Kemaskini terbaru: March 7, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MANTIK MELAYU PRA-ISLAM BERASASKAN BAHASANYA DI PRASASTI

MANTIK MELAYU PRA-ISLAM BERASASKAN BAHASANYA DI PRASASTI+

Shaharir b.M.Z.

Pusat Dialog Peradaban

Universiti Malaya

Mel-e: riramzain@yahoo.com

Pendahuluan

Mantik sesuatu bangsa dapat dikaji menerusi bahasanya, khususnya tentang pemakaian kata sendinya (konjungsi dan disjungsi) yang setara dengan perkataan Melayu kini: “dan “, “serta” , “juga”, “pun”, “dengan” dan “atau”; pemakaian gabungan kata sendi ini dan daya penukartertibannya, penyekutuannya dan pengagihannya. Selain daripada itu perlulah juga dikaji cara penafian sesuatu pernyataan; dan pengimplikasiaan atau hukum kepenyebabannya. Jika gerigi V melambangkan “atau” dan baji Λ melambangkan “dan”, ¬ melambangkan tidak/bukan, → melambangkan “pasti menyebabkan”, “pasti menjadikan”, “pasti menghasilkan” atau “pasti mengimplikasikan”, dan sebagainya; dan huruf Rumi besar P,Q, R ,… mewakili penyataan/ayat, maka sesuatu sistem mantik ialah sekurang-kurangnya aljabar bagi pernyataan/ayat yang berikut perlulah dipastikan berlaku: atau tidak

SM1. P Λ Q = Q Λ P? , “dan” kalis tukar tertib atau tidak?

SM2. P V Q = Q V P?, “atau” kalis tukar tertib atau tidak?

SM3. P Λ (Q Λ R) = (P Λ Q) Λ R ?, “dan” kalis sekutuan atau tidak?

SM4. P V (Q V R)= (P V Q) V R?, “atau” kalis sekutuan atau tidak?

SM5. P Λ (Q V R) = (P Λ Q) V (P Λ R ), “dan” teragihkan terhadap “atau” ?

SM6.P V (Q Λ R)= (P V Q) Λ (P V R), “atau” teragihkan terhadap “dan”?

SM7. ¬(¬P)= P ?, “bukan bukan” atau “tidak tidak” balik asal atau tidak?

SM8. P → Q, “Jika P maka pastinya Q”? Adakah wujud ayat sebegini atau setara dengannya?

Sesuatu sistem mantik yang berbeza biasanya terjelma menerusi SM5 , SM6, SM7, atau SM8. Sistem mantik yang SM7 berlaku dinamai “sistem mantik dua-nilai”, “sistem ya-tidak”, atau “sistem mantik dalam dua”. Mantik halal-haram sahaja juga mantik dua-nilai. Pun begitu dengan sistem kehakiman di negara kita {salah, tak bersalah}. Contoh kontranya ialah sistem kehakiman yang ada keputusan {bersalah, tak bersalah, dan belum tahu}, seperti di Perancis, adalah contoh peguam dan hakim atau juri yang terpaksa menggunakan mantik tiga-nilai (yang tidak memenuhi SM7 itu). Mantik Hindu-Jain juga tidak memenuhi SM7 (lihat Barua 1921). Mantik hukum Islam yang terdiri daripada {wajib, haram, sunat, makruh, harus/mubah} jelas tidak memenuhi SM7 kerana, contohnya, tidak haram boleh bermakna 4 keadaan lagi itu (model mantik kabur keadaan ini sudah dibayangkan oleh Bayu 2009). Hukum implikasi Islam juga tidak bertaraf pasti, tetapi bersifat insya Allah (Lihat Shaharir 2009). Mantik di dalam dunia atom (di dalam teori atom; lihat Shaharir 2005) menjadi contoh terkenal yang tidak memenuhi SM5 dan SM6). Mantik al-Ghazally atau amnya mantik Ahl al-Sunnah wa al-Jamaa’ah tidak memenuhi SM 8, bahkan hampir semua SMj itu kerana struktur aljabarnya bukan lagi aljabar Boolean (Shaharir 2010).

Mantik Melayu pada zaman awal Islamnya (sekitar abad ke-16 M) pernah dilakukan oleh penulis ini berasaskan bahasa yang terungkap/diungkap di dalam buku/manuskrip Melayu yang biasa dianggap terawal, Hikayat Raja Pasai (Shaharir 2006); manakala pada abad ke-17 M juga pernah dikaji oleh Shaharir (2009) berasaskan manuskrip Ms 781(2) yang dianggap sebuah karya mantik oleh Nur al-Dyn al-Ranyry (Nuruddin al-Raniri). Ada tesis atau kepercayaan umum bahawa orang Melayu pra-Islamnya tiadalah ilmunya yang boleh dibanggakan, dan oleh itu bolehlah dianggap tanpa tamadun/peradabannya atau sivilisasinya (jika dianggap sesuatu bangsa yang bukan Islam dinggap tidak layak dikategorikan sebagai bangsa beradab/bertamadun sebagaimana pegangan mereka ini). Untuk mengukuhkan lagi tesis ini atau sebaliknya, maka kami berminat mengkaji mantik Melayu pra-Islamnya berasaskan penulisan bahasa Melayu dahulu kala (bahasa Melayu Purba atau Kuna/Kuno) atau yang dirujuk oleh Tiongkok sebagai bahasa Kunlun dan orang Yunani merujuknya sebagai bahasa Kolan sejak abad pertama Masehi hinggalah sebaru-barunya abad ke-13 M, walaupun orang Tiongkok juga merujuk bangsa atau kerajaan yang wujud di Palembang pada abad ke-4 M sebagai Malayu, Moloyu dan sebagainya (daripada bahasa Sanskrit, Malaya, atau Tamil, Malai yang bermakna gunung); manakala bangsa/kerajaan rumpun Melayu di Kemboja sebagai Funan yang kami percaya sebutan Tiongkok dahulu kepada kepada nama bangsa/kerajaan asalnya Pnom (asal perkataan Melayu sekarang “gunung”) atau Bnam (asal perkatan Melayu sekarang “banang”). (Asal-usul perkataan “Melayu” dibicara dengan lebih perincinya dalam Shaharir 2008/2010).

Kajian kami di sini hanya menumpukan pada sebuah prasasti berbahasa Melayu di Vietnam (abad ke-4 M) yang dipercayai prasasti berbahasa Melayu yang tertua itu, dan 4 buah prasasti Sriwijaya (berbahasa Melayu) abad ke-7 M, iaitu Prasasti Kedukan Bukit (di Musi, Palembang), Talang Tuwo (hampir Bukit Seguntang, di Jambi), Karang Berahi/Brahi (di Merangin, Jambi) dan Kota Kapur (di Pulau Bangka) (kedua-duanya disatukan kerana dikatakan oleh pengkajinya hanya ada dua dua ungkapan dan dua ayat sahaja yang berbeza), dan Boom Baru (di Palembang).

1. Mantik Melayu yang tersirat di dalam prasasti sebelum abad ke-7 M

Satu-satunya prasati di dalam bahasa Melayu sebelum abad ke-7 M yang kami ketahui ialah prasasti Melayu Campa di Vietnam , prasasti Dong Yen Cau, di Teluk Tourane, Vietnam Tengah, yang dianggar bertarikh abad ke-4 M, iaitu yang tertua setakat ini. Prasasti ini mengandungi hanya enam baris tulisan berupa satu ucapan pembuka kata, Siddham, diikuti dengan 3 ayat, tanpa kata sendi (konjungsi dan disjungsi) yang jelas setara dengan “atau”, serta “dan”, kecuali perkataan “dangan” (tranliterasi Intan 1991) atau “dnan” (transliterasi al-Ahmadi 1992; dan dipercayaai sekurang-kurangnya ralat tipografi kepada dńan yang perlu dibaca dngan, bukannya dnan) yang boleh dianggap setara dengan “dan” dalam ayat terakhirnya:

ya urang/uran paribhu/peribhu di ko kurun saribu/sarivu thun {}/ko davam di naraka dangan/dnan tjuh/tijuh kulo ko.

Di dalam bahasa Melayu (BM) kini, ayat di atas setaralah dengan ayat berimplikasi berikut:

“(jika) seseorang yang mengkhianatinya, (maka dengan pastinya) orang itu dan tujuh keturunannya akan berada di dalam neraka/naraka selama seribu tahun”

dengan mengubah sedikit ayat daripada al-Ahmadi (1992) supaya lebih setia dengan ayat asal itu; atau

“…, sesiapa yang mengkhianatinya, orang itu (pastinya?) akan masuk neraka selama seribu tahun sehingga tujuh keturunan”.

Ungkapan dalam kurungan itu (…) tambahan sahaja dan perkataan “dan” ditonjolkan kerana mengikut Coedas & Dumais (1992) adalah setara dengan perkataan yang ditransliterasi sebagai “dńan” yang dibaca sebagai “dangan” “dengan” atau “dngan” itu. Ini menunjukkan orang Melayu abad ke-4 M pun sudah ada struktur mantiknya yang ada konjungsi “dan” dan boleh membuat pentaakulan atau pengimplikasian dengan teraturnya. Tidaklah dapat dipastikan pengimplikasian itu bertaraf pasti atau tidak, lalu diberi tanda soal dalam tanda kurung itu. Sayangnya, hanya ada satu prasasti Melayu abad ke-4 M. Sebanyak-banyaknya tiga abad kemudian keadaan ini menjadi lebih jelas lagi seperti yang dibicarakan di bawah ini.

2. Mantik Melayu dalam Abad ke-7M

Pada prasasti Sriwijaya yang tertua yang dijumpai, iaitu di Kedukan Bukit, di tepi Sungai Tatung, Palembang, bertarikh 605 S (=683 M) sudah lebih jelas ada struktur mantiknya. Di situ penulisannya ada sebanyak tiga ayat semuanya, mengikut terjemahan Noriah (1999) ke dalam bahasa Melayu kini; atau 4 ayat mengikut terjemahan (ke Inggeris) Coedes & Damais (1992). Di prasasti ini sudah ada konjungsi dańan (bacaannya da-ngan) atau dńan/dngan yang bermaksud “dan” sekarang. Contoh ayatnya:

Di saptami …. Dapunta Hiyam marlapas dari minna Tamwan mawawa yamng wala dualaksa dańan ko duaratus cara di samwau dańan jalan sariwu tluratus sapulu dua wanakana.

(Dlm BM kini: Pada hari ketujuh … Dapunta Hiyam berlepas dari pangkalan Tamwan membawa bala tentera dua laksa dan pengiring dua ratus secara berperahu dan seribu tiga ratus dua belas berjalan kaki.) [Ubahsuai penulis kepada terjemahan Noriah & Coedes-Damais]

Begitu juga di prasasti Talang Tuwo bertarikh setahun kemudian, iaitu 606 S (=684 M), ada banyak ayat bersendi “dan”. Contohnya:

Yamng nitanam di sini niyur pinamng … rumwiya dńan/dngan samisrana yamng kayu nimakan wuahna

(Dlm BM kini: Yang ditanam di sini nyiur, pinang… rumbia dan pelbagai pokok yang buahnya boleh dimakan.) [Ubahsuai penulis kepada terjemahan Noriah 1999 & Coedes-Damais 1992)

Terdapat banyak kata sendi dńan di dalam prasasti Karang Berahi dan Kota Kapur (bertarikh 608 S = 686 M; dan Karang Berahi pun bertarikh sekitar masa yang sama) seperti dalam ungkapan tida ya itatwarjjawa diy aku dńan di iyam ( =tidak setia akan daku dan akan dia); tatwarjjawa diy aku dńan/dngan di yamng (setia akan daku dan akan dia); santi muah kawuantana dńan/dngan gotrasantanana (= perbuatan mereka, anak buah mereka dan keluarga mereka); talu muah ya dńan/dngan gotrasantanana (= anak buah mereka dan sanak saudaranya). Di samping ada istilah khusus untuk “dan lain-lain” , iaitu ityewamadi; dan “dan juga” atau “begitu pun/juga”, iaitu tathapi (kini “tetapi” yang bermakna “dan juga yang berbezanya/bertentangannya”). Perkataan ityewamadi dan tathapi juga ada di dalam prasasti Talang Tuwo. Contohnya:

Yamng nitanam di sini niyur pinamng … rumwiya dńan/dngan samisrana yamng kayu nimakan wuahna tathapi haur wuluh pattum ityewamadi. [Prasasti Talang Tuwo]

(Yang ditanam di sini…….pokok yang boleh dimakan buahnya, dan juga aur, buluh, putu dan lain-lain) [ Terjemahan Noriah 1999]

Tathapi sawanakna yamng wuatna jahat makalanit uramng …makagila mantra gada wisaprayoga upuh tuwa .. kasihan wasikarana ityewamadi …. [Prasasti Karang Berahi dan Kota Kapur]

(Begitu juga, sekalian mereka yang berbuat jahat (seperti) menjadi fikiran orang terganggu (naik marah, tidak waras), … membuat orang menjadi gila, menggunakan mantera untuk ubat guna-guna, dan menggunakan racun upuh/Ipoh, tuba, … menggunakan ubat pengasih, melakukan paksaan dan lain-lain …) [Ubahsuai terj. Noriah dan Coedes-Damais]

Prasasti Talang Tuwo jauh lebih banyak tulisannya (13 ayat mengikut Noriah 1999 dan 14 ayat mengikut Coedes-Damais 1992) berbanding dengan prasasti Kedukan Bukit atau prasasti Campa di Vietnam itu; oleh itu banyaklah maklumat mantik Melayu Kuno/Kuna yang dapat diperoleh daripadanya yang dibicarakan selanjutnya di bawah ini.

Namun masih tiada disjungsi yang jelas setara dengan “atau”, walaupun ada beberapa ayat yang membawa makna “atau” seperti ayat-ayat berikut:

Waramng sthanana lagi curi ucca wadhana paradana di sana.

(Dlm BM kini: Lagi, (se)barang keadaan/situasi di mana pun mereka itu, biarlah tiada berlaku curi, curang, bunuh (atau) zina di situ.) [Ubahsuai terj. Noriah dan Coedes-Damais; perkataan dlm tanda kurung itu tafsiran ayat itu sahaja]

Inilah satu-satunya ayat di dalam parasasti Talang Tuwo yang ada “atau” mengikut terjemahan Noriah (1999). Namun mengikut terjemahan Coedes-Damais (1992) ada dua buah ayat lagi yang terimplikasi adanya “atau”:

1. Di asanakala di antara margga lai tmu muah ya ahara dńan/dngan air niminumna.

(Di dlm BM kini: (Jika sekiranya) mereka lapar di perhentian/asanakala (atau) di antara perjalanan, (biarlah) mereka bertemu/mendapat makanan dan air minumnya.) [Ubahsuai pada terj. Noriah dan Coedes-Damais; perkataan dlm tanda kurung itu tafsiran ayat itu sahaja]

2. Ya jańan/jangan ya niknai sawanakna yamng upasargga pidana swapnawighna.

(Di dlm BM kini: (Semoga) mereka, berapa ramai pun, dijauhkan daripada kena segala bencana, siksaan (atau) insomnia). [Ubahsuai pada terj. Noriah dan Coedes-Damais]

Di dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi ada beberapa ayat yang ditafsirkan ada “atau” seperti di dalam ayat yang berikut:

Tuwi mulan yamng manuruh marjjahati yamng marjjahati yamng watu niprstishtha ini…

(Terjemahan Noriah 1999: Sesiapa yang menyuruh orang memusnahkan (atau) mereka sendiri memusnahkan batu yang dipasang ini, …).

Mantik implikasi

Segi pengimplikasian, prasasti Talang Tuwo ini banyak kali menggunakan perkataan punarapi dengan maksud “semoga” atau “mudah-mudahan” (suatu implikasi yang berunsur ketakpatian seperti dalam ungkapan orang Islam “barang diperkenan Allah” atau insya Allah) sebagai ganti ungkapan “jika … maka (dengan pastinya) “ sekarang. Contoh ayat itu ialah:

1. Jadi laki swayambhu punarapi tmu ya.

(Di dlm BM kini: (Sekiranya/Jikalaulah) lahir lelaki mudah-mudahan dia bertemu/beroleh swa-kekuatan/swa-wujud.) [Ubahsuai pada terj. Noriah dan Coedes-Damais]

2. Punarapi tmu ya kalyanamitra.

(Di dlm BM kini: Semoga dia bertemu/beroleh sahabat yang bijaksana)

[Ubahsuai pada terj. Noriah dan Coedes-Damais]

Walau bagaimananpun di dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi ada perkataan khas yang bermakna “jika”, iaitu grang , seperti dalam ayatnya:

Grang kadaci iya bhakti … (=Jika mereka tunduk berbakti ..)

tetapi tiadalah perkataan yang setara dengan “maka” sehingga ayat lengkapnya tiadalah berbentuk “jika … maka” kerana bentuknya ialah

Grang kadaci iya bhakti tatwarjjawa diy aku dngan di yamng nigalarku sanyasa datua santi muah kawuantana dngan gotrasantanana.

(Gabungan terjemahan Noriah dan Coedes-Damais: Jika mereka tunduk berbakti akan daku dan akan dia yang ku beri kedudukan menjadi datu, perbuatan mereka, (maka dengan pastinya?) anak buah mereka dan keluarga mereka ini penuh rahmat dan bahagia-makmur/santi)

Ini tidaklah berbeza dengan BM sekarang pun, iaitu (maka) itu tidak semestinya ada.

Di dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi ini ada pula dua ayat berimplikasi (yang tidak bertaraf pasti) yang berbentuk “Apabila/Tatkala …. , (maka) biarlah” dan “Sesiapa yang … (maka) mudah-mudahan…” . Dua ayat itu ialah yang berikut:

1. Kadaci yamng uramng di dalamna bhumi {ajnana kedatuan ini} parawis drohaka hanun samwuddhi lawan drohaka manujari darohaka niujari drohaka tahu dim darohaka tida ya mar{p}padah tida ya bhakti tida ya itatwarjjawa diy aku dngan di iyam nigalarku sanyasa datua dhawa wuatna uramng inan niwunuh ya sumpah….

(Gabungan terjemahan Noriah dan Coedes-Damais: Apabila ada orang di bumi di bawah kerajaan ini berpakat dengan orang jahat, menegur orang jahat, mendengar kata orang jahat, mengenali orang jahat, tidak menghormati, tidak tunduk, tidak setia,akan daku dana akan dia, yang kuberi kedudukan datu, (maka) biarlah mereka ini mati kena sumpah…)

2. Yamng manuruh marjjahati yamng marjjahati yamng watu nipratistha ini tuwi niwunuh ya sumpah talu muah ya mulamng

(Gabungan terjemahan Noriah dan Coedes-Damais: Sesiapa yang menyuruh orang memusnahkan atau mereka sendiri memusnahkan batu yang dipacak/dibangunkan ini, (maka) mudah-mudahan mereka pula mati dimakan sumpah dan dihukum segera)

Perkataan maka yang bermaksud “menyebabkan” banyak muncul dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi dalam ungkapan makalangit, makasakit, dan makagila, serta dalam prasasti Boom Baru dalam ungkapan yang sama tetapi dengan transkripsi dua kata: maka langit, maka sakit, dan maka gila. Perkataan maka ini bermaksud “menjadi” atau “menyebabkan”. Namun bahagian “jika..” daripada ungkapan maka x ini tidaklah muncul dengan eksplisitnya. Apa pun penggunaan maka nampaknya menjadikan ayat itu berupa pengimplikasian bertaraf kepastian tidak seperti penggunaan punarapi itu. Contoh ayat “bermaka” itu ialah dalam prasasti Karang Berahi dan Kota Kapur yang sebahgaiannya sudah dipetik sebelum ini (dalam bicara tathapi dan ityewamadi) tetapi diturunkan sepenuhnya di sini lagi:

Tathapi sawanakna yamng wuatna jahat makalangit uramng makasakit makagila mantra gada wisaprayoga upuh tuwa tamwal saramwat kasihan wasikarana ityewamadi jangan muah ya siddhapulamng ka iya muah yamng dosana wuatna jahat inan [Prasasti Karang Berahi dan Kota Kapur]

(Gabungan terjemahan Noriah & Coedes-Damais: Begitu juga, sekalian mereka yang berbuat jahat (seperti) menjadi fikiran orang terganggu (menjadi marah, tidak waras), membuat orang menjadi sakit, membuat orang menjadi gila, menggunakan mantera untuk ubat guna-guna, dan menggunakan racun upuh/Ipoh, tuba, sirih setangkai (yang telah dibubuh guna-guna), menggunakan ubat pengasih, melakukan paksaan dan lain-lain, (semoga perbuatannya itu) gagal dan mengena balik kepada yang berdosa berbuat jahat itu)

Beberapa Perkataan penting dalam mantik

Pada prasasti Talang Tuwo itu juga ada perkataan tatkalana (= pada masa itulah); anupama (=tidak sama, tidak/bukan umpama) yang jelas menunjukkkan adanya perkataan upama (=sama, umpama); nawasana (=kesimpulan); kathamapi (= (mengikut) apa cara pun, sebarang cara). Selain daripada itu prasasti itu ada perkataan pengkuatiti: sawanakna = setiap, semua; waramng =(barang/sebarang, apa saja, apabila); dan sarwwa dan parawis juga dipakai untuk maksud “semua” atau “setiap” mengikut konteksnya. Selain itu, ada perkataan pewujud: yambhu= ada/wujud/ujud dan muah=ada; penafian: a-/an– = tak/bukan, jańan/jangan =tidak, wukan = bukan. Perkataan tida =tidak/bukan hanya ada di dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi.

3. Mantik Melayu Awal-Awal Abad Kesebelas Masehi

Pada tahun 1906 Finot menemui prasasti Campa, di Myson, Vietnam bertarikh 1010 S (=1088 M) yang dinamainya “Kepingan Batu Myson oleh Jaya Indravarman II” yang telah kami terjemah kepada bahasa Melayu kini dan dimuatkan di dalam Shaharir (2008/2010). Oleh sebab prasasti ini mengandungi aksiom pemimpin dunia, atau istilahnya cakravantin, yang kami anggap amat penting dan bererti seperti yang dihuraikan di dalam rujukan di atas, maka kami merujuknya sebagai prasasti cakravantin. Prasasti ini menunjukkan struktur mantiknya yang agak kukuh kerana adanya konjungsi dan disjungsi “nan” (=dan) serta “ya va (=atau) dan pengimplikasian berkepastian menerusi perkataan “man” (=maka), “hetu” (=oleh sebab itu), “tmu” (=beroleh) di samping adanya pengkuantiti “pala” (=setiap sesuatu) dan “ya dom” (=semua; selain drp sarvva=sarwa dan sakala=segala), dan perkataan mada (=“ada” atau “wujud” sekarang). Contoh ayat menggunakan perkataan-perkataan ini ialah seperti berikut:

1. Man hetu Yan Po Ku Cri Jaya Indravarman nan vala svabhava vlom kan pyan thuv hitahityabvastu si maraksa raja tra dunan ka avih pala karma upak nyaya nan raksa raja.

[Baris ke-2 hingga ke-4 drp kepingan A prasasti cakravantin. Terj: Oleh sebab itu Yan Po Ku Sri Jaya Indravarman (dan) muda belia, maka baginda tidaklah tahu baik-buruknya dalam pemerintahan kerajaan dan baginda melakukan setiap sesuatunya bertentangan dengan aturan pemerintahan.)

2. Ya[n] Po Ku Cri Jaya Indravarmmadeva ya kumvan Pu Lyan Cri Yuvaraja Mahasenapati nan brahmana ksatriya pandita hora kalpacaryya maddan ya dom antahpurika avita ekathapada ya va aneka ya dom cubhavastu nan sananguh rajacri avista nau Popu Lyan Sri Yuvaraja Mahasenapati avih … ka vriy raja … nan Yan Po Ku Sri Paramabodhisatva dauk raksa raja tanatap vidhih.

[Baris ke-10 hingga ke-13 drp kepingan A prasasti cakravantin. Terj: Ya[n] Po Ku Cri Jaya Indravarmmadeva, anak saudara Pu Lyan Cri Yuvaraja Mahasenapati, dan brahmana, ksatriya, pandita, hora (ahlil nujum), kalpacaryya (juru acara majlis), [dan] semua antahpurika (isteri), membawa satu atau lebih objek berharga [dan] semua aneka tanda kebesaran diraja mengadap Popu Lyan Sri Yuvaraja Mahasenapati dan memahkotakannya sebagai raja Yan Po Ku Sri Paramabodhisatva yang memerintah dengan adilnya.]

3. Mukha pumvran purvva mada mata manikya sa si ikak

[Baris ke-27, kepingan B prarasasti cakravantin. Terj: Muka timur ada permata delima.]

Nawasana/Kesimpulan

Orang Melayu sebelum Islam, sekurang-kurangnya sejak akhir abad ke-7 M sudah ada sistem mantiknya yang tinggi yang memenuhi hukum mantik dua-nilai dan hokum implikasi pasti dan tak pasti (bergantung konteksnya). Jika kita melihat teknologinya (khususnya teknologi perkapalan dan seni-bina) dan unsur-unsur sainsnya dari sistem angka dan ilmu kepemimpinannya (Shaharir 2005/2009), maka kewujudan mantik Melayu yang agak tinggi (termasuklah pengimplikasian yang bukan berkepastian), pada zaman pra-Islamnya tidaklah menghairankan atau mengejutkan. Namun, penemuan ini mungkin sukar diterima oleh mereka yang selama ini sudah menerima tesis atau hipotesis bahawa “tamadun Melayu hanya berbaloi diketahui setelah mereka memeluk Islam” dan yang lebih teruk lagi “Tamadun Melayu bermula di Melaka”.

Rujukan

Al-Ahmadi A.R. 1992. Aksara dan Batu bersurat Melayu Kuno. Jurnal Filologi Melayu 1: 11-41

Barua B. 1921. A History of Pre-Buddhistic Indian Philosophy. Delhi: Motilal Banarasidas Pub.

Bayu T.W. 2009. Fuzzy: logika bijak matematik. http://bayutarawijaya.blogspot.com/2009/09/ fuzzy-wise-logic-mathematics. html (capai 21 Okt. 2010.)

Coedes G. & Damais L.-C. 1992. Sriwijaya: History, Religion & Language of an Early Malay Polity. Kuala Lumpur: MBRAS

Intan. 1991. Malaysia Kita. Kuala lumpur: INTAN

Noriah M. 1999. Sejarah Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama. P.Pinang: USM

Shaharir b.M.Z. 2005. Tabii Zarah Atom: Penjana Sains Matematik Baru dan Terserlahnya Alam Metafizik. Siri Catatan Kuliah PELANDOK 8. Bangi: Pusat Pengajian Sains Matematik, UKM

——————. 2006. Ulasan buku “Hikayat Raja Pasai”. Jawhar 3(1):1-17

—————–. 2005/2009. Sakti Melayu pra-Islam dan awal Islam. Di dlm. Mohd Hazim S.A.M.(Pnyel.). 2009. Sains, Agama dan Budaya Di Alam Melayu. K.Lumpur: DBP: 1-71 . Makalah yang mulanya dibentangkan di Seminar Sains, Agama dan Budaya Di Alam Melayu anjuran UM-DBP 2005

——————. 2008/2011. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Sunt. Ke-2, 2011. K.Terengganu: UMT. Sunt pertama 2008

——————. 2009. Mantik Melayu Separuh Pertama Abad ke-17 M menerusi Manuskrip Mantik Melayu-Jawi yang Tertua Setakat ini: Manuskrip Nur al-Dyn al-Ranyry . Dibentang di Seminar Kebangsaan Etnomatematik III anjuran ASASI-INSPEM di UPM pada 18 Nov. 2009

——————. 2010. A Need for a New Algebra of an Islamic Logic based on al-Ghazaly’s Reasoning. Laman Kesturi.net

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

+ Makalah untuk Seminar Bahasa Melayu Purba dan Klasik, anjuran ASASI, 24 Feb 2011

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *