Kemaskini terbaru: June 30, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pascamoden dan Letak Epistemologinya

Pascamoden dan Letak Epistemologinya

Oleh : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

SUA (ASASI), Felo Tamu (ATMA, UKM) & Penyelidik Bersekutu (INSPEM, UPM)

 

1. Awal Bicara

Saya beranggapan bahawa nota yang saya tulis ini adalah pra-perbincangan kepada makalah yang akan saya tulis untuk The First Epistemology Workshop in The Philippines di Mindanao State University, Marawi City, Mindanao, pada 21-22/5/2011. Makalah saya tersebut hanyalah berbentuk bacaan umum bagi menyokong makalah (hanyalah nota pembentangan) dasar Prof Dr Osman Bakar bertajuk The Challenges of Postmodernism to Islamic Thought. Makalah lain yang saya sediakan adalah untuk membahaskan makalah dasar Prof Dr Kamal Hasan bertajuk Islam and The Epistemology of Social Sciences. Mungkin kedua-dua bahan ilmiah ini patut juga saudara/i telaah kemudian, lalu menyatakan pendirian terhadapnya menerusi penulisan. Pembacaan-pembacaan saya sebenarnya tidaklah menjurus kepada karya-karya yang dikelaskan dalam bidang pascamoden, walaupun sekali-sekala terpaksa mentelaahnya, namun menekuni pembacaan bidang epistemologi dan logik, terutamanya dari peradaban Islam, India dan Barat. Memanglah saya mengumpulkan karya-karya epistemologi dan logik Aristotle, Dignaga, Dharmakirti, al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, al-Suhrawardi, Descartes, Hume, Mills, Leibniz, Fichte, Kant, Hegel, Bolzano, Husserl, Frege, Russell, Wittgenstein, Heidegger, Sartre, Derrida, dll, lalu mentelaahnya. Tak banyak yang boleh difahami, sebab terlalunya sukar memahami belit-belit bahasa dan penghujahan masing-masing untuk mentakrifkan sesuatu dan menunjukkan bahawa takrif ini lain daripada yang sebelumnya. Namun, lama juga untuk saya memahami bahawa matematik logik yang dikembangkan oleh Frege-Russell, lalu dicabar oleh Hilbert dan Brouwer, sekitar 1890-1930, bukanlah bidang yang bermatlamat sama dengan epistemologi dan logik. Matematik logik adalah bidang yang berusaha untuk menuliskan pernyataan-pernyataan matematik dalam simbol-simbol yang ringkas lalu menyusunnya kembali dalam bentuk yang bersistem sehinggakan perkembangannya terkawalkan oleh kaedah-kaedah pembuktian yang dibenarkan, iaitu induksi, terus, kontrapositif dan percanggahan. Bidang ini dimulai oleh Peano di Italy, Frege dan Hilbert di Jerman, Russell di England dan Brouwer di Belanda. Tatkala itu, matlamat mereka adalah menuliskan semula bidang aritmetik dan geometri sebagai bidang-bidang yang tersusun bersistem. Percanggahan pandangan diantara mereka wujud apabila Brouwer tidak mempercayai kebenaran pembuktian menerusi percanggahan, yang diakibatkan daripada keraguannya terhadap hukum penengah (excluded middle law), iaitu ~~AA. Brouwer langsung membangunkan apa yang digelar kini sebagai matematik konstruktif, iaitu pernyataan-pernyataan matematik dibina secara bertimbun, yang bawah mentakrifkan yang atas. Hebatnya bidang matematik logik ini,  sehinggakan logikpun di matematik logikkan oleh Boole sekitar awal kurun ke-19M, lalu ditulis sebagai sistem (X, ~, ^, V, . Itulah yang dikenali dalam bidang elektronik sebagai logik Boole yang mengawal suis buka-tutup dalam litar.  Banyak sudah sistem lain yang mencabarnya, yang biasa-biasa dengar adalah logik konstruktif Brouwer, logik kuantum, logik kabur, logik 3-nilai (malah logik n-nilai), logik 7-nilai Jaina, dll. Matematik logik ini sebenarnya tidak menjawab isu asal epistemologi dan logik dalam matematik, iaitu antaranya, Apakah nombor? Apakah titik, garis, permukaan dan isipadu? Atau, umumnya, apakah benda matematik? Isu serupa yang dipinggirkan oleh ahli-ahli matematik (malah oleh ahli-ahli matematik logik dan ahli-ahli falsafah matematik) ini masih terus berusaha dijawab oleh ahli-ahli falsafah bahasa seumpama Wittgenstein dan Derrida katakan, yang berusaha menjawab apakah huruf, perkataan dan ayat? Ahli-ahli falsafah politik yang berusaha menjawab apakah manusia/orang, keluarga, masyarakat, negara, dll? Ahli-ahli falsafah ekonomi yang berusaha menjawab apakah benda, nilai benda, matawang, tukaran barang, jual-beli, dll? Ahli-ahli falsafah agama yang berusaha menjawab apakah manusia, nabi/rasul, kitab, alam, malaikat, syurga/neraka dan Tuhan? Ahli-ahli falsafah fizik yang berusaha menjawab apakah gerakan, daya, ruang, masa, dll? Apakah yang berusaha dijawab secara epistemologi dan logik oleh ahli-ahli falsafah pascamoden?

2. Kerangka Umum Epistemologi

Adalah sekali dua saya menuliskan tentang perumusan epistemologi yang dibahaskan oleh ramai pemikir sepanjang zaman, mungkin semenjak Plato, iaitu tentang prinsip-prinsip bagaimana manusia mendapatkan pengetahuan. Apakah pembolehubah-pembolehubah yang dicerap/dihasilkan oleh akal manusia sehinggakan manusia yang memiliki akal tersebut boleh digelar sebagai manusia yang memiliki pengetahuan? Semua perbahasan berkenaan epistemologi yang datangnya dari pelbagai bidang, tak kiralah samada, Sains Tabii, Teknologi, Sains Sosial, Bahasa, Matematik, Sejarah, Teologi, Logik, Undang-Undang, dll, semuanya boleh dirujukkan kepada salah satu daripada prinsip yang tujuh dibawah :

i. Nyataisme/Realisme : Fikiran mendapat maklum (secara langsung atau secara perwakilan) terhadap benda-benda luaran yang wujud berasingan darinya.

ii. Bendaisme/Materialisme : Pengetahuan adalah kualiti bagi jiwa/ruh dan bukannya terbitan bagi sesuatu benda.

iii. Wakilisme/Representasisme : Benda luaran memindahkan bentuknya, yang merupakan wakil, kepada fikiran.

iv. Unggulisme Berpihak/Idealisme Subjektif : Benda luaran adalah ciptaan fikiran.

v. Unggulisme Tak-Berpihak/Idealisme Objektif : Benda luaran adalah ciptaan Tuhan.

vi. Unggulisme Tahap-Tinggi/Idealisme Transendental : Benda luaran disahkan kewujudannya oleh fikiran melalui konsep benda fikiran.

vii. Wacanaisme/Dialektikisme : Benda luaran langsung tidak boleh difahami oleh fikiran.

Jika diteliti dengan cermat, hanya ada tiga pembolehubah yang mendasari aksiom-aksiom tadi, iaitu “benda luaran”, “wakil benda luaran” dan “benda fikiran”, dan selainnya bolehlah disangkutkan kepada tiga konsep dasar ini. Contohnya, “benda luaran ciptaan fikiran” pastilah lain daripada “benda luaran nyata/sebenar”, tapi letak duduk “benda luaran” tersebut adalah sama, seumpama “kereta” ciptaan fikiran, letak duduknya malah peranannya, sama dengan “kuda” nyata/sebenar. Sebelum kita masuk kepada perbahasan berkenaan epistemologi pascamoden, elok dianalisis ketujuh-tujuh prinsip tadi menurut konsep benda fikiran-nyata.

3. Sama-nya/Universal : Hubungan “Benda Nyata” dengan “Benda Fikiran”

Kesemua prinsip epistemologi di atas tadi sebenarnya boleh dianalisis dengan menggunakan dua pembolehubah yang dinyatakan dalam tajuk bahagian ini, iaitu “benda nyata” yang ditakrifkan sebagai semua benda (nampak atau tidak) yang berada disekeliling seseorang manusia yang mencerapnya untuk mendapatkan pengetahuan dan “benda fikiran” yang ditakrifkan sebagai benda di dalam fikiran seseorang manusia yang didapatkan samada sebagai perwakilan daripada “benda nyata” ataupun khayalannya sendiri yang mengubah struktur asal perwakilan itu ataupun khayalannya sendiri yang tidak berdasarkan apa-apa perwakilan. Ada empat prinsip pula bagaimana mahu mengkelaskan hubungan dua benda ini :

i. Nyataisme Melampau : “Benda fikiran” adalah benda yang berbeza daripada “benda nyata”, yang memiliki kewujudannya sendiri, tetapi berhubungan dengan cara tertentu dengan “benda nyata”.

ii. Nyataisme Tengah : “Benda fikiran” hanyalah suatu bentuk bagi “benda nyata”, yang tidak memiliki kewujudan selainnya.

iii. Konseptualisme : “Benda nyata” tidak memiliki kewujudan, ia hanyalah konsep di dalam fikiran manusia yang di”wujud”kan oleh fikiran.

iv. Namaisme : “Benda nyata” yang wujud hanyalah perkataan, dan kewujudannya disahkan menerusi penamaan kepada satu atau lebih benda-benda disekeliling manusia.

Pada saya, konsep “permainan bahasa” Wittgenstein banyak dicirikan oleh kasus ke-iv ini, malah pandangan-pandangan dalam falsafah bahasa banyak yang tergantung kepadanya. Saya sebutkan hal ini sebab kaitannya dengan Derrida, yang menukilkan konsep dekonstruktif, yang banyak dipengaruhi oleh penyelidikannya terhadap falsasah bahasa.

4. Epistemologi Dekonstruktif Pascamoden (Derrida)

Walaupun Derrida bermula menyelidiki falsafah menerusi ulasannya pada tahun 1962 terhadap makalah Husserl bertajuk The Origin of Geometry pada 1935, maksudnya beliau mendokong fahaman fenomenologi Husserl pada awalnya. Namun, bantahannya terhadap falsafah bahasa yang cenderung memakai logik, seperti dalam karya-karya Kant, Hegel, Frege, Husserl dan Heidegger, berbanding memakai retorik, seperti dalam karya-karya Ibn Khaldun, Condillac, Rousseau, Royce, Pierce dan Austin, membuatkannya mengkritik karya-karya Husserl menerusi perbandingan logik dan retorik. Debat logik-retorik inipun sebenarnya wujud dalam Tamadun Islam seawal kurun ke-8M, iaitu diantara al-Sirafi dengan Ilmuwan Kristian (guru kepada al-Farabi). Itulah sebabnya Ibn Khaldun terselit dalam buku Derrida yang bertajuk Speech and Phenomena (1967). Ibn Khaldun menyatakan bahawa bahasa adalah perangai teknikal, iaitu kebolehan berseni dan berteknik (malaka sina’iyya). Condillac pula menyatakan bahawa bahasa percakapan berasal daripada “bahasa tindakan”. Rousseau pula menyatakan bahawa asal-usul bahasa bergantung kepada alunan dan lenggok perasaan kita, berbanding bergantung kepada logik dan kegunaan (Karya Rousseau bertajuk The Origin of Language diulas dalam Grammatologie karya Derrida). Pierce kemudiannya mengkaji takrif operasi yang menjelaskan makna ayat-ayat. Royce menggunakan takrif Pierce kepada isu-isu bahasa dalam agama Kristian. Austin mengkaji perilaku bercakap/bertutur.

Menggunakan idea-idea teras falsafah bahasa yang bertunjangkan retorik inilah Derrida mentakrifkan semula seluruh penjelasan fenomenologi Husserl dan eksistensial Heidegger, kedua-duanya semacam kajian antropologi/psikologi manusia, lalu menukilkan idea dekonstruktif, yang sebenarnya adalah analisis terhadap fasa kehendak/kemahuan/hasrat/niat seseorang manusia dalam menguruskan kehidupannya.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *