Kemaskini terbaru: July 1, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENYINGKAPAN SAUJANA SAMUDERA BAHASA MELAYU MELALUI GAGASAN PEMERIBUMIAN ILMU: SUATU SUMBANGAN SHAHARIR MOHAMAD ZIN

PENYINGKAPAN SAUJANA SAMUDERA BAHASA MELAYU MELALUI GAGASAN PEMERIBUMIAN ILMU: SUATU SUMBANGAN SHAHARIR MOHAMAD ZIN

Oleh:

Mohd Tarmizi Hasrah

Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Pengenalan

Tidak ramai sarjana di Malaysia yang berani menyeberangi tembok yang menjadi sempadan bidang kepakaran mereka bagi meninjau keluasan dan keindahan panorama yang berada di sebalik tembok tersebut. Yang sudah menjadi kelaziman bagi sarjana di negara ini adalah sekadar berlegar-legar di sekitar kawasan yang dilingkungi oleh tembok itu, lalu menyembulkan apa-apa yang ada di situ secara apa adanya. Dari satu sisi, kondisi sebegini tiadalah menjadi masalah besar kerana ia pastinya akan mempertajamkan lagi kefahaman yang membolehkan mereka memberi sumbangan yang bermakna kepada bidang kepakaran mereka itu. Namun, jikalau dilihat dari sisi yang lain pula, kondisi sebegitu bakal membataskan malah mengehadkan sumbangan mereka dalam sesuatu bidang kepakaran mereka lebih-lebih lagi dalam tradisi kesarjanaan masa kini yang sangat mementingkan sesuatu yang bersifat rentas disiplin.

 

Ambil sahaja contoh dalam bidang linguistik sejarawi, misalnya. Jika dahulu sarjana dalam bidang ini, terutama dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, hanya menggunakan data-data bahasa yang telah direkonstruksi untuk menentukan tanah asal bangsa Austronesia. Kini, yakni bermula pada pertengahan tahun 1980-an penentuan tanah asal bangsa ini tidak lagi ditentukan hanya dengan menggunakan data-data bahasa sahaja tetapi dengan memanfaatkan penemuan dari bidang-bidang lain seperti kajian DNA, arkeologi, antropologi dan sosiologi. Penggabungan ini telah menyumbang bukti-bukti tambahan untuk memperkuatkan lagi teori tanah asal bangsa Austronesia tersebut.

 

Mujurlah dalam kalangan yang tidak ramai itu ada juga seorang sarjana yang berani mengangkat tukul besi untuk meruntuhkan tembok penghadang bagi meninjau panorama yang mengasyikkan yang berada di luar tembok tersebut. Beliau ialah Shaharir Mohammad Zin. Dalam hal ini, beliau telah mencuba sedaya upaya untuk membangunkan ilmu secara rentas disiplin. Walhasil, kita dapat melihat bahawa tujahan kegiatan kesarjanaan beliau cukup bervariasi sekali seperti yang terkandung dalam banyak karya beliau yang mencakupi bidang-bidang seperti sains, ekonomi, politik, agama, bahasa dan budaya. Memang, untuk membicarakan semua tujahan kegiatan kesarjanaan beliau itu tidak hanya cukup dengan sebuah rencana ringkas seperti yang ditulis di sini. Makanya, penulisan rencana ini memerlukan pembatasan. Atas kesedaran itu, rencana ringkas ini hanya akan membicarakan satu aspek sahaja daripada tujahan tersebut iaitu bahasa.

 

Secara umumnya, bahasa, dalam hal ini bahasa Melayu, memang menempati kedudukan yang cukup sentral dalam kesarjanaan Shaharir. Tambahan pula beliau memang terbangun dari tradisi pendidikan yang berpengantarkan bahasa Melayu sepenuhnya dan mengajar pula di universiti yang dari segi dasarnya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangunan ilmu. Dengan latar belakang yang sebegini, tentunya kita dapat mengesan betapa akrabnya beliau dengan bahasa ibunda beliau sendiri yang akhirnya menjadikan bahasa ini sebagai inti utama dalam gagasan beliau mengenai pemeribumian ilmu.

 

PengIslaman Ilmu dan Pemeribumian Ilmu

Pada hemat penulis, untuk memahami pemikiran dan seterusnya sumbangan Shaharir terhadap bahasa Melayu, perlulah terlebih dahulu ditelusuri dua gagasan yang memang telah berdarah daging dalam diri beliau sejak beliau melibatkan diri dalam kegiatan kesarjanaan.

 

Pertamanya ialah pengIslaman ilmu. Gagasan PengIslam Ilmu memang telah dikenali dengan sangat rapatnya sekurang-kurangnya dengan tiga orang pemikir besar dunia Islam, Seyyed Hossein Nasr, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail al-Faruqi. Ketiga-tiga pemikir inilah yang memasakkan gagasan mengenai PengIslaman Ilmu. Secara umumnya, PengIslaman Ilmu bertujuan untuk menilai semula ilmu-ilmu kontemporer yang terbangun dalam tradisi kesarjanaan Barat yang pada anggapan mereka tersangatlah dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat yang telah mengalami sekularisasi. Oleh sebab proses sekularisasi itu, maka ilmu-ilmu yang hadir dari tradisi kesarjanaan Barat itu telah mengandungi banyak elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam terutamanya. Dalam hal ini, premisnya adalah sesuatu ilmu itu tidak bebas nilai, tidak seobjektif yang disangka kerana dipengaruhi oleh nilai-nilai yang dipegang dan dianut oleh sarjana yang membangunkan ilmu tersebut; jika ilmu itu lahir dari tradisi Barat, maka nilai Barat-lah yang didokongnya. Makanya, ilmu-ilmu itu perlu dinilai dan disaring semula berdasarkan nilai-nilai Islam agar cocok dengan pegangan dan anutan agama ini.

 

Keduanya ialah Pemeribumian Ilmu. Jika gagasan PengIslaman Ilmu lebih bersifat umum dalam erti kata menyaring ilmu dalam konteks agama Islam, manakala Pemeribumian Ilmu pula lebih bersifat khusus, iaitu tertumpu pada aspek tamadun Melayu-Islam; yang dimaksudkan dengan tamadun Melayu-Islam di sini ialah sebuah tamadun yang dibangun dengan segala khazanahnya yang berpasakkan pandangan alam Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam yang muncul sama ada sebelum hadirnya Islam ke Alam Melayu mahupun selepas hadirnya Islam. Seperti yang telah ditakrifkan oleh Shaharir (2004: 310) bahawa yang dimaksudkan dengan Pemeribumian Ilmu itu atau khususnya etnosains itu adalah “…sains yang diolah semula, ditafsirkan, disesuaikan dan dibangunkan oleh mereka yang berpandangan alam Melayu-Islam yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam.” Gagasan asasnya masihlah serupa cumanya Pemeribumian Ilmu bertujuankan untuk menyaring ilmu kontemporer dalam konteks Melayu-Islam. Dalam hal ini, jika PengIslam Ilmu mempertanyakan soalan seperti “apa Islam kata tentang ilmu ini,” sebaliknya soalan yang dipertanyakan melalui gagasan Pemeribumian Ilmu menjadi lebih khusus seperti “apa kata tradisi Melayu-Islam terhadap ilmu itu.”

 

Pada penulis, gagasan yang kedua inilah yang terpenting kerana di sinilah terpacaknya sebuah diktum “membangun ilmu dalam acuan sendiri” yang pastinya meletakkan peri-pentingnya bahasa Melayu sebagai wahananya. Pandangan penulis ini sebenarnya disandarkan kepada takrif yang diberikan oleh Shaharir di atas dan dilanjutkan pula secara spesifiknya lagi dalam karya beliau (Shaharir 2010a) yang secara terang-terangan meletakkan bahasa Melayu sebagai kayu ukur penyembulan pemeribumian atau etnosains itu. Mengenai perkara ini, menurut Shaharir Pemeribumian Ilmu atau etnosains Melayu itu adalah “…ilmu itu bukan sekadar bersumberkan bahasa sejarah ilmu rumpun Melayu masa lampau, tetapi unsur sejarah itu mestilah yang bertulis di dalam bahasa rumpun Melayu (unsur sains matematik di dalam bahasa Sanskrit atau Arab umpamanya tidak diiktiraf sebagai ilmu rumpun Melayu). Beliau selanjutnya meneruskan “…pemaparan kembalinya (ilmu itu–pen.) pun hendaklah dominannya di dalam warisan rumpun bahasa yang sama dan pengembangan ilmu yang tersembul itu perlu dilakukan di dalam acuan Melayu-Islam…” Jelas bahawa dalam takrif ini bahasa Melayu atau lebih luasnya bahasa rumpun Melayu-lah yang menjadi kayu ukur utama dalam gagasan pemeribumian ilmu itu. Hal yang serupa ditemui, yakni penekanan terhadap bahasa Melayu dalam gagasan ini, dalam huraian Shaharir mengenai ilmu Melayu yang pada pandangan beliau sesuatu ilmu itu hanya akan digelar ilmu milik bangsa Melayu apabila sesuatu ilmu itu diartikulasi dan dikaryakan dalam bahasa Melayu (Shaharir 2008/2010b: 51).

 

Jadi, dengan takrif-takrif yang dikemukan oleh Shaharir seperti yang diperturunkan semula dalam perenggan-perenggan di atas, tersingkap kepada kita bahawa dalam projek kesarjanaan beliau, Pemeribumian Ilmu atau peng-etnosains-an itu secara tidak langsungnya mengungkapkan mengenai peri-pentingnya bahasa Melayu di dalamnya; bahawa yang digelar etnosains Melayu atau ilmu Melayu itu adalah ilmu yang berwahanakan bahasa Melayu termasuklah bahasa pengartikulasiannya dan sumber-sumbernya. Sehubungan dengan itu, secara terus menerusnya diteroka oleh beliau segala khazanah keilmuan tamadun Melayu-Islam yang tertulis dalam manuskrip-manuskrip dan terpahat di prasasti-prasasti dalam bahasa Melayu untuk melaksanakan gagasan yang dipegangi oleh beliau.

 

Kontroversi PPSMI dan Penegakan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu/Sains

Selain itu, satu isu yang tidak mungkin boleh diabaikan dalam melihat pemikiran Shaharir dan sumbangan beliau terhadap bahasa Melayu adalah mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau ringkasnya PPSMI. Malahan, penentangan konsisten beliau mengenai perkara ini jelas memperlihatkan keakraban dan kecintaan beliau terhadap bahasa Melayu. Sebagai seorang yang memang terlibat langsung dalam bidang sains-matematik, beliau sememangnya menyedari bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran kedua-dua bidang penting itu merupakan langkah terkebelakang yang bakal memandulkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dalam perjuangan beliau bagi menentang pelaksanaan dasar ini, beliau tetap setia berpegang pada premis bahawa ilmu memang tidak bebas nilai. Dan, disebabkan sesuatu ilmu itu diungkapkan melalui bahasa, maka bahasa juga turut tidak bebas nilai.

 

Dalam hal ini, bagi beliau bahasa bukanlah sekadar bahasa semata-mata yang hanya mengandungi unsur-unsur linguistik seperti bunyi (fonetik dan fonologi), perkataan (morfologi dan leksikal), ayat (sintaksis) dan makna (semantik), tetapi di dalam bahasa terkandung pemikiran dan pandangan alam penutur bahasa tersebut; bahawa dalam bahasa terkandung ciri kejiwaan penutur bahasa tersebut (Shaharir 2009a). Pandangan ini sebenarnya selaras dengan pandangan beberapa ahli bahasa seperti Edward Sapir dan muridnya Benjamin Lee-Worf yang terkenal dengan tesis Sapir-Worf sahaja, atau lebih awalnya oleh ahli falsafah, antaranya Wilhelm von Humboldt, Martin Heidegger mahupun Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri. Disebabkan hal inilah sesuatu yang dicerap oleh akal seseorang penutur sesebuah bahasa terhadap benda dalam realiti diungkapkan secara berbeza oleh pencerap daripada seseorang penutur bahasa lain terhadap benda yang sama. Misalnya, “adil” dan “justice” difahami secara berbeza oleh seseorang yang berpandangan alam Melayu-Islam dengan seseorang yang berpandangan alam Barat-Sekular. Begitu juga dalam ilmu sains. Contoh yang sering digunakan oleh Shaharir dalam beberapa karya beliau (Shaharir 1990, 2006g, 2008/2010b) adalah mengenai konsep optimun atau “yang terbaik” yang sangat berbeza ertinya yang difahami oleh Barat-Sekular dan Melayu-Islam; bahawa pada kefahaman Barat-Sekular yang dikatakan “yang terbaik” itu adalah yang difahami oleh isme-isme seperti neo-liberalisme, kapitalisme dan sosialisme, sebaliknya bagi Melayu-Islam “yang terbaik” itu adalah “berpada-pada” atau “wustdo.” Lihat contoh-contoh yang lebih banyaknya lagi dalam karya-karya beliau, antaranya Shaharir (1990, 2009a, 2009b, 2009c).

 

Itu satu hal. Selain dari yang dinyatakan di atas itu, terdapat isu lain pula yang terimplikasi secara tersiratnya di sebalik penggubalan dasar PPSMI itu, yakni tiadanya ilmu sains dan matmatik dalam tamadun sendiri, tamadun Melayu-Islam, sehingga menyebabkan lahirnya idea untuk menggubal dasar yang boleh dikatakan 100% meletakkan kekaguman (atau ketundukan?) kepada tamadun Barat secara total, kerana bagi penyokong dasar ini bahawa segala ilmu adalah berpuncakan daripada bahasa Inggeris tanpa menyedari yang bahasa inipun meminjam konsep-konsep ilmu daripada bahasa-bahasa lain (Philipson 1992). Akibatnya, muncullah suatu pandangan oleh golongan ini bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa ilmu. Terkaan semacam ini, seperti yang sering dinyatakan dalam kuliah beliau, telah “mencabar” beliau untuk menyembulkan unsur-unsur sains dan matematik dalam tamadun Melayu-Islam yang sejak turun-temurun diungkapkan dalam bahasa Melayu atau bahasa rumpun Melayu. Dan, hasilnya tidaklah seperti yang disangka-sangka oleh golongan pendokong PPSMI kerana Shaharir memang telah berjaya menyembulkan unsur sains dan matematik dalam tamadun Melayu-Islam; lihat hasil dan refleksi beliau dalam Shaharir (2010a).

 

Benar, bahawa unsur sains dan matematik atau unsur keilmuan umumnya memang telah ada dalam tamadun Melayu-Islam. Jikalau tidak masakan mungkin bangsa ini berjaya membangunkan tamadun yang cemerlang yang ditandai oleh tamadun Funan-Chenla, Champa, Sriwijaya, Majapahit, Melaka ataupun Acheh, cumanya unsur-unsur itu, catat Shaharir, telah “…terdampar di pantai yang belum ada peliburnya sahaja,” kalau ada pun hanya berminat untuk kelih-kelih sahaja. Hasil ini secara tidak langsungnya menjadi bukti kukuh bahawa bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa sains dan matematik ataupun bahasa ilmu secara keseluruhannya sejak sekian lamanya. Yang menjadi masalah kepada penyokong PPSMI adalah keliatan mereka untuk menerima hakikat ini disebabkan terbenamnya di jiwa mereka akan watak tertawan itu.

 

Shaharir dan Sumbangannya Terhadap Bahasa Melayu

Setelah menghuraikan serba sedikit latar kesarjanaan Shaharir, barulah kita boleh menilai sumbangan beliau terhadap bahasa Melayu. Dengan penghuraian yang ringkas itu, penulis merasakan bahawa penulis telah meletakkan suatu asas yang kukuh untuk memahami mengapa nama Shaharir harus digandingkan secara eratnya dengan bahasa Melayu. Sehubungan itu, pembicaraan mengenai sumbangan Shaharir terhadap bahasa Melayu akan dibahagikan kepada tiga: 1) Penelusuran Etimologi; 2) Peristilahan dan Perkamusan; dan 3) Pembukaan Wilayah Penyelidikan Baru.

 

1) Penelusuran Etimologi

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa matlamat sentral gagasan Pemeribumian Ilmu atau etnosains itu adalah bertujuan untuk membangunkan ilmu mengikut acuan sendiri. Melihat kepada matlamat ini mungkin akan memunculkan persoalan mengenai tatakaedah yang diguna pakai, dan seterusnya apakah pula hubungan matlamat ini terhadap bahasa Melayu? Persoalan ini penting untuk diberi perhatian kerana ianya memiliki matlamat yang sangat besar dan berjangka panjang yang sudah tentunya tidak bersifat ad hoc. Yang dimaksudkan dengan penelusuran etimologi di sini bukanlah secara khusus seumpama yang difahami oleh ahli-ahli linguistik, antaranya Theodora Bynon (1994: 61), yakni usaha-usaha menyusun sejarah bentuk dan makna kata yang tercakup di dalamnya tiga persoalan utama seperti yang diulas oleh Collins (2003: 2-4) itu; bahawa etimologi itu melibatkan masalah bentuk dan makna; bahawa etimologi itu merupakan usaha sejarah yang sewajarnya menjelaskan perkembangan kata; dan bahawa etimologi itu melingkungi asal usul kata dalam sesuatu bahasa. Sebaliknya, penelusuran etimologi yang diterapkan dalam tatakaedah Pemeribumian Ilmu adalah untuk merungkaikan makna sesebuah konsep ilmu kontemporer yang muncul dalam bahasa lain, dan seterusnya melancarkan kritikan terhadapnya dengan menggunakan konsep ilmu yang sama yang ada dalam bahasa sendiri. Ini bertujuan untuk menjawab pertanyaan seperti “apa Melayu dan Islam kata terhadap konsep ilmu yang ingin dirungkai dan dikritik itu”.

 

Dengan mengguna pakai tatakaedah yang sebegini, seseorang penyelidik perlulah menelusuri perkataan-perkataan yang ada dalam bahasa Melayu umpamanya yang mengandungi konsep ilmu-ilmu tertentu dan seterusnya dilagakan dengan konsep ilmu-ilmu yang sama yang ada dalam bahasa Inggeris umpamanya untuk melihat wujudkah perbezaan faham yang didokong oleh makna perkataan tersebut. Sekilas pandang, pastinya ia memunculkan perbezaan bersebabkan premisnya dasarnya bahasa memang tidak bebas nilai, oleh itu ilmu yang terhasil juga tidak bebas nilai. Dengan premis ini, konsep-konsep ilmu yang hadir melalui bahasa sendiri secara tidak langsungnya akan berbeza pula dengan konsep-konsep ilmu yang sama dalam bahasa lain. Shaharir telah pun membuktikan perkara ini dalam banyak karya beliau. Mungkin boleh diperturunkan beberapa contoh di sini. Misalnya, karya beliau mengenai teori kepemimpinan dan kepengurusan Rumpun Melayu (Shaharir 2008/2010b) yang nyata memperlihatkan faham kepemimpinan dan kepengurusan Rumpun Melayu yang berbeza dengan faham yang sama dalam tradisi Barat-Sekular melalui perbandingan perkataan “lead” dengan “pimpin” dan “manage” dan “urus.” Begitu juga dengan tabii masa dalam fizik kuantum yang sangat berbeza dengan konsep masa yang difahami oleh penutur bahasa Melayu yang terungkap dalam etimologi perkataan bahasa Melayu yang berhubungan dengan konsep masa itu (Shaharir 2009b).

 

Sebenarnya, percubaan Shaharir untuk membangunkan ilmu mengikut acuan sendiri melalui penelusuran etimologi bahasa Melayu ini merupakan sesuatu percubaan yang baru di negara ini walaupun penerapan tatakaedah yang sama telah lama berlaku di Barat, malah ahli linguistik yang mengkhusus dalam bidang etimologi pun tidak menyedari keunikan tatakaedah ini kerana hanya bertumpu pada penelusuran perkembangan bentuk dan makna kata. Sememangnya penerapan tatakaedah penelusuran etimologi seperti yang dilakukan oleh Shaharir itu telah mengungkapkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui konsep-konsep yang terkandung di dalam perkataan-perkataannya.

2) Peristilahan dan Perkamusan

2a) Peristilahan

Antara isu yang sering ditimbulkan oleh penyokong PPSMI, dan isu yang berlegar-legar dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah mengenai keterhadan peristilahan ilmu-ilmu kontemporer, terutamanya sains dan teknologi, yang ada di dalam bahasa Melayu. Isu ini sering-sering sahaja ditimbulkan bagi mewajarkan dasar PPSMI diteruskan kerana bagi penokongnya semua istilah ilmu sains dan teknologi hanya terdapat di dalam bahasa Inggeris. Ini hujah songsang yang sengaja dibuat-buat tanpa alasan ilmiah dan tanpa kesedaran mengenai kekayaan khazanah keilmuan tamadun Melayu-Islam.

 

Sebuah bahasa yang moden sifatnya mestilah memiliki perkataan-perkataan yang mampu mengungkapkan konsep-konsep ilmu kontemporer dengan berjayanya tanpa menimbulkan kekaburan dan kekeliruan mengenai faham asal yang terkandung dalam ilmu kontemporer tersebut (Collins 2005). Bahasa Melayu adalah bahasa moden kerana telah lama memiliki sifat yang sedemikian itu. Sejak muncul tamadun di PASCABIMA ini yang ditandai di wilayah Indo-China kemudian menjengah ke Borneo, Sumatera, Kepulauan Jawa dan Melaka, memang segala urusan yang melibatkan pelbagai ranah (ilmu, politik, niaga dll.) dilakukan di dalam bahasa Melayu. Pernyataan ini mungkin akan ditafsirkan sebagai suatu yang terkena jampi faham romantisisme kerana hanya mengagung-agungkan sejarah lampau. Sebenarnya tidaklah begitu, dan Shaharir telah membuktikannya melalui sumbangan beliau dalam membina istilah-istilah ilmu di dalam bahasa Melayu.

 

Dalam usahanya ini, Shaharir mencuba sedaya upaya untuk menghidupkan kembali istilah-istilah ilmu dalam bahasa Melayu sama ada yang purba mahupun yang moden. Ini dapat dikesan dalam banyak karya beliau. Untuk membicarakannya, penulis membahagikan perkara ini kepada tiga:

 

a. Istilah asli Rumpun Melayu

Shaharir sebenarnya banyak menggunakan istilah-istilah asli sesuatu ilmu yang diambilnya daripada bahasa-bahasa Rumpun Melayu. Ini terutamanya dapat dilihat dalam karya beliau yang menyentuh mengenai sistem pembilangan (penomboran dan sukatan) dan astronomi Melayu. Dalam sistem pembilangan misalnya, beliau kerap menggunakan istilah-istilah lama bahasa Melayu, antaranya “laksa”, “suklapaksa”, “wisilion”, “eka”, “dwi”, “panca”. Manakala, dalam bidang astronomi, banyak juga istilah asli Rumpun Melayu yang digunakan beliau, antaranya “bintang temabor” yang merujuk kepada gelaksi, “rasi” atau buruj, “hora” atau bintang, “graha” atau planet dan “candera” atau bulan.

b. Istilah yang dicuplik dari dialek-dialek Melayu

Selain daripada istilah Rumpun Melayu asli, Shaharir kerap juga menggunakan istilah yang dicuplik daripada dialek-dialek Melayu untuk mengungkapkan sesebuah konsep dalam fizik kuantum seperti yang terdapat dalam karya terbaru beliau yang berjudul Kritikan Teori Einstein dan Teori Kuantum (Shaharir 2010b). Antara istilah dialek yang digunakan adalah “lohong gelap-gelemak” bagi menggantikan lohong hitam atau black hole itu dan “bergusut” bagi merujuk kepada tabii atom yang tidak tetap itu.

 

c. Istilah-istilah yang diterjemahkan

Keterlibatan Shaharir dalam jawatankuasa peristilahan telah memberikan peluang kepada beliau untuk mencipta istilah-istilah baru dalam ilmu sains dan teknologi terutamanya ke dalam bahasa Melayu. Ini membolehkan beliau membentuk daftar istilah bahasa Melayu yang sesuai bagi ilmu tersebut. Selain menyunting daftar istilah khusus seperti Istilah Sains UKM (1980) dan Senarai Istilah Matematik (1980) beliau juga berturut-turut melampirkan setiap istilah teknikal dalam karya terjemahan beliau dalam bahagian glosari seperti yang terlihat dalam buku-buku Imre Lakatos (2003), Raymond Wilder (2010) dan Albert Einstein (2010). Yang menariknya tentang perkara ini, beliau secara umumnya tidak terikat dengan pedoman peristilahan dan perterjemahan yang mewajarkan seseuatu istilah yang tiada konsepnya dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan struktur asal ejaan bahasa Inggeris dengan hanya sedikit perubahan ejaan yang kena dengan sistem tatabunyi bahasa Melayu (DBP ). Sebaliknya, beliau seboleh-boleh menggelintar konsep asli dalam bahasa Melayu yang sama dengan konsep yang diungkapkan dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itulah kita akan menemui istilah “realism” tidak diterjemahkan kepada “realisme” tetapi kepada “nyataisme,” “behaviorism” kepada “kelakuanisme,” “falsificationism” kepada “pemalsuanisme,” dll.

 

2b) Perkamusan

Selain terlibat dalam penciptaan istilah-istilah keilmuan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, Shaharir juga turut menjengah ke wilayah leksikografi, iaitu sebuah bidang yang berkaitan dengan perkamusan. Dalam hal ini beliau telah menyusun sebuah kamus bahasa Khmer purba berdasarkan beberapa buah kamus bahasa Khmer yang berjudul Kamus Bahasa Inggeris-Khmer Purba (Shaharir manuskrip). Dalam usaha ini, beliau menggelintar tiga buah kamus iaitu Dictionnare Vieux Khmer-Francais-Angli oleh Pou, An Old Khmer-French-English Dictionary, dan Centre de Documenttaion et de Recherche La Civilisation Khmere. Penggelintaran terhadap kamus-kamus ini membolehkan Shaharir mengeluarkan banyak perkataan yang memiliki persamaan dengan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa suku kaum di Malaysia. Yang menariknya mengenai kamus ini adalah tatacara yang diguna pakai oleh beliau. Pertama pemaparannya mengenai kewujudan imbuhan “a” yang berperanan sebagai penanda kebalikan daripada makna kata dasar. Contohnya, “bahagia” yang bermakna rasa hati yang gembira, namun jika ditambah imbuhan “a” di hadapan kata dasar bagi membentuk “a+bahagia” atau “abahagia”, maka maknanya berubah menjadi sebaliknya iaitu nasib malang atau tiada nasib.

 

Selain itu, kelebihan kamus ini terletak pada maklumat etimologinya yang pastinya sangat berbeza dengan Kamus Dewan yang miskin maklumat etimologi itu. Dalam kamus ini, sumber etimologi itu adalah melalui bahasa Sanskrit dan juga dari dialek-dialek Melayu. Contohnya perkataan “aniyanya” yang bersumberkan “a+nyanya” dari bahasa Sanskrit, “bejana” dari Sanskrit “bhajana” dll.

Ada persoalan lain pula yang muncul apabila kita meneliti kamus ini, yakni adakah ini bermakna bahasa Melayu memiliki hubungan dengan rapat dengan bahasa Khmer itu? Ramai ahli linguistik berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini bukanlah dari keluarga yang sama; bahasa Melayu dalam keluarga Austronesia, manakala bahasa Khmer dalam keluarga Austro-Asiatik. Oleh itu, tidak mungkin bahasa kedua-dua bahasa ini memiliki hubungan yang rapat. Berhubungan dengan perkara ini, hubungan yang dipaparkan melalui kamus Shaharir itu yang jelas menunjukkan kerapatan kedua-dua bahasa adalah disebabkan faktor peminjaman, iaitu terdapatnya unsur-unsur peminjaman daripada bahasa Sanskrit.

 

d) Penerokaan Wilayah Penyelidikan Baru

Sumbangan kesarjanaan Shaharir sebenarnya telah berjaya menguakkan tingkap wilayah penyelidikan baru yang telah memberikan sumbangan bermakna kepada bahasa Melayu. Pertama yang perlu dinyatakan di sini adalah penyelidikan mantik/lojik bahasa Melayu. Memang tidak dinafikan bahawa beliaulah pemula kepada penyelidikan etnomantik ini yang pertama kali dicubanya menyembul unsur mantik dalam Hikayat Raja Pasai (Shaharir 2006), manuskrip karangan Nur al-Dyn al-Ranyry (Shaharir 2009) dan dilanjutkan pula kepada penyembulan unsur mantik dalam bahasa Melayu Purba melalui penyelidikan terhadap prasasti abad ke-4 M hingga abad ke-7 M (Shaharir 2011). Penyelidikan Shaharir ini telah membuktikan bahawa unsur mantik memang telah wujud dalam bahasa Melayu sejak awal lagi. Buktinya, maklumat dari prasasti-prasasti abad ke-4 M hingga abad ke-7 M itu telah mengandungi proposisi berimplikasi “jika.., maka…”, unsur-unsur negasi, disjungsi, konjungsi dan pengkuantitian wujud dan semesta. Penemuan ini secara tidak langsungnya memberikan suatu peneguhan kukuh kepada bahasa Melayu bahawa bahasa ini memang layak untuk dijadikan bahasa ilmu yang sempurna unsur mantiknya.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa masih terlalu banyak yang tidak sempat diungkapkan di dalam rencana ini mengenai keakraban Shaharir dengan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, pengungkapan yang sedikit itu diharapkan bermanfaat juga. Mungkin rencana ini wajar diakhiri dengan pernyataan bahawa tamadun Melayu-Islam sebenarnya cukup kaya dengan khazanah keilmuan yang terungkap dengan cemerlangnya di dalam bahasa Melayu. Seperti pembuktian konkrit melalui kegiatan penyelidikan Shaharir di atas dan dalam banyak karya beliau yang lain yang tidak diulas di sini, penggelintaran terhadap segala khazanah itu bukan sahaja mampu menyembulkan ilmu-ilmu yang bitara malah turut menyumbang kepada pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

 

Rujukan

a) Rujukan utama yang disitasi dalam teks dan termasuk juga antara karya-karya Shaharir Mohamad Zin yang ada hubungan tersurat dan tersirat dengan bahasa Melayu.

1990. Simbiosis antara sistem nilai dengan tabii matematik. Bangi: Penerbit UKM.

1992a. Asal usul Melayu dan hubungan bahasa dan peradaban bangsa. Jurnal Dewan Bahasa (3): 270-278.

1992b. Keperluan penegasan pendominasian bahasa Melayu dalam pembinaan negara Malaysia yang maju. Dlm. Wan Hashim Wan Teh (Pnyt.), Kongres Cendekiawan Melayu III. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

1992c. Garis panduan pemiawaian istilah dalam bahasa Melayu. Dlm. Mior Hamzah Mior Hashim drk. Ke Arah Pembentukan Istilah yang Sempurna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1995. Bahasa Melayu dalam sains dan teknologi: Mitos, kenyataan dan unggulan. Kertas kerja yang disampaikan dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Kumpulan Kertas Kerja Jil. 2: 503-515.

1996a. Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia menerusi bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali Haji. Persatuan Linguistik Malaysia.

1996b. Bahasa Melayu dan penyampaian ilmu sains dan teknologi di Malaysia: Kejayaan kini dan cabaran global. Kertas kerja Seminar MABBIM, Padang, Sumatera

2000. Pengenalan sejarah dan falsafah sains. Bangi: Penerbit UKM

2002. Etnomatematik Melayu. Sari (20): 97-112

2004. Pembinaan sains Melayu. Dlm. Anwar Omar Din (Pnyt.), Dinamika Bangsa Melayu menongkah arus globalisasi: 303-320

2005a. Peranan bahasa sendiri dalam pembangunan sains sepanjang zaman. Jurnal Pendidikan Islam 11 (2): 1-29.

2005b. Beberapa akibat daripada pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di Malaysia: Suatu penilaian empiris dan teori. Kertas kerja Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 pada 26-27 Mac 2005.

2005c. Masihkah ada kerdipan berjayanya dalam pengajaran sains dan matematik sekolah menerusi bahasa Inggeris? Kongres Menyelamatkan dan Mendaulatkan Semula Bahasa dan Pendidikan Melayu anjuran Kumpulan Prihatin pada 11 Jun 2011.

2005d. Terjemahan dan pemindahan ilmu, jalan ke puncak. Dlm. Abdullah Hassan (Pnysn.), Terjemahan dan Penglobalan Ilmu. Kertas kerja Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-10 pada 2-4 Ogos 2005. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publications.

2005e. Bahasa Melayu bahasa ilmu. Berita Harian 17 Okt. 2005.

2005f. Pentingnya pemeribumian sains dan teknologi. Dlm. Abdul Rahim Bakar & Awang Sariyan (Pnyt.), Suara Pejuang Bahasa, Persatuan Linguistik Malaysia: 160-178.

2006a. Ulasan Hikayat Raja Pasai. Jawhar (3): 1-17

2006b/2008. Bahasa sendiri lebih baik: Perlunya bahasa Melayu kembali menjadi pengantar utama dalam pendidikan sains dan matematik di sekolah. www.Kesturi.net

2006c. Wacana bahasa ilmu. Makalah yang dibentangkan di Persidangan Tahunan Pertama FOCUS IIITM pada 9-10 Disember 2006 di Cerating.

2006d. Bahasa jiwa pemaju bangsa: Dari desa ke kota, dari petani ke industri, dari setempat ke sejagat. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu 5 (2): 169-236

2006e. Wawancara polemik mengenai dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Siasah 3-6 Feb 2006.

2006f. Cabaran teknologi maklumat kepada pendidikan dalam bahasa Melayu. Jurnal Persatuan Linguistik (7): 149-160.

2006g. Pendekatan baru terhadap konsep optimun kini dan beberapa konsep optimun baru. Kesturi 16 (1 & 2): 64-104.

Kamus bahasa Inggeris-Khmer Purba (Funan?). Manuskrip

2008/2010b. Pembinaan semula teori kepemimpinan dan kepengurusan Rumpun Melayu. Kuala Terengganu: Penerbit UMT

2008a. Bahasa Melayu bahasa ilmu: Telah, la-ni dan kelak. www.asasi.my

2008b. Bahasa, budaya dan khazanah ilmu. www.asasi.my; www.jalantelawi.net

2008c. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. www.ummhonline.net

2009a. Pembawaan dan penyerlahan jiwa kemanusiaan yang berbeza mengikut penghayatan bahasa dalam sains matematik. Makalah yang dibentangkan di Seminar Ulang Tahun INSPEM pada 12 Mei 2009, INSPEM, UPM.

2009b. Bahasa jiwa ilmu: Kes teori kenisbian dalam fizik teori. Sari (27): 143-165

2009c. Apa ada pada bahasa Melayu? Syarahan Umum yang disampaikan di USM pada 10 April 2009 anjuran JK Amanah Bahasa USM.

2009d. Mantik Melayu separuh pertama abad ke-17 M menerusi manuskrip mantik Melayu-Jawi yang tertus setakat ini: Manuskrip Nur al-Dyn al-Ranyry. Makalah yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Etnomatematik III pada 18 November 2009 anjuran ASASI-INSPEM di UPM.

2009e. Sains, bahasa Melayu dan PengIslaman Ilmu. Siasah 15-21 Mei 2009, Komentar: 15

2009f. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains, teknologi. Harakah 22-24 Mei 2009, Fikrah: F16-F17 & 25-28 Mei 2009, F21-22. Asalnya makalah undangan yang dibentangkan di Wacana Ilmu Siri I: “Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” di Kolej Darul Hikmah, ABIM, pada 19 April 2009.

2010a. Tiga dasawarsa pengalaman penyembulan etnosains matematik Rumpun Melayu. Makalah undangan yang disampaikan di Seminar Etnomatematik UNRI-ASASI pada ? di Universitas Riau

2010b. Kritikan teori kenisbian dan teori kuantum. Petaling Jaya: ASASI

2011a. Mantik Melayu pra-Islam berasaskan bahasanya di prasasti. Makalah yang dibentangkan di Seminar Bahasa Melayu Klasik dan Kuno anjuran ASASI-PBKKM di Universiti Kebangsaan Malaysia.

2011b. Keterlestarian Melayu. Nota kuliah yang disampaikan di Pusat Dialog Peradaban UM.

Malangnya nasib bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan matematik: Bala yang perlu dikendala (t.t)

 

b) Rujukan terhadap karya yang diterjemahkan oleh Shaharir terutamanya berkenaan dengan peristilahan yang tertera dalam umbaian setiap karya terjemahan ini.

Lakatos, Imre. 2003. Pemalsuan dan tatakaedah aturcara penyelidikan sains. Karya asal Falsification and the methodology of scientific research programmes yang diterbitkan pada tahun 1992 dalam antologi Criticism and the growth of knowledge oleh Imre Lakatos dan Alan Musgrave oleh Cambridge University Press.

Wilder, Raymond L. 2010a. Matematik suatu budaya. Karya asal Mathematics as a cultural systems diterbitkan pada tahun 1981 oleh Pergamon Press.

Einstein, Albert. 2010b. Karya tentang Relativiti Khas. Jurnal Terjemahan ATMA (1): 71-102

 

c) Rujukan tambahan

Bynon, Theodora. 1994. Linguistik sejarawi. Terj. Noor Ein Mohd. Nor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collins, J. T. 2003. Mukadimah ilmu etimologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pedoman peristilahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Philipson, Robert. 1992. Linguistic imperialism. London: Cambridge University Press

 

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *