Kemaskini terbaru: March 22, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Asas-Asas Akliyah Dalam Teologi Islam: Analisa Terhadap Beberapa Pemikiran Kalam Fakhr Al-Din Al-Razi

Berbanding dengan tradisi agama Kristian yang menyaksikan pertentangan sengit Gereja dan golongan intelektual dalam mendebatkan mengenai hubungan antara akal dan agama, tradisi ilmu Islam, disebabkan keharmonian ajaran-ajaran yang dibawa oleh wahyu dengan prinsip-prinsip akal, tidak berkongsi kemelut yang sebegitu rumit. Namun ini tidak bermaksud masalah tersebut tidak pernah ditimbulkan dalam tradisi Islam. Tajuk-tajuk karya beberapa ilmuwan besar Islam seperti Fasl al-Maqal fi ma bayna al-Shari’ah wa al-Hikmah min al-Ittisal (Kata-kata Penentu mengenai Hubungan antara Agama dan Falsafah) oleh Ibn Rushd dan Dar’ al-Ta’arrud al-‘Aql wa al-Naql (Menolak Pertentangan antara Akal dan Naqal) oleh Ibn Taymiyyah paling kurang menggambarkan wujudnya perbahasan tersebut di kalangan ilmuwan Islam.

Walaubagaimanapun, berdasarkan mauduk-mauduk perbincangan dalam karya-karya ini, pada asasnya kita dapat simpulkan bahawa perbahasan mengenai hubungan akal dan wahyu dalam tradisi Islam berlaku pada tahap yang berbeza. Ini kerana persoalan utama yang diketengahkan bukanlah mengenai pertentangan antara keduanya, akan tetapi lebih kepada kedudukan dan peranan akal dalam kerangka agama. Adakah ia lebih tinggi, setaraf, atau lebih rendah dari wahyu? Apakah peranan akal dalam memahami dan memberikan hujah kepada agama? Adakah akal mampu untuk mengetahui setiap perkara dalam agama? Sekiranya akal mempunyai had dan wilayahnya tersendiri, di mana berakhirnya had wilayah akal dan bermulanya wibawa wahyu? Sekiranya ada pertentangan antara keduanya apakah yang harus diutamakan? Dalam Ilmu Kalam khususnya, persoalan-persoalan sebegini mungkin tidak menjadi mauduk khusus, namun andaian persoalan-persoalan di atas tidak langsung telah tersirat misalnya dalam perbahasan-perbahasan tentang nazar, tasawwur, tasdiq, taqsim al-mawjudat, ta’wil, pembahagian sifat-sifat Tuhan. Begitu juga dengan meluasnya penggunaan hujah-hujah akal dalam menyokong asas-asas akidah Islam.

Sejarah pemikiran Islam terutama perkembangan Ilmu Kalam sejak abad ke 10 menyaksikan timbulnya usaha yang lebih menyeluruh di kalangan mutakallimun dalam mempersembahkan asas-asas akidah Islam yang lebih harmoni dengan prinsip akal. Ibn Khaldun, sejarawan agung Islam telah merakamkan hal ini dengan mengatakan bahawa bermula dari al-Ghazali dan al-Razi, satu bentuk Ilmu Kalam yang baru telah bermula dalam tradisi Islam. Ilmu Kalam yang dimaksudkan Ibn Khaldun ialah Kalam yang telah tergabung jalin dengan baik dengan falsafah, malah mempunyai asas logik yang berbeza dengan Kalam terdahulu. Kalam mutakkhirin ini antara lain diwarnai dengan penggunaan maksima alat akliyah, iaitu mantiq dan falsafah dalam mendokong dan menyokong asas-asas agama. Penggunaan alat akliyah ini bukan sekadar datang dari keperluan semasa iaitu jawapan-jawapan tuntas kepada faham-faham akliyah yang datang dari falsafah Yunani, akan tetapi juga berdasarkan kepercayaan sebahagian mutakallimun bahawa wahyu dan ajaran Tuhan itu mestilah selari dengan prinsip-prinsip akal. Pendirian ini amat jelas dalam pemikiran tokoh kalam mutakhkhirin iaitu al-Ghazali, al-Razi dan juga mutakallimun selepasnya seperti al-Taftazani dan al-Jurjani.

Kertas kerja ini akan cuba untuk mengkaji dengan lebih khusus penjelamaan asas-asas akliyah ini dalam kerangka Kalam dengan memberikan tumpuan kepada pemikiran salah seorang tokoh penting aliran kalam baru ini iaitu Fakhr al-Din al-Razi. Mengapa al-Razi? Walaupun banyak membayangi al-Ghazali, al-Razi mempunyai keasliannya tersendiri yang akhirnya banyak mempengaruhi kerangka Kalam mutakallimun terkemudian seperti al-Taftazani dan al-Jurjani. Secara ringkas, Fakhr al-Din al-Razi merupakan tokoh ilmuwan ilmu Kalam aliran Asha’irah yang telah menyumbang ke arah perkembangan ilmu ini terutama dari segi penghalusan penghujahan akliahnya. Bersama-sama al-Ghazali, beliau seperti yang digambarkan oleh Ibn Khaldun sebagai tokoh ilmuwan mutakhkhirin yang telah membawa aliran baru dalam ilmu Kalam dengan penggunaan hujah-hujah logika yang lebih mantap. Selain Ilmu Kalam, beliau juga menguasai pelbagai bidang ilmu seperti, falsafah, logik, fizik, perubatan, astronomi dan fiqh. Ibn Khallikan merakamkan kehebatan al-Razi dalam membahaskan isu-isu falsafah dengan mengatakan bahawa beliau merupakan “wibawa ilmu terunggul pada zamannya dan mengatasi kesemua tokoh-tokoh ilmuwan sezamannya dalam bidang ilmu Kalam, metafizik dan falsafah.” Kerana kehebatan beliau ini juga al-Razi dianggap oleh sebilangan sejarawan sebagai mujaddid abad kedua belas. Perlu dinyatakan bahawa walaupun menguasai falsafah, beliau juga mempunyai sikap yang begitu kritis terhadap aliran falsafah yang dibawa oleh ahli-ahli falsafah Islam terdahulu. Ini dapat dilihat misalnya melalui kritikan keras dalam karya sharahan beliau terhadap pandangan-pandangan Ibn Sina seperti Sharh ‘Uyun al-Hikmah, Mabahith al-Mashriqiyyah dan Muhassal.

Baca lanjut di: Asas-Asas Akliyah Dalam Teologi Islam: Analisa Terhadap Beberapa Pemikiran Kalam Fakhr Al-Din Al-Razi

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *