Kemaskini terbaru: March 25, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dialek Melayu Hulu Tembeling dan Hubungannya Dengan Asal Usul Dialek Melayu Pahang

Dialek Melayu Hulu Tembeling dan Hubungannya

Dengan Asal Usul Dialek Melayu Pahang

Oleh

Mohd Tarmizi bin Hasrah

Makalah ini cuba berbicara mengenai suatu hipotesis berhubung sumber dialek Pahang dengan mengetengahkan dialek Hulu Tembeling sebagai calon yang munasabah untuk mengisi tempat tersebut. Hipotesis ini memang baharu dan inilah buat pertama kalinya dikemukakan di sini. Walaupun telah ada sarjana yang cuba menjejaki sumber dialek Pahang, namun tumpuannya terarah hanya kepada subdialek Pekan (Asmah 1985/2008); alasannya bersebabkan faktor budaya dan politik yang dimainkan oleh daerah itu, yakni sebagai pusat pentadbiran. Makalah ini menolak tanggapan tersebut dengan mencadangkan dialek Hulu Tembeling-lah yang sepatutnya diangkat sebagai sumber yang menurunkan dialek Pahang.
Pengangkatan dialek ini disandarkan kepada tiga bukti linguistik dan bukti-bukti arkeologi yang ditemui di kawasan tersebut.
Bukti linguistik:
i.    Pengekalan vokal tinggi Melayik Purba atau singkatannya MP * dan * pada posisi suku kata praakhir. Mengenai ciri ini, kesemua varian di Hulu Tembeling masih mengekalkan kedua-dua vokal purba ini pada posisi yang dinyatakan.
ii.    Penambahan konsonan hentian glotal, //, pada posisi akhir kata sebelum kesenyapan. Lazimnya, bahasa-bahasa turunan MP yang memperlihatkan ciri ini hanyalah yang terdapat di Kepulauan Borneo yang dianggapkan sebagai tanah asal penutur MP itu. Setakat ini hanya dialek Hulu Tembeling dan dialek Pulau Tioman yang kelihantannya masih mengekalkan ciri ini (Collins 1985). Dengan ini dapatlah dihujahkan bahawa ketiadaan konsonan ini pada posisi yang dinyatakan merupakan perkembangan yang terjadi kemudian.
iii.    Pengekalan ciri diftongisasi konsonantal pada suku kata akhir. Kewujudan diftongisasi konsonantal hanya ditemui di Kepulauan Borneo terutamanya dalam varian-varian Bidayuhik (Rahim 2008; Chong Shin 2009). Dengan kemunculan ciri ini dalam dialek Hulu Tembeling, maka dapat dihujahkan bahawa dialek itu masih mengekalkan ciri linguistik bahasa-bahasa yang wujud di tanah asalnya.
Bukti Arkeologi:
i.    Penemuan gendang gangsa yang mewakili kebudayaan Haobinhianh juga menjadi bukti tambahan kepada hipotesis yang diutarakan dalam makalah ini (Linehan1936; Bellwood 1997).

Masalah:

i.    Jika dihipotesiskan bahawa dialek Hulu Tembeling sebagai sumber yang menurunkan dialek Pahang, ini bererti penduduk di kawasan ini merupakan yang pertama-tama bermustautin di Pahang. Ini seakan-akan bertentangan dengan pola migrasi yang terjadi di Alam Melayu yang mana secara lazimnya orang-orang yang bermigrasi itu tidak bermigrasi terus ke kawasan pedalaman tetapi menghuni di tepi-tepi pantai atau di kuala-kuala sungai. Dengan mengutarakan hipotesis begini bererti permustautinan terlebih dahulu terjadi di kawasan pedalaman atau hulu sungai dan kemudian baharulah beransur-ansur berpindah ke kawasan kuala sungai dan tepian pantai.
ii.    Pengekalan beberapa ciri linguistik, misalnya ciri yang pertama dan ketiga, berkemungkinan besarnya terjadi disebabkan proses peminjaman daripada bahasa-bahasa berdekatan. Mengenai ciri pertama telah dibuktikan bahawa dialek Ulu Terengganu juga mengekalkan ciri yang sama (Collins 1983). Begitu juga dengan ciri yang ketiga yang turut muncul dalam bahasa-bahasa Austro-Asiatik dan bahasa Urak Lawoi’ (Asmah 2008: 379). Dan kedua-dua bahasa ini memang berlokasi hampir dengan penutur-penutur dialek Hulu Tembeling.

Kesimpulan
Memang dengan data-data yang ada masih belum kuat untuk dijadikan dasar kepada hipotesis yang cuba dikemukan dalam makalah ini. Walau bagaimanapun, sekiranya dua masalah utama yang dinyatakan itu dapat diselesaikan, rasanya itu pun sudah memadai walaupun datanya terhad.

Rujukan
Adelaar, K. A. 1992. Proto Malayic: The reconstructions of phonology and parts of its morphology and lexical. Pacific Linguistic C-119. Canbera: The Australia National University.
Asmah Hj. Omar. 2008. Sususr galur bahasa Melayu. Edisi ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bellwood, Peter. 1997. Prasejarah Kepulauan Indo-Malaysia. Jakarta: Gramedia.
Collins, James T. 1985b. Dialek Melayu Pulau Tioman dan rekonstruksi Bahasa Melayu Purba. Jurnal Dewan Bahasa 5: 369-383
Collins, James T. 1998. Bahasa Melayu Hulu Tembeling: menjejaki sejarah Semenanjung. Jurnal Dewan Bahasa 2: 145-157.
Chong Shin (Ed.). 2008. Bahasa Bidayuhik di Borneo Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Linehan, W. 1936. Some discovaries on the Tembeling. JMBRAS 6 (4): 66-76.
Nothofer, B. 1996. Migrasi orang Melayu purba: kajian awal. Jurnal Sari 14: 33-52
Rahim Aman. 2008. Linguistik bandingan bahasa Bidayuhik. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Disebabkan tulisan ini masih lagi dalam proses, maka banyak rujukan tidak ditampilkan dalam ringkasan tulisan di atas. Sebagai pembaikan dan penyelesaian masalah yang dibangkaitkan, saya juga akan merujuk beberapa tulisan lain.
a) Sejarah Pahang dan Hulu Tembeling
– Buyong Adil (Sejarah Pahang)
– Linehan (arkeologi di Hulu Tembeling dan sejarah Pahang)
– I. H. N. Evans (arkeologi di Pahang)
– Paul Wheatly – The Golden Khersonese (kalaulah ada nama Hulu Tembeling disebut dlm rekod2 China)

b) Linguistik dan Dialektologi
– Collins (dialek Ulu Terengganu) – untuk melihat hubungan hubungan linguistik Hulu Tembeling dengan Ulu Terengganu.
– Tulisan-tulisan mengenai bahasa-bahasa Austro-Asiatik, misalnya oleh Sircom dll.

1 Komen

  1. Kesturi, cek blog WZWH, orang Brunei mengikut Tok Penghulu Ulu Tembeling balik, sebab itu da kaitan dengan bahasa Borneo..

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *