Setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden ASASI, iaitu YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ir. Wan Ramli, yang telah menerima Anugerah Merdeka 2016 (Merdeka Award 2016) kerana Pencapaian Akademik Cemerlang (Outstanding Scholastic Achievement) di Dewan Filharmonik Petronas. Sebelum ini YBhg. Prof. Wan Ramli dan seorang lagi penyelidik, Prof. Dr. Siti Kartom Kamarudin telah disenaraikan dalam senarai Minda Saintifik Paling Berpengaruh Dunia 2015 oleh Thomson Reuters.
“Alhamdulillah segala penat lelah saya dan rakan-rakan seperjuangan dan pelajar PhD dan MSc saya di UKM meneroka bidang tenaga hidrogen dan sel fuel telah diiktiraf Dunia dengan tersenarainya saya dan bekas pelajar PhD saya Prof. Dr. Siti Kartom Kamarudin sebagai Minda Saintifik PalingBerpengaruh Dunia 2015 (World’s Most Influential Scientific Mind 2015) oleh Thomson Reuters, pengindeks makalah saintifik Dunia tersohor berasaskan sebutan makalah selama 11 tahun 2003-2013. Hampir semua tesis PhD dan MSc pelajar saya dari Malaysia dan Indonesia yang menyumbang makalah-makalah dalam jurnal berimpak tinggi ini yang diiktiraf Dunia telah ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Ini menunjukkan Bahasa Melayu amat berupaya digunakan sebagai bahasa pengantar dalam penyelidikan menghasilkan sains dan teknologi bertaraf Dunia. Saya menggesa kerajaan mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi hingga ke peringkat Universiti. Saya juga menggesa kerajaan menghentikan program dwi-bahasa (DLP) yang hanya merupakan jelmaan terbaru PPSMI. Kerajaan hendaklah terus beristiqamah dengan pemansuhan PPSMI dan dengan Dasar Pemartaban Bahasa Melayu dan Pengukuhan Bahasa Inggeris.” ujar YBhg. Prof. ketika diminta mengulas tentang penyenaraian namanya di dalam senarai Thomson Reuters.
« Kesturi 2015M/1436H, 25 (2) | Seminar Sains dan Teknologi Malayonesia 2017 »
Tiada komen
Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.