Kemaskini terbaru: December 7, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Isu PPSMI jauh lebih penting daripada isu bahasa rojak

Saya merujuk kepada surat kiriman Keturunan Megat Terawis, “Cakap rojak rosakkan bahasa Melayu” di ruangan ini pada tarikh 22 November 2011.

Sebagai seorang pencinta bahasa Melayu dalam dunia ilmu daripada kalangan generasi Y, ingin saya tegaskan di sini bahawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukanlah sesuatu yang ‘dikitar semula’ seperti dakwaan Keturunan Megat Terawis, malah isu ini belum pun diselesaikan sepenuhnya. PPSMI setakat ini diumumkan pemansuhannya di peringkat sekolah sahaja, sedangkan di institusi pengajian tinggi juga dasar ini patut dimansuhkan kerana telah menghakis peranan bahasa Melayu, iaitu bahasa peribumi utama di negara ini sebagai wahana penyampaian ilmu sains tinggi.

Bahasa rojak ialah bentuk bahasa yang menyimpang daripada peraturan nahu kerana memperlihatkan percampuran dan peralihan kod (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) yang tidak terkawal. Namun demikian, dari sudut sosiolinguistik, jika penutur bahasa Melayu sekali-sekala menyelitkan beberapa perkataan bahasa Inggeris, seperti library dan assignment, misalnya dalam ayat (bahasa lisan) “Saya lagi suka buat assignment kat library”, itu bukanlah kesalahan serius dalam komunikasi yang boleh dijatuhkan hukuman ‘dosa besar’.┬áPerkara ini sudah menjadi kebiasaan sosiolinguistik (dan salah dari segi nahu), tetapi isu sebegini terlalu remeh berbanding dengan dasar PPSMI yang akan terus melahirkan saintis Melayu yang berfikir tentang ilmu sains bukan dalam bahasa bangsanya sendiri, tetapi dalam bahasa Inggeris. Jati diri apakah yang dipegang oleh golongan saintis ini?

Penggunaan bahasa rojak diakui mencemarkan kemurnian bahasa Melayu dalam komunikasi, namun janganlah kita bersikap “buat-buat tak nampak” terhadap masalah yang jauh lebih besar, iaitu penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa asing untuk membangunkan ilmu sains bangsa dan negara kita sendiri.

Sejarah telah membuktikan bahawa semua tamadun mencapai kemajuan dengan bahasa peribuminya, bukan bahasa asing. Ilmuwan Islam pada zaman Abbasiyah menterjemahkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Yunani dan bahasa Latin ke dalam bahasa Arab. Penyampaian dan penyebaran ilmu kepada masyarakat atau sesama ilmuwan Abbasiyah serta aktiviti menulis karya-karya asli mereka tetap dijalankan dalam bahasa Arab. Mereka tidak pun menyuruh masyarakat mereka itu mengajar dan belajar ilmu sains dalam bahasa Yunani atau bahasa Latin.

Konsep penting yang perlu kita fahami ialah konsep “Bahasa Jiwa Ilmu”. Kita tidak boleh menganggap bahasa sebagai ‘alat’ yang bersifat mekanikal semata-mata, tetapi bahasa juga mempunyai roh dan mempengaruhi pandangan alam (worldview) sesuatu bangsa. Kita tidak mungkin akan menjadi bangsa yang maju dengan jati diri yang utuh jika bahasa yang menjadi jiwa kepada ilmu sains kita ialah bahasa asing. Perkara ini sudah terbukti di negara jiran kita, Singapura. Tidak ada cacat celanya bahasa Melayu itu untuk mengungkapkan apa-apa ilmu, hanya kemampuannya yang sengaja dipertikai oleh kelompok yang sentiasa berasa rendah diri dengan bahasa ibunda.

Antara isu golongan remaja yang gemar mencampuradukkan bahasa Melayu bersama-sama bahasa Inggeris dengan isu bangsa Melayu sendiri yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains, masalah yang kedua itulah yang jauh lebih berat dan perlu diatasi terlebih dahulu.

AMIR ARIF ABDUL, Selangor.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *