PERNYATAAN AKHBAR GMP 22 OKTOBER 2011 (Bil. 3/2011)
GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) yang dianggotai oleh 148 persatuan/kumpulan kerabatnya menyatakan buat kesekian kalinya lagi terima kasihnya atas keprihatinan kerajaan mendengar rintihan kami yang mewakili rakyat terbanyak (yang diwakili oleh GMP) dengan menetapkan dasar bahasa yang baharu di dalam pendidikan sekolah, iaitu memansuhkan PPSMI mulai 2011. Baru dua tahun dasar baru ini berjalan kedengaran kembali golongan elitis yang amat minoriti dan memang penyokong PPSMI dahulu mendesak kerjaaan mengubah dasar tersebut supaya mewujudkan kembali PPSMI sebagai pilihan rakyat kerana kononnya ramai rakyat mahu PPSMI diteruskan. Selain daripada tinjauan pandangan awam oleh kumpulan minoriti itu, yang amat dipertikaikan keesahannya oleh GMP dan pelbagai pihak lain, pelbagai helah lain lagi diutarakan oleh kumpulan ini untuk mencapai hasrat menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pembangunan pendidikan di negara ini (menggantikan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara). Memanglah golongan ini menolak bulat-bulat hakikat “bahasa jiwa bangsa”, bahkan “bahasa jiwa ilmu”, yang rata-rata sudah tidak dipertikai oleh semua ilmuwan di seluruh dunia, atau mereka menerimanya tetapi mahu jiwa-jiwa rakyat Malaysia ini akhir seperti jiwanya sekarang: mengagungkan kebudayaan Inggeris sahaja.
Buat beberapa ketika, dengan pertolongan hebat daripada sebuah akhbar berbahasa Inggeris (sehingga kini pun), ternyata golongan elitis minoriti ini beroleh kekuatan baru di dalam perjuangan meluncurkan semula satelit baru budaya berbahasa Inggeris di negara ini, menerusi penghidupan kembali PPSMI. Namun baru-baru ini pemimpin kedua tertinggi Malaysia , Y.B. Tan Sri Muhyiddin mengulangi beberapa kali akan keitizaman kerajaan mengotakan janji pemansuhan PPSMI. Lantaran GMP ingin merakamkan setinggi-tinggi penghormatan atas keberanian dan ketegasan luar biasa TPM kita ini lebih-lebih lagi sebelum ini beliau dilaporkan mengalami tekanan yang mengening terhadap dasar bahasa yang didokonginya ini. Sekali gus beliau dengan tepatnya mengingatkan mereka yang menuntut pengembalian PPSMI agar menghormati perlembagaan negara yang tidak membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar mana-mana pelajaran di sekolah kebangsaan.
Oleh kerana kumpulan yang mahu mengembalikan PPSMI ini seolah-olah enggan menerima hakikat bahawa ketegasan Y.B. TPM itu adalah ketegasan kerajaan juga, maka GMP merasakan sudah sampai masanya Perdana Menteri mencelah dengan menegaskan perkara yang sama.
Pada kesempatan ini GMP juga ingin mempertahankan kewarasan dan kebijaksanaan kerajaan memansuhkan PPSMI (kerana ada golongan yang malah mempersoalkan hal ini) dengan menyangkal satu persatu perkara yang dituntut oleh kumpulan ini yang kononya lebih waras itu. Antaranya ialah perkara berikut:
(1) Hak asasi ibu-bapa memilih anaknya mendapat pendidikan di dalam bahasa pengantar yang disukai, khususnya bahasa Inggeris. Ini sesuai dengan perakuan PBB yang memperakukan pendidikan di dalam bahasa ibunda dan bahasa Inggeris adalah “bahasa ibunda” bagi segolongan penduduk negara ini.
GMP berpendapat tuntutan ini melanggar perlembagaan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Y.B. Tan Sri TPM kita. Lagi pun konsep bilangan mereka yang berbahasa ibunda bahasa Inggeris di Malaysia ini amatlah sedikit. Hujah yang sama boleh digunakan untuk kerjaan mengizinkan puluhan sekolah dalam bahasa ibunda lain lagi!
(2) Pemansuhan PPSMI atau tidaknya patut dilakukan menerusi pungutan suara.
GMP berpendapat pungutan suara besar belanjanya, sama dengan pilihan raya dan mungkin sekali timbul masalah “Bersih” juga. Lebih baik jimatkan wang dengan hanya bergantung pada pilihan raya akan datang sahaja, dengan memastikan ada parti yang memasukkan “Kembali kepada PPSMI” di dalam manifestonya. Walau bagaimanapun parti yang menang itu perlu menukar perlembagaan bahasa Kebangsaan sekarang terlebih dahulu sebelum melaksanakan impiannya itu.
(3) Kezaliman terhadap pelajar yang sudah melalui PPSMI selama ini dengan memaksanya kepada aliran Melayu mulai 2012 ini.
Kenapa hal sebegini tidak dibangkitkan dengan penuh insafnya pada masa pelaksanaan PPSMI terhadap pelajar yang memang tidak faham/selesa dengan bahasa Inggeris? Bukankah pelajar yang berbahasa dirumah bahasa Inggeris pun dikatakan tiadalah masalahnya dengan bahasa Melayu (bahasa rasmi negara) sekurang-kurangnya berbanding dengan masalah berbahasa Inggeris bagi pelajar yang bahasa di rumahnya bahasa Melayu atau bahasa suku kaum rumpun Melayu, bahkan bahasa Tamil atau bahasa suku kaum Hindia dan Tionghua?
(4) Membazirnya biaya PPSMI sebanyak berserijutaan/berbilionan itu dengan memansuhkannya begitu sahaja.
Tidaklah benar semuanya membazir. Yang paling banyak belanjanya, komputer riba, bilik makmal, dan kursus penataran guru. Semuanya ini tiadalah berubah dengan berertinya akan gunanya.
Dengan tiadanya PPSMI.
Selain daripada “perkara baru” di atas, pihak elitis minoriti yang mahu kerajaan menghidupkan kembali PPSMI itu memang bermain lagu-lagu lamanya dari bapa PPSMI itu seperti berikut: (M1) Bahasa Inggeris penting kerana bahasa itu bahasa sains dan matematik (S&M) yang berkembang setiap hari; mustahil kita dapat menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu (BM). Lagu ini sengaja tidak mahu membezakan kepentingan bahasa Inggeris (yang tiada siapa pun menolaknya) dengan keperluan mengajar ilmu menerusi bahasa pengantar berbahasa Inggeris; menyelewengkan fakta dengan menyamakan pendidikan sekolah dengan pendidikan peringkat universiti (pascaijazah), dan penyelewengan fakta isu penterjemahan yang bukan sahaja tidak begitu relevan dengan pendidikan S&M peringkat sekolah tetapi yang lebih penting lagi bagaimana sebenarnya hubungan penterjemahan dengan Negara Maju itu seperti seolah-olah Negara Maju itu bebas daripada penterjemahan. (M2) PPSMI memastikan generasi hari ini mampu menguasai sains dan matematik lalu menjadi bangsa dan negara maju. Ini pun berhujah dengan lari daripada masalah sebenar, iaitu adakah generasi impian itu akan tercapai menerusi PPSMI sedangkan data selama PPSMI menunjukkan sebaliknya, dan lebih ketara lagi daripada sekitar 40 buah Negara Maju itu hanya 3 buah negara (Afrika Selatan, Ireland dan Singapura) yang melaksanakan PPSMI. (M3) PPSMI tidak membelakangkan Bahasa Melayu. Ini kedegilan menegak benang yang basah sahaja kerana ambil sahaja pembelajaran pelajar aliran sains tingkatan 4 dan 5; bahkan UPSR pun hanya 2 kertas peperiksaan sahaja di dalam bahasa Melayu (kedua-duanya subjek Bahasa Melayu!) dan 3 lagi dalam bahasa Inggeris (Sains , Matematik dan Bahasa Inggeris). (M4) Eropah pernah menjadi bahasa Arab sebagai bahasa pengantar ilmu bangsanya pada abad ke-15 M yang lalu kerana masa itu Bahasa Arab adalah bahasa Ilmu S&M; jadi orang Eropah berlumba-lumba belajar bahasa Arab. Sekarang giliran bahasa Inggeris. Ini benar-benar penyorokan fakta kerana tiada sebuah Negara pun yang melakukan PPSMA (A=Arab) di Eropah kerana semuanya mewujudkan dasar menterjemah semua karya besar ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Latin walaupun bahasa Latin belum menjadi bahasa ilmu (tetapi mulai abad ke-16 M hingga ke-18 M Latin melonjak menjadi bahasa ilmu mengalahkan bahasa Arab).
Kami sengaja memendekkan hujah balas ini kerana bagaimana dangkal, meneyeleweng dan sewelnya hujah-hujah pro-PPSM ini sudah diketengahkan oleh pelbagai pihak sepanjang terlaksananya PPSMI dahulu (Lihat buku “Mengapa Kami Bantah!” terbitan Perstuan Penterjemahan Malaysia, snt. keduanya 2009) , dan oleh itu tidak perlu rasanya diulangi dengan panjang-panjangnya lagi di sini.
Pengerusi GMP
Dr. Shaharir bin Mohamad Zain
Felo Akademi Sains Malaysia
(Mantan Profesor Matematik-Fizik UKM dan UMT)
« Sambutan Barat (bukan Muslim), Muslim dan Malayonesia terhadap Teori Quantum | Teaching Science and Mathematics in Bahasa Melayu »
Tiada komen
Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.