajaan NSF-nya. Kini sudah 4 kali dilakukan dan kali terakhirnya setakat ini ialah 1999 (lihat Newsweek December 2, 1996 dan Internet 1; sepatutnya ada ujian ini tahun 2003 tetapi tiada berita yang kami peroleh setakat ini). Setiap kali kajian itu, hasilnya sepatutnya menyedarkan para pemabuk bahasa Inggeris di Malaysia ini kerana pencapaian negara-negara berbahasa Inggeris sekalipun (Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, dan Ireland) mendapat kedudukan yang ke bawah daripada negara-negara lain (yang tidak berbahasa Inggeris). Yang menariknya lagi Thailand (yang menggunakan bahasa sendiri) berprestasi yang sebanding dengan negara-negara berbahasa Inggeris itu, dan negara yang menggunakan bahasa asing (bahasa penjajahnya seperti Sepanyol, Pertugis, Perancis dan Inggeris) dalam sistem pendidakannya mendapat tempat corot. Negara kita (yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan sehingga kini dan oleh itu kononnya tidak berdaya saing itu) masuk dalam penilaian ini hanya tahun 1999 dan pencapaian kita juga agak baik, iaitu dapat mengatasi kebanyakan negara yang berbahasa yang para pemimpin kita citai dan kagumi itu (bahasa Ingeris) dan mengatasi Phillipina (yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikannya). Satu-satunya negara yang tidak menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya tetapi berprestasi baik ialah Singapura. Tetapi ini pun sepatutnya tidaklah begitu merayakan golongan pencita bahasa Inggeris di Malaysia (dan di mana-mana jua) kerana prestasi Singapura dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa yang lain lagi tidaklah pula membanggakan seperti dalam Olimpiad subjek-subjek sains sekolah yang dibicarakan di bawah ini. Tidak hairanlah, sejak 1999, Singapura sendiri tidak lagi percaya dasar ekabahasanya (bahasa Inggeris sahaja) dalam sistem pendidikannya boleh menjayakan Singapura pada masa hadapan kerana penyelidikannya membuktikan hanya sekitar 40% sahaja rakyatnya yang berpotensi menguasai bahasa Inggeris walaupun jumhur rakyat Singapura memang mengimpikan menjadi Barat lalu semakin ramai menjadi karikatur Barat. Ekoran daripada itulah pemerintah Singapura mengubah sistem pendidikannya kepada dwibahasa (Inggeris & Mandarin; atau Inggeris & Melayu) sambil mewujudkan kempen besar-besaran kepada keperluan nilai-nilai Konfusisme sehingga 1999 dikatakan sekurang-kurangnya 60% pelajar Sekolah Singapura berpendidikan sekolah rendahnya dalam dwibahasa Cina-Inggeris (Lihat internet 3).

Kedudukan negara-negara dalam pertandingan tahunan Olimpiad Antarabangsa Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi juga lebih kurang seperti kedudukan dalam ujian yang tersebut di atas juga, iaitu kedudukan pertama hingga sepuluh 10 digondol oleh negara-negara yang bahasa pengantar sekolahnya dalam bahasa ibundanya. (lihat internet 4). Umpamanya, Olimpiad Matematik Antarabangsa 2002 menintakan Republik China sebagai johan, diikuti oleh Rusia dan Amerika Syarikat, Bulgaria, Vietanam, Korea Selatan, Taiwan, Romania, India (satu-satunya bukan bahasa ibunda), dan Jerman. Olimpiad dalam Fizik 2002 tidak dapat diketahui tetapi dalam 2001, pemenangnya pertamanya dari Rusia diikuti oleh Iran, Belarus, India, Poland, Republik China, Amerika Syarikat dan Taiwan. Olimpiad dalam Kimia 2002 dimenangi oleh Republik China diikuti oleh India, Poland, Taiwan, Ukrain dan Korea Selatan. Olimpiad dalam Biologi dimenangi oleh Republik China diikuti oleh United Kingdom, Rusia, Taiwan, Korea Selatan. Dalam pertandingan-pertandingan Olimpiad ini, Singapura mengatasi negara-negara ASEAN hanya dalam bidang Biologi sahaja dan Phillipina (satu lagi sistem pendidikan yang nampaknya diidami oleh Malaysia kerana Inggerisnya) berada di corot! Mungkin para citawan Inggeris menonjolkan India pula, tetapi kenapa tidak negara-negara lain itu? Semuanya ini hanya manifestasi hukum sosial tentang kerelevanannya bahasa sendiri dalam pembangunan dan juga menunjukkan adanya faktor lain lagi dalam pencapaian ilmu, bukannya soal kesuperioran bahasa Inggeris seperti yang dibayangkan oleh dasar bahasa kerajaan yang baru ini. Tetapi, pemimpin Malaysia kini nampaknya membayangkan sikapnya yang berpendirian “lebih baik rakyat Malaysia ramai berbahasa Inggeris dalam kehidupan hariannya daripada berilmu tetapi tidak tahu Inggeris seperti Jepun”.

Aliran Melayu monyok, lemah dan tak boleh kerja dalam negara sendiri apatah lagi bersaing di antarabangsa

Pandangan bahawa lulusan aliran Melayu adalah lemah, tak boleh bekerja dan tidak boleh bersaing secara seluruhnya itu adalah satu tohmahan yang berniat jahat sahaja. Kejayaan lulusan sekolah pelajar-pelajar aliran Melayu yang diperihalkan pada awal makalah ini jelas menyangkal dakwaan ini. Kelemahan sana-sini tetap ada dan malangnya kelemahan itu ialah kerana sikap kita sendiri sahaja seperti yang dijelaskan di bawah ini.

Laporan jejak prasiswazah UKM yang dilakukan oleh Sham Sani et al. (1983) dan Faridah et al. (1987) kedua-duanya tidak banyak menimbulkan masalah keupayaan ilmu pada lulusan UKM (aliran Melayu) malah ada kemahiran lulusan UKM yang mengatasi lulusan dari universiti-universiti lain (dari luar atau dalam negara seperti aspek penyelidikan). Tetapi kedua-dua laporan itu memang ada menimbulkan budaya komunikasi dalam bahasa Inggeris di swasta yang tidak cocok dengan lulusan UKM, dan ini menunjukkan masyarakat kita, khususnya swasta, tidak pernah dan tidak mahu berubah dalam aspek kebahasaan ini. Inilah yang anehnya dan tidak kenanya dengan bangsa Melayu yang sudahpun ditonjolkan dengan sedih dan kesalnya oleh Munsyi Abdullah pada awal kurun ke-19M dahulu lagi, yang tidak berlaku pada bangsa lain yang maju di dunia ini, iaitu bangsa yang tidak mahu menggunakan atau memajukan bahasanya sendiri.

Masalah yang terjadi kepada lulusan aliran Melayu sebenarnya ciptaan orang Malaysia sendiri sahaja, yang boleh dihindari jika minda elitawan dan majikan Malaysia berubah. Perbuatan siapakah sehingga walaupun sudah ratusan ribu siswazah aliran Melayu terhasil, namun bahasa Melayu di sektor berpengaruh (sehingga 2003, selain pendidikan) masih menjadi melukut di tepi gantang? Dalam keadaan ini sudah tentulah lulusan aliran Melayu menghadapi masalah komunikasi di mana sahaja mereka bekerja samalah juga dengan lulusan Inggeris yang bekerja di Thailand atau Jepun umpamanya. Mereka ini menjadi monyok buat seketika. Sepatutnya kerajaan yang betul wawasannya semestinya menyalahkan golongan elitawan kita, bukan sistem pendidikan aliran Melayu itu yang dihina dan dicela. Sepatutnya kerajaan tidak membiarkan DBP sahaja terkial-kial menjalankan Minggu Bahasa Kebangsaan Swasta yang gagal itu. Sepatutnya kerajaan menawarkan berbagai-bagai bentuk insentif kepada swasta supaya mereka menggunakan bahasa rasmi negara dalam urusannya, bukannya membiarkan swasta yang menentukan nasib bahasa rasmi negara seperti yang berlaku selama ini.

Keberanian golongan citawan Inggeris muncul dengan hebatnya sejak 1990-an kerana sikap liberal kerjaaan dan arus sejagatisme serta kemelesetan ekonomi negara. Pangkungan mereka kepada lulusan aliran Melayu dan dunia akdemik Malaysia amnya menjangkau kepada tuduhan kononnya akademikawan selepas peMelayuan sistem pendidikan negara kurang bermutu berbanding dengan yang di UM pada zaman berbahasa Inggeris dahulu. Namun kajian Shaharir (1996) berasaskan pada karya-karya akademik para pensyarah UM (1966-1971) dan UKM (1980-1985) menunjukkan prestasi ahli akademik di kedua-dua universiti itu (dalam tempoh kajian itu) tidaklah berbeza sangat dalam kebanyakan bidang SAKTI, walaupun dalam bidang sains hayat dan matematik nampaknya pencapaian di UM lebih rendah, dan sarjana UKM jelas mengatasi UM dalam penulisan buku-buku teks pengajian tinggi. Pendeknya, dakwaan para pengkritik bahawa sarjana kita pada zaman pendidikan aliran Melayu kurang bermutu daripada yang pada zaman aliran Inggeris dahulu adalah curahan sentimen melulu dan nita jahat semata-mata.

Masalah pengangguran siswazah di Malaysia yang dikaitkan semata-mata dengan pendidikan aliran Melayu memanglah berniat jahat. Sebenarnya pengangguran itu lebih merupakan indeks keadaan ekonomi semasa sahaja dan indeks taburan pemilikan perusahaan mengikut kaum, bukannya indeks tahap kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sebesar seperti yang digembar-gemburkan itu. Bukankah sebelum Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi siswazah aliran Melayu (bidang SAKTI) tetap memperoleh pekerjaan, dan bukankah siswazah di India dan di Phillipina yang beraliran Inggeris itu juga tidak mendapat pekerjaan di negara masing-masing?

Pendidikan dalam bahasa Melayu tidak digemari, memisahkan kaum dan tidak mampu menjadi bahasa perpaduan

Gambaran bahawa kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu selama ini tidak berjaya kerana Cina tidak mahu belajar di sekolah aliran Melayu dan orang Melayu sendiri semakin lari daripada sekolah Melayu itu adalah suatu yang tidak tepat sama sekali. Di peringkat sekolah rendah memanglah betul tetapi amat wajar. Tetapi di peringkat yang lebih tinggi berlaku sebaliknya. Sebenarnya, hanya segelintir yang kecil sahaja pelajar aliran Cina ini meneruskan pengajiannya dalam aliran Cina di peringkat sekolah menengah. Lebih daripada 80% menukar aliran ke Sekolah Kebangsaan (aliran Melayu) apabila mereka memasuki Sekolah Menengah walaupun mereka ini terus, dan memang wajar, mengambil bahasanya sebagai satu daripada mata pelajarannya. Aliran Melayu tidak gagal! Kepopularan Sekolah Agama pula tidak bermakna aliran Melayu gagal, kerana sekolah itu juga aliran Melayu! Apa salahnya? Pengaliran seperatusan kecil orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah aliran agama SAR atau sekolah agama swasta (jika ada) hanya menunjukkan kekurangan sekolah Kebangsaan dalam mata pelajaran Agama dan bahasa Arab sahaja. Jika faktor ini dapat diperbaiki di sekolah Kebangasaan, trend orang Melayu ke sekolah ‘aliran agama’ itu tentunya akan dapat dihentikan. Betapa sekolah aliran Melayu menarik perhatian ibu-bapa India sehingga hampir 50% ibu-bapa India menghantar anaknya ke Sekolah Rendah aliran Melayu tidak pula ditonjolkan. Kejayaan pelajar-pelajar Cina dan India di universiti-universiti awam (dalam bahasa Melayu) dan bagaimana pelajar-pelajar ini lebih selesa berbicara dalam bahasa Melayu sesama mereka dan dengan pelajar Melayu adalah tanda kejayaan pendidikan Melayu. Kenapa pemimpin Melayu nampaknya lebih suka jika mereka ini bercakap Inggeris pula? Bagaimana boleh bahasa asing menjadi bahasa perpaduan sedangkan kita telah pun melalui zaman itu sebelum 1970-an, dan perpaduan kita yang dibangga-banggakan selama ini tentunya manifestasi sistem pendidikan aliran Melayu.

Tiada kena mengenanya Identiti bangsa dengan aliran bahasa Pendidikan?

Mereka yang menegakkan teori bahawa kononnya pendidikan dalam aliran Inggeris sepenuhnya pun tidak akan menjejaskan identiti, kepatriotan dan kebudayaan, khususnya bahasa, bangsa apa pun di Malaysia, sebenarnya mereka yang sengaja tidak mahu mengiktiraf betapa bahasa itu jiwa bangsa, bahasa mempengaruhi keperibadian, tingkah laku, nilai dan cara hidup (kebudayaan) seseorang. Pencerap sosial manakah yang sanggup menyatakan China di Amerika sama dengan China di Benua China, atau China di Malaysia sekalipun! Pencerap sosial manakah yang sanggup memejamkan matanya untuk menegaskan bahawa Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran Inggeris dahulu sama dengan Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Melayu pasca-Merdeka, atau Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Arab? Melayu mana yang Melayu 100% adalah masalah perbezaan nilai kerana latar belakang pendidikan juga! Tetapi jika mengikut perlembagaan Malaysia sekali pun, orang yang tidak menggunakan bahasa Melayu di dalam sebahagaian besar kehidupannya (termasuk di rumah) tidak dianggap Melayu! Bagaimana kita boleh menjamin sebahagian besar daripada orang Malayu yang mendapat pendidikan hampir sepenuhnya dalam bahasa Inggeris akan sebahagian besarnya menghayati bahasa Melayu dalam kehidupan hariannya? Status penghayatan bahasa Inggeris sekarang pun (dalam keadaan dasar pendidikan kita hampir 100% bahasa Melayu) nampaknya masih mampu menjadi bahasa Melayu terpinggir, apatah lagi kelak dengan dasar bahasa baru ini? Pengecualian tetap ada, kerana itulah tabii hukum sosial. Sebagai contohnya, mengikut kajian sosial mutakhirnya pada 1999 (lihat internet 3), setelah kira-kira 20 tahun Singapura menjalankan dasar pendidikan ekabahasa (bahasa Inggeris sahaja), kira-kira 40% China Singapura menghayati bahasa Inggeris dalam kehidupannya (bahasa Inggeris menjadi bahasa ibundanya, dan mereka ini tidak boleh bercakap dalam bahasa China lagi) kerana sistem pendidikannya beraliran Inggeris sepenuhnya sekurang-kurangnya pasca-sekolah rendah. Ya, tiada siapapun mengatakan mereka ini menjadi orang Inggeris yang sama dengan orang Inggeris di England, walaupun pengkaji sosial mendapati mereka benar-benar mahu menjadi Inggeris dan menyukai kehidupan keInggerisan termasuklah keinginan tinggi memperisterikan atau mempersuamikan orang Inggeris. Tetapi bukan sahaja pencerap sosial Singapura, malah pemerintah Singapura juga mendapati (dan tidak senang) dengan tahap keChinaan (nilai-nilai murni China) para citawan Inggeris ini! Ini bermakna 40% China Singapura sudah bukan China yang diingini (bukan China 100%?) oleh bangsa China Singapura! Oleh itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dasar ekabahasa sudah diubah sedikit kepada dasar dwibahasa (Inggeris dan Mandarin) kepada sekitar 20% penduduk Singapura dengan menubuhkan beberapa buah sekolah khas dwibahasa ini.

Bala Perbuatan sendiri?

Penulis merasakan bala yang menimpa orang Melayu menerusi nasib bahasanya (dan kebudayaannya) yang diperkecil dan disingkirkan oleh pemimpinnya sendiri yang berlaku kini ialah angkara perbuatan kelengahan/kealpaan para peikhtisas dan sarjana SAKTI Melayu sendiri juga. Mereka ini yang seharusnya menjaga dan mengembangkan bahasanya bertindak seolah-olah sebaliknya dalam kehidupannya seperti yang dibicarakan di bawah ini.

Bahasa Melayu tak boleh hidup dalam dunia amalan keSAKTIan
Siswazah aliran Melayu sebenarnya berubah menjadi manusia yang tidak mahu berbicara dalam bahasa Melayu setelah mereka bekerja lima-enam bulan sahaja di swasta. Budaya berbahasa Melayu selama 3 atau 4 tahun di universiti pada tahap yang tinggi itu tidak melekat atau tidak dapat (tidak mahu/digalakkan/dibenarkan?) diamalkan dalam alam pekerjaannya akibat persekitarannya yang begitu kukuh dan kental dalam bahasa Inggeris, atau yang lebih dahsyat lagi kerana dasar organisasinya (penulis dimaklumkan umpamanya dalam perhotelan) sehingga sesiapa yang cuba menghayati bahasa Melayu dianggap ‘kurang cerdik’ atau ‘kurang berkebolehan’ atau ‘melanggar peraturan’. Sehingga kini perubahan minda para majikan atau elitawan Malaysia mungkin tidak dapat berlaku walaupun sudah ratusan ribu siswazah aliran Melayu berada di pasaran kerana bilangan yang sama atau lebih siswazah aliran Inggeris dari seberang laut dan kini dalam negara sendiri ada bersamanya dan sebahagian besarnya bukan bumiputera pula yang sentimennya kepada bahasa Melayu jauh lebih rendah daripada orang Melayu pula. Tetapi golongan peribumi yang dominan dalam sesuatu sektor SAKTI tidak pula memastikan tahap penghayatan bahasa Melayu tinggi kerana sifat Melayu Semenanjung yang pernah dikesali oleh Munsyi Abdullah pada awal abad ke-19 lagi itu, iaitu katanya Melayu ini satu-satunya bangsa dalam dunia ini yang tidak mahu menggunakan bahasanya sendiri!

Malah peratusan bumiputera/peribumi yang tinggi dalam dunia akademia lebih daripada 70% sejak 1990-an lagi tidak juga menjadikan dunia akademia di Malaysia berbudaya bahasa Melayu di dalam urusan kerjanya selain daripada pengajaran di bilik kuliah dan sebagainya. Ini jelas terpancar daripada karya mereka dalam jurnal dan pascasidang dalam negeri yang masih dominan dalam bahasa Inggeris, iaitu mengikut kajian Shaharir (1991) hanya 30% sahaja dalam bahasa Melayu dalam bidang kejuruteraan dan sains hayat, dan hanya sekitar 5 peratus sahaja dalam perubatan, walaupun dalam sains fizis (geologi, kimia dan fizik) dan sains matematik peratusannya agak tinggi iaitu sekitar 80%.

Angka-angka ini dalam tahun 1990-an pun tidak banyak berubah kerana mengikut kajian Shaharir (1996), hanya sekitar 40% daripada makalah-makalah dalam jurnal SAKTI keluaran UKM sejak 1983 hingga 1996 yang ditulis dalam bahasa Melayu. Jelas, kecuali bidang sains fizik dan matematik, penghayatan bahasa Melayu dalam forum akademia (penulisan jurnal dan persidangan tempatan) masih jauh drp memuaskan terutamanya dalam perubatan. Ini mungkin tidak menghairankan kerana peratusan peribumi atau bumiputera dalam dunia akademia perubatan ialah 50%, sedangkan peratusan itu dalam bidang-bidang lainnya melebihi 80%. Namun, tidaklah juga benar bahawa peratusan yang tinggi Bumiputera/Peribumi sahaja dengan sendirinya penghayatan bahasa Melayu pun tinggi. Malah, kajian tahun 1996 itu juga menunjukkan peratusan Bumiputera/Peribumi dalam komuniti akademia jurutera dan sains hayat juga sama atau melebihi bidang sains fizik dan matematik, tetapi jelas para jurutera Melayu dan ahli sains hayat Melayu sekalipun sengaja tidak mahu berkomunikasi dalam bahasanya sendiri.

Komuniti perubatan tentunya lebih hebat lagi keInggerisannya kerana pendidikan bidang ini pada peringkat penyudahnya (penting, iaitu peringkat klinik) selama 2 tahun memang dalam bahasa Inggeris. Komunikasi rasmi para doktor di hospital-hospital kerajaan masih tebal dalam bahasa Inggeris. Tetapi ini hanya penyinambungan budaya pendidikan dalam bidang perubatan yang memang masih tebal dalam bahasa Inggeris di peringkat kliniknya (tahun 4 dan 5) di UKM sekalipun. Baru-baru ini apabila penulis cuba mendapatkan tanda tangan daripada kalangan profesor perubatan di UKM bagi memorandum membantah dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah, hanya sekitar 40% sahaja yang bersetuju di kalangan Profesor Melayu tetapi tiada seorang pun daripada profesor bukan Melayu (berjumlah 12 orang). Namun para Profesor SAKTI bidang bukan Perubatan di UKM amatlah dominan menyokong bantahan dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah (iaitu sekitar 90%).

Betapa hebatnya penghayatan bahasa Inggeris dalam persatuan-persatuan ikhtisas dan semi-ikhtisan dalam bidang SAKTI memang tidak perlu diperkatakan dengan panjang lebarnya di sini. Satu daripada manifestasinya yang jelas dapat dilihat pada warkah berita atau buletin keluaran persatuan-persatuan yang anggotanya kebanyakannya akademiawan, dan Presidennya juga Peribumi/Bumiputera, hampir pasti dalam bahasa Inggeris [pada tahun 1995 penulis mendapati ada 40% persatuan SAKTI yang presidennya Melayu yang dapat dikesani, tetapi kini (tahun 2002) peratusannya meningkat menjadi 50% persatuan yang diketahui]. Bahasa komunikasi rasmi Akademi Sains Malaysia, badan yang anggotanya dianggap ahli SAKTI teratas Malaysia dan menjadi penasihat dasar SAKTI negara, adalah bahasa Inggeris. Tidak hairanlah juga, selain daripada kerana “takut”, tidak banyak persatuan-persatuan ini yang mahu menyatakan penentangannya terhadap dasar bahasa dalam pendidikan, iaitu hanya sekitar 30% daripada persatuan tersebut sahaja, dan tiada sebuah persatuan SAKTI berpresiden bukan Melayu yang mahu menyuarakan tidak senangnya terhadap dasar tersebut.

Penghayatan bahasa Melayu dalam sektor awam pun semakin merosot. Komunikasi ahli-ahli SAKTI dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dalam hal penyelidikan di bawah rancangan IRPA (singkatan Inggeris) tajaannya hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, terutamanya sejak 1994 kerana sejak itu semua borang permohonan penyelidikan dalam bahasa Inggeris dan laporan penyelidikan dikehendaki dalam bahasa Inggeris atas alasan demi memudahkan penilaian dari pembaca luar negara. Pengelasan bidang-bidang penyelidikan anjuran IRPA yang dibuat oleh agensinya, MASTIC (singkatan Inggeris lagi), semuanya dalam bahasa Inggeris dan syor penulis supaya dibuat dalam dwibahasa Melayu-Inggeris tidak dilayan langsung. Dalam urusan penenderan kerajaan yang berhubung dengan pembelian alat atau pembinaan bangunan SAKTI hampir semuanya masih dijalankan dalam bahasa Inggeris, walaupun urusan tersebut membabitkan urusan dalam negeri sahaja.

Tidak syak lagi, tabiat berbahasa Inggeris yang tebal di kalangan ahli SAKTI yang berpengaruh seperti perubatan dan jurutera di swastalah yang memberi gambaran dan kesimpulan (bagi sesetengah pihak) gagalnya, tidak relevannya, atau tidak cocoknya pendidikan SAKTI dalam bahasa Melayu: lain yang dilatih, lain yang diamal; cakap tidak serupa bikin; atau akademikawan SAKTI hidup bermuka-muka (di dalam bilik kuliah lain, di luarnya lain). Sekarang inilah padahnya!

Tiadanya buku SAKTI peringkat IPT dalam Bahasa Melayu

Satu perkara yang jelas menjadi faktor penyingkiran kesesuaian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan SAKTI ialah tentang kedaifan industri buku dalam bahasa Melayu. Andaian yang besarnya dan mudah diterima umum ialah, dengan ketandusan buku-buku dalam bahasa Melayu itu, pelajar universiti aliran Melayu tidak mungkin berilmu sehebat aliran Inggeris. Dengan penonjolan tidak putus-putus bahawa
kononnya “pelajar aliran Melayu buta Inggeris”, maka kesahihan andaian ini sukar ditepis. Para sarjana yang terbabit dengan pendidikan aliran Melayu selama ini tidak mengambil serius tentang perkara ini, walaupun imbauan demi imbauan dilakukan, dan berpuas hati dengan hanya memastikan pelajarnya boleh merujuk buku-buku dalam bahasa Inggeris itu sahaja. Mengikut data-data dalam Shaharir (1991) dan Mohd Yusof (1995), sehingga 1994 hanya sejumlah 1073 buah buku SAKTI peringkat IPT dalam bahasa Melayu yang ada. Ini jelas menunjukkan benarnya buku-buku SAKTI dalam bahasa Melayu amat tidak mencukupi kerana daya pengeluarannya hanya sekitar 80 buah setahun oleh hampir 2 ribu akademiawan bidang SAKTI , iaitu kira-kira 1 buah buku setahun bagi setiap 25 orang sarjana SAKTI (Mengikut Shaharir 1996, pada tahun 1994, bilangan akademiawan Bumiputera dalam SAKTI ialah 1863 orang: 984 orang berijazah D.Fal./Ph.D atau setara, dan 879 orang yang berijazah sarjana atau setara). Tidak hairanlah begitu banyak kursus yang belum ada sebuah bukupun dalam bahasa Melayu. Malah, mengikut kajian Shaharir (1991) hanya 30% daripada mata kursus dalam program bidang sains fizis dan sains matematik yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu; manakala bidang sains hayat hanya sebanyak 17% dan kejuruteraan hanya 6%. Kini, mengikut buku panduan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM 2002, bidang yang selalu dirujuk kerana peranan dalam TMK/ICT dan sejagatisme/globalisme itu, didapati hanya kurang daripada 10% daripada mata kursusnya yang ada buku teks/rujukan dalam bahasa Melayu. Dengan data yang seperti ini siapalah yang hendak percaya seseorang boleh menguasi ilmu TMK dalam pendidikan beraliran bahasa Melayu? Nah! Dunia akademik Melayu yang malas berkarya dalam penghasilan buku-buku tekas pengajian bidang masing-masinglah yang menyebabkan tertimpanya bala ke atas bahasa Melayu sekarang!

Ini adalah kelemahan perancang bahasa yang tidak cukup mengambil berat tentang perkara ini. Sebabnya berlaku demikian sudah dibincangkan dalam seminar khas berkenaan dengan perkara ini pada 2001 (lihat kumpulan kertas kerja di Seminar Penerbitan Buku Sains dan Teknologi 2001, khususnya makalah Shaharir 2001). Satu daripadanya yang ingin diulangi di sini ialah kekurangan keiltizaman kita terhadap penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Umpamanya, kita tidak beriltizam atau berwawasan mahu melahirkan sebuah institusi penterjemahan yang setara dengan Bait al-Hikmah pada Zaman Tamadun Islam, dan Pusat Terjemahan Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah yang bergerak cergas setiap satunya tidak kurang daripada 150 tahun sebelum tamadun-tamadun itu menghasilkan karya asli mereka sendiri. Institut Terjemahan Negara (ITN) kita baru sahaja ditubuhkan, iaitu 1993, tetapi ironinya mulai tahun yang sama jugalah negara mula mengubah dasar bahasanya, seperti membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam SAKTI mulai 1994, mewujudkan Akta Pendidikan IPTS 1995 yang memberi laluan yang mudah untuk penubuhan kolej atau universiti swasta dalam bahasa Inggeris (kini dikatakan sudah berjumlah 700 kolej sedemikian). Dasar pengInggerisan pendidikan “sains dan matematik sekolah” seluruhnya menjelang 2003 dan pendidikan SAKTI di universiti awam menjelang 2005 ini hanya padahnya sahaja!

Mengeyakan Globalisme/Sejagatisme Barat

Tidak syak lagi teori-teori sejagatisme/globalisme Barat yang sering dikutuk oleh pemimpin kita itulah juga yang mendorong atau mempengaruhi kerajaan kita melaksanakan peliberalan segala-galanya termasuklah pendidikan di negara kita ini semenjak 1990-an. Teknologi maklumat (TM) yang menjadi komponen pentakrif utama sejagatisme itu memanglah begitu meluas meresapi ke segenap kehidupan manusia kini dan memanglah boleh melemahkan jiwa-jiwa manusia negara ketiga. Tidak syak lagilah bahawa kewujudan pelbagai wahana komunikasi teknologi canggih ini dan limpahan perusahaan maklumat akan terus memberi peluang kepada bahasa-bahasa ilmu semasa, seperti bahasa Inggeris, untuk memperkukuh peranannya sebagai bahasa yang digunakan dalam dunia komunikasi antarabangsa. Keadaan inilah yang melahirkan ramalan berakhirnya bahasa-bahasa bukan bertaraf bahasa ilmu kini, berakhirnya negara-bangsa, dan berbagai-bagai lagi termasuklah berakhirnya kebudayaan dan sistem nilai lain daripada Barat itu. Inilah juga dipercayai pendorong besar kepada dasar pengInggerisan pendidikan Malaysia.

Gambaran bahana TM yang dikatakan bahananya tidak boleh dielak-elak lagi itu sebenarnya tidaklah semuanya tepat, kerana sebahagiannya lebih merupakan pandangan, retorik dan strategi perang saraf (tindakan melemahkan jiwa atau menakut-nakutkan negara membangun/ketiga) dari negara maju yang sengaja mahu meneguhkan lagi hegemoninya dan kelestarian kekuasaannya. Bahasa-bahasa negara maju sebelum mencapai tahapnya seperti sekarang ini juga mengahadapi perang psikologi yang sama, bahasa-bahasa di Eropah melawan bahasa Inggeris (sekarang) dan abad-abad sebelum abad ke-19 ialah Perancis, Latin, dan Arab; dan Jepun melawan bahasa-bahasa Eropah. Teknologi maklumat bukan sahaja menguntungkan negara-negara yang maju, tetapi juga bagi negara-negara yang sedang membangun. Syaratnya, kita tidak mudah mengalah kerana jika kita mengalah, kita akan kalah sepanjang zaman pada hari muka ini, tetapi jika kita bersabar membina tamadun kita sendiri, dalam acuan kita sendiri, seperti sejarah kemajuan negara-negara maju itu, yang antaranya tentulah menerusi bahasa kita sendiri, maka TM boleh membantu kita mempercepatkan pembinaan tamadun yang kita impikan itu. Sikap pemimpin Melayu yang mudah mengikut rentah analisis sarjana-sarjana Barat terhadap implikasi-implikasi TM kepada sesuatu bangsa itulah maka bahasa dan bangsa Melayu memang akan menerima padah yang diramalkan oleh penganalisis Barat tentang TM itu.

Feudalisnya, materialisnya dan buntunya fikiran Islamis Melayu

Bibit pengInggerisan semula pendidikan di Malaysia boleh dikatakan bermula pada tahun 1985 lagi apabila kerajaan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa yang tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa pengantarnya. Bahasa Melayu yang selama ini dianggap satu daripada bahasa yang paling akrab dengan Islam tidak mendapat tempat langsung di universiti tersebut. Tetapi para Islamis atau nasionalis Melayu kita tidak berbunyi apa-apa pun kerana tunduknya mereka kepada pemimpinnya yang disanjungi, sayang akan kedudukannya (pangkat dan/atau harta) atau yang lainnya kerana tidak mampu mensentisiskan dengan adilnya akan hubungan Islam dengan bahasa (kononnya Islam tidak relevan dengan bahasa sesuatu kaum). Kemudian bibit pengInggerisan ini merebak lagi apabila Perdana Menteri kita menyatakan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini semasa beliau meletakkan batu asas kampus tetap UIA (aliran Inggeris) pada 24 Ogos 1993 dan diulanginya beberapa hari kemudian pada perasmian UNIMAS (yang para pemimpinnya memang terkenal bercita-cita pengInggerisan) pada 31 Ogos 1993. Tiada yang mempersoalkan kaedah pelaksanaan cita-cita ini vis-a vis bahasa Melayu. Tidak berapa lama kemudian, pada 27 Disember 1993 (dilaporkan di media massa 28 Disember), Perdana Menteri kita juga mengisytiharkan bahawa universiti-universiti awam boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi, sedangkan semua universiti awam pada masa itu tidak menghadapi masalah yang besar pun dengan menggunakan bahasa Melayu. Perisytiharan yang cukup berkesan kepada nasib bahasa Melayu di IPT ini juga tidak ditentang dengan hebatnya oleh nasionalis Melayu yang bersarang dalam GAPENA, GPMS, Kesatuan Guru-Guru Melayu dan sebagainya itu kerana tidak ingin melukai pemimpin besar Melayu yang disanjunginya selama ini atau kerana mengenangkan kedudukan masing-masing. Ini manifestasi dalamnya feudalisme atau materialisme di kalangan para nasionalis Melayu.

Kemalapan bahasa Melayu ini menjadi semakin luas jangkauannya dengan termaktubnya Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1995 yang memberi laluan mudah pihak swasta mengabaikan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menubuhkan kolej/universiti dalam bahasa Inggeris sehingga kini dikatakan berjumlah lebih daripada 700 buah itu (hampir semuanya dalam bahasa Inggeris). Pada masa yang sama kerajaan juga memberhentikan peruntukan kepada DBP dalam penerbitan buku IPT. Semua ini berlaku dalam keadaan yang sepatutnya begitu menghiris kalbu, atau membakar kemarahan para nasionalis Melayu tetapi feudalisme dan/atau materialisme menagatasinya, sehingga lagi sekali gerakan bantahan kepada kedua-dua peristiwa ini tidak seberapa juga. Dalam soal penerbitan buku IPT itu, DBP sendiri seolah-olah menerimanya dengan lapang dadanya sahaja hinggalah ke hari ini.

Nah! Lulus jarum luluslah kelindan. Kini dengan penuh licik dan orkestranya dasar mengInggeriskan mata pelajaran “sains dan matematik” sekolah pun berjaya dilaksanakan mulai 4/5 Januari 2003 seperti yang dirancang. Itu pun para nasionalis masih tidak mahu menggores hati para pemimpin besarnya yang berkuasa. Bala sudah lengkap datangnya.

Malaysia boleh!

Hampir setiap negara yang mempunyai suku kaum minoritinya yang lemah dalam SAKTI dan bahasanya bukan bahasa pengantar pendidikan di negaranya mengadakan program pendidikan khas dalam sains dan matematik dalam dwibahasa (bahasanya dan bahasa pengantar rasmi) dengan tujuan menguatkan juga bahasa asing berkenaan. Buku-buku teks sekolah bagi kaum ini biasalah diselang-selikan dengan bahasa ibundanya, dan malah dibenarkan juga gurunya menjelaskan sesuatu konsep itu dalam bahasa ibunda pelajar berkenaan (lihat bibliografi beranotasi tentang perkara ini di internet 2). Langkah ini sebenarnya ekoran daripada adanya hasil-hasil penyelidikan dalam pendidikan, dan gerakan ilmuwannya dalam bidang etnosains dan etnomatematik (iaitu sains dan matematik yang dilihat daripada perspektif kaum), supaya sains dan matematik di peringkat sekolah rendah diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Di Amerika Syarikat kumpulan ilmuwan ini dalam matematik telah menubuhkan “The International Group of Ethnomathematics” sejak 1982 lagi. Tidak syak lagi juga tindakan ini adalah dipengaruhi oleh banyak hasil kajian yang menunjukkan bahawa tahap kefasihan bahasa pengantar ilmu seseorang pelajar mempengaruhi pencapaiannya dalam SAKTI dan oleh sebab itulah bahasa pengantar ilmu dalam bahasa ibunda seseorang adalah yang terbaik. Mereka ini juga tentunya tidak mahu tahu/percaya dengan pandangan Kuhnan sejak 1962 lagi (Kuhn 1962/1993) bahawa SAKTI itu tidak bebas bahasa dan kebudayaan amnya dan oleh itu pembangunan SAKTI menerusi bahasa dan kebudayaan yang berbeza itulah yang memberi persaingan hebat dalam penemuan/pembangunan SAKTI seperti yang terbukti sepanjang masa dan zaman. Model pendidikan ini, iaitu Inggeris +{bahasa ibunda pelajar} ternyata tidak menarik perhatian para pemimpin Melayu Malaysia yang berkuasa. Inilah agaknya manifestasi “Malaysia boleh!” membelakangi ilmu.

Hakikat bahawa sehingga kini belum ada negara yang mencapai tahap negara maju dalam bahasa asing negara tersebut memang tidak diendah langsung oleh pihak berkuasa Malaysia. Jawabannya mungkin “Malaysia Boleh!” sahaja. Hasil kajian (lihat umpamanya bibliografi beranotasi berkenaan bahasa dan matematik yang terdapat dalam internet 2) yang menunjukkan penguasaan sesuatu bahasa dahulu baharulah belajar SAKTI menerusi bahasa tersebut; dan pendidikan dalam bahasa ibunda adalah yang terbaik sekurang-kurang di peringkat sekolah rendahnya, malah sejarah pembangunan negara-negara maju membuktikan pendidikan dalam bahasa sendirilah yang paling berjaya lagi taidak mahu didengari. Kejayaan penyibaran ilmu semasa menerusi bahasa sendiri sudah menjadi hukum aqli dan naqli. Kejayaan Malaysia sehingga kini yang dibincang di atas hanya menambah dalil empirik kepada hukum ini. Begitu juga hukum pembangunan/pemajuan ilmu. Teori pendidikan dan penguasaan sesebuah bahasa juga tidak menyokong perbuatan menggunakan sains dan matematik sebagai caranya, malah cara ini akan menjejaskan pula prestasi mata pelajaran ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh kajian Marsh et al. (2000) di Hongkong dan kajian-kajian yang serupa di beberapa buah negara lain. Semua ini tidak memberi apa-apa pengajaran kepada kerajaan Malaysia.

Hukum kemajuan bangsa menerusi bahasanya sendiri, sebenarnya juga terkandung dalam al-Quran seperti dalam Surah Ibrahim, Ayat 4, dan Surah Ali ‘Imran, Ayat 164 yang bermaksud “Allah tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan daripada kalangan bangsanya sendiri agar mereka mudah memahami pengajaran ilmu (al-Kitab dan hikmah)”. Sesebuah negara yang tidak menginsafi hakikat ini, paling-paling baiknya negara-bangsa itu telah terbukti hanya menjadi karikatur daripada karikatur, komprador atau kreol sahaja!

Beberapa Syor

Walaupun tiada sarjana dunia yang membuat ramalan bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada bahasa yang akan lenyap dalam era TM dan kerenah pemimpin bangsa berkenaa, tetapi kemalapannya sebagai bahasa ilmu tentunya akan berlaku jika langkah-langkah yang positif dan berani terus dilakukan mulai sekarang. Antaranya ialah perkara-perkara yang dianggap unsur-unsur gagalnya pendidikan Melayu yang dibicarakan di atas itu perlulah ditangani seperti berikut:

S1. Kerajaan sekurang-kurang mestilahlah menjadikan pendidikan dwibahasa, Inggeris + {bahasa Melayu} dengan dominanya bahasa Melayu, dalam sains dan matematik di Sekolah-Sekolah Kebangsaan bagi menggantikan pendidikan ekabahasa (Inggeris sahaja) sekarang.

S2. Pihak berkuasa universiti awam perlulah kekal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Contohnya, cadangan struktur baru pengajian SAKTI seperti di lampiran makalah ini patutlah diwujudkan oleh setiap universiti awam sebagai asas rundingan dengan pihak Kementerian.

S3. Universiti awam perlu mewujudkan perancangan strategi yang bermatlamat menjadikan p/rogram perubatan (peringkat klinik) di IPTA berjalan dalam bahasa Melayu sehingga ke tahap 60% dalam tempoh 10 tahun .

S4. Universiti Islam Antarabangsa memastikan dengan segera, kerana kemampuannya yang jelas, mengiktiraf hubungan rapat bahasa Melayu dengan Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada kursusnya dalam bahasa Melayu dan seterusnya menuju kepada 60% dalam tempoh yang lebih singkat daripada universiti-universiti swasta yang lain.

S5. Institut Terjemahan Negara perlu bergiat cergas seperti Jabatan Karang Mengarang di SITC tahun 1950-an, Pusat Terjemahan Toledo abad ke-12M, dan Bait al-Hikmah di Baghdad abad ke-9M dengan sasaran yang munasabah dan penuh agresif seperti 1 buah buku setahun per 4 orang sarjana SAKTI (akan mengahsil kira-kira 500 buah buku setahun!). Sehubungan dengan ini IPTA (dan awam yang ingin ikut serta) diberi segala kemudahan prasarana (sumber) untuk penerbitan ini.

S6. Dewan Bahasa dan Pustaka menghidupkan kembali penerbitan buku-buku teks IPT walaupun peruntukan khusus untuknya tiada. Pada masa yang sama DBP perlulah berusaha tanpa jemu-jemu untuk meyakinkan Kementerian Pendidikan akan perlunya penerbitan buku peringkat IPT . DBP juga perlu merintis kerjasama penerbitan buku IPT dengan pihak Indonesia.

S7. Sebuah badan bukan kerajaan (BBK) seperti Persatuan Linguistik Malaysia bertindak menyatukan BBK yang turut memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bertindak bijak memepengaruhi kerjaaan supaya mengambil langkah-langkah yang berikut:

7.1. Kerajaan mengadakan berbagai-bagai insentif kepada syarikat (dalam bentuk cukai, subsidi dsbnya) yang menghayati bahasa Melayu dalam perjalanan urusan dan pentadbiran dalam sesuatu jabatan/bahagian syarikatnya. Sekaligus kerajaan atau mana-mana pihak perlulah memberhentikan rancangan memberi insetif kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasminya. Sehubungan dengan ini dasar peMelayuan swasta perlu dilakukan oleh Kerajaan

7.2. Kerajaan, menerusi LAN, meletakkan syarat ke atas kolej/universiti swasta supaya mengadakan dasar peMelayuan kolej/universitinya sebagaimana yang pernah dilakukan kepada IPT awam dalam tahun 1970-an dahulu, sambil memberi pelbagai insentif kepada kolej/universiti yang galak melakukannya.

7.4. Kerajaan perlu mengambil iktibar yang lebih lagi tentang sistem pendidikan SAKTI di negara-negara maju di Eropah khususnya konteks bahasa pengantar dan penguasaan bahasa Inggeris.

7.5. Kerajaan memastikan budaya berbahasa Melayu di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar perlulah ditingkatkan sehingga 60% daripadanya di dalam bahasa Melayu dalam masa yang singkat ini.

7.6. Kerajaan memansukhkan segala akta yang boleh memberi laluan mudah kepada sesiapapun mengelak daripada menggunakan bahasa Melayu perlulah dilakukan seperti memberi kuasa penuh kepada Menteri Pendidikan mengizinkan sesebuah institusi pendidikan menjalankan kursus dalam bahasa selain drp bahasa Melayu seperti dalam akta IPTS, pengizinan kpd Jabatan Hasil Dalam Negeri menggunakan bahasa Inggeris dalam “pentaksiran komputer dan perakuann pungutan dan penyiasatan” dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (semakan 1971) seksyen 41, pengecualian penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan kedoktoran di Kementeraian Kesihatan dalam Akta yang sama dan lain-lain lagi.

S8. Setiap kelompok sarjana, institusi dan badan swasta yang terlibat dengan TM berusaha memperbanyakkan bahan-bahan (perisian) TM dalam bahasa Melayu dengan mengingatkan pasarannya cukup besar iaitu di Alam Melayu ini dengan penduduknya melebihi 200 juta orang. Di samping itu sebuah Institut Kejuruteraan Perisian Malaysia bagi tujuan menyemarakkan lagi pengeluaran perisian itu perlulah diwujudkan dengan kerjasama kerajaan dan swasta. Sebagai kegiatan tambahannya, Institut ini bolehlah juga memfokuskan pengeluarannya bagi keperluan umat Islam.

S9. Sekolah agama rakyat (di bawah majlis agama negeri atau swasta) seluruh Malaysia perlulah mewujudkan persatuan seperti Dong Jiau Zhong itu dan sekaligus juga mewujudkan sebuah konsortium bagi menjaga kepentingan sekolah ini seperti mengadakan peperiksaan serta sijilnya tersendiri dengan sukatan pelajaran yang setara dengan yang di Sekolah Kebangsaan tetapi dalam aliran Arab dan Melayu termasuklah sains dan matematik dalam aliran Melayu.

S10. PLM-DBP menggembleng seberapa banyak BBK untuk membagankan/mencartakan strategi dan melaksanakannya dengan menjajak seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada kumpulan-kumpulan berpengaruh akan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini termasuklah juga tindakan membantu pihak-pihak yang memperjuangkan bahasa ibunda (selain daripada Melayu) dalam pendidikan di peringkat sekolah tadika dan rendah.

Rujukan

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971)

Akta Pendidikan 1995

Akta IPTS 1995

Akhbar perdana Mei 2002, khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian 16 Mei 2002

Buku Panduan IPT 1993/94

Faridah Karim et al. 1987. Laporan Kajian Prestasi Pelajar UKM.

Internet 1.http:// nces.ed.gov/timss/timss-r/figure_1.html. 12 Ogos 2002.
internet 2: http://www. Soton.ac.uk/rime/biblios/language.html. 12 Ogos 2002

Internet 3. Review of language, society and education in Singapore :http: //ccat.sas.upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 12 Ogos 2002

Internet 4.Taipkan International X Olympiad, X = Mathematics, Physics, Chemistry dan Biology. 10 Januari 2003

Intisari UKM. 1995. Bil. 4. Okt/Nov.

Kuhn, T. 1962/1993. Struktur Revolusi Sains. DBP.Terj. drp karya aslinya dalam bahasa Inggeris 1970 (snt. ke-2) drp snt pertamanya 1962

Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of instruction in Hong Kong High Schools: achievement growth in language and nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall Issue: 302-346

Mohamad Salleh bin Mohamed Said. 2002. Qua Vadis Taksonomi Serangga. Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM

Mohd. Ali Kamaruddin. 1981. Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi: UKM

Mohd. Yusof bin Hj. Othman. 1995. Penulisan sains dan teknologi dalamm bahasa Melayu: Satu tinjauan semasa dan masa hadapan. Konvensyen Penerbitan Kebangsaan. DBP: 4-6 Dis.

Newsweek 2 Dec. 1996

RML-RMDL. Laporan Rancangan Malaysia ke-5 hingga ke-8.

Shaharir bin Mohamad Zain. 2002. Berakhirnya SAKTI Melayu? Dewan Bahasa November

Shaharir bin Mohamad Zain. 2001. Masalah penerbitan buku pengajian tinggi dan strategi penyelesaiannya. Seminar Penerbitan Buku S & T anjuran UKM-DBP, 25 April 2001. Pascasidangnya diterbitkan oleh DBP 2002.

Shaharir bin Mohamad Zain. 1996. Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia menerusi bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali Haji 1996. Persatuan Linguistik Malaysia.

Shaharir bin Mohamad Zain. 1991. Tahap penghayatan bahasa Melayu dalam sains dan teknologi. Jurnal Dewan Bahasa. Dis., 1038-1051.

Sham Sani et al. 1983. Kajian Pengesanan Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia dari 1974-1980. Biro Penyelidikan dan Perundingan UKM.

Wawasan 2020. terj “Malaysia: The Way Forward” . Ucapan Dr. Mahathir Mohamad 28 Feb 1991 di Persidangan Pertama Majlis Perdagangan Malaysia K. Lumpur. Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Malaysia 1991


4. Kekeliruan Sikap dan Budaya Tun Mahathir

30/01/2009

Dato' Baha Zain, Ketua 1, PENA

Dato’ Baha Zain, Ketua 1, PENA

Dato’ Baha Zain
Ketua I
PENATun Dr. Mahathir menulis tentang “Mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” dalam blognya, chedet.com pada 10 Ogos, 2008. Tulisannya sepanjang 22 perenggan itu menjelaskan sebab beliau memutuskan supaya sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Sangatlah penting beliau memperjelaskan sendiri tindakannya itu, kerana isu kebahasaan dan pendidikan ini bukan perkara kecil. Keputusan Tun Mahathir mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk sains dan matematik sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri adalah keputusan yang membawa kesan sejarah buruk terhadap:

a. kedudukan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan Malaysia, sebagai bahasa ilmu;
b. Pendidikan pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah; dan
c. Jati diri dan tamadun bangsa yang menghadapi cabaran globalisasi yang didominasi oleh nilai-nilai moral, kebebasan dan kapitalisme Barat.

Kesediaan Tun Mahathir mengaku bertanggungjawab membuat keputusan ini dapat dipuji. Sebagai bekas Perdana Menteri beliau mesti berani dan jujur mengakui tindakannya sama ada baik atau buruk akibatnya. Sikap ini tidak ternampak pada ramai orang bawahannya yang dahulu terang-terang menyuarakan sokongannya terhadap beliau dalam tindakan menggantikan Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Sekarang mereka bungkam menyorokkan muka kerana Tun Mahathir tidak lagi mempunyai kuasa dan pengaruh dalam kerajaan.

Oleh sebab saya adalah antara yang tersangat tidak setuju dengan keputusan Tun Mahathir itu, dan sudah banyak kali mengkritik beliau dengan keras, maka saya ingin mengulas keterangannya tentang perkara ini. Setelah membacanya saya menjadi bertambah yakin bahawa kritikan saya terhadapnya sebelum ini tidak meleset kerana apa yang diterangkannya kali ini juga tidak memberikan alasan-alasan serta hujah yang baik dan meyakinkan bagi mengubah penentangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk sains dan matematik di sekolah.

Adalah penting dalam soal kebudayaan dan tamadun bangsa kita tidak berfikiran taksub, memutar belitkan alasan dan hujah, tetapi berusaha mencari pencerahan fikiran, terutama apabila menginsafi bahawa Bahasa Melayu bukan hak milik seorang pemimpin, seorang individu atau sekumpulan elit politik, tetapi warisan kolektif bangsa.

2.
Tun Mahathir terang-terang “mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.” Pengakuan ini bolehlah ditafsirkan sebagai berikut. Beliau sendiri mengambil inisiatif dan mengarahkan supaya mata pelajaran itu tidak lagi diajarkan melalui Bahasa Melayu. Oleh sebab itu ia bukan berpunca daripada Menteri Pendidikan Malaysia pada waktu itu. Ia adalah arahan eksekutif daripada Perdana Menteri. Sama ada perkara ini sudah dibincang dengan teliti, diperhalusi daripada segala segi, dan dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi UMNO atau Kabinet, tidaklah jelas pada orang ramai kerana ia dilakukan secara mendadak pada 2003.

Keputusan Tun Mahathir ini kemudiannya disokong oleh sejumlah Menteri UMNO, profesional dan peniaga tertentu yang antaranya mungkin melibatkan diri dalam pendidikan swasta yang lebih bertujuan mengaut keuntungan daripada pendidikan. Mereka melihat potensi besar dalam perniagaan melalui pelajar-pelajar seberang laut dari Indonesia, China dan negara-negara lain yang membayar yuran pendidikan yang lumayan kepada kolej dan universiti masing-masing yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh sebab itu seluruh sistem pendidikan negara ini disokong supaya menggunakan bahasa Inggeris bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan untuk pelajar termasuk dari negara luar.

Selain daripada itu ribuan juta ringgit dibelanjakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membekalkan dan menyelenggarakan perkakasan dan perisian komputer, buku teks baru dalam bahasa Inggeris dan bahan-bahan pembelajaran lain. Pihak-pihak yang menyokong keputusan ini tidak semuanya menyokong kerana kepentingan pendidikan, tetapi kerana keuntungan perdagangan. Ramai juga yang menyokong kerana sudah mesra dengan bahasa Inggeris atau memang tidak suka terhadap pengaruh Bahasa Melayu. Satu siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui berapa bilion ringgit jumlah yang dibelanjakan bagi membeli komputer, perisian, buku teks, buku panduan mengajar bagi guru, dan peralatan lain bagi menggantikan bahan pendidikan lama dengan yang berbahasa Inggeris; dan pihak mana yang terlibat di dalamnya.

Tentang kebimbangan Tun Mahathir bahawa ramai yang menuduh beliau tidak bersemangat kebangsaan Melayu tidaklah penting sangat dibahaskan di sini walaupun aneh bagi seseorang pemimpin yang bersemangat kebangsaan seperti beliau tidak pula mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan kebangsaan di negaranya. Sikap seperti ini, iaitu mencabut kedudukan dan fungsi Bahasa Kebangsaan yang sah seperti termaktub dalam perlembagaan negara, daripada pendidikan sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah, tidak mungkin dilakukan oleh mana-mana Presiden atau Perdana Menteri di negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Jerman, Russia dan Perancis.

Apa yang penting dibahaskan adalah tindakan memberhentikan penggunaan Bahasa Melayu dalam sains dan matematik memang jelas tidak mengutamakan Bahasa Melayu. Ini suatu tindakan yang bercanggah dengan apa yang pernah diucapkan oleh beliau sebelum memegang jawatan Perdana Menteri iaitu bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di universiti. Sayangnya apabila beliau sudah berada di puncak kekuasaan, Bahasa Melayu itu sudah tidak penting atau berguna lagi, dan perjuangan Bahasa Melayu itu adalah suatu alat sahaja bagi memenangi hati orang Melayu, terutama pengikut parti, bagi tujuan naik ke atas atau mendapat kekuasaan.

3.

Tun Mahathir ingin membuat penjelasan sebelum beliau dihukum. Dalam isu ini nampaknya beliau tidak perlu bimbang terhadap apa-apa hukuman dari segi politik atau undang-undang kerana beliau sudah tidak lagi memerlukan suara pengundi ahli parti atau rakyat. Hanya masyarakat pejuang Bahasa Melayu dan pencinta Bahasa Kebangsaan, dan sejarah tamadun bangsa sahajalah yang sedang dan terus menghukum tindakannya. Kerosakan yang dilakukan terhadap peranan dan fungsi bahasa secara terancang melalui dasar kerajaan mengakibatkan kesan buruk yang panjang dan mungkin sulit untuk dipulihkan, terutama apabila ia sengaja disaingkan dengan bahasa global, bahasa Inggeris yang disokong oleh kekuatan ekonomi, teknologi komunikasi dan maklumat, serta budaya popular yang komersial. Tindakan ini boleh diistilahkan sebagai pembunuhan bahasa, iaitu usaha menjerut bahasa sendiri secara sengaja.

4.

Mengutip kata-kata Tun Mahathir sendiri: “Pendapat saya adalah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus mengutamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja…” Ini adalah suatu tuduhan yang tidak berasas, liar, dan hanya ada dalam imaginasi beliau sendiri. Alangkah baiknya sekiranya dapat ditunjukkan bukti siapa dan berapa ramai yang hanya mengutamakan “penguasaan bahasa ibunda sahaja,” dan menolak bahasa Inggeris. Menolak penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik bagi menggantikan Bahasa Melayu, bukan bererti menolak bahasa Inggeris sama sekali, dan mengutamakan bahasa ibunda sahaja. Yang ditolak adalah dasar mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan digantikan dengan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan sains dan matematik di sekolah. Itu inti persoalannya. Oleh sebab itu jangan dikelirukan antara soal bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dengan isu bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik.

Pendapat yang keliru ini sebenarnya bukan diucapkan oleh Tun Mahathir seorang. Ada beberapa tokoh lain juga pernah berkhayal seperti ini. Malahan seorang Anglophile sampai menuduh mereka yang memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai linguistic chauvinist yang sempit, dalam rencananya pada sebuah akhbar Inggeris. Kenyataan ini tidak benar; dan adalah fitnah yang tidak jelas apa niat dan tujuan di sebaliknya. Cukup ganjil orang yang berpendidikan tinggi, daripada Universiti Oxford misalnya dan dianggap konon sebagai orang bijak pandai, boleh berfikir tanpa bukti, dan dipengaruhi kuat oleh sentimen peribadi dengan tujuan menyokong Perdana Menteri yang berkuasa. Ini adalah contoh bahawa kelulusan tinggi dan ilmu saja tidak cukup jikalau ilmu tidak dibarengi dengan niat jujur, adab dan etika perbahasan yang baik. Dalam masyarakat kita contoh-contoh orang yang berkelulusan tinggi, berkuasa dan yang dianggap berilmu, tetapi tidak berakhlak, rasuah, dan khianat terhadap kebudayaan dan bangsa tidaklah susah untuk dikenali.

5.

Tentang kenyataan Tun Mahathir bahawa kita harus setanding, duduk atau berdiri, dengan bangsa-bangsa maju di dunia pula, semuanya kita setuju dan menyokongnya. Juga kita tidak membantah apabila Tun berkata: “Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing…” Tidak ada sesiapa yang siuman yang mencadangkan bangsanya harus berada dalam keadaan malang ini. Memang kita patut menggalakkan setiap orang berpengetahuan tinggi, berdaya saing dan seboleh-bolehnya menguasai sekurang-kurangnya dua tiga bahasa. Untuk orang Melayu Islam adalah sangat penting mereka menguasai bahasa ibundanya Bahasa Melayu (malu sekiranya kita tidak mahir menulis dalam bahasa sendiri dengan canggih, berisi dan indah), dan kemudian dua bahasa lain, Inggeris atau Arab, dan bukan Inggeris sahaja. Masyarakat kita sudah tiba pada suatu peringkat perkembangan fikiran yang menerima kepentingan plurilinguisme, iaitu mengetahui banyak bahasa adalah sesuatu yang normal seperti mengenal banyak bangsa di dunia ini.

Globalisasi sedang menipiskan sempadan-sempadan negara dan mempermudah lalu lintas modal, unsur-unsur bahasa dan budaya, maklumat, ilmu dan teknologi. Dalam waktu sama globalisasi juga sedang mengancam kesinambungan nilai-nilai budaya dan agama negara membangun. Tegasnya dalam usaha meningkatkan kemahiran berbahasa asing kita mesti berwaspada agar bahasa kita yang menjadi wadah nilai-nilai murni, dan menjadi wahana pembentukan rohani, fikiran, etika dan pandangan dunia atau tasawur tidak terkucil ke tepi dan dikuasai oleh nilai-nilai negatif yang dibawa oleh bahasa asing.

6.

Tentang sabda Nabi: “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina”, walaupun Nabi tidak mengembara ke sana, baginda tahu akan kekayaan peradaban Cina dalam aneka dialeknya, tetapi tidaklah pula baginda sampai menyuruh umatnya meminggirkan bahasa sendiri atau bahasa Arab yang menjadi bahasa Al-Quran dan bahasa ilmu.

Ilmu yang dituntut daripada Cina itu tentulah bagi memperhebat kehidupan Islam, dan memperkaya bahasa-bahasa orang Islam dengan ilmu pengetahuan kerana bahasa itu menjadi pengantar pendidikan, wahana dakwah serta alat perhubungan harian setiap masyarakat. Justeru itu bahasa orang Islam harus diperkaya dengan memperluas konsep ilmu, dan menambah istilahnya melalui terjemahan dan penyesuaian selain daripada usaha penyelidikan tempatan bagi mengisinya dengan dapatan-dapatan baru. Orang Islam itu berbangsa-bangsa dengan bahasa-bahasa yang berlainan dan kebudayaannya sendiri. Perbezaan bahasa, kebudayaan, persekitaran alam dan flora faunanya, imaginasi dan warisannya adalah kekayaan yang boleh dikongsi manfaatnya. Kebijaksanaan sabda Nabi itu harus juga ditafsirkan, tuntutlah ilmu di mana-mana sahaja walaupun jauh ke Timur atau Barat, atau dalam kalangan umat Islam sendiri supaya penganut Islam tidak menjadi taksub dan sempit dengan satu-satu bahasa atau orientasi sahaja.

7.

Pada perenggan 5,6, 7, 8 dan 9 Tun mengingatkan kita bagaimana orang Arab menterjemah sains, matematik dan falsafah daripada Yunani. Kemudian bangsa-bangsa Islam menjadi hebat dalam pelbagai disiplin ilmu sedangkan orang Eropah masih berada dalam kegelapan sampailah orang Eropah belajar bahasa-bahasa Arab bagi menimba ilmu yang terkandung di dalamnya. Di sinilah kita patut belajar daripada sejarah tamadun Islam dan Eropah bagaimana peranan bahasa sesuatu bangsa itu sangat penting bagi membangunkan kegemilangan penduduknya baik melalui terjemahan mahupun melalui penyelidikan perpustakaan atau makmal di dalam bahasanya sendiri. Oleh sebab itu mempelajari bahasa-bahasa negara yang maju menjadi kunci kejayaan bagi mana-mana negara pun termasuk Malaysia. Seperti masyarakat Arab Islam dahulu menterjemah daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab, dan kemudian menyebarkan ilmu melalui bahasanya sendiri (Arab), begitulah juga yang patut kita contohi. Mereka tidak mengerah jutaan orang Arab belajar bahasa Yunani bagi menjadi berilmu. Mereka tidak mengajar dan menyebarkan ilmu dengan menggunakan bahasa Yunani, Latin atau bahasa asing lain, tetapi bahasa Arab.

Tentang peristiwa sejarah ini sudah sangat diketahui oleh ramai, dan kepentingan menguasai bahasa orang dan memindahkan ilmunya melalui terjemahan adalah suatu truisme atau hakikat yang tidak perlu diperjelaskan panjang lebar. Berdasarkan pengertian ini kita patut menggalakkan kumpulan-kumpulan tertentu seperti mahasiswa, profesional, pensyarah, ilmuwan dan cendekiawan belajar menguasai bahasa-bahasa ilmu asing. Ada yang mahir bahasa Perancis, ada yang pintar bahasa Sepanyol, dan ada yang menguasai Mandarin, Russia, Jepun, Arab, atau Jerman bagi mengkaji ilmu, teknologi dan falsafah yang beraneka jenis dalam tamadun dunia. Bukan semua 26 juta rakyat Malaysia harus mahir (membaca, menulis, menterjemah, berbahas) dalam bahasa Inggeris sahaja, tetapi jahil dalam bahasa antarabangsa lain, dan bebal dalam bahasa Melayu.

Orang yang sama-sama fasih dalam bahasa yang sama pun tidak mesti dapat memahami artikel jurnal ilmiah dalam disiplin ilmu yang khas jikalau mereka berlainan keahlian. Stail penulisan ilmiah dengan istilah-istilah teknik yang khusus yang digunakan oleh ahli sains nuklear dalam Bahasa Inggeris tidak mungkin difahami oleh seorang Profesor sejarah yang sama-sama pandai berbahasa Inggeris.

Oleh sebab itu, jikalau kita bercakap tentang menguasai ilmu untuk setanding dengan negara-negara maju serta besar, dengan menguasai bahasa Inggeris sahaja, bukanlah satu penyelesaian sempurna yang berpandangan jauh. Jawapannya adalah harus ada kelompok-kelompok ahli tertentu yang menguasai pelbagai bahasa antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu (teknologi, diplomasi, perdagangan, tentera, perisikan, perundangan dan lain-lain) sebagaimana angkasawan dan kelompok tentera udara kita yang menjadi pilot serta petugas teknikal kapal terbang yang dibeli daripada Rusia telah diajar bahasa Rusia sebelum berlatih di sana.

Apabila kita ada banyak kelompok dan ramai yang mahir secara fungsional dalam pelbagai bahasa tidaklah kita sangat tergantung kepada sumber ilmu daripada satu-satu bahasa sahaja, Inggeris atau Melayu. Oleh sebab itu masyarakat dapat mencapai langsung ilmu kesihatan, perubatan, pertanian, elektronik, persenjataan atau teknologi angkasa lepas terus daripada Amerika Latin, Eropah Barat atau Timur, Rusia, Cina, Korea dan Jepun. Bahan terjemahan Inggeris berapa banyak pun jumlah bukunya tidak mungkin memindahkan setiap metafora, konsep, makna dan ilmu yang tersirat dalam beraneka sumber asal. Oleh sebab itu lebih baik jikalau ada orang kita yang khas menterjemahkan langsung ke dalam makna bahasa kita daripada bahasa asal Perancis, Jerman dan Jepun misalnya. Brazil yang mempunyai lebih 180 juta penduduk dan menggunakan bahasa Portugis, mempunyai pelbagai ilmu dalam jurnal serta kepustakaannya. Demikian juga negara-negara Amerika Latin yang menggunakan bahasa Sepanyol, kaya dengan pelbagai ilmu yang kita belum berpeluang memanfaatkannya kerana kita tidak menyediakan cukup penterjemah yang pakar serta mahir dalam bahasa Sepanyol. Kita dapat memperkaya ilmu dengan lebih banyak lagi jikalau kita menterjemah langsung daripada Portugis dan Sepanyol.

Tun Mahathir bertanya apakah tidak mungkin mengadakan sejumlah penterjemah bagi menterjemah ilmu daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan dengan itu orang Melayu tidak perlu belajar bahasa Inggeris. Dalam perenggan berikutnya (11), Tun sendiri menjawab bahawa tidak mungkin kerana ilmu sudah berkembang sangat pesat dan bukan seperti dahulu lagi.

Tidak ada sesiapa pun yang mencadangkan diadakan sekumpulan penterjemah bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu untuk semua orang menguasai ilmu dalam Bahasa Melayu sahaja. Tidak ada juga orang yang waras akan mencadangkan supaya kita menyediakan penterjemah bahasa Inggeris sahaja, dan meninggalkan langsung penguasaan bahasa-bahasa lain sebagai bahasa kedua atau ketiga, terutama bagi para pelajar universiti. Selain itu bahasa Inggeris pun bukan jawapannya untuk segala ilmu. Ilmu harus ditimba daripada berbagai-bagai bahasa tamadun dunia. Inggeris itu bukan maju dalam segala segi dan malah mundur dalam banyak hal juga berbanding negara-negara maju lain, bukan sahaja dalam beberapa bidang sains dan teknologi, tetapi juga dalam sains kemanusiaan dan kemasyarakatan, agama dan falsafah. Tentulah kita sangat pendek akal jikalau mahu menyediakan segelintir penterjemah bahasa Inggeris bagi menimba
lautan ilmu ke dalam Bahasa Melayu.

Pada perenggan 12 dan 13 Tun Mahathir memaparkan bahawa sains dan matematik serta banyak ilmu-ilmu lain berkembang dengan pesat serta hebat termasuk bagi menentukan pergerakan bintang, dan kapal angkasa dengan ditambahi lagi ilmu baru yang berasaskan kuasa elektrik, gerakan atom, sains nano dan pelbagai lainnya. Kita semua bersetuju sains, teori dan teknologi tidak pernah berhenti dan memecut laju ke depan terutama di negara-negara kuasa besar dunia. Tidak mungkin diterjemahkan semua dan segala-galanya oleh segelintir penterjemah Melayu atau bukan Melayu. Pandangan beliau ini seperti dalam perenggan 14 itu dikongsi oleh ramai orang termasuk ahli-ahli bahasa dan penterjemah profesional kerana bukan sahaja kemahiran bahasa asal dan bahasa sasaran harus dikuasai penterjemah, tetapi juga bidang ilmu berkaitan. Malah seorang novelis Inggeris tidak mungkin menterjemahkan puisi Inggeris meskipun mencintai persuratan kalau dia tidak berminat dan biasa dengan genre puisi. Apatah lagi jikalau beliau berada dalam bidang keahlian atau disiplin ilmu yang berlainan seperti fizik dan ekonomi.

Menginsafi keterbatasan penterjemahan bagi menyerap kemajuan ilmu seperti yang kita bincang di atas tidaklah pula bererti kita patut lupakan usaha terjemah-menterjemah. Ilmu bukan sahaja ada pada sains dan matematik; dan bukan sains dan matematik sahaja yang diperlukan bagi kesejahteraan dan kecemerlangan hidup manusia. Bidang sejarah, agama, sains kemasyarakatan, undang-undang, ekonomi, akhlak, falsafah dan etika juga adalah perlu bagi membentuk tata pentadbiran, sistem perundangan, pemerintahan negara, kepimpinan, akal budi dan rohani insan. Jikalau tidak manusia akan hanya mementingkan kebendaan dan akal yang rasional apabila menilai taraf, keadilan, darjat dan kebajikan manusia, dunia dan akhirat. Penterjemahan al-Quran, Hadis dan kitab-kitab besar misalnya sangat penting bagi umat Islam dan juga untuk yang bukan Islam bagi mengetahui dengan mendalam sejarah dan prinsip-prinsipnya jikalau tidak berdaya menguasai sepenuhnya bahasa Arab.

Oleh sebab itu untuk kekayaan ilmu pada masa depan, kita memerlukan institusi terjemahan yang besar, berwibawa dan cemerlang agar mampu menterjemah daripada dan kepada bahasa-bahasa antarabangsa supaya rakyat yang tidak mungkin menguasai banyak bahasa asing memperoleh jalan masuk kepada kebudayaan-kebudayaan dunia baik dalam bidang teknologi mahupun kulinari, landskap, seni bina, muzik, filem, perniagaan, pengurusan, ekonomi dan politik. Sayangnya ada sebuah institusi terjemahan kerajaan (Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad), tetapi sejak tertubuh pada 1993 ia tidak dapat bergerak positif kerana boleh dikatakan tidak diberi perhatian langsung dan peruntukan yang cukup oleh kerajaan kecuali pada tahun-tahun akhir ini. Kita sepatutnya menggaji dua atau tiga ratus tenaga penterjemah profesional, dan editor terjemahan dalam bahasa-bahasa Cina, Sepanyol, Jerman, Jepun, Itali, Perancis, Russia, Arab dan lain-lainnya bagi menterjemah langsung karya-karya besar dunia ke bahasa Melayu.

Sebagai sebuah institut atau akademi terjemahan faedahnya bukan sahaja menterjemah ilmu tetapi bersifat profesional dalam cara menyampaikan maklumat serta dapatan ilmu dalam bentuk-bentuk penerbitan cetak atau elektronik yang mesra pembaca, baik untuk ilmuwan atau petani biasa. Di sinilah letakkannya peranan institusi terjemahan, yakni menterjemah dan berkeahlian menyampaikan maklumat serta ilmu kepada rakyat berbagai-bagai lapisan sosial, atasan atau penduduk awam.

Tentulah juga badan ini sangat berguna bagi mempromosi imej dan kekayaan Malaysiana, flora serta fauna, dapatan penyelidikan dalam bidang getah asli, kelapa sawit, bioteknologi dan keseniannya, ke dalam pelbagai bahasa antarabangsa supaya negara kita menjadi terpandang dan dihormati oleh dunia.

Malangnya pemimpin kita lebih mementingkan prasarana fizikal dan bangunan-bangunan yang megah seperti Menara Berkembar dan Putrajaya, tetapi tidak pengisian seni, budaya, dan penerbitan saintifik dan intelektual secara besar-besaran supaya pembaca kita lebih berilmu, luas imaginasinya, inovatif fikirannya, halus jiwanya, baik akhlak dan akal budinya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah dalam dekad-dekad yang lalu kita menghasilkan generasi gila seleberiti, profesional kutu malam di kafe, Mat Rempit di jalan raya, penagih dadah dan orang muda yang mabuk lepak serta hiburan kerana tidak berimbang pendidikan jasmani-rohani, material-mental dan sains-etik.

Setelah menghuraikan bahawa ilmu sedang berkembang cepat, dan ilmu penting untuk bersaing dengan negara-negara lain, dan penterjemahan sekarang tidak banyak membantu memajukan negara, maka dalam perenggan 16 Tun Mahathir memutuskan, “ …jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris..’ Ada dua perkara penting yang terkandung dalam kenyataan ini, iaitu satu ilmu dan satu lagi bahasa Inggeris. Di sinilah beliau keliru kerana menganggap dengan menguasai bahasa Inggeris semua ilmu dalam bahasa Inggeris itu boleh diakses. Pertama tidak semua ilmu yang perlu untuk kita ada dalam bahasa Inggeris. Kedua penguasaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidaklah semestinya membolehkan orang menjadi profisien dalam bahasa Inggeris sehingga boleh mengakses semua ilmu dalam bahasa Inggeris. Juga sains dan matematik bukan segala-galanya untuk keseluruhan kehidupan rohaniah, jasmaniah dan intelektual.

Memang betullah banyak sekali buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Inggeris seperti juga buku-buku dalam bahasa antarabangsa lain, tetapi bahasa Inggeris itu sahaja tidak mencukupi kerana ia adalah salah satu daripada bahasa antarabangsa yang membekalkan ilmu yang canggih serta moden. Oleh sebab itu ia bukanlah mutlak satu-satunya bahasa yang berisi semua ilmu pengetahuan.

Dengan kepercayaan kuat terhadap bahasa Inggeris itu Tun Mahathir membuat keputusan drastik mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah mulai tahun 2003 sedangkan bahasa pengantar BM sudah diamalkan sejak 30 tahun dengan jayanya. Sekali lagi Tun Mahathir keliru dan bertindak tidak bijaksana kerana daripada segi pembelajaran dan pengajaran ilmu kepada pelajar-pelajar rendah dan menengah apakah yang lebih berkesan daripada mengajar anak-anak melalui bahasa yang difahamnya semula jadi sejak kecil, terutama bahasa ibundanya. Bahasa ibundanyalah yang cepat menimbulkan kesedaran dan kecerdasan fikirannya bagi pembinaan intelek terutama pada peringkat awal persekolahan. Tidak ada bahasa lain yang boleh mengambil alih peranan penuh bahasa ibunda bagi menyempurnakan proses pembangunan emosi dan kognitif seseorang anak, sama seperti keunikan menyusu di tetek ibunya bagi pembesaran tubuh serta emosinya.

Pada peringkat awal persekolahan para guru tidak memerlukan istilah-istilah teknikal yang kompleks bagi mengajarkan konsep sains dan matematik. Ratusan ribu istilah asas dan pelbagai buku teks serta rujukan telah pula diterbitkan dalam Bahasa Melayu sejak awal 70-an bagi keperluan mengajar sains dan matematik hingga ke peringkat universiti.

Selain daripada itu melalui bahasa pengantar Bahasa Melayu negara kita sudah menghasilkan ratusan ribu pakar sains, profesional , ilmuwan, penyelidik, pensyarah, profesor, cendekiawan, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang berjaya membangunkan Malaysia sejak tahun 70-an. Saya percaya Angkasawan Negara kita yang pertama itu pun melalui sistem pendidikan yang mengajarkan sains dan matematik dalam Bahasa Melayu pada mulanya.

Ribuan pelajar yang tamat daripada sistem pendidikan kebangsaan sudah pula berhasil mendapat ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran daripada universiti-universiti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, termasuk daripada universiti ternama seperti Oxford, Cambridge, London School of Economics, Nottingham, UCLA, Harvard, Ann Arbor, Stanford, Chicago dan Berkeley. Kebanyakan mereka ini belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu sewaktu di sekolah. Mereka berjaya mengikuti kuliah, merujuk bahan ilmu, dan menulis tesis di universiti-universiti luar negara kerana mereka pernah belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sejak tahun satu.

Oleh sebab itu persoalan yang sebenarnya bagi menguasai ilmu dan menjadikan orang kreatif dan berfikiran kritis bukanlah bahasa Inggeris, tetapi ilmu dan pendidikan itu sendiri. Bagi menyerapkan ilmu melalui bahasa Inggeris baik sains, matematik, undang-undang atau apa sahaja, perkuatkan sistem dan metode pengajaran serta pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri; dan bukan melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Tegasnya pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang harus dicemerlangkan dengan menyediakan guru-guru yang terlatih, kurikulum yang moden, metode yang betul, buku teks yang baik, kemudahan makmal bahasa, dan bahan-bahan bacaan perpustakaan yang lengkap. Cara inilah yang dilakukan di Eropah dan negara-negara maju yang lain. Itu pun mulai di sekolah menengah baru bahasa kedua diajar sebagai satu subjek, dan bukan melalui sains dan matematik. Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris atau apa bahasa pun tentu lebih tepat dan berkesan dengan cara mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bersama dengan kesusasteraan Inggeris sebagai tambahan. Dengan demikian, jelaslah sudah berlaku kekacauan fikiran sehingga ke pelaksanaannya dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.

Apa yang berlaku selepas tahun 2003 adalah kemerosotan pendidikan mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah kerana guru-guru tidak mahir mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris. Guru sendiri tidak lancar berkomunikasi dalam bahasa tersebut kerana selama ini mengajar lebih banyak dalam Bahasa Melayu. Jikalau guru sendiri tidak biasa dengan istilah teknikal Inggeris dan tidak lancar berbahasa Inggeris, bagaimana mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar, dan menjadi ghairah mendidik? Pendidikan apakah namanya jikalau tidak ada komunikasi yang baik antara guru dan murid?

Daripada beberapa penyelidikan ilmiah bebas yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (pada peringkat awal bahasa pengantar Inggeris diperkenalkan), dan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (2008), Prof. Datin Dr. Juriah Long, Universiti Kebangsaan Malaysia (2008), dapatan yang diperoleh adalah berlaku kemunduran pembelajaran terutama dalam kalangan pelajar Melayu di luar bandar. Oleh sebab itu hasil daripada pengenalan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ini adalah ratusan ribu pelajar negara ini, termasuk guru-gurunya menjadi kacau. Ilmu sains dan matematiknya mundur, kepandaian bahasa Inggeris tidak bertambah, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan terpinggir.

Kenapa mesti pemimpin politik yang berkuasa menjadikan ratusan ribu pelajar sebagai mangsa kegopohan tindakan? Sekarang pelbagai helah dan propaganda pula digunakan bagi menghalalkan dan meneruskan PPSMI.

PPSMI ini sudah dikritik dan ditentang oleh pelbagai pihak serta tokoh seperti Prof Di Raja Ungku Aziz, Tan Sri Rahman Arshad (bekas Ketua Pengarah Pendidikan), Dato’ Omar Hashim (bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan ), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein (Gapena), Prof Emeritus A. Bakar Hamid (Prihatin), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan (Pengarah, Institut Peradaban Melayu, UPSI), Prof. Dr Awang Sariyan (Akademik Pengajian Melayu, UM), Dato. Dr Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah, DBP) dan ramai lagi termasuk bekas Menteri Pelajaran Tun Patinggi Rahman Yaakob. Suara-suara mereka sederap disambut oleh puluhan badan bukan kerajaan (ABIM, PPKIM, PBMUM, GAPENA, PENA, PPM, PLM, Kumpulan Prihatin, Persatuan Sejarah, dll.) yang menyeru supaya PPSMI ini diberhentikan segera supaya tidak berlaku lebih banyak krisis pendidikan dan budaya. Apakah Kementerian Pelajaran dan kerajaan berasa tidak perlu ambil peduli suara-suara cendekiawan Melayu yang apolitikal ini?

Perlu diperingatkan lagi, apabila tiba di tahap sekolah menengah lebih 70 peratus mata pelajaran, yakni yang berasaskan sains dan matematik (seperti Biologi, Kimia, Fizik, Kejuruteraan, Matematik, Matematik Tambahan, dll.) tidak akan diajarkan dalam Bahasa Melayu. Dengan demikian cerdik pandai tidak akan menulis dalam Bahasa Melayu; penerbit tidak akan menerbitkan buku pelajaran dalam Bahasa Melayu; dan rakyat tidak akan mempedulikan BM kerana nilai pendidikan serta ekonominya tidak ada lagi. Apabila tidak digunakan di dalam sistem pendidikan dengan sepenuhnya maka lama-kelamaan ia akan merosot dan mati sebagai bahasa Ilmu. Sebagai contoh ada kira-kira 70 juta pengguna bahasa Jawa di Indonesia, tetapi bahasa Jawa itu berlegar dalam kalangan masyarakat Jawa, di pasar-pasar atau di sawah-sawah sahaja dan bukan menjadi bahasa ilmu moden kerana tidak digunakan di sekolah dan universiti sebagai bahasa pengantar. Demikian juga dengan bahasa Sunda, Aceh, Bali dan Madura ada ratusan juta masyarakat penggunanya, tetapi tidak menjadi bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains, teknologi dan rasmi. Apakah ini yang kita suka berlaku kepada Bahasa Melayu di sini; menjadi bahasa pinggiran di sisi bahasa Inggeris? Inikah yang dikatakan bersemangat kebangsaan dan sayang kepada bangsa? Apakah bangsa-bangsa lain yang maju di dunia menggunakan jalan mudah dan dangkal bagi membunuh bahasa kebangsaannya dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris kerana hendak menjadi kuat, bersaing, bermaruah dan dihormati?

Tun Mahathir berfikir sangat simplistik jikalau menganggap orang yang tidak bersetuju dengan PPSMI, yakni bahasa Inggeris mengambil alih BM dalam sains dan matematik di sekolah, adalah orang yang tidak sukakan ilmu, dan tidak sukakan ilmu sains dan matematik. Anggapan beliau ini salah sama sekali. Perbezaannya cuma orang lain lebih bebas berfikir bahawa kekuatan ilmu, kekuatan dan maruah bangsa yang cemerlang dan berakhlak tidak semata-mata bergantung pada sains dan matematik, dan dengan meletakkan tengkuk di bawah hegemoni bahasa Inggeris. Amerika dan Inggeris yang hebat berbahasa Inggeris dan dianggap memiliki kekuatan nuklear, kapal terbang, kapal selam dan senjata berat bukanlah menjadi contoh bangsa yang beradab serta berperikemanusiaan, malahan menjadi contoh bangsa yang menindas dan bersengkokol dengan Zionis membunuh umat Islam di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Palestin. Jikalau berazam menjadi kuat dan menyaingi mereka, janganlah sampai menjadi peniru tamadun Anglo-Saxon dan Amerika yang berasaskan agama Kristian dan bahasa Inggeris, dengan sifat-sifat angkuh dan menindas. Di sinilah letaknya paradoks dalam sekalian pemikiran yang mengiakan PPSMI.

Tun Mahathir juga berpendapat “jikalau kita mengabaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih mengutamakan bahasa kita, dan dengan itu kita menjadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh mendakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama.” Berfikir secara hitam putih begini dan menyatakan pejuang bahasa dan agama mengabaikan ilmu semata-mata kerana lebih mengutamakan bahasa, adalah cara berfikir yang propagandistik. Orang lain sudah berfikir lebih maju ke depan dalam soal bahasa dan ilmu. Ramai orang sudah berfikiran lebih jauh dengan mengiktiraf kebijaksanaan ilmu, idea, teori dan falsafah dalam dunia yang pelbagai bahasa tanpa menolak bahasa-bahasa antarabangsa termasuk Inggeris, tetapi terus membangunkan kekuatan Bahasa Melayu sebagai wadah dan wahana memperkayakan tamadun dan perpaduan bangsa. Soal memilih salah satu bahasa, Melayu atau Inggeris, tidak timbul. Yang utama adalah persekitaran kebahasaan yang sesuai dan bermanfaat. Inilah cabaran besar ketamadunan iaitu bagaimana memperhebat budaya ilmu dengan menyesuaikan bahasa-bahasa besar dunia dalam sistem pendidikan dengan tidak mengorbankan warisan-warisan besar kebangsaan. Tentu sekali bukan dengan cara dikuasai oleh bahasa Inggeris sehingga melumpuhkan warisan bahasa kita, dan menjejaskan pendidikan generasi muda, pembangunan kebudayaan dan proses menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai asas untuk keharmonian masyarakat berbilang bahasa dan budaya. Bahasa bukan sekadar menghantar maklumat dan ilmu, tetapi menyemai nilai-nilai sosial, tasawur keagamaan, dan kebudayaan bangsa yang tersirat halus dalam istilah, kalimat, ungkapan, metafora, peribahasa, teks dan pelbagai jenis wacana; bukan dalam sains dan matematik saja.

Penggunaan bahasa Inggeris yang diamalkan dalam pendidikan sekarang bukan caranya bagi menguasai bahasa Inggeris, dan dalam waktu yang sama memusnahkan masa depan bahasa sendiri. Apa yang diidamkan ialah situasi yang menawarkan kemenangan untuk kedua-dua bahasa. Jikalau tidak, lanjutan daripadanya adalah tamadun bangsa akan tertakluk kepada kehendak-kehendak proses globalisasi yang jelas dikuasai oleh nilai-nilai Barat, khususnya Amerika, yang bertujuan menyebarkan nilai-nilai liberal menurut idealisme demokrasinya (kebebasan berfikir, berucap, dan beragama tanpa pengawasan kerajaan). Dan kita bukanlah Amerika. Jadi mengamalkan dominasi bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita seperti sekarang bukanlah amalan yang sayangkan bangsa, tetapi menjerumuskan bangsa kita kepada kehinaan.

Barangkali lebih baik kita sama-sama bermuhasabah diri, mengaku kesilapan-kesilapan kita, dan tidak menolak pandangan orang lain yang berbeza pendekatan walaupun sama-sama berniat baik. Niat yang baik harus dilaksanakan dengan cara yang sebaiknya supaya keputusan-keputusan yang dibuat tidak merosakkan warisan, jati diri, tetapi akan betul-betul memperkuat kesejahteraan dan tamadun bangsa.

Keputusan yang Tun Mahathir buat tentang penggunaan bahasa Inggeris mulai 2003 dengan mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, sewaktu memegang kekuasaan sebagai Perdana Menteri, adalah suatu keputusan yang mempunyai rationale yang lemah. Ia membunuh potensi Bahasa Melayu daripada berkembang menjadi bahasa yang besar; dan ia membatasi pembangunan ilmu yang luas. Ia bukanlah keputusan yang bijaksana bagi perjuangan nasionalisme bangsa kita, sebaliknya akan memudaratkan peluang bagi membina bangsa yang kuat dan dihormati. Kemajuan dan kesejahteraan hidup (dunia dan akhirat) tidak bergantung pada kecemerlangan teknologi dan ekonomi sahaja kerana ia harus didampingi kekuatan akhlak, etika, kebudayaan dan agama bagi membatasi rasuah, kezaliman, keangkuhan dan larangan-larangan Allah yang lain. Tuhan telah berjanji, Dia akan memberikan kemenangan kepada umat-Nya yang menurut suruhan-Nya: beriman, beribadat, berakhlak, dan menurut hukum hakam Islam.

Perlu juga diingat bahawa bahasa Melayu itu juga menjadi bahasa dakwah agama, bahasa tazkirah dan tarbiyah, bahasa khutbah di mimbar-mimbar masjid sejak zaman berzaman sehingga Islam berkembang hebat di rantau ini. Bahasa Melayu ini mesti kekal dimajukan sebagai bahasa ilmu, wahana dakwah yang canggih, sesuai dengan kemajuan fikiran moden supaya dapat menarik hati generasi sekarang dan akan datang. Dengan demikian ia berupaya meneruskan tanggungjawab serta tugas tradisinya memperkuat akidah, mengisi jiwa, fikiran, dan kecendekiaan bangsa sebagai umat yang moden dan berjaya menuju kepada kemenangan. Perjuangan mempertahan dan memajukan Bahasa Melayu adalah suatu jihad.

Pengkhianatan terhadap Bahasa Melayu boleh dianggap sebagai menghalang usaha pengembangan Islam di rantau ini; satu diskriminasi songsang terhadap bangsa dan agama sendiri. Alasan atau premis yang berubah-ubah tentang mengapa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik hanya menandakan adanya krisis epistemologi yang kacau dalam kalangan pemimpin politik dan pegawai-pegawai tinggi awam yang melaksanakannya.

Justeru itu janganlah terlalu bernafsu meneruskan langkah-langkah yang salah. Mari kita rujuk ke pangkal jalan yang arif.


3. Nasionalisme Dan Perjuangan Bahasa

30/01/2009

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP)

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Datuk Dr. Hassan Ahmad
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Ada Bahasa Adalah Bangsa

Tajuk ini menyentuh dua perkara yang mempunyai kaitan yang rapat antara yang satu dengan yang lain. Perkaitan ini hendak saya jelaskan melalui kata-kata ‘Ada bahasa adalah Bangsa’. Dulu-dulu orang bijak pandai bangsa kita menciptakan ungkapan ‘bahasa menunjukkan bangsa.’ Dalam tahun-tahun 1960-an, istilah atau slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ diciptakan dan dipopularkan semasa ‘kempen’ atau ‘gerakan bahasa kebangsaan’ dilancarkan untuk menyampaikan mesej bahawa bahasa kebangsaan Malaysia, iaitu bahasa Melayu, adalah jiwa ‘bangsa Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik, walaupun istilah itu dari segi implikasi etnolinguistiknya lebih merujuk kepada ‘bangsa Melayu’. Saya tidak akan mengulas hal ini lebih lanjut. Cuma saya hendak menyatakan bahawa kata-kata ‘bahasa menunjukkan bangsa’ dapat kita kaji maknanya dari dua segi: pertama, dari segi sosiologi atau fungsi sosial bahasa itu dalam masyarakat, seperti yang terbayang pada simpulan bahasa ‘tahu bahasa’ dan ‘tidak tahu bahasa’ yang dikaitkan dengan adat orang Melayu berbahasa dalam perhubungan sosial dalam masyarakat. Soal ‘adat berbahasa’ atau sosiologi bahasa ini sudah merupakan bidang yang menarik ahli-ahli sosiolinguistik.

Makna keduanya dapat kita kaitkan dengan kesedaran sesuatu bangsa tentang fungsi politik bahasanya, khususnya dalam konteks pembinaan negara-bangsa. Kisahnya bermula dalam zaman moden apabila bahasa dijadikan ‘alat nasionalisme’, yakni alat perjuangan sesuatu bangsa untuk menubuhkan kesatuan sosio-budaya-politik, yang disebut Negara-Bangsa atau Nation-State, suatu fenomena politik yang menurut sejarahnya bermula di Eropah, sebagai reaksi terhadap ancaman-ancaman luaran yang dianggapnya boleh memusnahkan identiti sesuatu bangsa.

‘Nasionalisme’ atau ‘semangat kebangsaan’ atau ‘semangat bangsa’, secara umumnya, lahirnya dari kesedaran bahawa keanggotaan seseorang dalam kesatuan sosiobudaya yang disebut BANGSA ditandai oleh ciri-ciri yang dimiliki atau diwarisi bersama oleh seluruh anggota bangsa itu dan yang membezakannya daripada bangsa lain. Faktor atau ciri-ciri yang membentuk kesedaran bangsa ini dan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembentukan tamadun bangsa itu antara lainnya ialah bahasa, budaya, asal-usul sejarah yang sama, mungkin juga agama yang diwarisi bersama oleh anggota bangsa itu sejak turun-temurun, dan yang digunakan oleh bangsa itu, secara sedar atau tidak, untuk membezakan dirinya atau identitinya daripada bangsa lain.

Daripada faktor-faktor atau ciri yang tersebut itu, bahasalah yang merupakan faktor yang sangat penting dan berpengaruh dalam melahirkan kesedaran bangsa atau nasionalisme itu. Mengapa bahasa? Sebabnya ialah, bahasa merupakan alat pembentukan tamadun bangsa yang sangat integratif; melalui bahasalah sesuatu bangsa itu memperkenalkan dirinya melalui cara mereka menanggapi alamnya, baik alam sosial mahupun alam kosmos, dan membentuk pandangan hidup atau sistem nilai bangsanya melalui proses pemikiran, rasa hati, imaginasi dan renungan dirinya yang digambarkan dalam pelbagai karya lisan dan tulisan yang dihasilkan oleh bangsa itu dan yang membentuk ‘himpunan memori, atau ingatan bersama’ atau ‘collective memory’ bangsanya sepanjang zaman. Itulah proses yang berlaku dalam pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Kita tahu dalam sejarah ketamadunan manusia bahawa tidak ada bangsa di dunia yang membentuk budaya dan tamadunnya, seninya, kesusasteraannya, falsafah hidupnya, mitosnya dan pandangan kosmologi dan ilmu dunianya melalui bahasa orang lain.

Demikianlah pentingnya fungsi bahasa sebagai pembentuk identiti dan tamadun sesuatu bangsa. Apabila keadaan mendorong manusia secara sedar untuk mengidentifikasikan bahasa dengan bangsa, terutama dalam konteks kesatuan politiko-geografi yang disebut NEGARA, maka lahirlah suatu jenis atau aliran nasionalisme yang disebut nasionalisme bahasa atau ‘language nationalism’ yang menjadi bahan yang makin menarik perhatian para ahli sains politik. Antara lain, ahli sains politik ingin tahu, bagaimanakah bahasa memainkan peranan dalam pembentukan sesebuah negara dan mengapakah bahasa sering menimbulkan masalah politik, tidak sahaja masalah etnik, terutama dalam masyarakat atau negara pelbagai bangsa atau etnik dan bahasa.

Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa nasionalisme bahasa ialah, kesedaran bahawa bahasa ialah alat budaya dan politik yang penting untuk mengekalkan identiti sesuatu bangsa, untuk menjadi asas pembinaan negara, dan untuk memajukan bangsa itu melalui kreativiti minda bangsanya yang hanya dapat dicetuskan melalui bahasa sendiri.

Faktor Yang Mencetuskan Nasionalisme Bahasa

Nasionalisme tidak sama dengan rasisme. Rasisme lebih bersifat destruktif daripada bersifat konskruktif. Nasionalisme Melayu, menurut kajian saya serba sedikit, tidak timbul dari perasaan rasisme, perasaan fanatik bangsa atau perasaan benci kepada kaum-kaum lain yang ada di negeri ini, atau kerana benci kepada bangsa atau bahasa Inggeris tetapi timbul kerana berlakunya keadaan yang menyebabkan orang Melayu takut akan kehilangan haknya di negerinya sendiri. Dasar penjajahan Inggeris di Tanah Melayu merupakan salah satu punca timbulnya perasaan takut ini. Mengapa? Sebabnya ialah penjajah Inggeris itu mewujudkan dasar di Tanah Air orang Melayu yang, dalam jangka panjangnya, dianggap oleh orang Melayu boleh memusnahkan hak dan kepentingannya di negerinya sendiri. Misalnya, dasar pendidikan yang dibentuk di Tanah Melayu akhirnya disedari oleh orang Melayu sebagai dasar yang menyekat bahasa Melayu untuk berkembang, melalui institusi-institusi awam atau institusi negeri/negara, sebagai alat kemajuan bangsa Melayu dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Dasar itu mewujudkan empat sistem persekolahan yang berlainan di negeri ini, yang menggunakan tiga bahasa asing atau bahasa non-peribumi, di samping bahasa Melayu, sebagai alat pengantarnya; dalam sistem itu bahasa Melayu diturunkan tarafnya sebagai salah satu ‘bahasa vernakular’ di negeri ini, disamakan tarafnya dengan bahasa-bahasa kaum pendatang, padahal dalam sejarahnya sejak abad ke-13 atau ke-14 bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa ilmu dan kesusasteraan tinggi, bahasa perdagangan, bahasa agama, dan bahasa diplomasi di seluruh rantau ini, mengatasi semua bahasa lain. Dalam zaman pemerintahan British di Tanah Melayu, bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ‘kemajuan’ pendidikan dan ekonomi orang Melayu dan seluruh penduduk dari kaum-kaum lain (kaum pendatang zaman itu). Dasar itu mengasingkan orang Melayu dari bidang kegiatan ekonomi pasaran, perniagaan atau perkedaian; orang Melayu dibiarkan menjadi kaum tani, pesawah, nelayan dan pekebun kecil. Sektor pekerjaan terpecah berdasarkan kaum. Dasar imigresen British cukup terbuka dan bebas.

Minda Melayu mulai terkejut atau dikejutkan oleh situasi yang berbahaya itu. Dalam tahun-tahun 1930-an, melalui surat khabar Melayu, timbul suara-suara, yang dicetuskan oleh wartawan, penulis dan guru Melayu, yang kebanyakannya lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, atau SITC, membandingkan keadaan ekonomi dan pendidikan orang Melayu dengan ‘kemajuan’ kaum-kaum lain dalam bidang yang sama. Dalam sebuah rencana yang tersiar dalam Majalah Guru keluaran bulan Mei, 1931, halaman 83-85, penulisnya berkata: ‘…jika tiada sekolah Melayu…perasaan kebangsaan Melayu yang sangat wajib menjadi semangat atau nyawa kemajuan itu tidak ada bertambah subur seperti yang ada sekarang bahkan makin bertambah kurang dan hilang…’ (dipetik dalam Ahmad Adam 1994:51-52). Perhatikan bahawa istilah ‘perasaan kebangsaan’ sudah digunakan dalam tahun 1931. Dalam majalah yang sama, pada halaman 127-128, seorang penulis lain berkata, ‘…sesungguhnya tiada ia (orang Melayu) boleh kasih akan bangsanya jika tiada kasih akan bahasanya (lihat Ahmad Adam 1994, hal. 52). Ini kata-kata yang menunjukkan kesedaran nasionalisme bahasa orang Melayu. Kesedaran ini timbul sebagai reaksi terhadap cabaran sosial, ekonomi dan pendidikan yang dilahirkan oleh dasar-dasar British di Tanah Melayu.

Jadi, faktor paling dominan yang mencetuskan perasaan bangsa atau nasionalisme itu ialah faktor rasa ketercabaran: apabila sesuatu bangsa merasakan bahawa identiti bangsanya tercabar oleh keadaan yang boleh menyebabkan hak dan kepentingan mereka tergugat atau musnah, maka mereka akan mulai, secara sedar, membentuk semangat bangsa itu sebagai dorongan untuk bersatu-padu bagi ‘memperjuangkan’ dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa mereka yang dianggap sedang terancam itu. Dalam keadaan biasa, kesedaran ini mungkin tidak timbul, namun kesedaran itu tetap ada secara ‘primordial’ atau wujud dalam bentuk ‘terpendam’ (dalam jiwa sesuatu bangsa), tidak disedari.

Nasionalisme Melayu mulai dicetuskan dalam bentuk aktivisme politik selepas Perang Dunia II, khususnya dalam tahun 1946 (terima kasih kepada penjajah British!), apabila British mengumumkan rancangannya untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai koloni British. Raja-raja Melayu akan menjadi ‘subject’ Raja Inggeris, tidak lagi berdaulat di Tanah Air mereka. Penduduk Tanah Melayu dari kaum-kaum pendatang asing (maksudnya, yang datang dari kawasan di luar “Dunia Melayu”) akan secara automatik menjadi rakyat atau warganegara Tanah Melayu atau rakyat ‘British Malaya’. Pada waktu itulah orang Melayu di seluruh Tanah Melayu bersatu padu untuk menentang gagasan Malayan Union itu, dan tiga ‘alat’ yang digunakan dan dihidupkan sebagai alat perpaduan Melayu ialah bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam. Dalam tahun itu, orang Melayu menubuhkan UMNO, sebuah pertubuhan politik kebangsaan Melayu, untuk memperjuangkan hak dan kepentingan politik orang Melayu di tanah airnya sendiri. Akhirnya Malayan Union digantikan dengan ‘union’ baru yang disebut Federation of Malaya atau ‘Persekutuan Tanah Melayu’ (1948). Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Perkara No. 33), bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa rasmi dalam mesyuarat Majlis Perundangan Persekutuan, Dalam tahun 1949 seorang ahli Melayu Majlis Perundangan Persekutuan, Zainal Abidin Abbas namanya, membentangkan usul mendesak kerajaan supaya menjadikan bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris, sebagai bahasa yang wajib diajarkan di semua sekolah bantuan kerajaan, dan semua ahli Majlis yang menyokong usul itu menyuarakan persetujuan mereka bahawa bahasa Melayu ‘dapat menyatukan semua kaum-kaum di Tanah Melayu.” (Utusan Melayu, keluaran 30 November 1949). Orang Melayu mulai melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’, kemudian mereka menuntut kemerdekaan dengan memekikkan kata perjuangan ‘Merdeka!’. Dasar perjuangan UMNO pada waktu itu berpaksi pada tiga alat pembentukan tamadun bangsa Melayu yang asas, iaitu Bahasa Melayu, Agama Islam, dan Kebudayaan Melayu. Boleh dikatakan bahawa perjuangan itu berdasarkan kesedaran Alif, Ba, Ta, iaitu Agama, Bahasa (atau Budaya) dan Tanah Air.

Oleh sebab itu, nasionalisme Melayu, atau menurut istilah Khoo Kay Kim (1991/1995), ‘semangat Melayu’, yang pada mulanya timbul sebagai suatu kesedaran sosial, yakni kesedaran tentang nasib Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial (termasuk pendidikan) dalam tahun-tahun 1930-an, akhirnya berkembang menjadi alat nasionalisme politik mulai tahun 1946 hinggalah tercapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

Dasar Bahasa Dan Perjuangan Bahasa Di Malaysia

Nasionalisme bahasa sering dapat kita lihat manifestasinya dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk dasar bahasa di sesebuah negara dan dalam bentuk gerakan aktivis yang disebut ‘perjuangan bahasa’. Di Malaysia dasar bahasa yang digubal selepas Kemerdekaan lahirnya daripada tuntutan nasionalisme Melayu supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Ini bukan tuntutan ‘emotional’ atau fanatik tetapi didasarkan atas ‘realiti’ atau ‘keabsahan’ sejarah sosiopolitik bahasa Melayu yang kukuh, dan berdasarkan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun supraetnik dan suprawilayah di rantau ini, peranan yang tidak ada tandingannya dengan bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris dan bahasa Belanda. Sejak sekarang-kurangnya abad ke-13 bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan-kerajaan Melayu-Islam, bahasa persuratan, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa penyebaran dan pengembangan agama, khususnya agama Islam, di seluruh rantau ini, tidak sahaja di Tanah Melayu. Bahasa inilah juga yang telah berkembang sejak ratusan tahun sebagai lingua franca perdagangan dan sosial yang dapat merentas sempadan etnik dan geografi bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan meliputi seluruh kawasan Hindia Timur Belanda, iaitu Indonesia. Kerana itulah rantau ini disebut oleh orang Barat sebagai rantau ‘Malay Archipelago’. Apabila penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris muncul di rantau ini, rantau berbahasa Melayu, mulai abad ke-16, mereka mendapati sudah wujud di rantau ini suatu kesatuan tamadun yang tidak mudah dimusnahkan, seperti yang mereka lakukan terhadap penduduk peribumi di Amerika, iaitu tamadun yang dibentuk melalui bahasa Melayu, dan agama Islam, sejak ratusan tahun sebelum kedatangan mereka. Mereka terpaksa menggunakan alat yang sama, iaitu bahasa Melayu, untuk mengembangkan agama mereka, juga politik mereka, dalam kalangan penduduk setempat dari semua kumpulan etnik. Portugis yang memerintah Melaka selama lebih seratus tahun tidak berjaya membahasa-portugiskan orang Melayu atau mengubah agama orang Melayu.

Bahasa inilah yang dijadikan ‘bahasa kebangsaan’ dan bahasa rasmi Malaysia selepas tahun 1957. Sejarah sosiopolitik bahasa Melayu itulah yang menjadi penentu Dasar Bahasa selepas kemerdekaan. Pilihan lain yang lebih munasabah dan praktikal tidak ada.

Perjuangan Bahasa

Akan tetapi oleh kerana bahasa ini ialah bahasa bangsa Melayu maka ‘perjuangan’ untuk memajukan bahasa ini sebagai bahasa negara, tidak hanya sebagai bahasa orang Melayu, lebih banyak dilakukan oleh orang Melayu, baik orang perseorangan atau oleh persatuan dan kumpulan NGO Melayu. Misalnya, persatuan guru-guru Melayu dan pertubuhan bahasa, sastera dan budaya Melayu, termasuk Asas 50 (dan kemudiannya PENA atau GAPENA selepas Kemerdekaan), giat memperjuangkan bahasa Melayu sehinggalah tuntutan dan desakan mereka diterima oleh pihak yang menentukan dasar bahasa itu dalam tahun 1957.

Maka timbul soal, setelah dasar bahasa yang mengambil kira tuntutan golongan nasionalis bahasa Melayu itu digubal dan dijadikan undang-undang, yakni dimaterikan dalam Fasal 152 Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68, apakah orang Melayu masih perlu memperjuangkan untung nasib bahasanya lagi. Soal ini bergantung pada beberapa faktor, terutama faktor pelaksanaan dasar itu oleh kerajaan. Dalam negara pelbagai bangsa dan bahasa seperti Malaysia, sering kali timbul masalah pelaksanaan dasar bahasa yang sudah dipersetujui itu. Politik etnik sering menjadi faktor yang menentukan setakat manakah dasar itu dilaksanakan secara tegas oleh kerajaan.

Sebagai gerakan massa, perjuangan bahasa Melayu secara ketara berlaku dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1957 hingga tahun 1967. Gerakan ini secara khususnya berkait dengan adanya peruntukan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957 bahawa Parlimen akan menentukan kedudukan bahasa Inggeris sepuluh tahun selepas kemerdekaan. Dalam tempoh itu bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan, di samping bahasa Melayu. Sebenarnya, yang akan diuji dalam tempoh itu bukan bahasa Inggeris tetapi bahasa Melayu. Parlimen akan mengkaji semula sama ada bahasa Melayu akan dapat menjadi ‘bahasa rasmi tunggal’ atau sebagai bahasa untuk digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, menggantikan bahasa Inggeris.

Jadi, nampaknya kedudukan atau nasib bahasa Melayu sebagai ‘bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara’ masih perlu diuji selepas tergubalnya dasar bahasa itu. Dari segi perspektif ‘nasionalis bahasa Melayu’, perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu dalam kedudukan politik barunya itu belum selesai. Penduduk Persekutuan Tanah Melayu dari semua kaum etnik, selain bangsa Melayu sendiri, perlu menyokong bahasa dasar itu supaya kerajaan tidak menghadapi apa-apa masalah politik untuk melaksanakan dasar atau matlamat menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ‘urusan rasmi’ tunggal kerajaan selepas tempoh sepuluh tahun yang ditetapkan oleh parlimen atau oleh Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk tujuan itu maka dalam tempoh sepuluh tahun itu kerajaan melancarkan siri gerakan bahasa, iaitu Gerakan atau Kempen Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa, yang diketuai oleh pengarah DBP waktu itu, (Tun) Syed Nasir Ismail, yang kemudiannya mendapat jolokan sebagai ‘Panglima Bahasa’. Gerakan bahasa anjuran kerajaan ini mendapat dukungan beberapa pertubuhan NGO bahasa dan budaya, yang paling aktif ialah pertubuhan yang disebut Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan, tertubuh dalam tahun 1964, dan mempunyai cawangan si seluruh Tanah Melayu. Ketuanya ialah orang DBP, Yahya Ismail, yang pernah menjadi Penolong Setiausaha kempen bahasa DBP, saya pernah menjadi Setiausaha Pusatnya dari tahun 1964 hingga tahun 1966/67. Saya teringat semasa gerakan bahasa ini dijalankan, berlaku beberapa tindakan oleh aktivis bahasa Melayu (mungkin ahli BBBK) atau orang perseorangan, mengecat beberapa papan tanda awam yang tertulis dalam bahasa Inggeris.

Protes Bahasa

Apabila Parlimen akhirnya bersidang dalam tahun 1967 bagi membincangkan Rang Undang-undang Bahasa, beberapa banyak badan NGO Melayu berasa terperanjat. Mereka membantah beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang itu yang oleh BBBK dianggap tidak menepati janji UMNO atau kerajaan untuk menjadikan BM sebagai ‘bahasa rasmi tinggal’. Bahasa Inggeris masih dikekalkan dalam beberapa bidang urusan rasmi kerajaan, terutama dalam bidang kehakiman. Keputusan lain yang dibantah ialah keputusan untuk mengeluarkan notis-notis atau pengumuman kerajaan yang dianggap ‘mempunyai kepentingan awam’ dalam bahasa-bahasa lain, selain bahasa Melayu. Dikatakan oleh pihak kerajaan yang menjawab bantahan itu bahawa pengumuman dalam pelbagai bahasa ini hanya terjemahan dari naskhah asalnya dalam Bahasa Kebangsaan (BM). Pihak yang membantah menganggap bahawa itu ialah ‘taktik’ untuk menggalakkan penggunaan pelbagai bahasa dan melanggar semangat dasar bahasa yang asal, yang diperuntukkan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957. Sekumpulan 9 orang peguam Melayu juga telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967: Memorandum Hussein Onn [dan kawan-kawan]. Hussein Onn pada waktu itu menjadi peguam; kemudian beliau menjadi PM Malaysia ke-3. Antara lain memorandum ini menghujah bahawa Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen pada waktu itu tidak menggambarkan atau tidak melaksanakan matlamat yang terkandung dalam Fasal 152 Perlembagaan, iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kerajaan tidak mempedulikan kebanyakan daripada bantahan itu. Maka BBBK, secara kilat, menganjurkan suatu perhimpunan besar di Balai Budaya, kini Balai Tun Syed Nasir, DBP yang dihadiri oleh kira-kira 1500 orang peserta mewakili pelbagai pertubuhan, termasuk orang perseorangan, untuk membantah Rang Undang-Undang itu. Kemudian sekumpulan aktivis bahasa Melayu mengadakan perarakan yang terkenal sebagai Perarakan Keranda 152 menuju ke Kediaman PM dan ke Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan, tetapi perarakan itu disekat dan dihalau oleh pasukan Polis Pencegah Rusuhan. Akhirnya luluslah Akta Bahasa Kebangsaan 1967/1968. Perlu dicatat bahawa Seksyen 8 Akta ini, yang menimbulkan kontroversi, telah dipinda dan pindaan itu berkuatkuasa mulai 1 Jun 1990.

Selepas Tahun 1970

Suatu perkembangan baru berlaku selepas tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN yang ditubuhkan untuk memulihkan keadaan membuat keputusan untuk melaksanakan dasar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Baru mulai tahun 1970-lah kerajaan mengambil tindakan untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 untuk menukarkan sekolah jenis kebangsaan aliran bahasa Inggeris, yang sebelum itu masih tetap wujud, kepada aliran sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Jadi, semua sekolah jenis kebangsaan Inggeris diserap ke dalam sistem sekolah kebangsaan. Proses pemindahan atau ‘conversion’ ini kira-kira tamat dalam tahun 1981 apabila bermula dari tahun itu atau tahun 1982 semua kursus pertama yang diajarkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikehendaki diajarkan dalam bahasa Melayu. Seyogia diingatkan bahawa dalam tahun 1965 sekumpulan pelajar sekolah menengah kebangsaan Aminuddin Baki telah diberi peluang melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya untuk mengikuti kursus-kursus ijazah pertama dalam bahasa Melayu. Dalam tahun 1970 Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan. Universiti ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya.

Bahasa Nasionalis Dan Bahasa Nasionis

Di negara membangun bekas tanah jajahan kuasa Barat, dasar bahasanya sering kali menghadapi masalah pertentangan atau persaingan antara fungsi bahasa anak negeri dengan fungsi bahasa bekas kuasa penjajah dalam proses pembinaan negara. Joshua Fishman (1968), pemikir ‘politik bahasa’ atau perancangan bahasa Barat yang terkenal, dalam usahanya untuk mencari formula atau dasar bahasa apakah yang sesuai untuk negara bekas tanah jajahan Barat di Afrika dan di Asia, berpendapat bahawa di negeri itu perlu ada dua bahasa yang memainkan dua peranan yang berlainan. Satu ialah peranan atau fungsi nasionalis yang sesuai diserahkan kepada bahasa peribumi, mengingat adanya kesedaran yang kuat dalam kalangan penduduk peribumi untuk mengekalkan bahasanya sebagai alat perpaduan, atau sebagai lambang identiti bangsa; tetapi bahasa ini dianggap ‘tidak layak’ atau ‘belum layak’ untuk memainkan peranan sebagai alat untuk memajukan negara. Fungsi ini, yang oleh Fishman disebut language for nationist function, hendaklah diserahkan kepada bahasa bekas kuasa penjajah Inggeris atau Perancis misalnya, yang juga disebutnya sebagai ‘Language of Wider Communication,’ bahasa untuk ‘komunikasi luas’, maksudnya bahasa yang mampu digunakan juga di luar negeri berkenaan, yakni di peringkat antarabangsa. Jadi, menurut Fishman, dalam negara bekas tanah jajahan Barat itu perlulah ada dasar bahasa yang bercorak diglossic, yakni berdasarkan dua bahasa yang memainkan dua peranan yang berbeza: yang satu, iaitu bahasa setempat, bahasa anak negeri, perlu dikekalkan sebagai alat nasionalis atau sebagai ‘lambang bangsa’ atau sebagai alat perpaduan etnik atau bangsa, yang satu lagi, bahasa Barat, yang perlu dikekalkan dan dimajukan di negara itu sebagai alat ‘nationist’, yakni sebagai alat kemajuan negara dalam bidang pembangunan ekonomi, teknologi, pentadbiran kerajaan dan pendidikan tinggi.

Penjajahan Bahasa

Saya menganggap teori dasar bahasa dualistik nasionalis-nasionis seperti yang dikemukakan oleh Fishman itu sebagai teori penjajahan bahasa. Boleh jadi dasar bahasa seperti itu sesuai di negara bekas tanah jajahan Barat yang tidak mempunyai satu pun bahasa anak negeri yang dalam sejarahnya telah memainkan peranan sebagai pembentuk tamadun tinggi seperti bahasa Melayu, atau telah wujud di negara itu suatu lingua franca peribumi sebagai bahasa komunikasi luas, yang dapat merentas sempadan etnik dan geografi, seperti bahasa Melayu. Namun walau apa pun keadaannya, dasar bahasa seperti itu tidak menjamin bahawa bangsa, bahkan negara berkenaan, akan maju. Mengapa? Sebabnya ialah, bangsa itu tidak diberikan peluang oleh pihak yang berkuasa untuk memajukan diri mereka melalui bahasa mereka sendiri. Yang maju bukan bangsa itu seluruhnya, tetapi mungkin segelintir manusia yang menguasai bahasa asing, Inggeris atau Perancis, sebagai alat untuk memajukan diri mereka dalam bidang-bidang yang berpengaruh. Buktinya dua: (a) di kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi, atau sebagai bahasa rasmi utama, atau sebagai bahasa nationist function, bangsa mereka, bahkan negara mereka, tidak ‘maju’, malah ada yang makin mundur dan terus miskin. (b) di negara kita, semasa bahasa Melayu tidak diberikan peluang untuk menjadi alat kemajuan bangsa Melayu, misalnya dalam bidang pendidikan menengah dan tinggi, orang Melayu rata-rata cukup mundur dalam bidang itu. Kebanyakan mereka hanya terdidik dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah Melayu sahaja. Yang menentukan ‘kemajuan’ negeri ialah golongan elitis berbahasa Inggeris. Tetapi selepas kemerdekaan, apabila bahasa Melayu dijadikan alat pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke peringkat pengajian tinggi, kita dapat melihat berpuluh ribu orang Melayu menjadi ahli sains, doktor perubatan, akauntan, dan lain-lain, dan ribuan sarjana Melayu dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk sains dan matematik, yang terdidik dalam bahasa Melayu.

Sama ada kita menyedarinya atau tidak, dari segi budaya dan amalan dasar bahasa, kita sedang melakukan pelbagai perbuatan yang kesannya boleh membawa negara ini kembali ke zaman sebelum kemerdekaan itu: kita hendak mengembalikan bahasa Inggeris sebagai penentu kemajuan bangsa Melayu, tidak lagi bahasa Melayu. Dan ini saya anggap sebagai dasar atau pemikiran linguistic imperialism. Apa makna ‘linguistic imperialism’? Tollefson (1991), seorang penulis Barat, membincangkan soal bagaimana dasar mengutamakan bahasa Inggeris di negara bukan berbahasa Inggeris sebagai bahasa ‘elitis’ atau bahasa pihak yang berkuasa dengan mewujudkan keadaan tidak adil, misalnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan, kepada komuniti atau golongan dalam masyarakat yang tidak menguasai bahasa itu. Menurut Tollefson, model kemajuan atau pembangunan yang menjadi acuan mereka ialah model Barat, dan untuk mengembangkan model itu, alat yang digunakan mestilah bahasa Inggeris dan inilah keadaan yang menyebabkan berlakunya kemajuan yang tidak seimbang atau tidak adil antara negara atau komuniti di merata dunia.

Menurut Phillipson dalam bukuya Linguistic Imperialism (1992), imperialisme bahasa Inggeris ialah ‘…the dominance of English is asserted and maintained by the establishment and continuous reconstruction of structural and cultural inequalities betweeen English and other languages (hal. 47). Imperalisme bahasa Inggeris, menurut Phillipson adalah contoh ‘linguicism’ yang ditakrifkan sebagai ‘ideologies, structures, and practices which are used to legitimate, effectuate, and reproduce an unequal division of power and resources (both material and immaterial between groups which are defined on the basis of language’. Ketidakadilan struktural dan budaya ini memastikan bahawa sumber-sumber materialistik lebih banyak diagihkan kepada bahasa Inggeris dan tidak kepada bahasa-bahasa lain, dan tujuannya ialah untuk menguntungkan orang yang menguasai bahasa Inggeris (hal. 47). Dalam suatu tulisan beliau yang lain (1999, juga dalam 1992), Phillipson berkata: ‘The expansion of English in the postcolonial post-Communist worlds has not been left to chance but has been deliberately promoted by the American and British governments which have been concerned with promoting corporate interests and investments. The teaching and learning of English is itself a multibillion-dollar business, the largest generator of income for the British economy after oil. English for business is business for English. The English teaching business has been considered as second only to drug trafficking in its importance in some countries, an anology that is perhaps flippant but is also illuminating. Ediction to the drug of English is a widespread phenomenon (Phillipson dalam Joshua A. Fishman, 1999, hal. 96).

Terjemahan bebas: Peluasan dan pengembangan bahasa Inggeris di dunia pasca zaman kolonial dan selepas zaman komunisme tidaklah berlaku begitu sahaja tetapi dipromosi secara sedar dan sengaja (terancang) oleh kerajaan Amerika dan kerajaan British yang memberikan perhatian yang serius terhadap usaha untuk memajukan kepentingan korporat dan pelaburan. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri merupakan bidang perniagaan multibilion dolar, penjana pendapatan yang terbesar bagi ekonomi British selaing perniagaan minyak. Bahasa Inggeris untuk perniagaan bererti perniagaan bagi bahasa Inggeris. Perniagaan pengajaran bahasa Inggeris telah dianggap sebagai perniagaan yang kedua besarnya di samping pengedaran dadah dari segi pentingnya (nilai ekonomi atau perniagaannya) di sesetengah negeri. Perbandingan ini barangkali agak melulu tetapi ia juga mendedahkan hakikat bahawa ketagihan terhadap dadah bahasa Inggeris merupakan fenomena yang cukup meluas (di sesetengah negara).

Malaysia Kembali ke Zaman Penjajahan?

Saya kira penjajahan bahasa Inggeris atau ‘linguistic imperlialism’ bahasa Inggeris (menurut penjelasan di atas) sedang berlaku dan yang akan berlaku di negara ini apabila ideologi bahasa Inggeris digembar-gemburkan oleh beberapa pemimpin kerajaan dan disambut oleh pihak majikan, terutama dalam sektor ekonomi swasta, sebagai syarat wajib untuk mendapat pekerjaan, untuk maju dalam bidang pendidikan, untuk menjadi mengajar di sekolah dan di IPTA, dan sebagainya. Beratus-ratus ribu, mungkin berjuta rakyat Malaysia yang selama ini terdidik dalam BM dan yang berkelayakan tinggi dalam bahasa ini dalam pelbagai bidang, tiba-tiba diberitahu ‘anda tidak layak kerana anda tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris’. Itulah nasib yang menimpa lebih 85% daripada orang Melayu yang menjadi rakyat Tanah Airnya dalam zaman penjajahan British dahulu.

Orang semakin lantang menegaskan bahawa bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu, penting untuk kemajuan bangsa Melayu dan negara. Tetapi, menurut mereka, ini tidak akan menggugat kedudukan bahasa Melayu. Menurut mereka, nilai BM sebagai bahasa ‘perpaduan bangsa’ (entah apalah yang mereka maksudkan dengan kata-kata ini, saya tidak pasti) atau sebagai ‘bahasa kebangsaan’ tetap penting dan tarafnya sebagai ‘bahasa rasmi’ negara sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak akan berubah. Memanglah di atas kertas dasar itu tidak berubah, tetapi di luar bermacam-macam perubahan berlaku dan dilakukan sehingga kesannya ialah, dasar yang asal, yang dikatakan tidak berubah itu, makin lama makin tidak bermakna lagi atau semakin tidak dihormati orang.

Dua Sektor Bahasa Yang Bersaing

Kini kita melihat wujudnya dua sektor bahasa yang jelas di negara ini. Yang satu ialah sektor pembangunan yang dikuasai oleh bahasa Inggeris, dan yang satu lagi ialah sektor urusan pentadbiran negara yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa utamanya’, walaupun proses hakisan dasar ini juga sedang berlaku. Lebih-lebih lagi dalam sektor pendidikan negara, kita melihat wujudnya dua sektor yang berlainan, yang satu ialah sektor pendidikan swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat pengantar tunggalnya, dan yang satu lagi ialah sektor pendidikan awam yang nampaknya sedang menjurus ke arah penggunaan bahasa Inggeris, khususnya dalam pengajian matematik dan sains. Padahal Akta Institusi Pengajian Swasta (IPTS) 1996 dan Akta Pendidikan 1996 (yang menggantikan Akta Pelajaran 1961) tetap menegaskan dasar yang asal, iaitu bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar utama di IPTS. Walaupun menteri pelajaran diberi kuasa untuk mengecualikan peraturan dasar ini dengan membenarkan sesuatu kursus atau sebahagian besar dari kursus itu diajarkan dalam bahasa Inggeris, ini bukan dasar pokok, tetapi hanya kuasa untuk melakukan pengecualian. Malangnya, sejak tahun 1996 yang dilaksanakan oleh kerajaan atau menteri pelajaran ialah pengecualian itu bukan dasar penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar utama di IPTS. Jadi, amalan bertentangan dengan dasar. Semua IPTS (termasuk IPTS yang ditubuhkan oleh syarikat korporat/perbadanan milik kerajaan seperti PETRONAS, Telekom dan Tenaga Nasional) dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dalam semua kursus.

Perubahan Bahasa Pengantar Kursus Sains dan Matematik

Pukulan paling hebat terhadap dasar bahasa yang asal (yang dikatakan tidak berubah itu) dan terhadap dasar pendidikan kebangsaan ialah keputusan mengubah bahasa pengantar matematik dan sains dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Ini perubahan yang oleh sesetengah orang dianggap tidak bijaksana, malah ada yang berkata, tidak masuk akal dan tidak sah dari segi perlembagaan atau undang-undang bahasa dan Akta Pendidikan yang ada. Menurut mereka, hanya Parlimen sahaja yang boleh mengubah dasar bahasa itu.

Masalah yang dihadapi oleh pelajar Melayu dari peringkat rendah, yang penguasaan bahasa Inggerisnya lemah, sangat serius. Padahal sebelum itu, mereka tidak menghadapi masalah yang berat mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, bahasa yang mereka kuasai. Sudah pun banyak pelajar Melayu dan bukan Melayu, ribuan banyaknya, yang berkelulusan peringkat ijazah pertama, ijazah sarjana malah ijazah Ph. D. dalam bidang sains dan matematik yang mereka pelajari dalam bahasa Melayu.

Tidak ada negara yang maju, kecuali negara mundur atau negara takluk kuasa Anglo-Amerika, yang memaksa kanak-kanak mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa asing bermula dari hari pertama mereka bersekolah. Kita di Malaysia nampaknya lebih bijak menimbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah.

Nasionalis Bahasa Melayu Anti Bahasa Inggeris?

Kita juga sering mendengar orang Melayu, termasuk beberapa pemimpin Melayu, berkata bahawa orang Melayu yang menyibukkan diri ‘memperjuangkan’ bahasanya ialah ‘fanatik bahasa’ dan ‘anti-bahasa Inggeris’. Tetapi ini cakap-cakap orang yang emosional, tidak mahu berfikir secara lebih mendalam dan lebih bijaksana. Kalau ditanya, mana buktinya yang menunjukkan bahawa orang Melayu itu ‘gila bahasa Melayu’ atau anti-bahasa Inggeris, mereka pasti tidak akan dapat menjawabnya dengan bukti yang nyata. Tidakkah kita sedar bahawa selepas kemerdekaan, bahasa Inggeris dijadikan bahasa yang wajib dalam sistem pendidikan kebangsaan. UMNO dan orang Melayu tidak membantah dasar itu, walaupun mereka memperjuangkan bahasa Melayu. Orang putih pun tidak berani mewajibkan bahasa Inggeris diajarkan kepada kanak-kanak Melayu di sekolah Melayu dahulu. Mungkin itu pun merupakan dasar mereka untuk menghalang orang Melayu menguasai bahasa Inggeris kerana takut bahasa itu akan digunakan oleh bangsa Melayu untuk mencabar kuasa mereka melalui bahasa mereka, seperti yang berlaku di tempat lain, misalnya di India. Kalau dahulu guru-guru Melayu yang rata-rata tidak menguasai bahasa Inggeris memperjuangkan kedudukan BM, hari ini yang lebih banyak memperjuangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu yang menguasai bahasa Inggeris, orang yang cukup fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ragam tinggi. Apakah mereka membenci bahasa Inggeris? Tentu tidak. Yang mereka benci bukan bahasa Inggeris tetapi ialah penjajahan bahasa Inggeris. Yang mereka tentang ialah, dasar untuk mengembalikan penjajahan bahasa Inggeris di negara ini, dasar yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia berbahasa Melayu, rakyat Malaysia yang berpendidikan dalam bahasa Melayu, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tidak mendapat peluang untuk maju dalam bahasa ini kerana adanya seruan atau ‘dasar kedua’ (dasar yang tidak ada dalam Perlembagaan atau dalam Akta Bahasa Kebangsaan, dasar yang tidak pernah diputuskan oleh Parlimen) bahawa bahasa Inggeris ialah syarat utama untuk menjadi bangsa yang maju di negara ini. Inilah yang ditentang, iaitu ideologi bahasa itu atau agenda imperialismenya, bukan bahasa Inggeris itu, atau bahasa apa pun. Padahal bukan mereka tidak tahu, sudah ada puluhan ribu orang Melayu dan warga Malaysia dari kaum lain yang telah mencapai kejayaan dan kemajuan yang cemerlang dalam bidang sains, matematik, perubatan dan melalui pendidikan dalam bahasa Melayu dai darjah satu sampai ke IPTA.

‘Melayu tidak akan hilang Identiti Melayunya jikalau mereka mengetahui bahasa Inggeris’

Kemudian, kita ada mendengar segelintir orang Melayu, terutama pemimpin besarnya sejak dahulu, yang berkata bahawa orang Melayu tidak akan hilang identiti Melayunya jikalau mereka mengetahui bahasa Inggeris. Macam-macam alasanlah digunakan untuk mempengaruhi orang ramai bahawa orang Melayu tidak usahlah takut mempelajari bahasa Inggeris. Lagi sekali kita bertanya, mana buktinya bahawa orang Melayu takut mempelajari/menguasai bahasa Inggeris? Isu ini tidak timbul langsung. Kata-kata itu boleh mengelirukan rakyat, seolah-olah maksudnya atau implikasinya ialah, orang Melayu bolehlah mengorbankan bahasa mereka, menggantikannya dengan bahasa Inggeris, sebab pengorbanan itu tidak akan menukar bangsa Melayu menjadi bangsa Inggeris! Ingatlah, penduduk asli Hawai dan penduduk peribumi lain di Amerika, di Australia dan di New Zealand, sudah tinggal sebagai bahan atau artifak budaya dan pelancongan sahaja. Itulah sahaja ‘identiti’ yang masih ada pada mereka, iaitu rupa badan mereka, adat asli mereka, bahasa etnik mereka. Mereka tidak maju lagi kerana bahasa mereka sudah dimusnahkan. Dan jangan lupa juga bahawa di Asia atau di Asean, negara berbahasa Inggeris yang besar ialah Filipina, tetapi bangsa atau negara Filipina tidak lebih maju dari bangsa Jepun atau Korea, atau negara Thai, bahkan juga Indonesia yang mementingkan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai alat kemajuan bangsa di dalam negara sendiri.

Jadi apabila orang menimbulkan soalan: ‘mana lebih penting, maju bangsa atau maju bahasa’, kita kena mencabar pendapat yang songsang ini dengan soalan: bagaimanakah bahasa Melayu akan maju jikalau kemajuan bangsa Melayu tidak dilakukan dalam bahasa Melayu tetapi dalam bahasa orang lain, bahasa Inggeris? Bagaimanakah bahasa Melayu akan maju dalam bidang ilmu misalnya jika ia tidak digunakan sebagai bahasa ilmu? Banyak bangsa di dunia pupus atau hampir pupus kerana bahasanya tidak digunakan atau disekat untuk berkembang sebagai alat kemajuan bangsa itu. Teori yang benar – dan yang terbukti berdasarkan sejarah pembentukan tamadun setiap bangsa di dunia – ialah, bahasa maju apabila bahasa itu digunakan sebagai alat kemajuan bangsanya.

Tidak Salah Mengetahui Bahasa Asing

Mengetahui bahasa Inggeris atau bahasa apa pun selain bahasa sendiri, memang tidak salah, malah baik. Tidak ada orang Melayu yang berkata ini salah, berdosa! Tetapi apakah fungsi bahasa asing itu kepada bangsa yang mengetahui bahasa asing itu: soal inilah yang perlu kita fikirkan. Tentu sahaja pentingnya bukanlah untuk menggantikan bahasa kita sebagai alat kemajuan bangsa sendiri. Apalah gunanya kita mengetahui bahasa lain kalau tujuannya ialah untuk berkomunikasi antara bangsa sendiri dalam bahasa itu: di rumah, di kedai, di pasar, di restoran, di tempat kerja, di kilang, di pejabat dan sebagainya? Tidak cukupkah bahasa kita sendiri sebagai alat komunikasi dalam semua bidang itu? Baru-baru ini dalam Seminar membincangkan Peradaban Melayu, majlis perasmiannya dipenuhi dengan bahasa Inggeris, semua orang Melayu di majlis itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Anehnya, orang Eropah yang turut berucap dalam majlis itu berucap dalam bahasa Melayu! Dan ada kertas kerja yang membincangkan budaya dan tamadun Melayu disampaikan oleh orang Melayu dalam bahasa Inggeris, padahal hampir 98% peserta yang hadir mengetahui bahasa Melayu di peringat tinggi, bukan di peringkat ragam bahasa Melayu pasar. Apa hendak jadi kepada bangsa kita ni!

Kita mengetahui bahasa asing bukan untuk menggantikan bahasa sendiri tetapi untuk tujuan-tujuan tertentu. Misalnya, untuk mencari ilmu yang terdapat dalam kepustakaan bahasa asing itu; atau, kalau perlu, untuk menuntut ilmu di luar negeri (di Jepun, di Perancis, di negeri berbahasa Arab, misalnya), tidak hanya di negara berbahasa Inggeris, atau untuk menjadi diplomat di negeri asing, atau untuk menyampaikan kertas kerja di luar negeri, dan sebagainya. Berapa orangkah daripada penduduk Malaysia yang berjumlah lebih kurang 25 juta ini, yang hendak menjadi diplomat, hendak pergi ke Amerika, Britain dan Australia untuk menuntut ilmu – ilmu yang kebanyakannya dapat dituntut di negeri kita dalam bahasa kita – dan berapa orangkah rakyat Malaysia yang hendak membentangkan kertas kerja dalam bahasa Inggeris atau menghadiri persidangan peringkat antarabangsa di luar negeri?

Bagi memajukan bangsa kita (yang kebanyakannya tidak mengetahui atau tidak perlu mengetahui bahasa asing itu di peringkat tinggi) kita wajib menggunakan bahasa sendiri sebagai alatnya, kerana bahasa bukan hanya sekadar sistem linguistik; lebih penting lagi, bahasa ialah sistem budaya dan sistem kognitif, yang memainkan peranan sebagai alat untuk mencetuskan kreativiti minda atau akal budi bangsa sendiri, alat pembina tamadun bangsa. Ilmu yang diperoleh dari khazanah bahasa asing perlu dikembangkan secara kreatif, di negeri sendiri dan dalam kalangan bangsa sendiri dalam bahasa yang difahami oleh bangsa kita, iaitu bahasa Melayu. Proses pemindahan hasil tamadun luar secara kreatif ke dalam tamadun sendiri ini dilakukan oleh banyak bangsa lain. Bangsa Melayu telah melakukan proses ini berzaman-zaman lamanya melalui pertembungan mereka dengan tamadun dari dunia India, dunia Islam, dan dunia lain lagi. Apakah dengan cara ini bangsa dan negara kita tidak akan maju? Bangsa Eropah baru maju dalam bidang ilmu dan sains mulai abad ke-16 atau ke-17 setelah bahasa Latin digantikan oleh bahasa kebangsaan bangsa Eropah masing-masing. Bahasa Inggeris berkembang sebagai bahasa ilmu bukan kerana bahasa ini luar biasa sifat linguistiknya tetapi kerana bahasa ini banyak sekali meminjam kata-kata dari bahasa Latin dan Greek dan kerana adanya sejumlah orang dari bangsa mereka yang berfikir, menulis dan mengembangkan ilmu secara kreatif dalam bahasa sendiri. Hari ini tidak ada satu pun ayat dalam bahasa Inggeris, terutama ayat bahasa ilmu, yang tidak mengandungi kata-kata pinjaman. Begitu juga proses yang berlaku dalam sejarah bahasa Melayu. Para pemikir dan penulis bangsa Melayu sejak abad ke-16 atau ke-17 menghasilkan pelbagai karya tentang ‘ilmu Islam’ (misalnya ilmu fiqh, usuluddin, falsafah Islam, tasawuf Islam) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Arab, walaupun mereka pada mulanya memperoleh ilmu itu melalui bahasa Arab).

Orang Melayu Mesti Fasih Dalam Dua Bahasa: Melayu-Inggeris

Kita sering juga mendengar orang berkata bahawa orang Melayu hendaklah menjadi bangsa yang fasih dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris supaya mereka tidak akan ditinggalkan oleh segala bidang ilmu dan teknologi yang kini sedang pesat berlaku dalam bahasa Inggeris, supaya mereka tidak akan terputus dengan dunia global, atau dengan ‘dunia maklumat’ yang kebanyakannya disebarkan, misalnya melalui internet, dalam bahasa Inggeris. Ini seruan yang cukup baik. Tetapi masalahnya ialah, sistem pendidikan selama ini nampaknya gagal menjadikan pelajar kita, terutama pelajar Melayu di luar bandar, mahir dalam bahasa Inggeris, bahkan banyak juga pelajar Melayu yang gagal atau lemah dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah, setelah pelajar itu mengikuti mata pelajaran bahasa Inggeris (mata pelajaran yang wajib) selama sebelas tahun di sekolah (dari sekolah rendah hingga ke Tingkatan V), kebanyakan mereka masih cukup lemah dalam bahasa Inggerisnya. Apakah ini salah pelajar itu atau apakah sukatan pelajaran dan kaedah mengajar bahasa itu yang lemah? Lalu kita cuba menyelesaikan masalah ini dengan menimbulkan masalah lain lagi: memaksa pelajar Melayu itu mempelajari matematik dan sains dalam bahasa Inggeris! Sedangkan bahasa Inggeris pelajar itu – dan bahasa Inggeris guru sendiri – cukup lemah. Akibatnya, pelajar Melayu bukan sahaja tidak menjadi lebih fasih berbahasa Inggeris, malah mereka akan gagal dalam ilmu matematik dan sains kerana diajarkan dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Bahasa Inggeris Sebagai ‘bahasa global’ – Peduli Apa!

Ada pihak yang menekankan pentingnya bahasa Inggeris kerana bahasa ini ialah bahasa ‘global’, bahasa teknologi, bahasa ICT, bahasa internet, bahasa perdagangan antarabangsa dan lain-lain lagi. Tiada siapa yang menafikan hakikat ini, tetapi apabila kita menggunakan alasan ini untuk menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunan dan kemajuan sosial, budaya, ekonomi, perniagaan dan teknologi dalam negeri sendiri, inilah yang perlu kita berwaspada. Gerakan dan perasaan menentang proses globalisasi yang dianggap sebagai bentuk penjajahan baru (neo-kolonialisme), yakni penjajahan teknologi, penjajahan budaya, termasuk penjajahan bahasa Inggeris seperti yang disebut oleh Phillipson (di atas tadi), penjajahan ekonomi ‘pasaran bebas’ dan penjajahan ideologi, yang dibawa melalui bahasa Inggeris terutamanya, makin merebak. Kesedaran nasionalisme, atau menurut istilah John Naisbitt dalam bukunya Global Paradox (1995), ‘tribalism’, berlaku di mana-mana sekarang ini, termasuk juga di Eropah, tidak sahaja di negara “Dunia Ketiga”. Kalau dahulu bahasa Inggeris secara langsung menjadi alat penjajahan di dalam negara kita apakah sekarang tidak mungkin proses yang sama akan berlaku lagi, kali ini melalui globalisasi bahasa Inggeris ini yang boleh jadi dilancarkan secara sedar oleh pakatan Amerika-Britain untuk menguasai minda bangsa kita, menguasai ekonomi kita, memusnahkan budaya dan agama kita? Jikalau proses ini berlaku maka kita bertanggungjawab kepada bangsa dan negara Malaysia untuk mencegah proses ini dengan membina pembangunan menurut acuan bangsa kita sendiri melalui dasar-dasar kebangsaan dalam bidang budaya, pendidikan, ekonomi dan pendidikan. Dan acuan pembangunan kebangsaan ini hanya dapat kita lakukan sesuai dengan keadaan atau etos kita melalui bahasa yang difahami oleh majoriti rakyat Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan negara kita. Di peringkat negara, bahasa Melayu tidak lagi berfungsi hanya sebagai ‘lambang kebangsaan’ orang Melayu, tetapi sudah berfungsi atau seharusnya berfungsi sebagai bahasa supraetnik, atau sebagai alat nasionis (meminjam istilah Fishman), alat pembinaan negara.

Perjuangan Bahasa Yang Belum Tamat

Sebagai agenda negara, perjuangan untuk mempertahan fungsi bahasa Melayu sebagai alat kemajuan semua penduduk Malaysia nampaknya belum selesai. Hari ini kita lebih sibuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh orang yang cuba memusnahkan dasar bahasa yang ada selama ini. Apakah ini masalah atau agenda Melayu sahaja atau masalah negara? Kalau ini masalah negara maka tugas ini seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan dan rakyat Malaysia bersama. Tetapi kalau timbul keadaan yang boleh menyebabkan terancamnya bahasa Melayu sebagai alat kemajuan bangsa Melayu di negara ini, maka nampaknya orang Melayu sendirilah yang harus bertindak untuk menentang ancaman itu. Dasar bahasa dan dasar pendidikan kebangsaan yang terbentuk selepas tahun 1957 mungkin tidak akan terlaksana jikalau tidak ada desakan daripada badan-badan NGO Melayu pada masa sebelum dan beberapa tahun selepas tahun itu. Sebagai contoh, Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu (KPGMS), yang ditubuhkan pada 14 April 1946, mengadakan mesyuarat agung dalam bulan Disember 1957 untuk menggesa ahli-ahlinya keluar dari UMNO sekiranya kerajaan tidak segera melaksanakan penubuhan sekolah menengah Melayu. Oleh kerana sambutan kerajaan, terutama Menteri Pendidikan waktu itu agak dingin, maka KPGMS, dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 31 Januari 1958 memberi arahan kepada ahli-ahlinya supaya dalam tempoh 15 hari keluar beramai-ramai dari UMNO. Selepas tempoh itu sebanyak 10,000 anggota KPGMS yang sejak penubuhannya menjadi tulang belakang UMNO, keluar dari UMNO. Akibatnya, dalam Pilihan Raya Umum tahun 1959, UMNO atau Parti Perikatan telah hilang kekuasaannya di Kelantan dan Terengganu (Ahmat Adam 1994: 79). Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS hari ini) menggunakan isu bahasa itu untuk memancing undi Melayu. Maka takutlah UMNO dan kerajaan.

Hari ini orang Melayu tidak mempunyai badan NGO seperti itu lagi. Kerana inilah agaknya perjuangan bahasa Melayu tidak mendapat perhatian yang serius daripada penggubal dan pelaksana dasar kita. PAS pula nampaknya tidak lagi ghairah untuk memperjuangkan bahasa Melayu kerana barangkali parti itu tidak mahu menyakitkan hati pengundi bukan Melayu. Tetapi Jawatankuasa Menuntut (suqiu) dari Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia ditakuti oleh parti-parti politik Cina. Mereka terus mendesak kerajaan untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina, termasuk kepentingan bahasa, budaya dan pendidikan kaum Cina. Mereka boleh berkata: jikalau kerajaan tidak mengindahkan tuntutan mereka, mereka akan menyokong parti pembangkang. Dalam tahun 1999, misalnya, mereka menghantar memorandum mengandungi 89 tuntutan kepada kerajaan. Tetapi Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menolak tuntutan itu dengan alasan bahawa ia tidak selaras dengan ‘kontrak sosial’ yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi itu tidak bererti tuntutan-tuntutan itu akan dilupakan begitu sahaja. Orang Melayu, kata sesetengah orang, mudah lupa. Apabila sudah terlalu terdesak, baru mereka sedar dan mungkin hendak ’mengamuk’ dan menjulang keris, tetapi pada ketika itu, keadaan sudah menjadi fait accompli, tidak dapat dibuat apa-apa lagi.

Tidak dapat dibuat apa-apa lagi? Belum terlambat. Masih ada peluang untuk orang Melayu menyelamatkan bahasanya daripada dimusnahkan sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa sains dan bahasa matematik. Banyak orang sudah tahu bahawa pelaksanaan ‘dasar baru’ yang berkaitan dengan perubahan bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik itu, sedang mengalami banyak masalah. Kaum Cina pun takut dasar itu boleh memusnahkan bahasa Cina dalam sistem pendidikan di negara ini. Mereka secara mutlak tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu. Barangkali NGO Melayu dan NGO Cina boleh bekerjasama untuk memperjuangkan ‘kepentingan bersama’ dalam hal ini. Yang harus ditentang bukan bahasa Inggeris tetapi ialah dasar yang boleh menjadikan bahasa Inggeris itu sebagai alat penjajahan di negara ini – menurut takrif imperialisme bahasa sebagaimana yang dijelaskan tadi.

Ahli sains, pakar matematik dan para sarjana Melayu dalam pelbagai bidang ilmu yang lain patut terus menghasilkan buku ilmu, baik peringkat umum mahupun peringkat bacaan tambahan dan rujukan untuk pelajar, dalam bahasa Melayu. Kita sudah mempunyai ratusan ribu istilah khusus dalam pelbagai bidang ilmu – hasil usaha ratusan pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan ahli bahasa dan perancangan bahasa sejak tahun 1960-an – yang perlu dimanfaatkan terus dan tidak dibekukan dalam senarai istilah yang tersimpan di stor DBP dan di IPTA. Masyarakat Melayu di luar sistem pendidikan rasmi yang kian kacau itu harus dibanjiri dengan buku ilmu dalam bahasa Melayu untuk mencabar dasar yang salah itu. Jikalau orang Melayu tidak berani menentang keputusan itu melalui gerakan politik atau melalui ‘kuasa rakyat’, barangkali ada cara lain yang mungkin lebih berkesan, iaitu dengan melancarkan ‘gerakan’ memperbanyak penghasilan dan penerbitan buku ilmu dalam bidang sains dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya untuk bacaan umum, supaya bahasa Melayu tidak terus mati dipukul oleh dasar yang salah itu.

Nasionalisme bukan ‘Gila Bangsa’

Akhir kata, perlu dijelaskan bahawa nasionalisme dan nasionalisme bahasa bukan fenomena yang terdapat hanya di kalangan bangsa yang sedang membangun atau di negara ‘Dunia Ketiga” sahaja, tetapi juga berlaku di negara Barat yang dikatakan sudah maju. Nasionalisme atau nasionalisme bahasa jangan dikelirukan dengan emosi rasisme atau etnisiti, tetapi harus dilihat sebagai proses pembebasan politik dan penjajahan sosioekonomi yang dilakukan melalui bahasa kuasa luar. Cuma yang perlu kita perhatikan ialah, nasionalisme politik Eropah sering kali bercorak rasis – khususnya apabila bangsa Eropah itu berhadapan dengan bangsa bukan Eropah yang berada di kawasan mereka. Nasionalisme Melayu dan nasionalisme bahasa Melayu tidak bersifat rasis. Jadi, kita harus membezakan etnisiti atau rasisme dengan kesatuan atau kesedaran sosiobudaya yang disebut bangsa atau ‘nation’ dan hubungannya dengan proses pembentukan negara. Kita jangan lagi menuduh “pejuang bahasa Melayu” atau nasionalis bahasa Melayu sebagai golongan fanatik bahasa, gila bahasa, anti-bahasa Inggeris, anti-kemajuan dan sebagainya, kerana kata-kata ini merepek dan tidak beralasan sama sekali. Mungkin orang yang berkata demikian sudah menjadi mangsa “linguistic imperialism” bahasa Inggeris – tetapi mereka boleh jadi tidak menyedarinya.

Rujukan

Ahmad Adam (1994). Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa. Kuala Lumpur: DBP

Fishman, Joshua (1968). ‘Nationality-Nationalism and Nation-Nationism’. Dalam C.A.Ferguson and J. Das Gupta (Ed.), Language Problems in Developing Nations. New York: John Wiley and Sons; hal. 39-52.

Khoo Kay Kim (1991). Malay Society: Transformation & Democratisation. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications.

Phillipson, Robert (1992/2000). Iinguistic Imperialism. London: OUP.

Phillipson, Robert (1999). ‘Political Science’. Dalam Handbook of Language and Ethnic Identity (Joshua A. Fishman, Ed.). London: Oxford University Press.

Tollefson, J.W (1991). Planning Language, Planning Inequality: Language policy in the community. United Kingdom: Longman Group.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *