Kemaskini terbaru: June 30, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penilaian Kritis Muslim Terhadap Konsep Utiliti : Kearah Membangun Ekonomi Kebahagiaan

Penilaian Kritis Muslim Terhadap Konsep Utiliti : Kearah

Membangun Ekonomi Kebahagiaan

Oleh

Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Felo Tamu, ATMA, UKM, Malaysia

 

Abstrak

Makalah ini berhasrat untuk membuat sorotan terhadap perkembangan konsep utiliti yang dikembangkan di Barat semenjak kurun ke-16M.  Kininya, hampir keseluruhan teori ekonomi berteraskan utiliti ini dikritik hebat, diantaranya disebabkan oleh gagalnya model ekonomi kapitalisme. Kritikan juga datangnya daripada sarjana-sarjana Muslim. Kami akan cuba membincangkan kritikan ini secara teliti, lalu membahaskan isu membangun ekonomi kebahagiaan, terutamanya di Alam Melayu.

 

1. Pengenalan

Kebahagiaan sepertimana yang dimahukan oleh pemikir-pemikir utama Barat seumpama Pithagoras, Plato, Aristotle, Aquinas, Descartes, Kant, Hegel dan lain-lainnya bukanlah sepertimana yang mampu dimatematikkan oleh ahli-ahli matematik ekonominya semenjak Edgeworth. Penurunan maksud kebahagiaan kepada guna/faedah/utiliti, diakui sendiri oleh ahli-ahli ekonomi Barat sebagai kebahagiaan kebendaan sahaja, lihat senarai bibliografi yang membahas tentang nilai komoditi dalam lampiran. Namun, konsep yang berteraskan kepada falsafah kebendaan yang dipanggil utiliti ini tidak pernah cuba digantikan dengan konsep yang jauh lebih baik daripadanya. Pembaikan hanyalah berlaku menerusi penggantian dengan rumus-rumus yang lebih teliti daripada sebelumnya, bukan kepada pembaikan konsep itu sendiri. Krisis ekonomi dunia yang berlaku baru-baru ini adalah implikasi paling buruk daripadanya. Selepas daripada krisis ini barulah kedengaransarjana-sarjana Barat berhujah mengatakan bahawa falsafah kebendaan itu yang patut dipersalahkan, dan perlulah digantikan dengan yang lebih baik. Salah satu daripada calon penggantinya adalah ekonomi kebahagiaan, atau ekonomi yang berteraskan kepada kabahagiaan manusia atau ekonomi yang berteraskan kepada perkara-perkara yang memberikan kebahagiaan kepada manusia. Apakah pandangan Islam dalam isu ini? Kebahagiaan merupakan satu tema yang mendapat tempat dalam karya-karya ilmuwan-ilmuwan Islam, contohnya adalah al-Farabi, Tahsil al-Sa’adah dan Tanbih ‘ala Sabil al-Sa’adah; Miskawaih, Tartib al-Sa’adat; Ibn Sina, Risalah fi-l-Sa’adah; al-Ghazali, Kimiya al-Sa’dah; al-‘Amiri, Kitab al-Sa’adah wal-Is’ad. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai kebahagiaan oleh mereka? Tatkala Arkoun (2000) membahas buku al-‘Amiri tersebut, beliau mentakrifkan kebahagiaan sebagai keseimbangan optimum yang dapat mengatasi berbagai ketegangan kontradiktif manusia antara keburukan dalam kondisinya sebagai binatang berpolitik dan kebaikannya sesuai dengan karekternya sebagai malaikat yang jatuh dari langit. Optimum bermaksud minimum/maksimum, ini mungkin menunjukkan bahawa beliau sudah mengetahui rumus-rumus matematik berkenaan utiliti, seperti yang kami bentangkan kemudian ini. Selepas membincang perkembangan konsep utiliti Barat dan kritikan Muslim terhadapnya, kami akan masuk semula membincangkan maksud kebahagiaan ini menurut perspektif ekonomi.

2. Perkembangan Konsep Utiliti di Barat

Utiliti, atau maksudnya yang sebenar, kebahagiaan yang dicapai oleh seseorang manusia berdasarkan ukuran kepuasannya terhadap sesuatu barang yang dia miliki, berkembang lama di Eropah. Perkembangannya mencakup aspek falsafah/konsep, rumus/matematik hinggalah kepada sistem/penggunaan. Berikutnya, kami berhasrat untuk menyatakan maksud utiliti sepanjang zaman berkenaan, lihat kajian yang dilakukan oleh Nur Salwani Halisa (2005), Lilysuriazna (2005) dan Lai Yin Her (2006) :

 

Nicholas Barbon (1690) : Nilai kesemua barang-barang dagangan bergantung kepada kegunaan barang tersebut. Barangan yang tiada kegunaan dianggap tiada nilai.

 

Daniel Bernoulli (1738) : Utiliti bagi sesuatu pulangan tidak berkadar secara terus dengan nilai wang pulangan tersebut. Oleh itu, terdapat nilai fungsi yang berkurang secara negative sehinggakan jumlah utiliti berkadar dengan nilai objektif wang.

 

Ferdinando Galiani (1750) : Kekuasaan sesuatu benda yang menyebabkan kita memperolah kebahagiaan.

 

Richard Cantillon (1755) : Sesuatu barang itu mesti mempunyai nilai utiliti sebelum dihasilkan.

 

Jeremy Bentham (1780) : Sifat khas di dalam sebarang objek yang cenderung memberikan faedah, kelebihan, kenikmatan, kebaikan dan kegembiraan.

 

William Stanleys Jevons (1781) : Koefisien bagi utiliti secara umumnya adalah fungsi menyusut bagi kuantiti objek yang digunakan, iaitu dU/dx bagi fungsi utiliti U=f(x) terhadap penggunaan komoditi x.

 

Llyod, W.F. (1833) : Utiliti bagi jagung selepas penuaian secara besar-besaran adalah sama nilainya seperti pada waktu kebuluran. Oleh itu, kualiti yang terdapat dalam suatu komoditi adalah perasaan yang wujud dalam fikiran. Utiliti juga berbagai mengikut kepelbagaian keadaan luaran, yang boleh mempengaruhi perasaan. Utiliti tidak mempunyai kepelbagaian terhadap kualiti dalaman komoditi, yang sebenarnya merupakan objek itu sendiri.

 

Hermann Heinrich Gossen (1854) : Jumlah utiliti terbit daripada penggunaan barangan menyusut bagi setiap unit tambahan komoditi. Iaitu MU(1)/h(1)=MU(2)/h(2)=…=MU(i)/h(i), untuk semua i, yang MU(i) adalah utiliti marginal bagi barangan i pada harga h(i).

 

Carl Menger (1871) : Istilah utiliti hanyalah perkataan, yang seerti dengan faedah.

 

Leon Walras (1874) : Fungsi utiliti adalah terpisahkan sehinggakan utiliti bagi x ditakrifkan sebagai  U(x)= , yang u(i)(x(i)) adalah utiliti bagi barang x(i).

 

Edgeworth (1881) : Memperkenalkan fungsi utiliti U(x,y,z,…) dan berhujah bahawa nilai yang terbaik untuk memaksimumkan utiliti adalah , dn perasaan individu, dt masa dan dp peningkatan keinginan yang boleh dicapai.

 

Perkembangan konsep utiliti selepas 1890 amat-amat dipengaruhi oleh bidang yang dipanggil pengoptimuman, atau lebih khusus lagi pengoptimuman fungsi utiliti. Kepada masyarakat umum, bidang ini difilemkan berteraskan biografi John Nash, iaitu peristiwa yang bersekitar pada tahun 1950-an, menerusi filem yang berjudul The Beautiful Mind. Kami sebutkan beberapa bidang utama yang berkaitan kepada bidang ini, iaitu ramalan ubahan Bowley 1924, teori duopoli “pemimpin-pengikut” von Stackelberg 1934, fungsi tindakbalas Fellner 1949,  pengaksioman utiliti berangka von Neumann-Morgenstern 1943, aksiom utiliti tunggal Nash 1950-1953. Semua ini dan banyak lagi dikaji oleh Lilysuriazna (2005) dan Lilysuriazna dan Mohammad Alinor (2005 & 2006). Bentuk aksiom pengoptimuman utiliti yang termaju dipersembahkan oleh Debrau 1983, seperti yang dipersembahkan semula oleh Shaharir dan Rohani (1996) dan Shaharir (2002, 2005, 2006a, 2006b & 2008/2010) :

 

(U1) Manusia rasional (boleh membuat perbandingan/penertiban setiap pasangan komoditi yang berhadapannya, dan perbandingan/penertiban itu transitif);

(U2) Manusia rakus dan tidak jemu-jemu (lagi banyak lagi bagus);

(U3) Komoditi selanjar, iaitu set komoditi boleh diberi topologinya dalam sebutan jarak J sehinggkan jika a LS (lebih suka) b, maka wujud  sedemikian rupa x LS y, J(x,a)< dan J(y,b)<; atau jika a LS b dan b LS c, maka [ma+(1-m)c] LS b, bagi 0<m<1;

(U4) Cembung, iaitu jika x LS y, maka [ax+(1-a)y] LS y;

(U5) f terbezakan dua kali selanjar.

 

Aksiom-aksiom ini sebenarnya terus dikritik di Barat, terutamanya falsafah yang melandasi (U1) & (U2), namun hanyalah menggantikannya dengan konsep kebendaan yang lebih baik, dan matematik yang melandasi (U3)-(U5) tersebut, dengan menggantikannya dengan konsep-konsep matematik yang lebih baik. Kami tidak akan membincangkan perkara ini. Cuma, ingin kami sebut bahawa pemahaman yang agak jitu terhadap falsafah, perumusan dan pemakaian konsep utiliti ini mungkin sekali dapat ditafsirkan daripada karya Tan Malaka (1943/2000) untuk konteks masuknya sains ekonomi Barat ke Alam Melayu. Kami berusaha juga menggelintar karya-karya sebelumnya, memandangkan Melayu/Indonesia sudah mulai membentuk kesatuan di Belanda sekitar 1908. Tentunya banyak aspek intelektual Melayu/Indonesia yang berlangsung di Belanda sebelum 1943. Bolehkah sesiapa membantu kami disini?

 

3. Kritikan Muslim Terhadap Konsep Utiliti Barat

Langkah kami seterusnya adalah untuk mendapatkan karya-karya oleh sarjana-sarjana Muslim yang langsung membahas konsep-konsep tadi. Kami menemukan perbahasan yang dilakukan oleh Kahf 1980, Khan 1984, Zaman 1987 dan Shaharir dan Rohani (1996), yang semua ini diulangi oleh Shaharir (2006 & 2008/2010), dan HAMKA (pra-1939/1939/2001). Kami perbahaskan kandungannya. Kahf, Khan dan Zaman  mentelaah aksim-aksiom utiliti Barat tersebut, lalu menyanggah aspek-aspek yang bercanggah dengan Islam, seterusnya mencadangkan agar istilah “utiliti” itu digantikan dengan istilah “falah” (Kahf)  dan “maslahah” (Khan), lalu membahaskan secara kualitatif implikasinya kepada teori kelakuan pengguna Islam. Juga, Zaman memaparkan 4 aksiom baru, walau dengan istilah lama, tetapi masih mengekalkan (U2). Shaharir dan Rohani (1996) mengesyorkan agar diwujudkan fungsi falah terhadap komoditi duniawi dan komoditi ukhrawi, dan (U2) digantikan. Semua ini diberikan sebagai :

 

(UW1) Ada 4 kelas kesetaraan komoditi, iaitu komoditi duniawi asasi, komoditi duniawi bukan asasi, komoditi ukhrawi fardhu dan komoditi ukhrawi bukan fardhu;

(UW2) Wujud fungsi vektor 4-komponen penentu keputusan, iaitu u(x)>u(y) jika z>x>y (x dan y berada dalam kelas kesetaraan yang sama) dan u(x)<u(y) jika z<y<x, z komoditi wustdo;

(UW3) u terbezakan dua kali;

(UW4) u cembung dalam setiap kelas kesetaraan set komoditi, iaitu u(ax+by)au(x)+bu(y), yang a+b=1, dan cekung sebaliknya.

 

Bagaimana baiknya Aksiom Zaman-Shaharir-Rohani berbanding Aksiom Debreu masihlah belum ada sesiapa menyemak dan membuktikannya. Tugas ini sepatutnya disambut oleh ahli-ahli matematik ekonomi tempatan.

 

4. Membangun Ekonomi Kebahagiaan Islam

Jadinya, konsep utiliti Barat itu tidak pernah diperbaiki secara dasar, walaupun dianggap oleh pemikir-pemikir Barat sendiri sebagai hanyalah tafsiran kebendaan kepada maksud kebahagiaan. Kinipun, menerusi banyak kajian dan tulisan, contohnya oleh Frey dan Stutzer (2003), kebahagiaan masihlah ditakrifkan sebagai kebahagiaan kebendaan, iaitu bertanyakan kepada banyak manusia (lebih ramai dan lebih rencam kelas statistiknya lebih baik), apakah perkara-perkara yang memberikan kebahagiaan kepada manusia itu. Hal-hal keagamaan amatlah minimum disentuh, namun aspek akal pastilah sesuatu yang utama disentuh, terutama apabila golongan sasaran adalah kalangan intelektual. Pada kami, pengaksioman Zaman-Shaharir-Rohani tersebut adalah suatu bentuk pembaikan mendasar kepada aksiom Debreu, yang sepatutnya mampu dilakukan lama dulu mengikut konteks oleh pemikir-pemikir Yahudi-Kristian Barat, yang mungkin ada. Isunya, yang kami mahu bawakan disini adalah, kerja-kerja yang dilakukan oleh Kahf, Khan, Zaman, Rohani dan Shaharir tidaklah sebenarnya memanfaatkan kepustakaan ilmu era kecemerlangan Islam, seumpama mentelaah buku-buku tantang kebahagiaan yang kami nyatakan di atas. Karya-karya lain yang banyak berbahas berkenaan ekonomi Islam, ekonomi politik Islam, dan sebagainya, tidak pula menyentuh isu utiliti ini. Nampak seolah-olah tafsiran Arkoun (2000) itu yang terbaik untuk kes memodelkan secara kuantitatif maksud kebahagiaan. Namun, seperti yang dibicarakan oleh Shaharir kepada kami, maksud “keseimbangan optimum” pada Arkoun tersebut mengelirukan. “Keseimbangan” adalah tahap penengah dalam sesuatu perkara, sedangkan “optimum” adalah tahap pangkal-hujung (minimum dan maksimum) bagi sesuatu perkara, mana mungkin kedua-dua perkataan ini digabungkan. Mana mungkin “penengah yang pangkal-hujung”? Kecualilah wujudnya set keseimbangan, iaitu wujudnya banyak titik keseimbangan, yang apabila ditertibkan, bolehlah kita mentakrifkan “keseimbangan pangkal” dan “keseimbangan hujung”, tapi selalunya titik keseimbangan ini unik/bitara sifatnya. Kami mesti mendapatkan maksud sebenar yang dinyatakan oleh al-‘Amiri, takkanlah beliau menukilkan konsep “optimum”(dalam istilah Arab), yang hanya digunakan di Barat sekitar kurun ke-19M. Namun kemungkinannya ada sebab perkataan ini berasal dari bahasa Latin, yang sedia dimaklumi istilah-istilah utamanya oleh ilmuwan-ilmuwan Islam, dan mungkin al-‘Amiri mendapatkan perkataan Arab yang setara. Dalam hal ini, kami akan memanfaati karya HAMKA (pra-1939/1939/2001). HAMKA sebenarnya membahas makna konsep kebahagiaan (termasuk di dalamnya utiliti) Pitagoras, Plato, Aristotle,  Hendrik Ibsen, Thomas Hardy, Leo Tolstoy, Bertrand Russell dan George Bernard Shaw. Lalu kemudiannya beliau membandingkan konsep kebahagiaan Barat tersebut dengan apa yang dimaksudkan dalam Islam, terutamanya beliau membahaskan konsep kebahagiaan al-Ghazali, mungkin sekali daripada karyanya Kimiya al-Sa’dah itu. Mengikut tafsiran HAMKA, al-Ghazali membahagikan kebahagiaan kepada lima fasa, iaitu akhirat, akal-budi, tubuh-badan, luar tubuh-badan dan pimpinan Allah SWT. Yang menariknya mahu kami nyatakan disini, konsep Maqasid Shari’a yang dibicarakan dalam pertemuan ini termaktub didalam lima kebahagiaan al-Ghazali tersebut, iaitu pemeliharaan agama (dalam fasa akhirat), nyawa (dalam fasa tubuh-badan, yang terangkum di dalamnya nyawa), akal budi, harta (dalam fasa luar tubuh-badan) & keturunan (dalam fasa luar tubuh- badan). Manakala, aksiom Zaman-Shaharir-Rohani tersebut menghayati pembahagian kebahagiaan al-Ghazali-HAMKA ini menerusi fasa-fasa : (i) akhirat; (ii) akal-budi, tubuh-badan dan luar tubuh-badan, iaitu menerusi : (i) set komoditi ukhrawi fardhu dan set ukhrawi bukan fardhu (pimpinan Allah SWT boleh juga dirangkumkan disini); (ii) set duniawi fardhu dan set duniawi bukan fardhu juga (UW2)-(UW4). Perbincangan tentang Maqasid Shari’a, atau sepertinya, dikalangan ilmuwan Melayu juga kami kesan dilakukan oleh Haji Omar Nuruddin Sungai Keladi (1867-1946) menerusi bukunya Kitab Jalan Sejahtera (1917), terbitan Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan. Padanya, Maqasid Shari’a terbahagi kepada enam bahagian, iaitu pemeliharaan aspek-aspek ugama Islam, diri, akal, keturunan, kemaluan dan harta. Ini lebih awal daripada HAMKA. Kami belum memperoleh karya ini untuk diteliti. Cuma, apa yang tidak disentuh oleh HAMKA adalah maksud “bahagia” dalam masyarakat Melayu, yang sedikit sebanyak kami pangkung dalam Shaharir dan Mohammad Alinor (2011), yang berusaha menelusuri sejarah perkataan “bahagia” dan maknanya. Kami mendapati seawal 606Saka/684M, seperti yang terpahat pada prasasti Talang Tuwo, Palembang, Sumatera, perkataan “subhagia” bermaksud “tanaman menjadi, segala ternakan dan hamba abdi mereka sihat, rakyat tidak ditimpa bencana, tidak mendapat siksaan, tanpa penyakit tidak boleh tidur, berhasil yang baik dalam setiap pekerjaan, tiada penyakit, awet muda, tiada kecurian, tiada kecurangan, tiada pembunuhan, tiada penzinaan, baik hati, mengikut sila/adab, sabar, dianugerahi kekuatan pandangan, rajin, pakar seni dan beroleh sahabat-sahabat yang bijaksana”. Manakala di dalam prasasti bertarikh pada 811Saka/899M yang ditemui di Campa/Vietnam pula, terpahat di dalamnya penentangan habis-habisan terhadap “tamak haloba (lobha), gila-asyik (moha) dan kebanggaan (mada)”, juga disarankan bersifat sederhana/tengah dalam mengejar hidup kapitalis-liberalis, iaitu “harta kekayaan (artha), keseronokan (kama) dalam kehidupan, dan pembuatan keputusan (apaksapata)”. Maksudnya, sekitar kurun ke-9M lagi, di Alam Melayu ini, telah disarankan agar masyarakatnya menghindari keburukan tindakan manusia dalam menguruskan kehidupan sehariannya (berekonomi), ini seumpamalah pra-kritik terhadap aksiom Debreu tersebut, dan jalanilah hidup dengan “subhagia”. Dalam ruangan yang lain, kami akan cuba membincangkan isu “ekonomi kebahagiaan” ini dalam bentuk yang lebih tersatu-padu, terutamanya untuk khasus-khasus di Alam Melayu.

 

5. Rumusan dan Cadangan

Penggalian maklumat, terutamanya dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu, yang membantu membina bidang ekonomi yang lebih baik daripada yang ditunjukkan oleh Tamadun Barat kepada kita mestilah dilakukan. Ini mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh agarnya nanti masyarakat kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain didunia.

 

 

 

 

Rujukan

Arkoun, M. 2000. Mencapai kebahagiaan menurut Abu-L-Hasan al-‘Amiri. Bab 4 dalam Membedah Pemikiran Islam. Bandung : Penerbit Pustaka.

Frey, B.S dan Stutzer, A. 2003. Testing theories of happiness. Working Paper No. 147. Institute for Emperical Research in Economics, University of Zurich.

HAMKA. pra-1939/1939/2001. Tasauf Moden. Kuala Lumpur : Darul Nu’man.

Lai Yin Her. 2006. Model-Model Utiliti dan Kegunaannya di Malaysia. Tesis Ijazah SmSn. PPSM, FST, UKM.

Lilysuriazna Raya. 2005. Bukti Bermatematik Menunjukkan Aksiom-Aksiom Utiliti Tunggal Nash Dipengaruhi oleh Aksiom-Aksiom Von Neumann-Morgenstein. Tesis Ijazah SSn. PPSM, FST, UKM.

Lilysuriazna Raya dan Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2005. Pengaksioman fungsi tindak balas. Prosiding Kolokium Siswazah FST ke-5. 26-27/5/2005. UKM, Bangi.

———————————————————————-. 2006. Kerelatifan aksiom-aksiom utiliti tunggal Nash dengan aksiom-aksiom von Neumann-Morgerstern. Jurnal Pengukuran Kualiti dan Analisis 2(2006) : 103-114.

Nur Salwani Halisa Abu Bakar. 2005. Perkembangan Konsep Utiliti : Falsafah, Matematik dan Aksiom. Tesis Ijazah SmSn. PPSM, FST, UKM.

Shaharir Mohd Zain. 2002. Kaedah pengajaran dan pendidikan pengoptimuman yang mendekati Islam. Prosiding SKSM ke-9. Bangi : PPSM, UKM : 313-320.

————————–. 2005. Sains Matematik dan Pengurusan. Makalah Undangan pada SKSM ke-13. Journal Ukuran Qualiti dan Analisis 1(1) : 1-43.

————————–. 2006a. Penganggaran nilai wustdo dalam pengaturcaraan linear bermatlamat tunggal. SKSM ke-14, UM.

————————–. 2006b. Pendekatan baru terhadap konsep optimum kini dan beberapa konsep optimum baru. Kesturi 16 (1&2) : 64-104.

————————–. 2008/2010. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Kuala Terengganu : UMT.

Shaharir Mohd Zaind an Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2011. Keperihatinan pemimpin dan sarjana Rumpun melayu terhadap keterlestarian. Draf

Shaharir Mohd Zain dan Rohani Abdul Rahman. 1996. Pengaruh sistem nilai dalam pengoptimuman utiliti berketentuan : Kearah teori yang lebih serasi dengan Islam. Prosiding SKSM ke-7. Shah Alam : ITM : 290-296.

Tan Malaka. 1943/2000. Madilog. Jakarta : Teplok Press.

 

 

 

 

Lampiran : Bibliografi Eropah Tentang Utiliti

Copernicus, Discours sur la frappe des monnaies (1490?),

Malestroit, Le paradoxe sur le fait des monnaies (1566),

Davanzatti, Lecon sur la monnaie (?),

Hobbes, T., Leviathan (1651),

Thomas Mun, England’s treasure by foreign trade (1664),

Bouteroue, Recherches curieuses des monnaies de France (1666),

Becher, J., Politischer diskurs (1668)

Vaughan, A discourse of coin and coinage (1675),

Locke, J., Some considerations of the consequences of the lowering of interest (1692),

Barbon, N., A discourse concerning coining the new money lighter (1696),

D’Aguesseau, Considerations sur la monnaie (1718),

Gee, J., Consideration on trade (1730),

Melon, Essai politique sur le commerce (1734),

Terrasson, Trois lettres sur le commerce et les finances (1738),

Paris-Duverney, Examen des reflexions politiques sur les finance (1740),

Gonnard, Historoire des theories monetaires(?),

Turgot, Valeur et monnaie (1749),

Ludovico Muratori, On public happiness (1749),

Ferdinando Galiani, Della moneta (1750),

Turgot, Reflexions sur la formation et la distribution des richesses (1752),

Cantillon, Essai sur la nature du commerce en general (1755),

Graslin, Essai analytique sur les richesses (1767),

Condillac, Le commerce et le gouvernement(?),

Bentham, J., A fragment on government (1776),

Bentham, J., An introduction to the principles of morals and legislation (1780),

Jevons, W.S., The theory of political economy (1781),

Giusippe Palmieri, Reflections on public happiness (1787),

Adam Smith, The wealth of nations (1799),

Ricarrdo, D., Principles of political economy and taxation (1817),

Gossen, The laws of human relations and the rules of human action derived thereform (1854),

Menger, C., Principles of economics (1871),

Marshall, A., Principles of economics (1875),

 

 

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *