Kemaskini terbaru: October 5, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Biologi dan Kejadian Terancang

Oleh Nasarudddin Hj Abdullah

Orang-orang Islam wajib meyakini segala sesuatu dan segala kejadian yang berlaku di dunia dan di akhirat adalah ketentuan Allah s.w.t. Perkara ini berulang-ulang kali ditegaskan oleh Allah dalam Kitab Sucinya al-Quran al-Karim. Kejadian yang nyata yang dapat disaksikan dengan pancaindera yang dianugerahi Allah s.w.t kepada kita ialah seperti bersinarnya matahari, bercahayanya Bulan dan tetapnya manzilah (trajektori) matahari dan Bulan itu dan betapa tidak mungkinnya matahari mendapatkan Bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang seperti yang terkandung dalam Surah Yunus, Ayat 5 dan Surah Yaasin, Ayat 38-40. Ini menjadi bukti nyata betapanya kejadian-kejadian itu terancang.

Jikalau kita teliti pula kejadian manusia, yakni bagaimana kita sendiri dijadikan, maka kita dapati “Allah mencipta kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasang-pasang. Tiada seorang perempuan mengandung dan tiada pula melahirkan melainkan dengan pengetahuannNya. Tiada dipanjangkan umur seseorang yang berumur panjang dan tiada dikurangi umurnya melainkan sudah ditetapkan dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh).

Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah”. (Surah Faathir, Ayat 11). Maka sebagai pencipta, Allahlah yang merancang semua kejadian itu. Perkara yang terkandung dalam Ayat-Ayat yang dipetik itu, dan beberapa Ayat lain lagi, memanglah terbukti benar dengan berkembangnya ilmu sains seperti biologi dan obstetri (kebidanan). Perkembangan dalam biologi molekul yang dibicarakan di sini menjadi satu contoh Rancangan Agung ini.

Ahli ilmu falak menggunakan teropong untuk melihat planet, Bulan, bintang serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di angkasa raya. Ahli ilmu obstetri menggunakan mikroskop untuk melihat kejadian percantuman di antara spermatozoa dengan oosit dan melakukan pembedahana penelitian untuk melihat bagaimana hasil pencantuman di atas berkembang menjadi zigot dan seterusnya membesar sehingga akhirnya menjadi suatu bentuk yang sempurna sebagai seorang manusia.

Para ahli biologi molekul pula menggunakan teknik-teknik canggih seperti grafihablur (kristalografi) penjujukan amino asid, penggunaan enzim penghambat, dan lain-lain untuk mengkaji kejadian-kejadian yang berlaku dalam tubuh manusia pada peringkat molekul. Hasil daripada kajian tersebut menunjukkan suatu trend yang jelas memperlihatkan wujudnya sistem-sistem di dalam tubuh manusia yang semuanya dengan susunan-susunan yang sangat baik dan teratur.

Molekul-molekul biologi yang kebanyakannya terdiri daripada protein, adalah batu bata dalam pembinaan sel yang seterusnya menjadi batu bata pula dalam penyusunan tisu dan seterusnya organ-organ dalam tubuh kita. Semua protein ini dikod oleh bahan genetik yang dinamai DNA (deoxyribonucleic acid, atau asid deoksiribonukleik, ADON) yang tersusun membentuk kromosom yang terdapat dalam nukleus sel-sel kita. Di sini sahaja pun kita sudah dapat melihat akan adanya suatu perancang atau pengaturnya. Allah s.w.t.-lah perancang dan pengatur agung itu.

Dalam tubuh kita, seperti yang telah disebut sebelum ini, terdapat beberapa sistem. Untuk tujuan memperlihatkan betapa sistem-sistem ini ialah sistem-sistem yang sangat rapi susunannnya, masing-masing sistem terdiri daripada rangkaian protein yang bersaling tindak antara satu dengan yang lain, maka di sini dikemukakan suatu sistem yang sangat penting, yang berperanan memberi perlindungan kepada tubuh kita dari ancaman daripada musuh-musuh kita seperti virus, bakteria, jamur, cacing dan parasit-parasit lain.

Sistem pertahanan tubuh kita ini yang dikenali sebagai sistem mangli (imun), sepertilah dengan sistem-sistem tubuh yang lain, terdiri daripada rangkaian molekul, sel dan organ. Sistem mangli kita dapat diibaratkan seperti kementerian pertahanan sesebuah negara, yang tersusun dengan baik. Jika kita ikuti peristiwa-peristiwa yang berlaku yang bermula dengan masuknya suatu bendasing, antigen, ke dalam tubuh kita, maka kita akan lihat kelekeknya sistem itu.

Sistem mangli kita secara mudahnya dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu sistem yang tidak spesifik dan sistem yang spesifik. Di sini hanya sistem yang spesifik sahaja yang dibicarakan. Suatu antigen atau bendasing seperti virus atau bakteria akan masuk ke dalam tubuh setelah dapat mengatasi sistem mangli tidak spesifik tubuh kita. Satu daripada sistem pertahanan kita yang mula-mula dirangsang ialah yang dikenali sebagai sistem pelengkap. Sistem pelengkap ini terdiri daripada rangkaian protein yang jumlahnya hampir 30 jenis protein yang berbeza segi fizikokimia dan logimangli (imunologi). Suatu bakteria misalnya, akan mengeluarkan suatu racun atau toksin yang dikenali sebagai eksdotoksin yang bertujuan untuk mengatasi sistem mangli manusia.

Namun endotoksin ini sebaliknya merangsang pengiktirafan sistem pelengkap melalui lorong alternatif. Di situ komponen C3 akan dihidrolisis pada ikatan teoester-nya lalu membentuk C3a dan C3b. C3a ialah satu kemotoksin dan ini akan mengakibatkan hijrah sel-sel mangli dari tempat lain daripada tubuh ke tempat terdapatnya antigen tadi.

Di samping itu C3a berupa anafilatoksin yang menyebabkan dilatasi serta peningkatan ketelapan saluran darah. Ini akan memudahkan sel-sel yang berhijrah melalui saluran darah untuk keluar dari saluran darah ke tempat bakeria tersebut berada. Sel-sel mangli ini kemudiannya akan dapat memusnahkan bakteria tersebut dengan cara memakan bakteria tersebut melalui suatu proses yang dikenali sebagai figositosis. Bakteria yang tidak termusnah dengan cara ini akan mengalami kehancuran setelah sistem pelengkap ini diaktifkan seterusnya. C3b pula akan saling bertindak dengan komponen pelengkap lain, iaitu faktor B, D, P dan seterusnya dengan C5 hingga C9, dengan akibatnya bakteria tersebut akan mengalami lisis dan mati.

Pada pendedahan dengan bakteria yang sama pada kesempatan yang lain, maka tubuh pada saat ini membentuk suatu molekul lain, iaitu glikoprotein, yang dikenali sebagai antijasad (antibodi) atau imunoglobulin. Jenis antijasad ini bermacam-macam pula. Ada IgX dengan X ialah M, G, E, D dan A, dengan terdapat empat subkelas IgG dan dua subkelas IgA masing-masingnya globulinmangli (imunoglobulin) ini terdapat di dalam bentuk-bentuk yang dikenali sebagai isotip, alotip dan idiotip.

Antigen tersebut, kali ini diikat oleh antijasad yang spesifik, dan ini memudahkan figositosis. Di samping itu, sistem pelengkap akan teraktif, kali ini terutamanya melalui lorong klasik, iaitu komponen C1 merupakan satu kompleks trimolekul, yakni C1q, C1r dan C1s, dan C2, C3 dan C4. Ini merupakan sistem yang lebih cekap daripada lorong alternatif, sehingga pemusnahan antigen atau bakteria tersebut akan terjadi dalam waktu yang lebih singkat.

Semua tindakan balas (reaksi) di atas akan berakibat dengan terjadinya radangan pada tapak di tempat terdapatnya antigen tersebut. Proses ini sangat penting dalam pertahanan tubuh terhadap infeksi dan juga untuk proses penyembuhan. Yang tidak kurang menariknya ialah bagaimana radangan ini dapat berkurangan. Jika tidak, ini akan sebaliknya dan selanjutnya mengakibatkan kerusakan tisu organ tersebut.

Pada sistem pelengkap ini terdapat suatu aturan oleh suatu set protein lain yang menjadi penghambat yang berperanan meredakan jejasan daripada pengaktifan sistem pelengkap ini dengan cara mengurangi pengaktifannya. Antara protein ntang mengatur sistem pelengkap ini terdapat penghambat esterase C1, C4BP, C3Bp, faktor H, faktor I dan faktor S. Kekurangan penghambat esterase C1 misalnya, akan mengkibatkan terjadinya suatu penyakit yang dikenali sebagai Angioedema keturunan.

Jadi jelaslah bahawa molekul-molekul pada sistem pelengkap ini teratur dengan sangat rapinya dalam susunan dan jujukan yang tertentu. Siapakah penyusunnya atau pengaturnya? Siapakah perancangnya? Tentu sahaja Allah s.w.t. Jadi biologi molekul pada sistem pelengkap ini berupa suatu kejadian yang terancang!Bukan sahaja pada sistem pelengkap, sistem antijasad dapat dilihat keterangan biologi molekulnya dalam tubuh kita, dan juga sistem mangli lain seperti sistem limfosit, sistem antgen leukosit manusia, sistem limfokin/sitoksin dan sistem integrin.

Sistem ini masing-masingnya menunjukkan susunan yang sangat rapi dan tindakan bersaling (interaksi) sesama ahli sistem terdiri daripada molekul-moleul yang sangat rumit. Di samping itu tindakan bersaling antara sistem-sistem ini dalam proses penyediaan pertahanan tubuh (iaitu sistem mangli) menjadi lebih rumit dan kusut. Kerumitan ini akan bertambah berlipat kali ganda jika kita melihat pula tindakan bersaling sistem mangli dengan sistem-sistem lain dalam tubuh kita, yang masing-masingnya pula bermula dengan molekul-molekul sistem berkenaan.

Sains biologi molekul-molekul di dalam tubuh kita amatlah kusut, rumit, komplek dan kelekek. Namun sistem molekul-molekul itu masing-masingnya bersaling tindak dan berfungsi secara teratur. Keteraturan ini adalah suatu yang terancang dan perancangnya tidak mungkin lain daripada Allah s.w.t.

Sumber Rujukan:

Al-Quran dan Terjemahnya. Al-Quran dan Ilmu Pengetahuan Bab 5: 108-132. Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran.

Kinoshita, K T. 1991. Biology of complement: The Overture. Immunology Today. 12 (9).

Stites, D.P., Ter, A.I. 1991. Basic and Clinical Immunology. 7th ed. A Lange Medical Book.

Nota: Penulis merupakan kakitangan di Bahagian Imunologi InsPelPeru (Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia)

1 Komen

  1. Anonymous

    haiii

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *