Kemaskini terbaru: October 5, 2008

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kelemahan Sains Barat Dan Mencari Paradigma Sains Alternatif: Satu Pandangan Peribadi

Abstrak

Sains Barat yang berpegang kepada falsafah positifisme yang menolak sistem nilai dalam kajian emperikal sains, mempunyai banyak kelemahan yang tersirat. Falsafah ini walaupun diamalkan di Barat sebagai respons kepada konsep dualisme sains-agama, tetapi hakikatnya diamalkan di seluruh dunia dalam pemikiran saintifik moden, termasuk negara ini. Penulis mengajak untuk merenungi kembali tentang kekosongan vakum yang dialami sains wajah Barat ini khususnya apabila dimensi yang lebih holistik dipertimbangkan sebagai alternatif kepada sains moden.

Pendahuluan

Pertubuhan Kesihatan Dunia menerusi para pengkajinya pernah membuat kajian terhadap fenomenon pembunuhan diri sebagai masalah kronik yang semakin sukar dibendung. Mereka ingin mengkaji golongan yang manakah yang lebih mudah melakukan jenayah luar biasa itu. Dua orang pengkaji yang bernama Jose Bertolote dan Alexandra Fleichmann mengumpul data kes bunuh diri sejak 50 tahun yang lalu dan menghasilkan keputusan yang menakjubkan.[1] Setiap 20 saat terdapat 1 kes bunuh diri berlaku. Setiap 2 saat ada satu percubaan membunuh diri dilaporkan. Data ini sungguh memeranjatkan pengkajinya sendiri. Mengikut simulasi data ini, pada tahun 2020 dijangkakan 1.53 bilion nyawa hilang menerusi pembunuhan diri sendiri. Sepanjang 50 tahun yang lepas, dunia kehilangan jiwa menerusi kes bunuh diri sebanyak 27 orang setahun dalam setiap populasi 100,000 orang penduduk. Bilangan ini meningkat laju saban tahun.

Lebih memeranjatkan, kejadian bunuh diri bukan tertumpu kepada negara yang miskin, bahkan data menunjukkan Negara Eropah yang maju merekodkan bilangan kes bunuh diri yang paling tinggi di dunia khususnya negara blok Eropah timur. Negara tersebut merupakan negara yang terkedepan dalam perkembangan sains dan teknologi moden. Mendahulu senarai ini ialah Finland dan dikuti rapat oleh Estonia, Latvia, Lithuania, Hungary, dan Rusia. Kalau kita perhatikan Negara tersebut kebanyakannya menolak ketuhanan sama sekali serta mengamalkan pemikiran bebas yang dikenali sebagai free thinkers di Barat. Sains dan teknologi mereka diperkenalkan dalam wajah positifisme yang menafikan semua bentuk unsur ketuhanan dan sistem nilai. Bagi mereka, sains hanyalah tumpukan maklumat yang diperoleh menerusi emperikal dan perhujahan mantik berdasar alam kuantitatif semata-mata. Tiada unsur kualitatif terllibat dalam dimensi kajian sains mereka. Mereka maju dalam teknologi tetapi miskin dalam makna kejiwaan dan sistem nilai.

Sehubungan dengan fahaman ini, mereka memilih cara hidup tersendiri yang bebas nilai, bebas iman. Ketuhanan bagi mereka, hanyalah untuk golongan miskin dan lemah. Golongan maju dan kaya tidak memerlukan konsep ketuhanan. Akibat daripada fahaman ini, data statistik kes pembunuhan diri merakamkan negara tersebut mempunyai angka tertinggi dalam kes jenayah itu.

Marilah pula kita melihat persoalan ini menerusi sudut yang lain pula. Dalam hubungan ini, ingatlah bahawa Islam mengharamkan bunuh diri. Jasad dan nyawa merupakan anugerah Ilahi kepada manusia. Jasad dan nyawa bukan milik manusia. Manusia tidak berhak menamatkan riwayatnya sendiri. Ingatlah sabda Junjungan saw yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka besi itu akan menikamnya buat selama-lamanya dalam neraka kekal abadi, sesiapa yang meminum racun untuk membunuh diri maka dia meminum racun itu buat selama-lamanya dalam neraka, dan sesiapa yang terjun dari gunung untuk membunuh diri maka ia jatuh menjunam dalam neraka selama-samanya yang kekal abadi”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Umat Islam yang benar-benar beriman tidak mungkin melakukan jenayah ini sebab balasan akhirat ialah neraka yang dahsyat. Azab neraka tidak dapat dibandingkan dengan sebarang keseksaan di atas dunia. Maka, umat Islam, walau setinggi manapun cabaran hidupnya, tidak mungkin melakukan pembunuhan diri sendiri. Ungkapan ini memang terbukti, apabila data yang ditunjukkan oleh umat Islam dalam kes ini sangat rendah berbanding dengan semua masyarakat dunia yang lain. Walaupun, rata-ratanya negara umat Islam miskin berbanding negara lain, tetapi kes bunuh diri yang dilaporkan oleh WHO hanyalah 0.1 kes dalam setiap 100,000 penduduk Islam berbanding kes yang sama yang dicatatkan di Finland misalnya yang menunjukkan 50 kes dalam setiap 100,000 bilangan penduduk.

Di Asia, Sri Lanka dan Mauritius memunjukkan peratus kes bunuh yang tertinggi. Namun, China mencatatkan negara terbesar kes bunuh diri. Jika Negara China dan India dicantumkan maka kes bunuh diri, dari kedua-dua negara tersebut mencapai 30% bilangan kes yang dilaporkan di dunia.

Apabila klasifikasi kes bunuh diri dikelaskan berdasarkan agama pula: penganut Budha yang paling tinggi melakukan kes bunuh diri, diikuti oleh penganut Kristian dan Hindu. Namun, kes tertinggi dicatatkan oleh mereka yang tidak menganut sebarang agama. Dari segi gender pula, lelaki lebih cenderung untuk untuk menamatkan riwayat sendiri berbanding wanita, manakala senjata api menjadi alat pembunuhan paling lumrah di dunia mengikut kajian tersebut.

Antara punca kes bunuh diri ialah kegagalan mereka dalam usaha mencari kebahagiaan. Mereka menolak semua sistem nilai yang mengongkong mereka lalu menganut fahaman pemikiran bebas dan menyangka perbuatan itu menuju ke arah kebahagiaan. Mereka mencari kebahagiaan dalam dimensi fizikal namun kebahagiaan tidak ditemui, kerana kebahagiaan tidak berada dalam dimensi itu. Kebahagiaan, sesungguhnya berada dalam dimensi rohani. Kebahagiaan berada dalam jiwa yang sejahtera. Kebahagiaan berada dalam hati yang penuh kesyukuran. Kebahagiaan berada dalanm hati yang tunduk dan taat kepada Pencipta-nya. Kebahagiaan disangka berada dalam dimensi fizikal, namun anggapan itu salah, kerana kebagiaan ialah kesepaduan antara fizikal dan spiritual yang seimbang yang dibangun berdasar kemuliaan iman.

Hal ini terbukti apabila, data statistik menunjukkan bahawa kes kegelisahan, kegundahan melampau, keluh kesah dan hilang kebahagiaan dicatatkan oleh populasi yang tiada agama. Maka sesungguhnya umat Islam bebas daripada kemelut jiwa yang menjadi masalah kronik dunia moden, asalkan mereka mereka menghayati Islam selengkapnya dalam semua aktiviti hidup manusia. Di atas paksi inilah seluruh kegiatan umat Islam diasaskan termasuk dalam aktiviti penyelidikan sains dan emperikal.

Mencari Dimensi yang Hilang dalam Sains Barat

Marilah kita bersama-sama merenungi kisah menarik yang akan disebut di sini, yang dipetik menerusi Daily Mail bertarikh 10 April 2008 yang lepas. Kisah ini ialah kisah pemindahan jantung yang dijalankan 12 tahun yang lalu di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Pesakit jantung tersebut bernama Sonny Graham. Beliau seorang yang baik hati serta hidup dalam kehidupan penuh disiplin. Beliau mudah membantu jiran dan masyarakat apabila pertolongannya diperlukan.

Mr. Graham, pesakit tersebut menerima jantung seorang pemuda yang meninggal kerana membunuh diri. Pemindahan jantung tersebut berjaya dan kesihatan beliau semakin hari semakin baik sehingga beliau pulih seperti biasa. Apabila sembuh, beliau mencari keluarga penderma untuk memberi penghargaan dan ucapan terima kasih. Beliau bertemu dengan balu pemuda yang mati membunuh diri itu. Pertemuan itu membawa maksud yang tersendiri kerana Mr. Graham secara tiba-tiba telah jatuh cinta kepada balu tersebut. Beliau merasakan seolah-olah telah lama mengenalinya serta sangat berharap untuk tinggal bersama. Akhirnya kedua-duanya bersetuju untuk berkahwin. Mereka hidup mewah di sebuah banglo mewah.

Suatu perkara yang ganjil telah berlaku pada diri Mr. Graham. Daripada sifat lemah lembut sebelum pemindahan jantungnya, beliau mula bersikap kasar kepada masyarakat termasuk isterinya sendiri. Menurut isteri yang baru dikahwininya, perangai Mr. Graham sama seperti perangai bekas suaminya yang meninggal dunia itu. Kegemaran buruk bekas suaminya dulu diikuti oleh suami barunya itu. Beliau benar-benar berubah sifat daripada sifat penyantun kepada sifat pembengis dan tidak bertimbang rasa. Akhirnya, beliau mengambil pistol dan membunuh diri sendiri sama seperti yang dilakukan oleh pemuda penderma jantungnya itu. Lalu matilah Mr. Graham dalam keadaan yang sama dengan penderma jantungnya itu.

Para saintis psikoanalisis berasa takjub apabila mengkaji kes ini. Kes ini bukan kes terpencil kerana beberapa kes lain yang direkod mempunyai persamaan dengan kes ini. Satu persoalan yang timbul ialah: Adakah peristiwa ini berlaku secara kebetulan dengan peristiwa penderma jantungnya dahulu, atau, kedua-dua peristiwa tersebut ada kaitannya? Adakah jantung mempunyai sel memori yang masih merakamkan pita penderma asalnya lalu dipindahkan kepada penerima jantung baru.

Mengikut fahaman positifisme Barat, jantung hanyalah satu organ biasa yang tidak berfungsi untuk berfikir atau mempunyai sebarang peranan dengan ingatan. Adakah pandangan itu benar?

Sekarang marilah pula kita merenungi sepotong ayat al-Qur’an yang bermaksud:

“Apakah mereka tidak berjalan pada permukaan bumi lalu menjadikan jantung hati mereka berfikir dengannya, atau telinga mereka mendengar dengannya, Maka sesungguhnya bukanlah penglihatan mereka yang buta akan tetapi yang buta ialah jantung hati mereka yang berada di dada” (al-Hajj, 46).

Dalam ayat di atas disebut “Qulub la ya`qilun biha” yakni jantung hati yang tidak berfikir dengannya (yakni jantung). Indikasi bahawa jantung (atau kalbu) yang berfikir tidak pernah disebut dalam mana-mana pemikiran manusia, akan tetapi al-Qur’an menyatakan bahawa jantung hati yang berfikir. Para saintis sebelum ini berbendapat aktiviti berfikir hanya dilakukan oleh otak, bukan organ lain, khususnya jantung. Namun al-Qur’an menegaskan bahawa berfikir yang mendalam secara renungan dilakukan oleh hati.

Para pasikoanalisis berasa sungguh kagum dengan penemuan organ jantung yang menyimpan sel memori yang bersambung dengan sel memori otak, akan tetapi aktiviti berfikir hakikatnya berpusat di jantung. Dalam masyarakat Melayu, qalbu dalam bahasa Arab diterjemahkan sebagai hati tetapi penterjemahan yang sebenarnya ialah jantung.

Para saintis menemui sejenis sel dalam jantung manusia yang dikenali sebagai ganglia cells yang mempunyai memori lebih kuat daripada sel otak. Sel ini berfungsi seperti kapasiti memori sebuat komputer yang menyimpan maklumat yang lebih kekal berbanding otak. Rangkaian sel ganglia ini bersambung antara satu dengan yang lainnya membentuk apa yang disifatkan oleh para pengkajinya sebagai brain cell in the heart. Rangkaian sel ini mengeluarkan gelombang elektrik yang disebarkan menerusi edaran darah. Penemuan ini merungkaikan pula bahawa darah manusia turut membawa memori dalam kapasiti tertentu yang dicetuskan oleh sel ganglia tersebut. Kajian juga turut memperlihatkan bahawa sel memori otak dan jantung saling bertukar maklumat menerusi mekanisme yang sangat kompleks tindakbalas kimia, asid amino dan gelombang elektrik.

Pendengar yang budiman boleh merujuk tulisan seorang pengkaji Amerika yang bernama Rolin MacCarty daripada Institut HeartMath untuk maklumat yang lebih lanjut tentang perkara ini.

Seorang professor University of Hawaii yang bernama Paul Peasall turut mengkaji aspek psikoanalisis berkaitan dengan pemindahan jantung untuk menguatkan lagi pemenuan sel memori dalam jantung manusia. Pendengar yang budiman boleh mendapat maklumat lanjut menerusi bukunya yang bertajuk The Heart’s Code terbitan Broadway.

Dalam kes lain yang dilaporkan professor tersebut, seorang pemuda penggubah lagu menerusi muzik telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya lalu jantungnya didermakan kepada seorang pemudi yang sebaya. Secara tiba-tiba pemudi tersebut menjadi pandai dalam muzik dan gubahan lagu. Lebih menyayatkan hati, lagu yang terbengkalai oleh pemuda penderma jantung tersebut disiapkan secara berasingan oleh pemudi penerima jantung tersebut. Apabila ibu pemuda mendengar lagu yang dimainkan pemudi tersebut, tiba-tiba menangis sedih kesayuan apabila mendapati lagu itu pernah dimainkan oleh anaknya yang meninggal dunia itu.

Etika turut dikaji secara bersepadu dalam sains Islam. Sains bukan ilmu yang terpisah daripada paksi tauhid umat Islam tetapi merupakan satu cabang yang memperkuatkan paksi itu. Dalam etika perubatan Islam, persoalan seperti pemindahan anggota, kematian otak, pengguguran bayi, teknologi rawatan rapi dan seumpamanya bukan sahaja berkaitan dengan etika tetapi juga syariah dan hukum.

Dalam persidangan ulama di Jordan tahun 1986, kematian otak atau brain death diterima sebagai alamat kematian walaupun sebahagian ulama tidak sependapat. Dengan demikian, di Arab Saudi misalnya, pemindahan buah pinggang boleh dilakukan apabila kematian otak penderma telah disahkan doktor yang amanah.

Pengguguran kandungan selepas bayi bernyawa dilarang sama sekali dalam syariah. Hanya pengecualian dalam keadaan yang ketat sahaja diberikan apabila nyawa si ibu dalam keadaan terancam, iaitu apabila pilihan nyawa ibu atau nyawa bayi perlu dilakukan seperti dalam kes ibu yang mengalami rawatan kemoterapi. Rawatan ini berkemungkinan menyebabkan keguguran. Sesungguhnya, seseorang doktor Muslim memberikan khidmatnya kepada masyarakat dengan penuh amanah dan tanggungjawab sosial yang berupa ibadat umum, dalam kerjaya hariannya. Alangkah indahnya apabila umat Islam yang memerlukan perkhidmatan kesihatan dilihat oleh doktor Muslim yang bertakwa sebagai sumber kebajikan dan akan dibalas di Akhirat nanti.

Syariat Islam terbina di atas hikmah Ilahi menerusi fitrah kejadian manusia. Lelaki dan perempuan bukan hanya dibezakan dengan ciri biologi semata-mata bahkan berbeza secara fitrah kejadian dan hikmah fungsi kedua-duanya gender dalam kelangsungan hidup di bawah bayangan syariat. Anak ialah anugerah Ilahi kepada manusia. Sama ada lelaki atau perempuan, kedua-dua anugerah Ilahi itu harus disyukuri. Setiap mereka ada kelebihan tersendiri. Bayi lelaki dan bayi perempuan mempunyai perbezaan tersendiri. Marilah kita merenungi hakikat perbezaan ini menerusi contoh yang seterusnya. Perbezaan ini, antaranya ialah tentang kandungan kencing kedua-dua bayi itu sebelum umur mereka mencapai dua tahun yang hanya bergantung kepada susu ibu. Perhatikan satu hadith saw yang yang bermaksud: Umm al-Qais menceritakan bayi lelakinya yang belum mencapai dua tahun dibawa kepada Rasulullah saw lalu bayi itu kencing di atas pakaian baginda; baginda meminta air lalu merenjis pakaiannya yang terkena kencing tetapi tidak membasuhnya, (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud).

Demikian pula diceritakan oleh Umm al-Fadl bahawa al-Husain bin Ali kencing di atas riba Rasulullah saw lalu aku bertanya, lalu dijawab oleh baginda air kencing kanak-kanak lelaki hanya perlu direnjiskan air dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh (riwayat Ahmad).

Kaedah menyucikan kencing kedua-dua bayi lelaki dan perempuan yang berbeza itu tentulah ketentuan syariah yang ada hikmahnya. Dalam fiqh, kencing kanak-kanak lelaki dianggap najis ringan atau mukhaffafah, berbeza dengan air kencing perempuan. Dua orang saintis Muslim dari Universiti Duhuk Iraq yang bernama Asil Muhamamd Ali dan dan Ahmad Muhammad Saleh cuba menyelami kemungkinan hikmah yang ada di sebalik dua hukum yang berbeza itu.

Mereka mengkaji seramai 35 bayi lelaki dan 38 bayi perempuan. Air kencing mereka dianalisis khususnya analisis yang berkaitan dengan kandungan bakteria. Kanak-kanak itu dikelaskan kepada umur masing-masingnya sebulan, dua bulan, tiga bulan dan seterusnya dengan anggapan semakin muda usianya mereka semakin bergantung kepada susuan ibu sebagai makanan mereka. Mereka menumpu perhatian kepada bacteria escherichia coli. Keputusan yang diperoleh ialah seperti yang berikut:

Bagi usia 30 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 95% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia 60 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 91% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 93% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki. Bagi usia melebihi 90 hari: kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan 69% lebih tinggi daripada bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki.

Hasil penyelidikan ini menunjukkan bahawa kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak perempuan semakin berkurangan apabila umur meningkat manakala kandungan bakteria dalam kencing kanak-kanak lelaki semakin meningkat dengan peningkatan umur.

Menurut kedua-dua pengkaji Muslim itu, hakikat saintifik yang terlindung di sebalik syariat Islam berkaitan dengan air kencing bayi menunjukkan syariat Ilahi sangat sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sebagai Muslim, tentulah kita yakin bahawa Pencipta yang mencipta manusia lebih mengetahui tentang fitrah kejadiannya lalu syariat diturunkan berdasar fitrah itu.

Lelaki dan wanita daripada anak Adam as berbeza sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. Hal ini ditegaskan dalam al-Qur’an apabila ibu Maryam yang menyangka melahirkan anak lelaki tetapi bayi perempuan, yakni Maryam yang dilahirkan.

“Tatkala ia melahirkannya lalu ia berkata Tuhan-ku, aku telah melahirkan bayi perempuan, sedangkan Allah lebih mengetahui bayi yang dilahirkan itu, dan bukanlah sama lelaki dengan perempuan, dan sesungguhnya aku namakannya Maryam…” (Ali-`Imran, 36).

Lelaki dan perempuan mempunyai keistimewaan masing-masing. Masing-masing mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki yang lainnya, ibarat tangan kiri dan tangan kanan, seperti kaki kiri dan kaki kanan. Kedua-duanya tidak sama tetapi sepadan yang diperlukan kedua-duanya untuk melangkah ke hadapan. Namun dari segi amanah dan tanggungjawab serta perintah mencari ilmu kedua-duanya diberikan hak yang sama oleh Islam sejak dahulu.

Marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat Ilahi, sama ada kita dilahirkan sebagai seorang lelaki atau seorang perempuan. Kedua-duanya mempunyai amanah dan peranan. Perjalanan yang jauh itu memerlukan langkah yang teratur, kiri dan kanan.

Demikian pula dalam pendidikan kanak-kanak. Islam mempunyai dimensi tersendiri dalam psikologi pendidik yang mengambil kira pendikan rohani dan jasmani secara bersepadu. Penggunaan rotan dalam pendidikan moden di sekolah menjadi perdebatan hangat ahli pendidik kontemporari. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang. Ibnu Khaldun sebagai ilmuwan dan ahli pendidik tamadun Islam, tidak menolak penggunaan rotan sebagai kaedah pentarbiahan yang digunakan terhadap golongan pelajar yang tertentu.

Walaupun ahli pendidikan Barat menentang penggunaan rotan dalam pendidikan, namun England pernah menggunakan kaedah itu bagi golongan pelajar yang tidak boleh dibentuk peribadinya dengan nasihat yang lembut. Bahkan, Barat turut membuka sekolah khas dengan deraan yang berat bagi golongan pelajar yang melakukan jenayah juvina. Namun, apabila teori kauseling barat yang menekankan penggunaan psikologi terhadap kaedah pendidikan maka terdapat dua kesan yang bertentangan dalam senario akhlak pelajar. Pelajar yang memang berdisiplin dengan mudah digunakan kaedah psikologi tanpa penggunaan deraan fizikal. Namun, ada golongan lain yang memang tidak dapat dibentuk peribadinya sekadar menggunakan nasihat, maka golongan ini tidak boleh digunakan kaedah yang lembut seperti golongan yang tadi.

Dalam kes ini, Ibn Khaldun menyebut bahawa deraan rotan bagi pelajar yang di luar kawalan nasihat, harus dilakukan tidak melebihi dua kali sebatan. Sebatan itu pula bukan untuk menyakitnya, tetapi sebagai pengajaran dan kaedah cegahan sebelum pelajar itu bertindak satu langkah lagi ke arah jenayah yang lebih berat. Ini ialah langkah pencegahan.

Di Rusia, para pendidik mereka gagal menangani pelajar yang melakukan kesaalahan jenayah melampau termasuk ketagihan arak, najis dadah, mencuri, samseng, gangsterisme serta penyebaran penyakit melalui aktiviti seks bebas.

Satu kumpulan penyelidik Rusia cuba mencari rawatan bagi ketagihan alkohol dan kegundahan melampau. Ketua kumpulan saintis tersebut, Dr. Sargei Speransky menemui kaedah baru mengatasi masalah tersebut, iaitu dengan sebatan berkali-kali pesakit yang terlibat. Kelihatannya kaedah ini agak ganas, tetapi itulah kaedah yang paling berkesan mengikut ketua penyelidik itu.

Ini, menurutnya, dengan sebatan di punggung, sejenis hormon akan dikeluarkan oleh badan manusia yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan alkoholik. Endorpin yang merupakan bahan kimia semula jadi badan manusia di dapati mudah dirembes keluar apabila sebatan punggung dilakukan berkali-kali. Bahan kimia ini dikenali sebagai kimia ceria atau happy chemicals yang bertindak menceriakan pesakit tersebut daripada kegundahan. Bahan kimia itu turut menghilangkan rasa ketagihan arak atau rokok.

Sebatan juga, mengikut pasukan penyelidikan itu, berjaya menyembuh ketagihan mencuri bagi sesetengah pelajar. Dalam sesetengah hal, mencuri barangan di pasaraya menjadi ketagihan golongan tersebut. Ada ramai golongan pelajar yang mencuri bukan kerana kemiskinan tetapi merupakan hobi harian, yang lebih menjadi fenomenon akhlak. Mereka puas menerusi aktiviti tersebut. Ini juga boleh disembuhkan dengan sebatan tertentu.

HIV turut dirawat dengan sebatan dan kini klinik yang memberi rawatan dibuka secara meluas di Negara tersebut. Dr. Marina Chuhrova yang menjadi ahli penyelidik kumpulan itu menyatakan bahawa beliau sendiri melakukan rawatan kepada 10 pesakit ketagihan itu dengan sebatan dan permintaan semakin tinggi selepas masyarakt melihat rawatan kaedah sebatan itu sangat berjaya. Pesakit menjadi lebih gembira selepas tamat rawatan walaupun pada awalnya mereka teragak-agak mencubanya. Sekitar US100 bayaran dikenakan untuk setiap pakej rawatan. Hasilnya memberansangkan.

Marilah kita imbasi kembali hadith saw yang menyebut bahawa apabila anak anda mencapai 7 tahun, suruhlah solat, dan pukullah mereka apabila mencapai 10 tahun apabila mereka enggan melakukannya.

Sesungguhnya kaedah merotan merupakan satu daripada kaedah pendidikan selain nasihat dan kaunseling. Kaedah ini ada hikmahnya tersendiri yang merupakan petunjuk Ilahi menerusi hadith saw yang mulia. Hikmahnya secara saintifik hanya diketahui manusia hari ini.

Pencarian Dimensi yang Hilang dalam Sains Barat diteruskan

Sains Barat diasaskan pada perkembangannya terhadap falsafah naturalisme kemudian berubah kepada mekanisme, positifisme, evolusinisme, dan mantik-positifisme yang berakhir dengan dualisme yang memisahkan aspek keronanian daripada aspek kejasmanian. Kita boleh menjejaki fahaman tersebut dalam sains moden yang menjadi sebahagian kurikulum yang diikuti oleh hampir kesemua institusi pengajian Negara. Marilah renungi kembali contoh-contoh seperti yang diperturunkan di bawah yang mudah didapati di dalam teks rujukan yang digunakan seluruh pelajar sains moden:

  • Menurut saintis Barat era Renaisanse, alam berjalan secara automatik tanpa sebarang kawalan daripada alam metafizik. Ini menerbitkan hukum gerakan Newton yang menjadi paradigma mekanik klasik secara keseluruhannya. Setiap daya menimbulkan kesan gerakan mengikut falsafah ini. Setiap sebab menimbulkan akibat;
  • Menurut Descartes, gerakan spontan dalam tindakbalas refleks berlaku secara mekanik tanpa hubungan dengan kehendak seseorang itu, apatah lagi ketuhanan. Menurutnya lagi, Hukum sebab musabab memerihalkan semua peristiwa alam. Ketuhanan yang menjadi Sebab Terakhir tidak relavan dalam fahaman mekanisme tajaan Descartes. Fahaman ini terterap rapi dalam kurikulum sains Barat yang kekal hingga kini.
  • Menurut Dalton, atom tidak boleh dimusnahkan atau dicipta. Alam wujud secara azali, selama-lamanya.
  • Apabila ditanya kepada Laplace kenapakah beliau mengkaji sistem cakerawala yang mega dengan segala perincian rumus dan gerakan, tetapi Pencipta alam tersebut tidak disebut. Sepatutnya, andainya sebuah bangunan bersejarah dikaji, perkara asas yang dinyatakan ialah tujuan arkitek membina bangunan tersebut. Tradisi ini kekal dalam semua teks Barat hingga kini.
  • Menurut Darwin, mutasi sel bertanggungjawab berevolusi daripada sel ringkas menjadi lebih kompleks dalam jangkamasa yang lama, walaupun mutasi bercanggah dengan hukum termodinamik kedua yang menyatakan maklumat semakin hilang dalam masa yang lama, dan maklumat bukan bertambah seperti sangkaan Darwin. Walaupun diketahui umum bahawa mutasi secara jelas membawa kepada sindrom atau kecacatan, bukan pembaikan, apatah lagi perubahan kepada spesies yang lebih maju, namun demikian, semua peristiwa hayat termasuk kepelbagaian hayat diterangkan mengggunakan premis ini dalam kurikulum semua peringkat.
  • Apabila Bertrand Russell besama rakannya Alfred North Whitehead mengasas teori set dan logik Barat, beliau memperkenalkan fahaman logikisme dalam analisis matematik yang didasarkan kepada fahaman atheisme. Demikian pula apabila Hilbert berbangga dengan fahaman formalisme yang memisahkan sistem nilai daripada intelek. Teori ini dibawa masuk ke dalam sistem pendidikan negara pada tahun 1975 apabila matematik moden yang dipromosi oleh Scottish Mathematical Group mula diperkenalkan di sekolah walaupun pakej ini ditolak di negeri asalnya. Sesetengah pendidik berbangga dengan penerapan behaviourisme ke dalam pekej latihan tubi matematik sekolah walaupun falsafah ini bercabang daripada evolusisme.
  • Apabila Ayres dan Carnap menjadikan kumpulan Viena sebagai model kajian sains serta asas kepada kaedah saintifik moden dengan menganggap unsur rohani sebagai relic of the past yang perlu dikeluarkan daripada paradigma sains. Kumpulan Vienna menentang semua jenis unsur kerohanian.
  • Apabila Watson dan Crick mengisytiharkan bahawa roh yang disebut dalam kebanyakan agama adalah mitos yang perlu disinggkirkan dalam kehidupan saintis, setelah beliau memenangi Hadiah Nobel untuk kajian DNA. Menurutnya, manusia ditentukan oleh struktur asid amino DNA masing-masing dan Tuhan tidak relavan sama sekali dalam sains. Watson sangat kagum dengan struktur neuron dan DNA yang menjadi katakunci dalam genetik insan tetapi beliau sepatutnya lebih mengkagumi Pencipa struktur tersebut.
  • Ahli antropologi Barat menyatakan manusia berevolusi daripada monyet maka manusia dahulu mundur dan kemudiannya beransur-ansur maju. Manusia silam mempunyai bahasa yang mudah lalu dalam perkembangan evolusi manusia semakin maju dan moden lalu meninggalkan gua batu lalu memulakan zaman besi dan seterusnya. Ini bercanggah dengan perkhabaran wahyu bahawa Adam as dijadikan daripada tanah, lalu diberi ilmu pengetahuan oleh Allah swt. Adam as manusia mendapat petunjuk secara langsung dari Ilahi yang menunjukkan dia maju dan ini tentulah bercanggah secara total dakwaan ahli antropologi Barat. Andaian tersebut menjadi premis antropologi barat hingga kini.
  • Ahli sejarah berselisih pendapat kenapakah manusia secara sepakat di seluruh dunia menghitung 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun dalam semua budaya dan masyarakat dengan anggapan Darwinisme, manusia terpisah dalam geografi mengikut tahap evolusi masing-masing. Islam memberi jawapan bahawa Allah mengajar Adam as semua perkara termasuk hitungan masa, lalu diperturunkan pula kepada zuriat yang kemudiannya tersebar luas ke seluruh pelusuk rantau. Tradisi inilah yang menjelaskan persamaan hitungan yang sepakat itu sebab mereka berasal dari rumpun yang sama, bukan berasal dari mawas atau tikus.
  • Teori ekonomi kapitalisme liberalisme menjadikan riba (interest) sebagai asas keuntungan berdasar konsep Darwinisme “yang lemah menjadi makanan yang kuat” dalam persaingan hidup. Syarikat kecil bergabung membentuk konsortium yang akan monopoli seluruh aktiviti urusniaga di sesuatu rantau lalu secara beransur-ansur menghancurkan seluruh aktiviti urusniaga kecil di luar konsortium mereka. Ini bercanggah dengan dasar ekonomi Islam bahawa “Allah menghalalkan urusniaga tetapi mengharamkan riba”. Urusniaga yang amanah merupakan ibadat yang bebas penindasan.

Contoh-contoh yang di atas sudah cukup untuk memberikan gambaran bahawa teks yang dihasilkan di Barat atau ditulis dalam acuan yang sama tidak mempunyai paradigma Islam yang murni, malah dalam banyak hal bercanggah secara berdepan dengan prinsip asas Islam dan sistem nilai ketimuran.

Matlamat sains Barat ialah teknologi semata-mata, sedangkan ilmu bagi seorang Muslim berfungsi untuk mencari kebenaran hakiki, dengan meletakkan teknologi sebagai wasilah bukan matlamat. Matlamat hakiki ialah untuk mengenali kebesaran Ilahi. Maka dalam skema acuan sendiri, sepatutnya semakin lama seseorang pelajar berada di bangku sekolah, maka semakin hampir dirinya dengan Pencipta. Semakin lama berada di bangku sekolah, maka semakin terserlah kekerdilan dirinya berbanding dengan kosmos yang mega, lalu lahirlah rasa tunduk dan merendah diri dalam kehidupan hariannya. Akhlak yang baik ahirnya menjelma dalam diri pelajar sains yang meyaksikan manifestasi keagungan. Pencipta dalam semua bidang sains semua peringkat, sama ada menerusi biologi, kimia, fizik, geologi, perubatan, biokimia, pertanian, astronomi dan lainnya. Adakah dalam skema Barat, pelajar yang berakhlak dapat dilahirkan menerusi kurikulum?

Tauhid sebagai Paradigma

Ayat al-Qur’an yang pertama diwahyu kepada Rasulullah saw menyebut tentang iqra’ dan al-qalam, yakni merujuk kepada pembacaan dan pena. Kedua-dua kalimah menjadi simbol kepentingan ilmu dalam Islam. Iqra’ merujuk bacaan, kajian, analisis dan penyelidikan. Kajian sains dalam tamadun Islam bermaksud mengkaji keindahan hukum Ilahi yang ditakdirkan ke atas alam semesta, lalu bacaan dilakukan dengan nama Allah swt. ”Bacalah dengan nama Tuhan-Mu” (al-`Alaq, 1). Paradigma Tauhid menjadi paradigmakajian sains tabii di kalangan saintis Muslim.

Al-Qur’an menggesa agar diperhatikan kejadian langit dan bumi, memerhatikan perjalanannya serta kejadian siang dan malam. ”Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam benar-benar menjadi tanda (keagungan Ilahi) bagi ahli Ulil-Albab” (Ali Imran, 190). Umat Islam diseru agar merenungi kejadian langit dan bumi serta hitungan perjalanan matahari, bulan dan cakerawala yang menjadi intisari dalam kajian astronomi.

Alam semesta bergerak secara tertib dan harmoni. Apakah sebabnya peristiwa harian seperti edaran matahari, bulan, bumi dan cakerawala keseluruhanya berlaku dalam suasana yang sedemikian tepat dan persis? Saintis Islam mengkaji keindahan sistem perjalanan alam semesta itu sebagai manifestasi keagungan ciptaan Allah swt. Seluruh jirim dan langit berjalan mengikut ketentuan Ilahi yang telah ditakdirkan kepada mereka masing-masing oleh Pencipta-nya. Mereka melakukan penuh ketaatan tanpa bantahan. Mereka tunduk dan patuh. Mereka bertasbih serta melakukan ibadat pada pengertian pengertian hakiki. Keharmonian hukum alam pada hakikatnya ialah manifestasi kepatuhan alam terhadap takdir Ilahi. ”Bertasbih kepada Allah seluruh yang ada di langit dan di bumi, sedangkan Dialah Yang Maha Perkasa kagi Maha Bijaksana” (al-Hasyr: 1).

Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada ketentuan Ilahi, tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi. Seluruh jisim langit dan bumi, seluruh jisim yang seni seperti elektron yang mengelilingi neukleus sehingga cakarewala yang mega yang mengelilingi pusat cakerawalanya, bergerak sedemikian dengan penuh peraturan, sebagai simbol kepatuhan dan ketundukannya kepada Pencipta. Simbol kepatuhan yang sama dapat disaksikan apabila kita mememerhatikan peraturan para jamaah haji melakukan pusingan tawaf mengelilingi kaabah dengan penuh ketaatan dan kepatuhan. Keharmonian hukum alam ialah simbol kepatuhan alam terhadap arahan ketuhanan. Alam adalah Muslim pada pengertian maknawi. Saintis Muslim tidak pernah memisah antara sains dengan iman, antara ilmu dengan agama. Kedua-dua ilmu emperikal dan tauhid dikaji dalam acuan yang sama, sepadu dan saling berkaitan, tidak terpisah seperti amalan saintis Barat. Di atas prinsip inilah tamadun Islam terbina.

Al-Qur’an ialah wahyu Ilahi yang merupakan kitab yang tertulis manakala alam semesta ialah kitab Ilahi yang terbuka untuk dikaji, direnungi, diteliti, secara pemikiran murni yang mendalam. Kitab tertulis dan terbuka harus dikaji secara selari dan bersepadu, saling lengkap melengkapi, tidak berkonflik tetapi saling berkaitan. Setiap kajian yang ikhlas akan berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi dalam penciptaan alam semesta.

Tamadun Islam yang agung berkembang di atas paksi Tauhid. Tuntutan Islam dalam segala keperluan umat Islam sama ada berkaitan urusan ibadat atau urusan harian menerbitkan pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, aljabar lahir berkaitan dengan keperluan umat Islam untuk menyelesaikan masalah fara’id. Trigonometri lahir sebagai ilmu untuk mengira takwim solat dan pemerhatian kemunculan hilal. Optik yang diasas dalam tamadun Islam ada hubungan dengan surah al-Nur yang menyebut tentang cahaya. Kartografi yakni pemetaan wilayah di atas glob bumi diasas al-Biruni untuk mengira bering kedudukan kiblat dari kota tertentu. Ilmu arkeologi lahir akibat penyelidikan tentang kisah yang disebut dalam al-Qur’an seperti tembok Zulqarnain atau gua Ashab al-Kahfi. Geografi kemanusiaan dan fizikal terasas akibat pengembaraan umat Islam dalam pengembangan dakwah, haji, perjalanan ilmu dan urusniaga. Astronomi berkembang pesat dalam tamadun Islam dengan kewujudan balai cerap di seluruh wilayah Islam sebab peristiwa langit menjadi pemerhatian umat Islam yang berkait rapat dengan ibadat dan urusan harian termasuk pertanian seperti kejadian gerhana, peristiwa akuinoks dan solstis. Penyusunan kalendar mempunyai pertalian yang erat dengan ilmu ini.

Tauhid menjadi paradigma kegitan seluruh aktiviti ilmu umat Islam. Islam membina tamadun yang besar hampir 1000 tahun lamanya. Paradigma yang menjadi paksi dan kerangka kajian ilmu terasebut dilakukan bukan sahaja oleh umat Islam bahkan oleh komuniti bukan Islam tetapi kesemuanya bekerja dalam paradigma yang sama. Paradigma ini membesar dan subur sebelum ilmu tersebut kemudiannya berpindah ke Barat dalam acuan mereka pula. Barat menapis ilmu tamadun Islam oleh badan gereja yang dikenali sebagai skolastikisme lalu membuat anjakan paradigma pula. Mereka memilih paradigma sekularisme atau dualisme dalam pembinaan ilmu Barat. Mereka mengkaji ilmu umat Islam tetapi mereka membuat anjakan daripada paradigma umat Islam yang sarat dengan nilai keimanan dan ketuhanan kepada paradigma pemisahan antara sains dan agama.

Roda kehidupan manusia terus berpusing, sekali ke atas dan sekali ke bawah. Negara agung yang membina tamadun besar pada zaman silam seperti Mesir, Iraq dan Greece yang pernah berada di puncak roda pusingan hidup kini berada pada tahap yang bawah. Eropah pula suatu ketika dahulu yakni ketika zaman kegelapan mereka, berada pada titik paling bawah dalam roda hidup. Ketika itu mereka membakar saintis yang menyatakan bumi mengelilingi mathari seperti yang berlaku kepada Bruno, Servetus dan Galileo sekitar kurun ke-16 atau 17.

Eropah bersinar maju menjelang kurun ke-17 apabila mereka mula membina ilmu dalam paradigma bebas nilai mereka. Mereka menghapuskan semua sistem nilai dalam paradigma baru mereka yang berasas dualisme. Kemuncak pemisahan ini berlaku dengan kelahiran Darwin yang mengisytiharkan alam kehidupan tidak memerlukan ketuhanan untuk wujud bahkan proses evolusi yang berlaku dalam setiap sel secara kebetulan sudah cukup untuk menerangkan kewujudan alam semesta. Paradigma ini dikembangkan berdasar falsafah Darwinsime ini dan kemuncaknya berlaku apabila Rusia mengambil teori Darwin ini menjadi doktrin Rusia yang kemudiannya membina sains tanpa ketuhanan di Rusia.

Kemunculan kumpulan positifisme Vienna melengkapkan proses menafikan sistem nilai dalam paradigma Barat. Paradigma ini didokong oleh semua badan penyelidikan saintifik dunia dengan menafikan unsur ketuhanan dalam semua pertimbangan penerbitan ilmiah dan anugerah Hadiah Nobel. Ketuhanan tidak relavan dalam sains, menurut dakwaan kumpulan saintifik yang mengawal penganugerahan hadiah tersebut. Saintis yang menyebut unsur ketuhanan dalam penyelidikan sains ditolak daripada pertimbangan anugerah.

Dunia hari ini membina sains dan teknologi berdasarkan falsafah positifisme Barat. Sains dan teknologi yang dibangunkan berdasar paradigma ini hidup subur dalam kajian saintifik, bukan sahaja dibina oleh saintis Barat tetapi seluruh saintis lain termasuk saintis Muslim turut membina sains dalam paradigma yang sama. Itulah sebabnya, saintis Muslim tidak dibenarkan memasukkan unsur ketuhanan pada akhir kesimpulan setiap penyelidikan saintifik mereka, sedangkan itulah matlamat utama saintis tanmadun Islam dahalu ketika melakukan penyelidikan sains.

Adakah kita sekarang mengalami krisis identiti dalam pencarian paradigma? Marilah kita bersama-sama mencari dan mengenal pasti paradigma yang sesuai untuk sains dan teknologi dalam wajah dan acuan kita sendiri.

Prinsip Ketersebaban

Falsafah mekanisme Barat, seperti pandangan David Hume misalnya, berpendapat bahawa sebab mewajibkan wujudnya akibat. Hume melihat korelasi berbeza daripada prinsip ketersebaban tetapi korelasi yang kuat boleh mengisbat ketersebaban. Beliau menyatakan bahawa penyebab tidak hadir dalam objek tetapi kemunculannya dibina untuk menghubungkan antara objek yang terlibat. Sebab dan akibat dilihatnya sebagai dua peristiwa yang wujud dalam ruang yang berlaku secara berturutan dan kedua-duanya berlaku secara tekal sentiasa. Kadang-kadang penyebab yang tidak cukup kekuatannya tidak menghasilkan akibat yang diharapkan, bukan kerana kedua-duanya terpisah tetapi kekuatannya tidak mencukupi. Hume mengenakan tiga syarat dalam pentafsiran penyebab iaitu kontiguiti yang membawa maksud keselanjaran yang dekat antara penyebab dan kesannya, penyebab perlulah mendahului kesan dalam ukuran masa, dan ketekalan yang berkekalan dalam hubungan tersebut. Hume membentuk pemikiran yang dikenali sebagai positifisme.

John Stuard Mill[2] turut mengenakan tiga syarat untuk mengenalpasti penyebab dalam sesuatu peristiwa. Pertama kovariasi yang bermaksud sebab dan kesannya haruslah berkaitan. Kedua, penyebab perlulah mendahului kesan, dan ketiga tiada penjelasan alternatif yang menafikan hubungan kedua-duanya. Syarat ketiga sukar ditentukan sebab faktor lain yang tersembunyi mungkin muncul sebagai penyebab sebenarnya. Untuk tujuan tersebut tiga kaedah lagi perlu untuk menentukan syarat ketiga iaitu: kaedah persetujuan (kesan wujud apabila penyebab wujud), kaedah perbezaan (kesan tiada apabila penyebab tiada) dan kaedah variasi serentak (yang merujuk kepada kedua-dua syarat sebelumnya berlaku serentak).

Fenomenon sebab dan kesannya menjadi prinsip dalam bidang fizik dan sains umumnya. Prinsip ini dikenali sebagai prinsip ketersebaban yang dinyatakan sebagai:

  • Penyebab yang sama menghasilkan kesan yang sama
  • Penyebab yang berbeza menghasilkan kesan yang berbeza
  • Apabila penyebab berubah maka kesan pun berubah.

Namun ada aliran pemikiran dalam fizik yang menolak prinsip ketersebaban. Mereka menganggap bahawa pemikiran berdasarkan prinsip ketersebaban hanyalah retorik bertaraf pra-saintifik. Menurut mereka lagi, sains sebenarnya digambarkan oleh rumus matematik, menerusi persamaan yang dimodelkan. Akan tetapi persamaan itu pun pentafsiran cerapan yang memberi kesamaan terhadap dua kuantiti. Di dalamnya tidak terdapat prinsip ketersebaban. Sains kini telah melampaui prinsip ketersebaban. Adakalanya akibat mendahului sebab seperti kes objek yang bergerak dengan kelajuan melebihi halaju cahaya, menurut pandangan sesetengah pendokong sains kenisbian.

Sehubungan dengan teori ketersebaban, saintis berusaha mencari korelasi antara dua peristiwa yang kuat kerana kekuatan korelasi akan ditafsirkan ke arah prinsip ketersebaban. Dalam ujikaji makmal, ujikaji kawalan perlu dilakukan bersama dengan ujian hipotesis deduksi agar faktor yang berkaitan akan disabitkan secara yang lebih bermakna.

Dua peristiwa A dan B misalnya yang dianggap sebagai hubungan sebab dan akibat oleh golongan konvensional, hanyalah berupa hubungan korelasi menurut golongan yang lain, atau hubungan fungsi matematik sahaja jika benar kedua-duanya ada hubungan. Sebagai contoh, apabila bintang timur muncul di ufuk maka itu tandanya musim bunga akan menjelma tidak lama lagi. Adakah hubungan ini berbentuk prinsip ketersebaban? Jawapannya bukan, tetapi memang ada hubungan kebiasaan menurut pemerhatian tetapi bukan kelaziman. Demikian pula apabila malam beredar maka hari pun siang. Walaupun satu peristiwa berlaku selepas satu peristiwa yang satu lagi, namun konsep ketersebaban tidak berlaku di sini, cuma sekadar ada hubungan kebiasaan yang menghubungkan dua peristiwa tersebut.

Dalam aliran ini, pendokongnya lebih berminat tentang soalan “Bagaimanakah kita boleh menggunakan hubungan antara sebab dan akibat secara konsep korelasi untuk tujuan kita, bukannya mempersoalkan kenapakah perkara tersebut berlaku?” Soalan kedua tidak mungkin dapat dijawab kecuali falsafah metafizik dijelmakan kembali ke dalam sains.

Dalam statistik, konsep hubungan antara sebab dan akibat dilihat sebagai konsep kebarangkalian dan korelasi. Penyebab sering menunjukkan pengaruh ke atas kesannya. Seseorang yakin bahawa C adalah penyebab berpengaruh ke atas E apabila C mempunyai kesan yang signifikan ke atas E. Secara statistik, P(E C) > P(E ~C) dengan P sebagai fungsi kebarangkalian.

Perbincangan tentang prinsip ketersebaban telah menerbitkan pelbagai fahaman dan pegangan kefalsafahan sains sejak Aristotle mengemukakan teori tersebut. Aliran Aristotle disambung oleh al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu al-Rusyd lalu dibawa ke Barat untuk dikembangkan lagi mengikut persepsi Barat oleh Descartes, Hume dan Mill.

Pemikiran tentang prinsip ketersebaban turut dianalisis oleh al-Ghazali, al-Shahrastani dan Ibn Taimiyyah dalam tradisi Islam. Kedua-dua aliran al-Ghazali dan Ibn al-Rusyd ditapis mengikut kacamata Kristian pula oleh Descartes dan Hume yang muncul dalam bentuk yang berbeza sama sekali dengan tradisi asal. Pelbagai pemikiran yang dimaksudkan termasuklah konsep ketersebaban Tauhid Muslim, Naturalisme zaman Renaisans, Mekanisme, Mantik Positifisme, Aruhanisme, Pemalsuanisme, Ketentuanisme, Ketidaktentuanisme, dan pelbagai fahaman yang lain lagi.

Ketentuanisme beranggapan bahawa setiap perkara yang berlaku akan berlaku disebabkan oleh penyebab yang diketahui ataupun tidak diketahui. Jika sebab tersebut diketahui terlebih dahulu, maka peristiwa akibatnya boleh diramal secara tepat. Andaikata sebab-sebab kejadian suatu peristiwa diketahui, kesannya boleh dihalang dengan menghalang sebabnya.

Ketaktentuanisme beranggapan walaupun ketentuanisme mungkin betul menghubungkan sebab dan akibat, namun sebab tidak mungkin diketahui sepenuhnya. Contohnya, untuk mengukur penyebab sesuatu peristiwa secara kuantitatif, akan mempengaruhi sebab itu sendiri yang menyebabkan mustahil untuk mengetahui sebab secara pasti. Prinsip ini digunakan oleh Werner Heisenberg dalam teori fizik atom yang dikenali Prinsip Ketakpastian Heisenberg.

Fahaman Bukantentuanisme berpendirian bahawa pemikiran manusia bebas memilih tindakan mereka, dan pemilihan itu bukan disebabkan oleh penyebab yang berupa peristiwa anteseden fizikal atau mental.

Sesungguhnya Islam melihat perinsip ketersebaban dalam bentuk yang berbeza dengan pandangan Barat. Prinsip ini hanya bersifat relatif, bukan mutlak. Menurut al-Ghazali, hubungan antara sebab dan akibat bukan berlaku secara lazim, kedua-dua bebas dan bukan terikat secara lazim, bukan hubungan pengisbatan dan bukan pula perhubungan penafian. Bukanlah pula kewujudan yang satu semestinya mengakibatkan wujud pula yang satu lagi. Al-Ghazali memberi contoh, hilangnya haus tidak semestinya bersebabkan minum air. Hubungan antara sebab dan akibat semata-mata ditentukan Pencipta alam semesta. Tuhan mentakdirkan kedua-dua peristiwa sebab dan akibat supaya datang secara berturutan, bukan kerana kelaziman yang mesti bercantum antara kedua-duanya. [3]

Pandangan al-Ghazali, umumnya menjadi pandangan masyarakat Islam yang menyeluruh. Hukum alam yang dikenali sebagai hukum tabii atau law of nature adalah Iradah Ilahi semata-mata. Hukum ini adalah nisbi, bukan mutlak. Prinsip inilah yang menerbitkan keharmonian hukum alam. Prinsip inilah yang menjadi asas kajian saintifik secara hipotesis deduksi. Tanpa wujudnya keharmonian alam, maka tiadalah kajian sains tabii. Saintis Muslim tidak menolak prinsip ketersebaban nisbi tetapi menolak prinsip ketersebaban mutlak.

Dalam sejarah pemikiran Islam, ketika pemerintahan Sultan Mehmed II (kurun ke-14), perdebatan antara aliran al-Ghazali dengan pemikiran aliran Ibnu al-Rusyd yang mewakili golongan falsafah berlangsung dan telah berakhir dengan kemenangan berpihak kepada aliran al-Ghazali.

Pandangan al-Ghazali dan Ibn al-Rusyd menjadi rujukan di Barat menjelang zaman kecerahan Eropah dalam persoalan hukum ketersebaban. Paracelsus[4] dan tokoh saintis gereja yang awal mempunyai pandangan yang hampir selari dengan al-Ghazali dalam persoalan ini. Lahirlah fahaman Naturalisme era Renaisans pada awal perkembangan pemikiran sains di Barat yang menjadikan Tuhan sebagai Penyebab Terakhir dalam semua peristiwa yang berlaku dalam alam semesta. Golongan fahaman tabii ini mewarnai permulaan pemikiran sains zaman menjelangnya Renaisans.

Descartes[5] turut menjadikan karya al-Ghazali dan Ibn al-Rusyd sebagai rujukan. Namun Descartes mempunyai pandangan tersendiri tentang persoalan hukum ketersebaban. Descartes mengakui peranan Tuhan dalam penciptaan alam tetapi selepas penciptaan, Tuhan tidak berperanan lagi dalam penentuan hukumnya dan dibiarkan alam ini berjalan seperti mesin automatik. Maka persoalan sebab dan akibat tidak dikaitkan dengan takdir dan ketuhanan lagi tetapi sebagai gerakan automatik mesin mekanik. Fahaman ini dikenali kemudiannya sebagai fahaman mekanisme.[6] Fahaman ini sangat popular di kalangan saintis Eropah zaman Renaisans dan dianuti oleh ramai tokoh Barat termasuk Newton.

Pengecualian Prinsip Ketersebaban?

Adakah prinsip ketersebaban tajaan fahaman mekanisme Barat dapat dipertahankan apabila sains dibuka lebih luas dalam dimensi yang baru? Marilah kita menghayati persoalan ini. Peristiwa sebab dan akibat, sebab dan musabab, ketersebaban atau cause and effect mempunyai hubungan dengan ungkapan implikasi bersyarat dalam mantik. Jika logam dipanaskan maka logam pun mengembang. Logam dipanaskan menjadi sebab kepada peristiwa pengembangannya. Fenomenon “Jika air dipanaskan, air akan mendidih” adalah cerapan tabii yang ada kaitannya dengan persoalan sebab dan akibat.

Dalam matematik, jika n integer genap maka n2 pun integer genap berlaku secara pasti. Akan tetapi apakah kepastian matematik dikongsi bersama dengan peristiwa tabii? Dalam perubatan misalnya, dengan anggapan bakteria punca sesuatu penyakit, maka adakah ungkapan “Jika bakteria dihapuskan, maka penyakit akan sembuh” menjadi ungkapan yang benar?

Dalam fizik, jika suatu jisim dibiarkan bergerak dalam bentuk halaju yang malar tanpa sebarang gangguan, adakah objek itu akan mengekalkan halajunya buat selama-lamanya seperti yang disebut hukum gerakan yang pertama?

Dalam kimia, adakah percantuman hidrogen dan oksigen dalam nisbah 2:1 dengan tindak balas kimia menjadi sebab kepada pembentukan air secara mutlak?

Dalam biologi, adakah kewujudan air, udara, cahaya matahari, tanah dan baja organik menjadi sebab kepada percambahan biji benih?

Dalam pertanian, adakah usaha yang baik yang disertai dengan penjagaan yang rapi secukupnya menjadi sebab kepada penghasilan tuaian yang baik?

Dalam pendidikan, adakah sekolah, teks, guru, infrastruktur, teknologi pembelajaran yang baik menjamin keputusan peperiksaan yang cemerlang?

Dalam pengalaman harian, adakah makanan menjadi sebab kepada kenyang? Adakah api menjadi sebab kepada kebakaran? Adakah kewujudan lelaki dan perempuan menjadi sebab kepada kelahiran anak? Adakah setiap usaha menghasilkan kejayaan? Apakah setiap kejayaan menimbulkan kegembiraan?

Marilah kita renungi beberapa peristiwa yang melibatkan persoalan ini. Jasad para syuhada yang masih utuh selepas ribuan tahun meninggal di medan jihad. Ada orang tidak lapar walaupun tidak makan seperti pengamal kerohanian dan orang sakit. Dalam keadaan biasa otak manusia yang tidak menerima oksigen dalam beberapa minit akan mengakibatkan kematian. Akan tetapi ada peristiwa penghuni yang terperangkap di bawah keruntuhan tanah atau bangunan masih hidup selepas tertimbus beberapa hari. Ada pula pengamal kerohanian yang mampu bertahan hidup apabila ditimbus selama beberapa jam. Ada penyelam yang mampu bertahan lama di bawah permukaan laut tanpa alat bantu penafasan. Ada pula berita yang menyatakan bahawa ditemui batu terapung di pantai. Ada pengamal mistik yang berjalan di atas bara api tanpa mengalami kecederaan. Ada pula diberitakan bahawa pahlawan silam yang kebal. Diriwayatkan pula ada pandai besi yang memicit besi waja dengan jari jemarinya untuk membuat keris. Para saintis berusaha keras untuk menerangkan peristiwa tersebut dengan menggunakan pemikiran saintifik. Mereka berhempas pulas menggunakan istilah saintifik untuk menjustifikasi bahawa kes tersebut memang boleh dianalisis secara saintifik.

Seterusnya, marilah kita renungi peristiwa ketulan ais timbul di permukaan air yang penuh keajaiban. Sepatutnya mengikut hukum fizik, ais akan tenggelam dalam air. Fizik berpegang kepada hukum pengembangan isipadu bahan apabila dipanaskan dan akan mengecut isipadu apabila disejukkan. Ketika dalam kedaaan cecair, ketumpatan air ialah 1 kgm-3. Apabila disejukkan, isipadu akan mengecut sedangkan jisim air tetap. Maka ketumpatannya menjadi lebih daripada 1 kgm-3. Inilah hukum sebab dan akibat fizik. Namun apabila diselidiki, ketumpatan ais sebenarnya kurang daripada satu. Kenapakah terjadi demikian? Kajian menunjukkan bahawa apabila air disejukkan, isipadu akan berkurangan sampai ke tahap 40C, lalu berhenti pengurangan isipadunya. Kemudian apabila disejukkan lagi, isipadunya mengembang yang menyalahi “hukum sebab dan akibat” dan terus mengembang hingga membeku pada darjah 00C. Akibat pengembangan yang lebih cepat daripada isipadu asalnya sedangkan jisimnya tetap maka ketumpatannya menjadi kurang daripada satu, yang menyebabkan ais timbul ke permukaan air. Walaupun penjelasan ini adalah “saintifik”, namun saintis hingga kini, tidak boleh menerangkan lebih lanjut kenapakah air bersifat demikian, khususnya mengalami sifat yang ganjil pada suhu 40C?

Akibat daripada peristiwa ganjil yang menyalahi prinsip ketersebaban itu, maka hidupan air di bawah lautan di kutub seperti anjing laut dan ikan masih dapat hidup di dasarnya walaupun air laut membeku di permukaannya. Adakah ini berlaku secara kebetulan? Ada pokok yang kecil tetapi menghasilkan buah yang sangat besar, seperti pohon tembikai. Ada pokok yang sangat besar tetapi menghasilkan buah yang sangat kecil, seperti pohon keranji.

Di Eropah terdapat sejenis lalat yang dikenali sebagai lalat keranda atau coffin fly yang mampu menembusi kedalaman beberapa kaki di tanah perkuburan untuk menyelinap masuk ke dalam keranda dan bertelur. Larvanya segera membesar dan memakan mayat hingga habis dalam masa yang singkat. Kebolehan lalat tersebut menembusi tanah dan kayu keranda amat menakjubkan dan sangat menyukarkan para saintis untuk menjustifikasi menerusi hukum fizik.

Dalam fizik, hingga kini saintis belum menemukan sebab bahan radioaktif mereput. Kajian yang dibuat terhadap helium menunjukkan bahawa bahan tersebut tersepai reput secara spontan yang tidak dapat dihuraikan sebabnya. Saintis masih berharap untuk menemukan sebab tersebut dalam kajian mendatang. Demikian pula, apakah sebab magnet menarik besi? Kajian telah dilakukan untuk mencari sebab yang munasabah tentang peristiwa tersebut. James Jeans misalnya, telah lama mengkaji fenomenon tersebut dan membuat pelbagai teori serta andaian saintifik tetapi akhirnya beliau menulis: Perhaps it has been ordered to do so by its Creator.[7] Ahli psikoanalisis pula masih mencari sebab manusia tidur waktu malam, manusia ketawa ketika gembira dan menangis apabila kesedihan.

Perhatikan pula proses pengaliran udara secara aerodinamik bagi seekor burung helang yang sedang terbang di udara dengan mengembang dan menguncup sayapnya. Tiba-tiba burung tersebut berhenti mengepak sayapnya lalu menetapkan sayap terbuka sambil membuat terbangan membulat tanpa jatuh ke tanah. Kirakanlah daya yang menarik burung tersebut ke bumi serta daya tolakan ke atas yang berlaku dalam keadaan biasa. Pasti bukaan sayapnya tidak dapat mengatasi tarikan graviti ke bawah. Sepatutnya helang akan jatuh ke tanah apabila berhenti mengepak sayapnya. Saintis berusaha keras untuk mencari faktor lain secara saintifik.

Demikian pula tapak kaki manusia yang kecil mampu menyokong dan membawanya ketika berdiri, berjalan atau berlari tanpa jatuh ke bumi tetapi sebaik sahaja terlena, maka jatuhlah ia! Apabila terlena, pen di tangan pun jatuh ke bawah! Kita melihat kelawar yang tidur tergantung di dalam gua dengan kepalanya ke bawah, tetapi tidak jatuh ke bumi. Kita turut menyaksikan cicak yang berlari laju di siling dengan keempat-empat kakinya ke atas, tanpa jatuh ke lantai. Kita juga menonton rakaman filem yang menunjukkan ada pokok yang memerangkap lalat atau haiwan kecil dengan cepat, lalu “memakan”nya seperti haiwan. Adakah ini semua berlaku mengikut prinsip ketersebaban biasa?

Dalam agama, peristiwa sebab dan akibat dibincangkan dalam bab takdir Ilahi. Peristiwa tabii dalam alam semesta ditakdirkan mengikut hukum tersebut. Mukjizat tidak terikat dengan hukum sebab dan akibat. Isa as dilahirkan ibu tanpa bapa. Adam as diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Musa as membelah Laut Merah tanpa perantaraan sebab.[8] Ibrahim as dibakar tetapi tidak hangus. Yunus as ditelan ikan paus tetapi tidak mati. Daud as melembutkan logam besi dengan tangannya. Sulaiman as mampu memahami pertuturan unggas dan haiwan. Mukjizat tidak terikat dengan sebab dan akibat. Sebab dan akibat kelihatan terpisah sama sekali dalam peristiwa ini. Kadang-kadang muncul sebab tanpa akibat dan kadang-kadang muncul akibat tanpa sebab. Kedua-dua sebab dan akibat terpisah sama sekali dalam bab ini.

Peristiwa sebab dan akibat dikongsi bersama dalam bidang mantik, matematik, fizik, kimia, biologi, falsafah, agama dan peristiwa harian. Maka ramailah orang berminat untuk memberi pemikiran tentang persoalan ini. Persoalan ini dibincangkan sejak zaman Aristotle, dan diungkit kembali zaman al-Farabi, Ibn al-Rusyd dan al-Ghazali, lalu dipindahkan kepada Descartes, Hume, Leibniz, dan Newton, dan akhirnya muncullah Russell, de Bono, dan Hawkings menyatakan pemikiran masing-masing tentang perkara ini sama ada dengan istilah falsafah, agama, tabii atau perkaedahan saintifik. Amat sukar bagi seseorang pengkaji untuk melihat sempadan yang memisahkan dimensi setiap perbincangan itu.

Hukum Tabii atau Sunnatullah

Sains mengkaji tentang alam semesta serta hukum yang dipatuhinya secara harmoni mengikut sunnatullah. Apakah hakikat kebenaran kewujudan alam yang menjadi premis kajian sains fundamental itu tidak berakhir dengan pengiktirafan keagungan Pencipta-nya? Jika ini dapat diperkenalkan kepada pelajar, maka semakin lama seseorang pelajar berada di bangku pengajian maka semakin kenallah ia terhadap Pencipta-nya. Ilmu membangun manusia dan teknologi. Kedua-duanya membina tamadun yang mempunyai ciri kesepaduan yang dimaksudkan di sini.

Dalam kelas fizik umpamanya, konsep pecutan graviti yang bernilai 9.8 ms-2 yang diukur dalam makmal menerusi konsep gerakan harmonik bandul atau yang spring yang berayun adalah konsep kuantitatif yang biasa dilakukan di peringkat sekolah menengah atau kolej misalnya. Nilai ini didapati tetap dan tekal dalam semua keputusan ujikaji. Apakah nilai 9.8 ms-2 mempunyai signifikan dalam kehidupan manusia seharian? Apakah misalnya akan terjadi andainya nilai ini menjadi terlalu rendah seperti 3.7 ms-2 atau terlalu tinggi seperti 20.5 ms-2? Dalam kes pertama, hidupan akan terapung-apung di atas pemukaan bumi dan mungkin terpelanting ke udara atau angkasa raya kerana tarikan graviti yang sangat kecil. Dalam kes kedua pula, hidupan tidak mungkin akan dapat bergerak dengan mudah, bahkan untuk mengangkat kaki sendiri pun terlalu berat kerana nilai tarikan ke arah pusat bumi sangat tinggi yang menyukarkan pegerakan. Adakah nilai 9.8ms-2 itu berkaku secara kebetulan? Mahasuci Pencipta bumi yang telah mencipta dengan kadar yang terbaik, nisbah yang terbaik! Bahkan nilai tarikan graviti itu pun ada kaitannya dengan saiz bumi, pergerakan memusat, serta edaran berbentuk elips atau orbital bunga cengkeh, putaran bumi secara gerakan harmonik atau separuh harmonik, di dalam sistem matahari.[9] Semakin mendalam kajian kuantitatif, maka semakin terserlahlah sifat kualitatif tersebut. Adakah konsep dualisme Barat dapat memerihalkan pergerakan alam yang indah tersusun ini menerusi konsep kebetulan atau proses tabii tanpa kawalan? Sesungguhnya proses kebetulan tidak boleh membentuk sistem serta susunan yang teratur dan tersusun indah.

Perhatikan lagi nisbah dan kadar ciptaan Tuhan. Dalam kelas kimia pula misalnya, pelajar biasa diajar dengan teori kuantitatif pembentukan molekul menerusi gabungan atom dalam kelas atau makmal. Dalam kejadian molekul air misalnya, H2O mempunyai nisbah komponen hidrogen dan oksigen sentiasa dalam kadar 2:1. Air ialah sumber kehidupan. Air bersifat pelarut, penghilang kehausan, membersih, dan memadam kebakaran. Andainya diuraikan kepada unsur asalnya iaitu hidrogen dan oksigen dalam bentuk gas, sifat air berubah sama sekali. Jika air memadamkan kebakaran tetapi kedua-dua unsur asalnya bersifat unsur membakar dan terbakar. Andainya pula kadar molekul pembentukan air ditukar menjadi H2O2 iaitu dengan penambahan atom oksigen yang menukarkan kadar komponennya menjadi 2:2 maka unsur baru yang dikenali sebagai hidrogen peroksid yang terhasil bersifat racun, tidak suci lagi menyucikan serta bersifat menghakis. Kandungan karbohidrat yang tersusun daripada nisbah karbon, hidrogen dan oksigen dalam nisbah tertentu pula mempunyai ribuan jenis dan spesies yang hanya berbeza dari segi kombinasi atau susunan atom sama ada dalam buah-buahan, bijirin atau tumbuh-tumbuhan. Sesungguhnya alam ini diciptakan dalam sistem yang jitu dan tepat perkadarannya. Kadar tersebut tidak boleh menerima sebarang gangguan, kecil atau besar, atau diganti dengan kadar yang lain.

Kelas biologi ialah kelas yang secara langsung mengkaji makhluk kehidupan ciptaan Tuhan. Tiada pelajar lain dalam sains tabii yang harus lebih mengenali Tuhan selain pelajar yang mengkhusus bidang biologi. Setiap kajian tentang tumbuh-tumbuhan, haiwan atau manusia, kesemuanya mengkaji manifestasi keagungan Ilahi. Ambillah apa jua tajuk dalam bidang ini, maka ayat akhir yang menjadi kesimpulan dalam pembelajarannya ialah betapa indah, harmoni, jitu, persis dan bersistem alam ciptaan ini! Lihatlah perjalanan darah manusia, yang mengalir membawa oksigen dan zat makanan yang ringkas dalam salur nadi dari jantung ke tisu dalam proses pembakaran untuk tenaga kehidupan. Perjalanannya seolah-olah mematuhi peraturan yang telah diprogram secara tersusun. Setelah darah yang membawa oksigen dalam salur nadi tadi telah terlibat dalam proses pembakaran tadi, sifatnya yang mengandungi karbon dioksid dibawa balik ke jantung menerusi salur darah yang berasingan, dan dipam semula keluar untuk dibersihkan oleh paru-paru yang mempunyai sistem pembersihan yang cekap dan mekanisme yang teratur untuk membersih darah tersebut. Gas yang tidak diperlukan dibebaskan, manakala darah yang telah disaring dan bersih itu dialirkan kembali ke jantung menerusi ruang atau bilik jantung yang berasingan. Kawalan darah dalam jantung dilakukan oleh injap yang sangat cekap fungsinya. Darah yang bersih dan kotor tidak bercampur aduk, lalu jantung seperti mesin automatik yang sangat patuh kepada sistem yang diprogram meneruskan perjalanannya sampai ke suatu masa tertentu. Edaran darah berlaku dalam pusingan yang lengkap secara berterusan. Tiada makhluk lain yang mengawal perjalanan jantung, bahkan semasa individu itu tidur pun, jantung masih meneruskan denyutan berirama secara teratur, harmoni dan jitu. Darah beredar dalam sistem edarannya tanpa sekali pun melakukan kesilapan. Kesilapan jantung berfungsi mengikut rutin perjalanannya yang telah ditentukan akan membawa maksud yang buruk padahnya!

Teori Kuhn

Paradigma ialah model atau kerangka konsep rujukan. Dalam mahkamah, kes paradigma merujuk kepada kes model primier yang boleh dibezakan daripada kes sekunder. Paradigma dalam konteks sains, berupa model kerangka yang mempunyai konsep, matlamat, falsafah, nilai dan kaedah.

Menurut Thomas Kuhn,[10] sains bergantung kepada paradigma. Paradigma bukan kerangka yang tersukatkan, yakni bukan termasuk dalam aspek kuantitatif, bahkan paradigma melibatkan sistem nilai, etika, pemikiran dan pandangan alam saintis yang terlibat. Dua paradigma tidak boleh dibandingkan kerana kedua-dua dibina di atas tapak yang berbeza. Setiap paradigma menggunakan peristilahan yang berbeza, menumpukan cerapan data yang berbeza, menganalisis pendekatan yang berbeza dan mempunyai nilai kesahan yang berbeza. Ini bermakna setiap paradigma menghasilkan sains yang berbeza pula. Tiada jalan tengah untuk menilai kedua-dua paradigma secara berkecuali. Dua sains yang berpaksikan dua paradigma, mengikut Kuhn tidak boleh dibandingkan status kelebihannya. Masing-masing diukur mengikut paradigma masing-masing.

Perkembangan sains, menurut Kuhn bukan berlaku secara evolusi, tetapi berlaku secara bersiri yang tertib dalam selang masa tertentu, tetapi kemudiannya diikuti dengan perubahan revolusi secara mendadak, apabila komuniti telah menolak sesuatu paradigma dan menganut paradigma yang lain pula.

Newton dan Einstein menggunakan dua paradigma yang berbeza. Walaupun mereka menggunakan istilah yang sama, misalnya jisim, tetapi pengertiannya tidak sama. Jisim mempunyai sifat yang tetap mengikut Newton tetapi jisim dilihat Einstein sebagai kuantiti yang boleh ditukar kepada tenaga. Fizik Newton merujuk kepada hukum mekanik klasik manakala paradigma fizik Einstein merujuk kepada paradigma sains kerelatifan. Mereka mencerap data yang berbeza dan mempunyai sistem ukuran yang berbeza pula.

Pandangan Kuhn tentang paradigma bercanggah dengan kefahaman umum saintis Barat seperti kumpulan posifisme tentang maksud sains itu sendiri yang menurut mereka bebas nilai, sejagat, tidak berubah, tekal dan tidak dipengaruhi pengkajinya.

Sejarah menunjukkan paradigma Copernicus berbeza dengan paradigma Ptolemy. Paradigma kimia Dalton turut berbeza dengan paradigma setelah penemuan oksigen oleh Priestly. Demikian pula paradigma saintis beragama berbeza dengan paradigma Darwinisme. Setiap komuniti yang membina sains menjadikan paradigma sebagai rujukan masing-masing. Nama-nama besar dalam sejarah pemikiran sains seperti Ptolemy, Copernicus, Newton, Einstein dan Darwin menjadi sebab kepada perubahan paradigma tradisi klasik kepada paradigma yang lebih moden dalam masyarakat Eropah.

Pengisian sains di sekitar paradigma dikenali sebagai sains biasa atau sains tradisi. Kuhn percaya dalam era sains biasa, komuniti saintis bekerja dalam paradigma yang sama. Anomali ialah suatu keadaan apabila terdapat krisis sains yang tidak dapat disuaikan dengan sesuatu paradigma. Sains normal boleh diibarat sebagai menyusun gambar tekasuai ke dalam satu gambar yang besar berpaksikan paradigma tersebut. Apabila ada juzuk tekasuaian yang tidak boleh disesuaikan dengan mana-mana ruangan dalam gambar tersebut maka juzuk itu disebut anomali yang mengakibatkan timbulnya krisis. Andainya terlalu banyak krisis yang berlaku, maka paradigma mungkin berubah secara mendadak dan peristiwa ini menyebabkan berlakunya revolusi sains. Paradigma pun berubah dan beranjak. Lalu, sains biasa yang baru akan dibina oleh komuniti di sekitar paradigma yang baru itu. Proses ini berlaku sepanjang sejarah pemikiran sains tamadun manusia.

Pengkritik paradigma Kuhn berhujah bahawa dalam sejarah, sains tidak pernah berubah secara revolusi. Contoh Kuhn tentang sains Newton dan sains Copernicus bukanlah berbentuk revolusinisme tetapi lebih berbentuk revisinisme yakni melakukan ulangkaji terhadap premis asas yang kurang mantap serta mengekalkan tradisi yang masih relavan.

Kuhn berpendapat bahawa dua paradigma yang berbeza tidak dapat dibandingkan. Pandangan ini turut mendapat kritikan kerana dalam sejarah pemikiran sains, perkembangan kemudian masih berlaku apabila paradigma sebelumnya didapati bercanggah dengan penemuan baru. Ini bermakna perbandingan antara premis yang jelas tidak benar dengan premis baru yang objektif yang mungkin beranjak secara anti-selari seperti premis geosentrik Ptolemy dan premis heliosentrik Copernicus. Ini bermakna perbandingan antara dua paradigma adalah jelas.

Adakah Sains Bebas Nilai?

Sejarah yang benar ialah ilmu. Sejarah perlu diambil iktibar. Merenungi sejarah silam bukanlah bererti mundur ke belakang tetapi sejarah memberikan lompatan kuantum yang sangat berkesan untuk meneruskan perjalanan. Sejarah ibarat momentum seperti pelompat jauh undur ke belakang mengambil lajak untuk melompat dengan penuh kesungguhan ke hadapan.

Pemikiran sains bertukar tangan daripada Yunani kepada Islam, Islam kepada Eropah, dan kini sains lebih bersifat sejagat, bebas budaya, dan bebas nilai. Namun sebelum zaman postifisme yang menafikan seluruh sistem nilai dalam pemikiran sains, kita perhatikan setiap tamadun berkembang di atas paksi dan paradigma tersendiri. Sains tamadun Islam berkembang di atas paksi Tauhid. Paksi ini telah lebur dalam perjalanan pemikirannya ke Eropah lalu terhasillah sains moden yang bebas budaya, bebas metafizik.

Isu mutakhir yang menarik dalam pemikiran sains lewat kurun ke-20 tentang sains Islam ialah persoalan pengislaman sains. Tokoh utama yang membahaskan persoalan ini termasuklah Ismail Faruqi,[11] Syed Hosein Nasr,[12] Syed Naguib al-Attas,[13] Ziauddin Sardar,[14] Osman Bakar[15] dan angkatannya. Di samping itu, terdapat kecenderungan saintis Barat untuk mengkaji al-Qur’an dalam perspektif sains. Di antara saintis Barat yang begitu berminat dengan sains al-Qur’an termasuklah Maurice Bucaille, Keith Moore, Garry Miller[16] dan lain-lain.

Maurice Bucaile telah memeranjatkan saintis Eropah apabila beliau menulis bukunya dalam bahasa Perancis La Bible, le Coran et la Science yang diterjemah oleh beliau bersama Alastair Pannell ke bahasa Inggeris dengan tajuk The Bible, The Qur’an and Science. Beliau membandingkan fakta saintifik yang terdapat dalam al-Qur’an dan Bible. Beliau meneliti fakta saintifik yang sangat jitu dan tepat dalam al-Qur’an yang berkaitan dengan kosmologi, astronomi, zoologi, botani, geologi, dan embriologi. Sebahagian fakta saintifik tersebut hanya ditemukan dalam penyelidikan sains kurun ke-19 dan 20 sedangkan al-Qur’an diturunkan kepada rasul terakhir dalam rangkaian nabi, pada awal kurun ke-7.

Maurice Bucaille (lahir 1930) pakar bedah yang pernah menjawat ketua Klinik Pembedahan, Fakulti Perubatan Universiti Paris, mengajak saintis agar mengkaji al-Qur’an kerana kitab suci itu adalah sumber sains. Menurutnya:

“The Qur’an, most definitely did not contain a single proposition at variance with the most firmly established modern knowledge and that a large number of facts are mentioned in the Qur’an which were not discovered until modern times”.[17]

Bucaile membentangkan hasil penemuan beliau tentang embryologi yang terdapat dalam al-Qur’an dalam persidangan Akademi sains Perubatan Perancis 1976.

Keith More, professor Emeritus Jabatan Anatomi dan Biologi Sel, Universiti Toronto turut takjub dengan peringkat perkembangan embriologi yang diterangkan sangat terperinci dalam al-Qur’an. Beliau ialah penulis karya Clinical Oriented Anatomy dan The Developing Human, teks piawai dalam perubatan. Buku The Developing Human mempunyai gambar anatomi dan sistem pembiakan manusia yang terperinci dan digunakan di Kanada dan Amerika sebagai teks embriologi. Setelah mengkaji al-Qur’an, beliau menemui banyak lagi penemuan baru yang belum terdapat dalam karya tersebut lalu dalam edisi ke-5 karya tersebut beliau memasukkan fakta sains al-Qur’an beserta dengan ayat al-Qur’an sekali. Barangkali inilah teks sains moden yang pertama dipersembahkan dengan ayat al-Qur’an yang digunakan sebagai teks akademik.

Sebagai rakyat Kanada, Moore tidak mempunyai pengatahuan tentang kitab suci Muslim sehingga beliau mengkaji bidang embriologi. Menurut Moore:

“Although I was aware of the glorious history of Muslim scientists in the 10th Century AD, and some of their contributions to medicine, I know nothing about facts and beliefs contained in the Qur’an and Sunnah. It has been a great pleasure for me to help clarify statements in the Qur’an about human development. It is clear to me that these statements must have come to Muhammad from God, because most of this knowledge was not discovered until many centuries later. This proves to me that Muhammad must have been a messenger of God”.[18]

Angkatan pengislaman sains yang dikemukakan oleh Sayyed Hossein Nasr dan kumpulannya bertujuan melihat sains sebagai satu disiplin yang berakar umbi dalam tamadun Islam yang mempunyai latar belakang sejarah, falsafah dan pemikiran. Walaupun ada kritikan yang dilakukan terhadap pengislaman sains oleh penulis seperti Sardar, Abdus Salam,[19] dan Hoodbhoy yang menganggap bahawa sains adalah neutral kerana dipengaruhi pemikiran positifisme Barat, tetapi golongan ini tidak mendapat tempat dalam aliran perdana.

Apakah rasional pengislaman sains? Sejarah perkembangan sains telah merakamkan dengan jelas bahawa sains dipengaruhi paradigma. Sains yang berkembang dalam tamadun Islam, berkembang di atas paradigma Tauhid. Matlamatnya untuk melahirkan saintis bertakwa. Sains Islam berbeza daripada sains Yunani sebab Yunani membina sains di atas falsafah metafizik mereka. Ayat al-Qur’an dan hadith telah menjadi pendorong kajian sains tamadun Islam. Kajian dilakukan dengan nama Tuhan. Aktiviti sains adalah ibadat. Kelahiran optik ada hubungannya dengan ayat al-Qur’an tentang cahaya. Aljabar diasas berkaitan dengan ayat fara’id.[20] Trigonometri lahir kerana hubungan dengan ibadat haji, puasa dan solat. Geologi dan arkeologi dikaji kerana ada hubungan dengan kajian tentang sejarah Fir’aun, Zul-Qarnain[21] dan Ashab al-Kahfi.[22] Kartografi atlas di atas glob digunakan dalam pelayaran dan pengiraan arah kiblat. Kesemua ilmu tersebut terasas dalam tamadun Islam berkait rapat dengan al-Qur’an.

Apabila sains Islam berkembang ke Eropah, mereka tidak menerima sepenuhnya sains Muslim. Kumpulan skolastikisme gereja menapis kandungan aljabar Islam. Mereka membuang unsur faraid dan mengambil persamaan kuadratik.[23] Barat menapis trigonometri Islam lalu membuang bab penentuan arah kiblat dan pengiraan takwim sembahyang tetapi mereka mengambil bab sinus, kosinus dan tangen sahaja. Optik Islam dipadamkan tentang konsep cahaya sebagai hidayah tetapi mereka menerima konsep kamera dan kanta teleskop Ibn al-Haitham. Ini bermakna mereka menukar sistem nilai Islam kepada nilai baru Kristian ke dalam sains warisan tersebut. Sains lalu ditafsir mengikut kefahaman gereja, lalu timbullah konflik gereja bersama saintis.

Rentetan sejarah di atas dengan jelas merakamkan betapa sistem nilai telah berperanan mewarnai wajah sains.

Dalam perkembangan aliran pemikiran sains moden lahirlah pelbagai fahaman seperti logikisme, realisme, posifisme, aruhanisme, pemalsuanisme dan seumpamanya yang kebanyakannya bercanggah dengan sistem nilai Islam. Adalah mustahak apabila sains diterima kembali sebagai satu unsur pembangunan berteraskan sains dan teknologi, maka fahaman tersebut haruslah ditapis kembali supaya selari dengan sistem nilai tempatan. Matlamat sains yang murni bukan untuk tujuan kemusnahan, peperangan, eksploitasi alam, dan kegawatan masyarakat tetapi sains yang murni harus memenuhi kriterium etika dan akhlak sains yang mulia dan sejagat. Di atas landasan ini, maka slogan pengislaman sains bermula pada lewat kurun yang lepas.

Pengaruh evolusinisme yang menafikan ketuhanan bukan hanya menjadi landasan biologi Barat yang diimpot ke negara bekas jajahan mereka, namun teori yang sama telah tersebar dalam bidang antropologi, sains sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan seumpamanya. Fahaman ini berakar umbi dalam sistem pendidikan negara jajahan dan sudah menjadi satu doktrin dalam pengajaran sekolah dan kolej. Walaupun guru dan pensyarah yang terlibat adalah orang beragama, tetapi apabila mereka memberi kuliah, fahaman tersebut dianuti dalam masa selang waktu kuliah bersama pelajarnya sebab kebanyakan teks menjadikan evolusinisme sebagai premis asas. Setiap teori biologi bermula dengan fahaman tersebut. Apabila balik ke rumah, mereka kembali menjadi orang beragama. Fahaman sekularisme sedemikian menjadi foneomenon yang lumrah dalam kebanyakan negara umat Islam yang pernah terjajah.

Dalam antropologi, manusia diajar di sekolah, bermula dengan zaman primitif dari segi pemikiran, tamadun, wajah dan rupa, penguasaan ilmu yang berupa bahasa atau pengiraan dan seumpamanya. Manusia digambarkan bermula dengan etika dan kelakuan yang kasar dan primitif semata-mata untuk membenarkan teori evolusi yang menunjukkan manusia dari spesies yang rendah beransur-ansur menjadi spesies yang maju.

Lakaran gambaran pendokong evolusinisme tersebut bercanggah sama sekali dengan wahyu Ilahi yang disampaikan kepada para rasul agama langit yang asal seperti Nasrani, Yahudi dan Islam. Dalam Islam, manusia pertama Adam as adalah orang pertama diberi ilmu pengetahuan yang lengkap dari segi bahasa, pengiraan, kemahiran dan semua ilmu berkaitan dengan iman dan keduniaan. Anakandanya pula Shith as menjadi pelopor kepada ilmu perubatan, astronomi dan lain-lain yang diwariskan kemudiannya kepada ilmuwan Mesir, Yunani dan Babylon. Dari segi bahasa, Adam as dianugerah dengan bahasa yang pelbagai dan sempurna yang kemudiannya tersebar luas di kalangan zuriatnya di seluruh pelusuk dunia. Itulah sebab seluruh bahasa di dunia mempunyai susur galur yang sama. Ahli bahasa menelusuri keluarga bahasa dunia dan mendapati permulaannya menumpu ke satu pohon yang besar. Hingga kini ahli bahasa dan filologi tidak dapat memberi alasan tentang susur galur yang sama itu, sebab mereka menganggap manusia primitif zaman batu tiada perhubungan yang mengikat persaman bahasa mereka.

Dengan ini, apakah sains yang dibina di atas paradigma liberalisme-positifisme-sekularisme sesuai dengan kurikulum sains Islam yang berteraskan wahyu.

Kesimpulan: Ciri Sains Alternatif

Islam melihat kegiatan ilmu sebagai ibadat umum umat Islam. Ilmu sains tabii dikaji dalam satu paradigma kesepaduan ilmu yang berfungsi untuk melihat alam sebagai satu manifestasi keagungan Ilahi. Alam yang berjalan secara teratur dan tertib, bukan terjadi secara kebetulan tetapi menerusi Iradat Ilahi perancangan Ilahi yang penuh hikmah. Alam semesta yang menjadi objek kajian sains hakikatnya dianggap sebagai kitab terbuka yang harus dikaji secara selari dengan kitab wahyu al-Qur’an. Hasil akhir kegiatan saintifik seseorang Muslim ialah sifat bertakwa yang menjadikan diri pengkajinya tunduk dan patuh kepada kehendak Ilahi, apabila melihat bahawa semua objek kajian sains di langit dan di bumi tunduk patuh kepada Pencipta-nya. Di atas paksi inilah seharusnya kajian saintifik moden umat Islam dilakukan.

Hukum keseragaman alam yang disangka saintis Barat sebagai hukum tabii, hakikatnya ialah hukum Allah swt yang disebut sunnatullah. Muslim bermaksud orang yang patuh dan tunduk kepada peraturan dan kehendaki Ilahi. Dalam pengertian ini, alam semesta yang berjalan secara teratur dan seragam hakikatnya patuh dan tunduk kepada perintah Ilahi. Maka hakikatnya alam semesta adalah Muslim dengan pengertian ini. Hukum sebab dan akibat sebenarnya merupakan sebahagian daripada sunnatullah. Hukum ini tetap berjalan seadanya selagi dikehendaki berlaku demikian oleh Pencipta-nya.

Dalam epistemologi yang dibincangkan ulama silam, ilmu dibahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah, ilmu wajib dan ilmu harus, ilmu alat dan ilmu cabang, ilmu usul atau asas, dan sebagainya, maka sains turut dikaji sebagai satu unit dalam kesyumulan ilmu Islam. Ilmu ini dikaji secara bersepadu dengan ilmu yang lain, terikat dalam ikatan yang padu, tidak terpisah atau terasing seperti pandagan dualisme Barat.

Sains dan wahyu di sisi saintis Islam, dilihat sebagai gabungan yang harmoni, tidak berkonflik seperti anggapan sains Barat. Bahkan al-Qur’an memberikan impak yang besar kepada generasi terdahulu untuk memulakan kajian alam yang berkaitan dengan botani, haiwan, fizik, kimia, astronomi dan sebagainya. Sains dikaji dalam kesepaduan cerapan, ujikaji dan ilham. Kegiatan sains ialah kegiatan agama.

Alam makro dan mikro kesemuanya mematuhi peraturan yang satu, sebab Pencipta alam semesta hanyalah Satu dan Hanya Satu. Pengkaji yang ikhlas dalam sains akan mencapai kesimpulan yang sama, apabila melihat alam mega kosmos, alam seni sub-atom mematuhi peraturan yang sama. Kesemuanya melambangkan kepatuhan mereka kepada peraturan Ilahi yang satu. Kesatuan hukum dan peraturan menunjukkan keewujudan Tuhan yang Maha Satu. Tidak ada satu pun objek alam yang dicipta tanpa hikmah dan tujuan.

Berbeza dengan Barat, saintis Islam menggabungkan aspek fizikal dan spiritual dalam domain sains, rohani dan jasmani, kualitatif dan kuantitatif. Domain sains umat Islam tentulah lebih luas daripada sains Barat yang terikat dengan cerapan kuantitatif semata-mata, sedangkan banyak persoalan psikoanalilis seperti persoalan akal, jiwa, kebahagiaan, pemikiran dan kognitif berada di luar domain sains Barat.

Kepelbagaian biologi yang menjadikan evolusinisme sebagai asas kehidupan yang berkembang daripada sel ringkas kepada sel kompleks, bercanggah secara langsung dengan wahyu al-Qur’an, khususnya kejadian manusia yang bermula dengan kejadian Adam as. Teori perubahan spesies yang bersifat menaik bukan sahaja bercanggah dengan wahyu Ilahi, tetapi turut bercanggah dengan fakta sains yang lebih mantap, sepertri percanggahan proses evolusi dengan hukum entropi kedua fizik. Bukti geologi turut bercanggah dengan teori tajaan Darwin.

Sains Barat yang menjadikan Darwinisme sebagai premis utama dalam semua aspek emperikal sains haruslah disemak secara menyeluruh dalam paradigma baru yang dicadangkan sebagai sains alternatif.

Kepelbagaian bangsa dan etnik merupakan sebahagian hikmah Ilahi dalam penciptaan-Nya. Demikian pula masyarakat yang terikat dengan kawasan geografi masing-masing mempunyai ciri tempatan yang khusus selain sifat sejagat umat manusia yang umum. Dalam kajian sains, unsur tempatan boleh digunakan untik mendekatkan para pengkaji dengan alam sekitar di sekitar ekologi tertentu. Hal ini termasuk melihat warisan turun temurun yang berkaitan dengan pemikiran dan kajian yang berkaitan dengan masyarakat tertentu. Alam Melayu tidak tertinggal dengan warisan sedemikian yang melibatkan amalan berkaitan perubatan botani, pertukangan, pemikiran dan sebagainya. Dalam hubungan ini, unsur etnosains boleh disepedukan dengan paradigma induk untuk memberi nilai tambah kepada kajian sains moden. Ini memperkayakan domain sains yang melihat fenomenon sains menerusi kacamata yang lebih luas. Diharapkan juga dimensi ini akan mendekatkan pengkhususan kajian unsur setempat dengan dipadukan dengan sifat kesejagatan sains di bawah sistem nilai Islam.

Catatan Kaki:

<!– /* Style Definitions */ p.MsoNormal, li.MsoNormal, div.MsoNormal {mso-style-parent:””; margin:0in; margin-bottom:.0001pt; mso-pagination:widow-orphan; font-size:12.0pt; font-family:”Times New Roman”; mso-fareast-font-family:”Times New Roman”;} @page Section1 {size:8.5in 11.0in; margin:1.0in 1.25in 1.0in 1.25in; mso-header-margin:.5in; mso-footer-margin:.5in; mso-paper-source:0;} div.Section1 {page:Section1;} –>

  1. Suicidologi 2002, jilid 7, bilangan 2 dalam makalah yang bertajuk A global perspective in epidemiology of suicide
  2. John Stuart Mill (1806 – 1873) ialah ahli falsafah British yang terkenal dengan bukunya System of Logic (1834).
  3. Menurut al-Ghazali, menerusi pemerhatian, pembakaran biasanya berlaku apabila wujud api, tetapi bukan sebab api. Api bukan agen al-fa`ilah yang meyebabkan kebakaran berlaku tetapi pembakaran berlaku dengan kehendak Iradat Ilahi (bi’iradatihi). Lihat Mustafa Abu Sway Al-Ghazali: A Study in Islamic Epistemology (DBP, 1996) hal. 86.
  4. Paracelsus atau nama sebenarnya Theophrastus (1493 – 1541) ahli perubatan dan alkemi Swiss yang terkenal dengan fahaman Naturalisme. Beliau merupakan antara saintis Eropah yang berhujah dengan ketuhanan dalam sains.
  5. Penulis Barat menggelar Descartes (1596 – 1650) sebagai Father of Modern Philosophy. Ungkapan terkenalnya ialah cogito ergo sum yang bermaksud saya berfikir, justeru saya wujud. Dalam karyanya Meditions on First Philosophy beliau cuba mengungkapkan kembali al-Munqiz min al-Dalal al-Ghazali dalam versi sendiri yang kemudiannya dikenali sebagai Cartesianisme yang menyatakan bahawa keraguan sebagai proses mendapatkan ilmu.
  6. Walaupun mekanisme memisahkan sains dan Kristian, tetapi ajaran Kristian yang menyatakan Tuhan berehat pada hari ketujuh selepas penciptaan langit dan bumi, dijadikan asas pemisahan tersebut kerana selepas itu Tuhan tidak mengganggu lagi perjalanan alam, mengikut fahaman ini.
  7. Maksudnya: Barangkali sifat itu berlaku kerana mengikut takdir yang ditentukan Pencipta-nya.
  8. Peristiwa sebab dan musabab dalam agama dibincangkan di bawah tajuk Qada’ dan Qadar yang menjadi satu daripada rukun iman.
  9. Lihat model orbit bumi dalam sistem matahari dalam buku Prof. Shaharir Mohamad Zain, Dinamik Sebutir-Dua Zarah Klasik (siri kuliah Pelanduk, UKM, 2004).
  10. Pendapat Kuhn boleh diperhatikan dalam bukunya The Structure of Scientific Revolution. Inti pati pendapat beliau ialah sains berkembang secara biasa yang disebut sains normal dan sains yang berubah secara revolusi yang digelar sains revolusi. Revolusi berlaku apabila komuniti saintis yang bekerja dalam paradigma tertentu, tidak lagi bersetuju dengan paradigma tersebut lalu secara mendadak mengubah kepada paradigma yang baru secara revolusi.
  11. Pemikiran Prof Ismail Faruqi boleh diteliti menerusi karyanya Islamisation of Knowledge (Washington IIIT, 1985).
  12. Pemikiran Prof Syed Hossein Nasr boleh diteliti menerusi karyanya Science and Civilization in Islam (New York, 1968).
  13. Pemikiran Prof Syed Naguib al-Attas boleh diteliti menerusi Islam and Secularism (Abim, 1979).
  14. Pemikiran Sardar boleh diteliti misalnya menerusi makalahnya yang bertajuk Islamic Science: The Contemporary Debate dalam Encyclopaedia of The History of Science, Technology and Medicine (suntingan Selin).
  15. Pemikiran Prof Osman Bakar boleh diteliti menerusi bukunya Tawhid and Science (Kuala Lumpur, 1991).
  16. Dr Gary Miller ialah professor matematik dan tokoh gereja yang terlibat cergas dengan misionari Kristian. Beliau menggunakan kaedah kontra-positif matematik untuk menguji kesahihan kitab sucinya, lalu mendapati kaedah falsifikasi matematik tidak dapat menerima keautentikannya. Lalu beliau melakukan ujikaji yang sama terhadap al-Qur’an dalam usahanya untuk menolak al-Qur’an, tetapi hasilnya di luar dugaannya. Sejak itu beliau memeluk Islam yang sejagat, lalu secara aktif pula menulis tentang sains dan Islam.
  17. Maksudnya: Al-Qur’an hampir pasti tidak mengandungi sebarang proposisi yang becanggah dengan pengetahuan moden yang paling mantap bahawa sebahagian besar fakta yang disebut dalam al-Qur’an tidak diketahui sehinggalah ke zaman moden ini.
  18. Maksudnya: Sungguhpun saya sedar kegemilangan saintis Muslim kurun ke-10 Masihi dan sebahagian sumbangan mereka dalam perubatan, namun saya tidak mengetahui langsung tentang fakta dan kepercayaan yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Adalah menjadi sanjungan bagi saya untuk menolong memperjelaskan ayat al-Qur’an tentang kejadian manusia. Jelas bagi saya, bahawa ayat tersebut sampai kepada Muhammad daripada Tuhan, sebab kebanyakan ilmu ini tidak diketahui hinggalah beberapa kurun kemudian. Ini membuktikan di sisi saya, bahawa Muhammad pastilah Rasul Utusan Tuhan.
  19. Abdus Salam (1926 – 1996) ialah penerima Hadiah Nobel dalam fizik teori partikel pada tahun 1979. Beliau berpendapat sains Islam tidak wujud sebab sains bersifat sejagat. Beliau berasal dari Pakistan dan memperoleh PhD daripada Universiti Cambridge serta pernah menjawat jawatan profesor di Kolej Imperial, London.
  20. Faraid ialah ketetapan al-Qur’an tentang kaedah pembahagian harta pusaka bagi seseorang yang meninggal dunia kepada pewarisnya yang berhak.
  21. Kisah Zul-Qarnain ini diceritakan dalam al-Qur’an, surah al-Kahfi ayat 83 – 96.
  22. Kisah tentang Ashab al-Kahfi diceritakan dalam al-Qur’an, surah al-Kahfi ayat 9 – 23.
  23. Persamaan kuadratik berbentuk ax2 + bx + c = 0. Persamaan ini diselesaikan oleh Muhammad bin Musa al-Khawarizmi menerusi Kitab al-Jabr wa al-Muqabalah (825).

    Nota: Prof. Dr. Mat Rofa Ismail kini bertugas di Institut Penyelidikan Matematik Universiti Putra Malaysia, di samping turut menjadi AJK ASASI 2007-2009. Beliau boleh dihubungi menerusi: mrofa@yahoo.com. Manakala makalah ini pertama kali dibentangkan di Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 anjuran ASASI pada 16 Ogos 2008 bertempat di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

    21 Komen

    1. choong wai chung

      Selamat, kami adalah pelajar yang mengambil khusus Sejarah dan Falsafah dengan Prof pada semester ini. Kami mendapat tahu dari kawan bahawa keputusan tugasan kami telah keluar. Kami adalah pelajar Choong Wai Chung A111135 dan Ho Mui Ling A111202.
      Sekian, terima kasih.

    2. Anonymous

      Kesilapan…. minta maaf…..

    3. Dr Rofa

      Tahniah. Anda berdua mendapat antara markah terbaik dalam kuliah falsafah. Chong dapat 50 markah, Ho dapat 51 markah. Kawan anda Lai Wei Sieng menempa sejarah mendapat “perfect score”.

    4. bolehkan prof berikan contoh beberapa bentuk sains alternatif yang pernah wujud dalam tamadun manusia..ringkas je..
      thanks..

    5. Dr Rofa

      Sains alternatif? Sains Islam berpaksikan Tauhid. Sains Yunani berpaksikan metafizik. Kedua-dua sains mempunyai sistem nilai, sarat nilai. Sains Barat menolak sistem nilai. Sains Barat memisahkan emperikal daripada sistem nilai. Sains Barat bersifat bebas-nilai. Sains Islam bermatlamat mengenali Pencipta alam semesta, dengan menjadikan teknolgi sebagai hasil sampingan. Sains Barat menjadi teknologi sebagai matlamat akhir tanpa ada hubungan dengan ketuhanan sama sekali. Sains Islam mengkaji Sunnatullah. Sains Barat mengkaji “law of nature”.

    6. Kadar M. Yusuf

      Assalamu`alaikum, Wr. Wb.

      Saya tertarik dan amat terkesan dengan isi makalah Profesor. Perkara yang tuan kemukan, khususnya yang berkaitan dengan organ yang berfikir dalam diri manusia memang bukan otak, tetapi qalbu. Saya memperbincangkan perkara ini secara luas dalam tesis Ph.D saya di UKM pada tahun 2005. Judul tesis itu adalah “Dimensi Rohani dan Implikasinya Terhadap Perilaku Menurut Ibn Sina dan al-Ghazali : Suatu Kajian Analisis Menurut Perspektif al-Qur’an”.
      Saya tidak tahu ada seminar mengenai persoalan ini di UKM. Jika saya tahu, saya ingin menyumbang makalah mengenai itu.

      Wassalam,
      Yang benar

      Kadar M. Yusuf

    7. nabilah

      “Dari segi gender pula, lelaki lebih cenderung untuk untuk menamatkan riwayat sendiri berbanding wanita, manakala senjata api menjadi alat pembunuhan paling lumrah di dunia mengikut kajian tersebut.”..petikan..

      semasa kuliah flsafah sains di UPM, Dr pernah cakap cubaan membunuh diri bagi lelaki kebarangkalian untuk dia berjaya hanya 1:4 berbanding perempuan.. maksudnya??
      sekian..
      wasalam..

    8. Dr Rofa

      Assalam… Tesis Sdr Kahar menarik untuk dikongsi bersama. Saya cadangkan agar seminar khas tentang tema tersebut dibentang untuk dikongsi bersama ahli ASASI serta memperluaskan domain kajian sains Islam. Mungkin Dr Alinor boleh pertimbangkan. Ikim turut menganjur seminar sains pada 24 Mac 2009 dengan tema yang hampir sama.

      Adapun yang disebut Nabilah, saya terlupa apa yang saya sebutkan 1:4 dalam kuliah. Tetapi saya ada sebutkan betapa kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Artis wanita Barat, Jepun dan Korea yang kaya raya sering menamtkan riwayat mereka sendiri. Artis lelaki turut melakukan perkara yang sama. Bruce Lee dan Elvis Presley misalnya menamatkan riwayat mereka sendiri ketika berada di puncak keagungan dan kekayaan. Kebahagiaan yang diasngka berada dalam alam fizikal tidak benar, tetapi kebahagiaan tersembunyi dalam alam kerohanian. Temuilah ia di sana.

    9. salam..
      Dr, saye ingin bertanya tentang tugasan 2(fsa3000) dimana soalannya ialah (berdasarkan kaedah hipotesis-deduksi ujikaji makmal, lakukan kajian dan analisis untuk menentukan sama ada teori tersebut merupakan fakta sains atau pseudosains..

      untuk soalan yang ini, “kaedah hipotesis -deduksi ujikaji makmal tu merujuk kepada apa2 eksperimen ke??

    10. Kaedah hipotesisi deduksi dikenali juga dengan nama Rekabentuk Ujikaji. Ciri utama kaedah ini untuk menguji hipotesis nol (terhadap hipotesis alternatif).Kaedah ini perlukan pungutan data yang mencukupi, analisis dan kesimpulan menggunakan kaedah emperikal saintifik. Kaedah ini diperkenalkan oleh Ibn al-Hiatham dalam ujikaji optik dalam kurun ke-11. Newton menggunakan kembali kaedah ini kemudiannya di Eropah dalam kurun ke-17. Kini kaedah ini digunakan secara umum dalam ujikaji makmal.

    11. rasyiqah

      salam Dr.. saya sedikit keliru untuk memahami apakah sains alternatif. adakah sains alternatif ini wujud apabila terdapat pemisahan antara rohani dan jasmani (sekular) yang menyebabkan ramai manusia tidak mendapat kebahagian yang sebenar? Mungkin Dr boleh terangkan serba ringkas. Terima Kasih Dr.

    12. Benar. Sains Islam dicadangkan sains alternatif apabila sains moden memisahkan fizikal dan spiritual, emperikal dan sistem nilai, jasad dan roh. Dulu, semasa era keagungan, sains Islam hanya dikenali sebagai sains tabii. Ini kerana memang sains tabii dikaji di atas paradigma Tauhid Islam yang murni. Ketika itu tidak perlu ditambah kalimah “Islam” lagi, kerana semua Ilmu dikaji dalam roh Islam. Kini kita namakan sains Islam hanya sekadar nama untuk merujuk ilmu yang dikenali sebagai sains tabii dalam era keagungan Islam dahulu. Penjenamaan ini tidak penting, tetapi yang pentingnya ialah paradigma kajiannya yang menjadikan iman dan akhlak sebagai destinansi akhir kajian. Kebahagiaan pun berada dalam dimensi ini. Inilah yang membezakannya dengan sains moden yang menjadikan teknologi semata-mata sebagai matlamat akhir mereka.

    13. […] Kelemahan Sains Barat Dan Mencari Paradigma Sains Alternatif: Satu Pandangan Peribadi […]

    14. Riziandy Nawawi

      Saya amat tertarik dengan persembahan Dr di dalam ruangan ini, dari sudut fakta, falsafahnya serta penerangannya.

      Ada di sebut paradigma dalam penerangan diatas. Apa sebenarnya “paradigma” dalam konsep untuk kita menemui dunia yang baru dalam pandangan baru di dalam kajian ilmiah?

    15. fatimah

      Assalamualaikum, Prof. Dr. Mat Rofa Ismail

      Saya merupakan pelajar dari UTM, saya ingin bertanya mengenai isu saintis dan akhlak.

      Boleh tak Prof terangkan secara ringkas mengenainya?

      Terima kasih

    16. fatimah

      Assalamualaikum, Prof. Dr. Mat Rofa Ismail

      Terima kasih di atas penerangan Prof terhadap isu saintis dan akhlak. Adakah sains alternatif boleh diguna sebagai penyelesaian mengenai isu saintis yang sebelumnya?

    17. fatimah

      Assalamualaikum,Prof. Dr. Mat Rofa Ismail

      Saya ingin mengetahui adakah sainstis moden sekarang memang keseluruhan berlandaskan saintis barat, atau campuran antara saintis barat dan islam?

      Terima kasih

    18. Merujuk soalan Sdr Ruziandy, paradigma ialah landasan atau kerangka rujukan saintis melakukan kajian. Landasan ini tidak dapat dilihat sebab ia seumpama dasar yang berada di bawah bangunan. Bangunan sains dibina di atas landasan paradigma tersebut. Sains Islam dibina diatas dasar Sunnatullah (Law of God) sedangkan Barat yang diwakili Positivisme membinanya di atas “Law of Nature”. Kajian di atas paradigma sains Islam berakhir dengan pengiktirafan Allah SWT sebagai Sebab Terakhir semua peristiwa, sedangkan matlamat akhir sains Positivisme ialah teknologi semata-mata.
      Apabila saya sebut sains Barat, jangan silap faham bahawa sains itu dilakukan di barat sahaja. Mungkin sains itu dibina di timur oleh Muslim tetapi rujukannya ialah Positivisme Barat yang hanya mengiktiraf kuantatif semata-mata. Hari ini ramai Muslim di timur membina ilmu mereka berpaksikan paradigma barat. Sainstis di atas paradigma Islam turut menghasilkan teknologi, tetapi bukan matlamat utamanya, bahkan hanya sebagai hasil proses pengkajian ilmu yang berakhir sebagai ibadat untuk kebaikan manusia sejagat. Teknologi yang dibina dalam skema ini bertujuan membawa kebaikan kepada manusia, bukannya untuk memusnahkan bangsa manusia. Bom “cluster” yang digugurkan oleh Barat ke atas Gaza misalnya ialah contoh teknologi positivisme yang tidak mengiktirafan kewujudan dosa atau pahala.

    19. Sains moden hari ini, umumnya, mengikut fahaman positivisme. Fahaman ini hanya mengiktiraf cerapan yang boleh diambil data sahaja. Fahaman ini menafikan aspek kualitatiif, termasuk ketuhanan sama sekali. Inilah fahaman yang dianuti oleh saintis seluruh dunia hari ini termasuk Malaysia. Sesiapa yang menyebut tuhan dalam tulisan saintifik mereka pasti akan ditolak oleh sains moden.

      walaupun seorang Muslim melakukan ujikaji dalam makmal, namun semasa menlakukan ujikaji tersebut, beliau tidak boleh menyebut tuhan sama sekali.
      Yang menjadikan matlamat ektuhanan hanyalah saintis yang bekerja di atas paksi Tauhid.

      Hadiah Nobel hanya diberikan kepada saintis dengan fahaman positivisme sahaja

    20. Bagi saintis Muslim, semakin lama kajian sains tentang alam semesta, maka semakin kagum ia terhadap Pencipta-nya. Alam kosmos yang mega, tunduk kepada Penciptanya. Hukum yang disangka hukum tabii oleh saintis barat sebenarnya hukum Ilahi yang ditakdirkan kepada alam semesta. Maka dengan kajian yang ikhlas tersebut, akan melahirkan rasa syukur dan tunduk kepada Ilahi. Akhlak yang mulia muncul daripada keimanan yang mendalam. Itulah hubungan sains dan akhlak pengkajinya. Teknologi yang terbit daripada jiwa yang murni dimaksudkan untuk kebaikan manusia sejagat, bukan untuk memusnahkannya

    21. syajaratul

      apakah asas sains barat dan sains islam ? dan apakah skop sains islam dan sains barat ? secara umumnya.
      can you please elaborate it. i really dont understand it.

     

    ----

    Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *