Kemaskini terbaru: January 7, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hairuddin Harun: Sains Islam Memperkaya Budaya Intelektual

Bagi mereka yang pernah membaca Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia dan Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, mereka tentu tahu bahawa pengarangnya bukanlah calang-calang, terutamanya jika mahu dibandingkan dengan para cendikiawan lain di Malaysia. Sebenarnya, di Malaysia tidak ramai cendikiawan yang mampu menulis dengan baik, apatah lagi secara prolifik dapat menghasilkan karya-karya yang agak baik.

Sebagai individu yang bertanggungjawab mengasaskan Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Sains di Universiti Malaya—dan kini bertugas sebagai Timbalan Presiden di Asia e University—Prof. Dr. Hairuddin Harun merupakan antara cendikiawan yang dihormati dalam bidang Sains Islam. Perspektif yang dikemukakan beliau lazimnya menarik, terutama sewaktunya membandingkan pemikiran antara Seyyed Hossein Nasr dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hal ini dapat dicermati menerusi wawancara di bawah, di mana beliau cuba menanggapi beberapa persoalan yang dikemukakan dengan cukup baik. Elok kita sorotinya pemikirannya tentang Sains Islam ini:

Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?

Daripada segi etimologi, “science” telah didefinisikan dalam pelbagai cara, sama ada oleh pemerhati, pengkritik atau pengamalnya. Pelbagai kupasan tersebut misalnya boleh dilihat dalam buku-buku falsafah sains yang membawa tajuk “what is science?”. Namun, umumnya, “science” difahami sebagai gagasan ilmu alam tabii yang di kumpul melalui tatacara kaedah tertentu yang biasanya melibatkan pendekatan (i) empirik, (ii) logik dan (iii) matematik. Kita perhatikan yang ditekankan di sini ialah tatacara kaedah empirikal, logikal dan matematikal.

Dalam sejarah intelektual Melayu moden khasnya dan Nusantara amnya, pengertian “sains” kerap dipadankan dan dipengaruhi oleh istilah “science” dalam bahasa Inggeris, atau dalam perkataan lain; untuk memahami makna istilah “sains” semasa kita perlu juga memahami sejarah intelektual Inggeris dan perkembangan faham “science” di Eropah.

Dalam konteks faham semasa, khususnya dalam pengajian moden, istilah “ ilmu” dan “knowledge” digunakan dalam konteks dan maksud yang sama. Istilah “scientia” yang berasal dari bahasa Latin kuno, dan bermaksud “ilmu,” hampir tidak digunakan kini melainkan dalam keadaan terhad oleh para ahli falsafah dan epistemologi. Begitu juga istilah “al-‘ilm” yang digunakan hanya oleh para ahli bahasa Arab atau dalam konteks teologi Islam; yang mana maksud dan ertinya di kandung oleh pengertian dalam bidang tersebut. Walaupun kita ketahui bahawa kekayaan erti “al’ilm” seperti yang telah dikupas dalam sejarah ilmu Islam telah cuba diketengahkan oleh para ilmuwan Islam semasa, namun, kejayaan usaha tersebut masih lagi amat terhad dan ditenggelami oleh faham ilmu moden. Walau pun begitu, ramai para ilmuwan berpendapat bahawa maksud asal “scientia” banyak dipengaruhi oleh erti dan istilah “al-‘ilm” seperti yang kupas oleh para ilmuwan dan ahli falsafah Islam terdahulu. Para ahli etimologi pula berpendapat bahawa istilah “science” bahasa Inggeris dipadankan daripada “scientia” dan istilah “ilmu” dalam bahasa Melayu berasal dari “al-‘ilm”. Namun, suatu yang agak jelas ialah dalam konteks epistemologi semasa terdapat jurang makna yang jauh tentang faham “science” kini dengan faham asal “scientia,” dan juga antara faham istilah “ilmu” dengan faham “al-‘ilm”.

Jika kita ingin memahami secara adil teras ide “Islamization of knowledge” seperti yang diketengahkan oleh Ismail al-Faruqi, kita tidak boleh tidak harus merujuk sekurang-kurang kepada tiga karya utama beliau berikut:

o (1982) Islamization of Knowledge. Herndon, VA: IIIT
o (1982) Tawhid: Its Implications For Thought And Life. Kuala Lumpur: IIIT
o (1986) The Cultural Atlas of Islam. New York: Macmillan

Sekiranya saya diminta untuk mengulas ide beliau tersebut dalam satu rangkap yang singkat, maka saya akan katakan begini: asas hujah dan epistemologi Ismail al-Faruqi ialah paradigma Tawhidic . Proses pengislaman ilmu bagi beliau pada asasnya ialah mencari jalan untuk mengetengahkan atau mengintegrasikan paradigma Tawhid ke dalam cabang-cabang ilmu moden. Bukti keupayaan dan kejayaan ini yang ketara bagi beliau ialah dalam kesenian Islam.

Namun begitu, Ismail al-Faruqi adalah seorang ilmuwan Islam, yang jelas dididik dalam acuan ilmu moden semasa. Akal budi beliau dibentuk dalam acuan budaya ilmu abad ke-20 dan fahaman Islam beliau juga dalam acuan pemikiran semasa. Oleh demikian, beliau tidak menolak ilmu moden Barat kerana umumnya beliau percaya ilmu tersebut terbuka untuk di Islamisasikan, atau pada prinsipnya semua ilmu moden boleh diterapkan dengan elemen Tawhid.

Beliau, nampaknya tidak mempunyai masalah dengan sains moden. Bahkan beliau pernah mendakwa bahawa Islamlah yang telah menegaskan dan mengasaskan konsep alam tabii yang sekular dan profan tanpa sebarang unsur-unsur “sacredness” seperti yang difahami dalam kosmologi sebelum Islam. Bagi beliau, rasionaliti dan kosmologi Tawhid tidak membenarkan adanya unsur simbolisme animisme, sacredness atau perkongsian unsur ketuhanan pada objek kejadian atau makhluk, melainkan fenomena yang jelas wujud sebagai sifat tabii. Oleh demikian bagi beliau, asas kosmologi sains moden pada prinsipnya tidak bercanggah dengan kosmologi tabii Islam, atau sekurang-kurangnya kosmologi sains moden terbuka kepada suntikan paradigma Tawhid.

Pandangan beliau tentang keserasian antara kosmologi sains moden dengan kosmologi Islam jelas agak berbeza dengan pandangan ilmuwan seperti SH. Nasr dan mungkin juga dengan SM Naquib al-Attas.

Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?

Gagasan usaha yang disebut sebagai “Pengislaman Ilmu” bukanlah suatu yang baru berlaku pada zaman ini sahaja. Usaha tersebut terserlah giat pada zaman “generasi al-Quran” yang pertama lagi. Hanya kebanyakan perbincangan Sejarah Pengislaman Ilmu semasa tertumpu kepada zaman mutakhir ini. Kita perlu peka bahawa sekiranya kita bermula dengan pertembungan ilmiah antara umat Islam pertama, iaitu selepas Al-Quran di tanzilkan, maka sejarahnya agak panjang. Dalam pertembungan tersebut tidak semua ilmu yang datang daripada tamadun terdahulu, misalnya Yunani, Sabean atau Mesir kuno, serasi dengan kosmologi dan metafizik al-Quran. Para ilmuwan awal Islam peka tentang hal ini dan betapa perlunya usaha memastikan setiap cabang ilmu harus serasi dengan risalah Islam. Kesedaran seperti inilah sebenarnya yang menjadi teras kepada faham dan proses pengislaman ilmu ketika itu dan juga kemudiannya.

Bahkan apa yang berlaku kemudiannya dalam abad ke 20 banyak mengambil iktibar daripada apa yang dilakukan oleh para ilmuwan awal Islam terutama pada zaman-zaman khalifah. Kita mungkin tidak mampu memperincikan kesemua hal tersebut di sini, lagi pun hal ini telah banyak di kupas oleh ahli sejarah ilmu Islam dan saya juga turut telah mengupasnya dalam buku saya “Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam” yang diterbitkan awal 1990an. Sekiranya kita harus mencari titik tolak sejarah moden kesedaran sains di dunia Islam, maka pergerakan kebangkitan yang dikenali sebagai an-Nahda adalah salah satu daripadanya. Pergerakan tersebut memberi kesan kepada kebangkitan intelektual Islam moden khususnya di Mesir dan turut memberi kesan kepada sejarah kebangkitan intelektual Islam termasuk di rantau ini. Tokoh pemikir seperti Rifa’a el-Tahtawi (1801-1873) yang pergi ke Paris pada tahun 1826 untuk mempelajari kaedah pendidikan dan sains barat merupakan penggerak penting an-nahda. Hanya, perkembangan tersebut lebih menjurus kepada kebangkitan kesedaran masyarakat Islam kepada kepentingan sains moden barat dan betapa daifnya ilmu tabii yang ada pada mereka.

Namun, arus kesedaran yang dibawa pada pertengahan dan lewat abad ke-20 oleh S.H. Nasr dan Naquib al-Attas adalah amat berbeza sekali. Keduanya lebih cenderung untuk mengetengahkan keunggulan kosmologi dan epistemologi Islam. Dari segi perbincangan tentang sains Islam di Malaysia, pengaruh S. H. Nasr adalah amat penting khususnya dalam wacana sejarah sains Islam. Manakala pengaruh Syed Naquib al-Attas amat menonjol dalam perbincangan epistemologi Islam khususnya dari segi sains sosial dan pendidikan. Pengaruh kedua-dua mereka, terutamanya, adalah jelas kelihatan dalam wacana-wacana tokoh ilmuwan tempatan yang bercakap tentang sains Islam terutamanya mereka yang menganggotai Akademi Sains Islam (ASASI).

Namun begitu, kekuatan dan pengaruh kedua-dua tokoh tersebut ada sedikit kelainan; S.H. Nasr berlatar belakangkan sains, beliau pernah mendapat latihan dalam bidang geologi dan fizik, selain daripada sejarah sains. Oleh demikian beliau amat peka tentang sifat dan ciri sains moden dan juga mahir dalam historiografi sains. Karya beliau yang dianggap terpenting dalam mencorakkan perbahasan tentang sains Islam ialah “Science and Civilization in Islam” dan ”An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines”. S.M. Naquib al-Attas pula terlatih dalam bidang sosiologi dan antropologi ilmu. Antara karya beliau yang mewarnai wacana sains Islam di rantau ini ialah “Islam and Secularism” dan “Islam and the Philosophy of Science.” Saya cenderung untuk mengatakan bahawa di kalangan para ahli sains pengaruh dan tulisan Nasr lebih menonjol, manakala Naquib al-Attas mendapat perhatian lebih daripada mereka dalam bidang sains sosial atau sastera.

Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?

Sekiranya kita mengupas sains daripada sudut falsafah sains Islam dan historiografi sains Islam, saya berpendapat bahawa usaha Harun Yahya dan Bucaillisme yang lain mempunyai tempatnya yang tersendiri. Ia merupakan pendekatan yang mempunyai hujah yang tersendiri, satu mazhab ilmiah yang sah. Sama ada hujah dan pendirian mereka itu lengkap dan yang terbaik, itu merupakan soalan yang lain. Pendekatan yang mereka bawa itu mungkin ada kelemahan yang ketara. Antaranya, ialah apabila memadankan teori sains secara literal dengan ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran. Sedangkan kita peka bahawa sifat sesuatu teori sains itu bukan mutlak, dan konsep kebenaran dalam sains moden, khususnya, ialah bersifat sementara dan boleh berubah-ubah mengikut penemuan dan interpretasi semula. Sekarang ini pun kita tahu ada kalangan ahli fizik yang mempersoalkan tentang teori “Big Bang” itu, dan telah ada teori-teori saingan diketengahkan.

Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?

Kalau kita maksudkan teknologi secara umum yang terhasil semenjak 200 tahun yang lepas, ya, mungkin kita harus berterima kasih kepada barat. Tetapi sekiranya kita maksudkan dari segi variasi “teknologi sosial” semasa, maka jawapannya lain sedikit. Kita tidak perlu menafikan sumbangan ilmu barat dalam teknologi moden, namun apa yang penting ialah kita harus faham bahawa ilmu tersebut juga di asaskan atas ilmu yang diolah oleh tamadun sebelumnya terutamanya tamadun Islam. Kita ambil contoh, misalnya, teknologi unggul semasa iaitu komputer. Kebanyakan daripada kita menjangka bahawa idea pengkomputeran hanyalah berteraskan kepada idea yang dikemukakan oleh ahli falsafah matematik bernama Alan Turing pada awal abad ke-20. Apabila sejarah komputer di ambil kira pula, paling awal dicatatkan hanyalah nama-nama tokoh seperti Boole, dari segi perisian komputer, dan Charles Babage, dari segi perkakasan komputer. Namun, para ilmuwan mengakui bahawa antara teras teknologi komputer yang terpenting ialah konsep algoritma, dan ia telah diasaskan oleh al-Khuwarizmi. Bahkan konsep sifar, yang menjadi teras logik binari Boolean dan bahasa mesin komputer, juga diasaskan oleh al-Khuwarizmi. Bukan sahaja dalam perisian komputer bergantung kepada idea asas dalam tradisi ilmu Islam, sebahagian daripada idea perkakasan komputer yang sering hanya dikaitkan dengan Charles Babage itu sendiri dapat disasilahkan juga daripada mesin astrolab al-Battani abad ke-8 dan ke-9 masehi.

Walau pun demikian, sesuatu hakikat yang kurang diketahui umum ialah tentang kompleksiti hubungan antara sains dengan teknologi. Bahkan bukti ilmiah berulang kali merumuskan bahawa tidak adanya korelasi terus antara sains dan teknologi. Justeru itu, kemajuan teknologi sesuatu tamadun itu tidak semestinya bererti akibat kehebatan sainsnya. Bahkan dalam sejarah sains dan teknologi terdapat tamadun yang menghasilkan teknologi yang tinggi tanpa memperlihatkan kemajuan yang sama dalam sains mereka. Tamadun Roman, misalnya banyak merakamkan hasil teknologi yang tinggi berbanding sains mereka; sebaliknya tamadun Yunani pula mencatetkan kemajuan sains yang tinggi berbanding dengan teknologi mereka. Bahkan dalam sejarah teknologi moden telah terbukti banyak ledakan kemajuan teknologi yang terhasil tanpa bantuan atau hubungan terus dengan kemajuan sains. Hubungan kompleks antara sains dan teknologi tersebut memperingatkan kepada kita supaya berhati-hati dalam membuat sebarang hubungan mudah antara keduanya dalam konteks kemajuan budaya ilmu sesuatu tamadun.

Sesungguhnya hal tentang, “mengapa sains Islam tidak dapat menawarkan apa-apa hari ini?”, adalah lebih merupakan persoalan persepsi. Jawapan mudahnya jika ada, ialah tidak ada sains Islam dewasa ini, iaitu sains yang berteraskan kosmologi Islam serta metafizik Islam secara menyeluruh dan nyata, diamalkan secara aktif dan sepadu. Yang ada, ialah ilmuwan Islam yang mewacanakan ciri-ciri sains Islam sebagai sains alternatif dan mengamalkan sains moden pula, pendeknya, yang wujud kini ialah saintis beragama Islam. Walau pun kita akur ada usaha yang dilakukan secara terpencil di negara seperti Iran. Kita hanya boleh merasa lega sedikit dengan sains Islam apabila telah wujud satu universiti yang menjadikannya sebagai asas kurikulum dan penyelidikannya; atau wujud pasukan penyelidikan aktif dengan dana yang mencukupi; atau wujud penerbitan dan wacana dinamik terus menerus dalam konteks paradigma sains Islam. Soal mengapa sedikit sekali saintis beragama Islam memberi sumbangan kepada sains semasa, ada kaitannya dengan soal (i) kesediaan intelektual, (ii) keadaan ekonomi dan (iii) kekuatan politik umat Islam semasa. Hal ini perlu penelitian yang cermat dan sudah tentu memerlukan kupasan yang lebih panjang,

Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?

Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang sejarah dan falsafah sains, atau sejarah idea, istilah-istilah sains Cina, sains Yunani, sains Mesir dan sepertinya biasa digunakan. Walaupun mungkin takrifan yang diberikan kepada istilah tersebut mungkin berbeza-beza, namun pada umumnya ia merujuk kepada ciri budaya fikir sains yang di amalkan secara meluas atau kosmologi sains dominan dalam tamadun-tamadun tersebut. Oleh itu, misalnya, Sains Cina merujuk kepada gagasan ilmu alam tabii yang berpremiskan kosmologi Cina, sama ada berasaskan ajaran Toaisme atau Konfusiusme, yang diamalkan oleh tamadun Cina ketika itu. Suatu hakikat sejarah yang tidak harus dilupakan ialah sains dalam tamadun-tamadun lepas adalah amat berbeza daripada sains sekular moden yang diamalkan kini; sains tamadun lampau diadun dalam simbolisme dan kosmologi kepercayaan semasa serta keagamaan yang dominan ketika itu.

Soal kenapa Barat tidak menamakan sains yang diamalkan kini sebagai sains kristian, ialah kerana sains barat semasa sememangnya berasaskan kosmologi sekular dan jelas bukan berteraskan kosmologi kristianiti. Namun, di Amerika Syarikat terdapat juga ahli sains yang cuba mengetengahkan Sains Kristian dan antara mazhab yang lebih dikenali ialah “Creationist Science.” Ahli sains daripada mazhab ini terutamanya menolak Teori Darwinian dalam Biologi moden dan juga asas kosmologi sekular sains moden. Hanya, suara mereka kerap terpinggir dan jarang kedengaran dalam wacana arus perdana sains moden.

Jawapan anologi mudah tentang keperluan umat Islam kepada sains Islam, adalah sama dengan keperluan umat Islam kepada ekonomi Islam, perundangan Islam, makanan Islam dan seumpamanya. Soal “orang lain tak buat mengapa kita harus ‘terhegeh-hegeh’ buat,” merupakan persoalan lain yang kurang relevan dengan teras wacana sains Islam. Namun, jawapan ringkas mengapa umat Islam terdahulu dan semasa peka tentang perlunya “sains Islam,” ada kaitannya dengan (i) epistemologi Islam, (ii) tuntutan ‘Iqra’ dan (iii) risalah Tawhid. Pendeknya, “keistimewaan” (meminjam istilah penyoal, dengan izin) sains Islam, berbanding dengan sains semasa atau yang lampau, ialah kerana ia berteraskan “kosmologi al-Quran.” Konsep- konsep asas tersebut harus difahami oleh setiap para ilmuwan Islam. Hal ini kerana konsep asas seperti itu adalah intipati dan pendorong utama sekitar wacana sains Islam. Sekiranya konsep itu kurang difahami maka wacana sains Islam akan menjadi sukar diikuti. Oleh sebab itulah kita lihat banyak salah faham semasa berlaku tentang hujah sekitar sains Islam terutamanya tentang kepentingannya kepada umat Islam semasa.

Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Mereka yang mendakwa sains itu bebas nilai secara ilmiah adalah segelintir sahaja. Namun pandangan ini telah meresap dalam wacana arus perdana sains moden. Hanya pandangan “sains bebas nilai” itu sukar dipertahankan secara ilmiah terutamanya apabila kita merujuk kepada sejarah sains ataupun sejarah idea dalam tamadun sebelum abad ke-19 Eropah. Semua sains tamadun lampau jelas diresapi oleh nilai-nilai semasa. Pengalaman kita dengan sains sekular moden barat memang menjadi seseorang itu cenderung untuk mempercayai bahawa sains moden ialah bebas nilai dan bersifat universal. Tetapi kepercayaan seperti itu telah pun disangkal terutamanya oleh seorang ahli sains moden dan sejarah sains, Thomas Kuhn, dalam tulisan beliau “The Structure of Scientific Revolutions.” Pendeknya, menurut Kuhn, walaupun sains moden sekular kerap berpura-pura sebagai “bebas-nilai”, hakikatnya ialah ia tidak terlepas daripada pengaruh unsur-unsur nilai dan pengaruh faktor sosiologikal semasa.

Merujuk kepada contoh yang dikemukakan oleh pewawancara tentang persamaan nombor “1” sains barat sekular dan Islam. Jawapan ringkasnya, dari segi sifat simbol kuantitatifnya memang simbol tersebut membawa erti yang sama. Namun, simbol “1” atau “Ahad” dalam Islam juga membawa erti simbol Tawhid atau keEsaan Tuhan. Sekiranya konsep nombor dan simbolisme dalam sejarah intelektual Islam diteliti kita akan dapati bahawa terdapat penekanan yang ketara kepada keseiringan simbolisme kuantitatif dan kualitatif. Apa yang berlaku pada zaman Kebangkitan (Enlightenment) apabila budaya ilmu barat menyerap ilmu matematik Islam ialah, hanya elemen kuantitatif sahaja yang diserap dan dipupuk oleh barat. Sehubungan dengan itu, kita dapati hal yang sama berlaku apabila merujuk kepada bagaimana sains sekular melihat fenomena alam tabii sebagai hanya dimensi fizik, tanpa roh, dan tanpa unsur ghaib. Sains Islam pula merujuk fenomena yang sama sebagai sekurang-kurang terdiri daripada gabungan dua dimensi iaitu fizik dan metafizik. Oleh sebab itulah dalam epistemologi Islam, fenomena alam tabii kerap dirujuk sebagai “ayat” dan alam tabii pula sebagai “kitab terbuka” atau “al-Quran terbuka.”

Fizik kuantum, geometri dll dalam sains moden yang diamalkan di Eropah dan di negara Islam memangnya sama. Sains moden yang diamalkan oleh orang bukan Islam dan orang Islam jelas sama. Soalnya apakah mungkin ada perbezaan antara fizik, kimia, biologi dan matematik seperti dalam tradisi sains moden dengan apa yang mungkin yang terdapat dalam tradisi sains Islam? Berasaskan penjelasan yang terdahulu, walau pun, jawapan berikut buat masa ini hanyalah “akademik”, kita menjangkakan bahawa: (i) ada aspek sains tersebut yang sama terutamanya yang merujuk kepada unsur kuantitatif dan fizikal, (ii) juga, ada aspek teori sains yang ketara berbeza antara keduanya terutamanya apabila merujuk kepada unsur kualitatif, premis metafizikal dan kosmologikal. Dan,(iii) kita menjangkakan ada perubahan dalam penjelasan teori-teori tertentu tentang fenomena tabii alam mengikut perubahan masa, zaman dan tradisi ilmu semasa seperti yang diperlihatkan dalam sejarah sains barat dan juga sains Islam.

Definisi sains yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?

Definisi yang diketengahkan oleh Prof. Shaharir adalah generik yang sememangnya diterima dalam konteks sains moden dan serasi pula dengan epistemologi Islam. Kita dapati definisi di atas bukan sahaja merujuk kepada dimensi kaedah empirikal tetapi juga kaedah yang berteraskan rasio. Sepintas lalu definisi tersebut merujuk kepada penggunaan fakulti fizik dan fakulti akal sahaja, tetapi jika diteliti dengan rapi ia juga merujuk keperluan penggunaan mantik (perhatikan bahawa istilah mantik digunakan dan bukan logik) bagi menghasilkan ilmu yang boleh dipercayai. Kepercayaan yang dihasilkan melalui mantik adalah sangat dituntut dalam tradisi ilmu Islam, dan kita maklum bahawa dalam budaya ilmu Islam mantik dan kepercayaan adalah subjek fakulti naql dan bukan sekadar fakulti aql atau rasio sahaja. Hujah tersebut akan menjadi lebih jelas apabila sejarah mantik dalam tradisi Islam diteliti dan dibandingkan dengan sejarah logik dalam budaya ilmu barat. Seperti yang ditegaskan tadi, perbezaan ketara antara kedua-duanya bukan dari segi istilah sahaja tetapi juga konotasi yang dikandungi oleh istilah tersebut, dalam budaya ilmu Islam, mantik ialah subjek fakulti naql manakala dalam budaya barat logik adalah subjek fakulti rasio semata-mata. Oleh demikian definisi sains yang diketengahkan oleh Shaharir tersebut menuntut penggunaan ketiga-tiga fakulti secara holistik dan bukan hanya dua fakulti yang biasa diamalkan dalam tradisi sains moden sekular.

Tuduhan bahawa pengislaman Ilmu “bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan” sebenarnya timbul daripada kekeliruan atau kurang pengetahuan tentang usaha tersebut. Pengislaman ilmu jika dirujuk kepada sains moden lebih menjurus kepada gagasan salah satu usaha berikut: (i) peningkatan kesedaran kepada kosmologi sains Islam berteraskan al-Quran (ii) menghidupkan budaya “iqra” (i.e. “membaca” alam tabii dalam konteks Ketuhanan), (iii) menggalakkan usaha memadankan penemuan baru, khususnya dalam teori fizik atau kosmologi moden, dengan konteks metafizik dan kosomologi Islam, dan (iv) menggalakkan penerbitan serta penyelidikan peringkat primer atau sekunder tentang persoalan alam tabii semasa daripada sudut kosmologi atau dengan premis Islam, dan (v) memperbanyakkan kupasan serta kajian sejarah idea sains yang lampau dan semasa daripada sudut historiografi sains Islam.

Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?

Potensi sains Islam adalah banyak. Antara yang ketara ialah sumbangan dalam memperkayakan budaya intelektual semasa. Sumbangan ini boleh berlaku daripada tiga sudut asas: (i) epistemologi (ii) kosmologi dan (iii) etika profesional. Kita tahu bahawa sains barat telah pun dipasak oleh ketiga-tiga asas tersebut berteraskan paradigma dan falsafah sekularisme yang dimantapkan pada abad ke-19. Namun itu tidak bererti semuanya telah beres dan sempurna. Kekusutan dan kerapuhan sains moden amat dirasai bagi mereka yang mengikuti perbahasan, khususnya di peringkat falsafah sains atau di peringkat fizik teoretikal atau fizik kuantum. Sememangnya sukar bagi kita untuk memperincikan satu-persatu dengan tepat bagaimana sains Islam mampu mengatasi setiap permasalahan yang wujud dalam sains moden. Kita hanya mampu untuk menoleh kepada rakaman sejarah tentang episod yang pernah berlaku apabila budaya ilmu Islam membuat sumbangan kepada barat. Sejarah telah merakamkan dengan jelas bagaimana sains barat kuno telah diperkayakan oleh sains Islam klasikal sehingga mampu mencetuskan kebangkitan budaya ilmu sains barat yang kemudiannya melahirkan sains moden semasa. Hakikat ini di akui oleh ilmuwan dari pelbagai pihak, sama ada Islam atau yang bukan, dan banyak penulisan telah terhasil daripada penelitian tentang episod tersebut. Namun sama ada sains Islam moden boleh menjadi kenyataan dan mampu mengulangi kembali apa yang pernah dilakukan oleh sains Islam klasikal adalah suatu persoalan yang amat menarik. Saya percaya kemungkinan ia menjadi kenyataan suatu hari nanti adalah pasti. Mungkin apa yang pasti buat waktu ini ialah sekiranya sains Islam, atau sains yang berteraskan kosmologi al-Quran menjadi sains arus perdana beberapa persoalan dan kekusutan asas dalam sains moden pasti dapat dihuraikan.

Dalam huraian kita pada awal wawancara ini, telah dijelaskan bahawa sains barat hanya menekankan dimensi empirikal, kuantitatif dan rasional sahaja. Oleh demikian penghuraian fenomena alam tabii oleh sains moden hanyalah terhad kepada sudut tersebut sahaja. Namun begitu kita dapati kosmologi moden dan fizik semasa cenderung untuk mencari jawapan kepada persoalan asas dan persoalan yang biasanya dianggap berada dalam dimensi metafizik. Misalnya, soal tentang apa yang berlaku pada detik alam mula tercipta, apakah unsur paling asas, dan bagaimana manusia mula wujud, merupakan antara gagasan persoalan asas tersebut. Apakah sains moden akan mampu memberi jawapan kepada persoalan seperti itu, terutamanya jawapan yang serasi dengan jiwa Muslim, dengan hanya menggunakan kaedah sains sekular, menjadi suatu tanda tanya besar. Namun, hakikatnya kita tahu bahawa menjelang awal abad ke-21 budaya ilmu barat sudah pun mengeluh. Alex Schiller, misalnya dalam artikel beliau “A History of Western Civilisation” yang ditulis menjelang abad ke-21, telah menyenaraikan penemuan asas utama budaya ilmu barat. Mengikut beliau, antara penemuan terpenting ialah (i) penemuan Darwin tentang manusia sebagai salah satu spesis haiwan, (ii) Freud mendapati manusia semuanya kurang siuman dan gila seks, dan (iii) tidak ada kebenaran mutlak, yang ada ialah kebenaran sains yang bersifat relatif, sementara dan berubah-ubah.

Pendeknya, mengikut Schiller, budaya ilmu barat menjelang abad ke-21 hanya mampu merumuskan bahawa manusia tidak ada identiti hakiki, tidak ada roh, serta tidak ada kebenaran di samping tidak perlu kepada keimanan pada Tuhan dan akhirat. Pada akhir pengamatan tersebut beliau meluahkan kekesalan dengan ungkapan berikut … “macam mana kita boleh sampai di tahap kegilaan seperti ini?.” Keluhan tentang krisis dalam budaya ilmu barat telah juga dibayangkan lebih awal oleh T.S. Eliot melalui satu puisi: Where is the Wisdom we have lost in Knowledge? Where is the knowledge we have lost in Information? Alas, Where is the life we lost in living?

Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?

Seperti yang saya sebutkan awal tadi bahawa kita harap suatu hari nanti akan wujud universiti-universiti yang menjadikan sains Islam sebagai asas kurikulum dan pengajarannya, lengkap dengan barisan profesor serta pasukan penyelidikan aktif yang disokong melalui dana yang mencukupi, di sambut dengan penghasilan penerbitan dan wacana dinamik yang terus menerus. Namun kita sedar sebelum kita dapat melihat itu semua sebagai kenyataan sains Islam harus mengharungi banyak halangan dan cabaran. Antara cabaran yang harus diharungi ialah (i) halangan intelektual, (ii) halangan kepakaran, (iii) halangan tenaga, (iv) halangan prasarana, (v) halangan dana, dan (vi) halangan politik.

Jawapan kepada soalan (i) dan (ii) telah saya ringkaskan dalam awal wawancara ini. Jawapan yang lebih panjang telah saya buat dalam tulisan saya terdahulu, misalnya dalam tulisan saya “Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam” dan sepertinya. Manakala penjelasan tentang persoalan (iii) hingga (vi) memerlukan jawapan yang agak panjang. Saya khuatir tidak mampu berlaku adil dalam memberi jawapan kepada persoalan tersebut pada kesempatan kali ini. Namun persoalan yang sama telah saya cuba huraikan dalam beberapa tulisan dan buku saya sebelum ini. Oleh itu buat kali ini izinkan saya mengesyorkan agar huraian saya tersebut dirujuk kembali, misalnya dalam buku berjudul “Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia.”

Terima kasih dan Jazakallah khairan kathira.

4 Komen

  1. Muhammad

    apalah cabaran-cabaran umat islam dalam bidang sains dan teknologi dalam ertikata rasionalisme dan apalah krisis nilai yang ada dalam bidang sains dan teknologi yang dibawa antara orang islam dan orang bukan islam

  2. Alhamdulillah penulisan yg sgt menarik sekali..bjy menimbulkan pembacaan hngga ke ayat yg terakhir.smga Allah merahmati anda..ana pautkan laman ni ke blog ana ye…smga bermnfaat

  3. ikhwan

    bincangkan penemuan sains dan hubungannya dengan al quran bagi bidang fizik,biologi,astronomi,geografi,botani,zoologi..

  4. artikel ni mmg best

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *