Kemaskini terbaru: July 27, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PERTANIAN BUMIPUTERA MELAYU JOHOR DALAM ARUS EKONOMI KAPITALISME 1910-1957

PERTANIAN BUMIPUTERA MELAYU JOHOR DALAM ARUS EKONOMI KAPITALISME 1910-1957

Oleh: Izuan Razali

ABSTRAK
Ekonomi pertanian bumiputera Melayu Johor secara umumnya terdiri daripada sekumpulan petani yang tinggal di kawasan pertempatan tertentu terutamanya di kampung-kampung. Kegiatan pertanian mereka dapat didefinisikan sebagai sekumpulan masyarakat yang memiliki atau menyewa tanah dalam skala yang kecil serta menggunakan sistem manual dalam melaksanakan pekerjaan. Masyarakat petani di Semenanjung Tanah Melayu ini kebiasaannya terdiri daripada orang Melayu, khususnya di negeri Johor. Kegiatan pertanian di Johor pada awal abad ke-20 sebenarnya memainkan peranan yang penting kepada perkembangan ekonomi di negeri tersebut. Tujuan makalah ini membincangkan pola-pola sistem pemegangan tanah yang telah dipraktikkan di negeri Johor pada period kolonialisasi Inggeris (1910-1957). Hasil daripada sistem tersebut telah memanifestasikan satu bentuk aktiviti pertanian yang lebih kompleks. Malahan pentadbiran tanah pada zaman kolonial ini telah menjadikan ‘tanah’ sebagai satu aset komersial yang boleh dijual beli. Keadaan ini memberi impak yang luas kepada masyarakat Melayu Johor kerana ianya sangat berbeda dengan sistem tradisional yang difahami sejak berkurun lamanya. Dari satu posisi, masyarakat Melayu Johor tetap mendapat kelebihan kerana mereka tetap memiliki tanah persendirian sehinggalah diwartakan ‘Malay Reservations Enactment’ pada tahun 1913 yang membawa pengaruh besar terhadap perkembangan ekonomi pertanian masyarakat Melayu. Tindakan ini sangat penting bagi menjaga hak dan kedudukan orang Melayu Johor sebagai masyarakat natif di negeri tersebut. Pada umumnya tanah yang dimiliki secara persendirian oleh orang Melayu Johor adalah dalam skala yang kecil. Secara tidak langsung perkara ini menyebabkan mereka hanya mengusahakan aktiviti ekonomi pertanian yang lebih tertumpu kepada pertanian tanaman makanan sahaja. Situasi ini jelas dilihat di beberapa daerah di negeri Johor seperti Batu Pahat, Muar, Segamat dan Endau. Untuk mengindentifikasikan sistem pentadbiran tanah kolonial dan impaknya terhadap pertanian orang Melayu di Johor, kajian ini akan menggunakan ‘content analysis’ melalui pendekatan sejarah dengan menggunakan sumber-sumber primer dan sekunder yang telah diperolehi daripada Arkib Negeri Johor. Hasilan ini diharapkan dapat mendedahkan satu sisi kecil baru berkenaan kolonialisasi, masyarakat kolonial dan pembangunan sosioekonomi di Johor.

Kata Kunci: Pertanian, Tanah, Melayu, Kolonialisasi

PENGENALAN
Pertukaran pentadbiran sesebuah kerajaan selalunya menyebabkan perubahan kepada dasar-dasar pembangunan ekonomi kerajaan tersebut. Begitulah keadaan yang berlaku di Malaysia. Jika kita membaca dan menelusuri sejarah Malaysia, satu fakta yang tidak dapat kita nafikan ialah dasar negara kita terutama pada akhir abad ke-19 dan ke-20 telah banyak dibentuk oleh dasar pentadbiran Kolonial Inggeris. Inggeris telah mengawal sepenuhnya organisasi pentadbiran di Negeri-Negeri Selat dan juga di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pangaruh Inggeris ini juga tidak terkecuali memberi kesan kepada Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Walaubagaimanapun, kuasa tempatan masih mempunyai peranan penting dalam menghadapi dasar-dasar kolonial Inggeris tersebut. Negeri Johor merupakan fokus kajian ini antara Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang cuba sedaya upaya untuk mencegah pengaruh kuasa asing yang kuat melanda rantau Asia Tenggara pada waktu itu. Namun dengan kelicikan beberapa pengawai British telah menyebabkan Johor terpaksa menerima Penasihat Am (General Advisor) yang pertama pada tahun 1914. Bermula pada tahun tersebutlah Inggeris telah mempengaruhi perubahan corak pentadbiran di negeri Johor serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka di negeri itu. Antara perubahan ketara yang berlaku ialah bentuk pengurusan tanah yang telah di terapkan kepada pentadbiran kerajaan Johor. Bentuk pengurusan tanah pribumi telah digantikan dengan yang baharu berlandaskan pengalaman, idea , kepentingan, konsep dan pemahaman barat. Oleh itu, makalah ini membincangkan bagaimanakah pola-pola pentadbiran tanah kolonial British yang telah dilaksanakan di negeri Johor serta apakah kesan terhadap perkembangan pertanian kepada masyarakat Johor terutamanya kepada golongan petani-petani Melayu.

LATAR BELAKANG PERTANIAN MELAYU
J.M. Gullick dalam kajiannya menyatakan bahawa penduduk-penduduk Melayu yang bertebaran dalam tahun 1870-an tinggal di kampung-kampung yang kebanyakannya berada di tebing-tebing sungai. Sungai sebenarnya menjadi alat perhubungan atau jalan pengankutan bagi melakukan aktiviti-aktiviti ekonomi seharian mereka. Sungai juga menjadi tempat pertukaran barang-barang iaitu barang-barang yang di import dan di eksport. Jika penempatan mereka jauh terletak di pedalaman darat, ini menyebabkan kerugian kepada mereka kerana terpaksa membayar cukai yang lebih akibat perlu melalui beberapa pusat cukai. Tumpuan penempatan di tebing-tebing sungai juga disebabkan oleh faktor kesuburan tanah. Tanah lanar yang baik sering kali didapati di kawasan muara sungai. Analisis Gullick ini menjelaskan bahawa pola-pola penempatan tradisional Melayu bermula di tebing-tebing sungai kerana di kawasan tersebut wujud ciri-ciri kemudahan dan keselesaan bagi orang Melayu.
Pada abad ke-17 dan 18, Masyarakat Melayu Johor merupakan bangsa pedagang yang menguasai perairan laut. Namun pada abad ke-19, kerajaan Johor mengalami transformasi kepada bentuk masyarakat agrarian. Dengan dasar ekonomi kerajaan Johor yang menumpukan kepada kegiatan mengutip hasil hutan dan pertanian telah melahirkan masyarakat petani Melayu. Kewujudan masyarakat tani Melayu ini semakin jelas selepas Johor berjaya di kawal oleh kawalan ekonomi kapitalis Inggeris. Amriah Buang, menyifatkan arus hidup petani Melayu boleh disifatkan sebagai kehidupan ekonomi jenis “sara diri campuran” atau “ekonomi semula jadi”. Buyung Adil pula melihat aktiviti pertanian yang dijalankan hanya untuk menyara kehidupan keluarga individu itu sahaja tanpa ada motif perdagangan. Untuk menyara hidup, keluarga petani bergantung kepada pengeluaran produk pertanian seperti beras, ikan, sayuran dan buah-buahan yang tumbuh liar atau ditanam, binatang ternakan atau binatang liar, dan pengeluaran sedikit komoditi untuk jualan. Tanaman utama adalah padi, sama ada padi bendang atau padi huma. Ini kerana selain daripada menanam padi, pertanian huma juga memungkinkan tanaman sayuran seperti jagung, terung, peria, labu, cili, bawang, keledek dan timun dihasilkan dalam masa yang sama, lantas menjamin kecukupan makanan keluarga petani.
Ragam ekonomi semula jadi ini juga bererti keluarga tani perlu hidup secara bersama sebagai keluarga besar atau secara berkelompok untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi sara diri. Mereka begitu bergantung antara satu sama lain untuk menyinambung hidup. Pelbagai kerja pertanian padi, pelbagai kerja perikanan, pelbagai kerja penternakan, perburuan dan pemungutan hasil hutan bergantung pada kerjasama ahli keluarga, sanak saudara dan handai taulan sekampung. Begitu juga dengan keseluruhan perlaksanaan rutin kerja-kerja “kemudahan awam” seperti pembinaan tali air dan pembukaan petempatan baru.
Dari segi penggunaan teknologi, petani Melayu hanya menggunakan perlatan pertanian yang mudah, dengan menggunakan tenaga binatang dan manusia yang terdiri dari anggota keluarga sahaja tidak akan berupaya mengeluarkan hasil lebih dari sara diri. Selaian, mereka masih mengamalkan konsep kerjasama atau gotong royong, khususnya dalam masyarakat petani padi sawah mahupun padi huma. Kegiatan tanaman kebun kecil juga di jalankan di Johor dalam tempoh 1800-1900. Antara tanaman yang digiatkan adalah seperti tanaman buah-buahan, kelapa, pinang dan sayur-sayuran. Kegiatan kebun kecil ini biasanya melibatkan keluasan tanah tanaman seluas melebihi 10 ekar dan tidak melebihi 30 ekar. Bilangan kebun kecil ini banyak didapati di sekitar persisir barat Johor iaitu di Senggarang, Batu Pahat, di sekitar Muar, Kota Tinggi, Segamat dan beberapa bahagian yang lain. Manakala tanamanan padi di negeri Johor lebih luas usahanya daripada tanaman kebun kecil. Pada tahun 1930, lawatan Rice Cultivation Committee telah merekodkan keluasan tanaman padi pada waktu itu ialah seluas 13,000 ekar, yang mana 6,2100 ekar adalah tanah padi sawah. Keluasan ini bertambah pada tahun 1932-1933 seluas 25,060 ekar, 15,800 ekara adalah tanaman padi sawah. Tanaman padi ini tertumpu dibeberapa daerah di Johor seperti Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

SISTEM TANAH TRADISI MELAYU JOHOR
Sitem tanah Negeri-Negeri Melayu sebelum penjajahan British pada hakikatnya memang dipengaruhi oleh keadaan ekologis dan persekitaran. Hak memiliki tanah bergantung kepada keupayaan membersihkan kawasan-kawasan hutan dan perlu membayar apa-apa. Bilangan penduduk yang kurang, dibandingkan dengan keluasan kawasan menyebabkan usaha untuk memaju dan memiliki tanah sangat terbuka luas. Konsep pemilikan tanah tradisional dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu “tanah hidup” dan “tanah mati”. Maxwell menggalurkan lima peraturan mengenai hak-hak pemilik tanah menurut undang-undang tanah orang Melayu: (a) Tidak wujud hak pemilikan harta pada tanah mati (b) Tanah hidup dapat ditakrifkan sebagai salah satu daripada tiga jenis (i) Tanah yang ditanami dengan pokok buah-buahan (tanah kampung), (ii) Tanah bendang atau sawah, dan (iii) tanah huma atau ladang yakni tanah bukit yang digunakan untuk bercucuk tanam dan biasanya tidak kekal. (c) Hak pemilikan harta di kampung berlaku sepanjang tanah itu diduduki dan selepasnya asalkan ia ditanam dengan pokok buah-buahan sebagai bukti bahawa tanah tersebut adalah tanah hidup. (d) Hak pemilikan harta pada tanah bendang atau sawah, berlaku selama mana tanah itu diduduki, dan sepanjang tiga tahun selepasnya. (e) Hak pemilikan harta pada tanah huma atau ladang berlaku sepanjang mana tanah itu diduduki yang biasanya selama satu musim.
Boleh dianggap konsep pemilikan tanah mengikut sistem tanah tradisi orang Melayu ini sangatlah “longgar”. Sesiapa jua boleh memilikinya dengan syarat sanggup membersihkan tanah hutan, beragama Islam dan tidak mencerobohi tanah orang lain. Hak pemilikan tanah itu juga ada kaitan dengan jenis tanaman yang sesuai di tempat tersebut. Tuan tanah kawasan tanaman buah-buahan akan mempunyai kuasa lebih lama dari tanah padi huma atau paya. Kawasan huma yang ditinggalkan adalah bebas untuk sesiapa yang memajukannya sama ada dengan cara meminjam atau menyewa. Tanah pada asasnya adalah kepunyaan Sultan. Mexwell mensifatkan hak-hak Sultan terhadap tanah adalah mempunyai persamaan dengan hak-hak raja pada zaman Hindu awal di India iaitu: (1) Hak untuk memungut hasil tanaman (2) Hak untuk memungut cukai dan (3) Hak untuk menjualkan tanah usang. Selain itu, Sultan juga mempunyai kuasa terhadap tanah yang tidak digunakan. Secara hukumnya tanah kosong atau tanah hutan yang tidak digunakan secara automatiknya kembali kepada pemerintah. Pemerintah juga berhak dalam urusan pajak ke atas hasil pengeluaran tanah dan penyingkiran tanah yang tidak dimajukan. Oleh itu, konsep hak milik individu tidak wujud dan kesulurahan hak kuasa terletak kepada golongan pemerintah.
Dalam sistem tanah tradisional juga sudah terdapat konsep sewa dan gadai. Undang-undang tanah orang Melayu menegaskan bahawa penyewa dikehendaki mematuhi kehendak pemiliknya, jika tidak ia mungkin didenda 10 tahil atau satu ‘peha’. Petani Melayu juga mempunyai tanggungjawab menyumbangkan tenaga percuma (kerah) kepada ketua-ketua mereka. Manakala konsep gadaian disini merujuk kepada jual janji iaitu menjual menurut nilai tanah yang sebenar tetapi dibayar pendahuluan. Dari segi hak milik tanah orang Melayu amnya dan seorang raja ataupun sultan khususnya mempunyai hak usufructuary. Hak usufructuary ini boleh didefinisikan sebagai hak menggunakan tanah yang telah diperolehi dengan meneroka hutan dan kemudian bercucuk tanam diatasnya. Setelah tanah dikerjakan untuk beberapa lama tanpa ditinggalkan maka wujud pula empunya, iaitu tanah menjadi hak orang yang membersihkan dan mengerjakannya. Di negeri Johor, sistem tanah tradisional tersebut mengalami beberapa perubahan semasa pemerintahan Maharaja Abu Bakar. Antaranya terdapat surat-surat tertentu yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah tradisi bagi menunjukkan bahawa seseorang penduduk itu telah memperoleh kebenaran untuk meneroka hutan dan seterusnya bercucuk tanam di situ. Surat-surat itu biasanya diperolehi melalui penghulu. Suatu bentuk sistem pengurusan tanah yang lebih sistematik telah diwujudkan oleh pemerintahan Johor selepas pembukaan kebun-kebun gambir dan lada hitam yang menyebabkan kemasukan ramai pekerja-pekerja dan buruh-buruh Cina. Sistem tersebut dikenali sebagai sistem kangchu yang merujuk kepada satu sistem penempatan, penanaman dan pemegangan tanah. Kebenaran membuka kebun itu diberi melalui Surat Sungai yang merupakan geran membenarkan seorang Cina bagi membuka kebun gambir dan lada hitam di tebing sungai yang telah dikenal pasti dengan syarat kawasan itu belum dimiliki orang lain selain mengawal penanaman dikawasan yang diliputi oleh geran tersebut. Kangchu juga menerima Surat Tauliah atau mandate daripada kerajaan Johor untuk mentadbir serta mempunyai kuasa dan hak keatas kangkarnya. Menerusi mandate yang diterima, kangchu menjadi ejen utama kerajaan di kebun-kebun, dan bertanggungjawab menjaga keamanan serta menerima hak monopoli ke atas perniagaan, perjudian, pajak gadai dan pembekalan candu, arak dan daging babi. Sebagai gantinya kangcu membayar sewa, yuran lesen dan cukai lain. Pengurusan sistem tanah tersebut bertambah licin dengan wujudnya Kanun Kangcu pada tahun 1837.
Kemajuan Johor menyebabkan semakin banyak tanah dibuka oleh golongan Melayu dan Cina. Untuk mengurangkan timbulnya perbalahan dan konflik berhubung dengan soal sempadan serta masalah lain yang berkaitan dengan tanah, pentadbirannya disusun. Pembaharuan berkaitan dengan mendaftar hak milik tanah bermula pada tahun 1866 selepas kontroversi Tanjung Puteri selesai. Langkah ini dianggap sebagai satu tindakan yang berguna serta menguntungkan, terutamanya mereka yang mempunyai minat terhadap kebun gambir dan lada hitam. Dalam tahun 1874 diwujudkan Jabatan Tanah yang telah digabungkan dengan urusan kerja raya. Namun beberapa tahun kemudian Jabatan Tanah dan Kerja Raya telah dipisahkan menjadi Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Ukur dan Tanah. Pada tahun 1883 Jabatan Ukur dan Tanah telah dipisahkan menjadi Jabatan Ukur dan Tanah. Secara umumnya bentuk pengurusan tanah tradisonal Johor sebelum campur tangan kolonial Inggeris sebenarnya sudah mengalami evolusi kepada satu bentuk pengurusan yang lebih sistematik. Namun selepas perletakan General Advisor secara sah di Johor, pihak kolonial Inggeris hanya meneruskan dan mengembangkan sahaja sistem-sistem yang ada namun ianya telah disesuaikan dengan fungsi kapitalisme.

JOHOR DALAM PENGARUH INGGERIS
Negeri Johor tergolong di dalam Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (selepas ini diringkaskan kepada NNMTB). Terdapat lima buah negeri Melayu yang dikelaskan kepada NNMTB iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri-negeri tersebut merupakan negeri-negeri yang mempunyai pengaruh pemerintahan kolonial Inggeris secara tidak langsung. Mengapakah wujudnya istilah pengelopokan tersebut dan apakah perbezaan dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Menurut Rupert Emerson NNMTB, sebagaimana sebutanya yang menunjukkan bentuk negatif itu, tidak wujud sebagai satu cara pemerintahan tunggal dari segi politik seperti Persekutuan yang keadaan diantara keduanya itu berbeza. Walaupun kuasa autonomi raja-raja dalam negeri tersebut masih ada, namun hakikatnya negeri-negeri ini terletak dibawah ketuanan Gabenor dan Pesuruhjaya tinggi. NNMTB, NNMB dan Negeri-Negeri Selat (NNS) keseluruhannya menjadi naungan British Malaya. Akan tetapi NNMTB itu sendirinya diantara satu sama lainya tidaklah mempunyai hubungan yang khas. Selain daripada penyertaannya sebagai anggota dalam komanwel Tanah Melayu dan hakikatnya kelima-lima buah negeri itu tetap kedudukanya sebagai Negeri-Negeri Melayu pemerintahan beraja yang bebas. Walaupun NNMTB tidak terletak di bawah satu pusat pentadbiran, namun kelima-lima negeri tersebut melakukan perhubungan dan kerjasama bagi mengekalkan kemerdekaan masing-masing serta dalam percaturan menentang ancaman pencerobohan dari Singapura atau Kuala Lumpur. Negeri-negeri mengambil iktibar daripada negeri-negeri Melayu yang bernaung dibawah persekutuan pentadbiran Inggeris, sikap ini sangat penting negeri-negeri tersebut mengekalkan dasar pengasingan di bawah anjuran Johor dan Kedah.
Menurut Rupert Emerson, negeri Johor merupakan negeri yang sukar untuk dihuraikan sifatnya secara mudah dan jelas. Sungguhpun kedudukannya secara resmi tidak berbeza daripada NNMTB yang lain, hakikat sebenar kerajaan Johor mempunyai strukutur pentadbiran yang telah membezakannya kepada ciri-ciri yang tersendiri. Keunikan tersebut dapat kita fikirkan mengapakah Johor merupakan negeri yang terkemudian sekali menerima seorang Penasihat British, sedangkan Johor adalah satu-satunya negeri Melayu yang paling lama dan paling rapat hubungannya dengan British. Perkara ini dapat dijawab dengan mengatakan bahawa kerajaan Johor bergantung terutamanya kepada sifat dan kekuatan raja-raja yang telah menduduki takhta kerajaan Johor dari semenjak Raffles campurtangan di Singapura lagi. Raja-raja ini mempunyai bakat yang tinggi darjahnya di bidang politik serta mengetahui bagaimana hendak tunduk dengan segala kemuliaan kepada sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan memperolehi apa yang sebaik-baik daripadanya untuk faedah diri mereka sendiri. Para pentadbir Johor pada waktu itu, mengetahui bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan darjah dan kehendak dunia imperialis baru yang mengasak dunia Timur ketika itu serta mereka sangat memahami taktik dan kelicikan kolonial Inggeris dalam mengadu-dombakan anatara satu dengan lain terhadap berbagai unsur dan kepentingan, dikalangan orang-orang Eropah dan Asia. Sifat utilitarian Johor pada waktu itu menjadikannya sebuah negeri yang berdaulat disamping berjaya membina imej moden menerusi pentadbiran tempatan. Walaupun terdapat pertembungan antara Johor dengan Kolonial Inggeris, namun Johor sebenarnya mengutamakan kepentingan sendiri dahulu disamping hanya menjadikan Inggeris sebagai payung pelindung daripada asakkan kuasa imperialis yang lain.
PENGARUH UNDANG-UNDANG INGGERIS DI NEGERI JOHOR
Semasa pemerintah Maharaja Abu Bakar, dalam tahun 1873 Johor telah mempunyai satu Majlis Negeri yang berfungsi sebagai penasihat kepada Maharaja Johor. Di samping itu pula terdapat lapan jabatan-jabatan kerajaan yang berasingan iaitu jabatan-jabatan Bendahari, Mahkamah, Polis, Penjara, Ukur, Laut, Perubatan dan Keretapi. Maharaja juga telah menggunakan khidmat seorang Inggeris bernama William Hole menjadi Setiausaha peribadinya. Kemajuan dari perkembangan-perkembangan pentadbiran ini dapat diperhatikan dari kedudukan pemerintahan yang semakin kukuh dan menyeluruh. Menjelang pertengahan akhir tahun 1870-an, Johor masih merupakan sebuah negeri yang dispotik tetapi pada keseluruhannya adalah di bawah kawalan Maharaja Abu Bakar dan perintah-perintahnya dipatuhi dan dihormati. Keadaan ini berterusan sehingga ke tahun 1910 di mana kegemilangan kesultanan Johor mulai pudar disebabkan meresapnya sedikit demi sedikit pengaruh Inggeris di negeri Johor kerana kedudukannya yang berjiran dengan Singapura. Negeri Johor mempunyai beberapa buah badan perundangan yang berperanan besar dalam pentadbiran negerinya. Badan-badan itu terdiri daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerja yang ditubuhkan pada tahun 1912. Adalah penting untuk diteliti tugas-tugas yang dijalankan oleh badan-badan tersebut memandangkan ia mempunyai peranan yang besar dalam perundangan negeri Johor sama ada melulus, meminda atau mengubal undang-undang.
Jemaah Mentei dianggap penting di negeri Johor kerana peranan ahli-ahlinya yang menjalankan pentadbiran negeri. Deperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, bahawa Sultan wajib, harus dan sukarela menerima nasihat badan ini dalam segala hal untuk faedah rakyat. Antara tugas yang dijalankan oleh badan ini ialah menjalankan pentadbiran harian Johor, bertanggungjawab merangka dan menyediakan undang-undang atau rangka peruntukan dan dasar sebelum dibawa ke badan yang mempunyai kuasa perundangan untuk diluluskan. Ahli-ahli Jemaah Menteri disyaratkan daripada bangsa Melayu dan beragama Islam. Mufti dan Kadi juga adalah tergolong dalam ahli Jemaah Menteri Negeri Johor. Berdasarkan huraian tersebut dapatlah dikatakan bahawa Jemaah Menteri adalah sebuah badan yang mempunyai kuasa kerja mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Namun lama kelamaan Jemaah Menteri tidak begitu berfungsi dan ia digantikan dengan Majlis Mesyuarat Kerja pada tahun 1912 yang mula dianggotai oleh pegawai-pegawai Inggeris. Sementara itu, Mesyuarat Kerajaan Johor adalah merupakan badan yang membantu Sultan dan Jemaah Menteri dalam hal pentadbiran negeri Johor. Pada teorinya badan ini menggubal dasar meluluskan undang-undang kecuali dalam perkara agama dan syara’ yang diserahkan kepada kadi dan mufti. Ahli Mesyuarat Kerajaan tidak diwajibkan semunya daripada bangsa Melayu dan beragama Islam tetapi mestilah merupakan rakyat Johor.
Pada peringkat ini kedudukan Sultan adalah berperanan mengesahkan undang-undang yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Kerajaan Johor. Di samping itu perlu diingat, sejak zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi telah terdapat seorang penasihat Inggeris dalam Mesyuarat Kerajaan Johor yang digajikan khas oleh Sultan. Keadaan ini berterusan sehingga kepada pemerintahan Sultan Ibrahim. Ini disebabkan kononnya ia berfungsi sebagai tokoh yang memberi pandangan untuk memajukan negari Johor. Akibat daripada tergubalnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Sultan dengan rasminya telah menyerahkan peranan dalam pentadbiran Jemaah Menteri, perundangan kepada Mesyuarat Kerajaan dan keadilan kepada mahkamah. Satu pembahagian tugas telah diadakan di Johor kepada pembesar-pembesarnya yang diberikan tugas-tugas tertentu. Pembahagian ini bagi pihak Sultan adalah merupakan sekatan kepada kuasanya untuk bertindak sendirian. Sebelum tahun 1910, pentadbiran Johor masih dibawah pegawai-pegawai berbangsa Melayu yang diketuai oleh Menteri Besar dan dibantu oleh Setiausaha Kerajaan. Namun mulai tahun 1910 dan tahun-tahun seterusnya, berlaku satu perubahan yang beransur-ansur, iaitu pertukaran Ketua Jabatan daripada rakyat Johor sendiri kepada pegawai-pegawai Inggeris. Penasihat Am (General Advisor) yang dilantik pada tahun 1913 telah meluaskan peranannya sehingga akhirnya ia sama penting dengan Setiausaha Kerajaan Johor.
Peranan pegawai-pegawai Inggeris smakin penting sebagai Pegawai Pentadbir. Selain itu, mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Kerja. Tanggungjawab mereka terhadap Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Mesyuarat Kerja adalah dengan membincangkan sgala masalah atau usul yang hendak dibawa ke badan ini, terlebih dahulu dibincangkan dengan pegawai-pegawai Inggeris yang lain. Setelah usul itu dipersetujui oleh pegawai-pegawai Inggeris, barulah ia dibawa ke Mesyuarat Kerajaan dan Majlis Mesyuarat Kerja. Biasanya syor Penasihat Am diterima oleh ahli-ahli Mesyuarat Kerja.
Pada tahun 1910 sahaja, seramai tiga orang pegawai Inggeris telah dilantik di negeri Johor. Pada 25 Disember 1910, M.H. Whintley selain beliau dilantik menjadi Penasihat Am belaiu juga dilantik sebagai Penasihat Undang-undang. Manakala J.W. Simmons dilantik sebagai Pesuruhjaya Kastam pada 21 Disember 1910. Pada 1911 pula empat orang lagi pegawai dilantik, iaitu J. Giffith sebagai Penguasa Juruukur bermula pada bulan September 1911, J.L. Humphreys sebagai Pengadil Batu Pahat bermula pada 12 Februari, 1911, H.H. Byrne sebagai Ketua Jurutera bermulapada Februari 1911 dan W.B.Y Drapper sebagai Penguasa Bandar Johor Bahru bermula pada Mei 1911. Pada 30 Mei 1913, Penasihat Undang-undang juga telah dilantik sebagai Pengadil Mahkamah Tinggi. Pada tahun berikutnya seorang Pesuruhjaya Polis diletakkan di bawah pengawasan pegawai Inggeris. Dengan terlantiknya pegawai-pegawai Inggeris itu maka semakin ramailah pelabur-pelabur British melabur di Johor. Pelabur-pelabur Inggeris ini seterusnya memerluka jaminan keselamatan dan dengan itu Penasihat Undang-Undang dilantik di mana tugas utamanya ialah menyediakan undang-undang yang akan dijalankan di negeri Johor. Ia juga mengawasi perkembangan keadilan di mahkamah-mahkamah Johor. Perkhidmatan polis juga akhirnya jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1913 dan pada tahun 1914 seorang penguasa Inggeris bernama M.H.S. Sircom dilantik sebagai Penguasa Penjara Johor.
Selain itu, Majlis Mesyuarat Kerja telah diberi peranan seperti dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor dan tambahannya tahun 1912, iaitu berperanan memberi syor untuk membuat undang-undang di negeri Johor. Daripada peranan yang telah ditentukan ini, menunjukkan Majlis Mesyuarat Kerja bertugas menyediakan undang-undang untuk diluluskan dan satu badan lain, iaitu mahkamah akan melaksanakan undang-undang setelah diwartakan. Tugas menyediakan undang-undang ini diserahkan kepada Penasihat Undang-undang Johor, iaitu M.H.Whintley.
Kebanyakan undang-undang diambil dari Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang sememangnya telah menjalankan undang-undang Inggeris terlebih dahulu. Pada peringkat permulaan, Penasihat Am akan membawa syor untuk mengadakan suatu undang-undang di negeri Johor dan meminta persetujuan Majlis Mesyuarat Kerja. Jika dipersetujui, Penasihat Am bersama-sama Penasihat Undang-undang serta Setiausaha Kerajaan akan memproses undang-undang itu serta memindanya untuk disesuaikan dengan keadaan di negeri Johor. Disin jelaslah bahawa terdapat tiga tokok penting yang berperanan dalam bidang undang-undang, iaitu Penasihat Undang-undang (Legal Adviser), Penasihat Am (Genaral Adviser) dan Setiausaha Kerajaan, dua daripada mereka adalah pegawai Inggeris.
Disini dapat dilihat, walaupun Mesyuarat Kerajaan menjalankan tugas meluluskan undang-undang tetapi peranan tersebut hanya sebagai “rubber stamp” sahaja. Ini bererti walaupun dari segi teori Mesyuarat Kerajaan mempunyai kuasa perundangan yang tertinggi di negeri Johor tetapi pada praktiknya, tidak terdapat perbincangan terhadap undang-undang yang akan dibawa ke sesuatu persidangan. Ini kerana Majlis Mesyuarat Kerja telah banyak mengambil alih peranannya sedangkan Majlis ini dikuasai sebahagian besarnya oleh pegawai-pegawai Inggeris. Kuasa Inggeris semakin teguh di Johor dengan termenterainya perjanjian pada 18 Mei 1914 yang ditandatangani antara Sultan Ibrahim dengan Kerajaan Inggeris. Perjanjian tahun 1914 ini dengan rasminya telah melantik Penasihat Am di negeri Johor. Mengikut perjanjian tersebut nasihat pegawai Inggeris, iaitu Penasihat Am mestilah diminta dalam segala perkara. Maka dengan perjanjiann itu juga, kuasa sepenuhnya dalam pemerintahan telah diberikan kepada Penasihat Am dari tangan Sultan. Oleh itu tidak dinafikan lagi, dari segi perjanjian itu sendiri bahawa kedudukan negeri Johor, Sultan serta pembesarnya tidaklah berbeza dengan negeri-negeri Melayu yang lain.
Sungguhpun Sultan diakui sebagai Yang Dipertuan Negeri dan Jajahan Takluk Johor tetapi ia hanya sebagai lambing sahaja. Kuasa politik dalam pemerintahan telah tiada lagi ditangannya. Kuasa politik yang menjadi tunggak pemerintahan dan perundangan serta kawalan jentera pentadbiran berada di tangan Inggeris yang diwakili oleh Penasihat Am dan pegawai-pegawai kerja yang lain. Selain itu, Perjanjian 1914 itu juga telah menyebabkan hilang secara rasmi kuasa pembesar Melayu yang ada dalam Majlis Mesyuarat Kerja. Ia menyebutkan peranan Mesyuarat Kerajaan ialah jika timbul perselisihan pendapat antara Sultan dengan Penasihat Am maka pendapat badan ini hendaklah diambil dan dihantar kepada Gabenor untuk mendapatkan pertimbangan. Oleh itu jelaslah, bahawa pemerintahan Johor mulai tahun 1914 telah dikuasai oleh pegawai-pegawai Inggeris sehingga semua perkara terpaksa dirujuk kepada Gabenor Inggeris.

TRANFORMASI PENGURUSAN TANAH KOLONIAL
Untuk memastikan bahawa Inggeris dapat mempengaruhi dasar, perancangan dan pentadbiran negeri, sebuah Mesyuarat Kerja Dewan telah ditubuhkan pada 17 September 1912 melalui Tambahan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor. Mesyuarat Kerja Dewan ini merupakan sebuah badan eksekutif yang berfungsi berkenaan tanah, pertanian, galian, kerja raya, kenaikan pangkat, undang-undang dan segala yang mustahak. Pada tahun 1914, D.G. Campell merencana suatu undang-undang baru mentadbir tanah negeri Johor bagi tujuan mengatasi kelemahan sistem tanah tradisional tempatan. Perubahan ini dilakukan atas beberapa alasan, pertama, sistem tradisional tempatan mengandungi potensi untuk autoriti dan kuasa yang berkaitan dengan tanah di salah gunakan oleh Sultan atau pengawai-pengawainya. Kedua, kemungkinan runtuhnya norma-norma yang diamalkan berkaitan dengan tanah. Hal ini bermakna bahawa mereka mempunyai peluang untuk memperkenalkan dan mengenakan perubahan untuk faedah penduduk dengan menghapuskan unsur-unsur yang tidak jelas yang terkandung dalam sistem pribumi itu. Pihak Inggeris juga beranggapan bahawa sistem pengurusan tanah yang wujud pada abad ke-19 mengelirukan kerana tidak terdapat cara permohonan tanah yang betul. Akibatnya kuasa kerajaan akan terbatas dan tidak mampu mengenakan haknya dalam urusan mengutip cukai.
D.G. Campbell telah menggesa sebuah Undang-undang Tanah yang telah diterima dan di diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 17 September 1910, bagi menggantikan peraturan tanah mengikut adat resam Melayu. Undang-udang 1910 ini menggunakan konsep undang-undang Barat tentang cara milik tanah. Dalam awal tahun 1910 terdapat beberapa bentuk pemilikan tanah (i) tanah yang dimiliki untuk selama-lamanya dan tidak tertakluk kepada apa-apa syarat penanaman dan tidak perlu bayar sewa, (ii) tanah yang diberi semata-mata untuk menanam gambir dan lada hitam. (iii) tanah yang diperolehi berdasarkan sewaan jangka panjang. Biasanya diberikan kepada orang Eropah, (iv) tanah saiz kecil diduduki terutamanya oleh golongan Melayu berdasarkan Undang-undang adat. Secara umumnya, perubahan pengurusan tanah yang berlaku di Johor adalah selaras dengan kehendak ekonomi kapitalisme dan dasar ekonomi dan politik kolonial di Johor, dasar itu tidak ada beza dengan dasar-dasar yang telah di laksanakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Pada tahun 1890, harga kopi mengalami kejatuhan yang ketara, namun harga getah telah mengalami peningkatan akibat daripada permintaan yang melebihi pengeluaran kerana berkembangnya industri automobil. Getah telah mengambil alih peranan eksport utama di Negeri Johor. Ekoran permintaan yang banyak Inggeris telah menawarkan pemilikan tanah melalui syarat-syarat yang longgar dan memberikan bantuan pinjaman modal kepada sesiapa yang mahu mengusahakan tanaman getah pada Ogos 1897. Malahan pihak Pentadbir Inggeris di Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memperuntukkan $4,000 untuk eksperimen getah pada tahun 1900. Hal ini menyebabkan ramai pemodal-pemodal barat dan tempatan untuk menukarkan jenis pertanian mereka kepada getah. Pada tahun 1899, penyerahan komoditi pertama getah daripada Tanah Melayu kepada pasaran London diambil dengan harga yang sangat tinggi, perkara ini telah menggalakkan lagi aktiviti penanaman getah tesebut. Akibat daripada faktor bertambahnya permintaan terhadap komoditi getah inilah pihak Inggeris telah menstruktur semula dasar pengurusan tanah di seluruh negara koloninya termasuk di negeri Johor.
Bentuk undang-undang Tanah kolonial telah menyatukan undang-undang pemberimilikan tanah, pendaftaran tanah, hasil tanah, beberapa arahan pentadbiran kepada pegawai penilai tanah dan Pendaftaran Hak Milik. Tujuan undang-undang tersebut adalah untuk memudahkan proses perolehan dan pemindahan hak milik tanah, proses ini memberikan gambaran pemilikan yang lebih terjamin dan lebih menyakinkan pelabur. Undang-undang ini juga bermatlamat untuk memeriksa, menilai dan mendaftar semua tanah yang telah diduduki serta mengeluarkan sijil hal milik kepada semua pemilik tanah Melayu dengan menyatakan jenis jumlah cukai yang perlu dibayar. Sistem pengurusan tanah yang dibawa oleh kolonial Inggeris mirip dengan Sistem Torrens yang terdapat di Australia. Melalui sistem ini Jabatan Tanah diberi tugas mengesahkan dan mengawal pemilikan tanah, meningkatkan daftar sewa tahunan dan mendaftar tanah yang mempunyai surat-surat milikan yang lama. Selain itu, sistem geran diwujudkan untuk pemegangan yang besar, sementara kebun kecil (10 ekar kebawah) didaftarkan di bawah Daftar Mukim. Kesemua blok tanah yang besar saiznya untuk tanaman getah dan tanaman lain diberi milik melalui pemberian geran. Kedua-dua jenis pemegangan ini adalah tertakluk kepada cukai tanah tahunan. Melalui cara ini semua tanah milik persendirian diharap dapat didaftarkan dan sempadan semua pemegangan dinilai dan dimaksudkan ke dalam peta. Apa yang menarik daripada sistem pengurusan tanah kolonial ini ialah individu memiliki tanah sendiri. Hal ini merupakan perubahan yang ketara berlaku kepada sistem pengurusan tradisional Melayu. Selain memiliki, individu tersebut mempunyai kuasa untuk menjual, membuat pinjaman dan mewariskan tanah tersebut tanpa menghadap fomarliti undang-undang yang sukar. Tanah-tanah belum dimiliki atau disimpin bagi tujuan awam dan ianya bukan hutan simpan adalah dianggap sebagai ‘tanah negeri’ yang dimiliki oleh sultan.

KESAN PENTADBIRAN TANAH KOLONIAL INGGERIS TERHADAP PERTANIAN MELAYU
Pengusaan Kapitalis Asing dan pengecilan peranan peribumi
Tesis yang menyatakan bahawa keterbelakangan dunia ketiga adalah akibat terseretnya negara tersebut ke dalam orbit ekspansi kapitalisme barat, dapat ditelusuri kembali kepada bahasan Karl Marx tentang “Perdagangan luar negeri” dan “ekspansi kapitalisme”. Teori ini diperluas oleh beberapa sarjana terkenal, antaranya Lenin, Paul Baran dan Andre Gunder Frank. Aspek fundamental teori ini adalah konsepsi tentang hubungan dialektik antara kemajuan “dunia pertama” dan keterbelakangan “dunia ketiga”. Istilah dialektik menunjukkan kepada dua arah penyebab yang saling berhubungan. Maksudnya, kemajuan barat menyebabkan keterbelakangan dunia ketiga. Sementara itu, dunia ketiga semakin terkebelakang kerana semakin bertambahnya pengaruh barat. Membangun dari keterbelakangan dapat difahami sebagai pemindahan sepihak kekayaan yang berasal dari Asia, Afrika dan Amerika Latin kepada penambahan kekayaan ekonomi negara eropah. Surplus ekonomi ini sebahagian besar terhimpun ditangan kaum kapitalis yang dipergunaknnya untuk tujuan pelaburan di lapangan industri.
Dalam kes Johor, akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 memperlihatkan ekonomi negeri tersebut dipacu kuat oleh perkembangan ekonomi kapitalisme. Fungsi tanah ketika itu lebih merupakan tanah sebagai faktor pengeluaran dalam bidang pertanian dan tanah juga dijadikan sebagai barangan yang boleh dijual beli dan dipindah milikan. Keith Sinclair yang telah menggunakan asumsi Hobson dan Lenin di Johor mendapati bahawa perkembangan ekonomi kapitalisme telah dimainkan oleh sekumpulan pentadbiran “Colonial Office” dan “Gabenor Negeri-Negeri Selat” yang telah memandu eksport modal ke dalam negeri Johor. Period 1896-1910 memperlihatkan pertumbuhan yang menggalakkan terhadap idustri perladangan getah yang berkembang serentak dengan idustri automobil dan berakhir dengan kemuncak harga getah. Tahun ini juga memperlihatkan persebaran luas kemasukan pemodal Inggeris dan juruteranya kedalam industri perlombongan bijih timah. Akhirnya, Johor menjadi negeri yang menggalakkan kemasukkan para pemodal untuk pembangunan dan membangkitkan sebahagian kepentingan para pelaburnya.
Kesan yang paling jelas hasil daripada pengurusan tanah kolonial Inggeris tersebut ialah dominasi aktiviti pertanian komersial oleh para pemodal asing. Contohnya pada tahun 1878, Abu Bakar memberikan Johannes Mooyer of Gt. Winchester Street, London, mewujudkan sebuah perbadanan yang menikmati monopoli secara maya pembangunan ekonomi Johor selama 99 tahun. Badan tersebut berperanan dalam perbankan, perdagangan, agensi, peladang, pelombong dan pemilik pengankutan keretapi, jambatan dan feri. Para pemodal ini telah berjaya mewujudkan sebuah perusahaan besar yang menjalankan operasi secara besar-besaran. Guthrie & Company Ltd. diasaskan oleh Alexander Guthrie bertindak sebagai agen Singapura London Banking House dan syarikat-syarikat insuran pada tahun 1895 telah terlibat dalam perusahaan getah. Pada tahun 1931, ia merupakan ejen kepada 26 syarikat ladang getah dan mempunyai modal hampir 6 million. Syarikat tersebut merupakan pemilik kepada 132 ekar ladang getah dan 10,500 ekar ladang kelapa sawit. Kukub Rubber Estate Limited yang diwakili oleh Bruce Petrie Limited, Union Building, Singapore juga terlibat dalam sektor penanaman getah, sagu dan kelapa. Firma ini mempunyai keluasan 12,000 ribu ekar. 1,328 ekar telah ditanami dan 575 ekar telah mengeluarkan hasil. Sebenarnya terdapat banyak lagi firma-firma asing yang bertapak di negeri Johor bagi mengusahakan aktiviti pertanian. Bukan semua firma-firma asing ini memiliki tanah, tetapi ada sebahagiannya yang menyewa dibawah geran “Lease Kapital”, contohnya seperti tanah-tanah yang diusahakan dalam milik Alsagoff Consession. Oleh itu, kita dapat memahami bahawa terdapat beberapa kekuatan ekonomi pertanian asing ini, antaranya ialah modal, keluasan tanah, teknologi, tenaga kerja, organisasi dan pasaran. Dominasi aktiviti kapitalisme dalam pertanian ini bukan semata-mata oleh faktor pengurusan tanah kolonial, tetapi juga akibat daripada sikap Sultan yang menggalakkan para pemodal asing untuk membangunkan ekonomi Johor kerana kerajaan tidak mempunyai kewangan akibat menanggung hutang yang banyak semasa pentadbiran Sultan Abu Bakar. Statistik penguasaan pemodal asing dalam pertanian komersial pada tahun 1934 adalah seperti pada jadual 1;

Jadual 1. Bangsa pemilik ladang di Johor
Bangsa Luas kawasan (Ekar)
Eropah
Cina
Jepun
India
Melayu
Bangsa Asia yang lain-lain 278 000
160 000
54 000
14 000
3 000
1 000
Jumlah 510 000

Sumber: Report on Agriculture Department in Johore. H. A. Tempany.
Director of Agriculture, SS dan FMS. 17.3.1934. GA248/34.

Kapitalisme yang berpaksi kepada pengumpulan modal telah menguasai kawasan yang luas berekonomik untuk mengaut kekayaan sumber hasil di negeri Johor. Hal ini menyebabkan kegiatan pertanian orang Melayu semakin mengecil dan kebanyakkannya hanya tertumpu kepada kegiatan menanam tanaman makanan dan kebun kecil sahaja. Pada dasarnya kegiatan pertanian orang Melayu masih terletak dibawah pengawasan para Penghulu dan Orang-Orang Kaya. Kedua jawatan ini terletak dibawah kuasa pejabat daerah dan hanya mengikut arahan daripada pihak Comissioner Land and Mines. Fungsi-fungsi Penghulu ini juga sebenarnya sudah dikurangkan berbanding semasa zaman tradisional, pada zaman kolonial penghulu hanya menguruskan hal-hak mengumpul hasil pertanian kecil orang Melayu dan bukan Melayu serta menjadi orang tengah dalam urusan pengurusan tanah dengan pegawai atasan. Pengurusan tanah kolonial yang menjadikan tanah sebagai modal yang boleh dijual beli sebenarnya memberi kesan kepada pertanian orang Melayu di Johor, ini kerana tanah yang mampu dimiliki oleh mereka kebanyakan hanya tidak melebihi 5 ekar sahaja. Sangat sedikit golongan elit Melayu yang menceburi akiviti pertanian secara komersial dengan menggunakan modal yang lebih besar. Faktor modal memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi keluasan produksi pengeluaran hasil pertanian. Bagi membuka atau mengusahakan tanah yang tertakluk di bawah grant Land Enactment of 1910, seseorang perlu membayar sebanyak 50 sen per ekar pada enam tahun pertama dan harganya akan meningkat kepada $ 2.50 per ekar. Harga ini sebenarnya sangat tinggi bagi petani-petani Melayu pada waktu itu kerana kegiatan pertanian mereka tidak seperti kapitalis asing yang mempunyai modal yang kukuh. Perlu diingat, pertanian orang Melayu pada waktu itu bersifat berkelompok dan persendirian yang boleh dikategorikan pada tahap kebun-kebun kecil. Namun orang Melayu masih mendominasi dalam penanaman padi sawah dan padi huma. Tebaran pertanian padi ini dapat dilihat beberapa daerah di Johor, seperti di Muar, Batu Pahat, Keluang dan Endau. Sesuatu yang menarik adalah fungsi pertanian orang Melayu berkembang pada tahap memenuhi keperluan domestik. Sekarang pertanian dihasilkan oleh orang-orang tempatan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak sara diri, tetapi juga ditambahkan keluarannya khas untuk memenuhi kehendak buruh-buruh asing dan juga kepada para warga asing yang datang ke negeri Johor.
Berdasarkan Sistem Torren sesiapa sahaja yang hendak memiliki tanah baru boleh membuat permohonan rasmi dan milik tanah itu didaftarkan di Pejabat Tanah ataupun di Pejabat Penghulu bagi tiap-tiap mukim. Sistem Tanah Kolonial yang liberal itu sebenarnya menguntungkan pemodal-pomodal asing. Kebanyakan tanah yang dimiliki oleh pemodal tersebut terdiri daripada geran-geran besar berbanding dengan kebanyakan petani Melayu yang memiliki geran kecil. Secara umum, boleh dikatakan bahawa asas kepada dasar pertanian kolonial Inggeris di Johor ialah kemajuan pertanian ladang/estet yang amat berbeza daripada jenis kebun kecil peribumi. Kegiatan pertanian di Johor boleh dibahagi kepada dua, iaitu ladang/estet yang sebahagian besarnya dimiliki oleh kapitalis Eropah dan Asiatik dan keduanya, kebun kecil. Pertanian ladang dicirikan oleh penggunaan kawasan tanah yang agak luas dan oleh kegiatan menanam tanaman untuk eksport. Pertanian jenis ini juga memerlukan ramai tenaga kerja dan banyak modal, iaitu dua faktor yang tidak dapat dipenuhi oleh ekonomi pribumi. Ciri-ciri ini adalah berbeza daripada ciri pertanian kebun kecil yang menekankan konsep kesederhanaan dan secukup hidup serta hanya memerlukan sedikit tenaga kerja bagi mengerjakan tanah yang kecil tersebut. Secara umumnya pengurusan tanah kolonial Inggeris memang lebih sistematik berbanding dengan sistem tradisional. Namun akibat dalam Undang-undang Tanah 1910 tidak menjamin hak dan kedudukan pertanian orang-orang Melayu, berlaku dua arah perkembangan yang berbeza. Pertama, pertanian yang bersifat komersial semakin berkembang kerana ianya dapat memenuhi keperluan ekonomi kolonial Inggeris. Arah kedua adalah pertanian yang didominasi orang Melayu yang bersifat statik dan lebih mundur. Benarlah sepertimana asumsi Lenin dan Hobson yang melihat kesan daripada kolonialisasi terdapat dualisme iaitu golongan yang berpihak kepada penjajah akan berkembang maju manakala masyarakat yang dijajah semakin mengalami kemunduran. Inilah yang berlaku terhadap kegiatan pertanian orang Melayu di negeri Johor dalam dekad kolonialisasi Inggeris.

Tanah Simpan Melayu
Selain daripada perluasan kawasan perladangan yang dimiliki oleh pemodal-pemodal asing di Johor, pengurusan tanah kolonial juga telah menyebabkan kegiatan menjual tanah. Kenaikan harga tanah akibat pelaksanaan Undang-undang Tanah 1910 telah menggalakkan ramai orang Melayu menjual ataupun menggadaikan tanah warisan mereka tanpa menyedari akibatnya. Fenomena ini telah membimbangkan Sultan kerana tanah yang telah dikerjakan dijual kepada orang bukan Melayu akan mengakibatkan orang Melayu tidak akan mempunyai tanah. Pada 1912 Sultan Johor telah menitahkan kepada semua orang Melayu supaya tidak menjual kebun-kebun mereka kepada bangsa lain, kerana perbuatan tersebut akan merugikan mereka. Kebimbangan ini menjadi isu perbincangan utama pada waktu itu kerana terdapat suara tidak puas hati oleh beberapa golongan elit Melayu yang membela kedudukan orang Melayu. Pihak Inggeris cuba mengambil berat terhadap isu ini, kerana mereka mengetahui jika suatu langkah tidak diambil untuk menjaga hak orang Melayu, kepentingan ekonomi imperialis mereka akan tergugat.
Kolonial Inggeris juga beranggapan bahawa jika perkara ini tidak diselesaikan dengan bijak kemungkinan terdapat desakan daripada pihak pentadbir tempatan yang secara tidak langsung akan turut campur tangan dalam prosedur birokratis dan menyalahi prinsip yang termaktub dalam Undang-undang Tanah 1910. Oleh itu, pada tahun 1913 Enakmen Rezab Melayu telah diluluskan oleh Majlis Undang Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Enakmen ini mengandungi empat bahagian yang penting. Bahagian 3 memberikan kuasa kepada Residen untuk memilih dan mengumumkan kawasan Rezab Melayu. Bahagian 7 menegaskan bahawa tanah-tanah yang digazetkan sebagai Rezab Melayu itu tidaklah boleh berpindah milik kepada bukan Melayu. Bahagian 8,9 dan 10 telah meletakkan sekatan-sekatan hak milik dalam kawasan rezab tersebut. Latar belakang dasar itu ada kaitannya dengan perkembangan sosio-ekonomi dan politik di Negeri-Negeri Melayu. Terdapat beberapa orang pegawai Inggeris yang bersimpati dengan situasi yang dihadapi oleh orang Melayu antaranya ialah H. C. Eckhardt iaitu Pemangku Pesuruhjaya Tanah bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1930-an beranggapan bahawa perlu dicegah pemberian hak milik tanah kepada kepentingan-kepentingan asing. Eckhardt nampaknya lebih sedar daripada pegawai-pegawai Inggeris yang lain tentang perlunya menonjolkan bumiputera ke atas kepentingan-kepentingan asing seperti mana yang dapat diukur dari segi keluasan ekarnya. R.C. Clayton yang merupakan Pegawai Daerah Ulu Langat menyatakan bahawa petani-petani Melayu hendaklah dipandang golongan yang berlainan dengan petani-petani Cina dan India kerana mereka adalah penduduk tetap di negeri ini. Kesederan ini juga mungkin disebabkan oleh tercetusnya pergerakan petani di beberapa buah negara dunia ketiga di Amerika Latin, Asia dan Afrika dalam abad ke-20. Antara pemberontakan yang paling awal ialah Revolusi Mexico pada tahun 1910 yang merupakan peperangan menentang kuasa penjajah British, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat dan terutamanya Sepanyol.
Walau bagaimanpun, terdapat juga pegawai-pegawai Inggeris yang tidak bersetuju dengan beberapa cadangan tersebut. G.A. Elcum, iaitu Pemangku Penasihat Am, enggan mengubah Undang-undang Tanah untuk mengahalang penjualan tanah sebagaimana yang dicadangkan oleh elit Melayu. Ekoran daripada itu arahan kepada Pesuruhjaya Kerajaan telah ditukar. Sekiranya perlu, orang Melayu boleh menjual tanah mereka untuk menjelaskan hutang, mengerjakan Haji dan sebagainya. Pada permukaannya memang nampak pelaksanaan ini sebagai satu bentuk pembelaan terhadap kedudukan orang Melayu. Namun, dasar kolonial tidak lari daripada mengutamakan kepentingan ekonomi imperialisnya. Dasar ini ada kaitan dengan masalah kekurangan tanaman makanan pada peringkat akhir Perang Dunia Pertama. Tindakan kolonial Inggeris memperkenalkan industri tanaman getah di Tanah Melayu telah mengubah fikiran orang-orang Melayu untuk memasuki lapangan ekonomi yang baru itu dan meninggalkan lapangan pertanian tradisi atau menguasai kedua-dua lapangan itu. Dengan bertambahnya jumlah orang Melayu yang terlibat dalam kegiatan tanaman kebun kecil getah menyebabkan produksi pengeluaran tanaman makan untuk keperluan dalam negeri semakin berkurangan. Maka perlaksanaan dasar ini antara usaha Inggeris supaya orang Melayu kekal menanam padi dan dapat menampung golongan yang berada dalam lapangan getah dan perlombongan. Dengan adanya Enakmen Rezab Melayu 1913, orang Melayu dijangka akan tinggal kekal dengan lapangan pertanian tradisi dan menyisihkan diri daripada industri-industri moden. Kelulusan undang-undang tersebut menggambarkan keinginan kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mengekalkan orang Melayu pada tanah mereka dan seboleh-bolehnya, bekerja menanam bahan makanan pokok mereka yang tradisi. Selain itu, perkara ini telah menyebabkan berlakunya polarisasi pertanian antara masyarakat di negeri Johor. Orang Melayu hanya di hadkan bagi mengusahakan kegiatan pertanian bersifat sara diri dan pengeluar sumber tanaman makanan, peluang mereka untuk bergiat didalam aktiviti pertanian komersial sangat tipis berbanding dengan bangsa asing yang memonopoli aktiviti pertanian komersial. Terdapat kesan daripada perubahan-perubahan yang berlaku dalam pentadbiran kolonial Inggeris yang terlalu menumpukan pada kawasan bandar dan kawasan-kawasan ladang serta perlombongan. Akibatnya kawasan desa terus ketinggalan serta mengecilkan lagi fungsi-fungsi pertanian orang Melayu. Jelas sekali sistem pengurusan tanah kolonial yang liberal telah mengancam ekonomi tempatan. Pengusaha kapitalis yang bertaraf antarabangsa memainkan peranan yang lebih intensif dalam ekonomi negara dan tidak dapat membantu masyarakat tempatan.
Tafsiran terhadap Tanah Rezab Melayu ini juga boleh dibaca sebagai tindakan kolonial Inggeris untuk melindungi tanah-tanah Melayu dari dijual kepada orang bukan Melayu di kawasan yang telah di rezabkan itu. Untuk melindungi pemilik tanah Melayu daripada terus kehilangan tanah, pada tahun 1929 Penasihat Am, G. Shaw, telah diarahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Hugh Clifford, untuk mengatasi keadaan itu. Pada 24 Februari 1929, Shaw telah mencadangkan pembentukan dua tanah simpanan di kawasan timur negeri Johor iaitu di selatan Sungai Endau dan di selatan Sungai sedeli. Nampaknya usaha ini seperti mahu membantu petani-patani Melayu, namun persoalannya adakah tanah yang direzabkan tersebut merupakan tanah yang subur untuk kegiatan pertanian. Tanah di bahagian timur johor bukanlah tanah yang sesuai bagi aktiviti pertanian berbanding dengan di bahagian barat Johor kerana tanah di bahagian timur lebih sesuai dengan aktviti perlombongan. Malahan keluasan tanah rezab yang di tetapkan oleh kolonial Inggeris adalah tidak sesuai dengan status orang Melayu sebagai bangsa pribumi dan negeri tersebut.
Isu berkenaan Tanah Rezab Melayu yang berpunca daripada pengurusan tanah kolonial ini berlarutan sehingga tahun 1933. Dari satu segi usaha tersebut boleh mendatangkan kerugian kepada orang Melayu. Seperti mana pandangan Jones , beliau telah mengemukakan satu bantahan bahawa nilai pasaran tanah dikawasan simpan Melayu berkurangan akibat halangan kepada urusan jual beli, mencagar dan menyewa. Akibatnya, pemilik tanah di kawasan simpan Melayu tidak boleh mendapat keuntungan jika mahu menjual dan menyekan tanah tersebut. Ekoran daripada masalah yang timbul, R.O. Winstedt yang merupakan penasihat Am Johor pada waktu itu telah meminta supaya Pesuruh Kerajaan Muar, Batu Pahat dan Segamat serta Penolong Penasihat setiap daerah mendapatkan pandangan para penghulu dan ketua kampung tentang baik buruknya memperkenalkan Malay Reservation Enactment seperti yang dimaklumkan pada 4 Mac 1931. Penghulu, Ketua Kampung dan orang-orang tua di kampung yang lain di semua daerah bersetuju supaya undang-undang itu diperkenalkan. Oleh itu rundingan tentang undang-undang hendak mengadakan kawasan rezab bagi orang Melayu telah juga dibawa dalam Mesyuarat Kerajaan pada 30 Mei 1933 oleh Abdullah bin Esa, iaitu Pesuruhjaya Kerajaan Segamat. Skim simpanan untuk seluruh negeri itu telah diluluskan oleh mesyuarat Kerajaan pada tahun 1935.
Secara kasarnya, dasar rezab Melayu ini adalah salah satu program ekonomi kerajaan kolonial Inggeris di Malaya yang kelihatan bersifat pro-Melayu. Namun keikhlasan kolonial Inggeris tersebut boleh dipertikaikan lagi. Kerana sehingga 1932, hanya terdapat dua sahaja tanah rezab Melayu di negeri Johor. Ini bukanlah suatu penyelesaian yang baik, kerana ianya menyebabkan pertanian melayu tidak mengalami perkembangan dan masih berada pada tahap yang mundur berbanding dengan aktiviti pertanian yang diusahakan oleh bangsa asing. Sikap kolonial Inggeris sebenarnya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga” dan perkara tersebut bukan matlamat utama mereka. Apa yang mereka mahu hanyalah mengaut keuntungan sumber ekonomi dalam negeri Johor untuk di bawa ke London. Dasar tanah rezab Melayu ini pada dasarnya sangat perlu dilaksanakan dalam skala yang luas yakni merangkumi seluruh negeri Johor serta penekanan kepada syarat perjanjian tanah tersebut, bukan dengan cara meletakkan tempat yang khusus sebagai tanah rezab orang Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa tanah untuk pertanian orang Melayu telah disempitkan.

KESIMPULAN
Selepas kemasukan pengaruh Inggeris ke dalam pentadbiran negeri Johor, berlaku pelbagai perubahan struktur kepengurusan berkenaan aspek ekonomi. Hal ini jelas berlaku kepada sistem pentadbiran tanah di negeri tersebut. Dasar Inggeris yang melihat bahawa sistem kepengurusan tanah tradisional yang begitu longgar dan tidak mampu menggunakan tanah secara ekonomik perlu di tukarkan kepada sistem kepengurusan tanah yang selari dengan dasar ekonomi Inggeris. Kesan daripada dasar tanah kolonial yang liberal tersebut menyebabkan kebanjiran pemodal-pemodal asing terutama dari eropah untuk menjalankan aktiviti pertanian di negeri Johor. Perkara ini telah menyempitkan pertanian orang Melayu di Johor, kerana pertanian orang Melayu tidak mempunyai ramai kapitalis-kapitalis Melayu yang bergiat dengan aktif dalam merencanakan pertanian mereka. Struktur pertanian orang Melayu masih tertumpu kepada sifat individu yang memiliki tanah dan mengusahakannya sendiri. Selain itu, penghulu dan ketua kampung masih berperanan dalam menentukan aktiviti pertanian mereka. Pertanian Melayu semasa zaman kolonial tidak mampu untuk berkembang dalam pertanian komersial akibat faktor kurangnya modal. Modal adalah faktor penting dalam mendapatkan guna tenaga dan fasilitis yang dapat memudahkan dan mengoptimunkan produksi hasil pertanian. Pertanian Melayu di Johor sama juga nasibnya seperti pertanian di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang tertumpu kepada tanaman makanan dan kebun-kebun kecil. Walaupun orang Melayu tidak ramai yang terlibat dengan ekonomi pertanian komersial, tetapi mereka berperanan dalam ekonomi pertanian domestik. Kegiatan ekonomi komersial di Johor sebenarnya hanya memberikan keuntungan yang banyak kepada Kolonial Inggeris sahaja. Oleh kerana itulah orang Melayu lebih menumpukan kepada pertanian tanaman makanan untuk memenuhi keperluan sendiri.

SENARAI RUJUKAN

Ahmad Fawzi Basri. 1988. Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya, Petaling
Jaya: Fajar Bakti.

Amriah Buang. 2007. Pertanian Kecil Melayu dan Kelestariannya, Syarahan Perdana (Universiti
Kebangsaan Malaysia), Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Andaya, L.Y. 1975. The Kingdom of Johore 1641-1728. Kuala Lumpur: Oxford University
Press.

Badariyah Haji Salleh. Imperialisme Ekonomi: Kajian Kes mengenai Industri Getah di Malaya,
dalam Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad (peny.). 1990. Kolonialisme dan Imperialisme di Malaysia dan lain-lain negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chai Hon Chan. 1964. The Development of British Malaya 1896-1909, Kuala Lumpur.
Coope, A.E., The Kangchu System in Johore, JMBRAS 14(3),
Emerson, R. 1979. Malaysia: Satu Pengkajian dalam Pemerintahan Secara Langsung dan Tidak
Langsung, Ariffin Haji Hamzah (terj.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gullick, J.M. 1987. Malay Society in the Late Nineteeth Century. Singapore: Oxford University
Press.

Haju Buyong Adil. 1971. Sejarah Johor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Shari. 1988. Pembangunan dan Kemunduran: Perubahan Ekonomi Luar Bandar di
Kelantan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jackson, J.C. 1965. Chinese Agricultural Pioneering in Singapore and Johore, 1800-1917,
JMBRAS 88(1).

Lim Chong Yah. 1967. Economic Development of Modern Malaya, Kuala Lumpur.
Lim Teck Ghee. 1977. Peasant and Their Agricultural Economy 1874-1941, Kuala Lumpur:
Oxford University Press.

Lim Teck Ghee. 1976. Origins of a Colonial Economy: Land and Agriculture in Perak 1874-
1897, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Kieth Sinclair. 1967. Hobson and Lenin in Johore: Colonial Office Policy Towards British
Concessionaires and investors 1878 – 1907, Modern Asian Studies, 1, 4.

Maxwell, W.E. 1965. The Law and Custom of The Malays with Reference to the tenure of Land,
JSBRAS, Jun 1884, Vaduc (Germany), 1965,

Mohamed Said Haji Sulaiman, Mejar Datuk. 1950. Malaya: Unfederated Malay States. (jawi).
Johor Bahru: Jabatan Percetakan.

Rahimah Abdul Aziz. 1997. Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis
Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Thio, E. 1969. British Policy in the Malay Peninsula 1880-1910, Singapore: University of
Malaya Press.

Trocki, C.A. 1979. Prince of Pirates: Temenggong and the Development of Johore and
Singapore, Singapore University Press.

William, R. Roff. 1975. Nasionalisma Melayu, Ahmad Boestamam (terj.) Kuala Lumpur:
Penerbit Uniersiti Malaya.

Wong Lin Ken, The Malayan Tin Industry to 1914, Tucson, 1965,
Wu Min Aun. 1984. Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia, Kuala Lumpur:
Percetakan Heinemen Educational Books (Asia).

Sumber Fail dan Dokumen

CO273/360.PRO
CO273/406,PRO
CO273/396.PRO.
CLM680/25.ANJ.
CLM680/25.ANJ
CLM101/ 29. ANJ
CLM101/29/ANJ.
CLM1O1/29.ANJ.
GA145/1912.ANJ.

Logan kepada Secretary of Government. 21.11.1864. CO273/16. PRO
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Tambahannya, pada 17hb. September, 1912.

Johor Annual Report 1911, ANJ.
Johore Government Gazzetes, 30 Mei 1913 dan 30 Disember 1912, ANJ
Johor Annual Report 1914, ANJ.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *