Kemaskini terbaru: September 25, 2013

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Cakna terhadap usaha mengembangkan bidang etnosains dan etnomatematik Alam Melayu

Oleh: Mohd Yunus Sharum (m_yunus@upm.edu.my)

 

Bidang etno* (etnosains, etnomatematik, etnokejuruteraan dsb.) ialah bidang pengkajian ilmu dalam bidang-bidang terbabit (iaitu sains, matematik, kejuruteraan dsb.) yang dikaji berasaskan kepada ilmu-ilmu dalam tradisi atau budaya dalam sesebuah masyarakat atau tamadun. Maka etnosains Alam Melayu, misalnya, ialah mengkaji dan mengembangkan ilmu sains berasaskan kepada ilmu tradisi dan budaya yang terdapat di Alam Melayu.

 

Etnosains dan etnomatematik merupakan bidang pengkajian yang berpotensi untuk dikembangkan. Ini kerana ia bukan sahaja bidang yang bermanfaat sebagai satu cabang pengkajian ilmu, tetapi juga berpotensi untuk menjadi pelantar kepada pengembangan ilmu-ilmu dan budaya tamadun masyarakat setempat. Seharusnya bidang ini juga dimanfaatkan dalam memperkenalkan ilmu-ilmu di Alam Melayu khususnya yang bermanfaat untuk bidang sains dan matematik semasa.

 

Tamadun Melayu mempunyai khazanah dan budayanya yang tersendiri. Pelbagai artifak dan khazanah yang tidak ternilai harganya dihasilkan oleh masyarakat Melayu zaman silam mahupun yang masih ada. Bahkan sesetengahnya berguna untuk masyarakat Melayu sekarang, misalnya peralatan pelayaran dan alat tenunan. Manakala budaya dan adat resam masyarakat Melayu silam, banyak yang masih kukuh diamalkan hingga ke hari ini. Antaranya seni silat, seni persembahan tarian, adat istana dan lain-lain. Semua warisan ini diyakini tidak muncul secara tiba-tiba, sebaliknya dibentuk dan diamalkan berdasarkan suatu ‘ilmu’ yang dimiliki sejak turun-temurun dan diwarisi daripada kalangan bijak pandai.

 

Terdapat pelbagai catatan dan manuskrip yang dihasilkan oleh dunia kesarjanaan Tamadun Melayu. Setiap catatan ini didapati mengandungi pelbagai maklumat yang dipercayai sangat berharga. Namun malangnya, sehingga kini masyarakat Melayu seakan tidak ambil peduli terhadap warisan terbabit. Ini kerana sehingga sekarang, masih banyak manuskrip-manuskrip tinggalan masyarakat Melayu silam yang terbiar dalam simpanan arkib, muzium mahupun pemilik persendirian. Bahkan ada berpuluh hatta beratus manuskrip warisan tamadun Melayu yang tersimpan di luar negara seperti di Leiden dan Oxford, tanpa ada usaha giat untuk mendapatkannya semula. Sedangkan pengkaji-pengkaji asing yang giat melakukan kajian terhadap khazanah tersebut.

 

Namun yang paling penting, ilmu tamadun Melayu seharusnya dikaji dan dikembangkan kerana ianya memiliki nilai-nilai dan ciri unik orang Melayu. Ilmu sebegini sepatutnya mudah dihadam dan dipelajari oleh orang Melayu kerana bak kata pepatah ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’. Orang yang sudah biasa dengan suatu ilmu/perkara, sudah tentu lebih arif berbanding orang lain yang baru hendak mempelajarinya. Maka dalam pada orang Melayu begitu asyik mempelajari dan menuntut ilmu asing dan baharu yang dikaji oleh dunia Barat, mengapa tidak orang Melayu mengembangkan ilmu yang sudah dimiliki sejak berabad atau berkurun lamanya? Bukankah ini akan memberi kelebihan kepada orang Melayu ke atas tamadun lain yang belum/baru kenal tamadun Melayu?

 

Sesetengah pihak yang pesimis beranggapan ilmu tradisi Melayu tiada apa yang bernilai untuk dikembangkan (khususnya dalam sains dan matematik) untuk masa hadapan. Namun berdasarkan kajian dan perolehan yang ada, menampakkan bahawa tanggapan ini adalah silap. Misalnya ilmu kiraan falak dan seni tenunan songket daripada tamadun Melayu silam ternyata dapat diaplikasi dalam bidang matematik semasa. Jadi mungkinkah ada banyak lagi ilmu-ilmu silam yang kita terlepas pandang? Berdasarkan isu-isu di atas iaitu,

  • potensi bidang untuk pengembangan ilmu tamadun,
  • kelebihan, kekuatan dan keunikan khazanah yang diwarisi,
  • ilmu-ilmu warisan yang belum dikaji,
  • kekuatan dan kelebihan menguasai ilmu tamadun sendiri;

maka adalah penting bidang etnosains dan etnomatematik, mahupun bidang-bidang lain di alam Melayu dikembangkan dan dipelajari oleh penyelidik dan pengkaji, khususnya orang Melayu.

 

Kumpulan penyelidikan etnosains dan etnomatematik Alam Melayu kini telahpun dimulakan oleh sekumpulan penyelidik yang rata-rata ahli ASASI dari seluruh pelusuk tanahair. Pada masa sama, beberapa kumpulan penyelidikan di sekitar rantau kepulauan Melayu juga sedang dibentuk bagi menyebarluaskan aktiviti penyelidikan dan pendidikan dalam bidang terbabit seperti di Riau dan Acheh.

 

Selain itu beberapa buah buku juga pernah diterbitkan. Antara yang terbaru ialah buku Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu yang telah diterbitkan oleh pihak Universiti of Malaya Press. Buku setebal 332 halaman yang disunting oleh Dr. Mat Rofa Ismail menghimpunkan beberapa makalah berkaitan etnosains dan etnomatematik berkaitan Alam Melayu dan tertumpu kepada tiga topik utama iaitu (i) Falak dan kosmologi Melayu, (ii) Etnosains dalam epistemologi tradisi, dan (iii) Model etnomatematik, paradigma dan persoalannya.

Buku Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu. Terbitan UM Press.

 

Namun semua usaha yang ada masih jauh ketinggalan berbanding kumpulan-kumpulan penyelidikan dalam bidang lain yang bukan berasaskan etno yang jauh lebih maju dan mendapat sambutan. Berdasarkan kepentingannya, maka lebih banyak usaha perlu dilakukan dalam mengembangkan bidang-bidang terbabit agar pelbagai ilmu berharga yang sudah ada di Alam Melayu dapat dimanfaatkan dalam penyelidikan masakini dan akan datang. Pembabitan penyelidik, pengkaji mahupun mereka yang ingin mendokong pengembangan bidang ini adalah dialukan agar ia berkembang lebih pesat dan meluas.

 

* Penulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi ASASI. Sebarang pandangan, maklum balas mahupun kritikan sangat dialu-alukan, dan boleh diajukan melalui ruangan ‘komen’ di bawah – admin.

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *