Kemaskini terbaru: March 10, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kerajaan Wajar Berpatah Balik

Saya menyokong pandangan sesiapa juga yang meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa pendidikan anak bangsa, sekurang-kurang di peringkat awal pendidikannya. Bukan kerana “assabiyah” tetapi kerana sudah terbukti keistimewaannya pendidikan sains dalam bahasa sendiri. Di peringkat penciptaan ilmu telah terbukti demikian: mereka yang pernah terdidik dalam bahasa dan kebudayaan sendirilah yang melahirkan karya aslinya dalam sains dan teknologi, apatah lagi sastera.

Oleh itu saya menyokong penuh pandangan sesiapa jua termasuk pendirian Parti Gerakan yang menyuarakan perkara ini. Saya hairan dan sedih dengan pendirian pemimpin, terutamanya Melayu, yang dilaporkan dalam mana-mana akhbar aliran perdana yang bertindak balas terhadap mana-mana pemimpin atau individu yang mempersoalkan kebijaksanaan dasar bahasa pengantar Sains dan Matematik sejak 2003 itu.

Saya kira dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada anak-anak Malaysia adalah suatu dasar yang tersasar, sesat dan bertentangan dengan “hukum akal”. Nampaknya kita tidak mengambil iktibar daripada negara-negara maju, berlawanan dengan perakuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan meremehkan hasil penyelidikan sains berkurun-kurun. Dasar kita juga bercanggah dengan tafsiran al-Qur’an Ayat 4, Surah Ibrahim “…dan Kami sekali-kali tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya agar dia mudah menerangkan kepada mereka…”.

Ternyata juga dasar tersebut dilakukan dengan tergesa-gesa: tidak dibahaskan dengan pelbagai pihak yang arif dengan pendidikan atau “sains dan matematik”, dan tidak dilaksanakan mengikut lunas-lunas pelaksanaan sesuatu dasar baru pendidikan yang lazimnya dimulakan dengan perojek perintis. Oleh itu jelaslah dasar tersebut perlu dinilai kembali seperti yang disyorkan oleh pelbagai pihak, termasuk orang Melayu, menerusi siri perjumpaan dengan pihak berkuasa dan resolusi persidangan/kongres yang tidak putus-putus diadakan sejakm dasar ini dilaksanakan.

Tidaklah benar hanya bukan Melayu, khususnya Cina sahaja, yang tidak atau kurang bersetuju dengan dasar bahasa pengantar Sains dan Matematik ini. Ini bukan isu perkauman. Saya kira tiada ruginya kerajaan jika mengambil langkah “balik ke pangkal jalan”.

7 Komen

  1. MataHati

    PPSMI mampu tingkat pencapaian Melayu (BERITA HARIAN, KHAMIS, 25hb. DISEMBER 2008)

    HAMPIR setiap hari, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketika ini terus dipertikai. Asakan terbaru yang mengejutkan adalah tindakan saman yang bakal diambil oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena) sekiranya PPSMI diteruskan.

    Suka saya menekankan di sini, polemik penentangan PPSMI ini nampaknya semakin melalut. Mengaitkan PPSMI dengan ancaman terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah suatu tanggapan membabi buta dan harus diperhalusi.

    Apatah lagi mengaitkannya dengan ancaman pada tamadun Melayu. Sebelum menghuraikan perkara ini dengan lebih lanjut, suka saya menceritakan bahawa saya seorang budak kampung yang membesar dalam satu kumpulan manusia yang tidak terdedah kepada dunia luar. Langsung tiada penggunaan bahasa Inggeris.

    Tayangan Inggeris di televisyen tanpa sari kata tidak akan dilayan, apalagi untuk melihat akhbar berbahasa Inggeris. Pengajaran bahasa Inggeris di sekolah sekadar melepaskan batok di tangga, malah saya dan rakan sekelas tidak pernah segan untuk melihat kegagalan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

    Pendek kata kenapa saya perlu belajar bahasa Inggeris. Namun, takdir Allah melayakkan saya memasuki universiti mengambil diploma. Dengan diploma, saya diterima masuk ke peringkat ijazah sains. Dengan hampir semua buku rujukan berbahasa Inggeris, saya gagal memahami dan menguasai apa yang diajar.

    Pada saat pelajar lain ghairah menambah cabang ilmu yang diajar di dalam kuliah, saya hanya mampu meluangkan masa memahami apa yang diajar di dalam kuliah. Saya terkapai-kapai hampir empat semester dengan keputusan mengecewakan, tetapi masih layak untuk meneruskan pengajian.

    Dalam Semester Keempat, tiga rakan saya terkandas dibuang daripada pengajian. Semester Kelima, saya mengambil peperiksaan oral dan dengan kesabaran pemeriksa dari Eropah, beliau mengorek apa yang ada di dalam fikiran saya.

    Dengan ‘broken English’ dan terketar-ketar, akhirnya saya mendapat markah penuh 100. Dari situ, pensyarah terbabit sedar bahawa saya menguasai pengajaran beliau dengan baik, tetapi gagal menterjemahkan apa yang saya tahu.

    Perkara ini ketara apabila menjawab soalan bertulis dalam bahasa Inggeris, jawapan betul yang saya beri sebelum ini dianggap salah kerana gagal ditafsir kerana kelemahan penulisan bahasa Inggeris.

    Dalam kepayahan itu, saya tetap bersabar belajar hingga akhirnya memperoleh Ijazah Sains dan ketika ini sedang membuat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang biologi molekular.

    Namun, apa yang saya ingat adalah keperitan berada di belakang kaum lain setiap kali melihat keputusan peperiksaan dikeluarkan.

    Nama kaum Cina dan India akan berada di atas dan nama kaum Melayu berada di bawah. Apabila tamat pengajian, nama kaum lain terus berkumandang mendapat ijazah kelas pertama.

    Nama yang berbangsa Melayu terus terkebelakang dan ini terbawa-bawa dalam persaingan merebut pekerjaan.

    Ketika bangsa lain terus mendapat perhatian dalam pasaran pekerjaan, nama kaum Melayu terus memenuhi senarai penganggur yang perlu diberi tongkat dan perhatian oleh kerajaan.

    Dalam keghairahan kaum lain membangunkan empayar perniagaan, kaum Melayu terus berniaga pisang goreng kerana ketiadaan keterampilan untuk ke peringkat antarabangsa. Jika inilah yang dinamakan ketuanan Melayu, jati diri Melayu dan tamadun Melayu hari ini, adalah malu untuk saya mengaku Melayu.

    Hujah ini bukanlah berpandukan cerita saya saja, banyak lagi cerita duka yang menghalang kemajuan Melayu.

    Atas kesedaran kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, saya menggalakkan adik saya menguasai bahasa ini dan hasilnya keputusan setiap semester mereka mencapai kepujian dekan. Jauh meninggalkan Melayu yang lain. Malah, lebih tinggi daripada kaum lain.

    Seorang daripada adik saya mengambil jurusan Kesusasteraan Inggeris dan akhirnya kini menterjemah buku Inggeris ke bahasa Melayu. Kami tetap makan budu menggunakan tangan. Kami tetap tunduk di hadapan orang tua. Dan kami tetap berbangga dengan adab ketimuran.

    Untuk itu, ditegaskan di sini, PPSMI bukanlah ancaman untuk bahasa Melayu, tetapi satu wadah untuk survival orang Melayu. Maksudnya, dengan kuota khas Bumiputera luar bandar yang diberi peluang memasuki universiti, kita sebenarnya membawa ribuan pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris ke dalam institusi pengajian tinggi yang memerlukan kemahiran tinggi dalam bahasa Inggeris.

    Maka, satu daripada kaedah meningkatkan kemahiran ini adalah menerusi peningkatan penggunaan bahasa Inggeris terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Dua mata pelajaran inilah memainkan peranan penting dalam peradaban baru manusia moden dan menjadi mata pelajaran yang paling laju berkembang.

    Perjuangan bahasa hanya menolak kita ke belakang, tetapi perjuangan bangsa akan menolak bahasa kita ke hadapan.

    DR KAMPUNG,
    Palekbang, Kelantan.

  2. Matahati,

    DR KAMPUNG tidak mengajar murid-murid. Dia bercakap berdasarkan pengalaman peribadi sendiri. Pengalaman peribadi tidak
    boleh dijadikan polisi untuk membina anak bangsa. Beliau tidak ada kelayakan atau authoriti untuk mengatakan PPSMI bagus tanpa sebarang bukti empirikal.

    Ini keluhan dari guru!

    Soal pemansuhan ini perlu dibincangkan dengan teliti dan secara berhemah.

    1. Saya turut menyokong agar pemansuhan PPSMI ini dilaksanakan. Ini kerana berdasarkan pengalaman saya sebagai pendidik di sebuah sekolah luar bandar, tercuit rasa simpati dengan keadaan pelajar yang terkial-kial cuba untuk memahami konsep Sains dan Matematik yang diajar di dalam bahasa Inggeris.

    2. Sekiranya pelajar terdedah dengan persekitaran bahasa Inggeris, itu tidak menjadi masalah. Namun, dalam kes pelajar luar bandar, pelajar miskin yang tidak mampu untuk dihantar tuisyen dan pelajar yang keluarganya kurang wujud persekitaran bahasa Inggeris, PPSMI ini akan menjadi beban dalam diri mereka.

    3. Jika mahu kefahaman di dalam bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam diri pelajar, bukan subjek Sains dan Matematik yang menjadi mangsa. Sepatutnya, perbanyakkan lagi program mahupun aktiviti bahasa Inggeris di setiap sekolah, tambahkan lagi masa untuk kelas bahasa Inggeris di sekolah, gandakan kelas tambahan bahasa Inggeris, tekankan pelajar untuk membaca buku bahasa Inggeris dalam seminggu atau sebulan. Itu caranya.

    4. Kita sudah sedia maklum, Sains dan Matematik adalah ilmu yang memerlukan kefahaman terhadap konsep. Jika konsep tidak difahami dengan baik, susah untuk seseorang pelajar mengimplemntasinya kelak. Justeru, jika bahasa Melayu mampu menyalur dan menyampaikan konsep Sains dan Matematik itu dengan baik, itulah yang patut kita laksanakan. Ingat, mempelajari konsep dan bahasa, adalah suatu perkara yang berbeza.

    5. Akhir kata, biar kita rugi dalam jangka masa pendek (penerbitan buku Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris), jangan kita menderita pada masa hadapan

  3. Salam Semua,

    Kalau betul dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada anak-anak Malaysia adalah suatu dasar yang tersasar, sesat dan bertentangan dengan “hukum akal”. dan kita tidak mengambil iktibar daripada negara-negara maju, berlawanan dengan perakuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan meremehkan hasil penyelidikan sains berkurun-kurun. Kenapa baru sekarang, Urusetia ASASI dan yang lain berjuang bermati-matian untuk berpatah balik kepada sistem 6 tahun ke belakang. Kenapa 6 tahun lalu semasa program ini hendak dimulakan tidak bermati-mati menentang, dan sepanjang pengetahuan saya tiada pula bentuk demontrasi besar-besaran macam sekarang?….. lepas tu kalau kita tukar balik kepada bahasa Melayu…. 6 tahun akan datang, bangsa dan negara kita masih juga ditakuk lama…. masa itu Demonstrasi lagi… jadik kerja kita ni asyik tak puas hati dan berdemontrasilah memanjang ye?… cubalah jadi bangsa yang berfikiran membina…. guna dan fikirkan dengan apa yang kita ada untuk menambah baikkan lagi bukan… patah balik, pusing belakang dan asyik mula dengan benda baru sahaja….. itu tidak termasuk, kalau tukar Menteri baru tukar dasar baru….sedih betul la melihat bangsaku yang suka melemahkan sesama bangsa…..

  4. Salam.

    Hairan bila orang Melayu sendiri tak yakin pada bahasanya sendiri untuk mendapat ilmu.Sungguh hairan dan pelik.
    Terutama pada orang-orang yang profesional.Apalah gunanya segulung ijazah kalau tak tau berfikir.
    Atau mereka sengaja tidak mahu berfikir. Hanya mengikut telunjuk manusia yang tidak sayangkan bangsa dan bahasanya
    sendiri. Sanggup memusnahkan masa depan anak bangsanya. Mungkin juga suatu hari nanti bangsa Melayu akan pupus dek kerana manusia-manusia jenis ini. Dan juga Bahasa Melayu akan pupus di bumi Melayu sendiri. Tunggu dan lihat sajalah.

  5. lipan pendek

    hani,

    mari kita selidik apa yang ummuzulqarnains dakwa. dia dakwa kenapa baru sekarang, Urusetia ASASI dan yang lain berjuang bermati-matian untuk berpatah balik kepada sistem 6 tahun ke belakang? kita nak bagi tahu orang2 macam ini, bukankan mereka mahu orang akademik selesaikan hal ini secara akademik dulu. kan? tapi kenapa ummuzulqarnains tak baca memorandum 69 profesor yang bantah PPSMI pada tahun 2002? mengapa ummuzulqarnains tak baca ¨Sepuluh Dongengan Bahasa dan Bangsa Melayu¨ yang terbit pada 1996. malah, ada belasan lagi artikel dari puak2 ASASI dalam isu membantah ketidakyakinan menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu!

    kemudian ummuzulqarnains cakap, kenapa tak buat demostrasi 6 tahun lepas? orang tak buat demostrasi sebab takut pada mahathirlah! kalau buat demostrasi pada masa itu, kena pecat semua! zaman pak lah lebih terbuka, jadi kita ambillah kesempatan untuk buat demostrasi. itu pun setelah bantahan akademik tak didengar langsung! macam Dr. Mahathir sendiri, ada dia cuba jawab dua sangkalan Prof. Shaharir dalam isu PPSMI? kalau Dr. Mahathir boleh sanggah hujah2 Prof Shaharir dengan akademik, barulah kita terima rasional PPSMI itu. ini diam dan pengap saja!

    sebab itu saya langsung tak rasa bersalah dengan pemikiran macam ummuzulqarnains ini. memang patut saya gelar org2 yang tak yakin dengan bahasa sendiri dalam pengungkapan sains dan teknologi sebagai ngoooooooookkkk!

    lagi satu, kenapa tak belajar dari Prof Shaharir, bagaimana dia boleh berjaya sampai menjadi felo matematik di UK, yang sama kini tiada seorang pun yang jadi felo matematik di sana? tanyalah dia bagaimana nak lahirkan lebih ramai lagi orang macam dia! ini tak, terus buat PPSMI kunun nak cepat maju sebelum 2020! wei, maju itu tak bererti guna bahasa inggeris dalam sains dan teknologilah. maju itu bererti berfikir kritis, dan sentiasa menambah pengetahuan yang sedia ada. apakah bila guna bahasa inggeris kreativiti kita bertambah?

    sudahkah ummuzulqarnains, technology itupun bukan berasal dari dalam bahasa inggeris sendiri. marilah kita belajar sains dan teknologi dalam bahasa Greek kuno! ngooookkkkkkkk!

  6. cikgu huda

    Pelaksanaan P&P Sains & Matematik dlm Bahasa Melayu (atau ibunda) sebelum PPSMI adalah berjaya dan mampu menghasilkan ramai ilmuan dlm S&M. Maksudnya, dasar tersebut adalah baik dan perlu dipertahan dan ditingkatkan. Namun, sejak tercetusnya PPSMI, pelbagai masalah timbul. Bukan sahaja cuba melenyapkan BM dlm bidang S&M, malah membunuh minat murid utk belajar S&M. Dlm hal ini pro PPSMI akan ckp guru gagal menarik minat murid belajar, sebab itu murid tidak minat belajar dan ‘gagal’ dlm S&M. Memang tidak dpt dinafikan, sebelum PPSMI, murid kita mempunyai masalah dlm S&M. Dan kita dlm proses mencari penyelesaian masalah tersebut. Tapi apakan daya… sbelum masalah tersebut selesai, timbul lagi masalah yg lebih besar… PPSMI. Kini S&M murid semakin parah…Yang disalahkan guru S&M.

  7. infiniti

    lipan,
    Mereka tidak yakin dgn BM kerana mereka ingat jika mereka bodoh sains,maka melayu lain pun bodoh sains macam mereka.Saya kenal banyak pakar sains dan jurutera berbangsa melayu dan mereka langsung tidak menyokong PPSMI,malah ada di kalangan mereka yang rajin menterjemah ilmu mereka ke dalam BM.Manakala penyokong PPSMI pula ingat tiada teknokrat melayu hasil dari PPSMM kerana mereka sendiri tidak terlibat dalam bidang sains kerana gagal konsep asas sains dan matematik.Jika tak terlibat dalam sains,macam mana nak kenal orang sains?

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *