Kemaskini terbaru: March 11, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Seminar Sehari Bahasa Melayu Klasik dan Kuno/Kuna

Seminar Sehari Bahasa Melayu Klasik dan Kuno/Kuna

Anjuran: ASASI dan PPBKKM, UKM.

Tempat: Makmal Pengajian Melayu (PPBKKM), FSSK, UKM

Tarikh: 24 Februari 2011

Oleh: Mohd Tarmizi bin Hasrah

Salah satu sebab yang ditafsirkan oleh kebanyakan ahli bahasa mengenai kegerhanaan yang dialami oleh Bahasa Melayu, terutamanya dalam abad ke-21 ini, ialah berkaitan dengan sikap penuturnya; suatu sikap yang muncul dalam kalangan penutur Bahasa Melayu bahawa Bahasa Melayu tidak maju, tidak mampu menjadi bahasa ilmu, tidak dapat membawa pulangan dari segi ekonomi dan berbagai-bagai persepsi negatif lain lagi (lihat antaranya Collins 1999). Sikap sebegini timbul, antara lainnya, disebabkan oleh kegagalan untuk memahami aspek kesejarahan Bahasa Melayu (Nik Safiah 2010). Justeru itu, untuk kembali memperkukuhkan keyakinan terhadap Bahasa Melayu, dan untuk kelestarian Bahasa Melayu itu sendiri untuk jangka panjangnya, maka peneropongan kembali terhadap aspek kesejarahan bahasa ini sangat diperlukan. Peneropongan ini bukanlah sekadar melakukan penyusunan sejarah perkembangan Bahasa Melayu tahap demi tahap (walaupun perkara ini penting juga) malah lebih daripada itu, yakni menganalisis bukan sahaja aspek kenahuannya tetapi merangkumi aspek falsafahnya, aspek sosiologinya, atau lebih umum lagi peranannya dalam pembinaan peradaban Melayu silam. Dengan sumber utama (primer) yang agak banyak meliputi manuskrip-manuskrip dan prasasti-prasasti dari abad ke-4M hingga abad ke-18M, walaupun terpecah-pecah dari segi tempat dan zaman, tentunya usaha peneropongan akan membuahkan hasil yang pastinya menyumbang ke arah kelestarian Bahasa Melayu (Collins 1984), dan juga ke arah pembinaan Teori Linguistik Bahasa Melayu yang masih belum terselak lagi peliturnya.

Atas kesedaran inilah, maka ASASI dengan kerjasama Program Pengajian Bahasa Melayu, FSSK, UKM menganjurkan sebuah seminar yang bertemakan pengkajian Bahasa Melayu Klasik dan Kuno/Kuna. Seminar yang bersifat pengenalan ini mengundang empat orang pembentang yang terdiri dari pelbagai latar belakang ikhtisas, (antaranya ahli bahasa, ahli arkeologis (inskripsis) dan ahli matematik) iaitu Prof. Dr. Shaharir bin Mohamad Zain dari Pusat Dialog Peradaban, UM, Dr. Amat Juhari bin Moain, mantan dekan FBMK, UPM, Dr. Karim Harun, pensyarah Sejarah Linguistik & Psikolinguistik, UKM, dan Tuan Nasha Rodziadi Khaw dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM. Seminar yang dianjurkan selama sehari di Makmal Pengajian Melayu ini, iaitu bermula jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang, dihadiri sejumlah 30 orang peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar siswazah dan pelajar-pelajar prasiswazah.

Pembentangan pertama dimulai oleh mantan profesor sosiolinguistik Bahasa Melayu UPM, iaitu Dr. Amat Juhari Moain melalui makalahnya yang berjudul Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Klasik: Suatu penjelasan. Dalam pembentangan ini, Dr. Amat Juhari menjelaskan sebab musabab munculnya penamaan “Bahasa Melayu Klasik” dan “Bahasa Melayu Kuno.” Bagi beliau, kedua-dua penamaan itu muncul berikutan dari kajian histiriografi Bahasa Melayu yang terkandung di dalamnya bidang-bidang berikut, antaranya linguistik sejarawi, filologi bandingan, kajian epigrafi, sejarah penggunaan aksara. Dr. Amat Juhari selanjutnya berbicara pula mengenai periodisasi sejarah Bahasa Melayu. Dalam hal ini, beliau membahagikannya kepada lima zaman, iaitu: i) zaman Bahasa Melayu Purba; ii) zaman Bahasa Melayu Kuno; iii) zaman Bahasa Melayu Klasik; iv) zaman Bahasa Melayu Pramoden; dan v) zaman Bahasa Melayu Moden.

Yang dimaksudkan pembentang makalah ini dengan Zaman Bahasa Melayu Purba dalam pembahagian beliau itu ialah bahasa yang wujud pada zaman prasejarah, atau sebelum sistem tulisan dicipta untuk Bahasa Melayu. Pengetahuan mengenai bahasa ini diperoleh melalui kaedah rekonstruksi bahasa purba dengan membandingkan bahasa semasa (Crowley dan Bowern 2010). Tetapi bahasa ini hanya bersifat andaian sahaja kerana tiada rekod-rekod yang dapat membuktikan kewujudannya. Bahasa inilah yang telah direkonstruksi oleh beberapa ahli linguistik sejarawi Austronesia seperti Karl Alexander Adelaar yang disertasi kedoktorannya pada tahun 1985 (terbit pada 1992 melalui siri Pacific Linguistic) yang beliau gelar sebagai Bahasa Melayik Purba itu dan Asmah Hj. Omar dalam buku cemerlang beliau (1985/2008), Susur Galur Bahasa Melayu yang penamaannya seperti yang digunakan oleh Dr. Amat Juhari itu. Selain itu, yang menariknya ialah mengenai zaman yang kedua, Zaman Bahasa Melayu Kuno. Untuk zaman ini, selain dibincangkan mengenai ciri-cirinya yang banyak dipengaruhi Bahasa Sanskrit, Dr. Amat Juhari berpendapat bahawa zaman ini telah pun bermula pada abad ke-4M lagi. Beliau menyandarkan pendapatnya itu berdasarkan penemuan sebuah prasasti yang dianggap berbahasa Melayu di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam (bandingkan maklumat ini dengan Muhammad Alinor 2008). Penetapan ini sebenarnya sesuatu yang agak baharu dalam histiriografi Bahasa Melayu yang selama ini beranggapan bahawa sejarah Bahasa Melayu hanya bermula sekitar abad ke-7M berdasarkan prasasti di Pulau Sumatera itu (Teeuw 1959; Collins 1999: 59, 1998/2005; Nik Safiah dkk. 2004: 7).

Kedatangan agama Islam ke Pascabima ini telah menyebabkan berlakunya peralihan zaman Bahasa Melayu, iaitu dari Zaman Bahasa Melayu Kuno ke Zaman Bahasa Melayu Klasik. Walau bagaimanapun, menurut pembentang, pada peringkat awal ini perubahannya “…tidaklah terlalu mendadak melainkan mengambil masa tertentu.” Peralihan dari zaman kuno ke zaman klasik ditandai oleh penemuan sebuah prasasti bertulisan Jawi di Kuala Berang, Terengganu, yang dianggarkan bertarikh 1303M atau 702H. Dr. Amat Juhari dalam pembentangannya turut memberikan beberapa ciri yang dianggapnya dimiliki oleh Bahasa Melayu Klasik, antaranya bertulisan Jawi, penambahan beberapa huruf untuk disesuaikan dengan Bahasa Melayu dan penerimaan beberapa fonem Bahasa ‘Arab serta penyerapan kosa kata ‘Arab. Selanjutnya Zaman Bahasa Melayu Pramoden yang ditandai oleh kemasukan pengaruh Barat seperti adanya tulisan Rumi, peminjaman kosa kata Pertugis, Belanda dan Inggeris. Namun, agak mendukacitakan kerana pembentang tidak meneruskan perbincangan terhadap Zaman Bahasa Melayu Moden.

Jikalau diperhalusi ciri Zaman Bahasa Melayu Pramoden yang diutarakan oleh Dr. Amat Juhari itu terasa begitu kuatnya pengaruh Orientalis dalam menentukan perkembangan Bahasa Melayu; yang digelar moden (walaupun hanya pra-) hanyalah apabila adanya pengaruh Barat! Tafsiran Zaman Pramoden Bahasa Melayu ini sangat berbeza jika kita membandingkannya dengan tafsiran Collins (1998/2005) atau yang lebih awalnya Al-Attas (1972). Collins dalam bukunya, Bahasa Melayu bahasa dunia: Satu sejarah ringkas (yang asalnya dalam Bahasa Inggeris, Malay, a world language: A sketch history), meletakkan abad ke-16M sebagai zaman pramoden Bahasa Melayu. Penetapan oleh beliau itu disandarkan kepada ciri yang lebih luas lagi, antaranya adanya peminjaman kosa kata dari pelbagai bahasa dunia ketika itu seperti ‘Arab, Pertugis, Belanda, China, bahasa pemersatuan (lingua franca) Pascabima, bahasa ‘ilmu (sastera, falsafah, teologi, sains dan teknologi), ada tradisi pengkajian yang mendunia (kamus, nahu dan pedoman perbualan yang ditulis oleh orang Barat; bandingkan maklumat ini dengan Karim 2006). Begitu juga dengan Al-Attas dalam syarahan terkenalnya pada tahun 1972 itu telah meletakkan abad ke-16M sebagai period Bahasa Melayu (Pra)moden bersebabkan keupayaan Bahasa Melayu merungkai konsep-konsep abstrak falsafah dan menjana peristilahan bagi mendokong konsep-konsep tersebut.

Jikalau ditelusuri perbahasan mengenai keasalan aksara berbahasa Melayu, kita akan menemui dua pandangan yang berseberangan. Pandangan pertama beranggapan bahawa di Pascabima ini telah ada sistem aksara tersendiri tanpa dipengaruhi oleh aksara dari peradaban luar (lihat antaranya Ismail 1981; Amat Juhari 1996; Asmah 2005). Hujah ini disandarkan kepada kewujudan aksara-aksara seperti Rejang, Rencong, Batak, Bugis dan Makasar. Pandangan kedua pula, yang kebanyakannya terdiri daripada Orientalis, beranggapan bahawa semua sistem aksara yang wujud di Pascabima ini hanyalah modifikasi daripada aksara Kawi dan Pallawa (lihat antaranya Casparis 1975; Collins 2009). Tidak bertemunya dua pandangan inilah yang secara tidak langsungnya cuba diselesaikan oleh pembentang makalah kedua, iaitu Nasha Rodziadi Khaw melalui makalah berjudul Evolusi aksara prasasti berbahasa Melayu Kuno kurun ke-7 hingga ke-14 masehi: Satu penilaian semula.

Berdasarkan pengamatan ke atas lapan buah prasasti yang ditemui di sekitar Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), Pulau Sumatera, Pulau Jawa dan Pulau Luzon, pembentang kelihatannya seakan-akan bersetuju dengan pandangan kedua di atas, iaitu aksara berbahasa Melayu di Pascabima tidak memiliki sistem aksara tersendiri yang bebas dari pengaruh aksara asing. Bagi beliau, aksara berbahasa Melayu di Pascabima seperti yang terdapat dalam kelapan-lapan prasasti itu adalah hasil modifikasi aksara sebelumnya iaitu Kawi dan Pallawa. Selepas secara tidak langsung berbicara mengenai perkara itu, Nasha meneruskan pembentangan dengan evolusi aksara dalam prasasti berbahasa Melayu. Dalam hal ini, beliau berpendapat ada empat periodisasi kesemuanya. Period pertama yang dapat dipertarikhkan sekitar abad ke-7M hingga abad ke-8M yang menggunakan aksara pasca-pallawa; period kedua yang menggunakan aksara Jawa Kuno jenis Kawi Lama, iaitu bemula abad ke-8M hingga abad ke-12M; period ketiga ditandai oleh penggunaan aksara dan gaya pahatan Majapahit sekitar abad ke-13M hingga abad ke-14M; dan penggunaan aksara Minangkabau.

Walaupun pelapor menyatakan dalam perenggan di atas bahawa pendirian pembentang mengenai keasalan aksara Bahasa Melayu secara tidak langsungnya termasuk dalam pandangan kedua, namun pembentang tidak pula membincangkan status aksara-aksara yang digunakan di prasasti atau manuskrip di luar period yang dinyatakan seperti aksara Bugis, Batak, Rejang, Lampung dan Makasar itu. Hal ini kerana yang dibincangkan oleh pembentang adalah aksara di prasasti-prasasti yang kebanyakannya dipahat ketika kerajaan Hindu-Buddha masih berkuasa. Persoalan mengenai adakah semua aksara yang dinyatakan itu terbit dari kebudayaan di Pulau Sumatera itu masih belum dijawab oleh pembentang. Mungkin pandangan Kozok (2009) wajar ditinjau di sini. Dalam hal ini, Kozok (2009: 64) memang beranggapan bahawa aksara Batak di Pulau Sumatera itu dapat dijejaki leluhurnya dari India Selatan juga. Lebih awal lagi, Marsden dalam History of Sumatera (yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia dengan judul Sejarah Sumatera) juga berpendapat demikian. Namun, selagi belum dipaparkan evolusi secara bertahap-tahap bermula dari aksara India Selatan atau Pallawa sehinggalah terhasil semua aksara-aksara di atas itu seperti yang dibuat oleh pembentang dalam lampiran kepada makalah beliau, maka gambaran mengenai evolusinya masih lagi kabur.

“Jikalau kita ingin mengetahui bagaimana sesebuah bangsa itu berfikir, lihatlah pada mantiknya,” dan mantik itu pula “…dapat dikaji melalui bahasanya.” Seminar Bahasa Melayu Klasik dan Kuno/Kuna seterusnya menampilkan pembentang yang ketiga, seorang pakar dalam fizik kuantum tetapi kini menumpukan usahanya untuk menyembulkan etnosains Pascabima ini, Prof. Dr. Shaharir Muhammad Zain. Dalam seminar tersebut, Prof. Shaharir membentangkan sebuah makalah berjudul Mantik Melayu pra-Islam berasaskan bahasanya di prasasti. Seperti yang dinyatakan dalam makalah beliau bahawa antara tujuan kajian mantik Melayu ini dilakukan adalah untuk mencabar tesis yang menganggap kedangkalan ilmu dalam Tamadun Melayu pra-Islam. Hasil kajian yang seterusnya dibentangkan ini membuktikan bahawa anggapan pendokong tesis itu meleset sama sekali kerana seperti yang diungkapkan oleh Prof. Shaharir bahawa “orang Melayu sebelum Islam…sudah ada sistem mantiknya yang tinggi yang memenuhi hukum mantik dua-nilai dan hukum implikasi pasti dan tak pasti.”

Kesimpulan yang diungkapkan oleh pembentang itu didasarkan kepada hasil kajiannya ke atas beberapa buah prasasti; sebuah prasasti abad ke-4M, empat buah prasasti abad ke-7M dan sebuah prasasti abad ke-11M yang digelar prasasti cakravantin itu. Melalui analisis terhadap ayat-ayat yang dipahat pada prasasti-prasasti itu, Prof. Shaharir ada menemui beberapa perkataan yang ada “konjungsi dan disjungsi.” Walaupun pada prasasti abad ke-4M, beliau hanya menemui satu perkataan sahaja iaitu [dngan/dangan], namun dalam prasasti yang berikutnya penemuan beliau semakin bertambah dan paling banyaknya di temui dalam prasasti abad ke-11M. Penemuan perkataan-perkataan ini menggambarkan bahawa struktur mantik Bahasa Melayu ketika itu sudah amat kukuh walaupun dari segi lapan aljabar asas ilmu mantik struktur mantik Bahasa Melayu hanya memenuhi mantik implikasi sahaja [¬ (¬P) = P?]. Namun demikian, menurut Prof. Shaharir, pemenuhan hanya satu aljabar mantik itu bukan merupakan kesimpulan dan dapatan muktamad kerana “…terdapat 51 buah prasasti berbahasa Melayu lagi yang masih belum dikaji, dan kemungkinan dalam kesemua prasasti ini terkandung pula aljabar-aljabar mantik yang lain.”

Abad ke-17M dianggap sebagai abad pemodenan awal Bahasa Melayu (Collins dalam kuliah Sejarah Bahasa Melayu-nya melabelkan abad ini sebagai abad emas). Salah satu ciri yang menandai “abad emas” ini ialah munculnya sikap dalam kalangan bangsa-bangsa luar yang berdatangan ke Pascabima ini untuk mendekati, mengkaji dan mempelajari Bahasa Melayu. Walaupun diakui bahawa proses situ bukanlah didorong oleh tradisi kesarjanaan tetapi hanya tujuan pragmatiknya sahaja (mengajar doktrin Kristian misalnya), namun minat orang luar, Eropah terutamanya, terhadap Bahasa Melayu pada abad ini memang tidak boleh dinafikan (bandingkan kenyataan ini dengan catatan Francois Valentjin). Pada abad inilah munculnya nahu Bahasa Melayu pertama di dunia (antara sepuluh buah bahasa di dunia ini yang telah memiliki buku nahu) yang ditulis pada tahun 1674 oleh Joannes Roman, termasuk dalam senarai ini ialah kamus-kamus dwibahasa dan pelbagai bahasa serta pedoman-pedoman perbualan. Salah satu kamus yang ditulis pada abad ini ialah sebuah kamus yang berjudul Vocabularium, ofte woort-boeck naer ordre vanden alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende Maleysch-Duytsch oleh Sebastian Dankaerts dan Caspar Wilterns. Kajian mengenai kamus inilah yang dibentang oleh pemakalah terakhir, Dr. Karim Harun, dengan judul makalahnya, Leksikografi Melayu abad ke-17: Tinjauan terhadap Vocabularium, ofte woort-boeck naer ordre vanden alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende Maleysch-Duytsch (1632).

Secara umumnya, isi pembentangan Dr. Karim bertujuan untuk mendeskripsi kamus itu yang dibahagikan kepada struktur makro dan mikronya. Yang dimaksudkan dengan struktur makro sesebuah kamus adalah merujuk kepada bahagian-bahagian tertentu seperti bahagian hadapan, bahagian badan dan bahagian lampiran. Manakala struktur mikro pula merujuk kepada masukan sesebuah kamus. Kedua-dua struktur inilah yang dibincangkan oleh Dr. Karim sepanjang pembentangannya itu. Satu perkara yang menarik jika kita mengkaji teks-teks sebegini, iaitu yang ditulis oleh orang luar, adalah mengenai pengaruh bahasa natif penulis teks tersebut. Pembentang makalah ini telah pun membuktikannya dalam beberapa makalah beliau yang lain, antaranya Karim (2006, 2007, 2010) Contoh yang paling mudah dikesan ialah ejaan. Dalam hal ini, pembentang turut memaparkan beberapa contoh perkataan yang dipetik dari kamus yang dikajinya yang memperlihatkan adanya pengaruh ejaan bahasa natif pengarang, dalam kes ini Bahasa Belanda, antaranya contoh yang dipaparkan ialah [acal] ‘akal’ [anac] ‘anak’. Semasa mengakhiri pembentang beliau, Dr. Karim ada menyatakan bahawa “penghasilan kamus ini tidak terlepas daripada suasana keintelektualan yang berlaku di Eropah pada waktu itu yang meliputi aspek keintelektualan, agama dan sosial.” Pernyataan ini membuktikan bahawa kamus yang dihasilkan oleh Dankaerts dan Wilterns ini bukanlah sebuah kamus yang terasing tetapi terhasil daripada konteks yang melatari Eropah ketika itu.

Seminar yang tamat sekitar pukul empat petang ini bolehlah dianggap sebagai wadah permulaan bagi Kumpulan Penyelidik Bahasa Melayu ASASI untuk merancang pengkajian yang lebih teliti, menyeluruh dan terfokus pada masa depan.

Bangi

12.15am

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *