Kemaskini terbaru: May 14, 2012

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tentang Mantik Islami: Satu Tinjauan Sepintas Lalu

Tentang Mantik Islami: Satu Tinjauan Sepintas Lalu

Oleh seorang yang dihasilkan oleh sistem pendidikan yang menekankan pemikiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) tapi ironinya mantik atau logik tidak diajar di sekolah-sekolah (melainkan satu bab dalam matematik moden tingkatan 4)

 

Motivasi

  • Islam sebagai ad-din yang menekankan keimanan berdasarkan keyakinan yang haqq.
  • Pengetahuan tentang sesuatu melalui sekurang-kurangnya tiga jalan iaitu khabar yang benar, akal yang sejahtera dan pancaindera. Ini membentuk epistemologi.
  • Kebanyakan ulama berpendapat bahawa wahyu lebih tinggi daripada akal. Ada yang percaya bahawa akal mendahului wahyu dengan kefahaman bahawa wahyu tidak mampu difahami tanpa menggunakan akal seperti Fakhruddin al-Razi.
  • Ilmu mantik disusun dan diterima pakai sebagai peraturan-peraturan berfikir supaya tidak tersilap membuat kesimpulan.

Beberapa takrif

  • Secara bahasa: berasal daripada kata akar na-tha-qa yang bermaksud berkata atau bercakap.
  • Ibn Sina: suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia daripada tersalah sewaktu berfikir. Mantik sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan menjadi peraturan manusia ketika berfikir.
  • Al-Ghazali: suatu ilmu yang dengannya dapat dibezakan suatu ilmu yang membawa kepada kebenaran dan keyakinan dengan suatu ilmu yang membawa kepada kesalahan dan kesamaran. Mantik sebagai neraca ilmu (mizan al-‘ilm).
  • Ibn Khaldun: suatu peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar dengan pemikiran yang salah. Mantik berfungsi untuk menjelaskan hakikat sesuatu.

Sejarah ringkas

  • Dua kurun pertama Hijrah menyaksikan rancaknya perbahasan masalah fiqh dan aqidah yang terjalin secara kompleks dengan isu-isu politik semasa, pertembungan budaya pelbagai kaum dan sebagainya. Merangkumi zaman empat imam mazhab fiqh Sunni.
  • Mantik Islami dalam bentuknya yang awal terjelma dalam al-qiyas yang diterima sebagai salah satu daripada dalil qat’i yang empat secara jumhur. Ditolak oleh mazhab Muktazilah, Zahiri serta ibn Hazm.
  • Bermulanya pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, bibit-bibit kemasukan mantik Yunani melalui kerajaan Kristian Syria (melalui tradisi kurikulum Iskandariah yang menggunapakai Kategoriai, Peri Hermeneias dan sebahagian Analytica Priora) dan Sasanid. Terjemahan dilakukan oleh, antaranya, ibn al-Muqaffa’ dan para pendeta Kristian (Nestoria?).
  • Bermulanya pertembungan golongan bahasa (dan nahu) dengan golongan mantik.
  • Perdebatan ini berpanjangan hingga zaman Imam al-Ghazali yang menerima pakai mantik Yunani. Antara debat menarik dua golongan ini adalah antara Abu Sa’id al-Sirafi (ahli nahu) dan Abu Bishr Matta (tokoh Mashsha’iyyah) pada sekitar awal kurun ke-3 Hijrah.
  • Penterjemahan mendapat sokongan kerajaan Abbasiyyah. Antara para penterjemah terlibat: al-Kindi (m.870M, menterjemah dan mensyarahkan sebahagian besar Organon), al-Farabi (m.950M, digelar Guru Kedua, menterjemah dan mensyarahkan Organon (bersama Hunayn ibn Ishaq) dan buku-buku Aristotle yang lain serta karya-karya mantik yang dipercayai hasil golongan Stoik), Ibn Sina (m.1037M) dan lain-lain.
  • Mantik Yunani dalam dunia Muslim terbahagi kepada dua tradisi – al-Farabi dan ibn Sina.
  • Tradisi al-Farabi mirip Aristotle. Walaubagaimanapun beliau menyumbang kepada perkembangan ilmu mantik dengan mensistematikkan penghujahan induktif di bawah silogisme kategori. Tradisi ini ditentang hebat oleh Mazhab Baghdad dan cuba dihidupkan semula oleh Ibn Rushd (m.1198M) dan diterjemahkan di Eropah tetapi “mati” dalam dunia Islam lantas menandakan berakhirnya pengaruh Aristotle.
  • Ibn Sina dalam al-Isharat wa al-Tanbihat secara kritis berkhilaf dengan Aristotle dalam tiga perkara, antaranya berkenaan proposisi berbentuk ‘semua A adalah B manakala A’ dan pembezaan antara silogisme terhubung (conjunctive, al-istithna’i) dan silogisme berulang (repetitive, al-iqtirani), menggantikan pembezaan Arsitotle iaitu silogisme hipotetik dengan silogisme kategori. Tradisi beliau berkembang di timur dunia Islam – mazhab Baghdad. Bermula abad ke-12 Masihi, pengaruh Aristotle dalam mantik berkurang dan digantikan oleh ibn Sina.
  • Al-Ghazali (m.1111M) menulis Maqasid al-Falasifah yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin dan mendapat minat mereka kerana membincangkan topic-topik hangat pada masa itu seperti pembahagian ilmu, pembezaan antara mahiyyah dan wujud serta keabadian alam. Pembahagian beliau tentang premis-premis silogisme teah menarik perhatian logikawan Barat termasuk Thomas Aquinas. Walaupun telah menulis Tahafut al-Falasifah, al-Ghazali bersetuju dengan hujah al-Farabi dalam menganjurkan penggunaan mantik dalam ilmu-ilmu Islami yang lain seperti fiqh dan kalam. Kitab usul fiqh beliau, al-Mustasfa, adalah contoh bagi perkara tersebut.
  • Menurut pemerhatian ibn Khaldun, Fakhruddin ar-Razi (m.1210M) adalah sarjana pertama yang tidak lagi merujuk kelima-lima buku Aristotle dalam Organon dan menjadikan cabang-cabang mantik tertentu bagaikan disiplin tersendiri. Beliau juga secara asli telah membina sistem baru mantik induktif (mendahului John Stuart Mill) dan mengaplikasikannya kedalam fiqh.
  • Nasiruddin at-Tusi (m.1274M) cuba mempertahankan kelemahan mantik Aristotle daripada yang telah ditunjukkan oleh Ibn Sina, lantas memberi nafas baru kepada ilmu mantik dengan menyerapkannya kedalam metafizik Syiah.
  • Najmuddin al-Katibi al-Qazwini, mengambil banyak rujukan daripada ibn Sina terutamanya, telah menulis buku teks ar-Risalah as-Shamsiyyah yang telah digunakan secara meluas dalam pengajian madrasah seluruh dunia Islam.

Nota: hubungkait al-qiyas dengan logik Aristotle

  • Al-qiyas dari segi bahasa: al-taqdir (perkadaran). Secara istilah ulama usul al-ahkam: menjelaskan hukum terhadap suatu perkara yang tidak ada ketetapan nas al-Quran dan as-Sunnah dengan membuat perbandingan terhadap sesuatu perkara yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas (Mustafa Dib al-Bugha). Atau, menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya dalam al-Quran atau as-Sunnah atau ijmak dengan masalah yang telah dijelaskan hukumnya di dalam salah satu daripada dalil tersebut berdasarkan persamaan ‘illah hukum. (Abdul Karim Zaidan).
  • Empat rukun qiyas: al-asl (asal), hukm al-asl (hukum asal), al-far’ (pecahan), ‘illah (alasan serupa antara asal dan furu’). Contoh qiyas: haram memukul ibu bapa diqiyaskan kepada haram mengherdik mereka (qiyas al-awla).
  • Menurut Ibn Taymiyyah dalam Jahd al-Qarihah, ahli-ahli mantik berbeza pandangan tentang al-qiyas. Al-Ghazali dan Abu Muhammad al-Maqdisi berpandangan bahawa al-qiyas secara hakikinya adalah sama dengan analogi dan majazinya sama dengan silogisme kategori. Ibn Hazm pula berpandangan sebaliknya. Jumhur berpandangan bahawa al-qiyas merujuk kepada kedua-duanya secara hakiki walaupun mungkin berlainan sdari segi bentuk. Pendapat ini dibenarkan oleh Ibn Taymiyyah.

Kritikan

  • Berkata Imam as-Syafi’i: “[Umat Islam] tidak pernah menjadi jahil dan berpecah kecuali setelah mereka meninggalkan Bahasa Arab dan cenderung kepada bahasa si Aristotle!”
  • As-Sirafi (sekitar 930M): “Dunia tetap begitu selepas adanya logik Aristotle sebagaimana sebelum ia ada.”
  • Ibn Taymiyyah (m.1328M) berkenaan sahnya silogisme: “Sahnya bentuk silogisme mereka tidak mampu dipatahkan… Tetapi timbunan perkara-perkara yang mereka huraikan dan syarat-syarat yang mereka tetapkan untuk mengesahkan kesimpulan mereka itu adalah tidak berguna, rumit dan  meleret-leret. Bagaikan daging unta di puncak gunung; gunungnya bukan main susah didaki, namun dagingnya taklah gemuk mana sampai berbaloi nak diheret turun.” Beliau mengkritik penggunaan logik Yunani dalam ilmu kalam dan tasawwuf yang mana menurut beliau sering menerbitkan kesimpulan metafizik bersifat bid’ah.
  • Ibn Taymiyyah juga telah menulis kitab-kitab penolakan terhadap mantik Yunani seperti al-Radd ‘ala al-Mantiqiyyin dan Jahd al-Qarihah fi Tafrid an-Nasihah yang telah ditulis mukhtasarnya oleh Jalaluddin as-Suyuthi. Dalam Jahd al-Qarihah, beliau cuba menumbangkan kesahan kesimpulan yang terhasil daripada silogisme dengan menunjukkan bahawa kesimpulan yang datang dari premis yang bersifat induktif tidak bersifat tentu, tapi sekadar mungkin. Bahkan kaedah induktif itu juga berasaskan proses qiyas. Beliau menyeru kepada penggunaan kaedah qiyas (atau ta’rif bi’l-tamtsil). Kritikan Ibn Taymiyyah adalah mendasar namun dapat disimpulkan bahawa beliau menyutujui pengisbatan ahli-ahli mantik bahawa mantik boleh mencapai ilmu tetapi menolak penafian mereka tentang kemungkinan ilmu dicapai tanpa menggunakan mantik.

Rujukan:

 

Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali, Pengantar Ilmu Mantik, Pustaka Salam, 2009.

Athir al-Din al-Mufadhdhal ibn Umar al-Abhari al-Samarqandi, Hidayat al-Hikmah, dalam Syed Ali Tawfik al-Attas, A Guide to Philosophy, Pelanduk Publications, 2009.

Hendrik Legerlund, Arabic Logic and its Influence, dalam AL-MUKHATABAT المخاطبات: Revue Philosophique de Logique et d’Epistémologie 1.1 (2012): 175-183. Boleh dibaca di http://mukhatabat.unblog.fr/files/2011/12/Henrik-Lagerlund1.pdf

Roger Scruton, Modern Philosophy, Penguin Books, 1994.

Safia Aoude, Classical Logic in Islamic Philosophy, http://aoude.dk/islamiclogic.pdf

Tony Street, Arabic Logic, dalam Handbook of the History of Logic (Vol. 1), Elsevier Science Ltd, 2004.

Tony Street, Logic, dalam The Cambridge Companion to Arabic Philosophy, Cambridge University Press, 2005.

Wael Hallaq, Ibn Taymiyya against the Greek Logicians, Oxford University Press, 1993.

 

Bahan bacaan lain yang dicadangkan:

 

Najmuddin al-Katibi al-Qazwini, al-Risalah al-Shamsiyyah.

Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Mi’yar al-‘Ilm.

Ali Sami Nashshar, Manahij al-Bahth ‘inda Mufakkiri al-Islam wa-iktishaf al-Manhaj al-‘Ilmi fi al-‘Alam al-Islami, Dar al-Salam, 2008.

Nicholas Rescher, The Development of of Arabic Logic, University of Pittsburgh Press, 1964.

 

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *