Kemaskini terbaru: July 5, 2009

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pengislaman Sains sebagai Rencana Penyelidikan Jangka Panjang: Ke Arah Mengamalaksanakan Sains Islam Jika Anda Benar-Benar Mahu

1. Pendahuluan

‘Sains Islam’ boleh difahami sebagai disiplin ilmiah yang mengkaji perumusan semula gagasan ‘PengIslaman Sains’ sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan melaksanakan nilai-nilai etika (tataadab) dan kognitif (tatailmu) Islam dalam semua kegiatan sains dan teknologi kini. Pengertian ini akan menjadikan “Sains Islam” sebagai satu paradigma dasar yang baru, atau tatakaedah penyelidikan asas yang baru, bagi semua kegiatan sains kini agar terbina secara beransur-ansur sains dan teknologi arus perdana yang menzahirkan Pandangan Alam Islam ke dalam alam nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, khasnya, dan lebih besar lagi, di Indonesia, yang berpegang teguh pada ajaran Islam, perjuangan ilmiah untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai ‘sains menurut acuan sendiri’ sudah pasti mengandaikan gagasan PengIslaman Sains sebagai kerangka kerja konseptual (kerangka faham) asasnya. Dari sudut pandang ini, gagasan ‘sains menurut acuan sendiri’ adalah senada dengan gagasan ‘PengIslaman Sains’ dengan ertikata bahawa gagasan pertama terpandu oleh, dan terserap ke dalam, gagasan kedua.

2. tiga pengertian sains islam

Dalam makalah serba ringkas ini, saya akan kupas sedikit sebanyak pengertian di sebalik istilah ‘Sains Islam’. Istilah ini merujuk kepada:

(i) Disiplin ilmiah yang mengkaji sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam serta hubungkaitnya dengan awal perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Barat, khasnya dari segi hasil tajribi dan empiris. Pengertian ini menjadikan ‘Sains Islam’ sebagai sebahagian daripada disiplin Sejarah Sains yang lebih luas. Di universiti-universiti Barat sudah lama wujud jabatan-jabatan Sejarah Sains (History of Science Department) yang salah satu bidang penyelidikannya ialah Sains Islam, atau Islamic Science dengan pengertian kesejarahan ini. Antara contoh karya ilmiah dalam bidang ini ialah: Daniel Martin Varisco, Medieval Agriculture and Islamic Science: The Almanac of a Yemeni Sultan (Seattle: University of Washington Press, 1994), yang mengkaji sudut-sudut falak, taqwim, pemakanan, perubatan, pertanian, bahkan pelayaran, dalam budaya ilmu dan kerja pertanian di Yaman pada abad ke-13, 14 dan 15 Masihi, iaitu sekitar abad ke-7, 8 dan 9 Hijri; dan karya Donald R. Hill, Islamic Science and Engineering (Edinburgh: Edinburgh University Press, 1993), yang mengkaji budaya ilmu dan budaya pertukangan dalam bidang-bidang seperti ilmu hisab, falak, fizik (ilmu tabi‘ah), kimia, kejuruteraan jentera (machinery), teknologi halus (fine technology), kejuruteraan awam (jambatan, empangan), teknologi pertanian (terusan perairan, pembekalan air, pengukuran air), pengukuran tanah (surveying) dan perlombongan, termasuk kajian pengaruh pencapaian sains dan kejuruteraan Islam ke atas pengembangan perindustrian dalam tamadun Barat. Setahu saya, belum wujud di mana-mana IPTA di Malaysia jabatan akademik yang khusus tertumpu kepada penyelidikan ilmiah bermutu tinggi terhadap warisan budaya ilmu dan amalan sains, pertukangan dan teknologi Melayu-Islam. Yang ada cuma kajian serpihan berdasarkan sumber-sumber kedua, dan kalau ada pun kajian asli namun masih terbatas ruang dan mutu penyelidikannya. Laman jejaring yang berguna demi menyelami pengertian Sains Islam dari sudut hasil tajribinya ialah www.muslimheritage.com dan www.1001inventions.com.

(ii) Disiplin ilmiah dalam bidang Falsafah Sains dan Falsafah Islam yang cuba merumuskan falsafah dan tatakaedah sains yang telah atau yang semestinya mengawalpandukan kegiatan sains dalam tamadun Islam. Pengertian ini menjadikan ‘Sains Islam’ sebagai salah satu cabang bidang Falsafah Sains dan Falsafah secara umum. Di Barat sudah lama wujud jabatan-jabatan Sejarah dan Falsafah Sains, atau jabatan Sejarah atau jabatan Falsafah, ataupun Institut Ketimuran (Oriental Insitute) yang mengkaji falsafah sains Islam sebagai salah satu cabang apa yang digelar sejarah pemikiran (history of thought). Kajian mereka amat bermutu bersandarkan sumber asal dalam bentuk manuskrip (makhtutat) yang diterjemahkan berserta nota-nota ulasan ilmiah panjang lebar. Dalam konteks Malaysia, ini sepatutnya kerja Jabatan Pengajian Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, ATMA, Gapena dan sebagainya dengan memberikan tumpuan sewajarnya kepada warisan persuratan Melayu yang bersifat aqliyyah, kefalsafahan dan kemantiqan, tanpa terlalu lega, syok sendiri dengan persuratan hikayat dan sastera semata-mata, apatah lagi bila diperhatikan bahawa persuratan Melayu moden seperti sajak bebas, drama dan novel lebih berjatidirikan citarasa barat moden sekular daripada jatidiri Melayu-Islam, hinggakan istilah “moden” pun difahami secara kepakturutan menurut neraca pengalaman budaya barat bukan neraca pengalaman budaya Melayu-Islam! Antara contoh karya terbaik dalam bidang Sains Islam dalam pengertian kefalsafahan ini oleh tokoh sarjana Islam ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri; Hujjat al-Siddiq dan The Oldest Known Malay Manuscript; Osman Bakar, Classification of Knowledge in Islam; Alnoor Dhanani, The Physical Theory of Kalam; dan Fazlur Rahman, Avicenna’s De Anima (Ilmu Jiwa menurut ibn Sina). Adapun oleh tokoh barat dalam bidang ini, contohnya: Harry Wolfson, The Philosophy of the Kalam; William Craig, The Kalam Cosmological Argument; Nicholas Rescher, The Development of Arabic Logic; Franz Rosenthal, Knowledge Triumphant dan sebagainya. Laman jejaring berkaitan ialah www.muslimphilosophy.org dan www.asasi.my.

Daripada pengertian Sains Islam dari segi kesejarahan dan kefalsafahan seperti yang terhurai secara ringkas di atas, dapat difahami bahawa orang yang ingin menulis mengenai falsafah dan tatakaedah sains Islam dengan baik dan bertanggungjawab perlu juga tahu menahu tentang sejarah pemikiran kefalsafahan dalam Islam daripada sumber bahasa aslinya (sumber Arab atau terjemahan langsung daripada sumber Arab, atau sumber Melayu-Jawi). Barulah kita akan dapat merumuskan falsafah dan tatakaedah sains dan teknologi Islam yang sekaligus terakarumbi dalam budaya ilmu Islam serta terkaithubung dengan permasalahan falsafah dan tatakaedah sains semasa. Namun, demi menghidupkan semula Sains Islam sebagai kerangka faham dan kerangka kerja bagi semua bidang sains semasa, kita perlu merumuskan pengertian yang ketiga bagi Sains Islam yang menyepadukan antara pengertian pertama dan kedua secara mampu berdayacipta membina sains baru menurut acuan tatanilai Islam, maka pengertian ketiga adalah seperti berikut:

(iii) Sains Islam sebagai disiplin ilmiah yang merumuskan rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan mengamalaksanakan nilai-nilai adab dan ilmu Islam (tatanilai ilmu dan tatanilai adab) ke dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini. Pengertian ini menjadikan ‘Sains Islam” sebagai satu kerangka/paradigma baru, atau tatakaedah penyelidikan baru, bagi semua kegiatan sains masakini agar terbina sains dan teknologi yang menzahirkan Pandangan Alam Islam (Islamic Worldview) ke dalam alam nyata. Dalam pengertian ini, Pandangalam Islam (PI) boleh dirumuskan semula sebagai Faham Induk (FI) yang menerasi pengkaedahan dan penggubalan teori dalam mana-mana kegiatan Sains Islam. Ini bermakna teori-teori sains bersifat sebagai Faham Pelindung (FL), Faham Pemeta (FP) dan Faham Penghurai (FH) yang berperanan memberikan isi tajribi (empirical content) kepada faham induk (FI) itu. Menurut pengertian ini, maka gagasan Sains Islam boleh dirumuskan semula sebagai “rencana penyelidikan aqli dan tajribi terhadap pelbagai segi kejadian alam tabii yang merupakan penjelmaan dayacipta ketuhanan ke dalam alam inderawi, agar dengan penyelidikan sedemikian keyakinan kita terhadap kekuasaan dan kebijaksanaan Pencipta tertunjangkan pengamatan dan pengalaman teresah.”2 Tapi pengertian ketiga ini menghendaki penguasaan mendalam terhadap pengertian pertama dan kedua.

3. Faham Induk (FI), Faham Pelindung (FL), Faham Pemeta (FP) & Faham Penghurai (FH)

Yang dimaksudkan Faham Pelindung (FL) ialah hal-hal yang berkaitan dengan kewajipan ahli sains Muslim untuk membina teori sains baru bagi menyanggah lalu menggantikan mana-mana teori sains barat moden yang mempersoalkan mana-mana bahagian dalam Faham Induk (FI) Sains Islam. Contohnya, teori evolusi Darwin mempersoalkan keterlibatan Tuhan dalam penciptaan dan keberlangsungan alam kehidupan, sedangkan prinsip keterlibatan Tuhan termasuk dalam Pandangalam Islam kerana jelas termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Teori Darwin berfahamindukkan andaian metafizik bahawa alam semesta ini terjadi secara kebetulan tanpa pencipta, serta cuba merujuk kepada dalil-dalil kejadian alam tabii bagi menyokong teorinya. Sedangkan andaian metafizik dalam Faham Induk (FI) Sains Islam ialah bahawasanya alam ini dicipta oleh Pencipta yang senantiasa terlibat dalam alam penciptaannya, maka kita perlu pula membangunkan teori pengganti (teori alternatif) yang turut merujuk kepada dalil-dalil kejadian alam tabii bagi menyokong lalu melindungi kepercayaan kita kepada hakikat kewujudan Pencipta agar tidak tergugat oleh faham evolusi.

Tetapi pendekatan Faham Pelindung (FL) ini agak pasif dan reaktif, semacam orang terhantuk baru ternganga, maka kurang nilai aqlinya, tapi amat perlu juga, khasnya apabila FI kita diserang bertubi-tubi oleh aturcara (sistem) ilmu barat moden sekular seperti yang berlaku masakini. Tetapi apa yang timbul sebagai reaktif pada peringkat awalnya boleh juga menjadi proaktif pada peringkat kemudiannya, hal mana membawa kita kepada Faham Pemeta (FP).

Yang dimaksudkan dengan Faham Pemeta (FP) ialah usaha ilmiah kita untuk membina teori-teori tertentu yang mampu membantu kita menemui serta menghuraikan segi-segi tertentu dalam kejadian alam tabii yang mengesahkan secara tajribi segi-segi tertentu dalam FI kita. Jadi, peranan FP ialah sebagai faham atau teori pengantara untuk “memetakan” FI ke atas alam kejadian tabii yang dicerapi oleh inderawi.

Contohnya, dalam FI kita, alam ini dicipta oleh Pencipta MahaKuasa, Maha Bijaksana, maka kalau benar begitu dakwaan FI kita, maka apakah dia ciri-ciri tertentu dalam kejadian alam tabii yang boleh diungkapkan sebagai dalil tajribi (empirical evidence) bagi mengesahkan dakwaan FI kita? Jadi, pembinaan FP yang sesuai akan membantu kita mengenalpasti ciri-ciri tersebut secara tersusunatur lagi terperinci faham serta faktanya. Maka teori keatoman/kejawharan alam (atomism)3 dan teori kerekaciptaan pintar (intelligent design)4 adalah di antara teori-teori mengenai hakikat alam tabii yang dibina para mutakallim5 silam demi menyokong lalu menghuraikan lagi FI mereka tentang kewujudan Tuhan Maha Esa lagi Maha Mencipta.

Adapun yang dimaksudkan dengan Faham Penghurai (FH), maka ini merujuk kepada usaha ilmiah memberikan isikandungan tajribi/empiris kepada pelbagai segi FI kita, seperti FI mengenai kewujudan ruh/nyawa/nafsu/aqal sebagai jatidiri insan serta teras kepada kesedaran dirinya sebagai makhluk yang berdayacipta.6 Dalam soal ini para ulama silam seperti Ibn Sina, al-Ghazali dan Fakhr al-Din al-Razi telah membina teori kejiwaan Islam yang bersifat falsafi-tajribi demi menghuraikan lagi makna sebenar yang terkandung dalam istilah-istilah kejiwaan dalam al-Qur’an seperti ‘aql, fu’ad, qalb, ruh dan nafs. Persoalan teori kejiwaan yang betul ini berkesan besar terhadap pembinaan semula teori tatailmu (epistemologi)7 dan teori pendidikan (tatadidik) Islam masakini.

Contoh lagi ialah FI kita tentang madu sebagai ubat, seperti yang tersebut dalam al-Qur’an. Maka FH akan membina teori dan tatakaedah tertentu bagi membantu penyelidikan demi mengenalpasti lalu memperincikan sifat-sifat kemujaraban perubatan tertentu dalam pelbagai jenis madu (madu hutan, madu ladang, madu bela, madu bunga raya, madu bunga melati, dll). Contoh lagi, FI kita menyatakan bahawa sianghari untuk bekerja, malam hari untuk berehat (seperti yang tersebut juga dalam al-Qur’an), maka dari ini kita sepatutnya boleh membina teori perubatan tabii yang berteraskan pendekatan “rawatan tidur” (sleep therapy) umpamanya yang mampu diamalkan oleh semua orang tanpa membazir wang beratus ringgit sebulan beli pelbagai jenis pil tidur kimia ciptaan barat-karat dengan pelbagai kesan sampingannya yang teruk-buruk!

Contoh lagi, FI kita menyatakan bahawa tiada wujud perkara sia-sia dalam alam tabii (rabbanaa maa khalaqta haadha baatilan), maka ini bermakna bahawasanya kita mampu membina kilang, industri, bangunan, pertanian dan sebagainya berdasarkan teori dan tatakaedah sifar-sisa yang seterusnya membawa kepada penakrifan semula faham “kecekapan” (efficiency), “kebertanggungjawaban” (responsibility) dan “keuntungan” (profitability) yang lebih mesra alam lagi mesra insan serta menyeluruh (holistic) sifatnya, lalu dengan itu terbina apa yang boleh digelar sebagai Teknologi Mesria (“mesria” singkatan daripada ungkapan “mesra insan dan mesra alam”).8

Contoh lagi, kaedah pertanian kimia arus perdana yang ditiru secara buta-tuli daripada universiti Barat yang meracuni tanah, air, haiwan dan petani seharusnya diganti dengan kaedah pertanian organik seperti penggunaan baja organik, pempelbagaian tanaman secara bergilir, bioracun perusak, pemuliharaan kawasan-kawasan hutan liar dalam sistem perladangan demi menghalang pembiakan seranngga perosak secara tak terkawal, pengenalan tatakaedah tanitetap (permatani) dan pertanian biointensif atau biogiat, pengitaran semula sisa pertanian seperti jerami padi dan sebagainya menjadi input pertanian semula seperti baja atau dijual sebagai bahan bagi membuat bioplastik atau biodiesel, atau membuat kertas tak bersumberkan pokok. Di samping meneliti semula tatakaedah pertanian silam yang terbukti sungguh berjaya dalam tamadun Islam, termasuk tamadun Melayu-Islam, ahli sains pertanian Muslim seharusnya mampu bersifat kritis dan berdayacipta demi mengenalpasti dan memilih tatakaedah pertanian Barat mahupun bukan Barat yang serasi dengan tatanilai rahmatan lil-‘alamin ini serta menyesuaikan tatakaedah itu pada konteks pertanian tempatan, lalu menyepadukannya ke dalam tatakeaedah pertaniaan Islam umumnya.

Contoh lain lagi, dalam bidang penyelidikan perubatan arus perdana yang ditiru secara buta tuli dari Barat tanpa usul periksa, tatakaedah viviseksi (ujikaji secara hidup-hidup ke atas pelbagai jenis haiwan makmal termasuk kera, monyet, tikus, anjing, kucing, ayam, burung, arnab demi menemui “ubat” baru), perlu dikaji semula dan diganti dengan kaedah lain yang serasi dengan tatanilai rahmah, lebih-lebih lagi apabila terbukti dari segi analisis tatailmu dan tatakaedah sains, amalan viviseksi ini tiada memiliki apa-apa nilai ilmu/kognitif, maka tiada nilai perubatan langsung, kerana andaian tersirat akan wujudnya kesamaan atau keserupaan fisiologi antara insan dan haiwan memang terbukti palsu tak bersandarkan penelitian empiris; dan hal ini diakui sendiri oleh tokoh-tokoh pengamal viviseksi yang sudah “bertaubat” seperti Dr. Pietro Croce dan Dr. Ray Greek.

4. Kesimpulan

Saya, dengan kerjasama tokoh-tokoh ahli sains Islam tertentu dalam Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), boleh berikan ratusan contoh lagi dengan pemerian yang jauh lebih terperinci agar dapat diamal-laksanakan secara berkesan oleh semua ahli sains dan teknologi Muslim dalam mana-mana bidang sains dan teknologi pun, termasuk senibina, kejuruteraan, perubatan, perindustrian, fizik, matematik, kajihayat, kimia, bioteknologi dan sebagainya, dengan syarat mereka benar-benar ikhlas, yakin dan bersungguh-sungguh mahu jayakan gagasan Pengislaman Sains dan Teknologi dari segi fahaman dan amalan sekaligus. Sehubungan ini, pihak ASASI akan anjurkan siri bengkel intensif yang akan bermula bulan Februari tahun depan demi melatih ahli-ahli sains dan teknologi agar mengamal-laksanakan Sains Islam menurut pendekatan falsafi-amali yang tersebut di atas. Penyertaan anda semua dialu-alukan, tapi tempat terhad!

Pada pendapat saya, ketiga-tiga pengertian Sains Islam ini (pengertian i, ii, dan iii di atas) seharusnya disepadukan dan dikuasai fahamnya oleh para pendokong gagasan Pengislaman Sains, khasnya ahli-ahli ASASI, dan hal ini memerlukan perencanaan kursus-kursus tersusunatur yang menjurus kepada bidang-bidang ikhtisas. Dari sejarah kita ambil pengajaran, iktibar dan pedoman daripada kejayaan dan kegagalan pujangga dahulu-kala demi dijadikan warisan bernilai buat pembina yakindiri dan pencetus ilham baru. Dari falsafah kita menyerasikan antara sifat ingin tahu dengan sifat ingin bahagia di dunia dan akhirat agar sains dan teknologi yang dicetuskan kita menjadi faktor membina bukan faktor meruntuh dalam tamadun Melayu-Islam kita. Dari tatakaedah penyelidikan, kita membina kemampuan untuk menilai, memilih, mengenalpasti, membina dan mengusahakan rencana pengkajian sains dan teknologi baru masakini yang benar-benar menjelmakan sistem nilai dan budaya ilmu kita dan yang terarah kepada memenuhi kepentingan kita sebagai bangsa Melayu-Islam yang terpelihara jatidiri serta merdeka akalbudinya sampai bila-bila, inshaAllah.9

Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa,

Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia;

Penyimpan Khabar zaman yang Lalu menambah lagi

Pada umurnya umur berulang berkali-ganda.10

Khulasah maksud: “Bila sejarah silam bangsa terluput, masa depan bangsa pun terbantut!”

Nota. Prof Madya Dr Adi Setia merupakan penyelidik bersekutu INSPEM, UPM. Ia boleh dihubungi menerusi adisetiawangsa@gmail.com.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *