Ini merupakan wawancara tentang Sains Islam bersama dengan Prof. Madya Dr. Mohd Arip Kasmo, pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. Wawancara ini sebenarnya merupakan sebahagian dari beberapa wawancara sama yang turut diedarkan kepada beberapa tokoh yang lain. Dan, himpunan dari jawapan wawancara ini akan disiarkan secara berperingkat bagi bacaan khalayak.
Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?
Pastinya dari sudut bahasa ia berbeza dan terdapat kepelbagaian maksud. Sains berasal dari perkataan Latin, Scientia (yang juga didefinisikan secara pelbagai) umpamanya ada yang mengatakan ianya adalah gabungan pelbagai jenis ilmu (yang ini seiring dengan al-Ulum). Cuma, apa yang difahami oleh orang awam ialah sains sebagai ilmu-ilmu fizik, biologi, kimia, geologi, dll yang seumpamanya. Sebab itu muncul dikotomi ilmu dalam Islam. Ulama itu hanya orang yang belajar agama sahaja sedangkan kitab-kitab Arab juga menamakan Einstein sebagai ulama, Newton juga seorang ulama (singular alim).
Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?
Yang saya maklum, gagasan Pengislaman Ilmu ini dipelopori Ismail al-Faruqi. Tulisan-tulisannya banyak membahaskan pengislaman Ilmu. Di Malaysia, pemikiran Ismail al-Faruqi dipanjangkan oleh IIIT Malaysia. Gagasan Pengislaman Ilmu juga dilakukan oleh Syed Naquib al-Attas. Manakala tentang Seyyed Hossein Nasr, saya kurang maklum.
Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?
Islamisasi Sains ini bukan memadankan Sains dengan al-Quran. Islamisasi sains /ilmu ini bagi pendapat saya adalah usaha untuk mencari satu kaedah Islam untuk memajukan sains. Kaedah Saintifik (Scientific Method) itu adalah hasil daripada minda Islam, bukannya dari minda Bacon. Jabir Ibn Hayyan al-Kufi, Ibn al-Hazen yang hidup pada kuruk ke-8 itu adalah pelopor Kaedah Saintifik, bukan Bacon yang lahir pada kurun ke-15. Jadi, mengapa pula kita mengatakan sains yang ada ini Sains Barat. Saya cukup tak setuju dengan pendekatan ini! Apa yang berbeza waktu ini, banyak penemuan-penemuan berkembang di barat. Ini kerana mereka (barat) amat giat membuat penyelidikan!
Satu lagi perkara yang saya amat tidak bersetuju ialah pandangan bahawa kita memadankan sains dengan al-Quran. Sardar yang mengungkapkan perkataan Bucaillisme ini barangkali tidak membaca karya-karya ulama seperti Syed Qutb dalam kitabnya berjudul Tasawur Fanna fil Quran. Dalam kitab tersebut jelas membahaskan tentang sains dan al-Quran. Sardar juga barangkali tidak membaca kitab Allah Jalal Jaluhu yang dinukil oleh al-Marhum Sa’id Hawwa, yang di dalam kitab tersebut turut jelas membuktikan kebenaran al-Quran menerusi sains.
Satu lagi yang penting ialah dalam Surah al-Anbia ayat 30, Allah berfirman yang maksudnya “Kami akan tunjukkan tanda-tanda Kami di ufuk-ufuk dan pada diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.”
Apa dia maksud ayat-ayat Kami pada ufuk-ufuk dan pada diri sendiri? Ini adalah merujuk kepada alam ini. Alam ini perlu dikaji (atau dibaca, atau difahami… kerana membaca itu diiringi dengan memahami). Bagaimana kita memahami alam, tidak lain dan tidak bukan melalui kajian. Ala mini sudah tentu takkan dapat difahami sekiranya alam ini hanya dijadikan bahan untuk bersajak, seperti mithanlnya, “Alangkah indahnya alam ini, gunung-gunung berbalam-balam, burung-burung nan bertebangan.” Mengkaji alam itu ada kaedahnya dan sekiranya alam ini dikaji dengan kaedah-kaedah yang sistematik, maka ia adalah sains.
Tak kiralah sains itu hasil kajian orang Islam atau bukan Islam (kerana Allah s.w.t. bercakap kepada manusia secara umumnya). Jadi, kalau orang Barat menemui teori dentuman besar (big-bang theory), dan selepas mereka mengkaji teori tersebut kemudiannya mereka membaca pula al-Quran, bukankan nantinya mereka akan kata, “lihat, bukankah benar apa yang diungkapkan oleh al-Quran,” atau, “How could Quran talk about this?”
Ramai ahli sains Barat yang masuk Islam kerana penemuannya seperti Maurice Bucaille sendiri, Professor Milan (dari Republik Czech), Professor Tjitat Tjison dari Chiang Mai, Omar Sallahuddin yang pernah mengajar di Pusat Pengajian Umum (UKM), Professor Omar Schroeder dari German dan ramai lagi.
Justeru itu, saya berpendapat kita perlu menghentikan penggunaan perkataan “Bucaillisme”. Secara tidak sedar kita sebenarnya telah menghina al-Quran, dan sekaligus menghina ulama-ulama kita.
Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?
Saudara belajar sains dari sekolah menengah sampai universiti. Sementara saya belajar sains dari sekolah menengah sampai universiti. Apakah ada sesuatu yang menyebabkan anda mengatakan sains yang dipelajari itu tidak Islam atau kafir? Saya belajar tentang fotosintesis, respirasi, meiosis, mitosis, termodinamik, graviti, dll. cuba tunjukkan kepada saya mana yang bercanggah dengan Islam? Sekali lagi, saya harus tekankan mengapa kita terus menerus mengatakannya adalah sains barat sedangkannya adalah berasal dari tradisi Islam? Apakah Biology itu sains Barat, apakah Physics itu sains Barat, apakah Geometry itu sains Barat, apakah Trigonometry itu sains Barat, apakah Numeric System yang kita gunakan itu adalah nombor Barat? Sebenarnya tidak. Jadi, adalah lebih baik kita sebut itu sebagai “Sains” sahaja.
Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?
Perlu diingat bahawa agama dan kepercayaan yang disebutkan tersebut bukan bersifat syumul atau komprehensif. Kebanyakan menjurus kepada aspek kerohanian sahaja. Oleh sebab itu bagi mereka yang prihatin mereka melihat sains juga seharusnya ada pada Islam dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang melayakkannya digelar sebagai sains Islam. Tetapi tidak ramai yang prihatin dan mereka terdiri dari sarjana falsafah. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail al-Faruqi yang mempelopori Islamisasi Ilmu adalah ahli falsafah, bukannya saintis.
Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1? dalam Islam dengan nombor “1? dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?
Yang menjadikannya penuh dengan value (nilai) atau tidak, ialah faktor manusia itu sendiri. Lihat sahaja nombor ini, 4578 sekiranya nombor ini dijadikan nombor ekor maka nilainya ialah nilai perjudian dan sekiranya ia dijadikan nombor angka giliran peperiksaan, maka nilai telah menjadi satu ibadah.
Definisi sains barat yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam “Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains” ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?
Saya sedang belajar, dan akan terus belajar. Cuma, saya ingin menegaskan bahawa apakah sains sekarang tidak berasaskan kepada metafizik? Bukankah ahli sains berpendapat bahawa:
(1) Alam ini dikawal oleh hukum dan hukum-hukum inilah yang menyebabkan alam ini berfungsi dengan sistematik. Bukankah kenyataan ini kenyataan metafizik? Sebenarnya dakwaan bahawa alam ini dikawal oleh hukum adalah dakwaan metafizik.
(2) Hukum alam ini bersifat rasional dan boleh dikaji.
Justeru itu, kita perlu terima hakikat bahwa ada perkara yang bersifat metafizik (yang bukan fizikal!) yang mana tidak perlu kita rasionalkan dan memang tidak boleh dirasionalkan. Apakah kita boleh rasionalkan bahawa manusia ini akan dibangkitkan kembali oleh Allah dan disusun semula tulang-tulang manusia dengan sempurna? Apakah kita mahu merasionalkan Israk wa Mikraj yang sememangnya tidak bersifat rasional?
Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?
Seperti yang saya tekankan sebelumnya, saya tidak selesa dengan istilah Sains Islam. Ini kerana, apa salahnya kita gunakan kaedah yang ada sekarang. Penakulan Induktif dan juga Falsification (pemalsuan). Kedua-duanya adalah wahana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengembangkan ilmu. Yang penting ialah untuk mendidik manusia ke arah menjadi manusia yang bertakwa dan juga sekaligus ahli sains yang bertaqwa.
Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?
Sekali lagi saya tidak begitu setuju dengan Pengislaman Ilmu/Sains Islam/Islamisasi Sains ini. Apakah ilmu ini bukan Ilmu yang diberikan oleh Allah s.w.t.? Saya rasa sudah tiba waktunya kita perlu menutup bab “Pengislaman Ilmu” ini. Sebaleknya, apa yang perlu kita lakukan ialah terus melakukan penyelidikan seperti yang diperintahkan oleh Allah s,w,t. dalam ratusan ayat al-Quran. Barangkali ada yang tidak selesa dengan sikap saya ini. Tapi sememangnya kita boleh saja untuk tidak bersetuju.
« Shahidan Radiman: Sains Islam Wacana Baru Ilmu | Mat Rofa Ismail: Sains Islam Tidak Memisahkan Kualitatif dan Kuantitatif »
1 Komen
Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.
10 Feb 2009
Mengapa perlu ada pengislaman sains atau islamisasi ilmu?
Pada pendapat saya, banyak ilmu yang perlu diislamkan. Berikut diberikan 3 contoh:
1. Fotosintesis:
Meminjam daripada kamus Wikipedia, ‘fotosintesis merujuk kepada proses penukaran tenaga cahaya daripada matahari kepada tenaga biokimia. Tenaga kimia ini digunakan untuk pengikatan karbon. Proses ini dibantu oleh klorofil untuk menguraikan air kepada oksigen dan hidrogen.’
Hakikatnya, ada faktor lain yang menentukan fotosintesis berjaya yakni Allah Taala. Allah Taala adalah faktor dominan. Tapi kredit atau penghargaan tidak diberikan kepada Tuhan kerana proses sekularisasi ilmu yang begitu tebal.
2. Graviti
Kepercayaan bahawa graviti disebabkan jisim mati dalam teori Newton. Tanpa sebab. Secara tiba-tiba, semua jisim mempunyai tarikan tanpa sebab-sebab tertentu.
3. Tenaga:
Penciptaan tenaga nuklear amat berkait rapat dengan teori yang dirumuskan Einstein. Apakah jika ada negara musuh menciptakan senjata nuklear, maka kita juga berbuat perkara yang sama? Maka jika musuh berbuat kerosakan besar di muka bumi, maka kita buat kerosakan yang lebih besar lagi atau kita tambah berpuluh kali ganda kehancuran.
Itukah yang dikehendaki Allah Taala dengan firman-Nya,..”janganlah kemau membuat kerosakan di muka bumi?”
Mungkin ada yang berpendapat mempunyai senjata nuklear dan senjata kimia akan menggerunkan musuh. Tapi apakah ia tidak menggerunkan kita dengan kemusnahan yang akan kita buat secara berpanjangan? Apakah ia tidak menggusarkan kita akan letupan di tempat sendiri? Lupakah kita padang jarak Hiroshima dan padang tekukur Nagasaki? Atau daerah-daerah sepi bertoksik Vietnam, Iraq, Palestin dan Afghanistan?
Maka itulah sains penciptaan senjata wajib diislamkan. Jika musuh mencipta senjata pemusnah, maka kita cipta senjata untuk memusnahkan senjatanya dan bukannya bumi yang diduduki. Insha-Allah.
Allah jua Maha Bijaksana.