Kemaskini terbaru: April 25, 2011

Kategori

 

 

  • Arkib

  • Hebahkan

  • Langgan berita

  • Ulasan Terkini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bahasa Melayu – pemangkin perpaduan masyarakat Malaysia

Bahasa Melayu – pemangkin perpaduan masyarakat Malaysia

Oleh: Mohd Yunus Sharum

Pada 5 & 6 Oktober 2010 yang lalu telah diadakan siri ke-6 Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu (SALPBM) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia. Buku prosidingnya pula diterbitkan dengan no. ISBN 978-967-960-271-5. Seminar yang diadakan setahun sekali ini dianjurkan oleh fakulti terbabit dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia serta Akademi Seni Budaya dan Warisan. Manakala seminar-seminar yang dianjurkan sebelumnya turut melibatkan anjuran bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seminar pada tahun 2010 menumpu kepada peranan bahasa Melayu sebagai pemangkin perpaduan rakyat iaitu dengan tema, “Penyelidikan Linguistik, Bahasa dan Budaya – Pemupukan Perpaduan”. Secara umumnya, tema tersebut dipilih sebagai menggalakkan masyarakat dan komuniti penyelidikan untuk berusaha memantapkan bahasa Melayu sebagai alat menyatupadukan pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara dan kenyataan ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Status ini implisitnya mensyaratkan bahasa Melayu diguna pakai oleh semua kaum. Secara tidak langsung memberi ruang yang lebih luas untuk bahasa Melayu diterima oleh semua kelompok masyarakat di Malaysia. Penyatuan melalui bahasa dapat mengukuhkan ikatan antara kaum yang telah sedia terjalin. Adalah penting peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dimantapkan lagi demi perpaduan rakyat Malaysia dan bagi memastikan bahasa Melayu terus utuh sebagai bahasa kebangsaan.

Pelbagai kertas kerja dibentangkan berkaitan ‘perpaduan melalui satu bahasa’ ini. Antaranya kertas-kertas dasar yang dibentangkan oleh tokoh bahasa Melayu seperti Prof. Dr. Hashim Musa (UPM) dan Prof. Dr. Teo Kok Seong (UKM). Pembentangan kertas dasar turut melibatkan tokoh seperti YM Dr Raja Masittah Raja Ariffin (UPM) yang berpengalaman luas dalam bidang leksikografi. Berbanding tahun 2009, penyertaan peserta kali ini kurang sedikit. Namun jumlahnya tetap pada tahap yang menggalakkan. Bahkan masih ada 1-2 kertas kerja yang diterima melibatkan pembentang dari negara tetangga iaitu Indonesia, termasuk oleh Prof Dr Amran Saragih. Walau bagaimanapun Prof Amran tidak dapat hadir dan kertas kerjanya hanya dibentangkan oleh wakil beliau. Penglibatan peringkat antarabangsa di seminar SALPBM sangat dihargai bahkan sememangnya diharapkan demi keutuhan bahasa Melayu di peringkat serantau dan antarabangsa.

Namun malang sekali, di tengah-tengah kerancakan ahli bahasa dan linguistik berhujah tentang kepentingan dan kemajuan bahasa Melayu, ada pula pembentang yang seakan lupa matlamat seminar (atau tidak peka, tak tahulah). Seminar SALPBM ialah untuk membudaya, memperjuang dan memantapkan aplikasi bahasa Melayu. Tetapi pembentang tersebut melakukan sebaliknya, iaitu membentang kertas kerja menggunakan bahasa Inggeris! Yang jadi lebih ralat, kajian beliau berkisar penggunaan kata bahasa Melayu di kalangan penutur Melayu, pembentang itu sendiri adalah orang Melayu, dan dibentangkan dalam seminar membudayakan bahasa Melayu. (Tidak mungkin beliau ‘tidak fasih berbahasa Melayu’ kerana beliau tidak memaklumkan hal ini kepada hadirin.) Agaknya beliau perlu diingatkan kepada pepatah, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”. Pastinya peristiwa ini benar-benar merobek sanubari pecinta bahasa Melayu yang hadir dalam seminar tersebut, yang berhasrat mendengar bahasa Melayu didendangkan sebagai bahasa ilmu yang tinggi nilainya. Walaupun seminar SALPBM bersifat antarabangsa, janganlah sampai jadi kisah Pak Kaduk yang ‘menang sorak, kampung tergadai’. Rata-rata yang hadir tentu boleh mengandaikan bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar kerana namanya pun seminar linguistik bahasa Melayu. Kalau tidak, masakan Prof Teo beriya-iya membentangkan kertas kerjanya dalam bahasa Melayu, walhal beliau pasti lebih fasih berbahasa Inggeris!

Di sebalik ‘kecacatan’ tersebut, keseluruhannya seminar ini telah berlangsung dengan jaya. Seperti tahun-tahun sebelumnya diharapkan penyertaan yang menggalakkan akan sentiasa diterima sama dari dalam mahupun luar negara, berhubung penyelidikan dan kajian saintifik bahasa Melayu. Siri seminar SALPBM ini merupakan antara seminar yang dilihat dapat memperkasakan penyelidikan dalam bahasa Melayu, dan berkemungkinan dapat diadakan lagi pada tahun 2011. Mudah-mudahan bahasa Melayu terus dapat diperjuangkan bukan sahaja sebagai bahasa pertuturan tetapi juga sebagai wadah dan pemangkin penyampaian ilmu pengetahuan. Dan sewajarnya pihak penganjur siri seminar SALPBM lebih peka untuk mewajibkan pembentang supaya menggunakan bahasa Melayu dalam pembentangan masing-masing pada masa akan datang, sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa penyampai ilmu. –MYS

Tiada komen

 

----

Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *