Kemaskini terbaru: May 1, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Menerokai Identiti ‘Islamic Jerusalem’

ULASAN BUKU: MENEROKAI IDENTITI ISLAMICJERUSALEM

Mat Rofa Ismail
Universiti Putra Malaysia
Pengarang: Abd al-Fatah El-Awaisi
Tajuk: Menerokai Identiti Islamicjerusalem (terjemahan)
Penerbit: Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Tahun: 2008
Penterjemah: Fatimatuzzahra Abd Rahman
Tajuk Asal: Introducing Islamic jerusalem
Penerbit: Al-Makhtoun Institute Academic Press, Dundee, UK.
Tahun: 2005

____________________________________________________________

Pendahuluan

Buku Menerokai Identiti Islamic jerusalem (terjemahan) ditulis khusus untuk memperkenalkan bidang pengajian baru yang dikenali sebagai Islamicjerusalem. Istilah ini berasal dari dua kalimah yang berlainan iaitu Islam dan Jerusalem, tetapi digabungkan kedua-duanya untuk merujuk bidang ilmu yang ditakrifkan secara terperinci dalam buku ini. Buku asal yang bertajuk Introducing Islamicjerusalem diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fatimatuzzahra Abd Rahman, seorang pensyarah Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Edisi terjemahan turut memuatkan kata pendahuluan oleh Prof Dr Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademik Pengajian Islam, universiti berkenaan.

Pengarang buku ini iaitu Abd al-Fatah El-Awaisi merupakan seorang ilmuwan peradaban Islam yang menjadi pengarah institusi yang ditubuh khas di Scotland, United Kingdom untuk mengkaji bidang berkenaan serta menganjurkan seminar dan dialog antara agama berkenaan dengan falsafah Islamicjerusalem. Institut tersebut dikenali sebagai Al-Makhtoum Institute yang berpusat di University of Sterling dan University of Dundee Scotland. Institut ini diilhamkan oleh pemimpin Arab-Islam yang terkenal Shaikh Hamdan bin Rashid al-Makhtoum pada tahun 1994. Al-Makhtoum ialah menteri kewangan Emiriah Arab Bersatu. Dubai dan Dundee memeterai kerjasama bandaraya bersaudara ke arah kerjasama dan persefahaman yang lebih bermakna dalam konteks kajian ini.

Islamicjerusalem

Istilah Islamicjerusalem sebagai satu bidang pengajian diperkenalkan oleh pengarang pada tahun 1994, namun menurutnya, beliau sendiri belum jelas ruang lingkup sebenar takrifan peristilahan tersebut yang akhirnya diperjelaskan falsafahnya dalam buku ini yang diterbitkan oleh pada tahun 2005.

Institut al-Makhtoum ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penyelidikan umat secara mendalam berkaitan dengan Masjid al-Aqsa yang menjadi bumi suci ketiga umat Islam selain Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Hasrat ini ialah ke arah kefahaman umat tentang kemaslahatan kehidupan yang berkaitan dengan tanah suci berkenaan yang turut menjadi bandar suci umat Yahudi dan Nasrani. Pengarang mengemukakan pandangan tentang penyelelesaian konflik yang berlaku antara ketiga-tiga umat berkenaan yang berkaitan dengan bandar suci berkenaan yang turut dikenali sebagai Aelia, al-Quds, al-Ard al-Muqaddasah atau Bait al-Maqdis. Konflik besar dunia hari ini sering dikaitkan dengan konflik yang berkaitan dengan bumi ini, lantas memberikan justifikasi kepada pengarang untuk menonjolkan istilah ini sebagai tema penyelidikan. Institut tersebut giat menerbitkan penerbitan, menganjurkan seminar antarabangsa serta mengambil inisiatif membuka ruang dialog antara agama dan peradaban ke arah pemahaman umat sejagat khususnya untuk masyakarat Eropah berkaitan dengan Islamicjerusalem.

Institut al-Makhtoum menawarkan kursus berkaitan Islamicjerusalem untuk pelajar pra-siswazah serta membuka penyelidikan dalam bidang yang sama bagi pelajar lepasan ijazah. Hasil penyelidikan institut bersama pelajar berkenaan dikembangkan dalam bentuk penerbitan pula untuk disebarkan ke seluruh dunia. Senarai penerbitan awal para pelajar siswazah (2002 – 2005) disertakan dalam buku. Antara persoalan kajian termasuklah kajian berkaitan dengan lokasi tepat Islamicjerusalem yang ditakrifkan sebagai bulatan barakah, persoalan pemilikan inklusif atau inklusif, perkongsian kehidupan dalam bulatan barakah Islamicjerusalem, hak keistimewaan penduduknya, toleransi Muslim dalam sejarah keagungannya, surat jaminan Amir al-Mukminin Umar al-Khattab r.a kepada penduduk Aelia yang dikenali sebagai al-`Uhda al-`Umariyyah, persoalan jizyah, jaminan Salahuddin al-Ayyubi ketika pembukaan al-Quds, percubaan gereja untuk memalsukan dokumen jaminan `Umariyyah, serta pandangan orientalis tentang jaminan tersebut. Kajian Islamicjerusalem harus meliputi kajian tentang sempadan geografi, komposisi penduduk serta bentuk pentadbiran untuk menjamin kesejahteraan al-Quds pada masa hadapan. Kajian ini seharusnya bersifat interdisiplin dan multidisiplin yang menyeluruh.

Pengarang mempamerkan analisis kajian yang sangat menarik khususnya apabila mengemukakan metodologi kajian untuk menguji tentang kesahihan dokumen jaminan Umariyyah dengan kaedah analisis kritis yang adil lagi amanah menggunakan sumber sejarah yang benar. Metodologi kajian secara analisis dan sintesis secara kritikan sedemikian bukan sahaja sesuai untuk kajian Islamicjerusalem bahkan boleh digunakan sebagai kajian ilmu warisan Islam yang umum yang didasarkan kepada keadilan ilmiah serta kejujuran yang mendokong prinsip dan etika penyelidikan yang cemerlang.

Para pembaca boleh membandingkan kesimpulan pengarang pada penghujung buku ini dengan pandangan orientalis yang secara umumnya sangat prejudis apabila membincangkan tajuk sama dalam tulisan mereka. Menurut pengarang, al-Uhda al-Umariyyah bukanlah perjanjian kerana perjanjian memerlukan dua pihak yang menandatangai tetapi dokumen ini sekadar jaminan khalifah Islam terhadap komuniti bukan Islam yang dikategorikan sebagai kumpulan zimmi.

Teori Bulatan Barakah

Menurut pengarang, Bait al-Maqdis bukan hanya merujuk kepada masjid semata-mata tetapi merujuk kepada rantau yang penuh barakah. Bulatan barakah ini mempunyai latar belakang sejarah, geografi, agama, budaya dan politik. Rantau ini bukan sahaja melibatkan Jerusalem ketika zaman Khalifah Umar r.a tetapi melangkaui hingga ke akhir zaman Uthmaniyyah sekitar tahun 1917.

Kalimah barakah dipetik sebagai kata terbitan daripada ayat al-Qur’an khususnya ayat pertama surah al-Isra’ yang memerihalkan peristiwa Isra Rasulullah saw dari Masjid al-Haram Makkah ke Masjid al-Aqsa, Jerusalem. Bulatan tersebut melingkari bandar-bandar Jerusalem, Jaffa, Hebron, Gaza, Baarsheba, Nablus, Mu’tah, Jericho dan beberapa bandar yang lain. Ini diasaskan kepada rantau Liwa al-Quds al-Mustaqill al-Mumtaz yang merupakan istilah al-Quds merdeka dalam takrifan Islamicjerusalem yang wujud pada era khalifah Abdul Hamid II Uthmaniyyah yang menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai pusatnya.

Namun, menurut pengarang, bulatan barakah boleh diperluaskan lagi hingga ke Sham dan Mesir, bahkan termasuk Makkah juga. Ini kerana Sinai dan Sham tidak boleh dipisahkan dengan sejarah Jerusalem, manakala Makkah, Madinah dan Jerusalem merupakan rangkaian yang terkait rapat dalam sirah Rasulullah saw. Misi ke arah pembebasan al-Quds telah dimulakan oleh Rasulullah saw sendiri, diikuti oleh Abu Bakar ra dan Umar al-Khattab ra. Dalam takrifan ini Islamicjerusalem merangkumi bulatan barakah yang luas secara dinamik. Bulatan ini sepatutnya menjadi simbol keamanan sejagat, perkongsian hidup umat, ditadbir dengan keadilan serta sikap toleransi yang hakiki. Tidak ada masyakarat yang dapat menjamin keamanan ini dalam sejarah bumi suci itu selain keamanan yang ditunjukkan oleh pejuang keimanan yang luhur seperti yang pernah ditujukkan oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab ra atau Salahuddin al-Ayyubi.

Hikmah Ilahi yang mentakdirkan peristiwa Isra Rasulullah SAW dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa menunjukkan kedua-dua bandar suci tersebut menjadi tempat penting umat Islam pada masa Rasulullah SAW atau selepasnya. Isra melambangkan pembebasan al-Quds bagi seaklian umat. Bumi tersebut menyaksikan mukjizat agung Rasululalh saw. Bahkan pembebasan Masjid al-Aqsa dinyatakan dalam satu hadith SAW. Rasulullah SAW turut mewakafkan sebidang tanah kepada Tamim ibn Aus al-Dari di Hebron, yang turut melambangkan usaha pembebasan yang sama.

Sirah turut menyaksikan betapa Rasulullah SAW mengutus surat kepada Hercules yang menguasai Rom timur ketika itu agar menerima Islam. Raja it hampir menerima Islam andainya beliau tidak dibantah para pembesarnya. Ketika itu beliau mengunjungi Aelia kerana kunjungan kesyukuran beliau menewaskan Farsi. Ketika berangkat pulang, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Palestin tersebut kerana beliau sangat percaya bahawa dengan kelahiran Nabi Akhir Zaman, bermakna kerajaannya pun bakal berakhir.

Pembebasan Masjid al-Aqsa dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peperangan Daumat al-Jandal, Himsa, Mu`tah, Tabuk dan lain-lain yang membuka jalan yang luas kepada pembebasan yang berlaku pada masa Khalifah Islam yang kedua. Berdasarkan sirah ini, pengarang mentakrifkan bulatan barakahnya yang terdiri daripada beberapa blatan sepusat yang menjadi sempadan Islamicjerusalem

Perjuangan jihad sahabat Rasulullah SAW dalam usaha pembebasan Masjid al-Aqsa berbeza sekali dengan sikap Bani Israel yang bersama Nabi Musa as dalam usaha yang sama, apabila mereka enggan berjihad bersama Nabi Musa as lalu menyuruh nabi itu bersendirian memeranginya bersama Allah SWT. Kedegilan ini berakhir dengan kesesatan mereka di Padang Sinai selama 40 tahun.

.

Al-`Uhda al-Umariyyah

Surat Jaminan Khalifah Umar ibn al-Khattab atau al-`Uhda al-Umariyyah menjadi tema utama perbincangan buku ini. Surat ini melambangkan keadilan dan toleransi Islam kepada semua penduduk Aelia di bawah sistem keadilan Islam yang tiada taranya dalam sejarah kemanusiaan. Jaminan yang diberikan oleh baginda terhadap penduduk Aelia menjadi model keadilan yang ditunjukan oleh khalifah Islam sepanjang sejarahnya hingga berakhirnya system khalifah Islam pada tahun 1917 setelah kerajaan Khalifah Islam terlepas daripada tangan Khalifah Abd al-Hamid II Uthmaniyyah.

Pengarang membandingkan beberapa versi surat jaminan tersebut daripada pelbagai versi termasuk versi al-Waqidi, al-Tabari, al-Ya`qubi, al-Baladhuri dan Eutychius, lalu memilih versi al-Tabari sebagai asas perbincangan. Pengulas kagum dengan analisis secara kritikan ini apabila perkaedahan pengarang sangat saintifik untuk memisahkan versi yang sahih daripada versi yang kurang sahih apabila dipadankan dengan sejarah Islam keseluruhannya yang berkaitan dengan sistem jaminan sosial dan keadilan Islam.

Semua versi surat jaminan sepakat tentang jaminan kesejahteraan penduduk Aelia, harta serta rumah ibadat masing-masing. Tiada paksaan dalam kehidupan beragama. Versi yang pelbagai tersebut ada yang terperinci dan ada yang ringkas. Versi ringkas seperti yang diriwayatkan oleh al-Yaaqubi misalnya tidak menyatakan tentang jizyah yang menjadi perkara asas dalam mana-mana jaminan Islam seumpamanya. Ini tidak menunjukkan perkara tersebut tiada dalam dokumen asal, cuma barangkali tidak dilaporkan kerana keringkasan petikannya. Dokumen yang paling panjang misalnya seperti terdapat dalam versi al-Tabari menyebut tentang jizyah dalam surat jaminan tersebut.

Al-Tabari melaporkan saksi surat jaminan tersebut terdiri daripada para sahabat yang utama iaitu Khalid ibn al-Walid, Amr ibn al-`As, Abd al-Rahman ibn `Auf dan Muawiyyah ibn Abi Sufyan.

Versi al-Tabari menyebut tentang jaminan keamanan kepada semua penduduk bukan Islam dengan bayaran jizyah sebagaimana umat Islam diwajibkan zakat. Jizyah adalah jaminan keselamatan serta pengecualian bukan Islam daripada tanggungjawab ketenteraan. Nilai jizyah sangat minimum dan biasanya jauh lebih rendah daripada zakat Muslim. Surat jaminan turut membenarkan mereka berpindah serta jaminan keselamatan ke destinasi andainya mereka enggan dengan syarat tersebut. Ini memberikan keselesaan bagi penduduk bukan Islam al-Quds andainya dibandingkan dengan cukai yang dikenakan oleh pemerintah Rom timur yang sangat tinggi selain sikap kasar Rom terhadap penduduk yang dijajah. Orang Yahudi turut “menunggu dengan sabar akan kedatangan tentera Islam” yang akan membebaskan mereka daripada kekejaman tentera Kristian Rom yang menjajah ketika itu. Bahkan dilaporkan sebilangan Yahudi berjuang bersama tentera Muslim dalam pembebasan al-Quds.

Pengarang mengkaji versi jaminan Umariyyah yang dilaporkan oleh gereja bahawa jaminan tersebut hanya untuk orang Kristian sahaja, tidak termasuk Yahudi. Versi ini kelihatan berkonflik dengan catatan yang di atas. Hasrat Kristian jelas bahawa mereka inginkan Aelia khusus untuk Kristian manakala Yahudi tidak dibenarkan hidup bersama. Adakah latar belakang ini menjadi rahsia kemunculan versi gereja yang memerihalkan jaminan yang sama? Catatan Bishop Arculf yang melawat Jerusalem menyatakan kewujudan Yahudi yang memeluk Kristian dan Yahudi yang kekal dengan agama asalnya, ketika Khalifah Muawiyyah ibn Abi Sufyan. Ini memberi ruang yang jelas bagi pengkaji yang ingin menilai kesahihan dakwaan gereja itu. Lagi pun, andainya Saidina Umar ra menafikan hak Yahudi di al-Quds, kenapakah pula Salahuddin al-Ayyubi yang melakukan pembukaan kali kedua al-Quds memberikan hak yang sama kepada Kristian dan Yahudi, sedangkan kepimpinan Salahuddin hanyalah kesinambungan kepimpinan sejak zaman Sahabat?

Pengarang meneliti satu lagi versi jaminan Umariyyah terhadap penduduk al-Quds menerusi sebuah manuskrip yang tertulis dalam bahasa Yunani yang dikatakan terjemahan daripada bahasa Arab. Versi ini agak ganjil kerana selain daripada jaminan yang disepakati, ditambah dengan ungkapan yang meragukan bahawa orang Kristian dikecualikan daripada jizyah. Versi ini dikaji dengan teliti, lalu pengarang mengeluarkan banyak paradoks yang menunjukkan versi ini bukan bersumberkan jaminan Umariyyah yang asli. Manipulasi seperti ini perlu mendapat perhatian seseorang pengkaji agar berhati-hati apabila mengkaji sumber sejarah yang dihasilkan oleh Barat. Teks yang penting sedemikian pun turut dipalsukan apabila kepentingan kaum mengatasi prinsip kebenaran. Perkara yang seperti inilah yang disaksikan sejarah dalam penulisan budaya Barat. Pemalsuan ini boleh dikesan menerusi banyak sudut termasuk sudut bahasa, pentarikhan, serta percanggahan sejarah dengan sumber yang asli.

Keadilan dan jaminan sosial Islam terhadap masyarakat bukan Islam menjadi model penyelelesaian konflik Islamicjerusalem yang ditunjukkan sepanjang rentetan sejarah yang adil lagi amanah. Pengarang meringkaskan kaedah penyelesaian konflik Islamicjerusalem kepada empat metodologi iaitu tadafu`, al-`adl, prinsip bukan eksklusif dan penghujahan konstruktif, yang melambangkan suasana kehidupan yang harmoni pelbagai kaum di bawah sistem keadilan yang sejagat. Sebagai contoh, apabila anak Amr ibn al-As, gabenor Mesir memukul seorang penduduk tempatan, Saidina Umar al-Khattab ra menunjukkan keadilannya dengan pukulan balas anak Amr di khalayak ramai. Setiap individu mempunyai persamaan hak keadilan dalam model ini. Akhlak mulia Saidina Umar al-Khattab ketika mamasuki gereja Holy Sepulchre bersama Ketua Padri Sophoronius di Jerusalem menjadi teladan keadilan Islam sepanjang zaman tentang kebebasan beragama. Baginda menolak untuk bersolat dalam gereja dibimbangi umat Islam kemudian menjadikan perbuatan itu sebagai alasan untuk menukar gereja tersebut menjadi masjid.

Piagam Madinah yang menjadi model keadilan sejagat mengikatkan seluruh penduduk Madinah di atas keadilan Islam. Piagam ini dianggap perlembagaan negara yang pertama di dunia sebagaimana maksud perlembagaan yang difahamkan kini. Hak Muslim dan bukan Muslim dijamin secara bertulis dengan jelas dan adil. Kisah keadilan Salahuddin al-Ayubi berdepan dengan King Richard The Lion Heart England tertulis dengan tinta emas dalam sejarah manusia. Raja England begitu terpegun dengan akhlak yang ditunjukkan oleh panglima Islam tersebut, kerana beliau belum pernah menyaksikan sikap toleransi yang ditunjukkan panglima tersebut oleh mana-mana pemimpin dunia ketika itu. Sifat pemaaf Salahuddin apabila membuka al-Quds kali yang kedua benar-benar menyentuh pengkaji sejarah yang adil. Hakikatnya, Islamlah yang mengajar model toleransi yang hakiki terhadap manusia sejagat, bukan hanya sekadar sifat khusus Salahuddin al-Ayyubi atau mana-mana pemimpin Islam secara peribadi. Islam membentuk peribadi sedemikian. Inilah model penyelesaian konflik Islamicjerusalem.

Surat jaminan Umariyyah menjadi model penyelesaian konflik dunia. Islamicjerusalem menjadi kesatuan masyakarat majmuk sepanjang sejarah pemerintahan Islam tetapi bertukar menjadi konflik yang runcing sebaik sahaja kejatuhannya ke tangan yang lain. Orang Yahudi harus mengenang kembali sejarah mulia umat Islam yang membawa mereka kembali ke Jerusalem oleh pemimpin Islam setelah 500 tahun mereka dihalau daripada bumi tersebut oleh Rom dan tentera Kristian.

Komen Umum

Di sebalik analisis kajian yang mendalam lagi adil oleh pengarang buku tentang Islamicjerusalem, ada satu perkara yang mengecewakan saya (pengulas) apabila pengarang memisahkan kajian daripada persoalan politik. Kesimpulan pengarang dalam pendahuluannya: “Ringkasnya secara serius, sebarang agenda akademik seharusnya dihindarkan daripada agenda politik dan agama”. Ungkapan ini benar-benar mengecewakan pengulas.

Sejarah silam umat Yahudi yang diperhambakan oleh Fir’aun Mesir dibawa masuk ke bumi suci Aelia ketika kepimpinan Bani Israel dipimpin oleh Yusa bin Nun seorang sahabat Nabi Musa as yang dikenali sebagai Joshua oleh orang Kristian. Bumi al-Muqaddas ini dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka dengan syarat kepatuhan kepada para nabi yang diutuskan kepada mereka. Tanpa kepimpinan berasas iman, politik dan siasah, Bani Israel tidak mungkin berjaya memasuki bumi tersebut. Mereka hidup aman seketika di bumi tersebut. Namun selepasnya mereka berpecah belah kembali, tanpa kepimpinan, lalu mereka berdoa agar dibangkitkan pemimpin yang akan memimpin umat Bani Israel. Allah SWT melantik Talut sebagai pemimpin mereka untuk berjuang menentang musuh yang dipimpin Jalut yang dikenali sebagai Goliath dalam tradisi Kristian. Namun hanya sebahagian sahaja dalam kalangan mereka yang patuh kepada Talut. Jalut yang menjadi musuh mereka dikalahkan oleh Talut bersama Nabi Dawud as. Mereka kemudiannya bersama dengan kepimpinan Nabi Dawud as dan Nabi Sulaiman as yang menjadi kemuncak keagungan Bani Israel sekitar 935 SM.

Tidak lama kemudian mereka mengingkari nabi dan kepimpinan mereka lalu mereka diusir oleh Bukhtanassar dengan memusnahkan rumah dan perkampungan mereka sekitar 586SM. Zul-Qarnain maharaja Farsi yang adil membawa mereka kembali ke Palestin selepas bencana pengusiran Bukhtanassar Babylon itu. Mereka kemudiannya membuat angkara lagi lalu diusir lagi oleh tentera Kristian Rom Timur sekitar 70M. Mereka boleh kembali semula ke tanah Palestin setelah Khalifah Umar ra membuka al-Quds pada tahun 638M. Salahuddin al-Ayyubi melengkapkan sejarah kemuliaan mereka dengan memberi yang adil kepada mereka.

Rentetan sejarah ini secara jelas menunjukan kepimpinan, pentadbiran dan politik siasah yang terlibat dalam sejarah Islamicjerusalem. Penyelesaian secara individu atau intelektual semata-mata, tanpa penyelesaian politik, bumi tersebut tidak dapat ditadbir dan disatukan secara harmoni. Islam ialah agama yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan ummah termasuk politik. Umat Islam menggunakan segala-sagalanya, termasuk politik, demi iman dan agama yang diyakini.

Setelah Andalusia ditadbir oleh kuasa politik Bani Umayyah, maka Yahudi berduyun-duyun membina penghidupan baru di sana. Khalifah Islam Andalusia memberi keadilan yang sewajar kepada mereka agar hidup secara aman bersama penduduk Islam dan Kristian. Bahkan mereka diberi kepercayaan memegang jawatan penting politik serta dilantik menjadi pensyarah di Universiti Islam Andalusia. Sejarah toleransi bersama Islam ini berlangsung selama 700 tahun sehingga Andalusia diperintah pula oleh raja Kristian yang zalim iaitu Ferdinand dan Isabela. Raja ini membunuh penduduk Islam dan Yahudi secara total. Itulah nasib umat selepas pemerintahan terlepas daripada pentadbiran Islam yang adil.

Umat Yahudi mendapat perlindungan pula oleh khalifah Islam Uthmaniyyah di Turki. Sejarah toleransi beragama Yahudi dan Kristian bersama Muslim berulang dalam kerajaan Uthmaiyyah di bawah kepimpinan rangkaian khalifah Islam termasuk Sultan Muhammad al-Fatih, Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Sultan Abd Hamid II. Yahudi diberi kepercayaan penuh hatta mereka dilantik menjadi panglima perang atau wazir dalam kerajaan tersebut. Akan tetapi Umat Yahudi membuat konspirasi bersama Mustafa Kamal Ataturk untuk menjatuhkan khalifah Uthmaniyyah yang akhirnya mereka berjaya menjatuhkan khalifah tersebut secara hina dengan pertolongan British dan kuasa Barat. Akhirnya konspirasi ini berhasil merampas bumi Palestin untuk dijadikan sebagai negara umat Bani Israel. Sekarang umat Islam sudah kehilangan kepimpinan yang bermula dengan kepimpinan Rasulullah SAW yang berlangsung selama lebih 1300 tahun dengan kejatuhan khalifah Uthmaniyyah. Maka konflik dunia khususnya konflik Islamicjerusalem pun bermula serta bertambah kronik setiap hari yang berlalu.

Kejatuhan khalifah Uthmaniyyah menjadi sebab kewujudan negara Israel. Tiada lagi pembelaan terhadap rakyat Palestin yang ditindas Yahudi kerana umat Islam sudah hilang kepimpinan peringkat ummah secara global. Sebarang usaha untuk mengembalikan kepimpinan ummah Islam sentiasa dilihat Barat sebagai ancaman terhadap meraka lalu dilabel sebagai pengganas atau ekstemis. Mereka lupa sejarah kemuliaan toleransi pemerintahan Islam sepanjang zaman.

Adakah rentetan ini menunjukkan konflik Islamicjerusalem mampu diselesaikan tanpa penyelesaian politik?

Hari ini kita melihat masalah Palestin dan Islamicjerusalem menjadi konflik utama dunia. Serangan Yahudi antarabangsa ke atas rakyat Palestin hanya cuba ditangani secara intelek dalam seminar atau persidangan. Yahudi bebas membunuh rakyat Palestin mererusi senjata canggih bekalan Barat. Hanya sekadar persatuan kemanusiaan tanpa politik yang bersimpati dengan rakyat Palestin. Palestin pula dipisahkan kepada dua bahagian yang lebih kecil iaitu Gaza dan Tebing Barat. Apabila rakyat di bumi tersebut diserang, dunia mengisytiharkan bahawa Gaza yang diserang Yahudi, bukan Palestin. Kepekaan umat Islam menjadi kurang apabila Palestin atau al-Quds diganti dengan Gaza. Sesungguhnya, isu Palestin ialah isu umat Islam keseluruhannya.

Kesatuan bukan politik bersifat kemanusiaan tidak mampu berbuat apa-apa tindakan untuk menentang Israel. Apabila kumpulan kemanusiaan ini bersatu tenaga untuk membantu Gaza dengan bantuan kemanusiaan dengan mengumpul bantuan yang dimuat ke atas armada Frotilla pada awal Jun 2010, maka mereka disekat, diserbu dan dibunuh sebahagiannya oleh tentera komando Israel di perairan antarabangsa diluar pantai Gaza. Kumpulan kemanusiaan bukan politik dan warga dunia hanya mampu menonton, menangis dan berdemonstrasi di atas peristiwa kejam moden yang berlaku di depan mata dunia hari ini. Adakah politik perlu dipisahkan dalam konflik Islamicjerusalem itu atau penulisan akademik yang mendokong pembebasan Islamicjerusalem hanya dibincangkan dalam wacana ilmiah dalam bilik kuliah semata-mata? Selamat membaca dengan mengemukakan analisis yang lebih lengkap daripada ulasan ini.

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *