Kemaskini terbaru: March 7, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kebudayaan Kebangsaan dan Cabaran Globalisasi

Kebudayaan Kebangsaan dan Cabaran Globalisasi

Oleh : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

SUA ASASI, Penyelidik Bersekutu INSPEM (UPM) dan Felo Tamu ATMA (UKM)

Awal Bicara

Biarlah saya jelaskan dahulu dari aspek manakah saya boleh membincangkan tema forum “Dasar Kebudayaan Kebangsaan”. Minat saya terhadap kebudayaan hanyalah dicetuskan daripada pembacaan dan halatuju penyelidikan yang saya mulai lakukan semenjak 10 tahun lepas di UKM. Masalah yang diumpukkan kepada saya oleh Prof Shaharir Mohd Zain (kini Felo Utama, PDP, UM) diwaktu itu adalah isu paling mendasar dalam pendidikan Sains Matematik, iaitu kenapakah pelajar-pelajar Melayu di sekolah dan siswa/i Melayu di universiti amat lemah penguasaan Sains Matematiknya? (Sains Matematik merujuk kepada pelbagainya subbidang di dalam Matematik itu, seperti geometri, kalkulus, aritmetik, statistik dll, bukannya merujuk kepada Sains dan Matematik). Dan, apakah cara/ strategi mengatasinya? Oleh sebab saya mulai mengajar Sains Matematik ini kepada siswa/i UKM semenjak 1994 hingga kini, dan segala hal berkaitan kelemahan penguasaan siswa/i ini saya hadapi berdepan, samada dalam tutorial, kuliah dan penyeliaan tesis, makanya saya amat maklum tentang isu yang dibicarakan oleh Prof Shaharir tadi. Isunya adalah, apakah jalan keluar kepada masalah ini? Berbagai jawapan dilontarkan. Antaranya, bukanlah hanya siswa/i Melayu sahaja yang lemah Sains Matematik, malah siswa/i Cina dan India juga lemah, malah, sebenarnya, isu kelemahan penguasaan Sains Matematik ini dirasai oleh semua bangsa di dunia, termasuklah Inggeris, Perancis, Jerman dan Amerika. Kalau tak percaya, bacalah laporan-laporan yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan pendidik Sains Matematik setiap negara di dunia, kalau dinegara tersebut kedapatannya persatuan ini. Pengalaman saya melatih Pasukan Malaysia untuk Olimpiad Matematik Antarabangsa (atau International Mathematical Olympiad) dan berinteraksi dengan dengan pelatih-pelatih serupa seluruh dunia hampir pada setiap tahun menceritakan segala-galanya. Rata-ratanya, pelajar-pelajar sekolah dan siswa/i universiti seluruh dunia lemah penguasaan dalam Sains Matematik. Kenyataan ini amat berasas jika dipertimbangkan bahawa pengajaran-pembelajaran Sains Matematik melibatkan penjelasan kepada seluruh struktur ilmu Sains Matematik itu sendiri, seperti falsafah-falsafahnya, teori-teorinya, sistem-sistemnya dan pengunaan-pengunaannya. Memanglah nampak kadang-kalanya beberapa pencapaian yang agak baik diperolehi, namun ingin saya tegaskan bahawa, selalunya pencapaian yang agak baik tersebut mengorbankan mutu/kualiti struktur ilmu Sains Matematik tersebut. Sepertinya, bidang Sains Ekonomi menghapuskan langsung subjek Matematik Ekonomi, bidang Fizik menghapuskan Teori Relativiti dan Mekanik Kuantum, bidang Kejuruteraan merendahkan mutu/kualiti subjek Matematik Kejuruteraan, malah bidang Sains Komputer mengapungkan subjek Mantik dan Matematik Komputeran, malah bidang Sains Matematik sendiri di banyak universiti tempatan hanyalah mengajarkan Aljabar sehingga takat Aljabar Linear sahaja. Seolah-olahnya, kalau mahukan pencapaian yang baik, ertinya peratusan lulus yang lebih banyak, hapuskan sahaja subjek-subjek yang susah difahami itu. Dan, hal ini berlangsung di sekolah, perhatikan sahaja apa jadi kepada subjek Matematik Tambahan.

Namun, ada juga jawapan yang memberangsangkan, boleh cari jalan keluarnya. Contohnya, pandangan yang mengatakan bahawa Sains Matematik yang kita semua pelajari ini adalah nukilan sarjana-sarjana Tamadun Barat, yang berteraskan mantik 2-nilai Aristotle. Tentulah, bangsa-bangsa manusia yang berlainan daripada Yunani-Eropah-Barat, yang tidak sealiran berfikir dengan Aristotle, tidak mampu menguasainya. Malah, mantik Aristotle itupun dilontarkan jauh oleh sarjana-sarjana selepasnya, kemudian cuba dipopularkan oleh Porphyry, tapi gagal masuk kearena perbahasan masyarakat, hanyalah sarjana-sarjana Muslim mengembalikannya kedunia ilmiah. Di dunia Islam, ramai juga sarjana yang mengatakan bahawa mantik Aristotle hanyalah produk Yunani/Greek, tidaklah sejagat sifatnya, dan tidak sesuai dengan masyarakat Arab. Bantahan al-Suhrawardi dan Ibn Taimiyyah contohnya. Dan, sarjana-sarjana Muslim membangunkan mantiknya sendiri, namun kini kita tidak mengkajinya. Maka, jika Sains Matematik yang berteraskan kepada mantik Aristotle tidak sesuai diajarkan kepada pelajar-pelajar dan siswa/i-siswa/i selain Eropah-Barat, apakah cara mereka untuk mendapatkan kefahaman terhadap Sains Matematik? Tiada cara langsung, selain daripada mendapatkan mantik yang lain, lalu membangunkan Sains Matematik daripadanya, ini kepada sesiapa yang mendokong mantikisme/logikisme. Atau membina Sains Matematik yang tidak 100% berteraskan kepada mantik Aristotle. Sarjana-sarjana Eropah-Barat juga mengusahakan dua hal ini. Contohnya, adanya bidang mantik 3-nilai, mantik kabur, mantik intuisi, mantik Hindu-Buddha, mantik Islam, mantik quantum, dll. Bolehkah Sains Matematik dibina berdasarkannya? Juga adanya bidang yang agak besar kini yang digelar Matematik Intuisi, yang mulai dibangunkan oleh Brouwer (sarjana Belanda), berdasarkan mantik Intuisi, yang menolak mantik 2-nilai Aristotle. Disinilah ruang untuk mengembangkan jawapan kepada pertanyaan awal tadi, iaitu adakah benda yang dinamakan Mantik Melayu? Sehinggakan kita boleh bina Sains Matematik daripadanya. Atau juga, dalam jawapan yang lebih mudah sedikit daripada jawaban sukar itu, apakah Bangsa Melayu pernah membangunkan Sains Matematik? Atau, bolehkah kita pungut semua pembangunan Sains Matematik yang dihasilkan oleh tukang/pandai/cendekia Melayu? Inilah yang mendorong kami berdua dan beberapa yang lain melakukan kajian Etnomatematik Rumpun melayu, atau dalam bentuk yang lebih umum, Etnosains Rumpun Melayu. Bolehlah lihat beberapa penulisan dalam www.asasi.my. Maka, didalam kajian ini kami akan mengumpulkan semula seluruh khazanah Sains Matematik Rumpun Melayu, itu sahaja sudah memberikan nafas baru kepada penemuan-penemuan yang agak memeranjatkan, seperti kami menemui bahawa simbol “0” itu sudah dirakamkan di prasasti Funan sekitar kurun ke-4M. Ini jauh lebih tua daripada rakaman di India sekitar 580M dan di Aran 810M, dalam manuskrip al-Khawarizmi. Apa implikasinya? Yang saya sedang usahakan mengkajinya sekarang adalah maklumat yang saya lampirkan dibelakang, iaitu berkenaan istilah pembilangan Rumpun Melayu, yang kemudiannya akan saya usahakan untuk mendapatkan sistem etimologinya, lalu merungkai apakah andasar pembilangan Rumpun Melayu, yang dikatakan sebelum ini berandasar 5 dan 10. Kemudiannya, pungutan khazanah Sains Matematik Rumpun Melayu ini akan dibandingkan dengan pencapaian Sains Matematik bangsa-bangsa lain didunia, India, Cina, Yunani dan Rom katakan. Disini, bolehlah diperhatikan apakah taraf pencapaian Sains Matematik Rumpun Melayu? Kemudian lagi, membandingkan khazanah Sains Matematik Rumpun Melayu itu dengan pencapaian Sains Matematik Rumpun Eropah yang mendominasi dunia sekarang. Apa yang ingin kita lihat? Kita mahu mendapatkan prinsip-prinsip yang diluar daripada pengetahuan sarjana-sarjana Eropah. Lalu, prinsip-prinsip yang asing kepada Eropah ini kita perlu bina untuk menjadi suatu bentuk subbidang Sains Matematik yang baru. Contohnya konsep masa lepas-kini-mendatang, tradisi India beristilahkan purva-purvaaparante-aparante, sedangkan tradisi Melayu beristilahkan telah-lani-kelak. Kepada India, masa kini ditakrifkan oleh masa lepas dan masa mendatang, manakala kepada Melayu, masa kini mentakrifkan masa lepas dan masa mendatang. Jadinya, nampak bahawa pemikiran Bangsa Rumpun Melayu terbalik kepada pemikiran Bangsa Rumpun India tenatng apa-apa sahaja pemikiran berkaitan masa. Apakah ini boleh dibuktikan dengan mengkaji Astronomi Melayu berbanding Astronomi India? Kita tahu bahawa masa adalah juzuk paling penting kepada pembinaan Teori Kenisbian/Kerelatifan Poincare-Einstein dan Teori Mekanik Quantum. Malah, kini masa dianggap sebagai dimensi keempat tercantum kepada 3 dimensi ruang Euclidean/Cartesian untuk membentuk (x, y, z, t). Apakah past, present, future Inggeris, Jerman dan Perancis berkaitan antara satu sama lain etimologinya? Whitehead mengatakan bahawa masa Inggeris berlainan sedikit dengan masa Jerman. Adakah konsep masa ini yang mempengaruhi Poincare-Einstein menukilkan geometri (x, y, z, t) tersebut?

Kebudayaan dan Globalisasi

Apabila bercakap tentang globalisasi, atau sebetulnya glokalisasi, kecenderungan perbincangan selalunya hanyalah berkaitan globalisasi ekonomi, sedangkan ada banyak lagi bentuk globalisasi yang tidak dibicarakan secara umum dan ilmiah, contohnya globalisasi kebudayaan. Glokalisasi adalah istilah yang betul sebab sesuatu kebudayaan tempatan/lokal itulah yang menjadi global/sejagat, mana mungkin adanya kebudayaan yang secara mulanya sudah global. Jadi, globalisasi ekonomi sebenarnya adalah glokalisasi semua perkara yang mentafrifkan ekonomi bagi masyarakat Eropah dan Barat. Maksudnya, semua perkara yang mentakrifkan ekonomi bagi masyarakat Eropah dan Barat yang berbentuk tempatan/lokal akan diusahakan untuk diterima oleh masyarakat lain didunia, iaitu menjadi global/sejagat. Itu sebab pizza yang kita tak temui pada tahun 1970-an dulu kini merupakan diantara makanan popular masyarakat Malaysia. Kenapa kita tidak boleh meng- globalkan sate, nasi lemak, lemang, dodol/gelamai, nasi kerabu, nasi dagang, laksa dll? Bagaimana mungkin kalau masyarakat Malaysia ini di Eropah menjadi lebih Eropah dari bangsa-bangsa Eropah? Dalam usaha mengglobalkan sesuatu kebudayaan, untuk negara-negara maju seperti Perancis dan Jerman, globalisasi kebudayaan asing terhadap kebudayaannya tidaklah dipaksakan. Dalam ertikata yang lain, masyarakatnya boleh memilih, samada mahu kekal dalam kebudayaan sendiri ataupun memilih sesuatu kebudayaan luar, dalam isu pemilihan bahasa pendidikan disekolah dan universiti katakan. Ini adalah kerana bangsa Jerman dan bangsa Perancis adalah dua buah bangsa yang memiliki jatidiri yang kuat terhadap khazanah kebudayaan mereka. Mereka cumalah memilih sesuatu yang diluar kebudayaan mereka atas hal-hal kepenggunaan dan bukannya dasar. Ini berlainan dengan negara-negara bekas jajahan Eropah seperti Malaysia. Untuk negara-negara bekas jajahan ini, globalisasi merupakan suatu proses yang dipaksakan kepada mereka. Lihatlah bagaimana kerajaan Malaysia menanggani isu PPSMI, hingga kinipun masih berdolak-dalih utnuk kembali kepada PPSMM. Pada peringkat universiti, PPSMI masih berleluasa diamalkan, tanpa adanya teguran kerana melanggar akta bahasa kebangsaan, malah akta universiti. Pemaksaan inilah yang akan menghapuskan jatidiri bangsa-bangsa bekas jajahan. Akan hilangnya beransur-ansur nilai-nilai kebudayaan seperti pakaian, muzik, bahasa, makanan, sastera, adat resam, pertukangan, cerita-cerita rakyat, bangunan, artifaks, teks bertulis, dll. Hilang yang tak akan berganti. Memang tak akan hilang, sebab semuanya akan diletak di Muzium Negara, dan kita semua akan melawati kebudayaan kita sendiri suatu masa kelak, tapi tidak mangamalkannya. Kita semua bangsa Malaysia akan beransur-ansur berkebudayaan Eropah-Barat, malah akan jauh lebih Eropah-Barat dari mereka, sebab kita tidak mengetahui apakah kebudayaan Eropah-Barat itu. Semuanya akan kita ambil tangkap-muat sahaja. Lihatlah nanti perkara ini berlaku didepan mata saudara/i. Secara pemaksaan atau secara pilihan, apakah jalan keluar kepada kita semua untuk mempertahankan kebudayaan sendiri? Saya tiada jawapan sendiri kepada soalan ini, selain daripada meneliti dan belajar bagaimanakah Eropah-Barat menjadikan kebudayaan lokalnya menjadi global? Kepada saya, setelah mentelaah banyak terhadap pembangunan pemikiran Eropah-Barat, saya beranggapan bahawa satu perkara utama yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Eropah-Barat adalah membangunkan ilmu semasa mereka berdasarkan kebudayaan mereka. Dengan kata yang lain, bentuk-bentuk ilmu yang mereka hasilkan dalam aktiviti ilmiah mereka seharian adalah permasalahan-permasalahan yang ditimbulkan oleh hal-hal yang berkaitan kepada aktiviti-aktiviti kebudayaan mereka sendiri. Contohnya, Teori Tatabahasa Penjana (istilah Prof Shaharir)/Generatif Chomsky dibangunkan daripada pemerhatian beliau terhadap bahasa Ibrani/Hebrewnya sendiri yang berteraskan kepada akar perkataan, sama seperti bahasa Arab. Berdasarkan kajian sejarah terhadap Tatabahasa Arab, beliau melengkapkan kajian yang lebih kurang sama terhadap Bahasa Hebrew, lalu menerbitkan Teori Tatabahasa Penjana/Generatif, kemudian menggunakannya untuk menerbitkan banyak subteori untuk Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dll, hinggakan kini Bahasa Arabpun menggunakannya. Adakah pengamalnya sedar bahawa Teori Tatabahasa Penjana/Generatif ini dikembangkan daripada Bahasa Arab? Sekarang, Teori Chomsky ini, dalam bentuk variasinya yang lebih maju, digunakan berleluasa dalam Bahasa Melayu. Kita tidak langsung peduli apakah sebenarnya Teori Tatabahasa Melayu sebelum Raja Ali Haji, sebelum Za’ba. Pada sarjana-sarjana Bahasa Melayu, Teori Tatabahasa Melayu adalah Teori Tatabahasa Penjana Chomsky digunakan kepada Bahasa Melayu. Bahasa Melayu langsung tidak berkaitan dengan Bahasa Arab dan Bahasa Hebrew, mana mungkin memiliki Teori Tatabahasa Generatif Chomsky. Apakah Teori Tatabahasa Melayu? Kini, kita telah hilang lenggok Bahasa Melayu Klasik, apalagi Bahasa Melayu Kuno. Buktinya, apakah penghargaan masyarakat Melayu terhadap manuskrip Melayu, selain hanyalah mengatakan bahawa dongengan belaka? Malah, malang sekali kini, apabila dikaitkan sahaja sesuatu dengan Bahasa Melayu, sesuatu itu akan dikelaskan sebagai bukan berada pada zon ilmu. Ringkasnya Bahasa Melayu bukanlah Bahasa Ilmu, hanyalah bahasa pasar. Masyarakat ilmuwan dan awam Melayu diam sahaja.

3. Penyelidikan Terhadap Kebudayaan Kebangsaan

Belajar daripada apa yang dilakukan sendiri oleh sarjana-sarjana Muslim, yang menentang kemasukan mantik Aristotle, kosmologi Yunani dan S&T Yunani, kekebudayaan Arab/Islam, lalu bertindak melakukan penyaringan sepertimana dilakukan oleh al-Ghazali dalam Tahafut al-Falasifah, juga belajar daripada sarjana-sarjana Eropah-Barat yang mengkaji kebudayaan sendiri untuk menyelesaian pemasalahan yang timbul seharian lalu menerbitkan ilmu-ilmu yang melekat kepada kebudayaan sendiri, makanya ilmuwan Melayu sepatutnya mengkaji kembali kebudayaan Melayu semenjak awalnya hingga kini, lalu menerbitkan ilmu-ilmu tertentu yang menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh amalan kebudayaan tersebut seharian. Contohnya, menerbitkan ilmu etika (dari ethos=baik Yunani, Ethic Inggeris) dan moral (dari mores=adat Latin) daripada kajian terhadap peribahasa dan pantun. Menerbitkan Sistem Pengurusan Projek daripada kajian terhadap penggunaan masa dalam peribahasa. Mengkaji pembilangan, pertanian, perkapalan, pertukangan, persenjataan, pelayaran, tenunan dll. Matlamatnya adalah untuk mendokumentasikan pencapaian keilmuan Rumpun Melayu semenjak awal, mengkaji taraf pencapaian keilmuan Rumpun Melayu berbanding bangsa-bangsa yang lain didunia dan akhirnya membandingkan pencapaian tersebut denfan pencapaian terkini keilmuan semasa Eropah-Barat, agarnya sesuatu yang baru ditemui dan berpotensi dikembangkan. Saya berharap ini dapat dicapai dalam masa 30 tahun mendatang.

Lampiran : Pembilangan Rumpun Melayu

1. Ahtiago (Alfuros) : esa, elua, en’tol, enhata, enlima, ennoi, enhit, enwol, ensiwa, fotusa

2. Ahtiago & Tobo : san, lua, tol, fet, lima, num, fit, wal, siwa, vuta

3. Amblaw : sabi, lua, relu, faa, lima, noh, pitu, walu, siwa, buro

4. Arungdalem : hiko, duey, tigey, -, -, -, -, -, -, –

5. Assak : satu, dua, telu, mpat, lima, nam, pitu, balu, siwa, sapulu

6. Awaiya : lai-isa, luau, te-elu, aata, lima, nome, witu, walu, siwa, hutusa

7. Bajau Darat : sa, duo, telu, mpat, limo, nom, pitu, wau, siam, sepu

8. Bajau Laut : sa, dua, telu, empat, lima, enam, tutu, walu, siam, sangpuq

9. Baju : sa, dua, tiga, ampat, lima, nam tujoh, dolapan, sambilan sapuloh

10. Bali : sa, dua, talu/talo, hampat, lima, hanam, pitu, kutus, sia, dasa

11. Basa Krama : siji, loro, telu, papat, lima, nenam/nam, pitu, wolu, sang’a, sepuluh

12. Batumerah : wasa, lua, telua, ata, lima nena, itua, walua, siwa, husa

13. Bedayuh Serian : indiq, dueh, taruh, mpat, rimeh, enem, ijuq, mahi, peregi, simuheng

14. Belinyu : siko, duo, tigo, empat, limo, enem, toju, lapan, semilan, sepolu

15. Biatah : ndi, dueh, taruq, pat, rime, nem, ju, may, riqi, tsimeng

16. Bima : sabua/icha, lua, tolu, opat, lima, ini, pidu, waru, chewi, sampulu

17. Bisayah : miso/misoh, duo/duoh, tolu, apat, limo, anam, turuq, waluq, siam, opod

18. Bolang hitam : soboto, dia, toro, opatu, rima, onomo, pitu, waro, sio, mopuru

19. Bugis : sedi, dua, telu, mpa, lima, nam, pitu, harua, hasera, sapulu

20. Buton : saangu, ruano, taruano, patanu, limanu, namano, pituano, veluano, sioanu, sapuloh

21. Cajeli : silei, lua, tello, ha, lima, ne, hito, walo, siwa, boto

22. Camarian : Isai, lua, tello, a’a, lima, nome, itu, walu, siwa, tinein

23. Campa : sa, dva, kluv, pak, lima, nam, tijuh, dalapan, salapan, sapluh

24. Ceram/Sirang : tekura, dua, tolu, pat, lim, onan, fitura, delapante, sambilante, putusa

25. Dul : sute, dui/duey, tigi/tigiy, empat, lima, nem, tujuh, lapen, semilan, sepuloh

26. Ende : sa, zua, telu, wutu, lima, limasa, limazua, ruabutu, trasa, sabulu

27. Gadung : hikow, duey, tigey, empat, limey, nem, tujow, lapan, hemilan, hepulow

28. Gah : so, lotu, tolo, faat, lim, wonen, fiti, alu, sia, ocha

29. Gani : lepso, leplu, leptol, lepfoht, leplim, lepwonan, lepfit, lepwal, lepsiu, yagimso

30. Galela : moi, sinuto, sangi, iha, matoha, butanga, tumidingi, itupangi, sio, megio

31. Gunung Muda : siko, due, tige, empat, lime, nem, tuju, delepen, semilan, sepulo

32. Gunung Talu : limbato, bulang’o, bone, ampat, lima, anam, tuju, delapan, sambilan, sapulu

33. Iban : siti, dua, tiga, mpat, lima, nam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh

34. Ilanun : isa, dua, telu, paqat, lima, enam, pitu, walu, sigaw, sapulu

35. Jawa : sa/sawiji, loro, talu, papat, lima, nanam, pitu, wola, sanga, pulah

36. Kacung : sute, duwi, tigi, empat, limay, enem, tuju, lepen, semilen, sepolo

37. Kayan : ji, duaq, teloq, pat, limaq, nom, tusu, sayaq, pitan, pulu

38. Kelabit : edah, duah, telu, apat, lima, enem, tuduq, waduq, iwaq, puluq

39. Kenyah : acih, lebih, teloq, pat, dima, nem, tusu, mare, gelepe, pulo

40. Lampung : sai, ghua, talu, pa, lima, nom, pitu, walu, siwa, puluh

41. Lariki : isa, dua, toro, aha, rima, noo, itu, waru, siwa, husa

42. Liang : sa, rua, tero, hani, rima, nena, itu, waru, sia, husa

43. Lotud : miso, duo, tolu, apat, limo, onom, turuq, walu, siam, opod

44. Lun Bawang : aceh, dueh, telu, pat, limeh, enem, tuduh, waluh, liwa, pulu

45. Lun Dayeh : adce, dueh, talu, afat, lime, enem, tudu, walu, liwa, fuluq

46. Madura : sah, dua, tilu, papah, lalima, namnam, papito, babalu, sasang’ah, sapulu

47. Makasar : sedre, rua, talu, ampat, lima, anam, tuju, delapan, sambilan, sampulu

48. Mandhar : misa, dua, tetalu, apeh, lima, anam, tuju, walu, amesa, sapulu

49. Massaraty : nosiuni, rua, tello, pa, lima, ne pito, trua, chia, polo

50. Matabello : sa, rua, tolu, fata, rima, onam, fitu, allu, sia, sow

51. Melayu : satu, dua, tiga , ampat, lima, anam, tujuh, delapan, sambilan, sapuloh

52. Melanau : jineng/jiqeng/jieh, ba, lou, pat, lima, nam, yujuq, maq di, supuq, luqen

53. Menado : esa, dudua, tateru, pa, rima, num, pitu, walru, sio, malpuroh

54. Mentok : seko, dui, tigi, empat, limi, enam, toju, lapan, sembilan, sepolo

55. Morella : sa, lua, telo, hata, lima, nena, itu, waru, siwa, husa

56. Mysol : katim, lu, tol, fut, lim, onum, tit, wal, si, lafu/yah

57. Narom : cieh, debieh, telaw, pad, limah, enam, tujueh, madi, pai, pulou

58. Paitan : ido/idoh, duo/duoh, tolu, apat, limo/limoh, onom, turuq, waluq, siwoy, apulua

59. Pakuk : hutay, duey, tigey, empat, limey, enem, tujow, lapen, semilen, sepulo

60. Penan : jah, duah/ruah, telu, pat, lemah, enem, tuju, ayah, piqen, jah puloh

61. Perlang : sote, dui, tigi, empat, lima, enem, tujew, lepen, semilen, sepolo

62. Rungus : iso, duvo, tolu, apat, limo, onom, turu, valu, sizam, hopod

63. Salayer : sedri, ruano, tello, ampat, lima, unam, tujuh, karna, kasa, sapuloh

64. Salibabo : sembaow, dua, tetalu, apatah, delima, annuh, pitu, waru, sioh, mapuroh

65. Sang’ir : sembua, darua, tatelu, epa, lima, nong, pita, walu, sioh, mapuru

66. Sanguir & Sian : kusa, dua tellon, kopa, lima, kanum, kapitu, walu, kasiow, kapuroh

67. Saparua : esa, rua, toru, haa, rima, nooh, hitu, waru, siwa, husani

68. Sembawa : satu, dua, tiga, ampat, lima, anam, tuju, delapan, sambelan, sapulu

69. Sula Is : hia, gahu, gatil, gariha, lima, gane, gapitu, gatahua, gatasia, poha

70. Suluk : hambuk/isa, dua, tu, upat, lima, unum, pitu, walu, siam, hampu

71. Sumambuq : saumi, duo/ruo, talu, pat, limo, nom, tuluq, waluq, siam, opor

72. Sumenap : setong, dua, talo, ampa, lema, anam, peto, balu, sasang’a, sa-polo

73. Sunda : hiji, dua, tilu, opat, lima, genap, tujuh, dalapan, selapan, sapuluh

74. Sungailiat : siko, due, tige, empat, lime, enem, tujoh, lapan, Sembilan, sepuluh

75. Tambunan : iso, duo, talu, apad, limo, onom, turuq, walu, siam, opod

76. Teluti : san, lua, toi, fai, lima, noi, fitu, wagu, siwa, hutu

77. Temboro : seena, kalae, nih, kude-in, kutelin, bata-in, kumba, koneha, lali, sarone

78. Teor : Kayee, rua, tel, faht, lima, nem, fit, wal, siwer, huta

79. Ternati : rimoi, room-didi, ra-ang’I, raha, roma-toha, rara, tomdi, tof-kang’I, siyu, yagi-moi

80. Tidore : remoi, malofo, rangi, raha, runtoha, roar, tumodi, tufkangi, sio, nigimoi

81. Tiulon : sa, duo, talu, apat, limo, onom, tuluq, baluq, siam, opor/por

82. Tuatunu : sote, dui, tigi, empat, lima, nem, tujow, lapen, semilen, sepolo

83. Wahai : Sali, lua, tolo, ati, nima, lomi, itu, alu, sia, husa

84. Wayapo : umsiun, rua, tello, pa, lima, ne, pito, etrua, eshia, polo

Rujukan

Nothofer, B. 1997. Dialek Melayu Bangka. Bangi : Penerbit UKM.

Wallace, A.W. 1998. The Malay Archipelago. Kuala Lumpur : OUP

1 Komen

  1. Assalamualaikum..Dr. Alinor..
    Saya tertarik dengan artikel Dr. Cadangan saya kepada yang sedang mencari-cari idea untuk membuat penyelidikan berkaitan kebudayaan Melayu, harus membaca artikel Dr. agar terpanggil untuk membuat kajian lanjutan untuk menemui sesuatu yang baharu. Contohnya: ‘Manuskrip Melayu bukan Dongengan/Mitos’untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu sebenarnya bahasa ilmu yang terawal berbanding bahasa ilmu Eropah-Barat. Sekadar memberi pandangan. Daripada sahabat lama, Zainal Kassan, jiran Blok Kuarters Guru Kajang Utama.

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *