Ulasan terhadap pandangan Mahathir di Seminar “International Conference on Teacher Education in the Muslim World” di Putrajaya pada 12 Nov. 2013
Tun Mahathir masih mengulangi hujah-hujah beliau yang sama sejak 2002 tentang konon wajarnya PPSMI dan oleh itu salahnya kerajaan kini memansuhkan PPSMI. Seperti biasa, beliau tidak sedikit pun membalas apa-apa hujah penentangan orang lain, sarjana, GMP dan rakyat amnya, termasuklah hujah rasmi kerajaan terhadap PPSMI (Umpamanya, beliau tidak pernah menyangkal balas “sangkalan Mahathir” 2008 dan 2009 di internet itu). Pendirian orang yang sebegini cukup memualkan sehingga ada pihak menyatakan “biarkanlah si Loncai terjun dengan labu-labunya”. Namun, GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) tetap terpanggil juga untuk bersuara mengulangi hujah balas satu persatu perkara yang diperkatakan oleh Mantan PM kita ini di persidangan yang tersebut di atas (yang dilapor di dalam The Malaysian Insider 13 Nov. 2013) kerana GMP tidak mahu “pengulangan yang palsu menjadi benar”. Sebelum itu GMP menggesa kerajaan agar rayuan Tun Mahathir seperti yang dilapor di dalam akhbar tersebut supaya PPSMI dikembalikan HENDAKLAH TIDAK DIPEDULIKAN LANGSUNG.
Sekarang kembali kepada (ulangan) balasan hujah lapuk beliau itu:
1. PPSMI tidak akan melunturkan keMelayuan dan nasionalisnya seseorang
Hujah yang diulang-ulang oleh Tun Dr. Mahathir sejak dahulu lagi ialah mengatakan beliau tetap Melayu dan berjiwa nasionalis (atau janapadawan jika menggunakan perkataan Melayu lama, janapada) walaupun pendidikannya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Beliau lupa agaknya ke-Melayu-an dan kejanapadawanan seseorang ialah suatu yang berspektrum yang luas yang diwarnai oleh unsur baka seseorang yang dikenali DNA dan latar belakang pendidikan seseorang itu. Mengikut kajian sehingga kini, DNA Melayu yang tulennya ialah dari daerah Pattani dan Kelantan dan yang tak tulennya ialah Melayu yang diistilahkan sebagai “Jawi Peranakan” atau “Melayu Peranakan” (Campuran Melayu dengan Muslim lain). Selanjutnya, pandangan Dr. Mahathir tentang tiadanya kesan apa-apa drp apa pun bentuk pendidikan, khasnya pendidikan menerusi PPSMI itu, amat bertentangan dengan pandangan umum terhadap “bahasa jiwa bangsa”, bercanggah dengan pandangan hampir semua ahli sosiologi ilmu dan falsafawan sains abad ke-20 akan saratnya nilai di dalam bahasa, pandangan falsafawan Jerman terkenal abad ke-20 tentang “bahasa itu rumah kediaman manusia”, dan bertembunglah dengan kesimpulan baharu kami yang “bahasa itu penemu ilmu”. Berlandaskan pandangan-pandangan ini, maka pastinya PPSMI ialah satu daripada pemangkas keMelayuan bangsa dan ilmu kerana pendidikan dalam bahasa Inggeris akan membuka satu lagi pembentukan sektor rupa bangsa rakyat Malaysia yang lain lagi kelak, yang berjiwa lain, berkefahaman lain terhadap ilmu, dan menghayati nilai hidup yang lain. Lainnya watak-watak tamatan PPSMI ini kelak mungkin sekali berbeza drp Melayu dan nasionalisnya ala Dr. Mahathir pun kerana suasana pembelajaran kini berbeza drp zaman Dr. Mahathir. Dr. Mahathir mungkin memandang enteng terhadap betapanya sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (atau lain-lain dari Eropah) terkenal dengan berpusatkan Eropah (Eurosentrik) dan kaya dengan falsafah Tabiisme (yang semestinya sekular dan ateis atau apeduli agama) selain daripada nilai Eropah (Inggeris) yang lain lagi yang ada di dalam bahasa tersebut. Hakikatnya, nilai-nilai ini jauh lebih berpengaruh sekarang berbanding dengan zaman Dr. Mahathir dahulu kerana dominasinya tahap hegemoni kebudayaan Inggeris kini. Semua ini tidak menyuburkan pembentukan sebuah janapada atau nasion Malaysia yang diidami oleh sebahagian besar jiwa-jiwa keMelayuan kini dan keMelayuan yang lebih asli. Jika ini tidak melunturkan masa depan tahap nasionalis keMelayuan bahkan keMalaysiaan yang sudah pun tidak seberapa sekarang ini, maka tentunya kerana seseorang itu tidak mahu menerima teori dan falsafah bahasa yang diperkatakan ini. Tentu Dr. Mahathir memang amat tidak mahu percaya kepada teori dan falsafah bahasa ini walaupun epistemologi sains dan matematik yang berkait dengan ilmu bahasa ini rata-rata sudah diterima oleh sarjana sebagai hukum tabii bahasa. Dr. Mahathir buat-buat lupa agaknya bahawa Islam pun mengingatkan para pemimpinnya tentang besarnya pengaruh pendidikan sehingga menggesa pemimpin supaya mewujudkan wahana, persekitaran dan kurikulum pendidikan umatnya yang sesuai agar tidak terjerumus ke dalam ajaran Yahudi, Nasrani atau Majusi [Maksud Hadith Bukhari dan Muslim]. Nampaknya, pada Dr. Mahathir, yang dipercayainya hanyalah “dirinya sendiri” dan “kuasa itulah kebenaran”.
Penjelasan berikut rasanya dapat mengukuhkan lagi pandangan di atas. Sejak awal abad ke-20 M lagi polemik dan pertentangan dua kumpulan besar pejuang kemerdekaan di Hindia Timur Belanda (Indonesia sekarang) berlaku kerana perbezaan konsep janapada atau nasion yang hendak dibinanya akibat perbezaan latar belakang pendidikan mereka, satunya berpendidikan Belanda dan satu lagi berpendidikan Timur Tengah (bahasa Arab). Ringkasnya, semangat nasionalis atau janapadawan seseorang berbeza-beza akibat perbezaan latar belakang pendidikan seseorang. Nasionalisme yang asalnya ialah nasionalisme Barat yang semestinya sekular dan liberal yang muncul dalam abad ke-18 M. Pada awal abad ke-20 M komunisme bertakhta di Eropah yang antara lainnya mengunggulkan sosialisme sehingga melahirkan para sosialis komunis yang juga memang cakna nasion atau janapada tetapi semestinya tidak liberal dan tak bertuhankan agama. Ini layak dinamai nasionalis komunis atau nasionalis sosialis. Sejenis pejuang membina nasion atau janapada yang lain lagi muncul di Hindia Timur Belanda pada tahun 1920-an ialah yang “amat mempedulikan Islam”, yang mungkin sesetengah pihak mahu menamakan mereka ini “nasionalis Islam”. Namun istilah ini ditentang hebat oleh mereka berpendidikan bukan dalam acuan Barat kerana nasionalisme itu sendiri bertentangan dengan kepedulian terhadap agama. Lagi pun dalam sejarah politik Barat fahaman yang bertentangan dengan nasionalisme itu ialah sosialisme (dari ajaran komunisme) dan popular pula. Oleh itu golongan “nasionalis Islam” di Hindia Timur Belanda dahulu menamai golongan mereka sebagai “sosialis Islam” setelah mereka menghuraikan makna “sosialisme Islam” dengan mendalamnya (yang menampakkan berlainannya daripada sosialisme komunis atau apa tah lagi dengan nasionalisme Barat). Perkembangan di Eropah selepas Perang Dunia II (1945) membawa kepada munculnya sosialisme baharu yang berbeza daripada “sosialisme komunis” dan dikenali sebagai sosialisme demokrat yang menjadi dasar banyak Negara Berkebajikan di Eropah kini. Ini membawa kepada perpecahan “sosialis Islam”, sebahagiannya kepada sosialis baharu seperti di Eropah itu dan yang lainnya menamakan dirinya hanya Islamis sahaja. Apa pun istilahnya, mereka semua perihatin kepada janapada atau nasion. Di Hindia Timur Inggeris (khususnya Malaya) pun sejak tahun 1930-an, ada sekurang-kurangnya dua jenis “nasionalis” wujud dan bertentangan kerana pengalaman pendidikan yang berbeza, iaitu nasionalis sekular-liberal Barat lawan nasionalis Kiri (yang sebenarnya terdiri daripada Islamis dan sosialis bukan komunis dan bukan liberalis).
Apa pun, satu perkara yang asas yang perlu bagi adanya nasionalisme atau janapadawanisme, dan ini nampaknya diabaikan atau tidak dianggap penting oleh Dr. Mahathir, ialah kewujudan nasion atau janapada itu sendiri. Ini ialah kerana nasionalisme atau janapadawanisme semestinya melibatkan keadaan seseorang yang sentiasa mengenalpasti kehidupannya dengan nasion atau janapada yang dianggap miliknya itu. Majoriti besar sarjana kita (dan luar negara) tidak anggap Malaysia sudah wujud sebuah nasion atau janapada berbanding dengan yang berlaku di Eropah, atau di negara jiran kita sekali pun. Sebahagian besarnya disebabkan sistem pendidikan kita yang tidak memungkinkan atau tidak menyuburkan kewujudan janapada itu. Satu ciri penting nasion atau janapada itu ialah warganya merasai kekitaan yang kental yang terzahir atau dizahirkan, antara lainnya, menerusi bahasa nasionalnya atau bahasa kebangsaannya (iaitu bahasa perpaduan, bahasa politik dsbnya) dan bahasa nasionnya atau bahasa janapadanya (iaitu bahasa pembangunan, bahasa pendidikan, bahasa berkarya dsbnya). Ini yang jelas belum kita capai. Sedikit kejayaan yang dicapai selama ini sudah dipangkas oleh Dr. Mahathir sendiri menerusi banyak alatnya yang terbit daripada kecitaannya terhadap kebudayaan Barat-Inggeris dan satu daripadanya PPSMI itu.
2. PPSMI mengurangkan masalah pengangguran
Seseorang yang mengaitkan isu pengangguran negara dengan kefasihan berbahasa Inggeris penduduk negara tersebut adalah orang yang berkepentingan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap kelemahan dasar ekonomi negara tersebut sahaja. Dr. Mahathir tentunya berkepentingan itu. Lihat sahaja tahap pengangguran di negara berbahasa Inggeris sepenuhnya, iaitu UK, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan New Zealand (NZ): sekitar 8% di UK, sekitar 7% di AS dan Kanada, sekitar 6 % di Australia dan New Zeland. Semuanya melebihi kadar pengangguran rasmi di Malaysia, 3% sahaja; dan lebih tinggi daripada negara yang para pendokong PPSMI pandang rendah (kerana tahap bahasa Inggerisnya lebih rendah daripadanya atau rakyat negaranya), iaitu Jepun (sekitar 4%), Korea (sekitar 3%), China (sekitar 4 %) dan Taiwan (sekitar 4 %)!
Tun Dr. Mahathir dan mereka yang pro-PPSMI selalulah juga menimbulkan kadar pengangguran siswazah kita sekarang adalah KONON-nya disebabkan oleh bahasa Inggeris siswazah ini yang lemah (kononnya akibat tiada PPSMI). Lupakah mereka ini bahawa siswazah kita sekarang semuanya sudah beroleh ijazah mereka menerusi pendidikan di dalam bahasa Inggeris sejak 2009 lagi. Ini kerana pelaksanaan “lompatan katak” dalam pengejaran bahasa Inggeris lalu PPSMI Tingkatan 6 dan Matrikulasi dimulai bersekali dengan mulanya PPSMI Darjah Satu pada 2003, dan kerana itu PPSMI di universiti juga dimulai pada 2005 sehingga sejak 2009 lagi bahasa pengantar ilmu universiti kita semuanya dalam bahasa Inggeris). Lupakah juga mereka bahawa sekurang-kurangnya dalam tahun 1980-an kita tiada masalah pengangguran siswazah sedangkan masa itu semua universiti berpengantar bahasa Melayu sepenuhnya (termasuklah dalam bidang sains dan matematik sekalipun).
Jelas pengangguran tiada kaitan dengan bahasa apatah lagi bahasa Inggeris!
3. Sains dan matematik berubah setiap hari dan laporan perubahan ini hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.
Dr. Mahathir mungkin sekali berniat “mengaburi mata rakyat” dengan tidak membezakan sains matematik (SAMA) di peringkat sekolah dengan SAMA di peringkat kesarjanaan (peringkat ijazah Sarjana dan D. Fal), walaupun perkara pokok yang dibicarakannya hanya SAMA peringkat sekolah. SAMA (bahkan semua bidang ilmu) di peringkat sekolah tidak berubah sejak berabad-abad dahulu lagi. SAMA sekolah sekarang ialah ilmu sebahagian besarnya ciptaan zaman Tamadun Islam (ciptaan kurun ke-10 M hingga ke-14 M) dan ciptaan Eropah (dalam bahasa Latin, Perancis dan Jerman) ciptaan abad ke-17 M hingga ke-19M. Perhatikan tiada SAMA sekolah ciptaan dalam bahasa Inggeris tetapi yang adanya ialah terjemahan ke dalam bahasa Inggeris mulai abad ke-18 M hingga dalam abad ke-20 M, semuanya lengkap terjemahannya, dan menerusi penjajahannya seluruh dunia, ilmu ini diterima di negara yang dijajahnya sebagai ilmu Inggeris sahaja. Bahkan Dr. Mahathir sendiri, mungkin juga sengaja, beberapa kali mengulangi fakta palsu bahawa ilmu asal SAMA ialah bahasa Inggeris.
Maka adalah fitnah besar mengatakan mengajar SAMA sekolah dalam bahasa bukan dalam bahasa Inggeris menjadikan pelajar itu ketinggalan zaman kerana ilmu itu “berubah setiap hari dan hampir semuanya dalam bahasa Inggeris”. Pernyatan ini sebenarnya menghina pencapaian pelajar SAMA di Negara-Negara Maju yang hampir semuanya tiada PPSMI. Hakikatnya juga Dr. Mahathir menyorok fakta bahawa pelajar sekolah di negara-negara berbahasa Inggeris sepenuhnya, siang-malam-makan-minum-tidur-jaga, iaitu pelajar di UK, AS, Kanada, Australia, dan New Zealand terkenal dengan tidak bagusnya (malah jauh tertinggal) SAMA mereka berbanding dengan pelajar di negara-negara lain (tidak ber-PPSMI) seperti Jepun-Korea-China-Taiwan, bahkan dengan Iran dan Vietnam.
Dr. Mahathir malah bercakap tidak benar tentang perkembangan SAMA. SAMA di peringkat penyelidikan (Sarjana dan D. Fal) pun tidak berubah sepantas seperti yang ditakut-takutkan itu dan pastinya tidak setiap hari, walaupun benarlah tulisan “penemuan baharu” peringkat penyelidikan siswazah/pascasiswazah ini mungkin berlaku setiap hari. Ini ialah kerana hampir semua “penemuan baharu” itu berupa pendekatan baharu, atau pentafsiran baharu, pentahkikan, pengkoroborasian dan pengukuhan baharu terhadap matan ilmu yang lama sahaja. Teori paling baharu fizik umpamanya berlaku satu abad yang lepas (teori Einstein dan teori quantum) dan sehingga kini pun masih belum ada teori baharu yang mengganti teori ini.
Berkenaan dengan bahasa dalam tulisan “penemuan baharu” SAMA tidaklah juga sebenar dakwaan Dr. Mahathir bahawa hampir semuanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya, kini pun kegiatan penterjemahan kepada bahasa Inggeris daripada tulisan SAMA dalam bahasa-bahasa lain begitu giat dilakukan di dalam semua bidang SAMA. Apa pun, isu keperluan bahasa Inggeris di peringkat penyelidikan pun sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak pendokong PPSMI sehingga konon kerana globalisme dsbnya, dan bahasa sendiri belum menjadi bahasa ilmu, maka wajarlah bahasa sendiri diketepikan sahaja. Jika hujah yang sama digunakan maka tidaklah berlaku tiadanya PPSMI di Eropah sedangkan tiadalah PPSMI di Eropah sehingga kini pun; dan tiadalah jua berlaku pada puluhan Negara Maju yang lain juga tiada PPSMI. Sepatutnya negara-negara di Eropah dan Negara Majulah yang dijadikan model pendidikan kita. Sesungguhnya, universiti kita (sehingga 2003) berwawasan sedemikian sehingga UKM sahaja pun umpamanya telah berjaya menerbitkan ribuan tesis (sarjana dan D. Fal) dan makalah “penemuan baharu” sains dan matematik (apatah lagi sains kemanusiaan dan kemasyarakatan) dalam bahasa Melayu; dan sudah ada karya-karya ini dirujuk atau diterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain (termasuk Inggeris), walaupun mungkin tidaklah sehebat dengan yang berlaku dalam bidang bukan SAMA. [Mereka yang pro-PPSMI mungkin tidak mahu tahu pun bahawa dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, sarjana besar dari jerman, Prof Arnt Graf telah membuktikan bahasa Melayu kini sudah pun mencapai tahap bahasa ilmu, sama dengan bahasa-bahasa di Eropah sekarang, sebagaimana yang dipaparkannya dalam karyanya ,”Bahasa Melayu dan Jurnal Malaysia: Bidang Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial dalam Indeks Antarabangsa” terbitan USM 2010]. Malangnya perkembangan dunia ilmu kita mengikut laluan Negara-Negara Maju ini tidak mahu diikuti dan dihargai malah telah dicantas oleh Dr. Mahathir menerusi PPSMI itu sehingga dasar universiti sejak itu pun berubah dengan tidak lagi menggalakkan sarjana menulis dalam bahasa Melayu (dengan merendahkan martabatnya atau tidak diiktiraf langsung), bahkan banyaklah universiti awam kita yang tidak membenarkan pelajar menulis tesis apa pun dalam bahasa Melayu. Ini jasa besar Dr. Mahathir!
—
Shaharir b.M.Z.
Pengerusi GMP
23 Nov. 2013
« Rekonstruksi Model Situs Kuta Lubok Berdasarkan Data Elektromagnetik ‘Very Low Frequency’ (VLF) | ASASAINS 1432H / 2012M / 1934S »
Tiada komen
Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.