Kemaskini terbaru: October 5, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Intelektual al-Haramain Sebagai Penyepadu Ilmu

Al-Haramain yang mencakupi Tanah Suci Mekah di Masjidil Haram dan Madinah di Masjid Nabawi merupakan pusat ibadah dan pengajian Islam yang cukup terkenal pada suatu ketika dahulu (ada kala tempat ini lebih tinggi tarafnya daripada al-Jami’ al-Azhar). Ini kerana tempat-tempat lain belum tentu dilawati oleh orang ramai termasuk ulama tetapi al-Haramain merupakan tempat umat Islam berkumpul dari seluruh dunia.

Dengan kelebihan yang dimilikinya, al-Haramain dapat menarik serta menyedut tradisi-tradisi dari seluruh dunia apabila umat Islam dari merata-rata tempat di pelosok dunia Islam mengunjunginya dalam penunaian haji dan umrah. Sebahagian jemaah yang menunaikan ibadah tersebut telah bertekad untuk mendalami ilmu pengetahuan keislaman dan lain-lain bagi mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan manakala yang alim pula disarankan supaya menyampaikan kuliah.

Faktor ini turut disedari oleh Prof. Azyumardi Azra dalam tesis Ph.Dnya dengan mengetengahkan konsep melting pot yang diilhamkan oleh penyelidik awal seperti Nathan Glazer dan Daniel P. Moynihan dalam Beyond The Melting Pot terbitan MIT Press serta D. F. Eickelman dalam Contributions to Asian Studies.

Namun perlu dikemukakan juga tentang peri penting al-Haramain. Pengamatan ini dapat menggambarkan ciri-ciri Nusantara itu sendiri termasuk Malaysia. Fakta ini perlu dipaparkan kepada umum kerana kajian tentang hubungan al-Haramain dengan Nusantara semakin dikaji oleh pusat penyelidikan alam Melayu di beberapa buah universiti antarabangsa untuk mengenali tamadun di rantau ini. Walaupun demikian, kajian mereka masih kurang fakta-faktanya.

Dengan berpandukan melting pot, al-Haramain jelas memiliki keupayaan tersendiri. Al-Ta’arruf jelas mampu menandingi pemikir ulung sebelumnya dan bentuk intelektual karya ini tidak didahului oleh Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Khaldun dan seumpamanya. Al-Ta’arruf tampil dalam bentuk kesepaduan dan keterjalinan `antara bidang’.

Dalam Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi (hlm. xxvii), dijelaskan bahawa tokoh utama dan amat penting di al-Haramain antaranya ialah Sheikhul Islam Ibnu Hajar al-Haitami (w.973/1565). Pada awal kariernya, beliau aktif di Mesir dan kemudiannya berpindah ke Mekah sehingga wafat. Tokoh ini sebenarnya bukan sekadar pakar dalam ilmu fiqh Syafei menerusi karya agungnya, Tuhfah al-Muhtaj (karya yang menjadi panduan mazhab Syafie di Nusantara) dan Fath al-Jawwad termasuk juga al-Zawajir dan Sawa’iq al-Muhriqah tetapi beliau berjaya mengemukakan sintesis yang amat menarik sebagai perangkum dan penyepadu bagi pelbagai bidang ilmu yang berada dalam khazanah keilmuan dunia Islam.

Karya yang bersifat perangkum dan penyepadu tersebut adalah al-Ta’arruf. Kandungan al-Ta’arruf diawali dengan epistemologi (kajian tentang teori ilmu) seterusnya usuluddin, usul fiqh, mantiq dan tasawuf. Pada zaman ini, kajian epistemologi amat penting kerana antaranya, penemuan saintifik Einstein, Bohr, Feynman dan Chew, yang dikatakan diperoleh secara intuisi.

Jadi, kajian al-Haitami dengan dimulai aspek epistemologi adalah relevan diteruskan dalam menentukan sikap bagi penerokaan ilmiah yang seterusnya. Sebenarnya melalui proses epistemologi maka tercetus pembentukan bidang ilmu usuluddin, usul fiqh, mantiq dan tasawuf. Untuk membuktikan kepentingan al-Ta’arruf ini, seorang tokoh yang juga terkenal di Mekah iaitu al-Imam Muhammad bin Ali bin `Allan al-Siddiqi al-Syafiei al-Makki (w.1057H) telah menyusun sebuah karya komentar terhadap karya al-Ta’arruf yang diberi judul al-Talattuf.

Sebenarnya tokoh ini lebih dikenali menerusi karyanya seperti Dalil al-Falihin Syarh Riyad al-Salihin dan Futuhat Ilahiyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah. Dengan pemaparan beberapa fakta ini, jalinan antara naqli dengan `aqli terbukti jelas membayangi serta menentukan bentuk intelektual Islam di al-Haramain. Sifat ini juga yang mencerminkan kecenderungan keilmuan di Nusantara kerana naskhah al-Talattuf disebarkan cetakannya berdasarkan naskhah yang dikaji oleh al-Musnid al-Muhaddith al-Sheikh Muhammad Mahfuz al-Tirmisi (1258/1868-1338/1919), seorang tokoh penulis yang produktif dalam bahasa Arab serta diakui oleh ulama Arab.

Penulis berkeyakinan inilah sifat ajaran Islam sebenar jika ingin berjaya kerana al-Quran itu sendiri bersifat `antara disiplin’. Tepatlah jika karya dijadikan sebagai model serta paradigma asas yang perlu difahami oleh setiap umat Islam. Relevannya pendekatan `antara disiplin’ dimartabatkan (khususnya di Malaysia) kerana arus semasa yang semakin popular di peringkat antarabangsa ialah Theory of Everything, antaranya yang dikemukakan oleh Ken Wilber, ahli falsafah Amerika Syarikat terkenal.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *