Kemaskini terbaru: April 25, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kuliah Bersiri Dr Shaharir Mohd Zain – Adakah Momentumnya?

Kuliah Bersiri Dr Shaharir Mohd Zain – Adakah Momentumnya?

(ulasan dari kacamata bukan orang fizik)

Oleh: Mohd Yunus Sharum (myunus@fsktm.upm.edu.my)

Pada 16hb April 2011 telah berlangsung kuliah pertama daripada siri kuliah Dr Shaharir Mohd Zain (mantan Profesor Fizik UKM) yang bertajuk ‘Wacana Buku Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum’. Kuliah tersebut berlangsung di Bilik Seminar Siswazah, Tingkat 1, Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, dan telah dihadiri lebih 20 orang hadirin termasuk presiden ASASI, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud. Kuliah yang berlangsung lebih 3 jam itu amnya bertujuan membahaskan kandungan buku terbaru Dr Shaharir – Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum – yang mengandungi kritikan-kritikan tajam terhadap Teori Kenisbian (Relativity) Einstein. Dalam kuliah pertama yang lalu, Dr Shaharir mengulas tentang TKnE & TQ (Teori Kenisbian Eistein dan Teori Quantum, nama lebih ringkasnya digelar TE-TQ), dan kelemahan-kelemahannya. Manakala kuliah-kuliah seterusnya dalam siri ini akan membincangkan beberapa topik lain dalam buku yang sama dan jadualnya telahpun dipaparkan dalam laman web ASASI (http://www.asasi.my/archives/1362).

Penulis bukanlah ahli bidang fizik. Kali terakhir penulis belajar fizik secara agak mendalam ialah hampir 15 tahun lepas. Bahkan penulis tidak membeli pun buku yang digunakan dalam siri kuliah ini. Sebabnya penulis memang tidak arif mahupun faham dengan topik-topik fizik di dalamnya. Tujuan utama penulis menghadiri kuliah Dr Shaharir ialah untuk menimba seberapa banyak idea, maklumat dan bahan baharu, sebagai kesinambungan dari pertemuan mingguan yang sedia berlangsung saban minggu dengan beliau berhubung falsafah pengislaman dan pemeribumian ilmu. Lalu penulisan ini bertujuan untuk mengulas siri kuliah Dr Shaharir dalam aspek pengembangan bidang saintifik di Malaysia, dan kesannya terhadap gagasan pengislaman dan pemeribumian ‘ilmu’ (lani hanya dirujuk orang awam sebagai ‘sains’) yang diperjuangkan oleh ASASI termasuk Dr. Shaharir sendiri.

Kuliah pertama yang lepas amnya dapat dibahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian awalnya menumpukan kepada aspek falsafah yang mengungkap kepincangan yang wujud dalam budaya sains dan keilmuan barat. Dr Shaharir mendakwa bahawa budaya sains yang dikatakan bebas nilai itu sebenarnya sarat dengan nilai. Nilai sains barat jelas dipengaruhi oleh fahaman dan pegangan yang dianuti oleh ahli sains itu sendiri. Hujah Dr Shaharir, (yang memetik hujah dari Al-Faruqi, kalau tak silap) mengatakan bahawa sekiranya sains yang ada itu bebas nilai, pasti ia akan tetap sama walaupun dibincangkan oleh sebarang ahli sains. Namun yang jelas, perbincangan sains itu sentiasa berbeza-beza apabila dibincangkan oleh ahli sains yang berbeza. Ini membuktikan bahawa sains itu akan dipengaruhi oleh fahaman ahli sains yang membincangkannya. Dr Shaharir mendakwa sains yang wujud ialah sains yang sarat nilai, dan sains yang ada sekarang ialah sains yang sarat dengan nilai Barat (yang 90% pelopornya adalah ateis dan teis). Oleh itu gagasan pengislaman dan pemeribumian ilmu diperkenalkan sebagai suatu bentuk sains (ilmu) yang sarat nilai versi baharu sebagai alternatif kepada sains sarat nilai Barat itu.

Bahagian ke-2 dalam kuliah pertama itu pula mengungkapkan kepincangan dalam teori kenisbian Einstein. Penulis memang tidak faham formulanya, mahupun masalah sebenar yang dikritik oleh Dr Shaharir berkaitan formula Einstein. Namun yang penulis fahami, teori Einstein itu banyak yang ditiru daripada ahli fizik yang sebelumnya terutama Lorentz. Kemudian formula itu diperbaharui pula oleh Einstein tanpa menyebut dari siapa formula itu ditiru, ataupun menyebut sumbangan-sumbangan saintis fizik lain terhadap formulanya. Jadi Einstein sebenarnya tidak hebat sangat seperti yang diketahui oleh penulis selama ini. Bahkan jika itulah sebenarnya Einstein (seperti didakwa oleh Dr Shaharir), maka Einstein bukanlah genius (atau geligawan), sebaliknya lebih kurang saja tarafnya dengan ahli sains biasa-biasa yang menganut saja buah fikiran saintis lain dengan sedikit ubahsuai.

Pada pandangan penulis, kuliah ini memang penting kerana menjelaskan kritikan-kritikan Dr Shaharir yang terkandung dalam bukunya. Sedikit-sebanyak, pembaca buku tersebut ada peluang untuk mendengar penjelasan Dr Shaharir serta dapat berdialog sendiri dengan beliau untuk mendapatkan lebih penjelasan, mahupun memberikan ulasan dan pendapat kepada beliau. Selain itu, kritikan Dr Shaharir dalam buku mahupun kuliah itu seharusnya dapat membuka mata ahli-ahli sains khususnya di Malaysia terhadap kelemahan-kelemahan yang wujud dalam bidang sains dan teorinya yang ada sekarang. Dalam aspek sains umum, sains yang ada sekarang sebenarnya lebih mendewakan fahaman yang dianuti ahli sains barat (bukan bebas nilai). Maka pengislaman ilmu memperkayakan iaitu menambahkan nilai dan pandangan saintis Islam dalam sains sedia ada, tetapi bukan mem’bakulsampah’kan ilmu-ilmu tersebut kononnya untuk memberi tempat pada ‘ilmu sains Islam’ (seperti fahaman sesetengah pengkritik gagasan ini). Bahkan Dr Shaharir sendiri pernah menegaskan bahawa pengislaman dan pemeribumian ilmu yang dibawakannya ialah cuba membongkar sebarang unsur keilmuan yang pernah wujud dalam tamadun Islam dan Melayu, dan membandingkannya dengan pandangan sains kontemporari. Mana-mana ilmu yang lebih sesuai dengan Islam itulah yang diambil, sementara yang sedia ada dan sesuai boleh terus digunakan (merujuk komen beliau semasa pembentangan ‘Banyaknya Alam Mengikut Sains Moden Serasi dgn Islam’, Bengkel Sains dan Islamisasi Ilmu (ASASI-IIIT), Puri Pujangga UKM, Dis 2010).

Dalam aspek kritikan teori fizik pula, walaupun teori Einstein itu sudah dianuti oleh saintis fizik seluruh dunia (dan makalahnya lebih terkenal berbanding buku Dr Shaharir) namun tidak bermakna teori itu tidak boleh dikritik. Hal ini sepatutnya membangkitkan semangat ahli-ahli sains yang ada sekarang untuk berani mengkritik teori-teori terkenal dari Barat mahupun Timur yang mungkin masih berselirat kelemahan-kelemahannya. Ini akan memperkasakan lagi usaha pengislaman dan pemeribumian ilmu kerana dengan adanya kemunculan pendapat, idea, teori baharu dan sebagainya daripada ahli sains Islam akan menambahkan lagi nilai-nilai keIslaman dan sifat keperibumian dalam ilmu dan sains kontemporari. Ini sekaligus akan mengurangkan penguasaan nilai barat dalam sains yang sedia ada sekarang, yang sering didakwa ‘bebas nilai’ itu.

Sungguhpun berjaya, penulis mendapati kuliah pertama Dr Shaharir langsung tidak melibatkan golongan ahli fizik yang sudah matang (berpengalaman). 90% hadirin kuliah tersebut merupakan golongan pelajar dan penyelidik yang masih mentah (baharu). Penulis tidak nampak di kalangan hadirin seorangpun profesor fizik. Bahkan lepasan PhD pun tidak ada (kecuali Prof Wan Ramli – profesor kimia yang juga presiden ASASI, dan Dr Alinor – setiausaha ASASI yang juga anak murid Dr Shaharir)! Jadi bagaimana perkembangan ilmu itu hendak dicapai (dalam masa terdekat)? Adakah dengan dengan mengharapkan 20 orang hadirin (termasuk penulis yang pening-pening lalat bila melihat formula Einstein) akan mengembangkan gagasan ilmu fizik yang cuba dibentuk? Mengapa tidak ada profesor fizik yang hadir? Mungkin Dr Shaharir patut menjemput mana-mana kenalan mahupun seterunya untuk turut serta dalam kuliah tersebut supaya kritikannya lebih tuntas.

Penulis melihat kemungkinan kuliah Dr Shaharir ini akan gagal untuk mencapai impak besar dan hilang momentum sekiranya tidak dihadiri oleh golongan intelektual (terutamanya bidang fizik) yang sudah matang, berpengalaman, dan boleh menyahut cabaran daripada kritikan-kritikan Dr Shaharir. Namun begitu, usaha Dr. Shaharir mengetengahkan kritikannya tidaklah akan gagal (insya’Allah) kerana ada sudah ramai yang membeli dan membaca buku tulisan Dr. Shaharir itu. Bahkan adanya segelintir pengamal dan penyelidik bidang fizik yang hadir dalam kuliah pertama memberi harapan dan satu dorongan kepada perkembangan gagasan pengislaman dan pemeribumian ilmu, khususnya bidang fizik. Cuma mungkin hasilnya akan terlihat apabila golongan muda yang hadir itu bersedia mengembangkan ilmunya. Harapnya dalam kuliah-kuliah yang akan datang, ada 1-2 profesor fizik yang berani meringankan langkah untuk turun ke gelangggang dan mencabar kritikan-kritikan Dr. Shaharir itu! (Paling tidak pun, seorang saintis fizik yang datang semata-mata untuk menempelak bahawa kritikan dan buku Dr Shaharir sebagai mengarut.) Dengan adanya kehadiran mereka, dapatlah kita melihat satu perbincangan. (Walaupun mungkin penulis tidak akan faham, ahli fizik boleh faham.) Dan harapnya akan ada idea-idea baharu yang boleh dikembangkan. -MYS

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *