Kemaskini terbaru: February 11, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Adi Setia: Sains Islam Membangun Harga Diri Muslim

Sains Islam sering disalah-ertikan. Kerap Sains Islam terwajah pada nama-nama universiti Islam yang dibangunkan, tapi kandungannya kosong dari makna Sains Islam yang dimaksudkan dari kacamata pelopornya. Meskipun antara Seyyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas masing-masing ada perbezaan perspektif tentang Sains Islam, tapi keduanya sepakat bahawa memang terdapat kelemahan dalam perspektif Sains Barat. Dalam wawancara ini, Prof Madya Dr. Adi Setia Mohamad Dom merupakan antara produk dari ISTAC, institusi yang kerap disinonimkan dengan al-Attas tersebut. Kini beliau merupakan akademia di UIA, dan juga penyelidik bersekutu di INSPEM, UPM. Tesis PhD beliau sendiri sangat menarik, The Physical Theory of Fahkr al-Din al-Razi. Justeru, wawancara ini cuba untuk meninjau pandangannya tentang Sains Islam.

Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia?

Secara ringkas, semua perkataan itu bererti ilmu pengetahuan dan ilmu kepakaran secara umum, cumanya hanya pada zaman moden istilah “sains” dibataskan kepada sains tajribi semata-mata.

Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?

Gagasan asal “Islamization of knowledge” (pengislaman ilmu) dihuraikan secara tersusunatur oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, bukan oleh Ismail al-Faruqi. Lebih baik kita mengikut gagasan al-Attas. Semua huraian saya tentang sains Islam dan pengislaman sains bertitik-tolak daripada al-Attas, bukannya al-Faruqi. Kelebihan pendekatan al-Attas amat jelas berbanding dengan pendekatan al-Faruqi yang kurang matang dan kabur. Lagipun, bagi kita di Nusantara, al-Attas lebih berkaitan ekoran banyaknya contoh-contoh diambil daripada latar sejarah budaya dan ilmu ulama Melayu-Islam.

Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu?

Sebagai satu proses, pengislaman ilmu sudah bermula sejak munculnya agama Islam, tapi hanya pada zaman ini kita bagi istilah khusus bagi proses itu, iaitu “Pengislaman Ilmu,” demi kerana kita perlu harungi cabaran ilmiah yang mengasak hebat dari barat.

Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?

Kedua-dua, Nasr dan Al-Attas adalah pelopor utama proses pengislaman ilmu menurut pendekatan falsafah. Tapi al-Attas lah yang berikan takrif khusus bagi istilah “pengislaman ilmu” dalam bukunya Islam & Secularism dan bukunya The Concept of Education in Islam. Adapun “Sains Islam,” maka dari segi perlaksanaannya, itu bererti “mengamal-laksanakan nilai ‘aqli dan akhlaqi Islam dalam kerja-kerja penyelidikan sains dan teknologi.” Itu sudah saya hurai dalam makalah “Mengamal-laksanakan gagasan pengislaman sains al-Attas” yang dibentangkan di UNISSULA, Indonesia tahun lepas, dan juga dalam makalah baru saya mengenai rencana penyelidikan matematik huluan.

Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?

Kita perlu lebih teliti dalam buat label ‘Bucaillisme’, apatah lagi bila takrif tak dibuat dulu. Lagipun, Maurice Bucaille sendiri buat penyelidikan amat mendalam sebelum menerbitkan buku-bukunya. Contohnya, dia berpenat lelah belajar bahasa Arab meskipun dah berumur 50 tahun lebih. Jelas dia tak “malas” seperti sesetengah orang yang cuma tumpang sekaki kajian beliau tanpa buat kajian sendiri. Jelas, dalam al-Qur’an ada kenyataan-kenyataan bersifat empiris/inderawi tentang alam tabii yang cuma dapat diteliti dengan lebih halus hari ini dengan alat pencerapan moden, jadi tak salah kalau Bucaille nak tarik perhatian ke situ. Yang salah kalau orang lain syok sendiri berhenti kat situ sahaja tanpa teruskan usaha beliau demi merencanakan penyelidikan seterusnya dengan berilhamkan kenyataan-kenyataan Qur’ani yang bersifat empiris itu. Adapun Harun Yahya, beliau berusaha runtuhkan faham kebendaan yang mendasari sains moden dengan manfaatkan petunjuk wahyu dan penemuan sains empiris secara kritis, dan dalam banyak hal beliau berjaya, khasnya melalui bukunya “Penipuan Evolusi”. Jadi mereka berdua bukan kebucaillan dalam ertikata negatif. Adapun sebahagian yang lain, maka mereka memang cuma berseronok dengan kerja orang lain, tapi diri sendiri tak buat kerja penyelidikan apa-apa, cuma kerja padan-memadan ikut dan tanpa kritis. Yang golongan ini memang ramai, dan mereka-lah bersifat kebucaillan dalam erti negatif, dan ramai mereka bergelar “profesor.” Tapi istilah “kebucaillan” itu sendiri dah tak adil, pasal Maurice Bucaille sendiri tak macam itu, jadi elok pakai istilah lain, seperti “sains kepakturutan”.

Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?

Sebenarnya orang barat sendiri dah kecewa dengan teknologi barat, seperti Ivan Illich, Theodore Roszak, Jerry Mander, Wolfgang Sachs dan E. F. Schumacher, dan mereka sedang mencari teknologi pilihan lain yang lebih mesra-insan dan mesra-alam. Sedangkan tamadun Islam dah lama membina teknologi mesra-insan dan mesra-alam yang dah mampu bertahan selama seribu tahun lebih, tapi kini dilupai disebabkan kepakturutan kita terhadap teknologi barat yang kini disangsi pula oleh orang barat sendiri. Jika kita membuat kerja berdayacipta membina Rencana Penyelidikan Teknologi Islam secara tersusunatur, nanti barat yang ekori kita bukan sebaliknya, jadi kita kena tepuk dada tanya selera.

Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?

E. F. Scumacher sendiri pernah guna istilah “Ekonomi Buddha” (Buddhist Economics). Malah istilah “Sains Islam” (Islamic Science) dah jadi istilah rasmi yang digunakan oleh orientalis barat untuk merujuk kepada sains yang dibangunkan dalam tamadun Islam. Jadi siapa sebenarnya yang “liat”? Orang Islamkah yang lupa jati-diri, atau orientalis? Lagipun, sains juga perbuatan insan dan segala perbuatan insan, termasuk perbuatan sains, dikawal oleh hukum agama dalam Islam yang sepadukan semua aspek hidup duniawi ke dalam kerangka sistem nilai agama tanpa kecuali. Dalam agama lain hal ini tak begitu ketara. Tapi kini di barat pun dah timbul gerakan sains Kristian yang menolak teori evolusi dengan mengemukakan teori keciptaan yang diilhami kitab Bible mereka. Tak salah kalau kita kerjasama dengan mereka, sama-sama runtuhkan faham sekular yang dasari sains moden kini. Jadi menurut analisa ini, maka memang ada Sains Islam, Sains Kristian, Sains Sekular, dan sebagainya.

Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Bagi mereka yang tak mendalami ilmu botani, kalau masuk hutan semua pokok sama sahaja, tak kira di barat atau timur, sama-sama hijau belaka. Tapi bagi mereka yang dalami macam kaum orang asli, setiap ekar tanah hutan mengandungi beratus spesies pokok yang berlainan, ada yang jadi ubat, racun, sumber makanan dan sebagainya. Jadi bagi mereka yang kenal ilmu matematik, tulisan nombor satu (1) mungkin seakan-akan sama, tapi faham kesatuan “satu” itu berbeza-beza di kalangan pelbagai budaya, malah dari sudut pandang bidang berlainan sekali pun. Contohnya, konsep “satu” dalam teologi sudah lain daripada konsep “satu” dalam teori angka (number theory), dan begitu-lah seterusnya. Jadi usah pukul borong semata-mata dari jauh tanpa teliti. Paul Feyerabend pun akui sains barat tak semesti baik 100%, malah mungkin ada juga sains lain yang jauh lebih baik daripada sains barat. Jadi semua sains tak sama, ada yang jadi ubat, ada yang jadi racun pembunuh macam sains barat moden ini.

Definisi sains yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?

Takrif sains yang lebih umum ialah “penyelidikan tersusunatur terhadap alam semesta” tak kira apa kaedah yang dipakai, yang penting kaedah yang sesuai dengan bidangnya dan yang mampu pecahkan permasalahan yang ditangani dalam bidang itu. Contohnya, akupuntur (acupunture) tak rasional, tak mantik menurut kerangka kebendaan sistem perubatan barat, tapi amat rasional dan mantik menurut kerangka Ying/Yang metafizik Tao. Namun begitu, akupuntur dah jadi kaedah arus perdana di barat, pasal ia mampu pecahkan permasalahan perubatan tertentu yang gagal dipecahkan menurut kaedah barat. Jadi, kita sebenarnya kena buka mata dan lihat lebih jauh dalam dalam lagi, bukan cuma terperap dalam tempurung sains barat seolah-olah tiada cara lain untuk buat sains.

Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya?

Mula-mula kita kena tanya “apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada umat Islam, dan apakah yang boleh disumbangkan oleh umat Islam hari ini kepada menghidupkan kembali sains Islam”? Soalan ini sampai bila tak akan terjawab kalau kita kekal jahil terhadap sejarah dan falsafah sains Islam kita sendiri. Jadi lebih baik kita sama-sama teliti www.muslimheritage.com dan www.muslimphilosophy.com. Lepas itu akan terjawab dengan sendirinya soalan “apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya?” Pendek kata orang jahil jati-diri tak mungkin sumbang apa-apa pun, sama ada kepada dirinya atau kepada orang lain.

Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?

Ruginya kita kekal jahil jati-diri, kekal jadi pak-turut macam robot, kekal jadi pengguna/pelanggan/pembeli lesu bukan pencipta/pembuat/penjual giat, dan kekal tak tahu menahu langsung bahawa di sana ada sains yang jauh lebih baik bagi insan dan alam.

Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?

Halangan terbesar ialah ramai pelopor sains Islam dah tak ceburi bidang itu lagi, buat sekerat lepas itu berhenti, pasal sibuk dengan Islam hadhari atau kajian runcitan masing-masing demi naik pangkat cepat dapat geran lumayan. Jadi harapan seterusnya ialah mendirikan Rencana Penyelidikan Sains Islam secara menyeluruh dalam setiap bidang sains yang penting seperti matematik, fizik, biologi, kimia, ekologi, ekonomi dan sebagainya, serta menarik angkatan muda pula untuk jayakan semua rencana penyelidikan itu, serta lebarkan jaringan penggiat sains Islam kita ke Indonesia, Singapura, India, England dan Kanada, yang saya sedang lakukan kini. Perkara ini dah saya huraikan sedikit-sebanyak dalam makalah “Three Meanings of Islamic Science: Toward Operationalizing Islamization of Science,” dalam jurnal Islam & Science (Kanada 2007), dan juga dalam makalah saya dalam Buletin INSPEM, “Rencana Penyelidikan Matematik Huluan.”

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *