Kemaskini terbaru: July 25, 2013

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SINTESIS ILMU KEPIMPINAN MELAYU DARIPADA TRADISI HINDU DAN ISLAM.

SINTESIS ILMU KEPIMPINAN MELAYU DARIPADA

TRADISI HINDU DAN ISLAM

Muhamad Hanapi Bin Jamaludin

 

Pengenalan Alam Budaya Melayu

Masyarakat Melayu amnya, bertebaran secara beragam memenuhi seluruh kepulauan Nusantara (Malay Archipelego). Di antara mereka ada yang menyedari akan identiti keMelayuannya dan ada juga yang lebih selesa menggolongkan mereka dalam kelompok kecil yang masih tertentu rumpunnya dalam keluarga besar bangsa Melayu. Para sarjana melalui usaha tersusun lewat perkembangan pesat ilmu pengetahuan abad ini  telah cuba membawa keluar pelbagai dimensi keilmuan peribumi masyarakat Austronesia ini. Dikalangan mereka tidak dapat mengelak untuk mengaitkan peradaban Melayu dan ilmu-ilmu yang terbit daripadanya ialah sebuah padunan daripada dua blok nilai agama dan kepercayaan yakni Hindu dan Islam. Gabungan keduanya mewujudkan suatu sintesis di antara sintesis yang telah sedia berlaku akibat pertembungan dalaman rumpun Melayu itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan animisme selain terpisah daripada benteng geografi.

 

Konsep Sintesis

 

Soal kebahasaan adalah asas terpenting sebelum perbahasan yang lebih tinggi menyentuh tentang sebarang persoalan di pelbagai lapangan. GWF Hegel mengungkapkan mengenai rantaian fenomena tesis, antithesis dan sintesis yang berkisar mengenai masyarakat. Istilah yang terakhir itu, yakni sintesis merujuk kepada keadaan padunan antara dua unsur yang melahirkan unsur baharu, suatu keadaan asal permulaan yang bergelar tesis, kemudian timbulnya persoalan yang berlawanan dengan kesahihannya yang asal, keadaan demikian digelar antithesis,  maka timbul pula keadaan akhir yang digelar sintesis yang mencampurkan sebati apa-apa kebenaran yang terdapat dalam keadaan asal dan pertengahan sambil melampaui batas keduanya[1]. Dengan mencontohkan takrifan ini terhadap situasi masyarakat di Alam Melayu, keadaannya digambarkan seperti berikut :

 

Kepercayaan primitif, animisme (tesis) – Hindu Buddha (Antitesis) – Islam dan Barat (Sintesis-tesis)

 

Andaian sosiologi sejarah menyatakan bahawa masyarakat bermula dengan bentuk yang tribal. Begitulah keadaannya jika konsep ini dikenakan terhadap masyarakat Melayu. Hasilnya mereka mengamalkan kepercayaan primitif sendiri yang disabitkan kepada kepercayaan semangat animisme yang tersendiri daripada segala bangsa yang lain. Kemudian Hindu-Buddha menguasai perbendaharaan nilai fikir dan budayanya, agak lama, seolah nampak telah menetap, menguasai semua persoalan ilmu tentang hidup dan mati. Kemudian apabila Islam muncul, tidak dapat dinafikan, segala ajaran yang bertentang dengannya terbatal atau mengalami peminggiran. Kehadiran Islam telah menguasai alam fikir dan konsep-konsep besar dalam kehidupan merangkumi, ekonomi, politik, sosial, metafizik, sains dan sebagainya.

 

Oleh kerana faktor kebudayaan yang di dalamnya saya rangkumkan memiliki dasar kepercayaan dan agama sentiasa akan menerbitkan jalan-jalan pengetahuan serta petunjuk samada secara multak mahu relatif, maka masyarakat yang menempuhi pengalaman kebudayaan demikian juga akan memperoleh kenyataan yang sama. Alam Melayu telah memiliki citarasa peribadi akan ilmu pengetahuan dan kesedaran rohaniah pada awal mulanya (tesis), kemudian gejala asasi tersebut bertembung pula dengan kepercayaan Hindu-Buddha yang melahirkan keadaan yang tidak tekal, longgar (anti-tesis), sebelum menyerap sedalamnya nilai Islam sehingga membentuk suatu sintesis terhadap pandangan alam dan ilmu-ilmu yang dikandung daripadanya termasuklah ilmu kepimpinan.

 

Ramuan Kepimpinan Melayu

 

Konsep pimpin berakar daripada kesedaran maknawi yang dalam, ditandai oleh jiwa bangsa tersebut yakni melalui bahasanya. Prof Shahrir Mohamad Zain, peneliti yang disegani dalam bidang pemeribumian ilmu di rantau alam Melayu menjelaskan:

 

“Kata pimpin bukan daripada Sanskrit, latin atau Arab. Malah kami dapati (Shahrir, 2008a), ‘pimpin’ itu ialah perkataan Jawa, Sunda (Pingpin) atau Minangkabau (bombing) dan Iban. Menariknya, mengikut bahasa dan sejarah Iban makna pimpin ialah ‘menyeberag dari kiri ke kanan arah penerbangan burung ketika menerima sesuatu alamat buruk[2]

 

Perkataan pimpin tidak boleh disamai dengan ‘lead’ daripada bahasa Inggeris, sebaliknya ia membawa kepada pengertian yang lebih mendekati konsep ‘khalifah’ dalam bahasa Arab yang menjadi rujukan sebagai ganti, pembimbing, menjadi pendahulu kepada diri dan ahli sendiri. Maka, sedalam itulah konsep kepimpinan dibangunkan, masyarakat Melayu tidak terkecuali menerima kesan akibat pertembungan nilai dan pandangan alamnya dikesani oleh gejala tesis, antithesis dan sintesis sebagai hukum alamiah yang sentiasa berlangsung. Kepimpinan Melayu diramukan oleh kesediaan diri yang tulen untuk bertindak dalam ruang pandangan alamnya yang asali, kemudian digugah oleh kebanjiran nilai hinduisme dan buddhaisme yang akhirnya didominasi oleh Islam.

 

Zaman sejarah Alam Melayu dapat dibahagikan kepada tiga fasa besar seperti yang diterangkan dalam gambar rajah di bawah :

 

Abad Primitif  (Melayu Proto- Deutro)          Zaman Hindu Buddha                 Zaman Islam

2500 SM – 0 M                                                   0     M – 1500 M                                     1500     M – kini

 

 

 

Tesis Ilmu Kepimpinan Melayu

 

Sejak para sejarawan merakamkan sosiobudaya alam dan masyarakat di rantau ini, keterangan yang ditampilkan hanya dapat ditemukan dalam bentuk fosil rangka manusia dan artifak (produk). Tidak terdapat bukti bertulis mengenai ketamadunan sepanjang zaman kelam ini berlangsung. Manusia hidup secara nomad dalam kumpulan yang kecil. Orientasi ekonomi berasaskan kepada ekonomi sara diri atau pertanian pindah. Konsep kepimpinan pada zaman ini ditandai oleh sikap solidariti masyarakat. Bidalan di bawah dapat menjelaskan :

 

Seciap bak serai

Seikat bak sirih

Sedenting bak besi

 

Perbilangan atau bidalan ini melambangkan sikap kekitaan yang jitu dikalangan anggota masyarakat (sense of belonging). Nilai kolektiviti dipaparkan sebagai manifestasi kepimpinan sifat pimpinan kelembagaan, yakni masyarakat ditadbir oleh sistem adat institutional. Terdapat ungkapan yang bertekalan terus pada zaman ini tanpa dipengaruhi oleh unsur Hindu-Buddha yang akan dijelaskan pada bahagian seterusnya.

 

Kemasukan Agama Hindu Buddha

 

Sebelum awalnya masyarakat Melayu hidup tanpa dipengaruhi agama besar sehinggalah kemasukan agama India daripada Hindu-Buddha. Pandangan alam masyarakat juga berubah. Sikap terhadap kepemimpinan diwarnai oleh semangat feudalisme dan semangat kayangan dengan alunan dewa-dewa Hindu. Penjelajahan Hindu Buddha tidak menghadapi banyak kesulitan kerana kosongnya jiwa masyarakat Melayu tanpa bimbingan rohaniah. Konsep kepercayaan dewaraja mendirikan paradigma baru di tengah ruang lingkup kepimpinan Melayu. Raja dianggap sebagai wakil daripada Tuhan. Konsep kepimpinan dikembangkan berdasarkan pancaran kekudusan raja dan dewa-dewa. Pemimpin dipilih daripada golongan yang memiliki kasta tinggi (Brahmin).

 

Kepimpinan Melayu pada zaman ini berteraskan kepercayaan terhadap kuasa dewa kayangan yang jelas memaparkan elemen Hindu Buddha. Nagara Kretagama merakamkan pengaruh keturunan (kasta) menjadi amalan bagi masyarakat pada zaman berkenaan. Babak dalam epik sejarah berkenaan menunjukkan pengaruh keturunan menjadi sandaran terhadap proses pemilihan pemimpin. Mereka yang dianggap memiliki kemuliaan darjat keturunan tidak kira lelaki atau perempuan akan diberikan penghormatan pada adat dan istiadat dan ditinggikan kedudukannya sebagai pemimpin. Namun, ketidaktekalan nilai Hindu-Buddha ini dijelaskan lagi pada abad-abad selepas kemasukan Islam. Nilai Hindu berkenaan tidak pula menyerap dalam sehingga menghapuskan warisan masyarakat peribumi. Sebagai contoh konsep dalam kepimpinan adat ditinjau sebagai “adat bersendikan alur dan patut”, semasa zaman Buddha tidak pula disebut sebagai “adat bersendikan karma, karma bersendi veda atau kitab suci agama berkenaan yang lain. Tetapi, pada zaman Islam, gambaran ini jelas melalui penyerakan konsep kepimpinan adat ini sebagai :

 

“Adat bersendikan syarak

Syarak bersendi Kitabullah

Syarak mengata, adat memakai

Syarak mendaki, adat menurun

Adat dan syarak, bagi aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku”

 

 

Islam dan Pembinaan Ilmu Kepimpinan

 

Tidak pernah tergambar, tamadun yang baru berusia 500 tahun (atau lebih) telah menjelmakan pengaruh besar terhadap perkembangan gedung ilmu terutamanya di dunia Islam sebelah Timur. Masyarakat Melayu yang sememang mengamalkan budaya sedia ada yang lebih toleran kepada unsur saintifik dan rasionalisme mudah menerima masuk konsep asas Islam dalam pelbagai lapangan. Termasuk soal kepimpinan, Islam meletakkan penekanan terhadap pemilihan pemimpin untuk mengetuai sesebuah anggota.

 

Pemimpin Sebagai Khalifah

“Dan ketika Tuhanmu telah berkata kepada para malaikat,’Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di bumi”. (QS Al-Baqarah : 30).

Menurut kamus Lisan al-Arab, perkataan Al-khaliifah merujuk kepada pengertianyang terbelakang, yang datang kemudian sehingga terlambat, yang mengikuti apa yang lebih dahulu, yang menggantikan apa yang lebih dahulu”. Cerminan pengertian mudahnya, perkataan khalifah disamakan sebagai pengganti terhadap amanah yang diberikan Allah untuk manusia di muka bumi ini. Khalifah bertindak sebagai pentadbir menguruskan segala peraturan yang telah ditetapkan ke atas mereka.

Masyarakat Melayu bukan sahaja menerima Islam, tetapi turut membenarkan konsep ini serta memakaikannya dalam lalu lintas pemerintahan tradisional dan moden mereka walaupun masih belum ideal. Kemunculan Kesultanan Melayu Melaka (abad ke -15), Kerajaan Aceh Darussalam, Kesultanan Riau, Kesultanan Terengganu dan Patani menyokong kenyataan ini. Konsep kepimpinan Islam dalam pemerintahan turut dipengaruhi oleh nilai peribumi yang berteraskan konsep budi sebagai adat susila masyarakat yang mesra dengan nilai-nilai Islam, selebihnya  dibuang atau disesuaikan. Hal ini merupakan sintesis baru terhadap pembawaan unsur primitif sebelumnya yang menyatu dengan unsur Islam. Penulis menamakan gejala Islam dan Alam Melayu ini termasuklah soal kepimpinannya sebagai cerminan padunan ‘budi dan akal’ atau umum didahulukan sebagai ‘akal budi’.

 

Akal Budi : Sintesis Kepimpinan Melayu

Apabila Islam diterima, agama ini tidak melangsungkan kekerasan terhadap para penganutnya dengan memaksakan masyarakat berkenaan menghapuskan kebudayaan asasi mereka. Itulah agama yang syumul yang sentiasa sesuai dengan jiwa masyarakat dunia. Konsep yang dibawa Islam dalam perspektif kepimpinan diterima dengan mudah oleh masyarakat walaupun aturan adat yang songsang amat kuat membekas. Konsep kepimpinan disesuaikan lagi dalam konteks ‘membuat keputusan’. Kemungkinan memperoleh jawapan melalui persetujuan sebulat suara telah ada dalam bentuk rundingan adat. Majlis syura amat intim serta sesuai rohnya dengan konsep muafakat atau kebulatan. Bahkan keduanya saling menyandar, mendahulukan syarak, mengekori adat.

Jika sebelumnya, agama Hindu-Buddha tidak dapat menyebarkan peranannya sebagai agama pembimbing umat, masyarakat dan tamadun, maka tugas berkenaan disambut oleh agama Islam. Sifat agama ini yang meraikan perkara kebiasaan selagi tidak bertentangan dengan prinsip akidah, ibadah dan akhlaknya maka konsep kepimpinan tradisional masih dapat diterapkan. Sintesis inilah akan terus menetap, disokong oleh perundangan moden dan dapat dilihat kemas terhadap penerimaan terbuka masyarakat Melayu yang sanggup bermatian mempertahankan agama dan budayanya[3].

 

 

 



[1] Syed Muhammad Naquib Al Attas. 2007. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia. Hlm. 17-18

 

[2] Shahrir Mohamad Zain. 2010. Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepempinan Besar Sepanjang Zaman. Rawang : Kaab Enterprise. Hlm. 30

[3] Terimakasih kepada Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir atas cadangan beliau untuk menjalankan kajian dalam tajuk ini. Penulis perlu menyatakan bahawa persediaan untuk menguasai tajuk ini masih terlalu awal dan di peringkat pembacaan. Penulis menghargai sebarang komentar dan cadangan.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *