Kemaskini terbaru: December 22, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tabii Kaedah Sains

Pradurja

Kaedah/metode sains ialah cara-cara seseorang sarjana memperoleh ilmu baru. Oleh itu kaedah sains ialah kaedah/metode penyelidikan/penelitian/riset sains. Caranya mungkin dianggap dapat digali daripada pengalaman seseorang ahli sains, seseorang pelajar yang berjaya, seseorang guru yang berjaya, dan menyelami tabii sesuatu ilmu sains itu. Jika demikian persoalan ini mungkin banyak tindanannya dengan epistemologi, falsafah ilmu, dan falsafah pendidikan ilmu. Jawaban yang ringkasnya bagi soalan seperti “Bagaimana seseorang berkarya dalam sains?” sebenarnya sama dengan bidang lain iaitu seseorang itu mendapat inspirasi atau ilham. Namun persolaan yang lebih asas lagi ialah bagaimana kaedahnya untuk mendapat inspirasi dan ilham itu? Antara jawabannya ialah mengasuh kepekaan, mencari kedamaian jiwa, bertafakkur (banyak berfikir, berefleksi, merenung, dan mengingati Yang Maha Agung). Jawaban ini pun masih memerlukan jawaban kepada “Apakah kaedahnya?”. Sebahagaian lagi akan menjawab mengikut teori-teori daya pengaryaan kini yang dibicarakan nanti.

Yang Biasa-Biasa

Biasanya sebut sahaja kaedah sains atau kaedah penyelidikan maka ramailah yang mengatakan itu tidak lain daripada kaedah statistik (yang pastinya pengambilan data dan pengujian hipotesis) yang biasa juga diberi jolokan kaedah kuantitatif. Ini satu kesilapan besar, walaupun kepada pelajar sains sosial dan kemanusiaan. Namun itulah… banyak sekali buku (Inggeris) berjudul yang berunkapan Research Methods (Kaedah Penyelidikan), Research Methodology (Tatakaedah Penyelidikan) atau Quantitative Methods (Kaedah Kuantitatif) terutamanya yang ditujukan kepada pelajar atau bakal penyelidik/siswazah dalam bidang sains sosial atau kemanusiaan yang kandungannya sarat dengan statistik sahaja [Amazon.com menyenaraikan sekitar 5 ribu buah judul buku di bawah “research method” atau “research methodology” terbitan 2007 (kerana kaburnya ungkapan ini), sekitar 2 ribu judul di bawah “quantitative method” terbitan 2007 (juga kerana kaburnya ungkapan ini), sekitar 200 buah di bawah judul “scientific research method” atau “scientific research methodology” terbitan 2007, sekitar 47 buah judul di bawah “scientific quantitative method”]. Buku bidang ini dalam bahasa Melayu Malaysia terbitan 5 buah universiti awam yang bergengsi (UKM, UM, UPM, USM, UTM) hanya ada 4 buah sahaja: Alias (1997, 1998), Shafie (1994) dan Tiun (1995) dan yang paling larisnya ialah karya Sheffie itu yang berupa cetakan ke-3 terbitan UKM. Sejak 1980-an bakal siswazah semua bidang (termasuk) terutamanya penerima biasiswa kerajaan juga dikehendaki mengikut kursus “Kaedah penyelidikan” yang kandungannya statistik dan ditambah “kaedah membuat saranan penyelidikan”. Keadaan ini lebih tidak kena lagi bagi pelajar sains dan teknologi kerana dalam penyelidikan sains tabii, kejuruteraan dan sains matematik, senjata yang diperlukan bukannya statistik sahaja tetapi semua spektrum selok-belok menangani pemodelan perkara/fenomenon yang terang-benderang dan pasti (matematik terhingga, kalkulus biasa, model berketentuan, pengiraan/pengkomputeran), terang-benderang tetapi tak pasti (kebarangkalian, statistik dan kalkulus stokastik, model stokastik, pengiran/pengkomputeran), dan perkara kabur (kemungkinan, kalkulus kabur, model kabur, pengiraan/pengkomputeran). Secara amnya semua ini melibatkan dua jenis “kaedah sains” yang biasanya diajar dalam kursus falsafah sains, iaitu kaedah aruhan/induksi (induction method) atau kaedah pentaabiran/inferensi (inference method) [istilah “pentaabiran” dibakukan oleh DBP sebagai “pentakbiran” sejak tahun 1980-an, suatu yang amat tidak wajar; mungkin kini sudah dibetulkan], dan kaedah deduksi (deduction method) atau kaedah aksioman (axiomatic method). Kaedah aruhan ialah kaedah membuat keputusan atau kesimpulan menyeluruh terhadap maklumat yang terhad. Bentuk awal kaedah ini yang masih amat berguna hingga kini ialah qias atau analogi. Ada aruhan yang dilakukan ke atas data-data yang tak pasti, data-data yang kabur atau data-data yang pasti. Bagi membezakan tiga kategori aruhan ini maka kategori yang ketiga itu dinamai aruhan matematik, manakala yang pertama itu aruhan statistik atau arahan sahaja dan yang ketika itu aruhan kabur. Kaedah deduksi atau istiqrak ialah kaedah mendapatkan andaian yang paling sedikit, merdeka atau tak bersandar, tekal/konsisten dan lengkap terhadap sesuatu perkara atau fenomenon yang diminati dan seterusnya memperoleh kesimpulan umum (lema, teorem dan koroler) daripadanya dengan menggunakan sesuatu sistem mantik. Kedua-dua kaedah inilah yang boleh diistilahkan sebagai “kaedah sains biasa-biasa” kerana itulah yang biasa dibentangkan oleh hampir semua pihak berkenaan, dan hasilnya pun layak dinamai “sains biasa-biasa” yang dihuraikan lebih banyak lagi nanti.

Kaedah Sains yang Tidak Biasa

Ada beberapa tambahan “kaedah sains biasa-biasa” ini yang kadang-kadang ditambah kepadanya, iaitu kaedah colekan/abduksi (abduction method) yang berupa kaedah pentaabiran kepada penjelasan yang terbaik daripada beberapa penjelasan yang lain, iaitu satu petaakulan atau penalaran dengan memilih hipotesis yang dianggap benar dan boleh menjelaskan secara terbaiknya akan dalil yang relevan terhadap benda yang diminati. Istilah “terbaik” di sini bermaksud memenuhi prinsip parsimoni dalam sains, iaitu paling simpel, cantik, anggun dan sebagainya yang jelas subjektif dan sarat nilai itu. Istilah colekan di sini memang agak sesuai kerana membabitkan pengambilan satu daripada banyak hipotesis atau penyebab yang difikirkan paling baik (Perincian kaedah ini dapat dilihat dalam Wikipedia dan rujukan di dalamnya). Satu lagi yang biasa disekutukan dengan sains ialah “kaedah ujikaji/cobaan/eksperimen” (experimental method) yang berupa gabungan kaedah aruhan dengan kaedah deduksi (Perinciannya dalam Shaharir 2000). Yang lebih jarang ditonjolkan ialah kaedah intuisi/wijdan atau gerak hati dan kaedah heuristik, dan yang jarang lagi disebut ialah kaedah tentangan/tantangan atau anarki dan kaedah mimpi. Sebenarnya empat kaedah terkemudian ini lebih asasi kerana adanya hubungan akrab dengan pemberfikiran (thinking, bukannya pemikiran = hasil berfikir panjang dan mendalam, atau thought yang biasanya dikaitkan dengan falsafah itu)

Ringkasnya kaedah pemberfikiran membicarakan bagaimana orang berkarya, atau apakah daya pengaryaan/penciptaan atau kreativiti atau kreativitas itu? Jelas ini lebih mendasari lagi atau mengikut kupasan tabii sains oleh Thomas Kuhn (1992), kaedah sains ini menjangkau pada penerbitan “sains tak normal” (sains baru, sains dengan paradigma baru), dan oleh itu layak dinamai “kaedah sains tak normal”, manakala kaedah sains biasa-biasa itu menjadi “kaedah sains normal”.

Pentingnya Kaedah Sains Tak Normal

Mengikut Kuhn (1992) sains normal ialah ialah sains yang sudah diterima ramai/majoriti ahli sains semasa akan segala nilai (pandangan hidup), andaian, prinsip, aksiom utamanya dan cara pemakaian perkara-perkara asasi ini yang keseluruhan dinamai oleh Kuhn sebagai paradigma. Oleh itu sains normal itu berkembang secara melonggok sahaja kerana para penyelidik atau pengembang sains semasa itu tidak mempersoalkan betul-tidaknya, baik-buruknya paradigma itu. Segala refutasi atau paradoks yang timbul akan cuba dijelaskan dengan sains ini walaupun dengan cara ad hoc dan membina pending perlindungan/jalur kepada teras liat ataur cara penyelidikan bagi sains ini (Lakatos 2003). Sains tidak normal ialah sains yang menjadi saingan baru kepada sains normal itu kerana berasaskan pada paradigma baru, setelah golongan ini menunjukkan kelemahan paradigma yang sedia ada itu. Sains tak normal ini akan menjadi sains normal apabila dapat mengalahkan sains normal yang dahulu itu. Contohnya, sains zaman Tamadun Islam dahulu dan pada tahap yang tertentunya sains Eropah pada Zaman Pertengahannya adalah sains normal pada zaman itu kerana perkara-perkara asasi itu berdasarkan kepada keagamaan (Islam atau Kristian) oleh itu boleh juga dinamai sains teis kerana wujudnya sains yang sekurang-kurangnya apeduli agama (tidak peduli langsung kepada agama) atau yang lebih terang-terang berlawanan dengan sains teis, iaitu sains ateis, yang keseluruhannya biasa digolongkan sebagai sains sekular sahaja (sains yang menghormati sekularisme). Ini adalah kerana mulai abad ke-16 , hasil pertentangan sistem nilai gerejawan dengan majoriti ahli sains Eropah yang terbit daripada spekulasi kecendekiawanan tentang kosmologi dan hukum alam tabii terutamanya daripada Bruno, Galileo dan Kopernigk (Copernicus) sehingga muncullah sains baru, sains yang berasaskan pada paradigma baru.

Paradigma baru ini tidak lagi berasaskan pada Kristian (dan pada masa yang sama sains yang berasaskan pada nilai-nilai Islam sudah terhenti bersama dengan keruntuhan Tamadun Islam yang dikatakan bermula pada abad ke-14M). Paradigma sains baru ini berasaskan pada aqal semata-mata (rasionalisme), dan berpegang pada nilai keperluan manusia semasa semata-mata dengan meniadakan nilai-nilai mistik, sakral dan kudus (ringkasnya sekularisme, atau yang ekstrimnya ateisme) sehingga Tuhan di dalam sains digantikan dengan (Alam) Tabii sahaja. Paradigma sains yang ketiadaan unsur agama ini berkembang dengan pelbagai perubahan paradigma lagi sehingga falsafah sains moden (khususnya, sebelum pertengahan abad ke-20) dikenali sebagai Tabiisme (Naturalism). Contohnya buat selama sekitar 300 tahun Fizik Newton menjadi sains normal, muncullah dua sains baru (dengan dua paradigma baru) yang kini dikenali sebagai Fizik Einstein, dan Fizik Quantum muncul di mandala yang berbeza (Fizik Einstein untuk sains objek dan fenomenon di skala astronomi manakala Fizik Quantum di skala atom). Contoh dalam matematik pula berlaku dengan kemunculan geometri baru (dengan aksiom baru), kemunculan aksiom-aksiom baru dalam struktur aljabar, dan kemunculan paradigma baru dalam pembuktian. Semua ini berlaku bukan menerusi kaedah sains normal itu. Apabila ditelusur bagaimana Newton memperoleh kalkulus, dan hukum gerakannya; Lobacevsky dan Bolyai memperoleh geometri barunya; Einstein memperoleh aksiom-aksiom teori kenisbiannya; pengarya utama teori quantum (Planck, Schroedinger, Heisenberg, Dirac, Feynman dll) memperoleh kaedah pengquantumannya masing; pengarya utama teori kumpulan (Lagrange dan Galois) memperoleh aksiomnya; dan pengarya utama dalam penenetuan makna bukti yang baru semuanya tidak menerusi kaedah sains normal itu. Poincare (Internet P), yang diakui sebagai ahli matematik yang paling berdaya karya kerana begitu banyak konsep baru yang diterbitkannya, dan beliau menegaskan tanpa intuisi seseorang tidak dapat memulakan pemahaman matematik, tidak mampu menerapkan matematik, malah lebih berguna untuk berkarya kerana intuisilah alat untuk pereka cipta atau penciptaan. Berbanding dengan mantik (komponen penting dalam kaedah sains) Poincare menegaskan bahawa mantik tinggal gersang tanpa bajaan intuisi. Sayyed Hossein Nasr yang dipetik oleh Osman (2008: Bab 2) juga menegaskan perkara yang sama dengan mengatakan tiada sarjana besar sepanjang zaman yang tidak menggunakan intusi dalam karyanya.

Sebelum dibincang dengan terperincinya selanjutnya akan peranan kaedah sains yang normal dan tak normal yang menerbitkan sains yang sarat nilai (nilai sarjana berkenaan), terlebih dahulu digambarkan secara ringkas mengikut gambar rajah atau carta aliran tentang laluan yang biasa diharungi oleh seseorang sarjana/penyelidik:

Aras I: Pemilihan Isu/Perkara —> Aras II: Tanggapan/Kritikan —> Aras III: Cetusan Idea, Inovasi/Baru Sama Sekali —> Aras IV: “Kaedah Sains Biasa/Normal” —> Aras V: Penaksiran Kesesuaian —> Kembali ke paras II

Aras-aras “maqam” yang dinyatakan di atas itu ternyata sarat dengan nilai sehingga hasilnya, sains, memanglah penuh dengan teori yang sarat nilai (bergantung pada pandangan hidup seseorang ahli sains berkenaan itu). Tegasnya, sains tidak neutral, malah benarlah istilah sains Barat, sains Islam dan sains golongan lain lagi yang banyak diperkatakan oleh penceramah lain di bengkel ini. Mari kita lihat bagaimana maqam-maqam ini sarat nilai. Nilai ialah apa-apa perkara atau sifat luaran atau dalaman yang menggerakkan, memotivasikan, menentukan mahu-tidak, ya-tidaknya, baik-buruknya sesuatu tindakan atau keputusan seseorang itu. Nilai ditentukan oleh kebudayaan, agama dan x–isme seseorang.

Aras 1: Pemilihan Perkara

Seseorang penyelidik terpaksa memilih (sendiri, penyelianya atau penyedia gerannya) perkara yang hendak diselidikinya. Pilihan ini jelas subjektif untuk dikaji. Jelas pemilihan ini sarat nilai. Berikut ialah contoh-contoh sarat nilainya pemilihan ini:

1) Bagi bangsa yang makanan utamanya gandum atau jagung sudah tentu tidak akan menjadi bangsa yang sains dan teknologinya hebat dalam sains dan teknologi yang berhubung dengan padi.

2) Bangsa yang negaranya tidak disempadani dengan laut tidak mungkin hebat penyelidikan sains dan teknologi yang berhubung dengan kelautan.

3) Seseorang yang tidak beragama tidak mungkin membuat hipotesis bahawa segala kejadian alam ini adalah hasil daripada tindakan tuhan yang seminimumnya (Prinsip al-Haitham abad ke-10M yang kemudian dimajukan oleh sarjana-sarjana Eropah abad ke-17M dan seterusnya menjadi prinsip Fermat, prinsip Maupertuis, dan prinsip tindakan terkecil kamiran Lagrange, prinsip tindakan terkecil Hamilton dan prinsip tindakan Schwinger; dan prinsip tindakan quantum oleh Shaharir 1974).

4) Orang yang tidak menghayati modalisme/kapitalisme totok tidak mungkin terlintas untuk memodelkan pengurusan institusinya dengan memilih fungsi keuntungan (maksimumkan keuntungan atau meminimumkan kos).

5) Seseorang yang dipengaruhi oleh liberalisme atau neoliberalisme tidak mungkin memilih untuk membina teori ekonomi atau pengurusan yang mementingkan kebahagian ummah.

6) Bangsa yang kegiatan ekonomi atau ketenteraan yang besar-besar (pembuatan, pengurusan dan pengaturan strategi dan bilangan bala tentera dengan segala kelengkapan perang yang banyak) menghasilkan program penyelidikan melibatkan model yang besar-besar (banyak pembolehubahnya dan memerlukan penyelesaian menerusi komputer).

7) Seorang yang teguh beragama dan serius dengan ilmu tidak mungkin membuat penyelidikan untuk meneguhkan lagi teori yang melemahkan/bertentangan dengan agamanya sendiri [teori manusia (ekonomi, pengurusan, perniagaan dsbnya yang mengabaikan sifat manusia yang digariskan oleh agamanya, teori Evolusi, teori Deguman Besar dan Alam Mengembang, teori Einstein, teori Quantum), atau yang bertentangan hukum Islam yang jelas seperti teori “pelaburan berbunga” atau “pelaburan berfaedah” (“bunga” ialah istilah di Alam Melayu sejak ratusan tahun dahulu tetapi Malaysia menukar secara rasminya kepada “faedah” pada tahun 1970-an bagi menyorok hukum haram ke atas “bunga”)]. Demikianlah senarai pemilihan perkara yang ingin diterbitkan sains berkenaannya yang bergantung pada sistem nilai, cara hidup dan kebudayaan ini tiada kekecualiannya.

Aras II: Tanggapan/Kritikan

Dalam sesuatu usaha melakukan kajian penyelidikan perkara yang telah ditentukan pada aras I itu, pengkaji atau penyelidik itu perlu memberi reaksi atau sorotan (resensi/ulasan/tilikan kembali) terhadap status “ilmu” (tanda kutip ini ada sebabnya yang diterangkandalam penjelasan Aras V) berkenaan dngan perkara itu. Ini dilakukan dengan membaca sebanyak mungkin karya-karya yang sedia ada dan menilai kelemahan yang ada berasaskan ilmu yang sedia ada daripada segala aspeknya. Hasilnya ialah sorotan ilmu berkenaan itu berasaskan nilai-nilai dan teknik yang sedia ada dalam ilmu tersebut dan ini boleh dinamai penilaian dalaman.

Satu aspek sorotan yang jarang diakukan kerana terindoktrinasi dengan neutralnya ilmu, atau inferiornya kebudayaan sendiri ialah padanan ilmu itu dengan sistem nilainya sendiri. Contohnya amat jarang yang mengkritik teori ekonomi (teori pengguna, teori keputusan dan teori pengoptimuman) mengikut perspektif ajaran Islam walaupun sarjana itu seorang Islam; mengkritik teori kepemimpinan daripada perspektif bangsanya; mengkritik teori Newton, apatah lagi teori Einstein dan teori quantum dari perspektif agama dan kebudayaannya. (Contoh kritikan teori-teori ini dengan cara yang dimaksudkan itu dapat dilihat dalam buku Shaharir 2000, 2005, 2008a, b; dan lain-lain yang sebut dalam bahagian kesimpulan makalah ini). Hanya dengan kritikan mengikut sistem nilai yang baru sahaja yang akan menghasilkan anggapan-anggapan baru, hipotesis baru atau landasan baru sesuatu perkara yang dikaji itu atau jika perkara itu besar, akan mewujudkan paradigma (Kuhn 1992) atau atur cara penyelidikan baru (Lakatos 2008).

Aras III: Cetusan Idea, Inovasi/Baru Sama Sekali

Inilah tahap yang paling penting dalam kaedah/penyelidikan sains (dan lain-lain juga). Di sinilah yang jarang dibicarakan orang kecuali dalam buku-buku sejarah hidup sarjana, daya pengaryaan (kreativiti/kreativitas) atau kekreatifan, dan pemberfikiran. Buku yang paling popular dalam hal ini ialah buku-buku de Bono (contohnya karya asal beliau 1970 dan yang agak barunya 1990, 1995 dan 2007 yang tiga buah karya pertamanya itu telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu Malaysia masing-masingnya tahun 1997, 2002 dan 2000; malah sekurang-kurangnya 10 buah daripada puluhan buku de Bono telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu Malaysia dan Indonesia yang ada di Perpustakaan UM). Beliaulah yang memperkenalkan istilah pemberfikiran menyisi/lateral (lateral thinking) dan pemberfikiran selari (parallel thinking) yang sangat popular sebagai kursus di kalangan para pengurus dan ketua eksekutif swasta tetapi kurang ditonjolkan di universiti. Kelemahan buku-buku daya pengaryaan de Bono dan buku-buku lain di pasaran ialah merendahkan kaedah sains biasa (Aras IV) yang dibicarakan di bawah ini dan betapa contohnya hanya di dalam bidang pengurusan, perniagaan dan sebagainya sahaja. Edward de Bono juga mencipta istilah pemberfikiran mencancang/menegak/vertikal (vertical thinking) bagi proses berfikir menerusi keaedah sains biasa itu (yang juga silap ditumpukan kepada kaedah deduksi atau mantik/lojik/logik/logika ya-tak atau mantik Boole sahaja yang dianggapnya juga itulah satu-satu mantik dalam matematik lalu (salah lagi) dianggapnya matematik itu imu yang tidak berdaya karya) lalu memberi nama mantik batuan (rock logic) bagi mantik Boole itu, manakala mantik airan (water logic) bagi mantik yang ada dalam teori daya pengaryaannya. Kesilapan besar de Bono ialah anggapan bahawa matematik itu ialah mantik sahaja dan sistem mantik itu hanya satu sahaja dan oleh itu mantik itu tiada unsur kebudayaan atau sistem nilai di dalamnya. (lihat Shaharir 2007a, bagi perincian saratnya nilai di dalam mantik dan banyaknya sistem mantik sehingga bukan sahaja mantik batuan itu tidak berlaku dalam teori quantum tetapi juga pada hampir setiap bangsa yang dipercayai ada sistem mantiknya sendiri sebagaimana yang diketahui benar oleh para penegosiasi dan diplomat tetapi masih menunggu dimatematikkannya sahaja). Jadi mantik itu sendiri mengalami inovasi dan menerima yang baru sama sekali menerusi kaedah pengaryaan di Aras III ini, mungkin dengan kaedah de Bono sendiri atau kaedah sains tak normal itu. Ada banyak kaedah pemberfikiran selain daripada ciptaan de Bono itu yang juga melahirkan istilah yang lebih umum, pemberfikiran berdaya karya (creative thinking); antaranya pemberfikiran kritis (critical thinking) yang biasanya disekutukan dengan pemberfikiran sains (scientific thinking), pemberfikiran matematik (mathematical thinking), pemberfikiran statistik (statistical thinking) dan pemberfikiran analisis (analytical thinking), pemberfikiran strategi (strategic thinking), pemberfikiran senario/skenario (scenario thinking), pemberfikiran visual (visual thinking), pemberfikiran peristiwa (event thinking), pemberfikiran struktur (structural thinking), dan lain-lain lagi.

Apa pun nama pemberfikiran ini, ada lima kaedah sains yang pada penulis ini semestinya terbabit (sekurang-kurangnya satu daripadanya) dalam setiap nama pemberfikiran ini, iaitu kaedah intuisi (Shaharir 2000, Ebrahim 2005, Osman 2008), kaedah heuristik (Shaharir 2000 dan rujukan di dalamnya), kaedah bertentangan/Feyerabend (Feyerabend 1993), dan kaedah sufi/tasawuf (Osman 2008 & Ebrahim 2005), dan kaedah mimpi (Ebrahim 2005, Gackenbach 191 dan Internet 2).

Intuisi atau wijdan dikenali juga sebagai gerak hati atau deria keenam (selepas pancaindera yang terkenal terlibatnya dalam kaedah sains biasa, kaedah ujikaji yang mengandungi campuran kaedah aruhan dan deduksi itu) dikatakan pada aras rendahnya wujud pada setiap makhluk, terutamanya yang distilahkan sebagai naluri itu. Dalam sains (Barat), pelajar dibangkitkan rasa tidak senang dengan intuisi dengan diberi contoh beberapa hal yang dianggap betul atau patut dipercayai tetapi bertentangan dengan intuisi (sebenarnya intuisi aras rendah itu). Tidak hairanlah dalam pendidikan sains (di peringkat manapun) penekanan terhadap kepentingan apatah lagi asuhan atau didikan supaya “menajamkan intuisi” hampir tiada; sedangkan semua ahli sains besar menegaskan mereka memperoleh idea pertamanya menerusi intuisi.

Dalam falsafah matematik ada satu aliran yang muncul dengan bergayanya dalam tahun 1930-an dan dikenali sebagai intuisisme/intuisionisme yang para pengikutnya berpendirian semua matematik berasal daripada intuisi. Mereka ini tidak bersetuju dengan adanya “hukum pengecualian tengah” atau “hukum tiada ketiga” (Tertium non datur) atau “prinsip pengecualian ketiga” (principium tertii exclusi) dalam mantik biasa itu (yang membolehkan sahnya “bukti dengan percanggahan” itu dan cuba membina mantiknya tersendiri yang dinamainya mantik intuisi. Namun falsafah ini dikalahkan oleh falsafah yang lebih bergaya lagi yang dikenali sebagai formalisme yang mementingkan pada kaedah deduksi dan aksioman itu (Shaharir 2000). Apapun, intuisisme ini hanya menghayati sebahagian kecil sahaja dari maksud intuisi itu, malah dipercayai para formalis pun menggunakan intuisi pada masa mereka menerbitkan aksiom apa-apa idea terhadap perkara yang hendak diaksiomkannya itu. Akan tetapi mereka tidak menonjolkan hakikat ini. Jadi intuisisme dan formalisme itu sebenarnya berada pada aras ke-IV kaedah sains yang dihuraikan dalam makalah ini. Osman (2008: Bab 2) dan Ebrahim (2005) menghuraikan dengan agak panjangnya makna intuisi daripada perspektif Islam yang membezakan dengan intuisi Barat. Pendeknya pada aras yang tinggi intuisi Islam itu ialah suatu kaedah pencapaian kebenaran menerusi amalan tasawuf atau sufi dan dikaitkan pula dengan satu daripada kaedah pemahaman dalam taradisi Islam yang dikenali sebagai kaedah ta’wil (yang setengah sarjana menterjemah ini sebagai hermeneutik(a)), terutamanya dalam pemahaman al-Qur’aan dan ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh ahli kalam (mutakallimun). Kaedah ini belumlah jelas bagaimana dapat diterapkan kepada penerokaan sains kontemporer ini dan ini tentunya menjadi bidang kajian yang ampuh bagi pembinaan sains Islam kontemporer ini. Yang ingin ditekankan di sini ialah betapanya intuisi itu perlu disuburkan sendiri dan dalam pendidikan sains kini dengan apa jua cara yang pernah dihayati oleh mereka yang Berjaya menerusi kaedah ini. Selain itu ingin juga ditegaskan betapanya intuisi itu sarat dengan nilai peribadi pengamalnya, intuisi Melayu berbeza daripada intuisi bukan Melayu dan intuisi Muslim berbeza dengan intusi bukan Muslim. Akhirnya inilah yang membezakan sains karya sarjana yang menghayati Islam dengan sains karya sarjana yang bukan Muslim itu.

Kaedah heuristik ialah kaedah yang menggunakan tanda-tanda kejayaan kepada tercapainya impian atau idea yang baru yang kadang-kadang menerbit idea atau subidea yang baru lagi. Tanda-tanda kejayaan itu biasa diambil daripada pengetahuan yang sedia ada atau amalan kebudayaan. Jelas heuristik ini juga sarat nilainya. Kaedah heuristik bukan sahaja untuk berteori seperti contohnya dalam pembinaan teori Fourier dan kalkulus fungsian tetapi juga semakin dipakai dalam bidang pengiraan matematik bagi masalah kelas BP (bukan masa polinomial berketentuan) lalu seseorang menghadapi kesukaran untuk mendapat jawabannya yang diimpikan akibat ketiadaan alkhwarizmi yang berjaya seperti dalam menyelesaikan masalah jadual waktu yang besar, masalah jurupos, atau masalah pengagihan optimum bagi telekomunikasi yang mewujudkan rangkaian yang berselirat banyaknya. Penyelesaian yang menggunakan tekaan yang bijak, intuisi, deria biasa atau petua orang ramai (pada amnya disebut alkhwarizmi heuristik) kadang-kadang mampu memberi jawaban yang cukup baik menghampiri apa yang dingini itu, walaupun ad hoc, dan keseluruhan cara inilah dinamai kaedah heuristik itu.

Berkenaan kaedah penentangan oleh Feyerabend itu, kaedah itu mengajar kita supaya tidak takut membuat hipotesis, idea dan sebagai yang bertentangan dengan keadaan semasa kerana itulah yang berlaku sepanjang masa perkembangan sains. Oleh itu kaedah ini juga sering disebut sebagai “kaedah anarkis” (anarchist method). Ini dibentangkan dengan contoh-contohnya yang banyak dalam pelbagai bidang sains. Contoh yang dekat dengan bidang penulis ini ialah hipotesis Kopernigk/Copernicus tentang pusat alam ini daripada bumi pada masa itu kepada matahari (satu mitos zaman Yunani), pemakaian aritmetik ketakterhinggan yang diharamkan dalam matematik biasa tetapi dipakai (dan diterima) dalam mekanik quantum, dan cerapan menerusi teleskop Galileo dijelaskan/dirasionalkan dengan cara yang cukup ad hoc kerana ketiadaan teori optik pada masa itu, dan akhirnya diterima juga! Feyerabend mengajar kita supaya tidak takut atau segan-silu mengutarakan hipotesis berasaskan pada warisan, kepercayaan atau mitos bangsa kita sendiri.

Berkenaan dengan kaedah mimpi dalam penemuan sains memang jarang kita dengar malah tidak pernah disebut dalam kaedah sains Barat yang diakuinya, tetapi dalam kebudayaan Melayu dan tradisi Islam mimpi selalu dikhabarkan membawa berita betul dengan syarat orang yang bermimpi itu memenuhi beberapa syarat yang tertentu seperti yang perlunya beliau selalu “bertafakur” dan mengamalkan sesuatu wirid perakuan Nabi atau orang-orang yang sholeh. Imam Ghazali percaya kepada adanya mimpi yang betul (ru’ya shodiq) sebagai sumber ilmu yang beliau sendiri mengalami. Banyak sekali contoh sarjana Tamadun Islam dahulu yang mengalami mimpi yang benar ini seperti yang dicatatkan dalam Ebrahim (2005). Dalam kebudayaan Melayu, seseorang bomoh selalu diberitahu kita yang dia menerima teknik perubatannya menerusi mimpi! Ada banyak manuskrip lama Melayu (jawi) yang mencatatkan cara-cara menta‘bir mimpi yang menunjukan Melayu dahulu serius dalam hal mimpi (Contoh manuskrip yang kami jumpai ialah Petua ta‘abir mimpi [16] ff, PNM, di Perpustakaan Negara Malaysia). Bagaimana dengan sains Barat? Bidang kefahaman mimpi kini menjadi kajian yang agak besar di barat di bawah nama kajian kesadaran/kesedaran atau keinsafan dan paranormal/parapsikologi (Contoh makalahnya ialah oleh Gackenbach 1991). Mengikut Gackenbach ini, penemuan klasiknya perihal mimpi ialah dari kalangan ahli psikologi, khususnya Freud percaya mimpi ialah kunci menyingkap trauma dan keinginan minda tanpa sedar; dan Carl Jung menganggap mimpi sebagai sumber kebijaksanaan psikik yang melampaui cara-cara biasa. Mengikut warkah berita persatuan astrologi di UK yang bernama Elysian Astrology (Internet 2), bukti terkenal dalam sejarah sains Barat akan kebenaran ini ialah pengakuan Friedrich von Kekule tentang penemuannya yang merevolusikan kimia organik, iaitu berkenaan dengan struktur molekul benzena yang diperolehnya menerusi mimpinya. Pengalaman penulis sendiri, pengetahuan yang diperolehnya menerusi mimpi pernah berlaku semasa beliau menyiapkan tesis D. Fal. yang membantunya menyelesaikan intuisinya tentang sahnya berlaku “tindakan terkecil quantum” yang diterbitkan dalam Shaharir (1974). Itulah pengalaman pertama dan mungkin terakhir baginya! Caranya memang bertafakkur.

Aras IV: Kaedah Sains Biasa-Biasa/Normal

Di sinilah kebanyakan buku menumpukan penjelasannya akan maksud “kaedah sains”, iaitu yang disebut pada bahagian awal makalah ini sebagai “Yang Biasa-Biasa” itu, iaitu kaedah aruhan (termasuk qias/analogi), kaedah istiqrak/deduksi, kaedah colekan dan campurannya seperti kaedah ujikaji. Kaedah-kaedah ini menerbit ilmu sains secara melonggok sahaja atau yang Kuhn istilahkan sebagai “sains normal”. Ada satu perkara yang tidak disebut dalam buku-buku kaedah sains Barat yang hendak ditekankan di sini, iaitu betapa kaedah-kaedah ini pun sarat nilai kerana matematik yang terbabit di dalam kaedah ini tidak lekang daripada pendirian falsafah dan sistem nilai tertentu para pembina matematik itu. Umpamanya yang telah disebut di atas bahawa teori kebarangkalian yang menjadi landasan utama statistik itu bergantung kuat pada mantik yang bersandarkan bahasa, kebudayaan, sikap seseorang terhadap benda yang dimodelkan dan sebagainya yang dihuraikan di dalam Shaharir (2007a). Penerimaan sarjana terhadap hasil aruhan (statistik) itu sendiri berpecah kepada beberapa falsafah yang satu daripadanya ialah menolak langsung kesahihannya (ini dijelaskan di dalam Shaharir 2000 dan Lakatos 2003). Keesahan kedah deduksi pun lebih kurang sama statusnya dengan kaedah aruhan seperti yang dibuktikan dengan kalkulus kebarangkalaian oleh Shaharir (2007a) dan lebih canggih, mendalam dan keomprehensif lagi oleh Livingston (1986) yang membuktikan teorem terbesar dalam kaedah deduksi, iaitu “Tidak Lengkapnya Kaedah Deduksi” atau lebih dikenali sebagai “Bukti Godel” itu sarat nilai Jerman. Ini bermakna kaedah sains normal ini sendiri dinamik (dapat dinovasi atau diganti dengan yang baru sama sekali dengan perubahan sistem nilai) khususnya dengan menggunakan sistem nilai kita sendiri (acuan kita, Islam-Melayu atau Melayu-Islam yang berupa dua istilah yang penekanannya berbeza sehingga mungkin hasilnya berbeza juga, tetapi kedua-duanya boleh dikatakan keIslaman)

Aras V: Penaksiran Kesesuaian

Dalam setiap teori yang dibina seseorang mentaksir teori tersebut bukan sahaja segi pragmatisnya atau pulangan kebendaannya sahaja seperti yang biasa dilakukan oleh Barat tetapi juga dua aspek yang sering terabai atau diabaikan sejak modenisme melanda seluruh umat dunia apatah lagi pasca-modenisme ini, iaitu taksiran yang berhubung dengan iman kerana mengikut Islam juga ilmu dan iman tidak boleh dipisahkan. Rosenthal (1992) membawa hujah-hujah para sarjana Islam Tamadun Islam dahulu yang menunjukan setaranya ilmu dengan iman. Jika kita menerima tesis ini maka teori yang dibangunkan oleh seseorang itu tidak mencapai taraf ilmu jika implikasinya menghakis kepercayaan pengamal teori terhadap ajaran Islam. Teori itu hanya layak dikatakan “pengetahuan” sahaja bukannya “ilmu pengetahuan”. Ini semantik baru. Selama ini dalam bahasa Melayu Indonesia “ilmu pengetahuan” ialah istilah untuk “sains” bagi Melayu Malaysia-Brunei-Singapura; sedangkan istilah “sains” yang juga baru diterima oleh Indonesia sejak 1970-an itu jelas sebahagian besarnya tidak boleh mencapai taraf “ilmu” mengikut perspektif Islam. Orang Melayu Malaysia sering juga menggunakan “sains” dan “ilmu sains” yang bagi setengah-tengah pihak menanggap yang kedua itu membazir sahaja tetapi dalam psikik Melayu sebenarnya mungkin tidak. Oleh itu mungkin sekarang sesuai masanya istilah “pengetahuan” dan “ilmu pengetahuan” atau “sains” dan “ilmu sains” itu terus dipakai dengan makna baru ini dihidupkan dengan semantik yang baru ini. Apa pun jelaslah aras penaksiran ini amat sarat dengan “sistem nilai” mereka yang membuat penaksiran sesebuah teori.

Kesimpulan

PengIslaman ilmu ialah proses menilai sains kini mengikut “kaedah sains normal” dan “kaedah sains yang tak normal” itu sehingga sesebuah teori sains itu melalui aras II hingga aras V yang dihuraikan di atas. Sebahagian daripada pengIslaman ilmu yang mungkin jauh lebih penting ialah menerbitkan teori baru sama sekali nengikut kaedah sains tak normal (Aras I hingga Aras V) itu. Kedua-dua ragam “pengIslaman ilmu” ini memang dihayati oleh penulis ini bersama-sama pelajarnya selama puluhan tahun kebelakangan ini, iaitu dalam bidang pengurusan kewangan (Maheran drk 2005, Maheran & Shaharir 2004 ), kepemimpinan dan kepengurusan (Shaharir 2008a), pengoptimuman (Shaharir 2005, 2006a), Ekonomi pembangunan dan kebahagiaan (Shaharir 2008d), kebarangkalian (Shaharir 2007a), teori Newton (1989, 2000, 2004), teori Einstein dan teori quantum (Shaharir 2000, 2004, 2006b, 2008b,c), dan pelbagai judul lain dalam sains matematik yang ada di dalam Shaharir (2007b).

Rujukan

Alias B. 1997. Statistik Penyelidikan dalam Pendidikan dan Sains Sosial. Bangi: Penerbit UKM

———.1998.Model Linear dalam Penyelidikan Sains Sosial. Bangi: Penerbit UKM

de Bono E. 1997. Pemikiran Lateral. Golden Books Centre. terj buku asalnya 1970

————-. 2000. Pemikiran Selari: Daripada Pemikiran Socrates kepada Pemikiran de Bono. Golden Books Centre. Terj. Bukunya yg asal 1995.

————-. 2002. Saya Betul Anda Salah: Dari Pemikiran ke Zaman Pembaharuan yang Baru. Golden Book Centre. Terj. Kepada buku asalnya, I am Right, You are Right. From This to the New Renanaisance. From Rock Logic to Water Logic. Pelican 1990.

————-. 2007. How to Have Creative Ideas: 62 Exercises to Develop the Mind. London : Vermilion

Ebrahim M. 2005. Ghazali & the Poetics of Imagination. UNC Press. Sebahgaiannya ada di Internet. Bab 2, The Narrativity of the Self.

Feyerabend P. 1993. Against Method: Outline of an Anarchistic Theory of Knowledge. Snt. ke-3 (Snt pertama 1975). Virso.

Gackenbach J. 1991 Framework for understanding lucid dreaming. Dreaming1(2)

Internet 1. Intuition and Logic in Mathematics oleh Poincare 1907 yang diterjemah kepada Inggeris pada 1907 dan disiarkan di laman http://www-groups.dcs.st-and.ac. uk/~history /Extras/Poincare_Intuition.html; dan makalah “Poincare biography” di laman http://turnbull.mcs.st-and.ac.uk/history/ Biographies/ Poincare. html

Internet 2. Dream as a source of knowledge. http://www.elysian.co.uk/dreams.htm

Kuhn T. 1992. Struktur Revolusi Sains. DBP (terj. Karya asalnya 1970)

Lakatos. I. 2003. Pemalsuan dan Tatakaedah Atur Cara dan Tata Kaedah Penyelidikan Sains. Penerbit UKM (terj. Karya asalnya 1992)

Livingston E. 1986. The Ethnomethodological Foundations of Mathematics. Routledge & Kegan Paul Books Ltd

Maheran . & Shaharir b.M.Z. 2004. Mudharabah model for business loan based on equity. Proc. Sem. on Non-Bank Financial Institutionns: Islamic Alternatives. 1-3 Mac 2004, K.Lumpur: 1-10.

Maheran J., Shaharir b.M.Z., Aziz A.J. & Zaidi. 2005. Model Pelaburan satu saham dari perspektif Islam. Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-XIII. UUM. 410-414

Osman B. 2008. Tawhid and Science. Snt ke-2. (Snt. pertama 1991),

Rosenthal F. Keagungan Ilmu. DBP. Terj. Karya asalnya “Knowledge Triumphant” 1970

Shaharir b.M.Z. 1974. The Action Principle in Quantum Mechanics, Intern. Jour. of Theoretical Phys,. 11, (1974), 289-303;

———————.1989. Perkembangan sains moden: Implikasi kepada pedidikan sains sekolah. Buletin Guru. 2:20-22.

——————–. 2000. Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains. Snt. ke-2 (Snt. pertama 1987). Penerbit UKM

——————–. 2004. Dinamik Sebutir-Dua Zarah Klasik. Penjana Sains Matematik, Peguam Bela dan Penjana Nilai serta Kontroversinya Sepanjang Zaman. Siri Pelandok 7. Pusat Pengajian Sains Matematik UKM

———————. 2005. Sains Matematik dan Pengurusan. JQMA/JuSQA 1(1): 1-43

———————. 2006a Pendekatan baru terhadap konsep optimum Barat dan beberapa konsep optimum baru dalam acuan sendiri. Kesturi 16 (1&2): 55-96

——————–. 2006b. Bahasa Jiwa Ilmu: Kes Teori Kenisbian Einstein. Sem Sn Komputer & Matematik KUSTEM 7-8 Nov. 2006

———————. 2007a. Keperluan teori kebarangkalian baru yang lebih serasi dengan sistem nilai sendiri . Prosiding Sem Keb Sn Matema ke-15 PERSAMA-UiTM 5-7 Jun 2007. Pusat Penerbit Universiti (UPENA), UiTM: 413-424

———————-. 2007b.A development in mathematical sciences in our own mould. Proc. Internat. Conf. on Mathematical Sciences (ICMS), PERSAMA, Bangi. CP: 94-117

———————–. 2008a. Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Baru berasaskan Sistem Nilai Melayu. Penerbit UMT (dlm percetakan)

———————–. 2008b. Kritik Teori Einstein dan Teori Quantum . Sedang diusahakan penerbitannya oleh ASASI

————————–. 2008c. Some weaknesses of the Relativity Theory on the basis of cosmological doctrines. Dlm. Senin H.B., Carini G., Abdullah J. & Bradley D.A. (Pnyut.). Current Issues of Physics in Malaysia. AIP Conference Proceedings. American Institute of Physics, pp 75-83

————————. 2008d. Ekonomi Pembangunan Lwn Ekonomi Kebahagiaan. Jawhar. (Dlm percetakan)

Sheffie M.A.B. 1994.Metodologi Penyelidikan: Untuk Ekonomi dan Bidang-bidang Berkaitan. Cet. Ketiga. Bangi: UKM

Tiun L.T. 1995. Panduan Penyelidikan Sosioekonomi. P.Pinang: USM

Wikipedia. Abductive reasoning. http:// en. wikipedia.org/wiki/Abductive_reasoning. Kelih 12/08/08

Nota: <!– /* Style Definitions */ p.MsoNormal, li.MsoNormal, div.MsoNormal {mso-style-parent:””; margin:0in; margin-bottom:.0001pt; mso-pagination:widow-orphan; font-size:12.0pt; font-family:”Times New Roman”; mso-fareast-font-family:”Times New Roman”;} @page Section1 {size:8.5in 11.0in; margin:1.0in 1.25in 1.0in 1.25in; mso-header-margin:.5in; mso-footer-margin:.5in; mso-paper-source:0;} div.Section1 {page:Section1;} –>

Makalah ini dibentangkan di Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 anjuran ASASI pada 16 Ogos 2008 bertempat di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *