Kemaskini terbaru: July 4, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KERAJAAN CAMPA – Hubungannya Dengan Vietnam

Mohamad Zain Bin Musa

ATMA – UKM

Campa merupakan sebuah kerajaan yang bertamadun tinggi pada satu ketika dahulu. Kedudukan kerajaan yang baru sahaja lenyap itu terletak di bahagian tengah Vietnam sekarang. Kewujudannya telah terbukti dari dokumen-dokumen Cina sejak tahun 192 Masehi. Hasil kajian epigrafi, catatan-catatan Cina, orang Eropah mahupun Vietnam dan Arab telah mengatakan bahawa kerajaan Campa terletak di tanah-tanah rata sepanjang persirian pantai laut China Selatan (sebelumnya dipanggil: Laut Campa) dan dataran-dataran tinggi di barat tanah rata2. Kini kerajaan Campa telah dipadam dari peta dunia sejak tahun 1832 oleh seorang maharaja Vietnam yang bergelar Minh Menh.

Penduduk kerajaan Campa terdiri daripada orang Cam, yang mendiami kawasan persisiran pantai, dan yang lain mendiami dataran tinggi3. Mereka yang tinggal di dataran ini dibahagikan kepada dua kelompok. Pertama, kumpulan rumpun bahasa Austronesia, yang disebut Camik. Ia terdiri dari orang Cam sendiri serta Jerai, Rade, Cru dan Raglai. Kedua, ialah kelompok yang terdiri daripada orang Ma, Mnong, Sre, Stieng dan orang Bahnar. Mereka dari rumpun Austroasiatik, kumpulan Bahnarik.

Sejarah kerajaan Campa didominasikan oleh siri peperangan dengan jirannya dari utara iaitu Vietnam yang lahir pada tahun 939. Peperangan pertama antara kerajaan Campa yang berpengaruh India dan Vietnam yang berpengaruh Cina berlaku pada tahun 982. Berhadapan dengan kemunculan kuasa baru Dai Viet (Vietnam) ini, sedikit demi sedikit sempadannya ditolak ke selatan. Dalam proses perluasan wilayah Dai Viet tersebut yang dikenali Nam-tien iaitu kemaraan orang Viet ke Selatan, sempadan utara Campa terpaksa berpindah buat kali pertama pada tahun 1069.

Setelah itu sempadannya terpaksa berpindah lagi ke Selatan pada tahun 1306, dan pada tahun 1471 sempadannya telah berpindah ke kedudukan baru iaitu apabila Vijaya dimusnahkan sama sekali. Tarikh ini juga dipercayai sebilangan pengkaji sebagi tarikh tamatnya identiti kerajaan Campa. Kehancuran Vijaya ini dilakukan oleh satu pasukan tentera Viet sekuat 250 000 orang. Sejumlah besar dari 90 000 orang Cam telah terkurban dan yang selebihnya dibawa ke negara Viet.

Dari tarikh tersebut, sejarah kerajaan Campa menjadi sejarah pergelutan orang Cam yang panjang “untuk menentang kemaraan Vietnam, untuk menyelenggarakan kemerdekaannya serta memelihara identitinya”.

Your browser may not support display of this image.

Sumber: Po Dharma 1996

Walau bagaimanapun mereka tidak mampu bertahan diri di hadapan kekuatan Vietnam dan kerajaan Campa akhirnya musnah pada 18324.

Sejak kejatuhan Vijaya, orang Cam mula meninggalkan tanah air mereka secara beramai-ramai kerana tekanan Vietnam yang semakin lama semakin kuat dan terik. Ramai di kalangan mereka memilih Kemboja, sementara sebahagian yang lain memilih daerah-daerah lain di Asia Tenggara dan juga ke Hainan dan Shanghai. Semenjak kejatuhan Indochina kepada rejim komunis, orang Cam yang hidup di Kampuchea mahupun di Vietnam melarikan diri untuk mencari perlindungan di negara-negara lain seperti Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat mahupun Australia.

Peradaban

Berkenaan dengan peradaban pula, kerajaan Campa telah terpengaruh dengan peradaban India dan telah menjadi sebuah negeri yang dipengaruhi Hindu-Buddha.

Terdapat banyak peninggalan arkeologi di seluruh kerajaannya, khususnya di:

– Tra-kieu (wilayah Quang-nam sekarang)

– My-son (wilayah Quang-nam sekarang)

– Dong-Duong (wilayah Quang-nam sekarang)

– Kawasan Vijaya (wilayah Binh-dinh sekarang)

– Kauthara (wilayah Nha-trang sekarang)

– Panduranga  (wilayah Binh-thuan sekarang)

Dari pengaruh yang diterima ini arca-arca serta candi-candi dibina. Inskripsi pertama bertarikh abad ke-4 Masihi yang ditemui di Tra-kieu adalah dalam bahasa Cam (rumpun Melayu). Kemudian ditemui juga inskripsi dalam bahasa Sanskrit dan juga dwibahasa.

Kemudian kerajaan Campa telah menerima tamadun Islam. Tiada kepastian bila Campa telah menjadi Kerajaan Islam. Yang pasti Islam orang Islam telah tiba di bumi Campa pada abad ke-9. Dan hanya pada abad ke-14 dan seterusnya hubungan dengan orang Melayu dri Nusantara telah memperlihatkan orang Cam telah menjadi Islam. Setelah orang Cam dan orang Melayu dari Nusantara ini bertemu, pelbagai bentuk hubungan telah wujud, antaranya hubungan keagamaan dan perdaganan. Hubungan ini berterusan sehingga ke hari ini. Kini hampir keseluruhan penduduk Campa yang hidup di Vietnam atau di luar Vietnam adalah orang Islam.

Zaman Awal Kerajaan Campa

Menurut sejarah Cina, Lin Yi, nama awal Campa, muncul pada tahun 192 Masehi di bahagian tengah negeri Vietnam sekarang5. Penduduk Lin Yi bertutur dalam bahasa dari rumpun Austronesia. Sempadan utara Lin Yi terletak di Gate of Annam (Hoanh Son). Maklumat awal mengenai sejarah Campa adalah sedikit sahaja; tidak diketahui sama ada penduduk Lin Yi memegang ajaran Hindu atau Buddha.

Sejak awal abad ketiga, Lin Yi merupakan negeri yang tunduk kepada China dan membayar ufti kepadanya. Mereka telah mencuba untuk memperluaskan wilayahnya ke utara Gate of Annam tetapi tidak berjaya. Pada abad keempat, didapati bahawa penduduk Lin Yi bertutur dalam bahasa Cam6, satu bahasa dari rumpun Austronesia. Pada ketika itu orang Cam membina rumah mereka dari batu bata; mereka membakar mayat7. Pada penghujung abad keempat dan awal abad kelima, Shivaisme merupakan agama dominan yang diamalkan di istana8.

Sejak abad ketujuh barulah bukti sejarahnya lebih jelas. Dalam satu sumber ada menyebut bahawa satu ekspedisi ketenteraan Cina telah menyerang Campa pada tahun 605. Ibu negeri Campa terletak di daerah Tra Kieu9. Daerah Tra Kieu merupakan pusat penyebaran agama Hindu sejak abad keempat lagi. Batu bersurat dalam kedua-dua bahasa iaitu Sanskit dan Cam, telah ditemui di daerah tersebut. Nama “Campa” disebut buat kali pertama dalam dua buah inskripsi bahasa Sanskrit, satunya bertarikh tahun 658 yang ditemui di bahagian tengah Vietnam dan satu lagi ditemui pada tahun 668 di Kampuchea. Ini tidak bererti nama “Campa” tidak pernah diguna atau wujud sebelum itu. Satu lagi nama Campa iaitu Chan Cheng, yang sebenarnya satu transliterasi Cina, muncul dalam tahun 877.

Dari abad kelapan, wilayah kerajaan Campa ada pada keluasan yang terbesar. Ia terletak dari Gate of Annam di utara hingga ke lembah Sungai Donnai di selatan. Kerajaan Campa terbentuk dari lima buah daerah, yang mirip dengan negeri-negeri pada masa sekarang. Lima buah negeri, dari utara ke selatan ialah Indrapura, Amarawati, Vijaya, Kauthara and Panduranga. Setiap negeri diperintah oleh pentadbirannya sendiri dan ada sebuah pemerintahan di peringkat pusat iaitu di istana diraja Campa. Dengan itu Campa merupakan sebuah federasi dan bukannya sebuah kerajaan unitarian.

Mengenai hubungan diplomatik, kerajaan Campa menjalin hubungan baik dengan jiran-jirannya10, iaitu China di utara, Kampuchea di barat dan Nusantara di selatan. Campa secara teratur menghantar utusan-utusan dan uftinya serta mengadakan hubungan ekonomi dan keagamaan dengan China. Dipercayai bahawa ajaran Buddha Mahayana sampai ke Campa melalui sami yang datang dari China. Agama ini berkembang dengan pesat pada abad kelapan dan kesembilan dengan terbina sebuah kompleks biara yang termasyhur di Dong Duong. Hubungan dengan Kampuchea juga diadakan secara berterusan. Pada peringkat awal hubungannya akrab tetapi menjelang abad kesembilan ia menjadi renggang. Mengenai hubungannya dengan jiran di bahagian selatan, ia bermula dengan rompakan secara besar-besaran oleh orang Jawa pada penghujung abad kelapan. Hubungan dengan Nusantara menjadi lebih baik selepas kejadian itu sehingga membawa kepada peningkatan pertukaran perdagangan dan persahabatan.

Ketika itu, dalam abad kesembilan, ibu negeri Campa terletak di Indrapura yang kini di Quang Nam. Zaman inilah tamadun Campa termasuk sistem sosialnya, konsep kerajaan serta praktis keagamaannya menunjukkan ia dipengaruhi oleh peradaban India, iaitu Hinduisme dan Buddhisme. Keadaan politik, ekonomi dan sosial telah menunjukkan Campa adalah sebuah kerajaan dipengaruhi India. Dalam pada itu, raja Campa membina kemudahan-kemudahan Buddha di Dong Duong dan juga kuil Hindu di My Son.

Abad ke Sepuluh – Titik Tolak

Penaklukan China ke atas Vietnam yang bermula pada tahun 111 SM telah tamat pada 939 apabila Vietnam berjaya membebaskan diri dan mengisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka. Semenjak abad kesepuluh, Campa telah menghadapi beberapa masalah dengan jiran baru. Serangan pertama Vietnam ke atas Campa berlaku pada tahun 982 yang “menyebabkan kehilangan nyawa raja Campa dan menyebabkan kemusnahan ibu negara”11. Kelahiran Vietnam menandakan satu perubahan yang amat besar bagi kerajaan Campa serta arena politik di keseluruhan Indochina. Setelah beberapa siri serangan oleh kedua-dua pihak, raja Campa membuat keputusan pada tahun 1000 untuk meninggalkan Indrapura kerana ianya terlalu dekat dengan wilayah Vietnam. Baginda memindahkan ibu negaranya jauh ke selatan, iaitu ke Vijaya yang kini tertelak di Binh Dinh.

Sejak abad kesebelas, Dai Viet iaitu nama lama Vietnam, memberi tekanan yang dahsyat ke atas Campa. Banyak serangan Vietnam dilakukan pada abad ini, khususnya serangan pada tahun 1044 yang merampas dan menjarah Vijaya lalu membunuh rajanya. Alasan serangan ini adalah kerana Vietnam ingin mendera Campa yang berani menyerbu ‘pantai Vietnam’. Keresahan Campa bukan hanya disebabkan faktor luar tetapi juga oleh faktor dalaman. Kekalahan Campa terhadap Vietnam mencetuskan kebangkitan di Panduranga, iaitu sebuah negeri yang terletak paling selatan dalam kerajaan Campa. Kerajaan pusat telah menghantar satu pasukan tentera untuk membanteras kebangkitan tersebut12.

Untuk membalas dendam terhadap serangan Vietnam pada tahun 1044, Raja Rudravarman III menyerang Vietnam pada 1068. Sekali lagi Campa diserang balas secara serta merta oleh Vietnam. Raja Vietnam, Ly Thanh Tong mengetuai pasukan tentera lautnya, menyerang Vijaya, mengalahkan tentera Campa dan menangkap Raja Rudravarman III. Raja Vietnam membawa raja Campa ke lembah Sungai Merah. Bagi membebaskan dirinya, raja Campa telah melepaskan kawasan dari Gate of Annam hingga ke daerah di sekitar genting Lao Bao kepada Vietnam pada tahun berikutnya. Dengan itu istana Vietnam menukarkan daerah-daerah ini untuk menjadi propinsi-propinsi Vietnam dan diberi nama Dia Ly, Ma Linh dan Bo Chinh.

Dalam tahun 1103 dan 1104, orang Cam menyerang balas tetapi gagal mendapatkan kembali wilayah-wilayah yang telah dirampas. Berikutan itu sempadan utara Campa dipindahkan ke selatan iaitu di genting Lao Bao13. Semenjak itu Campa terpaksa bukan hanya menghantar ufti ke negeri China malah ke Vietnam. Oleh kerana kelemahan kerajaan pusat, Panduranga sekali lagi mencuba untuk mendapatkan otonominya.

Abad kedua belas juga memperlihatkan Campa membantu kerajaan Angkor untuk menentang kemaraan Vietnam. Kemudian apabila Campa berbaik dengan Vietnam, raja Khmer menghantar satu pasukan tenteranya untuk menakluki Vijaya pada tahun 1145 dan menduduki keseluruhan bahagian utara wilayah Campa. Vijaya dibebaskan pada tahun 1149 oleh raja Panduranga yang menabalkan dirinya sebagai raja Campa di istana Vijaya. Setelah kemangkatan raja ini, penggantinya menyerang Angkor secara mengejut pada tahun 1177 dengan menggunakan satu pasukan tentera laut yang kuat yang berlayar melalui Sungai Mekong dan Sungai Tonle Sap hingga ke Tasik Tonle Sap. Tindak balas raja Jayavarman VII dalam satu siri peperangan, termasuk serangan pasukan tentera laut berjaya menghalau pendudukan tentera Cam dari bumi Kampuchea. Siri peperangan ini diperingatkan melalui bas-relief di Bayon dan Banteay Chmar14.  Jayavarman meneruskan serangannya hingga penaklukan ibu negara Campa pada tahun 1191. Baginda melantik adik iparnya, Yuvaraja Dhanapati Grama untuk memerintah di Vijaya. Seorang putera Cam, Angsoraja Urang Turai-Vijaya yang telah dibesarkan di Angkor diberikan takhta di Panduranga. Akan tetapi raja Panduranga ini merampas kuasa raja Vijaya dalam tahun 1192 dan mengisytiharkan dirinya sebagai raja di Vijaya dan Panduranga. Berikutan itu, Jayavarman VII mengambil tindakan secara definitif dengan meletakkan Campa di bawah naungannya pada tahun 1203. Dengan demikian Campa telah menjadi sebuah propinsi kerajaan Kampuchea hingga ke tahun 1220. Tarikh ini merupakan tarikh tamatnya permusuhan selama satu abad di antara dua saudara berjiran dan sesama mengamalkan kebudayaan Hindu-Buddha. Sejak itu kedua-dua negara ini menjalinkan hubungan kejiranan yang amat baik.

Setelah tujuh belas tahun di bawah naungan Kampuchea pada awal abad ke tiga belas, Campa sekali lagi terletak di bawah orang Mongol pada tahun 1283 selama dua tahun. Di samping itu, Vietnam selalu menceroboh wilayah Campa. Pada awal abad keempat belas, Campa menderita kerana hilang lagi daerahnya di utara.

Raja Jaya Simhavarman III (? – 1307), dikenali sebagai Che Man bagi orang Vietnam, dan Pou-ti oleh orang Cina, menawarkan pada tahun 1306 kepada raja Vietnam dua buah daerah O dan Ly, iaitu wilayah di antara genting Lao Bao dan Col des Nuages (genting Awan) bagi mendapatkan anaknya, puteri Huyen Tran, sebagai isteri baginda. Baginda tidak bernasib baik, baginda mangkat setahun kemudian. Dengan serta merta puteri Vietnam ini dibawa balik ke Thang Long kerana bimbang dibakar hidup-hidup bersama mayat suaminya mengikut adat sati India yang diamalkan di Campa ketika itu. Pengganti-pengganti Raja Jaya Simhavarman telah mencuba pada tahun 1311-12, 1317-18, 1326 dan 1353 untuk menuntut kembali daerah-daerah yang telah diberi kepada Vietnam tetapi semuanya gagal.

Dalam suasana itu, “seorang raja Cam yang mempunyai seni politik yang baik serta kelicikan dalam strateginya” wujud dalam senario. Baginda adalah Che Bong Nga (1360-1390). Baginda merupakan seorang raja yang berpengetahuan luas dalam peperangan. Baginda memperkuatkan pasukan tentera darat dan laut baginda dengan menambahkan bilangan askar serta memperbaiki kelengkapan tentera. Baginda dipercayai naik takhta pada tahun 1360.

Baginda mengepalai satu siri serangan ke atas daerah-daerah yang sekarang telah menjadi wilayah Vietnam. Serangan pertama adalah pada awal tahun 1361 apabila pasukan tentera baginda memusnahkan pelabuhan Dia Ly. Dalam balasan serangan baginda, Che Bong Nga telah dua kali menyerang Thanh Long, ibu negara Vietnam di lembah Sungai Merah; kali pertama pada tahun 1370 dan kali kedua pada tahun 1377. Baginda berjaya menewaskan dua pencerobohan tentera Vietnam pada tahun 1368 dan 1377 apabila pasukan tentera ini menyerang Vijaya. Walhasil baginda dibunuh oleh askar Vietnam15 dalam satu peperangan dalam tahun 1390 apabila rahsia kapal yang dinaikinya telah dibocorkan ke pihak Vietnam oleh pengiring yang mengkhianati baginda.

Che Bong Nga juga merupakan seorang raja yang sangat prihatin terhadap hal-hal keadilan sambil memberi keutamaan kepada keamanan dan kestabilan dalam kerajaannya. Hukuman yang keras dikenakan kepada lanun-lanun yang menjalankan aktiviti mereka di persisiran pantai Campa. Baginda juga mengadakan hubungan yang baik dengan China dengan menghantar gajah, harimau serta lain-lain hasil pengeluaran Campa ketika Tchou Yuan-tchang mengisytiharkan dirinya sebagai “Maharaja Ming” pada tahun 1369.

Daerah-daerah di utara Col des Nuages yang dirampas kembali oleh Che Bong Nga hanya dilepaskan kepada Vietnam oleh penggantinya iaitu Raja Jaya Simhavarman Sri Harijatti (La Ngai, dalam bahasa Vietnam) yang memerintah hingga ke tahun 140016.

Maspéro dalam bukunya yang berjudul Le Royaume de Champa (Kerajaan Campa) menggambarkan zaman pemerintahan Che Bong Nga, 1360-1390 sebagai zaman keagungan kerajaan Campa17. Sebenarnya apa yang berlaku semasa pemerintahan Che Bong Nga itu hanya masa kejayaan yang singkat dalam proses menuntut kembali wilayah-wilayah yang telah ditakluki oleh Vietnam dalam abad-abad sebelumnya. Kesilapan Che Bong Nga tidak menyelenggara wilayah yang telah berjaya dirampas kembali itu. Walau bagaimanapun selenggaraan wilayah ini tidak mungkin boleh berlaku kerana wilayah itu sangat luas jika dibandingkan dengan jumlah rakyat yang ada dalam kerajaannya. Sebaliknya P-B. Lafont18 percaya bahawa kedatangan agama Islam di India dalam abad ke-12 yang menjadi penghubung dengan Indochina menyebabkan kelemahan penguasa kerajaan berpengaruh Hindu itu. Beliau mengatakan hubungan yang sedia ada di antara peradaban Hinduisme dan Buddhisme dengan Campa yang merupakan kekuatan kerajaan tersebut tidak lagi mampu memberi pernafasan baru kepadanya. Walau bagaimanapun sebenarnya kerajaan Campa sedang mengalami kemerosotan kerana negara ini sentiasa dikalahkan dalam peperangan sejak kelahiran Vietnam yang merupakan titik tolak dalam sejarah keseluruhan Indochina.

Kejatuhan Vijaya pada tahun 1471

Pada awal abad kelima belas, semasa raja Vietnam Le Loi sedang sebuk dengan pemberontakannya untuk menuntut kemerdekaan Vietnam dari China, Campa telah berjaya mengawal kembali Amarawati yang dirampas oleh Vietnam beberapa tahun lalu. Konflik di antara dua buah negeri berjiran ini bernyala semula dalam tahun 1445 dan bertambah kerap melalui siri serangan Vietnam yang tak henti-henti. Serang muktamad berlaku pada tahun 1471 apabila raja Vietnam Le Thanh Tong, dalam tindak balas terhadap satu serangan yang dilakukan oleh raja Campa, secara hemat menyerang melalui jalan laut dan darat yang menyebabkan pasukan tentera Campa malarikan diri. Le Loi menakluki Vijaya dan meratakan ibu negara tersebut serta memancung lebih dari empat puluh ribu rakyatnya serta mengusir lebih dari tiga puluh ribu yang lain. Berikutan itu raja Vietnam tersebut menghancurkan secara sistematik apa sahaja yang berkait dengan kebudayaan Cam berpengaruh Hindu-Buddha.

Penaklukan Vijaya secara muktamad ini menandakan “tamatnya kegemelutan yang telah berlaku selama separuh millenium, di antara dua peradaban iaitu peradaban Hindu-Buddha yang diwakili oleh kerajaan Campa dan peradaban China yang diwakili oleh etnik Vietnam yang mara ke selatan dengan keras hati. Ini kerana bagi kedua dua protagonis ini pergelutan tersebut merupakan hal yang penting bagi kemandirian mereka. Dan dari tahun-tahun di penghujung abad ke sepuluh ia memperlihatkan perunduran orang Cam terhadap sejumlah besar orang Vietnam. Dengan itu tahun 1471 merupakan tarikh kemenangan secara muktamad rakyat yang bertamadun Cina ke atas masyarakat yang berpengaruh Hindu-Buddha yang sejak abad kedua Masehi memerintah di bahagian timur semenanjung Indochina. Setelah Vijaya diruntuhkan, Le Thanh Tong mendirikan sebatang batu di bukit Thach Bi untuk menandakan sempadan Dai Viet baru di selatan19. Pernah dipercayai bahawa kejatuhan Vijaya merupakan tamatnya kewujudan kerajaan Campa. Sebenarnya pada masa itu orang Vietnam mengawal hanya hingga ke genting Cu Mong.

Campa Selepas 1471

Setelah ibu kota Vijaya dimusnahkan, dua daerah di bahagian selatan iaitu Kauthara dan Panduranga masih lagi diperintah oleh orang Campa. Ini terbukti kekuasaan Bo Tri Tri  yang diiktiraf oleh maharaja Cina pada tahun 1478.

Kerajaan Campa yang diperintah oleh Bo Tri Tri dan pengganti-penggantinya mengambil “nilai-nilai dan struktur masyarakat baru yang agak asing daripada yang pernah menjadi asas bagi Campa yang berpengaruh Hindu”20. Nilai-nilai dan struktur masyarakat baru ini adalah campuran kepercayaan-kepercayaan tempatan yang berasal dari kebudayaan India dan konsep-konsep Islam yang dibawa masuk di pelabuhan-pelabuhan di Panduranga dan Kauthara.

Dalam abad ke enam belas pula berlaku pergelutan di antara dua bangsawan (seigneur) Vietnam untuk menguasai Vietnam walaupun Vietnam diperintah oleh dinasti Lê. Permusuhan di antara bangsawan Trinh yang mentadbir bahagian utara Vietnam dan bangsawan Nguyen yang telah mengadakan ibu kotanya berdekatan dengan Huê sekarang berterusan hingga penghujung abad kelapan belas apabila dinasti Lê digulingkan oleh Tay Son bersaudara. Dengan kekuasaannya di bahagian selatan, bangsawan Nguyen adalah bertanggungjawab dalam memperluaskan wilayahnya lagi ke selatan dengan merugikan Kauthara dan Panduranga21.

Pada ketika itu Campa telah lemah terhadap Vietnam. Walau bagaimanapun, Campa masih mampu menghantar satu ekspedisi militer pada tahun 1578 ke kawasan yang dikenali sekarang sebagai Phu Yen22, untuk menduduki sebuah kubu yang ditakluki oleh Nguyen sebelum ini. Sementara itu Campa telah mengadakan hubungan yang baik dengan Dunia Melayu. Raja Islam Campa, Po Klau Halu (1579-1603), telah menghantar pasukan tenteranya untuk membantu sultan Johor di Semenanjung Tanah Melayu menentang orang Portugis di Melaka.

Peperangan di antara orang Cam dan Vietnam masih berterusan. Setiap serangan Campa untuk menuntut kembali wilayahnya yang telah ditakluki Vietnam dianggap sebagai pencerobohan ke atas tanah Vietnam. Dengan itu tindak balas yang tegas dan pantas dari pihak Vietnam diambil terhadap Campa. Ini terbukti dalam satu peristiwa di mana raja Campa Po Nit (1603-13) yang menyerang Quang Nam, sebuah daerah yang dikawal oleh Nguyen. Ini menyebabkan serangan balik yang sangat pantas pada 1611 dari pemerintah Nguyen yang menakluki wilayah baru di utara Kauthara yang terbentang dari genting Cu Mong ke gunung Thach Bi dan Cape Varella. Raja Nguyen tersebut mengubahkan daerah ini untuk menjadikan propinsi barunya iaitu Tran Bien23 serta menghantar lebih kurang tiga puluh ribu orang Vietnam untuk mendudukinya.

Kekalahan ini tidak mematah semangat pemerintah-pemerintah Campa untuk mencuba mendapat kembali wilayah-wilayah yang ditakluki itu. Kali ini apabila Raja Nguyen telah ketahui rancangan raja Campa Po Nraup dalam tahun 1653 untuk menduduki kembali wilayah yang telah diserap masuk ke dalam wilayah Vietnam pada tahun 1611 itu, raja Vietnam menyerang Campa lebih dahulu, menangkap dan mengurung Po Nraup ke dalam sangkar besi di mana baginda membunuh diri24.

Raja-raja Nguyen meneruskan gerakannya ke selatan, iaitu Sungai Phan Rang, daerah Cam Ranh25 dan merampas keseluruhan daerah Kauthara yang masih belum lagi ditakluki. Kemudian daerah-daerah ini dinamakan propinsi Thai Kang dan Dien Khanh.26 Pada penghujung tahun 1653, kerajaan Campa tinggal hanya negeri Panduranga.

Dalam sejarah Nam-tien, iaitu gerakan perluasan wilayah Vietnam ke selatan, raja-rajanya turut menakluki daerah-daerah orang Khmer. Setelah Raja Nguyen menakluk wilayah orang Khmer yang kini dikenali sebagai Bien Hoa iaitu sebuah propinsi Vietnam, Campa berada dalam keadaan yang sangat rumit kerana Campa bersempadan dengan Vietnam di utara mahupun di Selatan. Keadaan ini tidak akan tahan lama kerana Raja Nguyen hanya menunggu masa untuk menyerang dan menghapuskan kesemua kawasan di antara kedua-dua sempadan tersebut. Peluang keemasan tiba pada tahun 1692 apabila raja Campa Po Saut (1659-1692) mencuba untuk menuntut kembali negeri Kauthara. Untuk membalas tindakan itu, Raja Nguyen menghantar tiga pasukan tentera untuk menentang raja Campa, merampas dan menakluk Panduranga. Raja Nguyen menukarkan nama Chiem Thanh (Campa) kepada Thuan Thanh, sebuah daerah baru Vietnam. Raja Vietnam melantik tiga orang mandarin militer yang berjaya menakluk daerah tersebut untuk memerintah wilayah itu. Sebulan kemudian raja itu menukarkan status daerah tersebut menjadi sebuah prefecture Vietnam yang diberi nama Binh Thuan serta juga melantik adik raja Campa yang telah diguling untuk menjadi gabenor yang bergelar mandarin Vietnam27. Tahun 1692 Panduranga telah menjadi lemah dan hanya menunggu masa untuk menerima nasib seperti Kauthara.

Pemerintahan tentera Nguyen secara langsung bertahan selama satu tahun sahaja. Pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1693, rakyat Panduranga memberontak menentang tentera Nguyen tetapi  menyedari tidak berjaya untuk memadam kebangkitan rakyat. Pada tahun 1694 Raja Nguyen memansuhkan penaklukannya. Raja Nguyen membentuk semula Panduranga (Binh Thuan). Kemudian baginda menabalkan gobenor Binh Thuan untuk menjadi Raja Po Saktiraydaputih (1696-1727). Raja Panduranga berjanji untuk membayar ufti tahunan kepada Raja Nguyen28.

Oleh kerana ada orang Vietnam yang menetap di situ, Raja Nguyen mencari jalan untuk berkuasa ke atas mereka untuk kepentingan ketuannannya (seigneurie). Dengan demikian baginda boleh mengawasi gerak geri raja Campa dengan mudah. Berikutan itu, pada 1697 Raja Nguyen menubuhkan satu prefecture Vietnam dalam wilayah Panduranga, prefecture yang sangat luar biasa statusnya. Sejak tahun 1702, prefecture ini ditadbir oleh orang Vietnam. Baginda memberi nama lama iaitu Binh Thuan kepada prefecture ini. Prefecture ini terdiri daripada kampung-kampung orang Vietnam yang ada di keseluruhan Panduranga. Oleh sebab itu orang Vietnam di Panduranga tidak lagi tertakluk kepada undang-undang dan pemerintah Panduranga tetapi terletak di bawah jagaan mandarin Vietnam yang dilantik bagi tujuan itu. Mandarin ini berhak untuk campur tangan dengan raja Panduranga (Campa) untuk membela sebarang kepentingan Vietnam di Panduranga seperti pertelingkahan dengan pentadbiran atau dengan orang penduduk Cam di Panduranga29. Dari waktu itu sedikit demi sedikit orang Vietnam perolehi lebih banyak lagi tanah, melalui pembelian atau perampasan harta benda yang digadai oleh orang Cam, atau pun perampasan melalui imigren baru Vietnam yang datang menetap di situ. Panduranga tidak ada lagi hak atau kekuasaan di wilayah dan rakyatnya. Ia telah menjadi satu tampung taburan perantau-perantau dari orang-orang Nguyen yang menjadi tuan tanah 30.

Hari-hari terakhir Kerajaan Campa

Satu peristiwa lagi meletus di Vietnam pada suku ketiga abad ke lapan belas. Peristiwa itu adalah kebangkitan Tay Son bersaudara menentang raja Nguyen pada 1771. Kebangkitan ini merebak dengan pantas pada mulanya di wilayah yang diperintah oleh Nguyen kerana penganiayaan pemerintah-pemerintah Nguyen terhadap rakyatnya. Kebangkitan ini menyebabkan Raja Nguyen terpaksa meninggalkan Hue, iaitu pusat pemerintahannya, untuk mencari perlindungan di lembah Sungai Mekong. Kemudian, Tay Son bersaudara berjaya menghapuskan juga raja Trinh yang berkuasa di utara wilayah Vietnam; dan akhir sekali dinasti Le juga dihapuskan.

Di lembah Sungai Mekong, keluarga Nguyen merancang strategi mereka dan berlawan kembali untuk mendapat kembali takhtanya31. Dalam peperangan sesama orang Vietnam ini, Panduranga (Campa) terperangkap di antara tentera Nguyen dan Tay Son. Kedua-dua belah pihak yang bermusush itu tidak mendapat kedudukan yang lebih baik kerana alasan utama mereka adalah mencari jalan untuk menduduki Panduranga dan dengan itu mendapat keuntungan di segi strategi terhadap musuhnya. Peperangan demi peperangan yang berulang-balik di atas bumi Panduranga ini amat merugikan Panduranga. Raja-raja Cam tidak berupaya sepanjang masa perbalahan ini yang berlangsung hingga ke tahun 1802. Dengan demikian peluang kewujudan Panduranga sangat bergantung kepada kedua-dua pihak Vietnam yang berperang itu.

Akibat dari perang saudara Vietnam ini telah menyebabkan seorang raja Cam dari Panduranga, raja Po Cei Brei terpaksa meninggalkan tanah air baginda bersama ribuan pengikutnya untuk mencari tempat perlindungan dari negeri jiran baiknya iaitu kerajaan Kampuchea. Untuk mengelakkan dari dikesan oleh musuhnya seperti tentera Vietnam, baginda serta pengikutnya mengambilah jalan yang jauh dan berliku yang mengambil masa selama dua puluh tujuh tahun sebelum menetap di Rong Damrei, propinsi Tay Ninh iaitu sebuah propinsi Kampuchea yang baru dikuasai de facto oleh orang Vietnam.32

Setelah berjaya menewaskan Tay Son bersaudara, raja Nguyen yang mengambil gelaran Gia Long menjadi maharaja Vietnam, mula membangunkan empayarnya dengan menyatukan wilayah yang sebelum ini dikuasai oleh raja-raja Trinh dan wilayah diperintah raja-raja Nguyen iaitu moyangnya. Gia Long menabal Po Sau Nun Can sebagai seorang pembesar Cam di Panduranga yang sama-sama berjuang semasa berperang melawan Tay Son, dalam memerintah Panduranga dan  hanya daerah-daerah yang tidak termasuk dalam prefecture Binh Thuan. Baginda dibenar mengadakan satu pasukan tentera kecil, untuk mengutip cukai dari rakyatnya dan hanya berkuasa ke atas penduduk yang bukan orang Vietnam dalam lengkungan negeri Panduranga (Campa) yang terbatas itu. Bagi Raja Nguyen, Po Sau Nun Can merupakan seorang gabenor yang diberi hadiah kerana hanya “perkhidmatan dari rakan pejuang yang setia dan bukan percubaan yang jati untuk membangunkan Panduranga sebagai sebuah negeri”33. Walau bagaimanapun, sepanjang pemerintahan Gia Long Panduranga dapat menikmati satu otomoni yang baik. Panduranga mendapat perlindungan seorang wijurai Vietnam yang mentadbir daerah Gia Dinh Thanh iaitu Le Van Duyet yang merupakan seorang rakan perjuangan maharaja Gia Long semasa berperang menentang Tay Son.

Keadaan berubah secara drastik selepas kematian Gia Long pada tahun 1820. Minh Menh anaknya, naik takhta dan kemudian terbabit dalam satu kancah perebutan bagi mendapatkan pengaruh ke atas Panduranga dengan wijurai Le Van Duyet. Wijurai sangat berpengaruh di istana Campa. Ini menjadikan Panduranga terpaksa membayar dengan harga yang sangat mahal kerana kedua-dua pihak membuat apa sahaja untuk membolehkan mereka menunduk Panduranga. Selepas kematian Po Sau Nun Can pada 1822, Minh Menh menghalang perlantikan seorang pembesar Cam yang sepatutnya menjadi penggantinya. Minh Menh melantik pembesar lain yang disukainya. Perlantikan ini tidak dipersetujui oleh Le Van Duyet kerana calon tersebut adalah bertentangan dengan kehendaknya. Keadaan ini menyebabkan  tercetusnya satu kebangkitan bersenjata34, di Gia Dinh Thanh dan merebak luas ke kawasan lain. Memandangkan keadaan ini, Minh Menh bertukar fikiran melantik pembesar yang sebenarnya berhak dilantik sebagai gabenor Panduranga.

Dalam masa itu Minh Menh tidak berbuat apa-apa. Minh Menh mendapat satu lagi peluang apabila raja Panduranga mangkat pada tahun 1828. Kali ini juga Minh Menh melantik seorang Cam yang dipercayainya sebagai gabenor tetapi Le Van Duyet menggantikannya dengan anak lelaki Po Sau Nun Can yang setia kepadanya. Semenjak perlantikan tersebut, gabenor baru ini mengutip cukai dan menghantar ke Gia Dinh Thanh dan bukan ke Hue. Maharaja Minh Menh tidak boleh menerima perubahan bahawa Panduranga menjadi naungan kepada Gia Dinh Thanh dan bukan kepada Istananya.

Oleh kerana Minh Menh tidak boleh berbuat apa-apa kerana wijurai Le Van Duyet mempunyai pasukan tentera yang gagah perkasa, baginda menunggu sahaja dengan sabar. Nasib kerajaan Campa hanya akan ditentukan pada kematian Le Van Duyet pada tahun 1832. Minh Menh mengambil peluang keemasan itu untuk memasukkan keseluruhan wilayah Panduranga ke dalam wilayahnya. Baginda melakukan hukuman yang amat dahsyat ke atas pegawai-pegawai yang berani membelakanginya dan sanggup memperakukan wijurai Le Van Duyet, wijurai di Gia Dinh Thanh35. Rakyat jelata dikenakan tahanan penjara (forced labor) dan sawah-sawah mereka dirampas. Berikutan itu Minh Menh menghapuskan Panduranga iaitu kerajaan Campa dari peta dunianya. Baginda membahagikan wilayah Panduranga dan rakyatnya untuk dimasukkan ke dalam daerah-daerah Vietnam iaitu daerah An Phuoc dan Hoa Da dalam probinso Binh Thuan36. Dengan demikian kerajaan Campa yang merupakan sebuah kerajaan termasyhur di semenanjung Indochina telah menamatkan riwayatnya pada hujung tahun 1832.

Kebangkitan terakhir

Akan tetapi Panduranga (Campa) tidak akan lenyap begitu sahaja. Disebabkan tindakan-tindakan yang amat bengis yang dikenakan oleh Minh Menh terhadap penyokong Le Van Duyet, rakyat Panduranga bangkit di keseluruhan wilayah selatan bermula pada tahun 1833. Kebangkitan rakyat Campa pertama diketuai oleh Katip Sumat dengan menggunakan konsep jihad dalam kefahaman ajaran Islam. Beliau mengumpulkan sebilangan besar pengikutnya; kebangkitan ini merupakan kebangkitan yang utama37 sehingga orang Vietnam dari probinsi Binh Thuan dipanggil melibatkan diri untuk membanteras kebangkitan ini38. Hasilnya Vietnam berjaya menghapuskan kebangkitan tersebut pada awal tahun 1834.

Pada tahun 1834-1835 kebangkitan kedua telah berlaku. Jika kebangkitan pertama menggunakan konsep jihad, kebangkitan kedua pula merupakan “perang pembebasan”. Ketuanya adalah Ja Thak Va. Beliau menggunakan konsep “nasionalisme” untuk mengumpulkan rakyat Campa dari dataran-dataran tinggi serta tanah rendah untuk membebaskan negeri Campa dari penaklukan Vietnam. Struktur organisasi Ja Thak Va ini merupakan sebuah “negara” di mana di atas sekali adalah raja yang dilantik oleh majlis pembesar-pembesar Cam. Raja yang baru dilantik oleh organisasi tersebut adalah seorang pewaris takhta Campa. Baginda bertanggungjawab sebagai panglima tertinggi. Setelah Ja Thak Va mengumpulkan orang-orang dari dataran tinggi serta orang Cam, Ja Thak Va melancarkan beberapa serangan terhadap pasukan tentera Minh Menh. Beliau berjaya membebaskan hampir keseluruhan wilayah Panduranga. Istana Hue cuba menggoda “orang nasionalis” supaya meletakkan senjata tetapi tidak berjaya. Akhirnya pada pertengahan 1835 Ja Thak Va terbunuh39 dan kemudian diikuti oleh raja.

Kematian Ja Thak Va dan raja tidaklah menyebabkan organisasinya runtuh secara serta merta. Setelah kematian mereka Minh Menh mula mengambil tindakan yang amat ganas untuk menghukum pengikut mereka. Pengikut-pengikut ini diburu, tidak diberi makan, dibuang daerah dan dibunuh40. Harta benda mereka dirampas; kampung-kampung mereka dibakar, kawasan perkuburan dihancurkan. Bagi tindakan jangka panjang, untuk memastikan empayarnya tidak lagi diganggu oleh penentang dari Campa, maharaja Vietnam menyelerakkan orang Cam serta orang montagnards dalam kampung-kampung orang Vietnam. Dengan perbuatan itu, maharaja Vietnam tersebut telah “memusnahkan kerangka kebudayaan dan masyarakat Cam yang telah berakar umbi di bumi nenek moyang mereka iaitu Campa”41 sejak hampir dua ribu tahun dahulu.

Dengan demikian, sejarah Campa dibentuk mengikut kehendak maharaja-maharaja Vietnam dalam rangka memperluaskan wilayah mereka ke selatan. Setiap kali Vietnam menang dalam sesuatu peperangan terhadap Campa, istana Vietnam dapat mengukuhkan kekuasaannya. Bumi ini dipenuhi dengan tentera, yang bergiat sebagai petani yang bertujuan mempertahankan negerinya dari cubaan untuk diambil balik oleh tuan lamanya iaitu rakyat Campa. Selain daripada tentera-petani tersebut, istana Vietnam juga menghantar orang yang dihukum buang negeri, petualang-petualang serta papa kedana supaya mendiami kawasan yang baru ditakluki itu.

Kelahiran Vietnam pada abad ke sepuluh merupakan satu titik tolak yang amat besar bukan hanya bagi kerajaan Campa tetapi juga bagi keseluruhan Indochina. Orang Vietnam mengambil masa sembilan abad untuk menghapus kerajaan Campa yang berpengaruh Hindu-Buddha yang amat masyhur pada seketika dahulu.

Campa dan Masyarakat Cam selepas 1835

Selepas kedua-dua kebangkitan Katip Sumat dan Ja Thak Va, rakyat Campa yang tinggal di dataran tinggi mahupun di tanah rendah, hidup hanya dengan belas ihsan dari maharaja-maharaja Vietnam. Setelah kemangkatan Minh Menh, pengganti-penggantinya meneruskan dasar mengintegrasikan rakyat Campa ke dalam norma-norma sosio-budaya dan politik Vietnam. Ini berterusan sehingga kedatangan Perancis di Indochina pada pertengahan abad ke-19. Sejak itu orang Cam berada secara langsung di bawah pentadbiran Perancis. Mereka menikmati keamanan sehingga Perancis dihalau dari Indochina pada 1954. Pada ketika itu, persidangan di Geneva telah memutuskan bahawa Vietnam dibahagikan kepada dua wilayah iaitu Vietnam Utara yang menerima fahaman komunis, dan Vietnam Selatan disokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sejak Ngo Dinh Diem menjadi presiden Republik Vietnam Selatan pada 1955, beliau meneruskan apa yang diamalkan oleh maharaja-maharajanya sebelum ini. Beliau membuka perkampungan-perkampungan baru di dataran tinggi bagi penduduk-penduduk Vietnam yang melarikan diri dari rejim komunis di Vietnam Utara. Keadaan seperti ini pernah berlaku semasa pemerintahan Minh Menh dahulu. Penempatan orang Vietnam yang baru datang dari utara ini mengwujudkan perkampungan serta kampung-kampung kecil orang Vietnam di seluruh bumi montagnards (the hill tribes’ lands). Ada di kalangan mereka terpaksa meninggalkan bumi yang tercinta kerana kerajaan tidak mampu menampung penempatan imigran yang terlalu ramai bilangannya.

Ada di antara yang cuba mempertahankan hak mereka telah dituduh sebagai komunis maka ditangkap dan dipenjarakan. Yang lain ditempatkan dalam kampung-kampung ‘strategik’ di mana cara hidup dan adat resam mereka dimusnahkan secara sistematik dan tertakluk kepada proses memvietnamkan mereka. Dalam situasi demikian, pada tahun 1956 sebuah organisasi baru telah dibentuk iaitu BAJARAKA iaitu gabungan suku-suku Bahanar, Jarai, Rhade dan Kaho. Tujuan penubuhan ini adalah untuk menuntut hak-hak ketenteraman di bumi asal mereka. Walau bagaimanapun gerakan ini tidak dapat bertahan lama. Berikutnya, Ngo Dinh Diem telah menahan dan memenjarakan ramai  orang termasuk pemimpin-pemimpin mereka.

Hanya setelah Ngo Dinh Diem dibunuh pada tahun 1963 baru mereka yang dipenjara itu dibebaskan. Walau bagaimanapun mereka tidak putus asa. Pada tahun berikutnya, mereka bergabung dengan pegawai-pegawai tinggi dalam tentera Kampuchea dan membentuk satu gerakan yang lebih besar dan luas di mana terdiri daripada bekas ahli BAJARAKA serta montagnards lain, orang–orang Cam dari Kampuchea dan Vietnam Selatan. Gerakan baru ini diberi nama Front de Libération du Champa (Barisan Pembebasan Campa). Barisan pembebasan ini ialah ahli kumpulan yang lebih besar termasuk kumpulan orang Khmer Krom iaitu orang Khmer di Vietnam Selatan. Gerakan ini dinamakan Front unifié de la lutte des races opprimées (FULRO, Barisan Bersatu Perjuangan Ras-Ras Yang Tertindas). Tujuan barisan ini adalah untuk menuntut melalui laluan politik dan ketenteraan otonomi Kerajaan Campa dan daerah-daerah yang pada ketika dahulu kepunyaan orang Khmer, serta hak mereka di atas bumi nenek moyang mereka.42

Tindakan ketenteraan pertama berlaku pada bulan September 1964. Mereka berjaya mengambil kuasa di beberapa buah propinsi di bahagian tengah Vietnam serta siaran radio Ban Methuot. Melalui stesyen ini mereka memancarkan rancangan-rancangan mereka. Mereka mengisytiharkan pembebasan Campa dan Kampuchea Krom, bumi yang pada zaman dahulu kepunyaan orang Khmer. Akan tetapi campur tangan politik Amerika memaksa Barisan Pembebasan Campa tersebut berunding dengan pihak Saigon. Hasil rundingan itu adalah mereka menyerah kembali wilayah yang dikuasainya kepada pentadbiran Saigon. Ini tamatnya apa yang FULRO boleh lakukan kerana perang Vietnam menentang komunis makin hebat dan kemudian pada awal 1970an telah merebak ke Kampuchea. Pengambilan kuasa oleh rejim-rejim komunis di Indochina pada tahun 1975 telah menamatkan satu lagi halaman perjuangan ras-ras tertindas, termasuk rakyat Campa dalam membebaskan bumi mereka.

Kerajaan Campa tinggal hanya sejumlah kecil peninggalan arkeologi serta dua masyarakat yang boleh tafsirkan sebagai masyarakat yang tinggal di dataran tinggi dan kawasan pergunungan (montagnards) serta masyarakat yang mendiami tanah rendah di bahagian tengah Vietnam. Sepanjang sejarah Nam-tien, iaitu sejarah perluasan wilayah Vietnam ke Selatan, sebilangan orang Cam telah meninggalkan kerajaan yang tercinta untuk mencari perlindungan di beberapa wilayah di Asia Tenggara. Sebilangan besar mereka menetap di Kampuchea. Setelah pengambil alih kuasa oleh rejim komunis di Indochina, mereka terpaksa sekali lagi berhijrah ke wilayah lain yang lebih jauh seperti Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada and Australia. Akhirnya orang Cam ditemui di seluruh dunia.

Kesimpulan

Kerajaan Campa yang merupakan sebuah kerajaan pada awal pengenaruh Hindu-Buddha dan kemudiannya Islam terpaksa berhadapan dengan sebuah kerajaan baru yang hanya wujud pada abad ke-10 di utara sempadannya, iaitu kerajaan Dai Viet (Vietnam). Kerajaan Vietnam ini memerima secara total pengaruh Cina mula-mula secara paksa dan kemudian secara sukarela selama lebih daripada 1000 tahun.

Kedua-dua kumpulan menusia ini dari rumpun dan tamadun yang berbeza bertembung. Dari satu pihak Vietnam menganggap diri mereka sebagai kumpulan manusia yang bertamadun, melihat orang lain sebagai tidak bertamadun. Mereka percaya mereka harus bertindak untuk mempertmadunkan yang ‘tidak bertamadun’ itu. Tindakan ini amat merugikan Campa kerana satu-satunya bilangan rakyat Vietnam itu adalah, menurut sumber Cina, lebih dari 10 kali ganda bilingan rakyat Campa pada abad ke-11.

Kita telah memahami mengapa rakyat Campa terpaksa menderita dalam hubugan selama seributahn dengan Vietnam, hubungan yang merugikan Campa.  Kita tidak boleh salahkan rakyat Campa sahaja ataupun kedua-dua pihak sekali. Tanpa keraguan lagi setiap tindakan yang dikenakan ke atas Campa, Vietnam sentiasa mencari helah untuk membela diri mereka: tindakan mereka hanya untuk mematahkan «kegiatan rompakan» orang Campa ataupun untuk mempertahankan diri dari diancam oleh Campa. Alasan ini tidak boleh pakai sama sekali. Satu lagi alasan yang disyurkan oleh sebilangan sejarawan Vietnam juga tidak boleh diterima adalah Nam-tien bukan satu program kemaraan orang Viet ke Selatan dengan terancang tetapi kerana rakyat Viet yang ramai perlu mencari ruang untuk menempatkan diri, yang boleh diibaratkan seperti air dalam cawan yang sudah penuh akan mengalir keluar. Pengaliran keluar dengan sengaja orang Viet ini merupakan satu fenomina yang merupakan satu penduduan bumi yang bukan tanah air mereka. Sebaliknya sejarah telah buktikan bahawa setiap kali Vietnam menyerang Campa, ia diikuti dengan pendudukan orang Viet di daerah baru yang ditakluki.

Sebaliknya serangan Campa terhadap Vietnam hanya untuk mempertahankan diri dan juga untuk menuntuk wilayah yang telah diduduki Vietnam. Sebagai contoh adalah serangan Po Binasuor (nama Vietnam: Che Bong Nga, 1360-1390) dapat kembalikan marwah Campa buat satu ketika dengan berjaya menyerang Thang Long (Hanoi) sebanyak 3 kali. Akan tetapi 80 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1471, Le Thanh Tong telah merancangkan tindakan untuk menghapus sama sekali Campa. Dan mereka berjaya menghancurkan Vijaya, ibu kota Campa.

Tidakan sekerasnya dilakukan secara berterusan terhadap orang Campa yang makin lemah. Status Panduranga hanya sebuah daerah Vietnam di mana pemerintah-pemerintahnya tidak berkuasa. Abad ke-20 juga memperlihatkan penentangan-penentangan terhadap Vietnam tidak berjaya melahirkan semula identiti kenegaraannya. Warisan kebanggaan kerajaan Campa satu ketika dahulu telah menjadi sebahagian dari warisan Vietnam. «Pax Vietnamica pada mulanya dalam bentuk perampasan harta benda dan kebebasan mereka yang dikalahkan, dan diikuti dengan perampasan identiti mereka.”

Your browser may not support display of this image.

Bangunan sebelah Candi (Panduranga)

(H. Parmentier)

RUJUKAN

Manuskrip Cam

CAM 30(17)

CHCPI-CAM 1

CM 24(5)

CM 29 (1)

Babad-babad Vietnam

Dai Nam Nhat Thong Chi (DNNTC)

    Jil. 10-11 (Tinh Phu Yen, Khanh Hoa). Saigon. 1964.

    Dai Nam Thuc Luc Chinh Bien (DNTLCB). Hanoi, jil. I (1962), jil. XVI (1966).

    Hoang Le Nhat Thong Chi (HLNTC). Traduit et annote en francais par Phan Thanh Thuy, Paris (Public. de 1’EFEO) 1985.

    Lich Trieu Hien Chuong Loai Chi (LTHCLC). Jil. 1: Du Dia Chi, Saigon 1972.

    Minh Menh Chinh Yeu (MMCY). Jil. 6, Saigon. 1974.

    Phu Bien Tap Luc (PBTL). Jil. 1, Saigon. 1972.

Buku dan Makalah

    Chappoullie, H. 1943 Aux origines d’une église. Rome et les missions d’Indochine au XVIIe siecle. Paris.

    Coedès, G. 1939. “La plus ancienne inscription en langue chame”. New Indian Antiquary. Extrait Series I. hal. 46-49.

    Cœdès, G. 1964. Inscriptions du Cambodge. Jil. 7. Paris: EFEO.

    Danny Wong Tze-Ken. 2007. The Nyuen and Champa during the 17-18th century. Champaka Monograph No. 5. Paris-San Jose: IOC. 192 p.

    Finot, L. 1902. “Notes d’epigraphie I. Deux inscriptions de Bhadravarman Ier, roi du Champa”. BEFEO II, hal. 185-191.

    Finot, L. 1903. “Notes d’epigraphie V. Panduranga”. BEFEO III, hal. 630-654.

    Finot, L. 1928. Compte-rendu “Le Royaume de Champa”. BEFEO XXVIII, hal. 285-292.

    Gay, B. 1988. “Vue nouvelle sur la composition ethnique du Campa”. Actes du séminaire sur le Campa. Paris: CHCPI. hal. 49-58.

    Jacq-Hergoualc’h, Michel. 1991. ‘L’armée du Campa au début du XIIIe siècle’,  Le Campa et le Monde Malais. Paris: CHCPI. hal. 27–46.

    Jaspan, M.A. 1970. “Recent developments among the Cham of Indo-China”. Asian Affaires. hal. 170-176.

    Lafont, P-B. 1988. “Apercu sur les relations entre le Campa et 1’Asie du Sud-Est”. Actes du seminaire sur le Campa organise a I’Universite de Copenhague. Paris: CHCPI. hal. 71-80.

    Lafont, P-B. 1991. “Les grandes dates de l’histoire du Campa”. Le Campa et le Monde malais. Paris: CHCPI. hal. 7-23.

    Ma Touan Lin. 1883. Ethnographic des peuples étrangers à la Chine. Ouvrage composé au XIIIe siècle de notre ère. First translated from Chinese by le Marquis d’Hervey de Saint Denys. Paris.

    Maspéro, G. 1928. Le Royaume de Champa. Paris: Van Oest.

    Mohamad Zain Bin Musa. 1990, Contributions à l’histoire du Panduranga (Campa) (la fuite de Po ci bri), thèse de l’Ecole Pratique des Hautes Études, IVème Section à la Sorbonne, Paris.

    Mohamad Zain Bin Musa. 1992, “Penghijrahan Po ci bri mengikut manuskrip Cam”, Jurnal Filologi Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. N° 1, hal.136-159.

    Mohamad Zain Bin Musa. 1992. “Campa: Runtuhnya sebuah kerajaan Melayu” in JEBAT nº 20. Bangi: Jabatan Sejarah-UKM. hal. 3-18.

    Nguyen The Anh. 1989. “Le Nam Tien dans les textes vietnamiens”. Les frontières du Vietnam. Histoire de frontières de la Péninsule Indochinoise. Paris: L’Harmattan. hal. 121-127.

    Po Dharma 1989. “Peranan Kelantan dalam pergerakan Islam du Campa 1833-1834” in Warisan Kelantan no. VIII, hal. 79-88. Kota Baru: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

    Po Dharma. 1978. Chroniques du  Panduranga. Thèse  de  l’EPHE  IV° section. Paris.

    Po Dharma. 1987. Le Panduranga (Campa). Ses rapports avec le Vietnam (1802-1835) . Publication de l’EFEO (deux volumes).

    Po Dharma. 1989. “Les frontières du Campa (Dernier état des recherches)” in Les frontières du Vietnam. Histoire de frontières de la Péninsule Indochinoise. Paris: L’Harmattan. hal. 128–35.

    Quach-Langlet, T. 1988. “Le cadre historique de 1’ancien Campa”. Actes du seminaire sur le Campa organise a 1’Universite de Copenhague. Paris: CHCPI. hal. 27-47.

    Stein, R. 1947. “Le Lin Yi. Sa localisation, sa contribution a la formation du Campa et ses liens avec la Chine”. Han-Hiue, Jil. II, no. 1-3. Peking. hal. 1-135.

Tissanier, J. 1663. Relation de voyage du Pere J. Tissanier pendant les annees 1658, 1659 et 1660. Paris.

1 Komen

  1. nabilla

    Terima kasih atas perkongsian artikel ini..

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *